You are on page 1of 4

Kritikan Artikel

Huang, J. X., & Iksan, Z. (2019). Kefahaman Guru Sekolah Rendah Daerah Pekan terhadap
Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21). International Journal of Modern Education, 1(2), 01-12.

Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) telah diperkenalkan dan dilaksanakan di semua


sekolah mulai tahun 2015. Pengkaji telah mengenalpasti kepentingan guru dalam pelaksanaan
PAK21. Dalam artikel “Kefahaman Guru Sekolah Rendah Daerah Pekan Terhadap Pembelajaran
Abad ke-21 (PAK21)”, Huang Ji Xiang dan Zanaton Hj Ikhsan (2019) mengkaji tahap kefahaman
guru terhadap PAK21. Walaupun kajian ini mendapati bahawa terdapat perbezaan yang
signifikan di antara tahap kefahaman guru dengan pengalaman mengajar, terdapat beberapa
batasan dari segi generalisasi, kepentingan dan sampel kajian.

Huang Ji Xiang dan Zanaton Hj Ikhsan (2019) menggunakan sampel seramai 307 orang
guru sekolah rendah yang mengajar di daerah Pekan, Pahang bagi mengkaji tahap kefahaman
guru terhadap PAK21. Pengkaji mengumpul profil responden dan menggunakan soal selidik bagi
mendapatkan data. Ujian T digunakan bagi menguji tahap kefahaman guru mengikut jantina dan
ujian Anova sehala digunakan bagi menguji tahap kefahaman guru mengikut pengalaman
mengajar. Menggunakan ujian T, Huang Ji Xiang dan Zanaton Hj Ikhsan (2019) mendapati
bahawa tidak terdapat perbezaan signifikan di antara tahap kefahaman guru berdasarkan
jantina. Ujian ANOVA sehala pula menunjukkan terdapat perbezaan signifikan di antara tahap
kefahaman guru berdasarkan pengalaman mengajar.

Pengkaji menggunakan tajuk yang sesuai dan jelas dalam menggambarkan kajian yang
dilakukan. Kedua-dua pembolehubah ada dinyatakan di dalam tajuk iaitu kefahaman guru
sebagai pembolehubah tidak bersandar dan Pembelajaran Abad ke-21 sebagai pembolehubah
bersandar. Abstrak kajian ini telah ditulis dengan baik dan menggambarkan keseluruhan kajian
tetapi penyataan masalah tidak dinyatakan dengan jelas. Pengkaji hanya menyatakan tentang
pelaksanaan PAK21 sahaja dan tidak mengaitkannya dengan populasi kajian iaitu guru. Di dalam
bahagia pengenalan artikel ini pula, pengkaji hanya menerangkan kepentingan menggabungkan
kemahiran abad ke-21 di dalam kurikulum dan amalan pengajaran guru tetapi tidak
menerangkan tujuan sebenar kajian iaitu mengkaji kefahaman guru. Maka, pengenalan ini
menjadi terlalu umum dan tidak berfokus kepada kefahaman guru. Pengkaji juga menyatakan
elemen-elemen dalam PAK21 dapat membantu guru melakukan perubahan dalam proses
pengajaran dan pemudahcaraan supaya memenuhi syarat pembelajaran abad ke-21. Penyataan
tersebut adalah kurang jelas kerana syarat pembelajaran abad ke-21 tidak dinyatakan di dalam
artikel ini. Terdapat kekeliruan sama ada komunikasi, kolaborasi, pemikiran kritis dan kreatif
serta nilai dan etika itu merupakan elemen ataupun syarat pembelajaran abad ke-21.

Penyataan masalah yang dinyatakan oleh pengkaji menggambarkan kurangnya


pelaksanaan PAK21 dalam kalangan guru di sekolah rendah. Namun, penyataan ini tidak jelas
menggambarkan hubungan antara kefahaman guru dengan dengan pelaksanaan PAK21
tersebut. Isu yang dinyatakan merupakan isu yang penting, di mana guru kurang melaksanakan
PAK21 di sekolah, tetapi pengkaji tidak menjelaskan sepenuhnya kaitan perkara tersebut
dengan fokus utama kajian iaitu kefahaman guru. Penyataan masalah tersebut merupakan isu
yang berada dalam skop professional pendidikan. Isu ini merupakan satu isu yang penting di
dalam “trend” pendidikan semasa. Isu yang dinyatakan juga merupakan satu isu yang tidak
kompleks, namun skop pelaksanaan PAK21 ini sebenarnya agak meluas dan dengan hanya
mengkaji kefahaman guru tidak dapat memberi kesan yang signifikan kepada pelaksanaan
PAK21.

