You are on page 1of 22

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS FAKULTI SAINS KEMANUSIAAN

KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM LIP 3023


TUGASAN KUMPULAN KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM SEBELUM MERDEKA
NAMA PELAJAR MOHD RIDZUAN SHAH BIN YAHYA MOHD YAKIM BIN SULAIMAN MOHD SAFUAN BIN ABU BAKAR KHAIRUL ANWAR BIN SEPRI NO MATRIK D20072031365 D20072031319 D20072031330 D20072031321

NAMA PENSYARAH KUMPULAN KULIAH PROGRAM SEMESTER TEMPAT KULIAH WAKTU KULIAH TARIKH HANTAR & KOD

: MEJAR (B) Dr . AZMIL BIN HASHIM : KUMP . A : PENDIDIKAN ISLAM (AT 35) : SEMESTER II, SESI 11/12 : PROTON CITY 12 (PC-12) : 02.00 pm ~ 05.00 pm (ISNIN) : JUMAAT ( 15 APRIL 2011)

1.0 - PENDAHULUAN Sebelum Tanah Melayu merdeka, penjajah barat telah menguasai sistem pendidikan di negara ini. Sistem pendidikan negara diatur mengikut kehendak kepentingan mereka. Sistem pendidikan ketika di zaman sebelum merdeka telah berkembang tanpa mempertimbangkan keperluan pembangunan, pembinaan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem berkenaan hanya mengekalkan undang-undang taat setia rakyat pendatang kepada negara asal mereka dan menahan kebangkitan semangat pembangunan rakyat tempatan. Selain itu, penjajah tidak menggalakkan kaum bumiputera Malaysia menimba ilmu ke tahap yang tinggi kerana dikhuatiri akan melawan mereka semula apabila sudah terdedah dengan keterbukaan minda dan semangat ingin maju dalam kehidupan.. Walaupun ada yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebiih tinggi, anak-anak Melayu hanya dididik untuk menghasilkan satu generasi bertani yang lebih moden sedikit daripada bapa mereka. Tindakan tersebut diambil oleh penjajah untuk mengelakkan anak-anak bangsa Melayu sebagai kaum bumiputera Malaysia, sedar dari kelalaian mereka dan bangun menentang penjajah untuk mencapai kemerdekaan. Akibatnya, orang Melayu jauh ketinggalan dalam bidang pendidikan berbanding dengan kaum pendatang di Tanah Melayu pada ketika itu. Bagaimanapun dalam tahun-tahun selepas kemerdekaan telah timbul kesedaran di kalangan para pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan untuk menggantikan sistem pendidikan penjajah demi memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahirnya Dasar Pendidikan melalui Penyata Razak 1956 dan termaktub di dalam Ordinan Pelajaran 1957. Pendidikan merupakan satu proses yang penting dalam pembentukan diri individu ke arah mengenali diri dan mencapai kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna. Pendidikan telah didefinisikan oleh Prof. Dr. Muhammad Naquib sebagai menanam sesuatu ke dalam diri manusia. (Muhammad dalam Fadzilah, 1996). Walaupun manusia mempunyai akal fikiran yang membezakan dengan haiwan yang lain, namun manusia tidak dapat melakukan sesuatu dengan baik tanpa proses pendidikan, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sebagai contohnya, para petani dan nelayan dapat melakukan kerja yang sama dari satu generasi ke satu generasi kerana proses pendidikan yang mereka terima dari datuk nenek mereka. Keadaan ini membolehkan mereka bekerja sebagai nelayan dan petani sehingga sekarang.

Pendidikan di Malaysia, menjadi salah satu sistem sosial yang paling penting bagi perkembangan dan kemajuan Negara. Ia juga diiktiraf sebagai alat untuk mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional. Ia disusun di dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan.

2.0 - PENDIDIKAN SEBELUM MERDEKA Corak pendidikan yang ada di waktu ini berbentuk non formal (bukan formal). Ia wujud dan berkembang selari dengan pengembangan agama Islam di negeri-negeri semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Melayu pada abad ke 14. Pedagang Arab dan India yang beragama Islam datang ke kawasan Asia Tenggara untuk berniaga. Di waktu itu wujudnya institusi pendidikan yang dinamakan sekolah pondok. Sekolah pondok ini dibangunkan dan dimajukan bersama secara gotong royong di kalangan masyarakat setempat. Pada abad ke 18 dan 19, Terengganu, Kelantan dan Kedah merupakan negeri yang paling banyak menubuhkan sekolah pondok. Oleh itu, ramai tokoh-tokoh agama yang muncul untuk menyebarkan agama Islam di semenanjung Tanah Melayu. Fenomena ini menyebabkan sekolah pondok juga menjalar di Semenanjung Tanah Melayu termasuk Singapura.

Sehingga sebelum abad ke 20 lagi, masih tiada sistem dan organisasi pendidikan yang berbentuk formal. Sebelum merdeka lagi, penjajah telah banyak menguasai pendidikan di negara ini. Sistem pendidikan negara diatur mengikut kehendak mereka sesuka hati berlandaskan fahaman dan ideologi mereka sendiri. Hal ini menyebabkan sistem pendidikan zaman penjajah telah berkembang tanpa mempertimbangkan keperluan pembangunan, pembinaan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem pendidikan berkenaan mengekalkan taat setia rakyat pendatang kepada negara asal mereka dan menahan kebangkitan semangat pembangunan rakyat tempatan. Selain itu, agenda lain yang turut dirancang seperti menyekat kebebasan hak bumiputerra dengan cara seperti tidak menggalakkan kaum bumiputera Malaysia menimba ilmu ke tahap yang tinggi. Walaupun terdapat sebilangan bumiputera yang dapat belajar dengan sempurna, masih terdapat beberapa syarat yang ditekankan seperti anak-anak Melayu hanya dididik untuk menghasilkan satu generasi bertani yang lebih moden sedikit daripada bapa mereka. Dan tidak lebih dari itu.

