You are on page 1of 11

SULIT 1103

SEKOLAH DATO’ ABDUL RAZAK

PENTAKSIRAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI RUMAH (PdPR) 2021


TINGKATAN 4

BAHASA MELAYU

Masa : Dua jam

JANGAN BUKA KERTAS SOALAN SEHINGGA DIBERITAHU

Arahan :

1. Kertas soalan ini mengandungi tiga bahagian. Bahagian A merupakan Karangan


Respons Terhad, Bahagian B ialah Sistem dan Aplikasi Bahasa dan Bahagian C pula
ialah Pemahaman.
2. Jawab semua soalan.
3. Jawapan bagi Bahagian B, soalan 8 berdasarkan teks novel Tingkatan 4.
4. Jawapan anda hendaklah ditulis di dalam kertas kajang atau buku latihan sahaja.
5. Ambil gambar semua kertas jawapan. Tukar terlebih dahulu ke dalam format pdf.
Pastikan jawapan anda jelas dan boleh dibaca.
6. Jawapan boleh dihantar dalam Google Classroom dan Telegram (bagi yang ada
masalah capaian Internet).
7. Pastikan anda menghantar jawapan mengikut tempoh yang telah ditetapkan kerana
kehadiran diambil berdasarkan jawapan yang dihantar.

Kertas soalan ini mengandungi 11 halaman bercetak termasuk muka hadapan.


SULIT 1103

BAHAGIAN A
[30 Markah]

pertahanan

Maklumat di bawah berkaitan dengan seni mempertahankan diri.

Huraikan pendapat anda tentang seni pertahanan diri.

Panjang huraian anda hendaklah antara 150 hingga 200 patah perkataan.

pertahanan

2
SULIT 1103

BAHAGIAN B : SISTEM DAN APLIKASI BAHASA


[35 markah]

Soalan 1 : MORFOLOGI

Baca petikan di bawah dengan teliti dan senaraikan dua kata nama dan dua kata kerja.
Kemudian anda dikehendaki membina satu ayat anda sendiri daripada setiap perkataan yang
dipilih untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak
boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai
peribahasa atau nama khas.

Pertambahan laluan baharu dan jumlah penumpang ke destinasi ditawarkan mendorong


peningkatan permintaan industri penerbangan terhadap keperluan tenaga pramugari serta
pramugara. Kerjaya di awan biru sebagai kru kabin itu memiliki keistimewaan tersendiri yang
menyaksikan pramugari dan pramugara sentiasa mengukir senyuman, berpenampilan menarik,
serta terlatih menjaga keselamatan dan melayan penumpang sepanjang penerbangan.
Dipetik dan diubah suai daripada
Tarikan Kerjaya di Awan Biru
oleh Farzatul Farhana Farush Khan
Berita Harian 1 Jun 2017
[8 markah]

Soalan 2 : SINTAKSIS

Berdasarkan petikan di bawah, kenal pasti dan tulis subjek dan predikat yang lengkap bagi
tiga ayat yang anda pilih seperti yang berikut :

Subjek : ____________________________________________________
Predikat : ____________________________________________________

Maman merupakan tanaman jenis sayuran yang amat popular di Negeri Sembilan terutama di
daerah Tampin. Pelbagai produk pemprosesan makanan boleh dihasilkan daripada sayur
maman ini antaranya seperti jeruk maman yang amat popular dihasilkan di negeri Pantai Timur
dan negeri-negeri di utara tanah air. Rendang maman amat popular dengan masyarakat di
Negeri Sembilan dan menjadi makanan tradisional yang berpotensi tinggi untuk
dikomersialkan. Rendang maman agak janggal menunya bagi kawasan di luar Negeri Sembilan
bahkan ada orang yang masih belum pernah tahu mengenainya.
Sumber : Internet
[ 6 markah]

3
SULIT 1103

Soalan 3 – Penyuntingan

Dalam Petikan 1 terdapat enam kesalahan bahasa manakala Petikan 2 terdapat lima
kesalahan bahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap petikan
anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada jumlah kesalahan yang dinyatakan dalam
arahan soalan anda tidak perlu menyalin petikan-petikan tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata,
perkembangan e sukan negara tidak sewajarnya dipandang rendah kerana persekitarannya
mempunyai nilai komersil yang tinggi dan mampu menjana ekonomi anak-anak muda di
negara ini.

