You are on page 1of 17

Nota daripada Laman Web Rasmi Parlimen Malaysia

https://www.parlimen.gov.my/

SEJARAH INSTITUSI PARLIMEN MALAYSIA


Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan
dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat sedemikian untuk
membolehkan pelaksanaan sistem ini. Salah satu kriteria sistem Demokrasi Berparlimen adalah
pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan iaitu Perundangan, Kehakiman dan
Eksekutif (Pentadbiran).
 
 

 DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum
Tuanku Muhammad diiringi masuk ke Dewan Tunku Abdul Rahman dalam istiadat
pertabalan Baginda.
Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada
sistem Persekutuan. Berdasarkan kepada peruntukan ini Negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang,
Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan
Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.

Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing seperti kewangan,
pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam
Perlembagaan Malaysia untuk di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Terdapat beberapa perkara yang
diletakkan di bawah kuasa negeri-negeri dan setiap negeri tersebut diberikan hak untuk mentadbir
perkara-perkara tersebut.
 
 Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman menyembahkan surat Titah Ucapan ke Bawah Duli
SPB Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad di upacara
pembukaan Parlimen pada 11 September 1959. Turut sama Raja Permaisuri Agong Tuanku
Kurshiah Tunku Besar Burhanuddin.
Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, diperuntukan oleh Perlembagaan Institusi Yang di-
Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja yang mana Raja-raja
Melayu telah diberi kuasa untuk memelihara keistimewaan dan adat istiadat orang Melayu dan
pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
adalah Ketua Agama Islam bagi Negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah-
wilayah Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera
Malaysia. Baginda menjalankan tugas-tugas di bawah Perlembagaan bertindak mengikut nasihat
Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri dan menjalankan tugas
bertindak mengikut nasihat Menteri Besar masing-masing.

 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan
Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah  Al
Musta'in Billah merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di Malaysia. Parlimen terdiri daripada Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa mutlak untuk
menghenti atau pun membubarkan Parlimen. Justeru, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam
(6) bulan di antara persidangan yang lepas dalam penggal  terakhir dan tarikh mesyuarat pertama
dalam persidangan penggal akan datang.
Bagi Dewan Rakyat, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis Mesyuarat perlu memastikan tarikh-tarikh
persidangan yang akan diadakan pada penggal berkenaan sekurang-kurangnya dalam tempoh masa
dua puluh lapan (28) hari sebelum sesuatu persidangan boleh bermula. Walau bagaimanapun, Ketua
atau Timbalan Ketua Majlis Mesyuarat boleh meminda tarikh-tarikh yang telah ditetapkan  dari
semasa ke semasa mengikut keperluan.

Parlimen akan terus bersidang selama lima (5) tahun dari tarikh pertama persidangan diadakan selepas
pilihanraya umum kecuali ianya dibubarkan terlebih dahulu. Setelah genap tempoh masa lima (5)
tahun, Parlimen dengan sendirinya terbubar. Dalam tempoh masa enam puluh (60) hari, pilihanraya
umum bagi memilih wakil-wakil Dewan Rakyat mestilah diadakan. Selepas itu persidangan Parlimen
hendaklah dtetapkan pada satu tarikh yang tidak melebihi seratus dua puluh (120) hari dari tarikh
pembubarannya.

Untuk maklumat lanjut, sila klik pada pautan yang tertera di bawah
http://www.majlisraja-raja.gov.my/

FUNGSI PARLIMEN
https://www.parlimen.gov.my/fungsi.html?uweb=web&
Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan. Parlimen membuat undang-undang
yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara. Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan,
membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan,
meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru.
Parlimen juga menjadi forum untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan orang
ramai. Bagi membolehkan Parlimen menjalankan tanggungjawab dengan sepenuhnya dan dengan
lebih berkesan, Perlembagaan telah memperuntukkan beberapa hak dan pengecualian yang dipanggil
"Keistimewaan Ahli-ahli Parlimen" kepada ahli Parlimen. Setiap Dewan mempunyai kuasa
untuk mengawal selia tatacaranya sendiri, mempunyai kuasa mutlak atas prosiding masing-masing
yang mana kuasa-kuasa ini tidak boleh dicabar di dalam mana-mana mahkamah; dan setiap Dewan
boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran hak keistimewaan atau menghina (contempt) di
dalam Dewan tersebut. Secara amnya, ahli Dewan menikmati imuniti daripada prosiding sivil dan
jenayah terhadap perkara yang dibahaskan dan yang dibuat di dalam sesi Parlimen.
SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN DI MALAYSIA
 Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah
pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai
Ketua Negara.
Parlimen ialah institusi perundangan tertinggi di dalam Negara yang menggubal undang-undang.
Parlimen Malaysia terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan
Dewan Rakyat.

