You are on page 1of 16

KAEDAH PENEGUHAN DAPAT MENGURANGKAN TINGKAH LAKU BERMASALAH

DALAM KALANGAN MURID SEMASA PROSES PENGAJARAN DAN


PEMBELAJARAN KAJIAN TEMPATAN

oleh
Ahmad Syamil bin Abdullah, Saraswathy a/p Vellasamy, Seman bin Salleh,
Lawrence Aloysius Aeria

Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Antarabangsa

Abstrak

Tujuan kajian ini adalah untuk menentukan sejauh manakah kaedah


peneguhan dapat mengurangkan tingkah laku bermasalah dalam kalangan
murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan
berlangsung. Seramai 25 orang responden telah dipilih dari sebuah kelas di
sebuah sekolah rendah di Daerah Gombak. Kelas yang dipilih ini merupakan
kelas yang sering menimbulkan tingkah laku bermasalah semasa proses
pengajaran dan pembelajaran guru. Instrumen kajian yang digunapakai
adalah borang pemerhatian, skedul temu bual dan catatan jurnal. Dapatan
kajian menunjukkan kaedah peneguhan berupaya untuk mengurangkan
tingkah laku bermasalah dalam kalangan murid semasa proses pengajaran
dan pembelajaran Kajian Tempatan.

Pengurusan bilik darjah yang berkesan merupakan elemen yang penting dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran seorang pendidik. Boey (2011) menyatakan di peringkat
sekolah, ramai guru muda mengalami masalah mencari suatu kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang efektif untuk meningkatkan prestasi murid. Kesan daripada fenomena
ini mungkin boleh menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran guru berkenaan
kurang berkesan dan input yang disalurkan kepada murid tidak sampai.

Menurut Lee (1995) pengurusan bilik darjah didefinisikan sebagai tindakan guru dalam
mengendalikan bilik darjah agar suasana persekitaran yang tersusun dapat diwujudkan
untuk menggalakkan pembelajaran. Keupayaan seseorang guru itu dalam
mengendalikan kelasnya dengan baik mencerminkan kejayaannya dalam mentadbir
kelas seterusnya mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan efektif. Menurut
Sandford (1983, seperti dinyatakan dalam Esah, 2004) menyatakan takrifan pengurusan
bilik darjah bukan setakat disiplin murid sahaja tetapi meliputi semua perkara utuk
mendapatkan penglibatan murid dan kerjasama dalam aktiviti di dalam bilik darjah.
Usaha dalam mewujudkan persekitaran kerja yang produktif juga merupakan pengurusan
bilik darjah. Moore (1989, seperti dinyatakan dalam Esah, 2004) pula menyatakan
perkara pokok dalam pengurusan bilik darjah ialah kepimpinan dan kecekapan
mewujudkan iklim bilik darjah yang kondusif dalam pembelajaran.
1
Kepimpinan guru adalah penting dalam menentukan keberkesanan proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam sesebuah kelas. Seseorang guru itu haruslah mempunyai
ciri-ciri kepimpinan yang baik demi memastikan isi pelajaran yang disampaikan kepada
murid dapat diterima dengan baik. Menurut Owen (1970, seperti yang dinyatakan dalam
Sapora dan Justina, n.d.), terdapat pelbagai jenis gaya kepimpinan yang boleh
diaplikasikan oleh seseorang guru di dalam kelas seperti autokratik, laissez faire dan
demokratik. Gaya kepimpinan ini boleh diaplikasikan mengikut situasi dalam kelas dan
melalui kepimpinan yang baik dan berkesan oleh guru berkenaan, matlamat untuk
menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang efisien dan berkualiti untuk
murid dapat direalisasikan.

Isu Kajian

Sepanjang tempoh saya menjalani praktikum selama lebih kurang enam bulan di tiga
buah sekolah, saya mendapati hampir setiap kelas yang saya masuk dan mengajar
mempunyai sekurang-kurangnya seorang murid yang mempunyai tingkah laku yang
bermasalah. Murid berkenaan biasanya akan mengganggu murid yang lain ketika proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung dan tingkah laku sebegini secara tidak
langsung merencatkan perjalanan dan kelancaran proses pembelajaran murid lain. Saya
juga turut berhadapan dengan murid yang bersifat pasif ketika saya sedang asyik
mengajar dan biasanya murid yang pasif ini sering melakukan kerja sendiri seperti
melukis di dalam kertas kosong dan tidak mengendahkan pengajaran yang disampaikan
oleh saya. Bagi saya, kedua-dua peristiwa ini menrencatkan proses pengajaran dan
pembelajaran yang dijalankan kerana saya terpaksa menegur perbuatan murid
berkenaan dan menjatuhkan hukuman denda seperti berdiri di hadapan kelas. Ini secara
tidak langsung membuang masa yang diperuntukkan kepada saya untuk menyalurkan
ilmu kepada seluruh kelas kerana terpaksa mengatasi masalah seperti ini terlebih dahulu.

Melalui pemerhatian saya sepanjang 3 kali menjalani fasa praktikal, murid yang
mempunyai tingkah laku bermasalah ini hanya berpura-pura untuk menjadi seorang yang
baik dan mendengar kata apabila guru yang garang dan sering menjatuhkan hukuman
denda masuk ke dalam kelas mereka berbanding guru yang tidak gemar memarahi dan
menjatuhkan hukuman apabila murid melakukan kesalahan. Ini menunjukkan wujudnya
tingkah laku berpura-pura dan apabila tidak ditegur dan dijatuhi hukuman dendaan, murid
berkenaan akan mula menunjukkan belang mereka yang sebenar.