3.0 ERA SEBELUM KEDATANGAN PENJAJAH (1800 HINGGA 1956) Sejarah sistem pendidikan Islam di malaysia ketika sewaktu sebelum merdeka banyak mempengaruhi perubahan yang ada pada hari ini. Terdapat dua era yang dikenalpasti bagaimana sistem pendidikan Islam mula bertapak di malaysia. Pada era yang pertama, ianya dikenali sebagai era keamanan. Pada masa ini, pihak barat belum lagi datang ke tanah melayu untuk menjajah. Pendidikan agama Islam yang diterapkan seperti pengajian AlQuran oleh guru-guru Al-Quran telah diperkenalkan sejak berkurun lamanya. Selain itu, pengajaran ini juga disampaikan oleh individu-individu berketurunan Syed. Ini kerana pada ketika itu, ramai pedagang-pedagang arab yang berdagang ke Malaysia dan secara tidak langsung, mereka turut mengembangkan agama Islam di tanah melayu. Perjalanan mereka tidak terhenti di ditu sahaja, malah usaha murni tersebut telah di sambung oleh imam-imam sama ada di masjid mahupun surau dan segala pengajaran mengenai agama diterapkan tanpa mengira peringkat umur. Kaedah pengajaran dan perkembangan pendidikan pada masa ini masih lagi berkonsepkan non-formal. Di antara teknik dan kaedah yang digunakan dalam pelajaran seperti mengajar pengiraan, menulis jawi, mengajar hukum tajwid al-Quran, mempelajari perkara asas seperti fardhu ain dan fardhu kifayah, rukun Islam dan juga rukun iman. Waktu yang dikhususkan untuk proses pengajaran pendidikan Islam ini terbahagi kepada tiga pelajaran dalam sehari. Jam yang pertama ketika sebelah pagi iaitu selepas sembahyang subuh. Jam yang kedua pula selepas sembahyang zuhur iaitu sehingga masuk ke waktu asar. Faktor yang mendorong pendidikan sebegini mendapat perhatian adalah kerana tiada bayaran dikenakan sebaliknya pelajar-pelajar hanya membantu guru-guru mereka seperti membersihkan persekitaran tempat belajar, mencari kayu api ataupun mengerjakan sawah guru mereka. Kerja-kerja sebegini dilakukan ketika waktu senggang pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah mengulangi perkataan-perkataan arab di awal dan di akhir bacaan al-Quran. Apabila pelajar telah mahir, penekanan yang diberikan supaya pelajar dapat memahami dan tidak mudah lupa ialah dengan menyuruh pelajar menjadi imam di dalam sembahyang menggunakan surah yang telah dihafal. Ketika ini, pendidikan tak formal juga telah berlaku di mana pembelajaran daripada ibu bapa serta daripada orang yang lebih tua. Selain itu, kemahiran seperti membuat dan memperbaiki alat pertanian, kemahiran pertukangan dan kemahiran seni seperti silat juga turut di ajar. Kaedah perkembangan pendidikan pada zaman sebelum merdeka juga banyak diperluaskan melalui pihak istana. Pada ketika itu, pendidikan Islam telah diajar di istanaistana raja untuk dipelajari oleh sultan serta para kerabat di raja. Strategi ini sangat berkesan 4

kerana apabila sultan bagi sesbuah negeri telah menganut agama Islam, rakyat dan pengikutnya akan merasa tertarik dengan Islam itu sendiri. Peranan sultan juga sangat besar seperti menggalakkan penterjemahan buku-buku dan kitab daripada bahasa arab kepada bahasa melayu dengan tulisan jawi. Kaedah pendidikan pada waktu ini juga menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar. Antara kaedah-kaedah lain yang digunakan sebagai memberi pendidikan kepada masyarakat tanah melayu sebelum merdeka seperti menggunakan Penglipur Lara, Tukang Karut, mahupun Tok Selampit untuk menyampaikan cerita-cerita rakyat dan juga cerita-cerita mengenai kedatangan Islam.

3.1 ERA SEMASA KEDATANGAN PENJAJAH (1800 HINGGA 1956) 3.1.1 Sistem Persekolahan Pondok Pada era yang kedua pula, ianya disebut sebagai era kedatangan penjajah ke Tanah Melayu. Sekolah pondok yang didirikan merupakan sekolah agama tradisi bagi orang melayu. Pada peringkat permulaannya, kemudahan fasilitinya kurang memuaskan namun secara berperingkat, kesemua masalah terbabit diatasi dengan cara memperbaharui bangunan, mendirikan asrama bagi pelajar-pelajar yang jauh dari negeri-negeri lain dan sekolah pondok ini berdekatan dengan rumah guru yang mengajar di sekolah terbabit. Pelajaran yang diajar di sekolah ini diserapkan dengan pelajaran fardhu ain seperti pengajian al-Quran, hadith, tasawwuf, tauhid, dan juga bahasa arab. Selain itu, kaedah penulisan tulisan jawi, seni khat dan bacaan doa-doa harian turut diberi penekanan kepada pelajar sekolah pondok ini. Kesemua usaha ini bagi membentuk dan mendidik sahsiah diri pelajar terbabit supaya menjadi seorang yang berdisiplin disamping mengamalkan nilai-nilai murni dan taat kepada suruhan agama. Sistem pendidikan waktu ini adalah berasaskan sistem pondok yang diadakan di madrasah dan di sekolah-sekolah agama. Sekolah agama atau madrasah pesat membangun ketika tahun 1920-an hingga 1940-an. Contohnya, di Pondok Langgar, Pokok Sena di Kedah, Pondok Bukit Mertajam Seberang Prai dan Madrasah Al-Masyhur di Pulau Pinang. Sekolah agama atau madrasah lebih sistematik daripada sekolah pondok, iaitu dari segi kurikulum yang lebih berstruktur, waktu belajar yang tetap dan mempunyai peralatan seperti kerusi dan meja. Tujuan penubuhan dengan tujuan melahirkan pelajar yang bennoral tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat kelemahan pada sekolah agama atau madrasah ini seperti sekolah-sekolah ini tidak dapat melahirkan masyarakat Islam yang moden kerana tiada penekanan kepada Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Pada waktu tersebut, pengajaran pendidikan Islam tetap diteruskan seperti biasa tanpa ada campurtangan 5

