You are on page 1of 14

Memn

[2019] SLRSU 25 lwn. Snsd pg 1

MEMN
lwn.
SNSD

Mahkamah Rendah Syariah, Selangor


Abd Halim Abu Samah HMRS
[Kes Mal Bil: 10009-009-0091-2017]
17 Disember 2019

Undang-Undang Keluarga Islam: Tuntutan Gantirugi Pertunangan - Majlis Sulh


Antara Pihak-Pihak Adalah Gagal - Pertimbangan Mahkamah Dalam
Menentukan Jumlah Yang Telah Dibelanjakan Bagi Tujuan Perkahwinan -
Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003

[Translated by Elaw]

Islamic Family Law: Engagement Compensation Claim - Conciliation between


the Parties Failed - Court Consideration in Determining the Amount Spent for the
Purpose of Marriage - Section 15 of the Islamic Family Law (State of Selangor)
Enactment 2003

Kes itu melibatkan tuntutan ganti rugi berkaitan pertunangan yang putus
antara MEMN (Plaintif) dan SNSD (Defendan). Mengikut fakta kes, Plaintif
dan Defendan telah bertunang pada 9 Julai 2016 di kediaman keluarga
defendan di Kampung Lepan Jenut, Manek Urai, 18050 Kuala Krai,
Kelantan. Bagaimanapun, pertunangan telah diputuskan pada 31 Disember
2016 di rumah keluarga plaintif. Plaintif memfailkan tuntutan itu pada 1
Februari 2017 dan kes itu mula-mula dibawa ke Majlis Sulh untuk
diselesaikan. Bagaimanapun, menurut laporan Majlis Sulh bertarikh 22
Februari 2017, mesyuarat Majlis Sulh antara plaintif dan defendan pada 22
Februari 2017 gagal kerana tiada persetujuan antara pihak.

Plaintif mendakwa bahawa defendan memutuskan pertunangan mereka tanpa


sebarang sebab yang sah mengikut undang-undang Syariah. Plaintif menuntut
sejumlah RM32,172.00 untuk perbelanjaan berkaitan persiapan pertunangan
dan perkahwinan. Perbelanjaan ini termasuk kos untuk majlis pertunangan,
tempahan cincin, persiapan perkahwinan, kad jemputan, pakaian
perkahwinan dan tempahan dewan.

Mahkamah mendapati memihak kepada plaintif dan memerintahkan


defendan membayar RM14,977.20 untuk kos persiapan perkahwinan.
Pembayaran hendaklah dibuat sama ada secara penuh atau secara ansuran
selewat-lewatnya pada Disember 2020.

Kes ini merujuk beberapa undang-undang dan kes, termasuk s 15 Enakmen


Memn
pg 2 lwn. Snsd [2019] SLRSU 25

Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, yang memperuntukkan ganti


rugi dalam kes pertunangan yang putus. Seksyen ini menyatakan bahawa jika
seseorang telah melangsungkan pertunangan mengikut undang-undang
Syariah dan kemudian enggan mengahwini pihak yang satu lagi tanpa
sebarang sebab yang sah sedangkan pihak yang satu lagi sanggup mengahwini
mereka, maka pihak yang memutuskan pertunangan itu bertanggungjawab
untuk kembali. apa-apa hadiah pertunangan atau nilainya dan membayar apa-
apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu
lagi sebagai persediaan untuk perkahwinan itu.

Kes-kes yang dirujuk:


Sharifah Laila Syed Shamdin lwn. Abdul Latif Arshad [1994] 9(1) JH 16 (dirujuk)

Perundangan yang dirujuk:


Islamic Family Law (State of Selangor) Enactment 2003, ss 2, 4, 15, 61(3)(b)(i)
Syariah Court Evidence (State of Selangor) Enactment 2003, s 45, 72, 73, 78

Lain-lain yang dirujuk:


An-Nisa, ayat 21

Kaunsel:
Bagi pihak plaintiff: Nur Hidayahtul Mohd Khalid; Tetuan Siti Hidayatul &
Associates
Bagi pihak defendan: Nor Filzati Abdul Manan; Tetuan Ahmed Kamal &
Associates

[Permohonan plaintif diluluskan.]

PENGHAKIMAN

Abd Halim Abu Samah HMRS:

Fakta Kes

[1] Tuntutan gantirugi pertunangan ini telah dimohon oleh MEMN (No K/P:
XXXXXX-XX-XXXX) terhadap SNSD (No K/P: XXXXXX-XX-XXXX).
Plaintif dan Defendan telah bertunang pada 9 Julai 2016 di kediaman keluarga
Defendan beralamat di Kampung Lepan Jenut, Manek Urai, 18050 Kuala
Krai, Kelantan. Bagaimanapun ikatan pertunangan tersebut telah diputuskan
pada tarikh 31 Disember 2016 di rumah keluarga Plaintif.

