You are on page 1of 10

Konsep 'Keluarga Malaysia' garis 3 teras

utama
Oleh BERNAMA - Oktober 8, 2021 @ 1:33pm

KUALA LUMPUR: Konsep 'Keluarga Malaysia' menggariskan tiga teras utama dan
20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri,
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk bekerja secara bersama-sama dalam
memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik COVID-19.

Menurut buku kecil yang mengandungi maklumat ringkas 'Keluarga Malaysia' itu,
tiga teras utama tersebut ialah Keterangkuman (inclusivity), Kebersamaan
(common ground) dan Kesyukuran (contentment).

Bagi pengkayaan nilai-nilai di bawah tiga teras berkenaan termasuk menyemai


budaya integriti dalam keluarga, menjadikan budaya amanah sebagai budaya
keluarga, menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan
menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.

Nilai lain ialah menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga,
menyuburkan budaya komunikasi berhemah dalam kalangan keluarga dan
masyarakat serta membina akhlak mulia seluruh anggota keluarga.

DISYORKAN UNTUK ANDA

Keluarga Malaysia diajak berganding bahu pulihkan negara


PAS dukung konsep Keluarga Malaysia
'Hargai kebebasan, teguhkan perpaduan'
Bersama pulih negara di bawah 'Keluarga Malaysia' - Ismail Sabri
Turut digariskan ialah nilai kebertanggungjawaban terhadap keluarga,
membudayakan amalan ihsan dalam memupuk semangat kebersamaan
keluarga, memastikan suasana harmoni dapat dikecapi keluarga serta menyemai
budaya khidmat dalam keluarga bagi membantu ahli yang memerlukan bantuan.

Nilai lain ialah menjaga kehormatan dan maruah keluarga, menyemaikan


semangat prihatin untuk membantu ahli keluarga, menerapkan budaya
kesabaran dalam mengekalkan keharmonian keluarga dan menyemai semangat
keamanan serta kesejahteraan dalam diri ahli keluarga.

Tidak ketinggalan ialah aspek hidup beriman, membudayakan amalan sihat


fizikal dan mental, mengekalkan tradisi dan adat kekeluargaan, kasih sayang,
hormat dan taat.

Sementara itu, buku kecil berkenaan juga berkongsi visi, matlamat, hala tuju
strategik, mesej dan bidang tumpuan utama konsep tersebut.

Visi 'Keluarga Malaysia' ialah memulihkan negara, mencapai status negara maju
dan berpendapatan tinggi yang bermatlamat sebagai aspirasi jangka panjang
kalis cabaran masa hadapan dalam mencapai visi itu berlandaskan 'Keberhasilan
Kebahagiaan'.

Selaras dengan situasi semasa, ia turut menggariskan hala tuju strategik iaitu
rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa akan berganding bahu
memulihkan negara daripada impak-impak negatif akibat COVID-19.

Turut dikongsi bidang tujuan utama yang merangkumi menyatupadukan seluruh


rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia, mengetepikan perbezaan
politik untuk mencapai kestabilan, memulih semula dan merapatkan jurang
ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.Secara amnya, mesej


keseluruhan konsep ini ialah 'Keluarga Malaysia' dapat menerima
persamaan dan perbezaan berdasarkan nilal-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia
berlandaskan Perlembagaan Persekutuan Malaysia Rukun Negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan Majlis
Prapelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri, RTM pada
4 petang, hari ini.

Pendekatan yang julung kali disebut dalam ucapan sulung Perdana Menteri pada
22 Ogos antara lain mengajak rakyat negara ini mengetepikan perbezaan dalam
menggembleng tenaga untuk memulihkan semula negara dalam merealisasikan
Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Konsep 'Keluarga Malaysia' yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama,


bangsa dan kaum serta mengajak semua rakyat di negara ini bersama-sama
sebagai sebuah keluarga yang utuh.