daripada pihak british. Namun begitu, akibat daripada peperangan yang berlaku pada waktu tersebut, pembiayaan bagi perluasan pendidikan Islam terpaksa dibiayai oleh orang perseorangan serta organisasi-organisasi Islam orang melayu. Semenjak diturunkan wahyu pertama kepada Rasulullah s.a.w . maka Islam telah mengingatkan umat manusia bahawa agama adalah unsur yang sangat penting dalam pembinaan diri insan dan ketamadunan. Ia juga adalah satu prinsip asasi dalam mempertahankan survival sesebuah umat. Oleh itu, pendidikan yang berunsurkan agama amat dititik beratkan oleh Islam. Sehubungan itu, apabila Islam diperkenalkan di Nusantara, termasuklah kawasan di Semenanjung Tanah Melayu, proses yang sama juga berlaku yang terlihat dari awal lagi dalam bentuk yang tidak formal dan formal. Dalam bentuk yang tidak formal, proses pendidikan ilmu agama berlangsung dalam bentuk perseorangan di rumah, surau serta istana. Manakala pendidikan yang formal pula, ianya berlangsung dalam bentuk institusi yang didirikan secara khusus untuk menyebarkan ilmu-ilmu agama. Dalam masyarakat tradisional melayu, institusi ini dikenali sebagai pondok. Institusi pondok ini juga telah memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan ilmu-ilmu Islam dan juga penjana semangat kepada perubahan jiwa orang Melayu Islam.

3.1.2 - Pengenalan Pondok Perkataan pondok menurut sebuah kamus awal yang ditulis oleh Marsden diambil daripada perkataan Arab iaitu funduq yang bermaksud bangunan untuk pengembara. Dalam istilah yang terkini, ia membawa maksud hotel atau asrama. Istilah pondok merujuk kepada maksud sebuah institusi pendidikan kampung yang mengendalikan pengajaran agama yang mana guru yang lebih dihormati dengan panggilan tuan guru diakui kepakarannya oleh penduduk kampung yang menjemputnya untuk mengajar mereka yang ingin melanjutkan pengajian agama Islam . Pengajian ini merangkumi pengetahuan asas tentang undang-undang Islam dan pembacaan al-Quran ( Awang 1977,33 dan Nik Mohamed 1985,99). Dalam menterjemahkan maksud pondok ini, Zamakhsyari Dhofier (1980,44) mentakrifkan pondok sebagai sebuah pesantren yang pada dasarnya adalah sebuah asrama pendidikan Islam tradisional di mana para siswanya tinggal dan belajar di bawah bimbingan seorang guru atau lebih daripada itu. Guru ini lebih dikenali sebagai kiyai . Asrama untuk para siswanya berada dalam lingkungan bangunan pesantren di mana kiyai tersebut tinggal

di kawasan pesantren tersebut. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa kemudahan yang disediakan bersama seperti masjid untuk tempat beribadah, ruang untuk belajar dan kegiatan keagamaan yang lain. Daripada definisi-definisi di atas, kita dapat memahami bahawa institusi pondok adalah institusi pendidikan yang berunsurkan agama di mana ianya berperanan sebagai tempat pengajian ilmu-ilmu agama . Sehubungan dengan itu, institusi pondok juga merujuk kepada rumah- rumah kecil yang didirikan secara khusus sebagai kediaman pelajar yang datang mengunjungi seseorang tuan guru dan berhasrat untuk tinggal dan menjadi anak murid kepada guru tersebut. Secara umumnya, pondok-pondok ini di bina di sekeliling rumah tuan guru. Selain itu, kemunculan sesebuah institusi pondok berkait-rapat dengan kreadibiliti, kepakaran, kemahiran dan keilmuan seseorang guru dalam selok- belok ilmu agama. Ciri ini adalah penting dalam pembentukan dan pembangunan institusi pondok kerana kemunculan sesebuah pondok sangat berkait rapat dengan ketokohan tuan guru dan pewarisnya.

3.1.3 - Ciri-Ciri Pengajian Di Pondok Dalam perkembangan pengajian di pondok, terdapat beberapa ciri yang khusus yang membezakan antara pondok dengan institusi-institusi pendidikan yang lain. Hal ini di

