You are on page 1of 5

Banyak yang diperkatakan mengenai seorang 

tycoon bumiputera terkenal di Malaysia iaitu


Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari. Menjadi Bumiputera yang paling kaya dalam Malaysia
dengan aset sebanyak 167 bilion, namanya amat masyhur baik di dalam mahupun di luar
negara. Dengan banyak kepentingan dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk
pengangkutan dan logistik, perladangan, pembangunan hartanah, pertahanan dan gudang
senjata serta generasi kejuruteraan dan kuasa, beliau adalah seorang tokoh simbolik yang
memegang falsafah bahawa ‘pendidikan tidak menjamin kejayaan dalam hidup, tetapi kerja
keras’.

Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari dilahirkan ke dalam keluarga kelas pertengahan rendah di
utara Semenanjung Malaysia. Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum
mengambil keputusan menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk
berniaga. Seterusnya, bapanya ke Thailand. Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Tan
Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946,
bapanya mendirikan rumah tangga. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari mempunyai tujuh
orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga. Beliau hidup dalam keadaan yang serba
kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak
mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah.
Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila
beliau berusia 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed
Omar di Johor Baru. Beliau berada di situ dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua. Tan
Sri Syed Mokhtar Al Bukhari kemudiannya kembali ke kampung halamannya di Alor Setar
dan menyambung persekolahannya hingga ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal’s.
Pendidikan yang tertinggi adalah hanya sehingga tingkatan lima, dan dia tidak pernah pergi
ke universiti. Tetapi itu tidak bermakna dia tidak mempunyai pengetahuan. Banyak
pengetahuan dan pengalaman beliau telah diperoleh melalui pengalaman keusahawanan
sendiri semasa mudanya.

Disebabkan oleh latar belakang keluarga yang miskin, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari
terpaksa melangkah ke dunia bekerja dalam kehidupan awal beliau, pada masa yang sama
mengikuti pengajian rendah dan menengah. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari membantu
ibunya menanam dan menjual sayur-sayuran di pasaran dan juga menjual roti canai.
Pengetahuan angka beliau digunakan untuk membantu bapanya dalam melakukan buku
simpanan harian.
Selepas tamat sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari membantu bapanya dalam
perniagaan lembu penternakan tetapi hanya untuk melihat perniagaan itu muflis akibat
penyakit kaki dan mulut. Walau bagaimanapun, beliau mengambil alih perniagaan dan mula
semula dengan menjual daging. Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi
membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudiannya membungkus daging itu bersama ais
dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor
Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau
bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.

Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan.
Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau
mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang
digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes 911LS. Tan Sri Syed Mokhtar kemudian
menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras. Pada tahun 1975, beliau
menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi
Negara yang kini dikenali sebagai Bernas dan berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan
beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak
syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.

Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua
orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang
beras manakala Chong Tan pula pengilang beras. Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri
Syed Mokhtar memegang 52 peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan
masing-masing 32 peratus dan 16 peratus. Daripada beras, beliau kemudiannya
mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula. Ini masih dijalankan
sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini
mencecah RM250 juta.

Selepas mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan,


beliau kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan. Ini ekoran kejayaannya mendapat
kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu
adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang
pakaian seragam. Beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat,
iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division
bagi mengeluarkan pakaian. Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa
Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang
diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan
pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut
tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn.
Bhd.) bagi pasaran eksport.

Sekitar tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari menumpukan usaha beliau kepada
bidang yang membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh korporat
bumiputera yang terkaya di Malaysia. Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an di
Johor semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang amat meminati
bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang manusia yang
bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor menjadi terkenal di mata
dunia dalam tempoh yang sebentar.Kejayaannya dapat dilihat dengan penguasaan sebanyak
90 peratus ke atas Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd pada tahun 1993. Beliau juga telah
berjaya mendapat satu projek mega apabila Seaport diberi penyerahan selama 30 tahun untuk
membina Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Seaport memiliki 60 peratus daripada projek
Pelabuhan Tanjung Pelepas dan menjadikan beliau sebagai pemegang saham yang terbesar.
Beliau telah mendapat pujian oleh kerajaan kerana kejayaannya mengendalikan Pelabuhan
Tanjung Pelepas (PTP) dimana beliau berjaya menguruskan pelabuhan tersebut menjadi satu
pelabuhan yang cergas di bahagian Selatan Semenanjung Malaysia. PTP berjaya menarik
minat syarikat perkapalan Taiwan Evergreen Marine Corporation seperti yang diumumkan
akan memindahkan seluruh operasi kontenanya ke Johor daripada Singapura. Ia merupakan
satu projek yang akan memacu rencana kerajaan Malaysia untuk membangunkan negara
sebagai hak perkapalan yang termaju di rantau ini.

Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf
International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek
Hidro Elektrik Bakun. Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah
firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), PERNAS,
Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd.,
Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi. MMC telah bergabung dengan Gamuda Berhad dan
berjaya mendapatkan projek landasan keretapi berkembar bernilai RM14.5 billion sebelum
ianya dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Tan Sri Syed Mokhtar Al
Bukhari juga dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan Terbang
Antarabangsa Senai, Johor. Secara persendirian, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari juga
memiliki SKS Ventures Sdn. Bhd di mana beliau telah diberi tanggungjawab menjalankan
projek membina 2100MW tapak ‘gas-fired‘ di Tanjung Bin, Johor. Beliau juga mempunyai
kepentingan di dalam PERNAS di mana Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari memiliki 32%
saham melalui syarikat Restu Jerneh. Beliau juga turut memiliki kepentingan di dalam
Fiamma Holdings Berhad di mana terdapat 18.68% saham diperoleh melalui Syarikat
Perdana Padu Sdn Bhd dan Corak Kukuh Sdn Bhd miliknya. Tan Sri Syed Mokhtar juga
merupakan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Bina Puri Holdings Berhad di mana beliau
merupakan pemegang saham secara individu sebanyak 7.34 %.

Walaupun menjadi hartawan yang disegani, sifat rendah diri yang dimiliki beliau
membuatnya tidak pernah lupa dan bersyukur akan nikmat Allah. Malah, Tan Sri Syed
Mokhtar Al Bukhari mengingatkan supaya berhati-hati dengan nikmat yang Allah kurniakan.
“Kadang-kadang nikmat yang kita dapat boleh merosakkan kita. Kita kena kawal supaya
nikmat tidak merosakkan kita. Yayasan Al Bukhary menjadi tempat untuk menempatkan
lebihan yang boleh merosakkan diri kita,” pesan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari. Yayasan
(Islam) Al-Bukhary yang diasaskan beliau telah membina dan menguruskan Muzium
Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur. Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary
membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan.
Selain itu juga, Yayasan al-Bukhary hanya membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang
dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di
Malaysia. Pada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary mendermakan sejumlah RM775 juta kepada
Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia.
Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju
(MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia
(AIMST) di Sungai Petani, Kedah.Penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang
dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah. Walaupun Yayasan al-Bukhary lebih
menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada
projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary
menyumbang sebanyak RM1 juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh
MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga
memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah
kebesaran antaranya Panglima Setia Mahkota (P.S.M) oleh DYMM Seri Paduka Baginda
Yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri dan Dato’ Setia mahkota Kedah
(D.S.D.K) oleh KDYMM Sultan Kedah yang membawa gelaran Dato’.
Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari merupakan seorang yang tidak pernah mengenal erti
kegagalan dan beliau sentiasa belajar dari apa juga kesilapan yang dilakukan. Beliau juga
merupakan seorang yang berhati-hati dalam perniagaan terutamanya soal pembelian dan
pengambilalihan kepentingan dalam sesebuah syarikat dan projek. Beliau seolah-olah
memikirkan kepentingan orang ramai terutamanya bumiputera sebelum membuat apa-apa
keputusan penting dalam perniagaan. Beliau memiliki peribadi unggul yang wajar dicontohi
semua pihak.

Rujukan:

http://www.usahawan.com/tokoh-perniagaan/rahsia-kejayaan-tan-sri-syed-mokhtar-al-
bukhary.html

You might also like