You are on page 1of 8

FOKUS KARANGAN 6.

2 : CIRI-CIRI PEKERJA CEMERLANG


Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri pekerja cemerlang.

SUMBER : BUKU TEKS BAHASA MELAYU KSSM TINGKATAN 2 (M/S 36)

CIKGU ZAMBRI ZAINAL, GC BM & CIKGU JIMRNY JUING, APPLE TEACHER 219
FOKUS KARANGAN 6.3 : TEMU RAMAH BERSAMA DENGAN SEORANG JAGUH SUKAN NEGARA YANG
TERKENAL
Anda sangat meminati seorang jaguh sukan negara yang terkenal. Sebagai pengarang majalah sekolah, anda
dikehendaki menemu ramah jaguh sukan tersebut. Hasil temu ramah itu akan dimuatkan dalam majalah.
Tulis dialog temu ramah tersebut selengkapnya.

KARANGAN CONTOH 1
Saya telah menemu ramah Encik Hafiz, jaguh badminton negara kita. Beliau ialah ahli sukan yang paling saya minati
kerana saya sangat meminati sukan badminton. Berikut ialah teks temu ramah saya bersama-sama beliau.

Hakimi : Selamat pagi, Encik Hafiz. Terima kasih kerana sudi ditemu ramah pada pagi ini.
Hafiz : Selamat pagi. Sama-sama.
Hakimi : Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Encik Hafiz kerana berjaya mengharumkan nama
Negara apabila memenangi pingat emas dalam Sukan Asia Tenggara baru-baru ini.
Hafiz : Terima kasih, saudara. Sebenarnya, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai warganegara untuk
mengharumkan nama negara dalam setiap kejohanan pada peringkat antarabangsa.
Hakimi : Bolehkah Encik Hafiz berkongsi usaha-usaha yang dilakukan untuk menjadi seorang ahli sukan badminton
yang berjaya?
Hafiz : Sebagai seorang ahli sukan, kita perlulah mempunyai cita-cita yang tinggi. Kita perlu berusaha dengan gigih
untuk mencapai cita-cita tersebut. Kita mesti berlatih bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa. Saya telah
melibatkan diri dalam sukan badminton ini selama sepuluh tahun. Saya telah menjadi pemain profesional sejak
lima tahun yang lalu. Sepanjang kerjaya saya sentiasa berlatih badminton baik pagi mahupun petang. Jurulatih
saya telah menyediakan satu jadual khas yang mesti saya patuhi. Saya sentiasa bersikap positif apabila
menjalani latihan walaupun terpaksa mengorbankan masa rehat dan cuti perayaan.
Hakimi : Berdasarkan penerangan Encik Hafiz, kegigihan dalam menjalani latihan penting untuk berjaya. Berlatih
badminton dalam jangka masa yang panjang sememangnya sukar. Bagaimanakah encik menghadapinya?
Hafiz : Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa menjalani latihan dalam jangka masa yang panjang sangat
Meletihkan dan membosankan. Namun begitu, saya menganggap faktor ini hanyalah sebagai cabaran untuk
menikmati kejayaan. Kita hendaklah sentiasa mematuhi peraturan dan mengikut jadual latihan yang
disediakan oleh jurulatih dengan penuh disiplin. Jadi, dapat saya simpulkan bahawa hanya orang yang dapat
mengikuti peraturan dan berdisiplin yang boleh berjaya. Jika kita gagal mematuhi disiplin latihan, kita tidak
akan mampu menghadapi cabaran lawan apabila berada di dalam gelanggang semasa perlawanan, bak kata
pepatah Melayu, alah bisa tegal biasa.
Hakimi : Selain berusaha gigih dan berdisiplin semasa menjalani latihan, apakah faktor lain yang membantu kejayaan
Encik Hafiz?
Hafiz : Sebenarnya, banyak faktor lain yang menjadi pendorong kejayaan saya. Namun begitu, faktor yang paling
penting ialah kita hendaklah selalu bersyukur dan sentiasa berterima kasih kepada orang yang telah membantu
kita dalam semua perkara. Saya sentiasa bersyukur atas kejayaan yang saya capai. Janganlah riak atau
meninggi diri apabila menjuarai sesuatu pertandingan. Saya percaya bahawa kejayaan yang diperoleh ialah
hasil sumbangan orang-orang di sekeliling yang sentiasa mendoakan kejayaan saya, iaitu jurulatih, rakan-rakan,
para peminat, dan ibu bapa saya. Saya sangat menghormati sumbangan dan doa yang diberikan. Saya ingin
menasihati generasi muda agar sentiasa mempunyai sifat terpuji ini untuk berjaya dalam kehidupan.
Hakimi : Saya sangat kagum akan prinsip hidup encik sebagai seorang ahli sukan. Pastinya, generasi muda akan
menjadikan Encik Hafiz sebagai idola mereka untuk berjaya dalam kehidupan.
Hafiz : Ya, saya juga berharap agar generasi muda dapat mengambil iktibar daripada pengalaman saya untuk
Menempuh kejayaan.
Hakimi : Terima kasih, Encik Hafiz kerana sudi berkongsi laluan kejayaan encik untuk menjadi juara. Semoga encik
Terus melakarkan kejayaan dalam sukan badminton pada masa hadapan.
Hafiz : Sama-sama.