sebabkan pengajian pondok menerapkan ilmu-ilmu yang berhubung kait dengan Islam .Penggunaan kitab-kitab arab dan jawi telah di laksanakan sebagai medium perantaraan untuk menerangkan sesuatu ilmu kepada pelajar. Selain itu, kurikulum pondok kebiasannya di gubal menurut kemahuan dan budi bicara tuan guru masing-masing. Perlaksanaan pengajian di pondok pula mengikut kaedah halaqah. Kaedah ini merupakan corak pengajian tradisional di mana tuan guru akan duduk bersila di hadapan anak muridnya sambil membuka kitab yang di letakkan di atas papan rihal atau meja yang kecil dan rendah. Muridmurid pula akan duduk bersila di hadapan tuan guru dengan membawa kitab yang di pelajari serta buku catatan. Corak pengajian seperti ini dikatakan sebagai warisan dari zaman awal Islam lagi iaitu ketika Rasulullah s.a.w memulakan dakwahnya ketika di Mekah dan Madinah. Para sahabat pada waktu itu dikatakan duduk mengelilingi dan berhampiran Rasulullah s.a.w untuk mendengar pengajaran yang disampaikan oleh baginda. Di samping itu, penuntut-penuntut yang datang untuk belajar di pondok tidak dihadkan umurnya. Sebaliknya, penuntut yang ingin memulakan pengajiannya hendaklah bermula pada peringkat permulaan. Pada peringkat ini,penuntut akan di ajar membaca dan menulis terlebih dahulu sebagai asas dalam proses pengajaran di pondok. Manakala bagi 7

penuntut yang sudah menguasai kedua-dua asas tadi, mereka akan di berikan pengecualian setelah menunjukkan tahap penguasaan ilmu yang memuaskan. Pelajar-pelajar pondok juga tidak ditetapkan pakaian rasmi ketika berada di pondok. Mereka hanya di tetapkan agar memakai pakaian yang menutup aurat dan tidak melanggar norma-norma dan nilai-nilai syarak. Kebiasannya, pelajar-pelajar pondok memakai kain sarung (kain pelikat), berbaju melayu dan berkopiah(berserban). Identiti berpakaian sedemikian merupakan kaedah yang berkesan bagi membentuk tingkah laku dan perwatakan pelajar ke arah persiapan membina insan yang berkeperibadian tinggi, warak dan bertaqwa. Selain itu, pakaian sedemikian lebih dikenali dan dihormati oleh masyarakat sehingga pelajar pelajar pondok di sebut sebagai lebai. Para pelajar pondok sama sekali tidak di benarkan berambut panjang .Oleh itu, mereka akan mencukur rambut dan ini menggambarkan identiti mereka yang berbeza

dengan masyarakat luar.(Ramli Awang 2006:24). Selain itu, pembinaan sesebuah pondok bergantung kepada sumber kewangan hasil daripada sumbangan dalam bentuk sedekah, fitrah dan zakat yang diberikan oleh anggota masyarakat. Guru yang mengajar pula memberikan perkhidmatan mereka secara sukarela . Hal ini menggambarkan mereka begitu bersungguh dalam menyampaikan ilmu kepada umat Islam. Hakikat ini merupakan contoh yang diwarisi daripada gurunya dan di amalkan dalam pengajian di pondok. Ciri seperti inilah yang dapat membangunkan keutuhan ketamadunan umat Islam di Tanah Melayu. Justeru itu, kedudukan tuan guru dalam kehidupannya adalah sederhana ,sara hidupnya bergantung pada usaha sendiri dan hasil pemberian masyarakat sekeliling pada sesuatu tempat. Keadaan ini memperlihatkan kepada kita bahawa institusi pondok mempunyai hubungan yang erat dengan penduduk sekitarnya.

3.1.4 - Peringkat-Peringkat Pengajian Pondok Dalam tradisi pengajian di pondok, para pelajarnya akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu ibtidai (permulaan atau bawah) ,thanawi( menengah) dan aliyy( atas atau tinggi). a) 1.4.1 Peringkat Ibtidai ( permulaan). Peringkat ini di khususkan bagi para pelajar yang masih baharu. Mereka akan belajar membaca dan menulis di samping membaca al-Quran .Mereka juga mempelajari asas-asas agama dengan menggunakan kitab-kitab jawi yang rendah dan mudah, menghafal matanmatan nahu dan saraf dalam bahasa Arab. Dalam bidang Fiqh pula, mereka akan mempelajari kitab-kitab asas seperti kitab Muniyyat al-Musalli dan perukunan. Dalam bidang usuluddin ,mereka akan menggunakan kitab Hidayah al-Sibyan , Diya al-Murid dan al-Durr

al-Thamin. Manakala dalam bidang nahu serta saraf pula, para pelajar menghafal matan alAjurumiyyah dan Tasrif al-Izzi. b) 1.4.2 Peringkat Thanawi (menengah) Pada peringkat ini, para pelajarnya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telahpun mempunyai asas-asas pengetahuan agama Islam. Mereka menggunakan kitab-kitab jawi yang lebih tinggi sedikit dalam semua bidang . Antara kitab-kitab yang di gunaka ialah Furu al-Masail ,Sabil al-Muhtadin dan Matla al-Badrayn wa Majma al-Bahrayn. Kitab-kitab ini di gunakan dalam bidang fiqh.Manakala dalam bidang usuluddin pula, kitab yang di gunakan ialah Bidayah al-Hidayah, Faridah al-Faraid, Minhaj al-Qarib dan Aqidah al-Najin. Dalam bidang tasawuf pula, kitab yang di gunakan seperti Minhaj al Abidin , Hidayah al-Salikin, AlHikam dan Kanz al-Manan. Selain itu, para pelajar akan di ajar beberapa buah kitab tafsir seperti Tafsir al-Baydawi dan Anwar al-Huda.