“Maka sebab itulah e sukan ini kita tidak boleh pandang enteng kerana sukan ini bukan
hanya mendapat tempat di kalangan anak muda, tetapi juga boleh membantu kepada
pembangunan ekonomi negara jika melakukan dengan cara yang baik dan terancang.

Reezal Merican berkata, kementerian sentiasa komited dan menyokong penuh


persekitaran sukan itu dengan mengambil langkah progesif bagi membina fasiliti latihan
berkenaan bagi mempersiapkan atlet negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Fasiliti ini dilengkapi dengan kemudahan e sukan seperti racing simulator, Playstation
4, komputer, ruang istirehat dan kemudahan wifi untuk mobile games,” jelasnya.

Sumber : Internet
[6 markah]

Petikan 2
Sherry : Sekarang saya berada di stesyen ayam rendang Minangkabau bersama
dengan Kak Mah dan rakan-rakan. Apa bahan-bahan yang diperlukan
untuk resepi ini?

Kak Mah : Di antara bahannya adalah bawang putih, bawang merah, gula, kunyit,
jintan, rempah biji, cili kisar, kulit kayu manis dan asam jawa.

Sherry : Eh. Tapi ayamnya mana?


Kak Mah : Ada di bawah tudung saji dan telah pun dicuci bersih.
[5 markah]

4
SULIT 1103

Soalan 4 - Bahasa Melayu Standard

Baca petikan bahasa Melayu Klasik di bawah dengan teliti kemudian tulis semula petikan
tersebut dalam bahasa Melayu Standard tanpa mengubah bentuk dan maksud asalnya.

Setelah sudah ibunya mendengar kata anaknya demikian itu, maka ibunya pun menangis seraya
berkata, “Hai anakku, yang bapamu itu sudah mati dibunuh oleh seorang Melayu bernama
Laksamana Hulubalang Ratu Melaka.”
Setelah Kertala Sari mendengar kata ibunya demikian itu, maka Kertala Sari pun terlalu
marah, katanya, “Siapa menyuruh membunuh bapaku itu supaya negeri Majapahit ini habis
kubinasakan?”
(Dipetik daripada ‘Kepimpinan Melalui Teladan’
dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Instanbul,
Kementerian Pendidikan Malaysia)
[4 markah]

Soalan 5 - Peribahasa

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian nyatakan tiga peribahasa yang sesuai dengan
situasi dalam petikan tersebut.

Perselisihan faham yang berlaku antara Joned dengan jirannya itu sudah heboh dibualkan oleh
penduduk Taman Sahabat. Sebenarnya, semuanya berpunca daripada sikap suka kata-
mengatai. Perbalahan itu tidak akan menguntungkan mana-mana pihak kerana tiada sesiapapun
yang akan mendapat kebaikan.

[6 markah]

5
SULIT 1103

BAHAGIAN C: PEMAHAMAN
[35 markah]

Soalan 6 : PETIKAN UMUM

Baca Bahan 1 dan Bahan 2 yang diberikan dengan teliti. Kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Bahan 1

Tidak dinafikan bahawa mempelajari dan menguasai bahasa asing menjadikan


masyarakat bersaing untuk mendapat kedudukan yang lebih baik dalam pasaran pekerjaan
lebih-lebih lagi dalam era teknologi moden ini. Seseorang itu akan berpeluang untuk mendapat
pekerjaan di syarikat ternama dan di negara-negara maju sekiranya fasih dan memahami
bahasa yang dituturkan penduduk negara terbabit. Majikan atau pemilik syarikat yang
cenderung untuk memilih pekerja baharu yang dapat bertutur dalam pelbagai bahasa
terutamanya bahasa utama di dunia seperti Bahasa Inggeris.
Menguasai bahasa asing juga dapat memudahkan urusan ketika melancong ke sesebuah
negara. Menurut pelajar Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah
Alam, Nur Liyana Hazwani, 21, dia telah mula mempelajari dan menguasai bahasa Korea sejak
tingkatan 2. Tambah beliau menguasai bahasa tersebut memudahkannya untuk memahami
setiap perkataan yang dituturkan oleh mereka bahkan juga dapat berunding harga dalam bahasa
Korea dengan penjual di sana apabila membeli-belah.
Dipetik dan diubahsuai daripada
‘Kepentingan Menguasai Bahasa Asing’
Oleh Nazira Naszeri
Berita Dimensi, 12 Jun 2020