Pada sesi praktikum yang ketiga ini, saya telah ditempatkan di Sekolah Kebangsaan
Taman Seri Gombak (2), Batu Caves dan mengajar subjek Kajian Tempatan, Pendidikan
Sivik dan Kewarganegaraan serta Bahasa Melayu. Saya telah mengajar kelas 5 Mawar
(bukan nama sebenar) subjek Kajian Tempatan dan selama 3 bulan memerhatikan
tingkah laku murid di kelas ini, saya mendapati beberapa murid di kelas ini memang
mempunyai tingkah laku yang bermasalah dan secara tidak langsung telah mengganggu
proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah-masalah tingkah laku yang sering
ditimbulkan oleh murid di kelas 5 Mawar ialah bising, melakukan kerja lain semasa guru
sedang mengajar, tidur di dalam kelas, sering masuk lewat ke dalam kelas, mengganggu
2
murid lain yang sedang menumpukan perhatian kepada pengajaran guru dan banyak
lagi.

Setelah melakukan pembacaan ilmiah mengenai cara untuk mengurangkan tingkah laku
bermasalah di beberapa buah buku, saya telah mendapati pendekatan Teori Pelaziman
Operan oleh Skinner (1953, seperti yang dinyatakan dalam Woolfolk, 2004) telah
mengutarakan konsep peneguhan positif dan peneguhan negatif sebagai salah satu cara
untuk mengurangkan masalah tingkah laku murid. Walaupun sebenarnya saya pernah
menggunakan kaedah peneguhan di dalam kelas, namun kebanyakannya adalah secara
tidak langsung dan tidak direkodkan keberhasilannya dalam memastikan berlakunya
perubahan tingkah laku murid saya. Oleh yang demikian, saya ingin mencuba
pendekatan kaedah ini untuk melihat sama ada berlakunya perubahan tingkah laku murid
serta keberkesanannya dalam mengurangkan tingkah laku bermasalah di dalam kelas ini.

Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah untuk menentukan sejauh manakah kaedah peneguhan dapat
mengurangkan tingkah laku bermasalah dalam kalangan murid semasa proses
pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan.

Kumpulan Sasaran

Responden kajian saya adalah seramai 25 orang murid tahun 5 Mawar yang terdiri
daripada 16 orang murid lelaki dan 9 orang orang murid perempuan. Berdasarkan
pemerhatian saya, murid kelas ini terdiri daripada murid yang mempunyai tahap kognitif
yang agak lemah dan mengikut kedudukan kelas tahun 5 di sekolah ini, kelas 5 Mawar
merupakan kelas yang berada di kedudukan ke-7 daripada 9 kelas tahun 5. Seperti yang
dinyatakan terlebih dahulu, rata-rata murid di kelas ini mempunyai tingkah laku yang
bermasalah dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran guru jika tidak
ditegur dan dijatuhi hukuman seperti dendaan dan sebagainya. Ada murid yang gemar
melakukan kerja sendiri, bising ketika guru sedang mengajar, terlalu teruja dengan
bertanyakan soalan yang tidak berkaitan dengan isi pelajaran guru, menganggu murid
lain dan tidak kurang pula ada dalam kalangan murid kelas ini yang begitu pasif.

Pada pengajaran sebelum ini, kadang kala saya juga mengaplikasikan kaedah
peneguhan positif secara tidak langsung seperti memberikan pujian dan semangat
kepada murid. Saya mendapati murid lebih mudah mendengar kata setelah saya
memberikan dorongan dan semangat kepada mereka. Menurut Rogers, (n.d., seperti
yang dinyatakan oleh Choong, 2008), pembelajaran murid akan menjadi lebih pantas
apabila individu berada pada tahap ancaman yang rendah. Oleh itu, saya percaya
tingkah laku murid itu akan berubah sekiranya dia berasa selamat dan selesa apabila
berada di dalam kelas.

Saya juga menjangkakan bahawa apabila sistem ganjaran diperkenalkan untuk murid
yang berjaya menunjukkan tingkah laku positif dan memberikan fokus ketika sesi
3
pengajaran dan pembelajaran berlangsung, motivasi murid untuk terus belajar akan
meningkat. Alberto dan Troutmen (1990, seperti yang dinyatakan dalam Salina, 1999),
turut mengakui ganjaran merupakan satu peneguhan positif yang boleh digunakan oleh
guru untuk meningkatkan motivasi dalam diri murid.

Tindakan yang Dijalankan

Saya ingin mencuba sama ada pendekatan yang disarankan oleh Skinner melalui Teori
Pelaziman Operan ini berkesan atau tidak dalam mengurangkan tingkah laku bermasalah
dalam kalangan murid kelas ini. Antara cara yang ingin saya aplikasikan semasa
menjalankan kajian ini ialah dengan memperbanyakkan ucapan pujian kepada murid
yang mengikut arahan saya serta memperkenalkan sistem ganjaran secara berkala
kepada mana-mana murid yang berjaya mencapai tahap yang telah saya tetapkan
seperti menghasilkan tugasan kerja rumah dengan sempurna dan tiada kesalahan,
memberikan tumpuan 100% ketika pengajaran dan pembelajaran berlangsung serta tidak
mewujudkan masalah tingkah laku yang ketara sepanjang sesi pengajaran dan
pembelajaran.

Menurut Ahmad Fadzli (2009), dorongan berserta ganjaran sekiranya diberikan dengan
betul, murid berupaya untuk mengubah tingkah lakunya yang negatif kepada positif.
Beliau juga menyatakan tiada siapa yang tidak sukakan kepada hadiah atau ganjaran
dan murid tentunya akan berasa seronok walaupun hanya menerima ucapan “terima
kasih” daripada gurunya atau sekadar sedikit ganjaran berupa gula-gula selepas
membantu gurunya.

Selain daripada mewujudkan sistem ganjaran dan memperbanyakkan ucapan pujian


kepada murid yang berjaya mengekalkan tingkah laku yang positif, saya juga turut
menggunakan peneguhan negatif di kelas 5 Mawar. Peneguhan negatif juga boleh
dianggap sebagai salah satu cara untuk membentuk tingkah laku
(Shahabuddin & Rohizani, 2003). Antara perkara yang tidak begitu disukai oleh
seseorang murid adalah pemberian kerja rumah yang banyak dan menghadiri kelas
tambahan pada waktu cuti. Selain itu, saya telah memberitahu murid kelas 5 Mawar
bahawa apabila tingkah laku bermasalah berjaya dikurangkan atau dihapuskan secara
total oleh seseorang murid itu, murid tersebut akan diberikan kerja rumah yang kurang
dan kebenaran rehat lebih awal berbanding rakan lain. Pelaksanaan kajian ini telah
bermula pada 26 Julai 2011 hingga 11 Ogos 2011.