CIKGU ZAMBRI ZAINAL, GC BM & CIKGU JIMRNY JUING, APPLE TEACHER 220
FOKUS KARANGAN 6.4 : PENGALAMAN MENGADAKAN LAWATAN KE PASAR SENI YANG TERKENAL DI
MALAYSIA
Persatuan seni lukis sekolah anda telah mengadakan lawatan ke pasar seni yang terkenal di Malaysia.
Ceritakan pengalaman anda sepanjang lawatan tersebut.

KARANGAN CONTOH 1
Sebelum berakhirnya sesi persekolahan pada tahun lepas, sekolah saya telah mengadakan lawatan sambil belajar ke
Bandar Raya Kuala Lumpur. Agenda lawatan kami adalah untuk melawat ke Pasar Seni. Saya berasa sangat teruja untuk
melawat ke Pasar Seni kerana sangat meminati bidang seni lukis. Saya sering mendengar cerita tentang keunikan tempat
tersebut. Tempat itu dikatakan penuh dengan pelbagai aktiviti seni, termasuklah seni lukis.

Rombongan kami bertolak pada pukul 8:00 pagi dengan menaiki bas khas dan tiba di Pasar Seni pada pukul
10.00 pagi. Kami disambut oleh seorang petugas Pasar Seni yang telah dihubungi oleh guru pengiring terlebih dahulu.
Petugas tersebut memperkenalkan diri sebagai Puan Azizah .Puan Azizah sangat peramah orangnya.

Pada sesi pertama, kami telah dibawa ke ruang penerangan. Puan Azizah telah memberikan taklimat khas
tentang Pasar Seni secara ringkas. Puan Azizah menyatakan bahawa banyak aktiviti seni, pameran, dan jualan yang
diadakan di situ. Antaranya ialah pameran barang kesenian, lukisan, barangan kraf tangan, tenunan dan batik. Di situ
juga terdapat pelukis bebas yang boleh melukis secara langsung.

Sesi kedua pula kami dibenarkan untuk melawat ke seluruh pasar tersebut. Saya dan rakan-rakan memilih untuk
melawat ke galeri seni lukis. Galeri itu sangat besar dan penuh dengan lukisan yang sangat menarik. Saya berasa sangat
teruja dapat melihat lukisan-lukisan tersebut. Saya berpeluang untuk menghayati dan mempelajari teknik-teknik lukisan
serta teknik campuran warna yang digunakan oleh pelukis. Sesungguhnya, saya sangat kagum akan kualiti lukisan yang
dipamerkan di situ.

Setelah meninggalkan galeri seni lukis, saya dan rakan-rakan menghampiri seorang pelukis bebas yang
mengambil tempahan untuk melukis potret. Seorang rakan kami, John mengambil kesempatan itu untuk meminta pelukis
tersebut melukis potretnya. Oleh itu, saya dan rakan- rakan berpeluang untuk melihat pelukis tersebut
melukis potret John secara langsung. Pelukis itu juga tidak kedekut untuk bercerita tentang teknik lukisan yang digunakan
ketika melukis potret John. Pelukis itu menggunakan arang untuk melukis potret tersebut. Kami berasa sangat kagum
akan kepakaran melukis yang dimilikinya. Akhirnya, selepas satu jam berlalu potret John siap dilukis. John berasa sangat
gembira.