c) 1.4.3 Peringkat Aliyy( atas atau tinggi) Peringkat ini pula di khususkan kepada pelajar-pelajar yang lebih berkemampuan untuk mengikuti kursus dalam peringkat permulaan dan menengah. Ilmu yang di pelajari tidak berbeza, tetapi lebih meluas dan mendalam dengan menumpukan kepada kitab-kitab Arab di samping menekankan pengajian tatabahasa Arab iaitu nahu dan saraf. Antara kitab nahu yang di gunakan ialah matan al- Ajurumiyyah, matan Affiah Ibn Malik, Minhaj al-Masalik alAsymuni, Hasyiah ala Matan al-Tasrif .Manakala dalam ilmu saraf pula, kitab yang di gunakan ialah Kitab al-Tasrif dan Matan al-Tasrif. Kitab yang di gunakan dalam bidang fiqh pula ialah Hasyiah al-Bajuri, Hasyiah al-Khudri, Al-Iqna, Fath al-Wahhab, Fath al-Muin, Fath al-Qarib dan Ianah al-Talibin. Selain ilmu asas tersebut, terdapat juga ilmu yang lain seperti ilmu Arudh, Balaghah, Mantiq, Falak dan Usul Fiqh. ( Ramli Awang 2006: 22)

3.1.5 - Perkembangan Pondok Di Tanah Melayu Sejarah awal kemunculan institusi pondok di Tanah Melayu tidak dapat diketahui secara pasti. Secara umumnya, perkembangan pondok di Tanah Melayu agak lewat berbanding dengan negara-negara jiran ketika itu seperti Indonesia dan Pattani di selatan Thailand. Oleh itu, ada pendapat menyatakan bahawa penubuhan institusi pondok di beberapa kawasan di Tanah Melayu adalah pengaruh dari Acheh dan Pattani.Hal ini dapat di buktikan dengan penerimaan ajaran Islam lebih dahulu di terima oleh kedua-dua negara tersebut. Oleh kerana Islam tidak pernah terpisah dari pendidikan, maka sudah tentulah pendidikan 9

mengenai ilmu agama sama ada dalam bentuk formal atau informal telah wujud terlebih dahulu di negara tersebut. Selain daripada itu, terdapat bukti yang jelas menunjukkan bahawa kedua dua buah Negara tersebut pernah menjadi pusat pendidikan ilmu-ilmu Islam yang penting dalam abad ke 17 dan 18. Sehubungan itu, terdapat juga laporan yang menunjukkan bahawa terdapat tokoh-tokoh ulamak Tanah Melayu yang telah berkunjung ke Pattani dan Acheh dengan tujuan menuntut ilmu sama ada dalam perjalanan atau kepulangan mereka dari Semenanjung Tanah Arab.Walaupun pendidikan Islam melalui institusi pondok di Malaysia agak lewat, namun ianya tidak bermaksud bahawa penyebaran Islam melalui pendidikan tidka berlaku. Sebaliknya, sejarah telah menunjukkan bahawa sebelum penubuhan intitusi pondok secara rasmi, pendidikan Islam sudah berjalan secara persendirian iaitu di rumah, surau dan istana ( Nik Mohamed 1985: 98). Selain daripada itu, negeri Kelantan merupakan negeri yang banyak

menyumbangkan perkembangan pondok di Tanah Melayu. Terdapat fakta yang menyatakan bahawa individu yang awal dikenal pasti menyebarkan pendidikan Islam melaui penubuhan pondok ialah Tuan Syeikh Haji Abdul Halim . Beliau memperkenalkan pendidikan Islam di Kelantan pada akhir abad ke-18 Masihi setelah menamatkan pengajiannya di Mekah. Pada peringkat permulaan , beliau hanya mengajar di istana sultan dan juga surau-surau untuk anak raja, anak pembesar dan orang ramai. Beliau menyampaikan pengajarannya secara lisan menggunakan kitab-kitab Arab yang diterjemahkan dan disampaikan pengajarannya dalam bahasa Melayu. Kemudian, kesinambungan pengajarannya di teruskan oleh anaknya iaitu Haji Yaakub yang juga seorang ulamak dan guru agama yang masyhur di Kelantan ketika itu ( Nik Mohamed 1985: 99 dan Ismail 1991: 2). Dalam sesetengah keadaan, kreadibiliti dan keilmuan seseorang ulamak telah menjadikannya terkenal sehingga golongan ini di jadikan sebagai tempat rujuk dan tumpuan ramai penuntut yang berusaha mendalami ilmu-ilmu Islam. Keilmuan dan kepakaran guru tersebut menjadikannya individu yang terkenal bukan sahaja di kalangan masyarakat setempat,bahkan mereka sangat masyhur di merata tempat.Oleh yang demikian, sejarah perkembangan pendidikan Islam di Semenanjung Tanah Melayu memberikan indikasi bahawa institusi pondok pada peringkat awal perkembangannya bukanlah satu perkara yang dirancang. Namun, penubuhan pondok-pondok ini adalah sumbangan ulamak-ulamak yang telah lama menetap di Mekah dan Madinah ketika mendalami ilmu-ilmu agama kerana kedua-dua tempat tersebut merupakan pusat pengajian dan pendidikan Islam yang masyhur pada waktu itu. Lantaran itu, kebanyakkan institusi pondok di Tanah Melayu telah di buka oleh ulamak-ulamak yang menuntut ilmu di Tanah Arab. 10