Bahan 2

Kepentingan utama kemahiran menguasai bahasa asing adalah dapat memudahkan


perhubungan atau komunikasi dengan orang yang berlainan bangsa. Maka, kemahiran bahasa-
bahasa asing penting bagi menjadi jambatan kepada persefahaman yang ingin dilaksanakan.
Bahkan dengan menguasai bahasa asing, kita dapat berinteraksi dengan pelancong yang
mengunjungi negara kita. Hal ini akan memberikan kesan kepada mereka kerana mereka akan
rasa mudah untuk bertanya dan memahami penjelasan kita tentang budaya atau sejarah tempat
yang dilawati sepanjang percutian mereka.
Penguasaan bahasa asing akan membuka peluang seseorang untuk melanjutkan
pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di luar negara. Namun, para pelajar ini perlu
menguasai bahasa asing agar tidak kekok untuk menetap di sana sepanjang tempoh pengajian.
Bahan-bahan ilmiah atau rujukan juga dikeluarkan dalam pelbagai bahasa jadi pelajar-pelajar
di dalam mahupun luar negara seharusnya menguasai bahasa asing untuk memahami inti pati
ilmu yang dikongsikan.
Sumber : Internet

6
SULIT 1103

i. Berdasarkan Bahan 1, berikan maksud memahami inti pati.


[2 markah]

ii. Merujuk Bahan 1 dan Bahan 2, nyatakan persamaan dan perbezaan


kepentingan menguasai bahasa asing.
[3 markah]

iii. Pengajaran dan pembelajaran bahasa asing dalam sistem pendidikan Malaysia
mempunyai banyak tujuan. Antaranya adalah supaya pelajar mampu
menggunakannya untuk berkomunikasi. Namun, masih ramai pelajar yang tidak
berminat untuk mempelajari bahasa asing.
Pada pendapat anda, apakah faktor yang menyebabkan seseorang pelajar itu tidak
berminat untuk menguasai bahasa asing?
[3 markah]

iv. Anda telah berjaya dalam permohonan mewakili Malaysia untuk menyertai
program budaya peringkat antarabangsa yang akan berlangsung di Osaka, Jepun.
Walaupun anda mempelajari bahasa Jepun di sekolah, namun membayangkan
anda akan berada di negara matahari terbit itu membuatkan anda bimbang tidak
dapat berkomunikasi dalam bahasa tersebut dengan baik apabila berhadapan
dengan situasi sebenar.
Huraikan langkah-langkah yang boleh anda lakukan untuk mengatasi masalah
tersebut.
[4 markah]

7
SULIT 1103

Soalan 7 : Petikan Sastera

Baca bahan-bahan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Bahan 1

Petani Moden

Teknologi baru ilmu diajar,


Ditambah pula idea yang segar,
Petani berjaya berjiwa besar,
Luas ladangnya memang wajar.

Jambu dan betik senang dicapai,


Merah rambutan dijeling tupai,
Kuning padi minta dituai,
Beras wangi dimasak muai.

Beras panjang nasi beriani,


Daun pandan menambah wangi,
Sekali makan teringin lagi,
Orang berjamu hingga ke pagi.

Ubi dan keladi sudah direbus,


Jagung dibakar jangan hangus,
Kalau dijual harganya bagus,
Miskin dahulu sudah ditebus.

Petani bijak mengatur masa,


Sempat beribadah kepada yang Esa,
Dunia bahagia akhirat sentosa,
Cekap bertindak awas sentiasa.