Pada minggu pertama kajian ini dilaksanakan, kaedah peneguhan tidak digunakan. Sesi
pengajaran dan pembelajaran adalah seperti biasa dan saya telah meminta rakan
praktikum saya untuk duduk di belakang bagi memerhatikan tingkah laku bermasalah
yang wujud di kelas ini. Pada minggu kedua dan ketiga pula, elemen peneguhan positif
dan negatif mula digunakan oleh saya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Bagi melihat perkembangan dan perubahan tingkah laku murid, saya telah menggunakan
kaedah pemerhatian, temu ramah dan catatan jurnal untuk menyokong kajian saya.
4
Pemerhati yang telah ditugaskan untuk menanda borang pemerhatian yang telah
disediakan oleh saya adalah terdiri daripada rakan guru pelatih yang terlibat bersama-
sama berpraktikum di sekolah ini. Selain itu saya juga turut menggunakan kaedah temu
bual dan catatan jurnal untuk menyokong kajian ini. Pada minggu kedua dan ketiga,
kaedah peneguhan positif dan negatif telah digunakan. Galakan semangat berbentuk
pujian seperti perkataan “syabas”, “tahniah”, “cuba lagi” dan “jangan putus asa” sering
kali diucapkan oleh saya apabila murid mengekalkan tingkah laku positif dan memberikan
tumpuan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Dalam setiap sesi, saya
telah menggunakan kata-kata pujian sekurang-kurangnya sebanyak sepuluh kali sebagai
rangsangan kepada murid yang berjaya mengekalkan tingkah laku yang baik di dalam
kelas.

Selain itu ganjaran juga diberikan kepada murid saya. Ganjaran yang akan diberikan
adalah dirahsiakan terlebih dahulu tetapi saya menerangkan kepada murid kelas saya
bahawa ganjaran akan diberikan kepada murid yang berjaya mengurangkan tingkah laku
bermasalah semasa pembelajaran Kajian Tempatan. Cara ini bertujuan untuk
meningkatkan daya ingin tahu murid dan seterusnya dapat menggalakkan mereka cuba
mengekalkan tingkah laku yang positif semasa belajar dengan guru (Noor Nadiha, 2010).
Ganjaran yang diberikan adalah berupa buku nota dan pemadam getah. Saya akan
memanggil murid tersebut ke hadapan kelas dan memberikan ganjaran serta kata-kata
pujian atas penglibatan dan perubahan tingkah laku yang lebih baik yang ditunjukkan
oleh murid berkenaan.

Saya juga akan mengurangkan jumlah latihan dan kerja rumah murid yang berjaya
menunjukkan perubahan sikap dan tingkah laku yang lebih positif sebagai ganjaran
kepada mereka kerana berjaya mengurangkan tingkah laku bermasalah mereka di dalam
kelas saya. Mereka turut diberikan masa rehat yang lebih awal jika mereka berjaya
mengekalkan tingkah laku yang positif. Rangsangan yang tidak digemari oleh murid
seperti kerja rumah yang banyak serta menghadiri kelas tambahan akan dihilangkan
apabila murid berjaya mengekalkan tingkah laku positif yang dikehendaki. Temu bual
juga dilaksanakan untuk mendapatkan pandangan responden mengenai kaedah
pengajaran tradisional dan kaedah pengajaran yang menggunakan kaedah peneguhan.
Beberapa orang responden telah dipilih untuk menjayakan sesi temu bual ini.

Cara Mengumpul Data

Dalam kajian tindakan ini, saya telah memilih untuk melaksanakan 3 buah instrumen
kajian bagi mengumpul data. Ketiga-tiga instrumen yang dipilih ialah melalui borang
pemerhatian, skedul temu bual dan catatan jurnal setiap minggu.

 PEMERHATIAN
Melalui kaedah ini, saya telah menyediakan satu borang pemerhatian yang diisi oleh
seorang guru sebagai pemerhati. Sebanyak 3 kali pemerhatian telah dilaksanakan di
mana setiap minggu sepanjang kajian ini berlangsung. Tujuan utama instrumen ini
digunakan dalam kajian ini adalah untuk melihat perubahan kekerapan tingkah laku
5
bermasalah yang berlaku di dalam kelas 5 Mawar sebelum dan selepas kaedah
peneguhan dilaksanakan. Kekerapan murid yang melakukan tingkah laku bermasalah
akan dibandingkan pada pemerhatian pertama, kedua dan ketiga pada akhir kajian ini
dan dapatan yang diperoleh akan menunjukkan sama ada berlakunya perubahan tingkah
laku atau tidak apabila kaedah peneguhan digunapakai dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.

Menurut Azizi Yahaya et. al (2007, seperti yang dinyatakan dalam Noor Azlan &
Norhayati, 2010), kaedah pemerhatian merupakan salah satu daripada beberapa teknik
yang ada bagi mendapatkan maklumat berkaitan kepercayaan, sikap dan motivasi. Siti
Hawa (1990, seperti yang dinyatakan dalam Noor Azlan & Norhayati, 2010), pula
menegaskan dalam kaedah ini penyelidik hanya memerhati sikap dan tingkah laku
sesuatu objek itu tanpa disedari oleh responden atau subjek tersebut. Penyelidik perlulah
memerihalkan pemerhatiannya dalam bentuk yang lebih objektif dan deskriptif.

