You are on page 1of 16

BMP 3073:

KESUSASTERAAN MELAYU DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU

KULIAH 1:
FALSAFAH KESUSASTERAAN MELAYU

DR. ARIFF BIN MOHAMAD


JABATAN BAHASA DAN KESUSASTERAAN MELAYU
FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
Pengenalan
• Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan 'falsafah'? Perkataan ini
lahir daripada gabungan perkataan philein yang bermakna 'mencintai'
dan sophos bermaksud 'hikmah' melalui pengertian bahasa Greek.
• Al-Kindi mengatakan falsafah ialah ilmu hakikat yang berada dalam
kemampuan manusia untuk ditanggapi. Bagi Al-Farabi pula, falsafah
ialah cintakan kebijaksanaan dan hikmah.
• Dalam pemikir Barat, Plato menyatakan falsafah iaitu sesuatu yang
benar, baik dan cantik, manakala Aristotle pula menyebut falsafah
sebagai hakikat tentang ketuhanan, dunia fizikal, kehidupan manusia
dan perhubungan manusia dengan alam.
• Perkataan ‘kesusasteraan’ daripada segmen ‘su’ yang bermaksud ‘elok, indah
dan molek’ dan ‘sastera’ yang dimaksudkan sebagai ‘ajarkan’ ataupun
‘berikan panduan’. Perkataan ‘tera’ bermaksud media, karya, bahan atau alat
yang merupakan gagasan, idea atau pemikiran pengarang.
• Dalam hal ini, jelas menunjukkan bahawa kata majmuk ‘susatera’ itu
bermakna karya bahasa yang elok (lisan atau tulisan) yang mempunyai ciri-
ciri istimewa dan bernilai seni dalam penciptaannya yang berbeza dengan
penggunaan bahasa sehari-hari.
• Kesusasteraan sebagai satu bidang ilmu yang luas. Setiap tamadun bangsa di
seluruh dunia bergerak seiring dengan hasil pemikiran masyarakat yang
dibawakan dalam sasteranya.
• Secara umum, sastera adalah pengucapan masyarakat melalui pengarang
dalam bentuk lisan yang kemudian berkembang dalam bentuk penulisan, dan
penerbitan.
• Shanon Ahmad (1991:12) dalam tulisannya bertajuk “Sastera sebagai
Seismografi Kehidupan” menegaskan bahawa pada prinsipnya kesusasteraan
ialah satu media yang amat berkesan lagi halus dalam menyampaikan kisah-
kisah manusia, pembentukan manusia dan nilai-nilai manusia melalui
berbagai-bagai genre dalam sastera. Usaha untuk membangunkan peribadi
manusia melalui kesusasteraan diakui amat berkesan kerana teknik pengajaran
melalui seni amat halus dan benar-benar sesuai dengan daya persepsi
manusia. Karya yang baik adalah karya yang mengandungi keindahan yang
mampu membangkitkan rasa ketenteraman hidup mengikut penilaian Islam.
• Hashim Awang (1985:3) menjelaskan sesuatu hasil karya sastera itu mestilah
menerapkan unsur-unsur dan nilai-nilai murni yang dapat diteladani oleh
pembaca dan masyarakat. Menurut beliau lagi antara fungsi paling utama
sastera Melayu adalah untuk mengajar dan menghibur. Semenjak sastera
Melayu dicipta hingga kini ia membawa unsur bagi menghibur dan mendidik
individu serta masyarakat.
• Memetik pendapat tokoh pendidikan, Profesor Datuk Dr. Wan Hashim
Wan Teh yang disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 4 April 2000,
beliau menyatakan:

“Manusia secara semula jadi mempunyai ciri-ciri positif dan negatif dalam diri
mereka. Medium sastera, sama ada dalam bentuk cerpen, teater atau puisi
berfungsi membendung sikap buruk manusia. Semua genre sastera yang bermutu
tinggi mempunyai nilai seperti kehalusan budi, menyemai sifat pengasih, saling
menghormati dan merangsangkan pemikiran kreatif. Pendidikan kesusasteraan di
sekolah sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dapat membantu
pelajar menguasai bahasa berkenaan dengan lebih cepat, baik dan teratur”.
Kesusasteraan dalam Disiplin Falsafah
• Kesusasteraan melahirkan satu pemikiran yang membawa kepada
proses penaakulan ilmu pengetahuan.
• Bahasa digunakan dalam karya kesusasteraan berfungsi untuk
memerihalkan pandangan budaya atau sosial seseorang individu
terhadap dunia dan pemikiran Melayu.
• Kesusasteraan merangkumi disiplin-disiplin dalam ilmu falsafah
seperti disiplin epistemologi, metafizik, aksiologi dan logik.
1. Kesusasteraan dalam Disiplin Epistemologi
• Epistemologi sebagai sains atau kajian tentang ilmu pengetahuan atau
pemikiran manusia.
• Ahmad Sunawari Long (2008), epistemologi melibatkan disiplin dalam
mentafsir bentuk ilmu, syarat memperolehi ilmu, batasan ilmu dan
batasan justifikasi yang boleh dibuat.
• Melalui kesusasteraan, terdapat unsur-unsur ilmu pengetahuan
(epistemologi) yang ingin disampaikan kepada masyarakatnya.
• Ilmu pengetahuan ini melibatkan beberapa perkara penting dalam
kehidupan seharian merangkumi aspek keagamaan, perilaku, dan
panduan kehidupan.
2. Kesusasteraan dalam Disiplin Metafizik
• Metafizik ialah segala yang datang selepas kejadian alam semula jadi.
• Terdapat beberapa bahagian utama dalam disiplin ini iaitu ontologi,
teologi dan sains umum.
• Ontologi berkaitan sesuatu kewujudan kehidupan seperti manusia.
• Teologi pula memfokuskan kepada kajian ketuhanan.
• sains umum membabitkan penelitian asas seperti masalah, sebab dan
akibat sesuatu kejadian.
• Kesusasteraan mengaitkan seluruh disiplin metafizik yang menyentuh
hal kehidupan manusia, ketuhanan, masalah, sebab dan akibat.
3. Kesusasteraan dalam Disiplin Aksiologi
• Aksiologi membicarakan tentang nilai atau kualiti dan penelitian
berkaitan tingkah laku manusia dan sebarang keputusan yang harus
dibuat.
• Terdapat beberapa bahagian utama dalam disiplin ini iaitu etika dan
estetika.
• Etika menumpukan konteks hubungan manusia sama ada berbentuk
peribadi, sosial dan politik.
• Estetika pula berkaitan dengan keindahan dan kecantikan.
4. Kesusasteraan dalam Disiplin Logik
• Logik ditafsirkan sebagai kewujudan idea, pembentukan idea dan
prinsip idea yang membolehkan pemikiran dan penaakulan dibuat
secara teratur dan bersistem.
• Unsur logik berperanan untuk mengaitkan unsur-unsur lain seperti
fenomena alam sekeliling yang ternyata dapat diterima oleh akal atau
fikiran manusia seperti dalam peribahasa berikut.
Peribahasa
Jikalau tidak dipecahkan ruyung,Manakan dapat sagunya.
Baik mengikut resmi padi, Makin berisi makin tunduk.
Fungsi Kesusasteraan dan Hubungannya
dengan Pendidikan dan Masyarakat
1. Sastera sebagai cerminan masyarakat, bangsa atau kelompok
sosial tertentu
• Corak hidup masyarakat zaman dahulu dicerminkan melalui puisi lama
seperti pantun dan peribahasa.
• Mereka menggunakan alam sebagai perbandingan dan perlambangan
dalam masyarakat serta sebagai sumber pengajaran dan kata nasihat.
Pantun
Tumbuh lengkuas di rumpun paku,
Padi benih dimakan tempua;
Rimba luas jalan berliku,
Sungai jernih dicari jua.

Peribahasa
Biduk lalu kiambang bertaut
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
2. Sastera menggambarkan sesuatu latar tempat, keadaan, peristiwa dan
masa tertentu. Sebagai contohnya, kitab Bustan al-Salatin (Syeikh Nurudin
al-Raniri) tentang pemerintahan Aceh - Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).
3. Sastera sebagai penyalur pemikiran atau makna atau nilai yang
terkandung dan tersirat dalam sesebuah masyarakat. Misalnya
masyarakat Melayu lama kaya dengan nilai budi (budi bahasa, budi yang
baik, hutang budi, budi bicara, budi pekerti, menabur budi) serta nilai kasih
sayang.
Pantun
Cahaya redup menyegar padi,
Ayam berkokok mengikat tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.
4. Sastera memancarkan nilai-nilai kepercayaan, agama dan adat.
Misalnya nilai kepercayaan masyarakat Melayu lama terhadap
makhluk halus dan kuasa ghaib dapat dilihat dalam mantera. Sebagai
contoh, dalam mantera di bawah.
Hei, anak menteri guru duduk empat penjuru alam, cucu memohon
tanah ini untuk membuat rumah jikalau baik tunjukkan baik, jikalau
buruk tunjukkan buruk.

5. Sastera sebagai alat atau media hiburan sesebuah masyarakat.


Misalnya, puisi menjadi medium penting dalam masyarakat Melayu
lama untuk berehat, bergurau dan nyanyian. Pada zaman itu,
masyarakat Melayu belum mempunyai kemudahan seperti radio dan
televisyen.
6. Sastera sebagai alat atau media komunikasi dalam sesebuah masyarakat.
• Pantun sebagai puisi yang mengindahkan ungkapan dalam berbagai-bagai
suasana seperti pertunangan, perkahwinan, pembuka acara, konvokesyen,
pelancaran, sidang mesyuarat, perlantikan raja dan lain-lain.
Pantun dalam perkahwinan
Bunga rampai dalam cepu
Taruh mari dalam raga
Ucap selamat pengantin baru
Ibu bapa menumpang suka
• Pantun juga digunakan untuk menyampaikan hasrat secara kiasan atau ibarat
yang sesuai dengan sifat masyarakat Melayu yang malu menyatakan secara
terus terang.
Karya Sastera dalam Pengajaran Bahasa
Melayu
• Karya sastera terpilih boleh dijadikan sumber atau bahan pengajaran
dalam pengajaran bahasa Melayu.
• Karya sastera dapat membentuk kemahiran dan kecekapan
berbahasa. Proses daya kreatif dan dinamik pelajar juga dapat
diperkukuhkan secara beransur.
• Karya sastera memuatkan pengetahuan dan pengalaman manusia
tentang dunia untuk disematkan dalam pembelajaran pelajar.

You might also like