[2] Kes ini telah difailkan sendiri oleh Plaintif pada 1 Februari 2017 dan kes
telah dibawa ke Majlis Sulh terlebih dahulu untuk mencari penyelesaian.
Berdasarkan Laporan Majlis Sulh bertarikh 22 Februari 2017 yang disediakan
oleh Pegawai Sulh Mahkamah Rendah Syariah Hulu Selangor, Tuan
Mohamad Zaid Bin Abdul Aziz menyatakan bahawa Majlis Sulh yang telah
diadakan di antara pihak Plaintif dan Defendan pada 22 Februari 2017 adalah
gagal dengan alasan tiada persetujuan pihak-pihak. Oleh itu Saman dan
Pernyataan Tuntutan bertarikh pada 22 Februari 2017 telah dikeluarkan
kepada kedua-dua pihak pada hari yang sama sebaik sahaja Majlis Sulh gagal
Memn
[2019] SLRSU 25 lwn. Snsd pg 3

untuk tindakan seterusnya. Defendan telah melantik peguam syarie dan


memfailkan Pembelaan pada 20 Mac 2017. Manakala Plaintif kemudiannya
telah melantik peguam syarie dan memfailkan Pernyataan Tuntutan Pindaan
pada 10 Julai 2017. Seterusnya pihak Defendan memfailkan Pembelaan
kepada Pernyataan Tuntutan Pindaan pada 24 Julai 2017 dan Jawapan
Kepada Pembelaan difailkan oleh Plaintif pada 17 Ogos 2017. Berdasarkan
Pernyataan Tuntutan Pindaan di perenggan 14, Mahkamah mendapati Plaintif
menuntut kembali kepada Defendan agar Defendan membayar semula wang
yang telah dibelanjakan sebanyak RM32,172.00 untuk pertunangan dan
persediaan perkahwinan tersebut.

Bidangkuasa Mahkamah

[3] Walaupun tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak tentang bidangkuasa


Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes ini, namun sebagai asas
penting, Mahkamah tetap menelitinya secara ringkas supaya ianya menjadi
panduan kepada pihak-pihak. Antara autoriti yang dirujuk oleh Mahkamah
adalah seperti berikut:

Seksyen 62(2)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri


Selangor) (Pindaan) (No 2) 2015 yang memperuntukkan bahawa
"Mahkamah Rendah Syariah, dalam bidangkuasa Mal; boleh
mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang
Mahkamah Tinggi dibenarkan mendengar dan memutuskannya
dalam mana jumlah atau nilai hal perkara yang dipertikaikan tidak
melebihi Tiga Ratus Ribu Ringgit atau yang tidak dapat dianggarkan
dengan wang".

Seksyen ini dibaca bersama s 61(3)(b)(i) Enakmen yang sama yang


memperuntukkan bahawa:

Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah - dalam bidang kuasa malnya,


mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak
dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau
prosiding itu adalah berhubungan dengan:

(i) pertunangan, perkahwinan, ruju', perceraian, pembubaran


perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq)
atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara
suami isteri;

[4] Selain dari itu, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri


Selangor) Tahun 2003 memberi kuasa kepada Mahkamah ini iaitu melalui s
15 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003:

Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum


Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada
secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan
kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa
apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju
Memn
pg 4 lwn. Snsd [2019] SLRSU 25

berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah


bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika
ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah
dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi
untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian
boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.

[5] Berdasarkan peruntukan Undang-undang di atas, maka jelaslah bahawa


kuasa memutuskan sesuatu pertikaian berkaitan pertunangan orang-orang
Islam khususnya di negeri Selangor itu diberi kepada Mahkamah ini.

[6] Mengenai pemastautinan, Mahkamah berpuashati bahawa Plaintif telah


memenuhi syarat mastautin yang diberikan di bawah Enakmen Undang-
Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Berdasarkan kad pengenalan
yang dikemukakan, Mahkamah mendapati tempat tinggal Plaintif adalah di
No XX Jalan Lawangsari X, Bandar Sungai Buaya, 48010 Rawang, Selangor.
Fakta tersebut jelas menunjukkan bahawa permohonan ini telah memenuhi
kehendak peruntukan s 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri
Selangor) Tahun 2003 yang memerlukan pemastautinan pihak yang menuntut
ketika permohonan dibuat adalah di Negeri Selangor.

[7] Seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)


Tahun 2003 memperuntukkan:

"Kecuali sebagaimana diperuntukkan dengan nyata selainnya,


Enakmen ini hendaklah dipakai bagi semua orang Islam yang tinggal
dalam negeri Selangor dan bagi semua orang Islam yang bermastautin
dalam negeri Selangor tetapi tinggal di luar Selangor."