Persidangan Dewan Rakyat telah dirasmikan buat pertama kalinya pada 11 September 1959.
Persidangan Dewan Negara telah dirasmikan buat pertama kalinya pada 11 September 1959.
Berikut adalah peristiwa-peristiwa penting ke arah pembentukan sistem pemerintahan demokrasi
berparlimen.
1867: Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat ditubuhkan berikutan perpindahan pentadbiran
Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Singapura dan Melaka) dari Syarikat Hindia Timur Inggeris ke
Pejabat Kolonial.
Majlis Perundangan tersebut merupakan institusi pertama di negara yang mengadakan perbahasan dan
perbincangan seperti ciri-ciri Parlimen moden.
1896: Negeri-negeri Melayu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan membentuk satu
gabungan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Perkembangan ini merintis jalan ke arah pembentukan satu sistem Kerajaan Persekutuan bagi seluruh
negara seperti yang ada sekarang.
Badan Perundangan Pusat masih belum wujud dan setiap negeri bergantung kepada Dewan Undangan
Negeri masing-masing untuk membuat undang-undang.
1909: Majlis Mesyuarat Persekutuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dibentuk dengan
pemusatan kuasa perundangan mengikut asas-asas Parlimen.
Majlis ini mempunyai 13 orang ahli yang dilantik termasuk Raja keempat-empat Negeri Melayu
Bersekutu, Residen Jeneral British, keempat-empat Residen British serta empat orang ahli tidak rasmi.
Penubuhan Majlis ini merupakan satu langkah ke arah pemerintahan sistem demokrasi berparlimen.
1927: Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu berhenti menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan.
Penyusunan semula Majlis Mesyuarat Persekutuan ini turut mengubah keanggotaannya menjadi 13
orang ahli rasmi dan 11 orang ahli tidak rasmi.
Majlis tersebut merupakan satu-satunya badan yang dilantik sepenuhnya sehingga meletusnya Perang
Dunia Kedua pada Disember 1941.
1942: Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu (1942-1945) menyebabkan terhalangnya perkembangan
perlembagaan tetapi peristiwa itu telah melahirkan kesedaran politik dalam di kalangan masyarakat.
1946: Sebuah Majlis Penasihat (Advisory Council) dibentuk dan dianggotai oleh 13 orang ahli
mewakili Negeri-Negeri Melayu dan dua buah Negeri Selat - Melaka dan Pulau Pinang.
British cuba menyatukan ketiga-tiga sistem pentadbiran (Negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu
Tidak Bersekutu, Negeri Selat - Pulau Pinang dan Melaka) melalui rancangan Kesatuan Malaya
(Malayan Union).
Malayan Union ditentang hebat terutama oleh orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Dato' Onn
Jaafar, Yang Dipertua UMNO ketika itu.
Malayan Union ditentang kerana diyakini akan menggugat kedaulatan Raja-Raja Melayu.
1948: Penentangan terhadap Malayan Union menghasilkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu
1948. Melalui perjanjian ini Majlis Penasihat digantikan dengan Majlis Perundangan Persekutuan
(Federal Legislative Council) dengan jumlah ahli yang dilantik seramai 75 orang (3 ahli ex-officio, 11
orang ahli dari Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat, 11 orang pegawai British dan seramai
50 orang ahli tidak rasmi).
Bual pertama kali Majlis Perundangan mempunyai kelebihan dua pertiga bilangan suara ahli tidak
rasmi
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 merupakan satu langkah British untuk merangka dasar-
dasar asas kerajaan berparlimen.
1951: Sistem Ahli yang menjadi perintis kepada sistem kerajaan berkabinet / Jemaah Menteri seperti
yang ada pada hari ini diperkenalkan.
Dalam sistem ini ahli-ahli diberikan beberapa portfolio di bawah tanggungjawab mereka.
1952: Raja-Raja Melayu telah mengurniakan sebuah Cokmar kepada Majlis Perundangan
Persekutuan.
Cokmar mempertingkatkan lagi status Majlis kerana Cokmar merupakan satu lambang keagungan,
kehormatan sinonim dengan kebesaran sistem demokrasi berparlimen.
1953: Pesuruhjaya Tinggi berhenti mempengerusikan Majlis dan tempat beliau digantikan dengan
Yang di-Pertua yang dilantik iaitu Dato' Sir Mahmud bin Mat.
1955: Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah
Melayu 1948 dibubarkan untuk membolehkan Kerajaan mengadakan pilihan raya umum buat pertama
kalinya bagi memilih ahli-ahli untuk mewakili rakyat di Majlis Perundangan Persekutuan.
Dalam pilihan raya umum pada Julai 1955 Parti Perikatan, iaitu gabungan UMNO, MCA dan MIC
berjaya memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang telah dipertandingkan.
YTM Tunku Abdul Rahman Putra dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan
beliau membentuk Kabinet atau Jemaah Menteri Pertama Tanah Melayu.
Ahli Majlis Perundangan Persekutuan bertambah kepada 98 orang iaitu 52 orang yang dipilih melalui
pilihan raya umum (menggantikan 50 orang ahli tidak rasmi), 35 orang ahli yang dilantik mewakili
kepentingan-kepentingan tertentu, dan 11 orang lagi terdiri daripada Menteri Besar dan wakil-wakil
negeri.
Ini merupakan kemajuan yang penting dalam perkembangan sistem pentadbiran demokrasi
berparlimen tanah air.
1956: YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Tanah Melayu mengetuai satu misi ke
London untuk menuntut kemerdekaan.
Kerajaan British bersetuju supaya sebuah kerajaan sendiri yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam
hal ehwal dalam negeri dimulakan dengan serta merta.
1957: Satu Perlembagaan bagi Tanah Melayu telah digubal oleh badan bebas terdiri daripada pakar
undang-undang beberapa buah negara Komanwel yang diketuai oleh Lord Reid. Perlembagaan
diterima sebulat suara oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Sistem demokrasi berparlimen yang
berpandukan model Westminster adalah yang terbaik bagi negara ini.