Di samping itu, pondok yang terawal di bina pada abad ke 19 ialah pada tahun 1820 di Kampung Surau Pulai Chondong,Kelantan. Pondok ini telah di bina oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Abdullah atau dikenali dengan gelaran Tok Pulai Chondong( 17921873M). Beliau di lahirkan di Kampung Bukit,Pulai Chondong ,Kelantan. Beliau telah mendapat pendidikan di Pattani dan kemudiannya menuntut ilmu di Mekah pada tahun 1808. Setelah pulang dari Mekah, beliau telah menggantikan ayahandanya sebagai imam di kampungnya. Kegiatannya yang bercorak pendidikan dan pengajian ilmu agama telah mendorong beliau untuk memperkenalkan system pendidikan yang bercorak pondok di kampungnya.Kemudian, pengajaran di pondok ini telah di ambil alih oleh anaknya iaitu Haji Muhammad Arshad selepas di amanahkan oleh ayahnya. Perkembangan pondok Pulai Chondong yang begitu pesat pada abad ke-19 telah menjadi pudar apabila Tuan Guru Muhammad Arshad meninggal dunia. Hal ini kerana tiada individu yang ingin meneruskan peranan pondok itu pada ketika itu. ( Nik Mohamed 1985: 100). Kesan daripada penubuhan pondok-pondok di Tanah Melayu, maka perubahan perubahan dalam pendidikan Islam telah banyak membawa perubahan dalam masyarakat Islam dan dapat di lihat kesannya sehingga hari ini. Di antaranya ialah penubuhan pondok telah meninggikan martabat tulisan jawi melalui penyebaran dan pembacaan kitab dalam tulisan jawi. Penggunaan kitab tersebut telah meningkatkan dan meninggikan martabat tulisan jawi dalam kalangan pelajar dan penduduk setempat.Selain itu, pondok telah di iktiraf sebagai tempat rujukan masyarakat setempat dalam masalah berkaitan dengan hukumhukum dan isu-isu yang berkaitan dengan syariat Islam. Oleh yang demikian, masyarakat telah menaruh rasa penghormatan yang amat tinggi kepada tuan guru dan murid-murid yang telah menyumbangkan khazanah ilmu Islam kepada penduduk setempat (Rahim 1983: 9-11).

3.1.6 Sistem Persekolahan Madrasah Antara inisiatif yang dilakukan seperti menubuhkan Madrasah dan ilmu yang ditekankan berkaitan ilmu keduniaan (Fardhu Kifayah) dan ilmu akhirat (Fardhu Ain). Perkembangan yang dapat dilihat melalui sistem madrasah ini ianya merupakan sekolah agama moden yang mempunyai infrastruktur yang lebih kemas, lengkap dan teratur. Penekanan yang diberikan lebih kepada ajaran-ajaran Reformis dari Asia Barat dan tumpuan lebih kepada golongan muda. Sukatan pelajaran pula dibahagikan kepada dua iaitu sukatan pelajaran agama Islam dan latihan vokasional seperti perdagangan dan pengiraan (ilmu hisab). Taraf pendidikan juga menjadi lebih tinggi seperti Madrasah Al-Syamur, Pulau Pinang dan Madrasah di Kota Bharu. Daripada pendidikan di madrasah, pelajar akan disarankan supaya 11

menyambung pengajian ke universiti-universiti di Timur Tengah seperti Al-Azhar di Mesir dan juga Masjidil Haram, Mekah. Atas desakan dan kesedaran orang Melayu untuk memperluaskan peluang pendidikan untuk kanak-kanak Melayu kaum Melayu mula mendesak pihak kerajaan Inggeris memperbaiki keadaan pendidikan di sekolah-sekolah Melayu. Maka pada tahun 1950 satu Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh L.J.Barnes telah ditugaskan untuk menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan orang Melayu. Pada tahun 1951 terbentuklah

Jawatankuasa L.J.Barnes fokusnya kepada pendidikan orang Melayu dan membawa kepada seluruh sistem pendidikan perlu dirombak semula. Pendidikan agama telah mengalami perubahan dan perkembangannya apabila wujudnya gerakan pembaharuan di dunia Islam ketika itu terutamanya di Timur Tengah. Kemudian, lahirlah sistem madrasah yang lebih sistematik dan lebih formal daripada sistem pondok. Madrasah ini kemudiannya berkembang dengan pesatnya di seluruh Tanah Melayu. Perkembangan madrasah amat pesat di Johor dan mempunyai keperibadiannya yang tersendiri. Ia berkaitan dengan adanya pendidikan agama yang berbentuk formal sejak abad ke-19 lagi. Johor sejak pertengahan abad ke-19, mempunyai sistem pentadbiran agama yang agak kemas apabila Jabatan Agama dimasukkan dalam Undang-undang Tubuh kerajaan Johor pada tahun 1885. Pendidikan formal bermula apabila Madrasah al-Attas, Johor Bahru ditubuhkan pada tahun 1913 (Koharuddin Mohd. Balwi). Selain itu, kemunculan madrasah ada disebut dalam akhbar Neracha terbitan 20 Ogos 1913. Akhbar ini menyebutkan ketika itu sudah ada berpuluh-puluh madrasah yang ditubuhkan di negeri Perak dan pelajaran yang diberi agak mendalam dan meluas dibandingkan dengan sistem pondok (Sabri Said, 1983: 21). Menurut Prof. Khoo Kay Kim, madrasah mempunyai organisasi yang lebih tersusun dan mempunyai persamaan dengan sekolah sekular. Oleh itu, institusi pondok yang menggunakan sistem umumi telah bertukar kepada sistem nizam. Sistem nizam mula berkembang ke rantau ini apabila lepasan pondok menyambung pelajaran mereka ke Mesir, Beirut, Makkah dan India. Pada awal kurun ke 20, pelajar-pelajar melayu dikatakan mula memasuki Universiti al-Azhar, Mesir. Antara graduannya yang terkenal ialah Syed Syeikh alHadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Apabila pulang ke tanah air, mereka cuba memperkenalkan sistem pengajian moden dengan mendirikan madrasah-madrasah yang sistem pengajiannya lebih teratur dan tersusun daripada pengajian pondok. Sistem persekolahan (madrasah) ini telah mendapat sambutan daripada masyarakat setempat. Dikatakan selepas tahun 1900 M, kemasukan pelajar-pelajar ke institusi madrasah amat menggalakkan. (Abdullah Ishak, 1995: 246) 12

