You are on page 1of 8

PEMBUKAAN SEKOLAH SESI AKADEMIK TAHUN 2024/2025

SOALAN 1:
Bilakah Sesi Persekolahan Sesi Akademik 2024/2025 akan bermula?
JAWAPAN 1:
Kalendar Akademik Sesi 2024/2025 akan bermula pada 10 Mac 2024
bagi sekolah di negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan
Terengganu) dan pada 11 Mac 2024 bagi sekolah di negeri Kumpulan
B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang,
Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).

SOALAN 2:
Apakah yang akan berlaku pada minggu pertama sesi persekolahan
2024/2025?
JAWAPAN 2:
KPM berpandangan bahawa hari pertama serta minggu pertama sesi
persekolahan itu adalah satu tempoh masa yang amat penting dan perlu
diberikan perhatian yang serius, bukan sahaja oleh KPM tetapi juga oleh
semua pihak yang berkepentingan seperti ibu bapa, komuniti, guru,
warga sekolah dan murid itu sendiri.

Minggu pertama sekolah bagi setiap sesi akademik sewajarnya berjalan


dalam suasana mesra, ceria dan menyeronokkan bagi mewujudkan
persekitaran persekolahan yang mesra dan penuh kasih sayang.
Tempoh awal persekolahan seharusnya dimanfaatkan dengan
pelaksanaan program/aktiviti menyeronokkan yang dapat
menyokong murid dan guru bersedia sepenuhnya dari aspek sosio
emosi dan jasmani untuk menjalani proses pendidikan formal.

Program dan aktiviti di sekolah pada minggu pertama sesi persekolahan


akan menjadi penentu kepada pembentukan adab, akhlak dan
motivasi dalam kalangan murid. Pihak sekolah mempunyai ruang
memupuk pelbagai nilai baik yang menjadi teras kemenjadian murid
dalam tempoh ini. Aktiviti dan amalan baik yang menyeronokkan pada
hari awal pembukaan sekolah akan mempengaruhi pembentukan
karamah insaniah dalam jangka masa panjang.

Oleh itu, KPM telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM


Bilangan 5 Tahun 2023: Pengurusan Minggu Pertama Persekolahan
Mulai Sesi Akademik Tahun 2023/2024 KPM yang menekankan enam
konsep pengisian program/aktiviti:
● mewujudkan suasana ceria, selamat, bermakna dan terancang;
● mempunyai nilai pendidikan dan berinformatif;
● merupakan sebahagian pendekatan pengajaran dan
pembelajaran yang dapat memupuk nilai;
● mewujudkan komunikasi berkesan melibatkan murid, guru, ibu
bapa atau penjaga dan komuniti;
● memupuk sikap bekerjasama dan persefahaman yang erat
antara murid, guru, ibu bapa atau penjaga dan komuniti; dan
● memupuk perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum dan
latar belakang sosioekonomi.

SOALAN 3:
Siapa yang akan terlibat dalam menjayakan minggu pertama
persekolahan nanti?
JAWAPAN 3:
Dalam memastikan pembukaan sesi persekolahan berjalan dengan
lancar, ibu bapa perlu memastikan kesejahteraan emosi dan mental
anak-anak mereka, kejayaan akademik, dan perkembangan
keseluruhan anak-anak mereka. KPM amat mengalu-alukan
keterlibatan ibu bapa secara langsung sewaktu minggu pertama
persekolahan dan menjalin kerjasama bersama-sama pihak sekolah
dalam merancang dan melaksanakan aktiviti yang boleh memberi
keseronokan kepada murid untuk hadir ke sekolah.

Komuniti turut memainkan peranan yang penting kepada pembangunan


sekolah. Melalui jaringan kerjasama yang lebih erat, komuniti setempat
boleh membantu pihak sekolah melalui pelbagai kaedah termasuk
penyediaan sumber keperluan sekolah seperti kemudahan fasiliti dan
bantuan kewangan bagi menjayakan aktiviti yang dirancang oleh pihak
sekolah.
Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS), mempunyai peranan
yang cukup besar dalam memastikan dukungan dan juga sokongan
terhadap program-program yang dirancang pada peringkat sekolah,
PPD, JPN dan KPM dilaksanakan dengan jayanya. Kewujudan PIBKS
dan Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Sektor Swasta
(KPIBKS) jelas dilihat memberikan banyak manfaat kepada murid, guru
dan ibu bapa. Hubungan komunikasi dua hala yang erat antara ibu
bapa, komuniti dan pihak swasta dengan guru dan pihak sekolah akan
membentuk perasaan bertanggungjawab dan mempunyai kesepakatan
dalam memastikan keberkesanan pendidikan anak-anak.