YTM Tunku Abdul Rahman Putra dilantik sebagai Perdana Menteri yang pertama dengan Jemaah
Menteri seramai 12 orang.
Pada 31 Ogos 1957 pengisytiharan kemerdekaan diadakan di Stadium Merdeka. Majlis Perundangan
Persekutuan menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah Dewan Parlimen sehingga dibubarkan pada
Jun 1959.
1959: Satu pilihan raya umum diadakan. Berikutan itu sistem Parlimen dua Dewan yang
mengandungi institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan
Rakyat dibentuk.
 
Pembukaan Parlimen Pertama oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong I, Tuanku Abdul
Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad di Dewan Tunku Abdul Rahman. Jalan Ampang

Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Pertama diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman
pada 11 September 1959. Dewan Rakyat dengan 104 orang ahli yang dipilih rakyat mula bersidang
buat pertama kalinya pada hari itu. Dewan Negara yang mengandungi 38 orang ahli yang dilantik juga
bersidang pada hari yang sama. Pada hari bersejarah itu bermulalah sistem pemerintahan demokrasi
berparlimen di tanah air yang merdeka.
 

Sidang Parlimen yang pertama berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman pada 11 September 1959
1961: Usul untuk menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura oleh YTM
Tunku Abdul Rahman diluluskan oleh Dewan Rakyat dan pada 18 Oktober 1961 pertemuan diadakan
antara YTM Tunku dengan Perdana Menteri Great Britain di London.
Kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penubuhan Malaysia.
1962: Suruhanjaya Cobbold di bawah pimpinan Lord Cobbold ditugaskan untuk mengkaji pendapat
rakyat Sabah dan Sarawak mengenai kemasukan negeri tersebut ke dalam Malaysia.