 TEMU BUAL
Menurut Salina (1999, seperti yang dinyatakan dalam Noor Nadiha, 2010) menyatakan
kaedah temu bual didapati paling sesuai dilaksanakan dalam sesuatu kajian kerana temu
bual membolehkan pengkaji merumus dan mengenal pasti konsepsi individu terhadap
pengukuhan dari kacamata individu itu sendiri. Soalan temu bual yang telah disediakan
oleh saya adalah untuk dijawab oleh beberapa orang responden yang dipilih daripada
kelas 5 Mawar. Temu bual ini telah dijalankan pada minggu pertama dan minggu ketiga
sepanjang kajian ini dilangsungkan. Temu bual pertama adalah untuk melihat respon
daripada sampel kajian saya mengenai kaedah pengajaran tradisional yang dilaksanakan
manakala temu bual kali kedua pula bertujuan untuk mendapatkan respon mereka
mengenai kaedah pengajaran yang menggunakan kaedah peneguhan. Tujuannya adalah
untuk melihat sama ada terdapat perbezaan respon murid selepas kaedah ini digunakan
berbanding semasa pengajaran sebelumnya.

 CATATAN JURNAL
Catatan jurnal yang ditulis oleh saya selepas setiap sesi pengajaran dan pembelajaran
juga berperanan untuk membantu saya menilai keberkesanan kaedah peneguhan dalam
mengurangkan tingkah laku bermasalah di kelas 5 Mawar. Catatan jurnal yang ditulis
adalah berdasarkan berdasarkan pemerhatian saya sebagai guru subjek terhadap situasi
yang berlaku di dalam kelas ini. Sebanyak 6 buah catatan jurnal dihasilkan sepanjang
kajian ini berlangsung. Antara isi kandungan yang dimasukkan di dalam catatan jurnal
saya ialah pemerhatian saya sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran yang
berlangsung. Saya telah mencatatkan apa yang telah saya perhatikan seperti
insiden-insiden yang berlaku di dalam kelas ini yang berkaitan dengan objektif kajian
serta perasaan saya ketika mengajar di kelas ini.

6
Keputusan

Melalui tindakan yang telah dilaksanakan, keputusan pemerhatian 1, 2 dan 3 yang telah
saya peroleh direkodkan melalui Jadual 1 dan Rajah 1 di bawah:

Jadual 1: Kekerapan Tingkah Laku Bermasalah Kelas 5 Mawar


Kekerapan
Pemerhatian 1 Pemerhatian 2 Pemerhatian 3
Bil. Tingkahlaku
1 Murid bising ketika pengajaran 5 3 2
berlangsung
2 Membaca bahan lain selain 3 2 1
daripada bahan yang berkaitan
dengan pengajaran guru
3 Menggangu murid lain semasa 3 2 1
guru sedang mengajar
4 Murid tidur ketika pengajaran 4 3 1
berlangsung
5 Berjalan-jalan di sekeliling kelas 4 3 1

6 Mengeluarkan kata-kata yang 3 2 0


kurang sopan.
7 Membuat kerja lain (kerja rumah 4 3 1
dan sebagainya) semasa guru
sedang mengajar.

7
Rajah 1 : Kekerapan Tingkah Laku Bermasalah Kelas 5 Mawar
6

4
Kekerapan Murid

5 Pemerhatian 1
Pemerhatian 2
2 4 4 4
Pemerhatian 3
3 3 3 3 3 3 3

1 2 2 2 2

1 1 1 1 1
0
0
Murid bising ketika Membaca bahan Menggangu murid Murid tidur ketika Berjalan-jalan di Mengeluarkan Membuat kerja
pengajaran lain selain daripada lain semasa guru pengajaran sekeliling kelas kata-kata yang lain (kerja rumah
berlangsung bahan yang sedang mengajar berlangsung tidak formal dan dan sebagainya)
berkaitan dengan kurang sopan. semasa guru
pengajaran guru sedang mengajar.

Tingkah Laku Bermasalah


8
Jadual 1 menunjukkan kekerapan tingkah laku bermasalah yang direkodkan semasa
pemerhatian 1, 2 dan 3. Pemerhatian 1 dilaksanakan semasa sesi pengajaran
tradisional dilaksanakan manakala pemerhatian 2 dan pemerhatian 3 pula dijalankan
apabila kaedah peneguhan mula digunapakai semasa sesi P&P. Ketiga-tiga data
pemerhatian yang telah diperoleh kemudiannya dipindahkan ke dalam bentuk carta bar
untuk memudahkan perbandingan data ketiga-tiga pemerhatian yang telah
dilaksanakan. Berdasarkan Rajah 1, terdapat tujuh jenis tingkah laku bermasalah yang
disenaraikan dalam kajian ini dan kesemuanya merupakan tingkah laku bermasalah
yang sering ditimbulkan oleh murid di kelas 5 Mawar sehingga mengganggu proses
pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan. Saya telah dibantu oleh seorang guru
pelatih lain untuk mencatatkan hasil pemerhatiannya terhadap tingkah laku bermasalah
yang ditimbulkan oleh murid di kelas ini dan mencatatkan bilangan kekerapan murid
yang melakukan tingkah laku bermasalah di dalam borang pemerhatian yang telah
disediakan pada setiap pemerhatian.

Pada pemerhatian kali pertama, dapat dilihat dengan jelas ketujuh-tujuh tingkah laku
bermasalah yang timbulkan oleh murid mencatatkan kekerapan tertinggi jika
dibandingkan dengan pemerhatian kali kedua dan ketiga. Sebagai contoh, bagi tingkah
laku bermasalah “murid bising ketika pengajaran berlangsung”, kekerapan yang
dicatatkan adalah sebanyak 5 orang murid berbanding hanya 3 orang dan 2 orang
sahaja murid yang bising pada pemerhatian kedua dan ketiga.. Hal ini adalah
disebabkan kerana pada minggu pertama saya hanya menjatuhkan hukuman ringan
seperti berdiri selama 5 hingga 10 minit untuk mengawal tingkah laku bermasalah yang
dilakukan oleh murid kelas saya selain daripada bantuan daripada gerak balas bahasa
tubuh dan jelingan tajam semata-mata.