[8] Takrif bermastautin dijelaskan di dalam s 2 Enakmen Undang-Undang


Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 ertinya tinggal tetap atau pada
kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan tertentu. Mahkamah
merujuk kepada kes Sharifah Laila Syed Shamdin lwn. Abdul Latif Arshad
[1994] 9(1) JH 16, di mana Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah
menyatakan bahawa perkataan mastautin seperti yang terdapat di dalam s 2
Enakmen tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam
sesuatu kawasan atau pada lazimnya tinggal di sesuatu kawasan, tidak
disyaratkan hendaklah menjadi rakyat negeri di dalam kawasan ia berada.

[9] Manakala Arahan Amalan No 4/2000 (Panduan Pendaftaran Kes Mal)


Mahkamah Syariah Negeri Selangor dalam perkara 6 (i) menyatakan:
"Pastikan pelanggan adalah bermukim/bermastautin dalam bidangkuasa
tempatan Mahkamah masing-masing".

[10] Ini menunjukkan bahawa, isu 'bidangkuasa tempatan' merujuk kepada


kawasan di mana sesebuah Mahkamah Rendah Syariah pada asasnya
berbidangkuasa sesuai dengan kewujudan 12 buah Mahkamah Rendah
Syariah di seluruh Negeri Selangor. Maka, sesebuah Mahkamah hanya
dibenarkan untuk membicara dan memutuskan kes berkaitan pertunangan
sesuai dengan peruntukan s 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
Memn
[2019] SLRSU 25 lwn. Snsd pg 5

(Negeri Selangor) 2003 di atas, apabila ternyata pihak yang menuntut


merupakan pemastautin dalam bidangkuasa tempatan Mahkamah tersebut
sahaja, kecuali dinyatakan sebaliknya oleh mana- mana undang-undang.

[11] Setelah mendapati bahawa Plaintif telah memenuhi kesemua syarat-syarat


yang dinyatakan dan berdasarkan kepada keputusan Mahkamah Rayuan
Syariah Selangor tersebut, maka Mahkamah berpuashati bahawa Mahkamah
ini mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan tuntutan ini.
Namun begitu, sebelum Mahkamah memberikan penghakiman ke atas kes ini,
Mahkamah perlu meneliti beberapa isu yang berkaitan dengan kes ini.

Isu Yang Menjadi Pertikaian

[12] Berdasarkan Pernyataan Tuntutan yang difailkan oleh Plaintif sendiri


pada 1 Februari 2017, Mahkamah mendapati Plaintif menuntut perbelanjaan
yang telah digunakan untuk pertunangan dan persediaan perkahwinan
terhadap Defendan sebanyak RM30,000.00 meliputi perkara-perkara berikut:

i. kos pertunangan

ii. tempahan cincin

iii. persiapan nikah dan perkahwinan

iv. tempahan kad jemputan

v. baju nikah dan bersanding

vi. tempahan dewan

[13] Namun setelah Plaintif melantik Peguam Syarie pada 8 Jun 2017, Plaintif
telah memfailkan Pernyataan Tuntutan Pindaan pada 10 Julai 2017.
Berdasarkan Pernyataan Tuntutan Pindaan tersebut, Mahkamah mendapati
antara isu penting yang menjadi pertikaian adalah seperti berikut:

i. Perenggan 8 - Kedua-dua pihak juga pada majlis pertunangan


tersebut bersetuju bahawa majlis perkahwinan diadakan pada 21
Januari 2017. Rentetan daripada persetujuan berkaitan tarikh
perkahwinan tersebut, Plaintif telah memulakan persiapan awal bagi
memastikan majlis berjalan lancar.

ii. Perenggan 9 - Walaubagaimanapun, pertunangan ini telah


diputuskan oleh pihak Defendan pada 31 Disember 2016 secara lisan.
Sebelum itu, Defendan sendiri telah menghantar mesej kepada bapa
Plaintif pada 29 Disember 2016 melalui aplikasi WhatsApp.
Pertunangan ini diputuskan tanpa apa-apa sebab yang sah sedangkan
Plaintif bersetuju untuk berkahwin dengannya. Defendan telah hadir
ke rumah Plaintif bersama ibubapa Defendan, dua orang abang
Defendan, seorang kakak Defendan dan kakak ipar Defendan untuk
memutuskan pertunangan tersebut manakala bagi pihak Plaintif
Memn
pg 6 lwn. Snsd [2019] SLRSU 25

dihadiri oleh ibubapa Plaintif, kakak Plaintif, adik perempuan Plaintif


dan Plaintif sendiri.

iii. Perenggan 11 - Defendan memutuskan pertunangan dalam tempoh


hanya tinggal 21 hari sebelum hari majlis perkahwinan akan
dijalankan sedangkan persiapan telah dibuat dengan rapi oleh pihak
Plaintif.

iv. Perenggan 12 - Perbelanjaan yang telah digunakan untuk


pertunangan dan persediaan perkahwinan adalah sebanyak
RM32,172.00 iaitu terdiri daripada:

a. Kos pertunangan (termasuklah barangan dulang


hantaran/pemberian dan cincin) sebanyak RM5,000.00,

b. Persiapan nikah dan perkahwinan sebanyak RM27,172.00.