Pelancaran rasmi konsep Keluarga Malaysia dijadual diadakan pada 22 Oktober


di Kuching, Sarawak yang dikenali sebagai bandar raya perpaduan. – BERNAMA
Menjadi lumrah bahawa setiap pemimpin atau kerajaan baharu akan tampil dengan fokus serta
pelan mereka sendiri. Sekurang-kurangnya dalam bentuk tema, moto, seruan atau battle cry yang
tersendiri. Tun Dr. Mahathir menggagaskan Wawasan 2020, Tun Abdullah Badawi
memperkenalkan konsep Islam Hadhari, Datuk Seri Najib Razak menggunakan 1Malaysia dan
Pakatan Harapan tampil dengan ‘Malaysia Baharu’.

Setiap satunya harus mempunyai naratif yang jelas. Apakah maksud dan cakupan, sasaran serta
pelan tindakan yang disusun dalam mencapai semua itu. Meskipun kita bersikap terbuka dengan
meraikan pelbagai pandangan awam, pihak pemerintah perlu menyediakan definisi autoriti
sebagai panduan dan menjadi pengikat kepada semua idea yang diperdebatkan.

Begitu juga dengan kerajaan terbaharu di bawah YAB Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri
Yaakob. Konsep Keluarga Malaysia menjadi pilihan untuk diketengahkan. Beliau
memperkenalkan konsep ini dalam ucapan sulung sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri
kesembilan baru-baru ini.

Secara umumnya, pemilihan istilah ‘keluarga’ sudah pasti membawa konotasi yang positif.
Keluarga adalah institusi terkecil yang terpenting dan kritikal dalam membina sesebuah
masyarakat. Keluarga adalah perkara yang difahami dan dimiliki oleh hampir semua orang secara
jelas.

Dalam situasi sukar negara yang masih bergelut dengan impak penularan pandemik COVID-19,
pendekatan Keluarga Malaysia suatu yang bertepatan dalam konteks kesejahteraan negara dan
rakyat apabila ia menawarkan nilai-nilai murni dalam institusi kekeluargaan seperti kasih sayang,
toleransi, empati dan pengorbanan.

Namun, adalah tidak cermat sekiranya kita membuat andaian bahawa Keluarga Malaysia sudah
tidak memerlukan pendefinisian konsep, penjelasan matlamat serta pembentangan pelan tindakan
serta pendekatan yang ingin digunakan. Kesemua elemen ini mesti hadir. Malah, malah mesti
hadir dengan segera.

Ini bagi mengelakkan tiga perkara.


Pertama, kekeliruan dalam masyarakat. Seperti yang berlaku dalam konsep Islam Hadhari dan
1Malaysia. Sebelum ini, 1Malaysia pernah dianggap sebagai proses membawa kesamarataan
mutlak yang akan menghilangkan semua keistimewaan Bumiputera serta iltizam Kerajaan dalam
meneruskan agenda atau dasar pemerkasaan berfokus kepada kelompok masyarakat yang
tertinggal. Lantas ia mengundang ‘serangan’ dan pertikaian dari banyak pihak.

Kedua, mengelakkan frasa ini dianggap sebagai sekadar slogan kosong oleh Kerajaan dalam
mendekati masyarakat. Seperti yang dilihat semasa pengenalan ‘Malaysia Baharu’. Masyarakat
tidak melihat apakah ‘pembaharuan’ tersebut dan bagaimanakah Malaysia yang baharu itu harus
dikemudi dan dibangunkan. Kesemua aspek penting ini ditinggalkan tanpa sebarang pengisian
yang meyakinkan.

Ketiga, ia akan memudahkan kerajaan untuk melaksana dan menilai pencapaiannya sendiri.
Tanpa konsep yang jelas, kerajaan sendiri tidak akan dapat menerangkan apakah matlamat dan
sasaran ‘Keluarga Malaysia’ ini sudah dicapai, sedang berkembang atau sebaliknya.