Pengajaran pada minggu berkenaan juga agak hambar kerana tidak mendapat respon
yang baik daripada murid di kelas ini. Selain itu, berlakunya gangguan terhadap sesi
pengajaran dan pembelajaran oleh kerana tingkah laku bermasalah yang ditimbulkan
oleh beberapa orang murid di dalam kelas 5 Mawar. Fokus mereka terhadap pelajaran
didapati agak terganggu dan hasilnya apabila saya menyoal kembali mengenai isi
pelajaran yang telah diajar, ada di kalangan mereka yang memberi jawapan yang bukan-
bukan dan tidak berkaitan dengan isi pelajaran yang telah disampaikan. Perkara ini
disokong oleh catatan jurnal saya:

Pada pelajaran hari ini, saya berasa agak marah dengan perlakuan yang
ditunjukkan oleh beberapa orang murid kelas ini. Sudahlah masuk ke kelas
saya dalam keadaan mengantuk dan tidak bersemangat, malah ada di antara
mereka cuba untuk curi-curi tidur. Samy pula seperti biasa gemar mengganggu
Muthu di sebelahnya manakala Minah dan Daniel pula mundar-mandir di
sekeliling kelas walaupun kerja sudah diberikan. Keadaan kelas 5 Mawar agak
bising dan beberapa orang murid telah didenda berdiri 5 hingga 10 minit kerana
bising dan mengganggu rakan lain. Sebelum kelas tamat, saya meminta Raju
untuk bangun dan menjawab soalan yang saya kemukan kepadanya
berkenaan dengan pelajaran pada hari ini, “Nyatakan satu contoh pokok yang
tumbuh di kawasan hutan paya air tawar?”, dia menjawab pokok kelapa. Adi
dan Siti pula cuba meneka namun jawapan yang diberikan juga
9
mengecewakan. Saya merasakan keadaan bising dan gangguan daripada
rakan-rakan murid menyumbang kepada hilangnya fokus murid saya semasa
pelajaran pada hari ini.
(Catatan Jurnal No. 1, 26 Julai 2011)

Pemerhatian kedua pula telah dijalankan pada 4 Ogos 2011 dan kaedah peneguhan
sudah mula digunapakai semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Penggunaan kaedah peneguhan sudah mula digunapakai bermula pada sesi pengajaran
dan pembelajaran yang ketiga hingga keenam. Murid-murid kelihatan terkejut dengan
perubahan teknik pengajaran saya yang kelihatan lebih mesra dan menghiburkan
berbanding pengajaran 1 dan 2. Unsur-unsur kecindan serta puji-pujian seringkali
digunakan oleh saya terutamanya apabila melihat ada murid yang memberikan fokus
terhadap pelajaran pada hari berkenaan. Bagi murid-murid yang masih tidak mengubah
tingkah laku mereka pula, saya tidak mengendahkan perbuatan mereka tetapi apabila
saya mula memberikan beberapa orang murid ganjaran atas sikap positif yang
ditunjukkan oleh mereka, tiba-tiba sahaja mereka diam dan mula menumpukan
perhatian. Kaedah ini dilihat berkesan berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh
Madsen, Becker dan Thomas (1968, seperti yang dinyatakan dalam Woolfolk, 2004) di
mana guru dapat meningkatkan tingkah laku murid ke arah yang lebih baik dengan
menggunakan kaedah memuji murid yang menunjukkan tingkah laku positif dan tidak
mengendahkan murid yang sering mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.
Namun begitu, menurut kajian mereka, “kaedah memuji-tidak mengendahkan” ini tidak
dapat menyelesaikan masalah tingkah laku murid di dalam kelas secara menyeluruh jika
kaedah ini sahaja yang digunapakai oleh guru berkenaan.

Perubahan tingkah laku murid kelas 5 Mawar sudah mula menampakkan hasil yang
positif setelah kaedah ini digunapakai. Murid yang biasanya sering menunjukkan tingkah
laku bermasalah di kelas Kajian Tempatan mula beransur - ansur mengurangkan tingkah
laku bermasalah mereka terutamanya apabila melihat ada di kalangan rakan mereka
yang dipuji oleh saya kerana berkelakukan sopan dan tidak menganggu proses
pengajaran dan pembelajaran guru selain daripada memperoleh ganjaran daripada
saya. Mereka bertindak sedemikian kerana mereka juga menginginkan pujian serta
ganjaran daripada guru akibat berkelakuan baik dan memberikan tumpuan kepada
proses pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini dibuktikan menerusi catatan jurnal
saya:

Daud dan Ahmad merupakan dua orang murid yang sering menimbulkan
kekecohan dan mengganggu rakan lain semasa saya mengajar di kelas ini.
Sebelum ini saya sering mendenda mereka dengan denda-denda ringan
seperti berdiri selama 5 minit dan mengasingkan tempat duduk mereka
apabila mereka bising dan mula mengganggu murid lain. Pada hari ini, saya
tidak mahu menjatuhkan hukuman kepada mereka tetapi tidak mengendahkan
perbuatan mereka yang kelihatan seperti cuba untuk menarik perhatian saya
dan rakan-rakan lain. Siti dan Minah pula pada hari ini kelihatan aktif dan
sering bertanya soalan kepada saya mengenai topik Zon Iklim Dunia. Saya
memanggil kedua-duanya ke hadapan dan memuji-muji mereka kerana
memberikan komitmen yang baik kepada pengajaran saya. 2 buah buku nota
saya berikan kepada mereka sebagai tanda penghargaan. Anehnya, sejak
saya mula memberikan puji-pujian dan ganjaran kecil sebegini kepada murid
10
kelas ini, mereka yang dahulunya sering bermasalah dan mengganggu rakan-
rakan mula diam dan menumpukan perhatian mereka kepada sesi pengajaran
dan pembelajaran terutamanya Daud dan Ahmad. Saya terkejut dengan
perubahan sikap mereka namun bersyukur kerana kaedah ini sudah mula
menampakkan hasilnya.
(Catatan Jurnal No. 4, 4 Ogos 2011)

Pada minggu ketiga, pemerhatian kali ketiga telah dilaksanakan pada 11 Ogos 2011 dan
keputusannya menunjukkan hampir keseluruhan murid di kelas 5 Mawar sudah berjaya
mengurangkan tingkah laku bermasalah di dalam kelas Kajian Tempatan. Tumpuan
terhadap pelajaran juga meningkat dan murid kelihatan lebih bermotivasi untuk belajar.
Hampir keseluruhan murid telah diberikan ganjaran pada minggu ketiga selain daripada
menerima puji-pujian dan kata-kata semangat daripada saya akibat berkelakuan positif
dan mendengar kata. Murid di kelas ini kelihatan lebih bermotivasi untuk belajar dan
memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang
dilaksanakan.