Ini termasuklah tempahan kad jemputan, baju nikah dan
bersanding serta tempahan dewan dan lain-lain persiapan.
Majlis perkahwinan dan persandingan telah dirancang untuk
diadakan di The Roof Garden Hotel, Bukit Jelutong, 40150
Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

v. Perenggan 14 - Plaintif dengan ini menuntut kembali kepada


Defendan agar Defendan membayar semula wang yang telah
dibelanjakan sebanyak RM32,172.00 untuk pertunangan dan
persediaan perkahwinan tersebut.

[14] Pihak Defendan telah tidak bersetuju dengan dakwaan-dakwaan Plaintif


tersebut serta jumlah tuntutan Plaintif sebanyak RM32,172.00 Antara
bantahan Defendan adalah seperti berikut:

i. Bantahan berkaitan tarikh untuk melangsungkan perkahwinan di


mana Defendan menyatakan tidak ada sebarang tarikh ditetapkan
untuk melangsungkan perkahwinan.

ii. Selain itu, Defendan juga menegaskan bahawa pertunangan


tersebut diputuskan atas persetujuan bersama kedua belah pihak pada
31 Disember 2016 di rumah keluarga Plaintif.

Justeru itu, Defendan memohon Mahkamah menolak tuntutan Plaintif untuk


membayar semula wang yang telah dibelanjakan sebanyak RM32,172.00
untuk pertunangan dan persediaan perkahwinan tersebut.

[15] Berdasarkan tuntutan dan bantahan yang disebutkan di atas, maka


Mahkamah mendapati terdapat tiga isu utama yang perlu diputuskan oleh
Mahkamah.

Isu Pertama: Adakah Telah Berlaku Pertunangan Antara Pihak Plaintif Dan
Defendan?
Memn
[2019] SLRSU 25 lwn. Snsd pg 7

Isu Kedua: Pihak Mana Yang Telah Memutuskan Pertunangan Dan Enggan
Untuk Meneruskan Perkahwinan.

Isu Ketiga: Jumlah Yang Dituntut Untuk Membuat Persediaan Bagi


Perkahwinan.

[16] Mahkamah berpendapat, sebelum Mahkamah meneliti ketiga-tiga isu ini


adalah lebih baik Mahkamah melihat kepada hukum syarak berkaitan
pertunangan terlebih dahulu supaya kita dapat memahami konsep
pertunangan dalam Islam.

[17] Syariah Islam sangat menitik beratkan soal pembangunan keluarga serta
menjaga terhadap kekalnya hubungan suami isteri dan keterusannya, maka
Islam meletakkan tatacara dan garis panduan tertentu dalam menjaganya.
Keluarga yang solehah merupakan asas terbinanya masyarakat yang solehah,
dan disebabkan kekuatan dan keutuhan aqad perkahwinan sehinggakan Allah
SWT menyebutnya di dalam al-Quran (an-Nisa ayat 21) sebagai mithaqan
ghaliza:

Maksudnya: "... dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun


mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu."

[18] Sesungguhnya Islam sangat menitikberatkan agar terbinanya rumah


tangga di atas dasar yang kukuh sejak dari mula lagi. Maka dengan itu Islam
meletakkan pertunangan sebagai mukadimah sebelum melangkah ke alam
perkahwinan. Oleh itu, pertunangan merupakan langkah permulaan sebelum
melangkah ke alam perkahwinan, dan ia merupakan permulaan perjanjian
untuk melangsungkan perkahwinan. Khitbah memberikan peluang kepada
kedua-dua belah pihak ahli keluarga untuk mengenali satu sama lain, yang
dengannya diharap dapat mencapai keserasian dan saling memahami sebelum
melangkah ke alam perkahwinan.

[19] Walau bagaimanapun, setiap perseorangan yang bertunang mempunyai


hak untuk memutuskan pertunangan ataupun mungkir janji dalam perjanjian
untuk berkahwin. Adapun begitu, hendaklah disertakan bersama sebab yang
kukuh serta munasabah yang bertepatan dengan syarak.

[20] Menurut hukum syarak, pertunangan bermaksud menzahirkan


kecenderungan untuk mengahwini atau memperisterikan wanita tertentu yang
tiada halangan syarie yang menghalang atau mengharamkan sesebuah
perkahwinan daripada berlaku. Manakala, pembatalan pertunangan
bermaksud keengganan berkahwin oleh salah satu pihak atau kedua-dua belah
Memn
pg 8 lwn. Snsd [2019] SLRSU 25

pihak selepas sempurnanya sebuah pertunangan.

[21] Pertunangan adalah wa d gayr mulzim (atau janji yang tidak mesti
disempurnakan/tidak mengikat) ia merupakan perjanjian untuk berkahwin
dan bukan suatu aqad (atau kontrak yang mengikat) yang mewajibkan
pernikahan. Bahkan, kedua-dua pihak yang bertunang mempunyai hak dalam
membatalkan pertunangan. Maka jumhur ulama berpendapat bahawa hukum
membatalkan pertunangan adalah harus.