SOALAN 4:
Menyentuh aspek pemakaian pula, adakah murid-murid diwajibkan
memakai pakaian seragam dan kasut sekolah pada hari pertama sesi
persekolahan?
JAWAPAN 4:
KPM prihatin dan terhadap keperluan ibu bapa dan penjaga bagi
menyediakan kelangkapan persekolahan anak terutamanya sebelum
sesi persekolahan yang baharu. Pada masa yang sama, KPM juga
sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan
keselamatan murid termasuk guru dan anggota kumpulan pelaksana
dalam menghadapai perubahan cuaca yang tidak menentu.

Sehubungan dengan itu, KPM telah mengeluarkan Surat Siaran KPM


Bilangan 2 Tahun 2024: Ketetapan Pemakaian Pakaian Seragam oleh
Murid Sekolah bawah KPM Mulai Kalendar Akademik Sesi 2024/2025.
Berdasarkan Surat Siaran ini, sekolah diberikan autonomi untuk
menetapkan pemakaian pakaian seragam sekolah, pakaian sukan,
pakaian seragam kokurikulum murid mengikut perancangan sekolah
masing-masing bermula Kalender Akademik Sesi 2024/2025. Pihak
sekolah boleh menetapkan mana-mana dua hari dalam seminggu untuk
murid memakai pakaian seragam sekolah, manakala dua hari lagi murid
diberi kelonggaran memakai pakaian/baju sukan yang sopan dan satu
hari lagi memakai pakaian seragam kokurikulum.

Pemakaian tali leher dan blazer bagi murid yang memakai pakaian
seragam sekolah adalah digalakkan dalam keadaan cuaca yang normal
selaras dengan garis panduan sedia ada. Walau bagaimanapun,
pemakaian tali leher dan blazer boleh dikecualikan dalam keadaan
cuaca panas di lokasi sekolah masing-masing.

SOALAN 5:
Boleh tuan terangkan berhubung Program Transisi Tahun Satu
2.0?
JAWAPAN 5:
Program Transisi Tahun Satu 2.0 (PTTS 2.0) merupakan satu program
yang dirangka untuk menyediakan murid menghadapi perubahan,
menyesuaikan diri dan membina keyakinan diri mereka di sekolah.
Program ini merupakan peluang kepada guru untuk mengenali setiap
individu murid dan membantu guru untuk mengenal potensi terbaik
murid.

Kerangka konsep PTTS 2.0 dibangunkan berasaskan lima aspek iaitu


sosioemosi, sikap dan nilai, kognitif (termasuk literasi dan numerasi
asas), kreativiti dan estetika serta kesejahteraan fizikal dan kesihatan.
Kelima-lima aspek ini dilaksanakan berasaskan pendekatan bertema
dan bersepadu.

Sewaktu Program Transisi Tahun Satu 2.0 bagi murid Tahun 1 ini juga
dilakukan saringan pengesanan literasi dan numerasi murid Tahun 1
untuk mengenal pasti kemahiran membaca, menulis dan mengira murid
Tahun 1, agar guru dapat memberikan bantuan pemulihan awal.
SOALAN 6:
Pastinya sebelum anak-anak ini kembali ke sekolah, beberapa
persiapan perlu dilaksanakan. Bolehkah tuan jelaskan berkaitan
persediaan yang telah atau sedang dibuat oleh KPM, jabatan
pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah mahu pun pihak sekolah
sendiri untuk menyambut murid-murid pada hari pertama persekolahan?
JAWAPAN 6:
Bagi memastikan sekolah/institusi pendidikan berada dalam keadaan
selamat dan kondusif untuk beroperasi, pihak pentadbir sekolah/institusi
pendidikan dengan kerjasama erat Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG)
serta Pelibatan Ibu bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS),
bertanggungjawab:

i. Memastikan kawasan dan bangunan sekolah termasuk semua


bilik pengajaran dan pembelajaran (PdP) dibersihkan dan
mempunyai pengudaraan yang baik sebelum sesi persekolahan
bermula;
ii. Memastikan meja dan kerusi tidak berhabuk dan selamat untuk
digunakan pada hari pertama persekolahan;
iii. Memastikan kemudahan fizikal mencukupi terutama meja dan
kerusi murid;
iv. Memastikan lampu dan kipas dapat berfungsi dengan baik;
v. Memastikan rumput di sekeliling kawasan sekolah dipotong;
vi. memastikan aktiviti pencegahan Denggi dilaksanakan seperti
membersihkan/memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes,
meletakkan bahan pembunuh jentik-jentik di kawasan yang
berisiko pembiakan nyamuk aedes dan menyembur aerosol di
tempat penyembunyian nyamuk;
vii. menyemak tempat berpotensi bagi memastikan tiada binatang
berbisa seperti ular dan lipan dalam kawasan aktiviti murid;
viii. Memastikan murid, guru dan warga sekolah kerap mencuci tangan
dengan air dan sabun;
ix. Menggalakkan pemakaian pelitup muka pada setiap masa; dan
x. Memastikan komunikasi berkesan berlaku antara guru, murid, ibu
bapa dan komuniti.