Selain daripada melakukan pemerhatian terhadap perubahan tingkah laku murid kelas 5
Mawar menggunakan borang pemerhatian, saya juga telah menjalankan temu bual
sebanyak 2 kali terhadap beberapa orang responden kajian saya. Temu bual pertama
telah membabitkan beberapa orang responden telah menyatakan kepada saya bahawa
kaedah dendaan dan hukuman yang telah saya gunakan selama ini menyebabkan murid
berasa takut dan terpaksa berpura-pura menjadi seorang yang bertingkah laku positif
kerana enggan didenda oleh saya. Berikut adalah contoh pandangan murid berkaitan hal
ini :
“ Saya tak suka berdiri lama-lama cikgu ” (Murid 1)
“Dalam kelas cikgu je saya jadi baik, tapi bila cikgu lain masuk saya nakal
semula” (Murid 3)
“Cikgu suka beri kerja rumah banyak kepada saya bila saya bising” (Murid 5)

Kebanyakan murid yang telah ditemu bual juga menyatakan pernah dikenakan hukuman
dan dendaan daripada saya sekurang-kurangnya sekali sepanjang saya mengajar kelas
5 Mawar sebelum ini. Dendaan yang dikenakan kadang kala menyebabkan murid di
kelas ini sudah lali dan ada juga di kalangan responden yang di temu bual menyatakan
mereka sudah hilang rasa gentar dengan hukuman dan dendaan yang biasa dikenakan
oleh saya. Malahan ada dalam kalangan mereka menyatakan terdapat guru lain yang
lebih keras dendaannya sehingga menyebabkan murid tidak berani melakukan tindakan
yang tidak disukai guru itu kerana perasaan takut didenda.

“Saya dah biasa kena denda dengan cikgu. Saya rasa saya sudah lali dengan
dendaan cikgu” (Murid 5)
“Cikgu Y bila mendenda lebih teruk daripada cikgu. Saya lebih takut bila Cikgu
Y masuk ke kelas kami” (Murid 1)
“Memang denda yang cikgu bagi pada saya kadang-kadang menyakitkan juga.
Tapi sebab saya dah selalu kena, saya tidak kisah lagi.” (Murid 4)

Apabila saya mengutarakan cadangan untuk memberikan hadiah dan memberikan


pujian dan kata-kata semangat kepada murid yang bertingkah laku positif sepanjang
masa pengajaran dan pembelajaran saya di kelas ini, responden yang ditemu bual
11
memberikan respon yang positif dan gembira. Mereka merasakan tidak salah untuk
dihargai jika kelakuan mereka adalah baik dan berjaya mengurangkan tingkah laku
bermasalah di dalam kelas 5 Mawar.

“Saya memang suka dapat hadiah. Kalau saya berkelakuan baik dan cikgu
bagi saya hadiah, saya rasa bangga” (Murid 2)

Responden juga ditanya sama ada mereka gemarkan kerja rumah tambahan dan
dikenakan tindakan menghadiri kelas tambahan yang lebih lama daripada rakan-rakan
lain jika melakukan tingkah laku bermasalah di dalam kelas Kajian Tempatan. Rata-rata
menyatakan tindakan berkenaan kurang digemari dan mereka berusaha untuk
mengekalkan tingkah laku positif asalkan tidak diberikan kerja rumah tambahan dan
menghadiri kelas tambahan yang lebih lama daripada rakan-rakan yang lain. Pemberian
rehat lebih awal juga merupakan salah satu kaedah peneguhan negatif yang diguna
pakai dalam kajian ini di mana kaedah ini bertujuan untuk meransang murid
mengekalkan tingkah laku positif mereka selain daripada sebagai ganjaran kerana
memberikan kerjasama semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

“Kerja rumah tambahan? Tak nak la cikgu. Lepas ni saya cuba jadi baik dalam
kelas cikgu” (Murid 5)
“Kalau dengar kata cikgu dan saya boleh rehat awal atau sama macam kawan-
kawan lain, saya mesti mahu dengar kata cikgu lepas-lepas ini” (Murid 1)

Setelah pelaksanaan kaedah peneguhan dilaksanakan oleh saya pada minggu kedua
dan ketiga pelaksanaan kajian ini, satu lagi temu bual telah saya jalankan bersama
responden sama yang telah ditemu bual pada sesi temu bual yang pertama dahulu.
Temu bual ini telah dilaksanakan pada minggu ketiga kajian ini dilaksanakan. Antara
soalan yang ditanyakan kepada murid yang ditemu bual ialah perasaan mereka setelah
mendapat ganjaran hadiah dan puji-pujian daripada guru hasil daripada pengekalan
tingkah laku yang positif dan pengurangan tingkah laku bermasalah di dalam kelas
Kajian Tempatan. Berikut merupakan antara respon yang diberikan oleh responden yang
telah ditemu bual:

“Saya seronok dan bangga sebab dapat hadiah daripada cikgu. Lepas-lepas ini
saya nak beri tumpuan sepenuhnya pada pengajaran cikgu” (Murid 3)
“Pujian dan kata-kata semangat yang cikgu berikan pada saya sebab saya
berkelakuan baik dalam kelas cikgu amat bermakna. Terima kasih cikgu”
(Murid 2)
“Hadiah yang cikgu berikan sebab saya tak bising dalam kelas cikgu amat
bermakna. Saya harap kawan-kawan lain juga akan dapat hadiah macam saya
lepas ini” (Murid 5)