[22] Walau bagaimanapun, Islam amat menitikberatkan tuntutan memenuhi


janji. Pembatalan pertunangan akan melukai perasaan orang yang diputuskan
pertunangan dan ia amat bertentangan dengan konsep saudara seiman yang
amat menjaga persaudaraan sesama Islam. Ianya bertepatan dengan Firman
Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 1 yang bermaksud: "Wahai orang
beriman, tunaikan serta sempurnakan perjanjian kamu". Oleh itu, sesuatu
perjanjian termasuk perjanjian untuk berkahwin yang dibuat ketika bertunang
tidak boleh ditamatkan melainkan ada alasan munasabah.

[23] Peruntukan s 15 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri


Selangor) 2003 jelas menunjukkan pihak yang memutuskan tali pertunangan
bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan serta membayar
wang yang dibelanjakan bagi tujuan persediaan perkahwinan kepada
tunangnya. Selain itu, pihak yang dimungkiri juga boleh memohon tindakan
mahkamah bagi meminta pihak yang mungkir janji membayar apa-apa juga
wang yang sudah dibelanjakan bagi membuat persediaan perkahwinan.

[24] Dalam kes Aishah lwn. Jamaludin [1978] 3 JH 104, Defendan mungkir
perjanjian untuk berkahwin dengan Plaintif. Dengan itu, Plaintif menuntut
pembayaran mas kahwin sebanyak RM25.00, belanja kahwin RM800.00 dan
Plaintif juga mendakwa bahawa berhak untuk menyimpan cincin
pertunangan. Mahkamah Kadi Besar Negeri Kedah memberi penghakiman
kepada Plaintif dan memerintahkan Defendan membayar gantirugi mengikut
perjanjian pertunangan iaitu mas kahwin RM25.00 dan belanja kahwin
RM800.00. Plaintif juga berhak untuk menyimpan cincin pertunangan.

[25] Mahkamah juga memerintahkan Defendan membayar plaintif RM25.00


bagi baju-baju yang sudah disiapkan untuk perkahwinan itu dan RM400.00
sebagai pembayaran membaiki rumah. Rumah dibaiki sebagai persediaan
untuk meraikan perkahwinan itu.

[26] Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah apakah jenis barang boleh
dituntut akibat pembatalan pertunangan? Pihak yang dimungkiri berhak
menuntut ganti rugi terhadap apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci
hati bagi membuat persediaan bagi perkahwinan. Jika pihak yang dimungkiri
telah membelanjakan sejumlah wang bagi persiapan untuk perkahwinan,
maka bayaran ini boleh dituntut daripada pihak yang memungkiri sebagai
ganti rugi.

[27] Antara persediaan boleh dituntut adalah wang bagi kad jemputan
perkahwinan yang ditempah, wang muka bagi jamuan perkahwinan dan apa-
Memn
[2019] SLRSU 25 lwn. Snsd pg 9

apa persediaan perkahwinan seperti tempahan khemah, pakaian dan


sebagainya. Pihak yang dimungkiri berhak membawa tuntutan di Mahkamah
Syariah untuk mendapatkan gantirugi berdasarkan kepada peruntukan di atas.

[28] Pemberian-pemberian pertunangan ini merujuk kepada pemberian yang


telah diberikan antara pihak lelaki dan pihak perempuan semasa majlis
pertunangan atau pemberian yang boleh ditakrifkan sebagai pemberian
persediaan perkahwinan. Oleh itu, apa-apa pemberian yang diberikan sebelum
pertunangan diadakan, maka pemberian berkenaan bukanlah pemberian
pertunangan sebaliknya sekadar hadiah atau pemberian sebelum wujudnya
pertunangan. Justeru ia tidak boleh dituntut di mahkamah.

[29] Seterusnya apabila diteliti peruntukkan s 15 Enakmen Undang-undang


Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 tersebut, Mahkamah mendapati tidak
terdapat isu putus tunang disebut dengan jelas dalam seksyen tersebut tetapi
isu keengganan berkahwin antara dua pihak setelah mengikat suatu
pertunangan mengikut Hukum Syarak. Oleh itu di dalam kes ini, Mahkamah
hendaklah memastikan pihak mana yang enggan berkahwin dengan pihak satu
lagi dan jumlah yang dituntut untuk membuat persediaan perkahwinan sama
ada wajar atau tidak.

Isu Pertama: Adakah Telah Berlaku Pertunangan Antara Pihak Plaintif Dan
Defendan?