Jam menunjukkan pukul 5.00 petang. Kami bersiap-siap untuk pulang. Kami berasa sangat gembira kerana
sepanjang lawatan, banyak ilmu dan pengalaman tentang seni lukis yang dapat diperoleh. Setiap tunjuk ajar dan teknik
yang diberikan akan kami aplikasikan di sekolah. Ternyata, negara kita mempunyai banyak seni warisan yang perlu dijaga
dan diwariskan kepada generasi muda.

(379 patah perkataan)

CIKGU ZAMBRI ZAINAL, GC BM & CIKGU JIMRNY JUING, APPLE TEACHER 221
FOKUS KARANGAN 6.5 : PERANAN IBU BAPA UNTUK MENGGILAP MINAT ANAK-ANAK DALAM BIDANG YANG
DIMINATI
Ibu bapa insan penting yang menjadi pencetus kerjaya anak-anak.
Jelaskan peranan ibu bapa untuk menggilap minat anak-anak dalam bidang yang diminati sehingga menjadi kerjaya yang
dapat menyara kehidupan mereka.

KARANGAN CONTOH 1
Ibu bapa berperanan besar dalam menentukan masa depan anak-anak. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa anak-
anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Oleh itu, ibu bapa berperanan untuk menggilap minat
anak-anak dalam bidang yang diminati sebagai kerjaya masa hadapan yang dapat menyara hidup mereka. Sebagai
persoalannya, apakah peranan ibu bapa untuk menggilap minat anak-anak dalam bidang yang diminati?

Peranan ibu bapa yang paling penting adalah dengan menghantar anak-anak menuntut ilmu secara formal. Jika
anak-anak meminati bidang lakonan, ibu bapa hendaklah membantu mereka memahami konsep lakonan yang berkesan.
Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghantar anak-nak mengikuti kelas lakonan dan menggalakkan anak-anak mereka
menonjolkan diri dalam bidang tersebut melalui pencarian bakat. Dengan ilmu sebegini, anak-anak lebih yakin akan pilihan
kerjaya mereka. Jelaslah bahawa keprihatinan ibu bapa seperti inilah yang banyak membantu pelakon tanah air berjaya
dalam bidang yang diminati.

Selain itu, ibu bapa juga boleh menyediakan kemudahan dan peralatan untuk anak-anak menjadikan hobi sebagai
kerjaya. Jika anak-anak gemar melukis, ibu bapa mestilah menyediakan peralatan yang sesuai untuk anak-anak mereka
melukis supaya minat untuk melukis semakin meningkat. Hal ini diibaratkan seperti peribahasa, ada padi semua kerja
jadi, ada beras semua kerja deras. Selain itu, ibu bapa juga boleh membeli buku- buku yang relevan tentang seni lukis
sebagai rujukan untuk anak-anak meningkatkan kualiti lukisan. Demikianlah peranan ibu bapa untuk menggalakkan minat
anak-anak dalam bidang seni untuk dijadikan sebagai kerjaya.

Di samping itu, ibu bapa juga boleh membantu anak-anak menjadikan hobi mereka sebagai kerjaya dengan
memberikan sokongan dan dorongan. Ada dalam kalangan anak-anak muda hari ini yang meminati bidang permotoran.
Ibu bapa boleh memupuk minat anak-anak untuk berlatih dalam bidang yang disukai sejak kecil lagi. Sebagai contohnya,
pelumba motosikal, iaitu Hafiz Syahrin telah mendapat sokongan dan dorongan daripada ibu bapanya sejak kecil untuk
menjadikan minatnya sebagai kerjaya. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab dengan memberikan sokongan padu
kepada anak-anak dalam memilih kerjaya yang sesuai pada masa depan.

Kesimpulannya, ibu bapa berperanan untuk membantu anak-anak menjadikan hobi sebagai kerjaya. Keupayaan
anak-anak mencapai cita-cita bermula dari rumah. Jika ibu bapa bersikap positif dan sedia membantu, kerjaya anak-anak
akan lebih berjaya dan cemerlang. Saya berharap semoga lebih banyak ibu bapa yang dapat membantu anak-anak
merealisasikan minat mereka menjadi kerjaya pada masa hadapan.

(367 patah perkataan)

CIKGU ZAMBRI ZAINAL, GC BM & CIKGU JIMRNY JUING, APPLE TEACHER 222

You might also like