Kaedah peneguhan yang digunakan juga menyebabkan murid-murid saya cuba sedaya
upaya mengekalkan tingkah laku yang positif semasa berada di dalam kelas Kajian
Tempatan dan mereka mengetahui mana-mana murid yang masih melakukan tingkah
laku bermasalah akan diberikan kerja rumah tambahan dan keluar rehat lewat
berbanding rakan-rakan yang lain. Melalui borang pemerhatian yang telah diisi oleh
rakan guru pelatih saya di sekolah yang sama menunjukkan perubahan tingkah laku
yang ketara berlaku di kalangan murid kelas 5 Mawar di mana hanya sebilangan kecil
12
sahaja murid yang masih lagi melakukan tingkah laku yang bermasalah tetapi kekerapan
yang dilakukan adalah menurun berbanding pemerhatian 1 yang dijalankan pada
minggu pertama. Ini menunjukkan kaedah peneguhan yang dilaksanakan oleh saya
berjaya untuk mengurangkan tingkah laku bermasalah di dalam kelas 5 Mawar.

Kesimpulannya penggunaan pendekatan kaedah peneguhan dilihat telah berjaya


mengurangkan tingkah laku bermasalah di dalam kelas 5 Mawar dan secara tidak
langsung proses pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan di dalam kelas ini
berjalan dengan lancar dengan masalah gangguan daripada murid bertingkah laku
bermasalah adalah minimum berbanding sebelum ini. Hal ini dapat membantu mereka
agar menjalani pembelajaran dengan lebih berkesan dan menyeronokkan.

Perbincangan

Pelaksanaan kajian tindakan ini bukan sahaja memberikan saya peluang untuk menguji
kaedah peneguhan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung malah
memberikan saya pengalaman dan ilmu baru secara tidak langsung. Antara perkara
baru yang telah saya pelajari ialah untuk menghasilkan kajian tindakan yang baik, bahan
ilmiah yang dipilih perlulah berkaitan dengan perkara yang ingin dikaji serta berperanan
menyokong kajian yang saya laksanakan. Pemilihan bahan ilmiah yang bermutu dan
menyokong kajian saya bertujuan untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan kesahan
kajian saya. Daripada maklumat yang diperoleh, saya juga belajar membuat rujukan,
menganalisis, mensintesis dan membuat penilaian terhadap maklumat tersebut untuk
dimuatkan dalam penulisan ilmiah dan kajian saya.

Bagi menghasilkan soalan temu bual yang bersesuaian dengan kajian saya, saya turut
bertanya kepada beberapa orang individu seperti pensyarah pembimbing saya serta
pensyarah di Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan IPG Kampus Bahasa
Antarabangsa yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya semasa proses
menghasilkan soalan temu bual. Hasilnya soalan yang terbina benar-benar berkaitan
dengan kajian saya dan membantu saya untuk mendapatkan data daripada murid.

Penggunaan kaedah peneguhan juga telah meningkatkan motivasi murid untuk belajar.
Menurut Ee (2003), motivasi merupakan kuasa dari dalam diri seseorang individu yang
mendorongnya bertindak atau melakukan sesuatu bagi mencapai sesuatu matlamat.
Dalam konteks kajian yang saya jalankan, motivasi murid bertambah kerana sistem
ganjaran yang digunakan. Hal ini menunjukkan ganjaran akan mendorong tingkah laku
yang diingini berlaku lagi (Ee, 2003). Kata-kata pujian yang diberikan juga berkesan
dalam meningkatkan semangat murid untuk melibatkan diri dalam proses pembelajaran
Kajian Tempatan. Murid berasa dihargai oleh guru kerana berjaya mengurangkan
tingkah laku bermasalah yang sering ditimbulkan sebelum ini. Ganjaran dan pujian yang
diberikan guru berperanan sebagai pendorong dan motivasi kepada murid untuk terus
mengekalkan tingkah laku positif mereka serta memberikan tumpuan sepenuhnya dalam
proses pembelajaran. Apabila murid telah mempunyai motivasi untuk belajar, secara
tidak langsung proses pengajaran dan pembelajaran akan berjalan lancar dan gangguan
semasa di dalam kelas dapat dikurangkan. Ini akan menyebabkan murid di dalam kelas
lebih fokus dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ketika pembelajaran
berlangsung.

13
Perlaksanaan kajian tindakan ini amat bermakna kepada diri saya dan memberikan saya
pengalaman yang baru dalam mengendalikan murid yang mempunyai tingkah laku
bermasalah. Penggunaan kaedah dendaan dan tindakan tegas seperti sebelum ini boleh
digantikan dengan kaedah yang lebih mesra dan tidak mendatangkan kesan psikologi
terhadap murid saya. Kaedah peneguhan lebih sesuai untuk diaplikasikan dalam
mengurangkan tingkah laku bermasalah serta dapat mewujudkan suasana pembelajaran
yang lebih mesra antara guru dan murid. Selain itu, kajian tindakan yang dilaksanakan
juga meningkatkan lagi meningkatkan profesionalisme keguruan saya sebagai bakal
guru pada masa akan datang.
Terdapat juga beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh saya pada masa
hadapan. Antara ialah ganjaran yang lebih menarik dan boleh digunakan oleh murid
semasa sesi persekolahan. Untuk kajian ini, saya hanya memberikan ganjaran berupa
buku nota kecil dan pemadam getah sahaja sebagai motivasi kepada murid saya untuk
mengekalkan tingkah laku positif mereka. Pada masa hadapan, ganjaran seperti
pemberian pensel 2B, kota pensel serta jamuan ringkas untuk kelas mungkin boleh
dilaksanakan untuk memastikan perubahan tingkah laku murid dapat dikekalkan untuk
jangka waktu yang lebih lama. Murid akan terasa dihargai dan ganjaran yang diberikan
itu adalah sebagai penghargaan kepada mereka kerana berjaya mengurangkan tingkah
laku bermasalah mereka semasa berada di dalam kelas.