[30] Setelah Mahkamah meneliti Pernyataan Tuntutan Pindaan dan


Pembelaan serta keterangan dari kedua-dua pihak, Mahkamah berpuashati
bahawa telah berlaku pertunangan antara pihak Plaintif dan Defendan pada 9
Julai 2016 jam 2.00 petang di kediaman keluarga Defendan beralamat di
Kampung Lepan Jenut, Manek Urai, 18050 Kuala Krai, Kelantan. Maka
Mahkamah berpendapat fakta pertunangan ini tidak perlu dibuktikan lagi
bersesuaian dengan peruntukan s 45 Enakmen Keterangan Mahkamah
Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang menyebut:

Fakta yang diakui tidak perlu dibuktikan

(1) Tertakluk kepada s 17(2) tiada fakta perlu dibuktikan dalam mana-
mana prosiding jika pihak-pihak dalam prosiding itu atau ejen mereka
bersetuju untuk mengakuinya dalam pendengaran itu atau sebelum
pendengaran itu mereka bersetuju untuk mengaku dengan apa-apa
tulisan di bawah tandatangan mereka, atau yang menurut apa- apa
kaedah pliding yang sedang berkuat kuasa, mereka disifatkan telah
mengakuinya dengan pliding mereka.

Isu Kedua: Pihak Mana Yang Telah Memutuskan Pertunangan Dan Enggan
Untuk Meneruskan Perkahwinan.

[31] Mahkamah berpendapat, persoalan utama yang timbul dalam kes ini
adakah pihak Defendan yang telah memutuskan pertunangan pada 31
Disember 2016 secara lisan sebagaimana dakwaan Plaintif atau pihak Plaintif
sendiri telah enggan berkahwin dengan Defendan dan pertunangan tersebut
Memn
pg 10 lwn. Snsd [2019] SLRSU 25

diputuskan atas persetujuan bersama sebagaimana yang didakwa oleh


Defendan dalam pembelaannya.

[32] Setelah Mahkamah meneliti keseluruhan keterangan dalam kes ini,


Mahkamah mendapati bahawa bukannya pihak Plaintif yang enggan
berkahwin dengan pihak Defendan, namun pihak Defendan sendiri yang
sebenarnya telah enggan untuk berkahwin dengan Plaintif seterusnya
memutuskan pertunangan tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut hukum
syarak.

[33] Ianya dapat dilihat dari keterangan utama Defendan yang menyatakan
bahawa Plaintif dan ibubapa Plaintif enggan menjawab sama ada mahu
meneruskan atau memutuskan pertunangan setelah beberapa kali ditanya oleh
bapa Defendan.

[34] Keterangan Defendan turut diakui oleh saksi Defendan pertama (SD-1) di
mana keterangan saksi Defendan pertama (SD-1) di perenggan 15 Afidavit
Keterangan Saksi Defendan 1 yang menyatakan bahawa Plaintif dan ibubapa
Plaintif hanya diam sahaja apabila ayah kepada SD-1 bertanya kepada Plaintif
dan ibubapa Plaintif sama ada Plaintif dan ibubapa Plaintif mahu meneruskan
rancangan perkahwinan Plaintif dan Defendan. Selain itu, keterangan saksi
tersebut di perenggan 22 Afidavit Keterangan Saksi Defendan 1 juga jelas
menyatakan bahawa ayah kepada SD-1 akhirnya mengambil keputusan untuk
menamatkan pertunangan apabila tiada kata putus daripada Plaintif sama ada
hendak meneruskan pertunangan ataupun tidak.

[35] Malah ianya dikuatkan lagi dengan jawapan saksi tersebut semasa disoal
balas oleh peguam Plaintif apabila saksi mengakui keluarganya yang membuat
keputusan untuk memutuskan pertunangan. Saksi turut mengakui keluarganya
mempunyai dua pilihan ketika itu sama ada meneruskan atau memutuskan
pertunangan. Selain itu, saksi juga bersetuju dengan peguam Plaintif bahawa
sekiranya keluarga saksi tidak membuat keputusan untuk memutuskan
pertunangan, maka pertunangan dan perkahwinan akan berjalan seperti biasa.

[36] Mahkamah mendapati keterangan saksi Defendan yang pertama ini amat
kukuh untuk diterima oleh Mahkamah kerana jawapan-jawapan saksi tersebut
di dalam sesi soal balas tidak disoal semula oleh peguam Defendan. Ianya
membuktikan bahawa keterangan- keterangan saksi tersebut adalah benar dan
tidak perlu diperbetulkan lagi oleh peguam Defendan.

[37] Seterusnya keterangan saksi Defendan pertama (SD-3) iaitu bapa


Defendan di perenggan 14 Afidavit Keterangan Saksi Defendan 3 menyatakan
bahawa Plaintif mahupun ibubapa Plaintif tidak menjawab bila saksi
bertanyakan kepada mereka sama ada Plaintif masih mahu berkahwin dengan
Defendan. Saksi juga menyatakan bahawa Plaintif dan ibubapa Plaintif tidak
memberikan kata putus sama ada mahu atau tidak meneruskan rancangan
perkahwinan sekalipun saksi bertanya beberapa kali. Malah saksi bersetuju
dengan soal balas peguam Plaintif yang menyatakan sekiranya pada waktu itu
saksi tidak memutuskan pertunangan, perkahwinan akan diteruskan.
Memn
[2019] SLRSU 25 lwn. Snsd pg 11

[38] Manakala di perenggan 16, saksi tersebut turut menyatakan perkara yang
sama di mana Plaintif mahupun ibubapa Plaintif tidak menjawab pertanyaan
saksi apabila saksi bertanya kepada Plaintif dan ibubapa Plaintif adakah
Plaintif dan ibubapa Plaintif mahu teruskan majlis perkahwinan Plaintif dan
Defendan.