Dipetik daripada puisi moden “Petani Moden”


oleh Khadijah Hashim
antologi Puisi Tunas Bangsa , hlm 40
K’ Publishing Sdn Bhd

8
SULIT 1103

Bahan 2

“Tuan-tuan dan puan-puan, sebahagian besar bahan makanan rakyat kita ialah bahan
makanan yang diimport sedangkan kita ada ratusan ribu ekar tanah yang terbiar kosong dan
tidak produktif. Mengapakah kita bergantung pada beras, ikan, daging, ayam dan sayur-
sayuran import? Keadaan ini akan membahayakan kita kalau terjadi sesuatu bencana.
Kerajaan mengutamakan bidang pengeluaran makanan kerana ini soal keselamatan negara.
Pemimpin tertinggi sendiri pernah berkata, “Rakyat mesti membuka mata dan
melihat potensi yang ada dalam bidang pertanian. Saya menyeru kepada rakyat sekalian agar
merebut peluang ini terutama ribuan siswazah Melayu yang masih menganggur. Kerajaan
menyediakan banyak peluang terutama kepada keistimewaan dalam Dasar Ekonomi Baru.
Ada pelbagai bantuan dan skim pembiayaan untuk projek pertanian yang dikendalikan oleh
sebuah bank khusus. Nah, semuanya ada di hadapan anda! Yang diperlukan sekarang ialah
kesanggupan anda untuk bekerja kuat. Ingat slogan ini, ‘Pertanian adalah Perniagaan.”

Dipetik daripada cerpen ‘Kaduk, Ayam dan Raja’


oleh Zurinah Hassan
dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Instanbul,
Kementerian Pendidikan Malaysia.

9
SULIT 1103

i. Berdasarkan Bahan 1, berikan maksud ‘idea yang segar’.


[2 markah]

ii. Berdasarkan semua bahan, apakah ciri-ciri seorang petani moden?


[4 markah]

iii. Hasil pertanian bukan sahaja untuk kegunaan dalam negara bahkan boleh juga dipasarkan
ke luar negara.

Pada pendapat anda, bagaimanakah kita dapat menarik minat negara-negara lain untuk
mengimport hasil pertanian kita?
[3 markah]

iv. Anda merupakan seorang graduan lepasan universiti yang sedang mencari pekerjaan.
Namun, disebabkan kesukaran untuk memperoleh kerja makan gaji akhir-akhir ini, anda
mengambil keputusan untuk bekerja sendiri dengan mengusahakan sebidang tanah milik
keluarga anda bagi tujuan pertanian. Anda amat berminat untuk menceburkan diri dalam
penghasilan tanaman makanan secara komersial seperti sayur-sayuran dan umbisi.

Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk merealisasikan impian


tersebut.
[4 markah]

10
SULIT 1103

Soalan 8 : Novel

(i) Baca petikan novel di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri

“Boleh awak terangkan, bagaimanakah Kuala Selangor boleh berubah mendadak


sedangkan pada mulanya sekadar tempat binang-bintang berlabuh dan kelip-kelip
menari?” Muhammad Taufik bertanya lagi.
“Kuala Selangor ialah bandar pentadbiran daerah yang meliputi Kawasan-
kawasan Parlimen Tanjong Karang, Jeram, Sekinchan dan Bestari Jaya atau dahulu
pernah dikenali sebagai Batang Berjuntai. Secara tidak langsung, sebuah pentadbiran
sentiasa mengalami ancaman pembangunan pesat. Kuala Selangor juga ingin memiliki
pembangunan yang dimiliki oleh daerah-daerah lain, seperti infrastruktur yang lebih baik
dan jalan-jalan yang lebih besar. Apatah lagi harga hartanah yang berpatutan masih kekal
di Kuala Selangor sedangkan harga di tempat lain semakin meningkat. Kesannya, Kuala
Selangor mengalami penambahan penduduk yang ketara. Kuala Selangor menjadi tarikan
orang banyak kerana jarak yang dekat dengan Kuala Lumpur, Kelang dan Shah Alam.
Kuala Selangor juga berdekatan dengan Lebuh Raya Utara-Selatan. Mereka yang mahu
keseronokan kota tetapi masih mahu mengekalkan suasana tinggal di luar bandar akan
menetap di Kuala Selangor.”
Dipetik daripada novel Bimasakti Menari
Karya Sri Rahayu Mohd Yusop
Kementerian Pendidikan Malaysia

Nyatakan faktor-faktor Kuala Selangor berpotensi mengalami pembangunan yang pesat.


[4 markah]

(ii) Jawab soalan di bawah berdasarkan novel yang berikut:

Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib

Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua peristiwa yang boleh dijadikan
teladan dalam kehidupan.
[6 markah]

- KERTAS SOALAN TAMAT -


11

You might also like