Sebahagian besar rakyat negeri berkenaan bersetuju dengan konsep Malaysia dan Penyata
Suruhanjaya Cobbold diterima
1963: Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom dan Ireland Utara, Singapura, Sabah dan Sarawak
telah bersetuju dengan terma Perjanjian Malaysia. Dewan Undangan Negeri Singapura, Sabah dan
Sarawak telah meluluskan resolusi yang membolehkan penubuhan Malaysia. Pengisytiharan Malaysia
sebagai sebuah negara berdaulat ialah pada 16 September 1963.

Dewan Rakyat ketika itu dianggotai oleh 159 orang ahli iaitu 104 orang dari Tanah Melayu, 16 orang
dari Sabah, 24 orang dari Sarawak dan 15 orang dari Singapura. Manakala Dewan Negara pula
mempunyai 50 orang ahli iaitu 28 orang mewakili 14 Dewan Undangan Negeri dan 22 orang yang
dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ketiga Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed
Hassan Jamalullail merasmikan pembukaan bangunan Parlimen yang terletak berhampiran Taman
Tasik Perdana pada 2 November 1963. Parlimen pertama dibubarkan pada 1 Mac 1964 dan pilihan
raya umum kedua diadakan pada 25 April 1964.

Berikutan dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan secara berterusan
oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, bilangan kerusi Dewan Rakyat terus meningkat sehingga
kepada 222 kerusi pada Parlimen yang kedua belas.

 
DEWAN NEGARA
 Dewan Negara terdiri daripada seramai 70 orang ahli.

Dewan Negara terbahagi kepada dua kategori seperti berikut:- 26 ahli yang dipilih oleh Dewan
Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri (setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli). 44 ahli
yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,
termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari
Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.

Untuk layak menjadi ahli, seseorang calon hendaklah:-

Jawatan itu hendaklah dipegang selama satu penggal (tiga tahun) dan boleh disambung sebanyak satu
penggal lagi, sama ada dilantik pada peringkat Persekutuan atau pemilihan pada peringkat negeri.
Kedudukan Dewan Negara tidak berubah dengan pembubaran Parlimen. Ahli-ahli Dewan Negara
dilantik atau dipilih dari kalangan mereka yang menyumbang khidmat yang cemerlang atau telah
mencapai kecemerlangan dalam profesion masing-masing, dalam perdagangan, industri, pertanian,
aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau merupakan wakil kumpulan bangsa minoriti
ataupun berkebolehan menjaga kepentingan orang-orang asli.

Setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara. Ahli tersebut
hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai
ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan
mempertahan Perlembagaan.

YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA


https://www.parlimen.gov.my/yang-di-pertua.html?uweb=dn&
Pengerusi Dewan Negara digelar Yang di-Pertua Dewan Negara. Yang di-Pertua mestilah juga
seorang ahli Dewan Negara. Yang di-Pertua Dewan Negara dibantu oleh seorang Timbalan yang
hendaklah juga seorang ahli Dewan Negara.

Tugas-tugas Yang di-Pertua Dewan Negara adalah seperti berikut:-


 bertanggungjawab mengawasi perjalanan mesyuarat supaya berjalan dengan licin 
 memastikan perbahasan ada berkaitan dengan perkara yang dibahaskan
 membuat keputusan mengenai Peraturan-peraturan Mesyuarat sekiranya berlaku perbalahan.
Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua melepaskan jawatan setelah tempoh keahlian di Dewan
Negara tamat. Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan memegang jawatan sebagai
Yang di-Pertua Dewan Negara hendaklah melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri sekiranya
ingin menjawat jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara.

TIMBALAN YANG DI-PERTUA


Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara membantu dan mempengerusikan persidangan semasa
ketiadaan Yang di-Pertua Dewan Negara.
SETIAUSAHA
Setiausaha Dewan Negara bertanggungjawab memantau perjalanan persidangan di Dewan Negara,
membantu dan memberi nasihat kepada Yang di-Pertua Dewan Negara ketika Dewan bersidang.
JAWATANKUASA Di DEWAN NEGARA
a) Jawatankuasa Pemilih
b) Jawatankuasa Dewan
c) Jawatankuasa Hak dan Kebebasan
d) Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat

Jawatankuasa Pemilih
Jawatankuasa Pemilih dilantik pada awal tiap-tiap penggal Parlimen untuk menjalankan kewajipan-
kewajipan yang diperuntukkan oleh Peraturan-peraturan Mesyuarat. Jawatankuasa Pemilih ini juga
menjalankan perkara lain yang diserahkan kepadanya dari satu masa ke satu masa.
Jawatankuasa Pemilih terdiri daripada Tuan Yang di-Pertua sebagai Pengerusi, dan empat orang ahli
Majlis yang dipilih oleh Majlis. Jawatankuasa Pemilih ini hendaklah memaklumkan kepada Majlis
apabila seseorang ahli menjadi ahli sesebuah Jawatankuasa dengan mengeluarkan satu penyata.
Jawatankuasa ini tidak mempunyai kuasa untuk memanggil orang hadir di hadapannya atau meminta
dikeluarkan surat-surat kecuali jika Majlis memberi kuasa untuk berbuat demikian.
Jawatankuasa Dewan
Jawatankuasa Dewan terdiri daripada Tuan Yang di-Pertua sebagai Pengerusi dan empat orang ahli
yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih selepas dimulakan tiap-tiap penggal Parlimen dengan
seberapa segera.
Jawatankuasa ini berfungsi untuk memberi nasihat kepada Tuan Yang di-Pertua bagi perkara yang
berkaitan dengan kesenangan dan kemudahan serta khidmat-khidmat dan kenikmatan-kenikmatan
bagi ahli Majlis.
Jawatankuasa ini tidak mempunyai kuasa untuk memanggil orang hadir dihadapannya atau meminta
dikeluarkan surat-surat kecuali jika diberi kuasa oleh Majlis untuk berbuat demikian.
Setiap minit mesyuarat Jawatankuasa Dewan akan dihantar kepada semua ahli Majlis.
Jawatankuasa ini diberi kuasa bersidang atau bermesyuarat sebagai Jawatankuasa Bersama dengan
Jawatankuasa Dewan, Majlis Dewan Rakyat.
 
Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ini terdiri daripada Tuan Yang di-Pertua sebagai Pengerusi dan
empat orang ahli yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dengan seberapa segera selepas dimulakan
tiap-tiap penggal Parlimen.

Apa-apa perkara yang menyentuh kuasa-kuasa, hak-hak dan kebebasan Majlis akan diserahkan
kepada Jawatankuasa ini yang dipertanggungjawabkan untuk menimbangkan apa-apa perkara yang
diserahkan kepadanya dan mengeluarkan penyata tentang perkara itu kepada Majlis.

Apabila Majlis tidak bersidang, seseorang ahli boleh memberitahu Tuan Yang di-Pertua jika ada
dikatakan telah berlaku kesalahan melanggar peraturan hak-hak dan kebebasan Majlis.

Jika Tuan Yang di-Pertua telah berpuashati, ia boleh diserahkan kepada Jawatankuasa ini.
Jawatankuasa ini seterusnya akan mengeluarkan penyata kepada Majlis berkenaan perkara itu.

Jawatankuasa ini berkuasa untuk memanggil orang hadir di hadapannya dan meminta dikeluarkan
surat-surat dan boleh mengeluarkan penyata kepada Majlis dari semasa ke semasa.
 
Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat
https://www.parlimen.gov.my/jawatankuasa-dn.html?view=67&uweb=dn&

Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat terdiri daripada Tuan Yang di-Pertua sebagai Pengerusi dan enam
orang ahli lain yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dengan seberapa segera selepas setiap
penggal Parlimen dimulakan.
Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk menimbangkan dan mengeluarkan penyata kepada Majlis
berkenaan dengan perkara-perkara yang berkaitan peraturan-peraturan mesyuarat.

Jawatankuasa ini tidak mempunyai kuasa untuk memanggil orang hadir dihadapannya atau meminta
dikeluarkan surat kecuali diberi kebenaran oleh Majlis untuk berbuat demikian.