[39] Selain itu, Mahkamah juga bersetuju dengan hujah peguam Plaintif
berkaitan dokumen yang telah diterima dan ditandakan sebagai P-3 (c) di ms
11 Ikatan Dokumen Plaintif berkenaan satu WhatsApp yang dihantar oleh
Defendan kepada bapa Plaintif pada 29 Disember 2016. Di dalam mesej
WhatsApp tersebut Defendan sendiri telah menyatakan "2 mggu lepas. Biha
ada mintak putus dengan ez.. and biha ingat ez bagi tahu mama abah.. ez ada
pujuk biha suruh baik balik.." Mahkamah berpendapat tindakan Defendan
menghantar WhatsApp kepada bapa Plaintif boleh dijadikan qarinah bahawa
Defendan sememangnya mempunyai hasrat untuk memutuskan pertunangan.

[40] Justeru itu, Mahkamah berpuashati bahawa pihak Defendan telah


memutuskan pertunangan tersebut tanpa apa-apa sebab yang sah dan
berpendapat bahawa Defendan gagal untuk membuktikan keengganan pihak-
pihak meneruskan perkahwinan adalah atas persetujuan bersama. Keterangan
Defendan sendiri dan saksi-saksi Defendan yang menyatakan bahawa Plaintif
dan keluarga Plaintif tidak menjawab pertanyaan sama ada hendak
meneruskan perkahwinan atau tidak, tidak boleh dijadikan qarinah
keengganan pihak-pihak untuk berkahwin atas persetujuan bersama.

[41] Seterusnya setelah Mahkamah mendapati bahawa Defendan yang enggan


meneruskan perkahwinan, maka Mahkamah meneliti pula isu ketiga.

Isu Ketiga: Jumlah Yang Dituntut Untuk Membuat Persediaan Bagi


Perkahwinan

[42] Berdasarkan senarai tuntutan yang disebut di dalam Pernyataan Tuntutan


Pindaan, maka Mahkamah berpendapat bahawa beban pembuktian atau
beban membuktikan atau beban mengemukakan keterangan hendaklah
terletak kepada Plaintif sebagaimana s 72 Enakmen Keterangan Mahkamah
Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang menjelaskan bahawa "Beban untuk
mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal terletak pada orang yang
mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al-Mudda'ii) dan orang yang
mengangkat sumpah untuk menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-
Muda'a 'alaih)." Beban pembuktian ini terletak ke atas pihak-pihak yang
inginkan Mahkamah memberi penghakiman ke atas apa-apa hak atau liabiliti
sepertimana mengikut fakta-fakta yang ditegaskan olehnya sebagaimana s 73
Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang
menyatakan bahawa:

(1) Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah


memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di
sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang
ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.
Memn
pg 12 lwn. Snsd [2019] SLRSU 25

(2) Apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan apa-apa


fakta, maka dikatakan bahawa beban membuktikan terletak pada
orang itu.

Dan begitu juga dengan peruntukan s 78 Enakmen Keterangan Mahkamah


Syariah (Negeri Selangor) 2003.

[43] Plaintif adalah pihak yang termasuk dalam takrif mudda'i iaitu
menanggung beban pembuktian terhadap dakwaannya, manakala Defendan
adalah mudda'a 'alaih. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW seperti
berikut:

[44] Oleh itu Mahkamah berpendapat, bagi memastikan tuntutan Plaintif ini
boleh diterima, maka Mahkamah mestilah melihat kepada keterangan dan
pembuktian yang dikemukakan kepada Mahkamah ini. Mahkamah tegaskan
di sini bahawa keterangan Plaintif yang diberikan sepanjang perbicaraan kes
ini hanyalah merupakan satu dakwaan sahaja dan dakwaan-dakwaan tersebut
mestilah dibuktikan di Mahkamah dengan keterangan sokongan sama ada
melalui dokumen atau melalui keterangan saksi. Persoalannya adakah
kesemua kos tersebut telah dibuktikan oleh Plaintif dengan secukupnya.