Tinggalkan Amalan Retorik Kosong

Kita harus bergerak dari politik dan tadbir urus yang hanya berpaksikan retorik dan istilah. Tetapi,
kita mesti mula beralih kepada sasaran dan matlamat yang jelas. Jika kita ingin menilai
berdasarkan konsep-konsep sebelum ini, barangkali Wawasan 2020 adalah yang paling jelas dan
mudah difahami. Iaitu, ikhtiar untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dalam acuan
sendiri berpaksikan 9 cabaran utama menjelang tahun 2020.

Maka, Kerajaan dan YAB Perdana Menteri sekarang mesti mengambil ruang dan peluang ini
untuk memberikan kepimpinan dan peletakan hala tuju negara yang jelas. Jangan dibiarkan
konsep yang baik seperti Keluarga Malaysia gagal dan ditolak hanya kerana ia tidak difahami,
disalah ertikan dan dilihat tidak lebih dari sekadar retorik kosong.

Antara perkara yang mesti diberikan perhatian dalam konsep Keluarga Malaysia adalah
penerapan makna sakral keluarga itu sendiri.

Dalam sebuah keluarga, semua mesti berasa terlindung, tidak diketepikan, disayangi dan
diberikan keperluannya secara adil. Semua ahli keluarga mesti saling menghormati satu sama
lain. Malah, dalam sesebuah keluarga juga, tidak boleh ada insiden tikam belakang.

Paling penting, dalam sesebuah keluarga itu, pelaksanaan tugas dan tanggungjawab mesti
diteruskan sekalipun kita sedang dalam keadaan yang marah, kecewa dan disakiti.
Tanggungjawab ayah tidak hilang hanya kerana ia marahkan si anak. Ini resam dan resmi
berkeluarga.

Jadi, sejauh manakah sistem nilai dan adat berkeluarga ini mampu kita serap dan terap dalam
konsep Keluarga Malaysia?

Dalam program webinar Bicara Kemasyarakatan bertajuk ‘Mentafsir Keluarga Malaysia’ pada 31
Ogos lalu anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyenaraikan tujuh inti pati utama
dalam mentafsir keluarga Malaysia.

Dikongsikan bahawa antara iltizam makna keluarga Malaysia hendaklah berteraskan kepada
Dasar Perpaduan Negara 2021-2030, bersandarkan lima domain utama iaitu keadilan,
kepelbagaian, kebersamaan, kepercayaan dan ketelusan, dimulai oleh pemimpin politik dan
penjawat awam, diterjemahkan dalam pelbagai dasar dan program Kerajaan dan mestilah
bertujuan menghakis budaya ‘masyarakat slogan’ dan ‘idaman’ dengan menzahirkan tindakan
kepada setiap yang diungkapkan.

Sudah pasti seluruh rakyat Malaysia, malah komuniti serantau dan antarabangsa menantikan
apakah sandaran dan hala tuju Keluarga Malaysia. Ia harus menjadi sesuatu yang diberikan
perhatian dan muncul sebagai legasi kepimpinan yang bukan sahaja baharu dari segi nama, tetapi
membawa manfaat yang jauh lebih baik dan bermakna kepada semua.

Keluarga Malaysia yang utuh sudah tentu menggandingkan peranan ketua dan ahli keluarga, iaitu
pemimpin dan rakyat. Masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri yang menjadi sumber
kekuatan dalam kekeluargaan.

Institusi kekeluargaan boleh runtuh jika tiada lagi persefahaman dan jurang komunikasi semakin
melebar. Perbezaan menjadi keutamaan berbanding persamaan.

Secara tuntasnya, Keluarga Malaysia memerlukan naratif yang lebih jelas dan konkrit yang sudah
tentu memgambil kira perkara asas seperti dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Semua pandangan terutama daripada ahli pakar dan akademia boleh dikumpulkan yang akhirnya
menyumbang kepada pembentukan model Keluarga Malaysia oleh pemerintah sebagai rujukan
penting.