Sekiranya seseorang pemberitahu usul mempunyai apa-apa cadangan untuk meminda peraturan-
peraturan mesyuarat, pemberitahu itu hendaklah menyertakan satu rang pindaan yang dicadangkan.
Usul yang telah dicadangkan dan disokong adalah disifatkan sebagai telah diserahkan kepada
Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat dengan tidak dikemukakan masalah kepada mesyuarat bagi
dibahas.
Usul yang telah dicadangkan dan disokong ini tidak boleh dibincangkan lagi sehingga Jawatankuasa
Peraturan Mesyuarat telah mengeluarkan penyata-penyata kepada Majlis berkenan dengan cadangan
itu.

DEWAN RAKYAT
 Dewan Rakyat dianggotai seramai 222 ahli dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-
ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihanraya yang diadakan setiap lima tahun. Parti yang
memperoleh kerusi majoriti akan membentuk kerajaan Persekutuan bagi mentadbir negara. Kelayakan
menjadi ahli Dewan Rakyat adalah seperti berikut:-

Sebelum memegang sebarang kerusi dalam Parlimen, setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di
hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa
mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat
setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan.
YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT
Yang di-Pertua Dewan Rakyat boleh dipilih di kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat ataupun bukan di
kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat yang mempunyai kelayakan untuk dipilih menjadi Yang di-Pertua
Dewan Rakyat.

Fungsi-fungsi Yang di-Pertua secara amnya adalah:-


 bertanggungjawab mengawasi perjalanan mesyuarat supaya berjalan dengan lancar
 memastikan perbahasan mematuhi Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat
 membuat keputusan dan tafsiran mengenai Peraturan-peraturan Mesyuarat sekiranya berlaku
pertikaian.
Secara amnya, Yang di-Pertua Dewan Rakyat boleh melepaskan jawatannya dan hendaklah
mengosongkan jawatan tersebut sekiranya:-
 Dewan Rakyat mula bersidang selepas pilihan raya berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat jika
beliau ahli Dewan yang dipilih
 Jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan untuk Yang di-Pertua
mengosongkan jawatan tersebut
TIMBALAN YANG DI-PERTUA
Kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat membantu Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan
mereka mempengerusikan persidangan secara bergilir semasa ketiadaan Yang di-Pertua Dewan
Rakyat.
SETIAUSAHA
Setiausaha Dewan Rakyat bertanggungjawab terhadap perjalanan persidangan Dewan Rakyat dan
membantu Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam hal berkaitan Dewan ketika bersidang.
Tugas-tugas Setiausaha Dewan juga termasuk mengemukakan notis untuk memulakan persidangan,
menguruskan notis-notis usul, risalat-risalat, Aturan Urusan Mesyuarat (AUM), Undi-Undi Perjalanan
Mesyuarat dan soalan-soalan daripada ahli-ahli Dewan serta mengeluarkan Penyata Rasmi (hansard)
bagi persidangan.

JAWATANKUASA DI DEWAN RAKYAT


a) Jawatankuasa Pemilih
b) Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara
c) Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat
d) Jawatankuasa Dewan
e) Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Jawatankuasa Pemilih-Dewan Rakyat


Jawatankuasa Pemilih akan dilantik pada awal tiap-tiap Parlimen untuk menjalankan kewajipan-
kewajipan yang diperuntukkan oleh Peraturan-peraturan Mesyuarat. Jawatankuasa Pemilih ini juga
menjalankan perkara lain yang diserahkan kepadanya dari satu masa ke satu masa.
Jawatankuasa Pemilih terdiri daripada Tuan Yang di-Pertua sebagai Pengerusi, dan enam orang ahli
Majlis yang dipilih oleh Majlis. Jawatankuasa Pemilih hendaklah memaklumkan kepada Majlis
apabila seseorang ahli menjadi ahli sesebuah Jawatankuasa dengan mengeluarkan satu penyata.
Jawatankuasa Pemilih tidak mempunyai kuasa untuk memanggil orang hadir di hadapannya atau
meminta dikeluarkan surat-surat kecuali jika Majlis memberi kuasa untuk berbuat demikian.
Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat
Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat terdiri daripada Tuan Yang di-Pertua sebagai pengerusi dan enam
orang ahli lain yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dengan seberapa segera selepas setiap
Parlimen dimulakan.
Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk menimbangkan dan mengeluarkan penyata kepada Majlis-
Majlis yang berkenaan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan Peraturan-Peraturan Mesyuarat
apabila diserahkan oleh Majlis untuk ditimbangkan.
Jawatankuasa ini tidak mempunyai kuasa untuk memanggil orang hadir dihadapannya atau meminta
dikeluarkan surat kecuali diberi kebenaran oleh Majlis untuk berbuat demikian.