[45] Mahkamah merujuk Pernyataan Tuntutan Pindaan perenggan 12(i) Kos


pertunangan (termasuklah barangan dulang hantaran/pemberian dan cincin)
RM5,000.00. Namun Plaintif tidak dinyatakan secara terperinci apakah
barang-barang hantaran/pemberian tersebut. Malah Plaintif juga dalam
keterangannya di perenggan 26 tidak menyatakan secara tepat apakah barang
yang dibawa semasa majlis pertunangan. Manakala di perenggan 27 Plaintif
menyatakan resit pembelian barangan hantaran seperti buah dan lain-lain
tiada dalam simpanan. Hanya ada resit dari syarikat ENF Kraft Sdn Bhd
bertarikh 4 Julai 2016 berjumlah RM55.20 yang ditandakan sebagai P-6 untuk
diterima oleh Mahkamah. Selain itu, Plaintif juga gagal membuktikan yang
Plaintif menanggung kos minyak tujuh buah kereta yang telah dibawa oleh
ahli keluarga Plaintif semasa hadir pada majlis pertunangan tersebut.

[46] Manakala untuk cincin pertunangan, Mahkamah mendapati ianya telah


dipulangkan oleh Defendan kepada keluarga Plaintif. Oleh itu ianya tidak
termasuk dalam tuntutan sebanyak RM5,000.00. Maka Mahkamah
berpendapat Plaintif gagal membuktikan kos pertunangan adalah sebanyak
RM5,000.00 sebagaimana perenggan 12(i) Pernyataan Tuntutan Pindaan.

[47] Seterusnya berkaitan dengan kos persediaan perkahwinan berjumlah


RM27,172.00. Plaintif menyatakan telah membuat tempahan dengan
Wedding Studio Sdn Bhd sebanyak RM21,000.00 sebagaimana dokumen
yang ditandakan P-7. Namun Mahkamah mendapati Plaintif hanya membuat
bayaran-bayaran berikut:
Memn
[2019] SLRSU 25 lwn. Snsd pg 13

i. Bayaran deposit pada 28 Mei 2016 : RM50.00


ii. Bayaran pertama (1st payment) pada 30 Julai 2016 : RM1,500.00
iii. Bayaran kedua (2nd payment) pada 10 September 2016 : RM1,250.00
iv. Bayaran ketiga (3rd payment) pada 17 Disember 2016 : RM4,000.00
v. Bayaran keempat (4th payment) pada 25 Disember 2016 : RM3,600.00
Jumlah RM10,400.00

[48] Mahkamah juga mendapati, Plaintif telah membuat tempahan kad


kahwin di syarikat Strawberry Graphic Design & Trading pada 4 Oktober
2016 dengan kos sebanyak RM850.00 sebagaimana dokumen di ms 26 Ikatan
Dokumen Plaintif.

[49] Selain itu, dokumen yang dikeluarkan oleh syarikat T & L Handcraft
bertarikh 18 Disember 2016 berkaitan tempahan barangan cenderamata yang
akan diberikan kepada tetamu berjumlah RM3,672.00 juga diterima oleh
Mahkamah dan ditandakan sebagai P-14 di ms 30 Ikatan Dokumen Plaintif.

[50] Oleh itu kos sebenar yang boleh dibenarkan oleh Mahkamah berdasarkan
tuntutan Plaintif adalah seperti berikut:

i. Barang-barang hantaran/pemberian (ENF Kraft Sdn : RM55.20


Bhd)
ii. Tempahan dengan Wedding Studio Sdn Bhd : RM10,400.0
0
iii Kad kahwin (Strawberry Graphic Design & Trading) : RM850.00
.
iv. Barangan cenderamata (T & L Handcraft) : RM3,672.00
Jumlah RM14,977.2
0

[51] Oleh itu Mahkamah menerima jumlah keseluruhan sebanyak


RM14,977.20 memandangkan ianya adalah fakta yang relevan terhadap fakta
persoalan di dalam kes ini.

[52] Manakala bagi kos kursus perkahwinan yang telah dihadiri oleh Plaintif
dengan bayaran sebanyak RM120.00 sebagaimana dokumen P-13, Mahkamah
berpendapat walaupun perkahwinan antara Plaintif dan Defendan tidak dapat
diteruskan, namun ianya boleh digunakan seumur hidup Plaintif jika
ditakdirkan bertemu jodoh dengan perempuan lain.

[53] Kesimpulannya, Mahkamah hanya menghukum berdasarkan apa yang


dizahirkan sahaja di hadapan Mahkamah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w
Memn
pg 14 lwn. Snsd [2019] SLRSU 25

yang bermaksud:

Maksudnya: "Aku disuruh menghukum dari segi zahirnya, Allah


sahaja mengetahui batinnya."

Keputusan

[54] Setelah meneliti semua kertas kausa, keterangan dan hujahan, maka
adalah dihakimkan seperti berikut:

(1) Mahkamah meluluskan permohonan ini berdasarkan s 15


Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

(2) Mahkamah memerintahkan Defendan membayar kos persediaan


perkahwinan sebanyak RM14,977.20.

(3) Mahkamah memerintahkan bayaran tersebut hendaklah dibuat


sama ada secara sekaligus atau ansuran selewat-lewatnya pada bulan
Disember 2020.

You might also like