Selamat maju jaya Keluarga Malaysia, semoga Malaysia kembali menjadi keluarga buat semua.

*Artikel ini turut diterbitkan oleh Berita Harian pada 3 September 2021 di bawah tajuk ‘Perjelas
konsep Keluarga Malaysia elak dianggap retorik kosong‘
Keluarga Malaysia : Rukun Negara Asas Kesepaduan Watan

18/10/2021 11:19 AM

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan
pengarang.

Rukun Negara merupakan dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga


Malaysia yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bertujuan untuk membina
perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum berlandaskan
kesepaduan dan keharmonian antara kaum menerusi prinsip-prinsip yang terkandung
dalamnya.

Setelah lebih lima dekad berlalu, Rukun Negara yang diwujudkan oleh Majlis
Perundingan Negara (MAPEN) telah berjaya menjadi asas utama bagi resipi kesepaduan
dan keharmonian kaum di Malaysia di mana warga Malaysia dan pentadbiran
keselamatan negara khasnya, dengan menginsafi bahawa tragedi berdarah 13 Mei 1969
tidak wajar berulang lagi di bumi bertuah ini.

Menyedari hakikat berkenaan serta pentingnya kesepaduan dan keharmonian kaum


dikekalkan, maka prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara ini telah
dijadikan tunjang utama dalam pelaksanaan konsep Keluarga Malaysia yang baharu
diperkenalkan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulungnya sebagai
Perdana Menteri Malaysia Kesembilan pada 22 Ogos 2021.

Sesungguhnya kebijaksanaan Perdana Menteri memperkenalkan konsep Keluarga


Malaysia adalah bertepatan pada waktunya ke arah mengukuhkan lagi kesepaduan dan
keharmonian kaum dalam usaha membawa keluar negara daripada penularan pandemik
COVID-19 sekali gus untuk memperkukuhkan Keluarga Malaysia dalam menghadapi
cabaran mendatang pasca COVID-19.

Keluarga Malaysia turut menekankan kepada agenda kebersamaan dalam usaha


memulihkan semula aktiviti ekonomi dan mobilisasi sosial. Langkah kerajaan
memulakan pendekatan luar biasa melangkaui ideologi sosiopolitik bersama blok
pembangkang untuk bersama-sama memastikan peranan dan gerak kerja masing-masing
adalah seiring dengan aspirasi pembangunan semula negara dan kemaslahatan rakyat
selari menyokong agenda Keluarga Malaysia.

Konsep tersebut jelas diakui bersifat lebih inklusif merentasi sempadan agama, bangsa,
dan kaum malahan nilai-nilai ini juga adalah cerminan yang cukup sempurna sebagai
sebuah keluarga yang mana setiap dari ahlinya mempunyai semangat dan cita-cita untuk
saling lengkap-melengkapi, bertoleransi dan hormat-menghormati.

Justeru, sebagai sebuah keluarga besar, setiap warga Malaysia dituntut untuk memainkan
peranan masing-masing bagi menggerakkan institusi kekeluargaan sama ada dari
peringkat mikro atau makro yang mana semua suara adalah didengari, setiap tindakan
adalah dihargai malah setiap sumbangan dan buah fikiran yang diberikan adalah
disyukuri. Justeru, konsep Keluarga Malaysia yang berpaksi kepada prinsip dan nilai
terkandung dalam Rukun Negara ini bakal membuktikan ianya menjadi kunci kepada
kesepaduan dan keharmonian kaum di Malaysia.

Hakikatnya, Rukun Negara yang terbahagi kepada dua bahagian ini telah menggariskan
dengan jelas objektif yang ingin dicapai yang terbit daripada penggubalan rukun itu
sendiri.

Kepercayaan kepada Tuhan

Malaysia adalah sebuah negara yang unik dan menarik kerana walaupun terdapat
kepelbagaian dari segi bangsa, bahasa dan agama, namun warga Malaysia tegar mencari
dan mencapai satu titik persamaan hasil daripada permuafakatan Rukun Negara.