Di madrasah, cara pengajaran lebih berbentuk sekular yang tidak lagi menggunakan kaedah halaga dan pelajaran secara tadah. Sungguhpun begitu, terdapat sekolah pondok yang menggunakan nama madrasah tetapi tidak mengikut sistem madrasah seperti diamalkan oleh kaum muda (Mohd. Isa Othman, 2002: 209). Wujudnya perubahan ini dikatakan kerana berlakunya konflik yang hebat mengenai soal-soal agama antara kaum muda yang terdiri daripada golongan yang berpendidikan daripada Timur Tengah seperti Universiti al-Azhar, Mesir dengan kaum tua yang menjadi kepada pengasas sistem pengajian pondok. Akibat daripada perbalahan tersebut, kaum muda telah membuat penyesuaian dari sistem pengajian cara pondok. Antara ciri-ciri sistem madrasah ialah Walaupun sistem madrasah mempunyai kurikulum yang tertentu serta struktur yang hampir menyerupai sekolah sekular, akan tetapi bahasa Arab kekal sebagai bahasa pengantar dan para pelajar juga diberikan peluang untuk mempelajari bahasa Inggeris selain subjek-subjek moden seperti sains dan matematik (Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, 1983: 272). Kaum Muda memainkan peranan penting mengembangkan sistem pendidikan madrasah. Mereka merupakan golongan konservatif yang mahu mengekalkan amalan tradisi orang Melayu dalam bidang agama (Abdullah Haji Jaafar, 1985). Antaranya tokoh-tokoh yang berpendidikan Arab seperti Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin merupakan tokoh-tokoh berpengaruh dalam Kaum Muda. Madrasah al-Iqbal merupakan madrasah pertama didirikan di Singapura pada tahun 1907. Pada tahun 1917, Syed Sheikh al-Hadi menubuhkan Madrasah Al-Hadi di Melaka dan pada tahun 1919, beliau berpindah ke Pulau Pinang menubuhkan Madrasah al-Masyhor dengan kerjasama beberapa orang Arab (Roff, W.R, 2003: 83). Madrasah ini kemudian menjadi terkenal dan menjadi pusat pengajian terpenting. Di Kedah ditubuhkan Madrasahtul Hamidiah di Limbung Kapal atas daya usaha Syeikhul Islam Wan Sulaiman Wan Sidik dan Tunku Mahmud. Madrasah ini akhirnya berkembang menjadi maktab Mahmud. Di Terengganu pula, madrasah pertama ditubuhkan pada tahun 1925 dengan penubuhan Madrasah Arabiah yang kemudian ditukar menjadi Madrasah Sultan Zainal Abidin. Di negeri-negeri Melayu yang lain juga terdapat juga pendidikan bercorak madrasah tetapi pengaruhnya tidaklah begitu besar (Mohd. Isa Othman, 2002: 209-210). Di Kelantan, penubuhan Madrasah Muhammadiah pada tahun 1917 merupakan sokongan kepada pendidikan madrasah di Kelantan. Madrasah Muhammadiah melancarkan progaram pendidikan oleh Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang ditubuhkan pada tahun 1915, dengan pengajaran tiga bahasa iaitu Melayu, Arab dan Inggeris. Pada tahun 1918, majlis ini cuba untuk menggabungkan beberapa buah pengajian pondok yang ada tetapi terpaksa dihentikan disebabkan kekurangan wang. Walau bagaimanapun, 13

madrasah tersebut terus meningkat maju dan ramai di antara para pelajar di situ yang melanjutkan pelajaran mereka di Kolej Melayu Kuala Kangsar atau di Penang Free School dan sebagainya. Selain itu, sebuah madrasah di Perak umpamanya menyediakan kursus yang antara lain termasuklah pelajaran komersil, matematik, sejarah, bahasa Inggeris, perniagaan, teknik bertanam padi, membuat sabun dan kicap. (Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, 1983: 272). Melihat kepada sistem pengajian madrasah adalah berbeza dengan sistem pengajian pondok yang lebih menggunakan sistem umumi, manakala madrasah menggunakan sistem nizam iaitu sistem pengajianya lebih teratur dan tersusun. Sebagai contohnya, Madrasah AlUlum Al-Syariah, Bagan Datoh di Perak. Madrasah ini diasaskan oleh Haji Muhammad Arshad Haji Muhammad Salleh di atas kesedaran yang timbul setelah melihat kejayaan yang dicapai hasil dari perjalanan dan pendidikan yang dilaksanakan di madrasah-madrasah di Kota Mekah. Sukatan pelajaran yang disediakan oleh madrasah ini adalah kemas, teratur, bermutu tinggi di samping ketinggian semangat dan kesedaran guru-guru untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di kalangan anak bangsa. Oleh sebab itulah, ia menarik minat ibu bapa untuk menghantar anak mereka belajar di madrasah ini. Selain itu, di madrasah ini juga mempunyai sistem bilik darjah, peperiksaan akhir tahun untuk menentukan kenaikan darjah, penggunaan buku laporan murid-murid, cara pengajaran moden, penggunaan sistem jadual waktu, pengkhususan bidang pelajaran yang diajar oleh seorang guru, penggunaan buku catatan dan bacaan yang teratur, penetapan pakaian seragam, mengeluarkan surat akuan dan sijil bila tamat tamat pengajian dan pengelolaan pentadbiran yang teratur di bawah seorang Mudir dan Jawatankuasa Madrasah. (Sabri Said, 1983: 21). Sebelum Perang Dunia Kedua, madrasah ini hanya menyediakan dua peringkat kelas sahaja iaitu kelas Tahdiri (persediaan) dan kelas Ibtidai. Mata pelajaran bagi peringkat tahdiri hanya merupakan pelajaran asas sahaja untuk membolehkan mereka meningkat ke kelas ibtidai. Sebelum seseorang penuntut itu diterima masuk, terlebih dahulu akan ditemuduga atau diuji melalui imtihan (ujian lisan) oleh pihak madrasah. Antara persoalan dikemukakan dalam imtihan tersebut ialah latar belakang diri dan keluarga, di samping menguji sejauhmana pencapaian dan kebolehan dalam pengetahuan am. Selain itu, mereka juga diminta membaca sebuah kitab yang disediakan oleh pihak madrasah. Melalui imtihan inilah ditentukan kelayakan ke tingkatan yang bersesuaian dengan kemampuan seseorang. Jika sekiranya penuntut itu mempunyai keceradasan otak, ia akan terus dimasukkan ke darjah dua ibtidai (Sabri Said, 1983: 64-65).

