You are on page 1of 8

TEKS UCAPAN

YANG BERBAHAGIA DATO’ ZAMZURI BIN ABDUL AZIZ


TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA (KEWANGAN)
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

DI

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2022


BERTEMPAT DI DEWAN GRAND BALLROOM MITC
PADA 28 FEBRUARI 2023
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Terima kasih Saudara dan Saudari Pengacara Majlis;

YBhg. Datuk Dr. Rusdi bin Abd Rahman


Pengarah Kesihatan Negeri Melaka

Timbalan-Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri,

Pengarah-Pengarah Hospital,

Pegawai-Pegawai Kesihatan Daerah,

Pegawai-Pegawai Pergigian Daerah,

Tuan - Tuan dan Puan - Puan yang diraikan, Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 sekalian,
PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama melahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana
dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat meraikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)
tahun 2022, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka. Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka kerana sudi menjemput saya ke majlis
ini. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada 801 orang warga Jabatan Kesihatan Negeri Melaka yang
telah dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2022.

2. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan satu daripada kaedah yang Kerajaan praktikkan
sekian lama dalam memberikan pengiktirafan kepada penjawat-penjawat awam yang menunjukkan prestasi
kerja cemerlang. Bertepatan dengan matlamat penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang di dalam
perkhidmatan awam, sudah pastilah penerima APC ini adalah di kalangan yang cemerlang daripada yang
cemerlang. Saya percaya semua Ketua Jabatan telah melaksanakan pertimbangan yang adil dan saksama
untuk menentukan penerima APC ini. Semoga dengan pengiktirafan ini akan membangkitkan lagi semangat
serta menjadi inspirasi untuk semua warga JKNM berkhidmat dengan lebih baik.
Tuan - tuan dan puan - puan

3. Penulis buku Pembangunan Diri yang terkenal, Brian Tracy mengungkapkan “Excellence is not a
destination, it is a continuous journey that never ends”. Ini juga selaras dengan apa yang telah disampaikan di
dalam Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara 2023 baru-baru ini di mana KSN mengingatkan bahawa “Islah
(usaha untuk mengembalikan sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai) serta
pembaharuan perlu pastikan sentiasa ada penambahbaikan sama ada dari segi sistem, peraturan, proses
kerja, mahupun penghasilannya agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat” yang juga sejajar dengan
konsep Malaysia Madani.

4. Justeru untuk mencapai matlamat tersebut, inisiatif yang diperkenalkan kepada penjawat awam bagi
tahun 2023 ialah The G.R.E.A.T Civil Service. G mewakili Good Governance iaitu Tadbir Urus Terbaik, R –
Responsible, E- Empati dengan meletakkan diri kita sebagai pelanggan atau penerima perkhidmatan, A –
Accountable dan terakhir akronim T – Tenacity of Purpose atau secara mudahnya boleh difahami sebagai
penjawat awam harus bersungguh – sungguh melaksanakan tugas dengan memberi fokus kepada kejayaan.
5. Pencapaian negara pada hari ini, tidak akan terhasil tanpa dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh
kepimpinan negara. Sebagai penjawat awam adalah menjadi amanah dan tanggungjawab kita dalam
memastikan segala dasar-dasar dan inisiatif yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya tanpa
hanya memilih yang mana kita ‘like’ kita ‘like’, kalau tak kita ‘swipe’.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

6. Benar bagai dikata, tugas sebagai penjawat awam bukan mudah. Kita akan sentiasa dipantau,
diperhatikan dan diadili oleh rakyat atas kebolehan kita melaksanakan amanah. Penekanan kepada character
building iaitu melalui peningkatan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengamalan nilai-nilai murni serta ciri-ciri
peribadi yang positif merupakan asas kepada pembentukan sumber manusia yang amat diperlukan oleh
organisasi.
7. “An organization, no matter how well designed, is only as good as the people who live and work in it”.
Sumber manusia merupakan aset utama yang menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi.
Runtuhnya nilai dalam organisasi akan menyebabkan kepincangan seperti penyelewengan, salah guna kuasa
untuk kepentingan peribadi, rasuah dan sebagainya.

8. Justeru itu, tanpa mengira jawatan dan tugasan, tuan-tuan dan puan-puan mempunyai peranan penting
dalam melaksanakan amanah yang diberikan. Sikap integriti adalah antara prinsip penting yang perlu ada
dalam jati diri setiap pegawai ke arah mewujudkan output perkhidmatan yang bermutu tinggi.

PENUTUP

Tuan - tuan dan puan - puan, tidak lengkap juga sekiranya datang ke Melaka kita tidak berpantun.

Kampung Duyong Perigi Hang Tuah


Tempat Sejarah Negeri Melaka
Pekerja Cemerlang diberi anugerah
Moga diteladani prestasi mereka
Jebat Kasturi Lekir Lekiu
Mengiring sultan duduk bertakhta
Kecemerlangan tidak terhenti di situ
Teruskan langkah mencapai cita

9. Akhir kata, sekali lagi, syabas kepada semua penerima APC bagi tahun 2022. Kekalkan rentak
kecemerlangan dan komitmen yang telah ditunjukkan selama ini, dan teruskanlah mendokong usaha Kerajaan
ke arah kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

10. Akhirnya, bersempena kedatangan bulan Ramadhan yang mulia pada 23 Mac 2023, saya ingin
mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan “Selamat berpuasa dan menyambut bulan Ramadan”
kepada semua warga kerja yang beragama Islam. Semoga kita semua akan terus diberi kekuatan dan
kesihatan yang baik untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik dan cemerlang.

Wabilahitaufik Wal Hidayah

Wassalammualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Sekian, terima kasih.

You might also like