Pihak pentadbir sekolah/institusi pendidikan boleh bekerjasama


dengan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) serta melibatkan pihak
Ibu bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) bagi merealisasikan
tanggungjawab ini. KPM amat mengalu-alukan kebersamaan semua
pihak dan kesedaran komuniti bahawa sekolah juga adalah milik
masyarakat.

SOALAN 7:
Bagaimana dengan waktu persekolahan? Contohnya jika sesi pagi,
adakah semua sekolah perlu bermula pada jam 7.00 atau 7.30 pagi?
JAWAPAN 7:
Pentadbir Sekolah dengan pandangan PIBG boleh menentukan waktu
bagi sesi persekolahan masing-masing. Namun menjadi
tanggungjawab setiap pentadbir sekolah untuk memastikan semua
waktu PdP bagi setiap mata pelajaran yang ditetapkan oleh KPM
dipatuhi.

Selain daripada itu, pentadbir sekolah juga perlu memaklumkan kepada


Pendaftar Negeri waktu persekolahan yang dipilih. Sebagai contoh,
waktu PdP mata pelajaran yang ditetapkan antara 22 waktu hingga 30
waktu seminggu bagi jadual waktu 40 minit satu waktu atau 29 waktu
hingga 40 waktu seminggu bagi jadual waktu 30 minit satu waktu bagi
murid sekolah menengah.

Pelaksanaan Jadual Waktu adalah berdasarkan:


i. SPI KPM Bil 7/2016 : Pelaksanaan Kurikulum Standard
Prasekolah Kebangsaan (KSPK) (Semakan 2017);
ii. Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 8/2016 - Pelaksanaan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017) secara
berperingkat-peringkat mulai Tahun 2017;
iii. Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 9/2016 - Pelaksanaan
Kurikulum Standard Sekolah Menengah Secara Berperingkat-
peringkat Mulai Tahun 2017;
iv. Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil 4 Tahun 2021 – Garis Panduan
Tadbir Urus Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah
Kementerian Pendidikan Malaysia: Malaysian School Governance
(MySG); dan
v. Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 11
Tahun 2016 – Garis Panduan Pengurusan Tingkatan Enam
Selaras dengan ketibaan bulan Ramadan semasa pembukaan
persekolahan Sesi Akademik Tahun 2024/2025, KPM ingin memastikan
pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar dan pada masa yang
sama dapat memberi ruang kepada guru serta murid untuk pulang
berbuka puasa dengan selesa.

Sehubungan dengan itu, melalui SPI KPM Bilangan 3 Tahun 2022:


Pengoperasian Sekolah Dalam Bulan Ramadhan Bagi Sekolah
Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan Kementerian Pendidikan
Malaysia menetapkan:

i. Sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama


Islam akan menamatkan sesi persekolahan seawal jam 5.30
petang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia manakala
bagi negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan
pada jam 5.00 petang; dan
ii. Sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa.

SOALAN 8:
Baiklah, sebelum kita mengakhiri sesi temu bual pada hari ini,
mungkin sedikit kata-kata akhir dari pihak tuan?
JAWAPAN 8:
Sempena sesi persekolahan 2024/2025 yang akan dibuka, ingatan saya
ialah kita semua perlu berpegang kepada tiga prinsip dalam bekerja
iaitu kebersamaan, keterbukaan dan kesyukuran. Tiga prinsip ini jika
ditambah dengan bekerja dengan hati yang jujur dan niat yang ikhlas,
InshaAllah lebih banyak kejayaan akan dapat di capai.

Seperti yang saya maklumkan di awal siaran tadi, penuhilah minggu


pertama dengan program dan aktiviti yang menyeronokkan serta
dapat membantu kepada pembentukan adab, akhlak dan motivasi
dalam kalangan murid. Pihak sekolah juga mempunyai ruang memupuk
pelbagai nilai baik yang menjadi teras kemenjadian murid dalam tempoh
ini selain mewujudkan komunikasi dengan ibu bapa dan komuniti.

Pengisian program yang dilaksanakan seharusnya melibatkan semua


murid tanpa mengira kaum dan pelbagai latar belakang sosio
ekonomi. Aktiviti yang mempunyai elemen integrasi perpaduan,
persembahan citra budaya dan keusahawanan akan dapat
meningkatkan pelibatan murid secara menyeluruh.

Selain itu, aspek keinsanan atau dimensi manusiawi menjadi


keutamaan dalam pendidikan hari ini. Oleh yang demikian, peranan
pendidikan sebagai “...usaha berterusan ke arah memperkembangkan
lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu...” sebagaimana
terungkap dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan harus diberikan
penekanan.

Akhir kata, saya mendoakan semoga minggu pertama persekolahan


akan memberi pelbagai kenangan manis kepada semua murid dan
menjadi dorongan untuk hadir ke sekolah.

You might also like