Walaupun semua rakyat bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing, namun


kepercayaan tersebut masih berpaksi kepada nilai positif yang ada dalam setiap agama
masing-masing khususnya tetap mementingkan perdamaian, keharmonian dan hormat-
menghormati.

Sebagai contoh, melalui Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan telah dinyatakan dengan
jelas bahawa biarpun Islam itu adalah agama rasmi Persekutuan, namun penganut agama
lain bebas untuk mengamalkan anutan agama masing-masing. Aspirasi dan frasa inilah
yang membina Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan terus kekal dalam
rahmat-Nya kerana agama itu tetap menjadi kompas terpusat dalam memandu urus
kehidupan rakyatnya.

Maka untuk merealisasikan Keluarga Malaysia dan perkaitannya dengan prinsip pertama
Rukun Negara, kita boleh mengambil nilai dan makna keimanan dan amanah yang ada
dalam setiap agama yang dianuti oleh warga Malaysia. Kebersamaan nilai dan makna
inilah yang boleh mengikat hati dan nurani kita semua dalam membentuk kesepaduan dan
keharmonian kaum yang bersifat nasional demi kepentingan dan tanggungjawab bersama.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara


Kesetiaan kepada Raja dan Negara amat tuntas kerana ia merupakan benteng kepada
kedaulatan sesebuah negara. Institusi Raja di Malaysia pula adalah satu institusi
tradisional yang menjadi teras sistem pemerintahan Kerajaan Melayu walaupun berlaku
evolusi Institusi Raja yang mengubah sistem Beraja Mutlak yang diamalkan sejak dari
abad ke-15 kepada sistem Raja Berperlembagaan selari dengan perubahan dan keperluan
zaman.

Hari ini, Institusi Raja diterima umum sebagai simbol perpaduan antara kaum dan agama.
Menerusi perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, kedudukan orang-orang Melayu jelas
terpelihara tanpa mengabaikan kedudukan dan kepentingan bangsa-bangsa lain. Ini
bermaksud, Raja bukan hanya Raja kepada sesuatu bangsa tetapi ia adalah payung
kedaulatan negara yang menaungi setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Bagi prinsip kedua dalam Rukun Negara ini juga, warga Malaysia adalah dituntut untuk
mencintai dan menyayangi negara atau dalam erti kata lain mempunyai semangat
patriotisme. Nilai dan makna yang dibawa bersama dalam prinsip ini untuk dijadikan asas
pembentukan Keluarga Malaysia ialah keadilan, melindungi, keamanan dan juga
kesejahteraan yang sememangnya disemai dalam setiap institusi kekeluargaan di
Malaysia.

Keluhuran Perlembagaan

Mengikut konteks Keluhuran Perlembagaan, setiap warga Malaysia hendaklah menerima


Perlembagaan sebagai sumber undang-undang tertinggi negara. Setiap individu mesti
mematuhi keluhurannya yang meliputi aspek-aspek perundangan, pentadbiran,
kedudukan mahupun hak sosioekonomi rakyat. Nilai dan makna yang dibawa adalah
kebijaksanaan, ketelusan, keharmonian yang sememangnya diterapkan dalam
pelaksanaan prinsip ketiga Rukun Negara ini.

Penggubalan Perlembagaan mestilah berasaskan kepada kesepakatan semua kaum dan


komuniti. Setiap daripada warga Malaysia diberikan hak sewajarnya dan tidak ada mana-
mana insan yang terpinggir dan tersisih. Adalah menjadi kewajipan untuk semua warga
Malaysia untuk saling hormat-menghormati serta memahami sejarah penggubalan
Perlembagaan Negara supaya tidak ada isu lagi yang boleh disensasikan terutamanya oleh
pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menangguk di air keruh dengan
tindakan subversif yang mencemarkan perpaduan di negara ini.