Sekiranya seseorang pemberitahu usul mengandungi apa-apa cadangan untuk meminda Peraturan-
peraturan Mesyuarat, pemberitahu itu hendaklah menyertakan satu rang pindaan yang dicadangkan.
Usul yang telah dicadangkan dan disokong adalah disifatkan sebagai telah diserahkan kepada
Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat dengan tidak dikemukakan lain-lain masalah kepada mesyuarat.
Usul yang telah dicadangkan ini tidak boleh dibincangkan lagi sehingga Jawatankuasa Peraturan
Mesyuarat telah mengeluarkan penyata-penyata kepada Majlis berkenan dengan cadangan itu.
Jawatankuasa Dewan
Jawatankuasa Dewan terdiri daripada Tuan Yang di-Pertua sebagai Pengerusi dan enam orang ahli
yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih selepas dimulakan tiap-tiap Parlimen dengan seberapa
segera.
Jawatankuasa ini berperanan bagi menimbangkan dan menasihati Tuan Yang di-Pertua atas segala
perkara berkaitan dengan kesenangan dan kemudahan serta khidmat-khidmat dan kenikmatan-
kenikmatan bagi ahli Majlis.
Jawatankuasa ini tidak mempunyai kuasa untuk memanggil orang hadir dihadapannya atau meminta
dikeluarkan surat-surat kecuali jika diberi kuasa oleh Majlis untuk berbuat demikian.
Jawatankuasa ini diberi kuasa bersidang atau bermesyuarat sebagai Jawatankuasa Bersama dengan
Majlis Dewan Negara.
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ini terdiri daripada Tuan Yang di-Pertua sebagai pengerusi dan
enam orang ahli yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dengan seberapa segera selepas dimulakan
tiap-tiap Parlimen.

Jawatankuasa ini berkewajipan untuk menimbangkan apa-apa perkara yang diserahkan kepadanya dan
mengeluarkan penyata tentang perkara itu kepada Majlis.

Apabila Majlis tidak bersidang, seseorang ahli boleh memberitahu Tuan Yang di-Pertua jika berlaku
kesalahan melanggar peraturan hak-hak dan kebebasan Majlis. Jika Tuan Yang di-Pertua telah
berpuashati, perkara tersebut bolehlah diserahkan kepada Jawatankuasa. Jawatankuasa ini seterusnya
akan mengeluarkan penyata kepada Majlis berkenaan perkara itu.

Jawatankuasa ini boleh memanggil orang hadir dihadapannya dan meminta dikeluarkan surat-surat
serta boleh mengeluarkan penyata kepada Majlis dari masa ke semasa.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara
https://www.parlimen.gov.my/pac/ahli-jawatankuasa.html?
PUNCA KUASA
Perkara 77(1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan tugas dan
tanggungjawab ahli-ahli Jawatankuasa adalah untuk memeriksa:
a kira-kira Kerajaan Malaysia dan peruntukan wang yang dibenarkan oleh Parlimen kerana
menepati perbelanjaan negeri;
b apa-apa kira-kira badan-badan pentadbiran raya dan pertubuhan-pertubuhan lain yang
menguruskan wang negeri yang dibentangkan dalam majlis;
c penyata-penyata Pemeriksa Kira-kira Negara yang dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat
menurut Perkara 107 dalam Perlembagaan;
d apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh jawatankuasa itu patut diperiksa, atau apa-apa
perkara yang diserahkan oleh Majlis kepada jawatankuasa itu.

JAWATANKUASA PILIHAN KHAS


 Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang
 Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet
 Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri
 Jawatankuasa Pilihan Khas Kesaksamaan Gender Dan Pembangunan Keluarga
 Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan
 Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam
 Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya
 Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia Dan Hal Ehwal Perlembagaan
 Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Dan Perdagangan Antarabangsa
 Jawatankuasa Pilihan Khas Sains, Inovasi Dan Alam Sekitar

SOALAN LAZIM
Apakah fungsi Parlimen?
Parlimen adalah badan perundangan bagi Kerajaan Persekutuan yang melulus dan meminda undang-
undang Persekutuan, memeriksa dasar-dasar kerajaan serta meluluskan bajet kerajaan dan cadangan
cukai yang baru.