Melihat kepada pembolehubah yang ada, kefahaman guru tidak dinyatakan dalam
penyataan masalah artikel ini. Pembolehubah yang lain iaitu pembelajaran abad ke-21 ada
dinyatakan tetapi tidak menggambarkan kaitan antara kedua-dua pembolehubah ini. Kawasan
kajian juga tidak dinyatakan dalam penyataan masalah di dalam artikel ini. Pengkaji hanya
menyatakan pelaksanaan PAK21 di Malaysia secara umum sahaja. Isu yang dinyatakan
merupakan isu yang mudah dikaji kerana pelaksanaan PAK21 sekarang diterapkan di seluruh
negara. Maka, untuk mencari responden yang sesuai tidak akan menjadi satu maslah kepada
pengkaji. Penyataan masalah oleh pengkaji juga tidak menguji atau membangunkan sebarang
teori.

Pengkaji hanya mempunyai satu objektif kajian, iaitu mengkaji tahap kefahaman guru
sekolah rendah daerah Pekan terhadap Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21). Objektif yang
dinyatakan oleh pengkaji ini sangat jelas dan ringkas. Pengkaji juga menggunakan kata kerja
yang sesuai dalam menyatakan objektif kajian. Namun, objektif yang dinyatakan tidak sejajar
dengan penyataan masalah. Dalam penyataan masalah, pengkaji hanya menyatakan kurangnya
pelaksanaan PAK21 di dalam kalangan guru namun tidak mengaitkannya dengan kefahaman
guru dengan jelas.
Pengkaji menyatakan hipotesis kajian dengan jelas dan berkaitan dengan objektif kajian.
Hipotesis tersebut dapat diukur dan boleh diuji. Namun, hipotesis ini kurang menjelaskan
jangkaan perkaitan di antara dua pembolehubah yang ada iaitu tahap kefahaman guru dan
pembelajaran abad ke-21. Walaupun hipotesis ini berdasarkan kerangka konseptual kajian,
jangkaan perkaitan antara dua pembolehubah ini kurang digambarkan dengan jelas. Pengkaji
hanya menyatakan jangkaan perkaitan antara profil responden dengan tahap kefahaman guru.

Dari sudut sorotan literatur, pengkaji telah membincangkan tentang 5 standard asas
PAK21 berdasarkan definisi PAK21 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu komunikasi,
kolaborasi, pemikiran kritis dan kreatif serta nilai dan etika. Pengkaji telah banyak menggunakan
sumber primer dan dalam lingkungan tempoh masa 10 tahun ke belakang. Oleh itu, sumber
yang digunakan oleh pengkaji merupakan terkini dan mempunyai kredibiliti yang tinggi. Namun,
pengkaji kurang menyentuh aspek kefahaman guru yang merupakan aspek penting dalam kajian
ini. Oleh itu, bahagian sorotan literature ini hanya memberi gambaran kepada pembaca tentang
PAK21 sahaja.

` Pengkaji menggunakan bentuk kajian kuantitatif di mana kaedah tinjauan digunakan.


Bentuk kajian ini sesuai digunakan memandangkan pengkaji hanya ingin melihat tahap
kefahaman guru terhadap PAK21. Sampel yang digunakan juga sesuai memandangkan pengkaji
menentukan bilangan sampel berdasarkan Krejcie & Morgan (1970). Daripada populasi kajian
sebanyak 1367 orang guru, pengkaji telah memilih sebanyak 307 orang guru. Tetapi, di dalam
artikel ini pengkaji tidak menyatakan bagaimana sampel tersebut dipilih.

Pengkaji tidak menyatakan secara terus bahawa kajian ini menggunakan soal selidik
sebagai instrumen. Namun, daripada keterangan yang menyatakan item-item yang dibina telah
ditentukan kebolehpercayaan berdasarkan analisis nilai pekali Alpha Cronbach, secara tidak
langsung memberi gambaran bahawa instrumen yang digunakan ialah soal selidik. Nilai analisis
daripada kajian rintis yang tinggi menunjukkan nilai kebolehpercayaan yang tinggi iaitu 0.961
menggambarkan item yang dibina adalah sangat baik. Tetapi, pengkaji tidak menerangkan
bagaimana soal selidik itu ditadbir.

Pengkaji menganalisis data menggunakan perisian SPSS versi 23 dan hasil analisis telah
diterangkan dalam bentuk jadual yang jelas dan mudah difahami. Pengkaji juga telah
membincangkan dan mengintepretasi data yang ada dengan baik dan jelas. Hasil dapatan kajian
menunjukkan pengkaji berjaya menguji hipotesis yang dibuat dan mencapai objektif kajian.
Pengkaji juga telah membuat kesimpulan yang baik dan memberi cadangan tentang cara
meningkatkan tahap kefahaman guru dalam usaha meningkatkan pelaksanaan PAK21.

Secara keseluruhannya, artikel ini mempunyai kelebihan dengan analisis dapatan kajian
yang baik, namun aspek penulisan latar belakang kajian, penyataan masalah, objektif dan
persoalan kajian masih boleh diperbaiki. Isu yang dinyatakan merupakan isu penting dalam
dunia pendidikan masa kini dan kajian ini sebenarnya dapat menyumbang kepada menambah
baik pendidikan di negara kita.

You might also like