Kedaulatan Undang-undang

Kedaulatan undang-undang membawa erti bahawa setiap insan mahupun institusi wajib
untuk menghormati setiap undang-undang yang dikuatkuasakan secara sah melalui
demokrasi berparlimen. Dalam prinsip ini, Keluarga Malaysia menuntut agar setiap insan
menerapkan nilai keadilan dan bermaruah dalam memelihara kesepaduan dan
keharmonian keluarga besar Malaysia.

Kemungkinan ada segelintir pihak yang mempersoalkan undang-undang sebagai


hukuman kepada warga Malaysia namun apabila ditelusuri mengikut konteks
bermasyarakat (jemaah), ia adalah sebuah tali yang mengikat setiap dari kita daripada
melakukan kesalahan yang bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri malah kepada
seluruh warga Malaysia yang lain.

Konsep ini terbukti berkesan apabila Kerajaan melaksanakan Arahan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik COVID-19. Sebagai seorang warga
Malaysia, jika kita melanggar undang-undang yang diwujudkan, kesan negatif pasti
melibatkan warga Malaysia yang lain apabila tindakan kita itu mungkin penyebab kepada
penyebaran virus.

Justeru, aspek-aspek sebeginilah yang amat dititikberatkan dalam elemen kedaulatan


undang-undang supaya tidak ada mana-mana insan yang terkecuali daripada mematuhi
undang-undang.

Kesopanan dan Kesusilaan

Teras kelima prinsip ini memberi penekanan terhadap nilai dan makna kemanusiaan
supaya setiap warga Malaysia boleh menerima perbezaan masing-masing bagi
memastikan kesepaduan dan keharmonian kekal terpelihara. Nilai keprihatinan, berkasih
sayang, tolong -menolong dan saling lindung-melindungi adalah aspek-aspek terpenting
di dalam penerapan Keluarga Malaysia.

Mengambil berat aspek-aspek ini, komuniti media massa misalnya demi menjaga dan
memelihara sensitiviti, telah mengambil langkah proaktif dengan mengamalkan
eufemisme atau bahasa halus yang sememangnya menjadi budaya dalam masyarakat
dalam penyampaian setiap laporan bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang
tersinggung dengan pelaporan yang disediakan.

Usaha ini jelas menunjukkan teras kelima Rukun Negara ini masih tetap dijayakan
melalui Keluarga Malaysia. Namun, usaha ini yang tidak seharusnya disandarkan kepada
beberapa komuniti semata-mata kerana menjaga kesopanan dan kesusilaan itu adalah
merupakan tanggungjawab kita semua.

Penutup

Kesimpulannya, dengan mengadaptasi Rukun Negara, maka Kerajaan berusaha sedaya


upaya untuk mengharungi detik sukar yang tercetus ekoran penularan pandemik COVID-
19 ini dengan menyatukan semua rakyat melalui kesepaduan dan keharmonian selain
berusaha memastikan setiap warga Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab
masing-masing serta mengekalkan institusi kekeluargaan melangkaui sempadan agama
dan bangsa yang telah wujud sekian lama.

Kebersamaan kita untuk memahami aspirasi ini dan menterjemahkannya dalam


kehidupan seharian adalah sangat-sangat dituntut agar aspirasi yang diinginkan ini dapat
direalisasikan secara lebih sempurna dan mantap. Benarlah, imaginasi tanpa realisasi
hanyalah halusinasi.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama melaksanakan peranan masing-masing sebagai


sebuah Keluarga Malaysia melalui saluran dan kaedah komuniti masing-masing untuk
memastikan kita berjaya menang di kemudian hari dan warga Malaysia hidup bersepadu
dengan berharmoni selamanya di bawah Keluarga Malaysia.

-- BERNAMA

Artikel sumbangan Jabatan Komunikasi Komuniti, Jabatan Perdana Menteri.

You might also like