Bilakah Parlimen bersidang untuk kali pertama?


Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Pertama telah diadakan pada 11 September 1959 di
Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang yang kini dikenali sebagai Pusat Pelancongan Malaysia
atau MaTiC.
Bilakah bangunan Parlimen Malaysia dirasmikan?
Bangunan Parlimen telah dirasmikan pada 2 November 1963.
Berapakah bilangan Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat?
Bilangan Ahli Dewan Negara adalah tertakluk kepada Fasal (1) Perkara 45, Perlembagaan
Persekutuan iaitu tidak melebihi daripada 70 orang ahli pada satu-satu masa, dengan kadarnya seperti
berikut:
dua orang ahli bagi setiap negeri yang dipilih mengikut Jadual Ketujuh;
dua orang ahli bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan
Labuan, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya;
empat puluh orang ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tempoh jawatan seseorang Senator (Ahli Dewan Negara) ialah tiga tahun dan boleh dilanjutkan
kepada dua penggal yang mana Dewan Negara tidak terjejas dengan pembubaran Parlimen.
Bilangan Ahli Dewan Rakyat adalah tertakluk kepada Fasal (1) Perkara 46, Perlembagaan
Persekutuan iaitu seramai 222 orang yang dipilih melalui sistem pilihan raya.

Siapakah yang boleh dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan
Rakyat?
Yang di-Pertua Dewan Negara dilantik berdasarkan kepada Fasal (1) Perkara 56, Perlembagaan
Persekutuan dan beliau dilantik daripada kalangan Ahli Dewan Negara itu sendiri. Manakala Yang di-
Pertua Dewan Rakyat dilantik berdasarkan kepada peruntukan Fasal (1) (a) Perkara 57, Perlembagaan
Persekutuan dan beliau boleh dipilih daripada kalangan Ahli Dewan ataupun seseorang yang layak
dipilih menjadi Ahli.
Siapakah yang boleh dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Timbalan Yang
di-Pertua Dewan Rakyat?
Berdasarkan kepada peruntukan Fasal (1) Perkara 56, Perlembagaan Persekutuan, seorang Timbalan
Yang di-Pertua Dewan Negara hendaklah dilantik daripada kalangan Ahli Dewan Negara. Bagi
Dewan Rakyat, dua orang Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat hendaklah dilantik berdasarkan
kepada Fasal (1) (b) Perkara 57 yang mana mereka dipilih daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat.
Apakah peraturan yang diguna pakai ketika perbahasan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat?
Peraturan yang diguna pakai ketika perbahasan di Dewan Negara adalah Peraturan-Peraturan Majlis
Mesyuarat Dewan Negara dan bagi Dewan Rakyat, peraturan yang diguna pakai adalah Peraturan-
Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "Penggal Parlimen"?
Secara umumnya, “penggal” adalah tempoh permulaan sidang Parlimen hingga penghujung
persidangan pada setiap tahun.

Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "mesyuarat"?


Secara lazimnya, Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing bermesyuarat 3 kali sahaja dalam
satu penggal (satu tahun), yang dikenali sebagai Mesyuarat Pertama, Mesyuarat Kedua dan Mesyuarat
Ketiga.
Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "persidangan"?
Persidangan Majlis adalah satu hari mesyuarat yang bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 1.00
tengahari dan disambung semula pada pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang, kecuali diubah dengan
Usul oleh Menteri.
Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "prorog"?
Prorog adalah tamatnya satu penggal Parlimen untuk digantikan dengan penggal yang berikutnya.
Bilakah Parlimen boleh dibubarkan?
Pembubaran Parlimen adalah berdasarkan kepada Fasal (3) Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan
yang memperuntukan bahawa Parlimen boleh dibubarkan selepas 5 tahun dari tarikh Mesyuarat
Pertama atau pada bila-bila masa yang lebih awal.

Bagaimanakah rang undang-undang menjadi undang-undang?


Sebelum sesuatu rang undang-undang diluluskan menjadi undang-undang, ia mesti melalui proses di
bawah:

You might also like