Selain daripada itu, juga ingin memperkenalkan sistem ekonomi token sebagai
penambahbaikan dalam mengurangkan tingkah laku bermasalah murid saya di mana
setiap murid yang didapati menunjukkan tingkah laku yang baik dan memberikan
kerjasama yang cukup baik dalam proses pembelajaran akan diberikan pelekat bintang
atau sebagainya sebagai token. Apabila jumlah tertentu berjaya diperoleh oleh murid
berkenaan contohnya murid itu berjaya memperoleh 30 pelekat bintang, murid
berkenaan wajar untuk dihargai dengan ganjaran yang lebih lumayan sebagai tanda
penghargaan kepada usaha yang dilakukan olehnya. Sistem ganjaran seperti ini juga
akan lebih menarik minat murid untuk melibatkan diri mereka semasa sesi pengajaran
dan pembelajaran. Ini secara tidak langsung akan mewujudkan persaingan sihat antara
murid dan pengekalan tingkah laku positif di dalam kelas.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan oleh saya juga akan diperbaiki
dari semasa ke semasa terutamanya dengan melaksanakan aktiviti yang lebih
berpusatkan murid dan menggalakkan penglibatan secara kolaboratif di kalangan murid
saya. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan murid saya berasa bosan dengan pengajaran
saya dan menyebabkan mereka terdorong untuk melakukan tingkah laku bermasalah
semasa berada di dalam kelas. Aktiviti berkumpulan dan main peranan adalah antara
kaedah pengajaran yang saya rasakan sesuai untuk menggalakkan penglibatan aktif
murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Ditambah pula
dengan penggunaan kaedah peneguhan semasa berlangsungnya proses pembelajaran,
saya merasakan tingkah laku murid bermasalah dapat dikawal seterusnya
menggalakkan minat murid untuk mengikuti sesi pembelajaran yang dilaksanakan oleh
saya.

Akhir sekali adalah dari segi pengurusan masa. Memandangkan kajian ini dilaksanakan
semasa program internship, kekangan masa merupakan antara masalah yang saya
tempuhi. Misalnya, saya terpaksa meminta masa guru lain pada saat-saat akhir untuk
menjalankan temu bual bersama murid. Hal ini kerana saya kesuntukan masa kerana
14
sibuk mengendalikan program-program untuk pemarkahan internship. Oleh itu, saya
telah mengambil ikhtibar dari apa yang telah berlaku. Saya seharusnya lebih berdisiplin
dalam melaksanankan setiap aktiviti yang telah dirancang. Ini kerana segala aktiviti
hanya dapat dilaksanakan melalui disiplin yang jitu dari diri kita sendiri (Osman, 2002).
Dengan cara ini, proses kajian saya akan lebih lancar dan bersistematik.

Senarai Rujukan

Ahmad Fadzli Fauzi. (2009). Bagaimana merangsang seronok belajar. Kuala Lumpur :
PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Boey, M. L. (2011). “Francais” di sekolah. Diperoleh Jun 27, 2011, daripada


www.iabu.moe.gov.my/kolokium2011/9.%20Boey%20Mei%20Li.doc

Choong, L. K. (2008). Murid dan alam belajar. Subang Jaya : Kumpulan Budiman
Sdn. Bhd.

Ee, A. M., (2003). Ilmu pendidikan pengetahuan dan keterampilan ikhtisas.


Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Esah Sulaiman. (2004). Pengenalan pedagogi. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi


Malaysia

Lee, S. M. (1995). Murid dan proses pembelajaran. Subang Jaya : Kumpulan


Budiman Sdn. Bhd.

Noor Azlan Ahmad Zanzali & Norhayati Abdul Rahman. (2010). Keberkesanan
pengajaran mikro dalam latihan mengajar guru pelatih matematik fakulti
pendidikan, UTM Sskudai. Diperoleh September 1, 2011, daripada
http://eprints.utm.my/10460/1/KEBERKESANAN_PENGAJARAN_MIKRO_
DALAM_LATIHAN_MENGAJAR.pdf

Noor Nadihah Salleh. (2010). Penggunaan sistem ganjaran untuk menggalakkan


murid menyiapkan dan menghantar latihan kerja rumah mata pelajaran
Kajian Tempatan. Tesis sarjana muda tidak diterbitkan, Institut Perguruan
Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur, Malaysia.

Osman Affan. (2007). Pengurusan masa. Diperoleh Ogos 16, 2011,


daripada http://www.osmanaffan.com/masa.htm

Salina Busrowi. (1999). Amalan dan bentuk pengukuhan guru di dalam bilik
darjah : satu kajian kes di Sek. Men. Keb. Damansara Utama, Petaling
Jaya. Tesis sarjana tidak diterbitkan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur,
Malaysia.

15
Sapora Sipon & Justina Esther Gubud. (n.d). Gaya kepimpinan pengetua dengan
kepuasan bekerja guru: ke arah perkembangan profession perguruan. Diperoleh
Jun 27, 2011, daripada http://ddms.usim.edu.my/bitstream/handle/123456789
/2689/Gaya%20Kepimpinan%20Pengetua%20Denagn%20Kepuasan%20Kerja
%20Guru%20-%20Ke%20Arah%20%20Perkembangan% 20Profession % 20
Perguruan.pdf? sequence=1

Shahabuddin Hashim & Rohizani Yaakub. (2003). Psikologi pembelajaran dan


personaliti. : Bentong : PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Woolfolk, A. (2004). Educational psychology (9th ed.). New Jersey: Pearson


Education.

Lampiran 1 : Borang Pemerhatian

BORANG PEMERHATIAN

Nama Penilai :

Tarikh :

Masa :

Bilangan Murid : / murid

Bil. Tingkahlaku Kekerapan

1 Murid bising ketika pengajaran berlangsung

2 Membaca bahan lain selain daripada bahan


yang berkaitan dengan pengajaran guru

3 Menggangu murid lain semasa guru sedang


mengajar

4 Murid tidur ketika pengajaran berlangsung

5 Berjalan-jalan di sekeliling kelas

6 Mengeluarkan kata-kata yang kurang


sopan.

7 Membuat kerja lain (kerja rumah dan


sebagainya) semasa guru sedang
mengajar.

16

You might also like