14

Kelas ibtidai biasanya mengambil masa empat tahun dan setelah lulus barulah penuntut itu dibenarkan melanjutkan pelajaran ke peringkat Thanawi. Kelas Thanawi pada peringkat awal diwujudkan mengambil masa selama tiga tahun. Namun selepas merdeka iaitu pada tahun 1960, masa kursus telah ditambah setahun lagi menjadi empat tahun. Perubahan ini adalah kerana memandangkan penuntut tidak dapat mendalami pelajaran yang diberi sekiranya jangka masa kursus itu selama tiga tahun sahaja. Madrasah ini seterusnya mengalami perubahan yang drastik iaitu dengan membuka kelas untuk peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selain itu, kelas-kelas juga turut berubah iaitu dari kelas tingkatan I, II, III, IV dan V. Penuntut dibenarkan mengambil SRP ketika berada di kelas Thanawi II dan SPM ketika di kelas Thanawi IV. Ini bermakna penuntut madrasah ini akan memperolehi dua sijil jika lulus iaitu sijil-sijil agama dan akademik (Sabri Said, 1983: 65-66). Antara mata pelajaran yang diajar di madrasah ini untuk kedua-dua peringkat kelas termasuk pelajaran akademik ialah: (Sabri Said, 1983: 66-67). a) Pelajaran Peringkat Menengah Rendah/Ibtidai: i. Mata pelajaran Arab: mutalaah, nahu, saraf, mahfuzat, qiroah, khat, insyak dan imlak. ii. Mata pelajaran ilmu agama: al-Quran, al-Hadis, tauhid, feqh, sejarah Islam dan tajwid. iii. Mata pelajaran akademik: bahasa Malaysia, sejarah, geografi, ilmu hisab, sains, lukisan dan bahasa Inggeris.

b) Pelajaran Peringkat Menengah Atas/Thanawi: i. ii. iii. Mata pelajaran Arab: Arobian, Insyak, terjemahan, mutalaah, balaghah dan mahfuzat. Mata pelajatan ilmu agama: tafsir al-Quran dan al-Hadis, usul al-Quran dan alHadis, tauhid, usul feqh, tarikh al-Islam, faraid dan hukum pembahagian harta. Mata pelajaran akademik: sama seperti pada peringkat menengah rendah/ibtidai.

Semua pelajaran untuk kelas ibtidai dijalankan dalam bahasa Malaysia tetapi penekanan terhadap bahasa Arab menjadi keutamaan. Tujuannya ialah supaya setelah penuntut ini berjaya menamatkan kelas ibtidai, sekurang-kurangnya mereka dapat memahami struktur bahasa Arab yang mudah. Berdasarkan kepada keseluruhan perbincangan tentang sistem pengajian madrasah sebelum merdeka, dapatlah dirumuskan bahawa pendidikan madrasah mengalami banyak tranformasi dari segi sistem pendidikan, kurikulum dan sebagainya. Kalau dilihat kembali kepada perkembangan pengajian madrasah ini, ia merupakan satu daya usaha yang dilakukan oleh kaum muda yang ingin melihat satu perubahan khususnya dalam sistem 15

pendidikan Islam. Kebanyakkan kaum muda adalah golongan terpelajar yang mendapat pendidikan di Timur Tengah seperti Universiti al-Azhar, di Mesir dan terpengaruh dengan perkembangan pendidikan madrasah-madrasah di sana yang lebih tersusun dan teratur. Selain itu, apa yang lebih penting ialah sistem pengajian madrasah merupakan kesinambungan daripada sistem pengajian pondok yang kemudianya diubahsuai mengikut keperluan masyarakat serta perkembangan dalam dunia pendidikan hari ini.

3.1.7 Sistem Persekolahan Vernakular Sekolah vernakular merujuk kepada sekolah yang menggunakan bahasa ibunda bagi kaumkaum tertentu di dalam pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (P&P) di sekolah. Terdapat tiga jenis sekolah vernakular, iaitu Melayu, Cina dan Tamil. Sekolah vernakular Melayu yang pertama sekali ditubuhkan ialah pada tahun 1855, iaitu di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Sekolah Melayu Gelugor, Pulau Pinang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Pada tahun 1872, A.M. Skinner memperkenalkan persekolahan dua sesi, iaitu: i. Persekolahan sesi pagi a. Bahasa Melayu, Matematik, Ilmu Alam b. mata pelajaran vokasional

ii.

Persekolahan sesi petang a. Bahasa Arab b. al-Qur'an

Sebelum tanah melayu merdeka, sekolah vernakular turut ditubuhkan mengikut pecahan kaum di tanah melayu. Antaranya seperti sekolah bagi kaum melayu, sekolah khas untuk kaum Cina dan juga sekolah khas untuk kaum India. Faktor penubuhan sekolah ini merupakan ideologi daripada pihak british yang mengamalkan dasar pecah dan perintah ataupun Divide and Rule. Sekolah-sekolah ini dibolehkan menggunakan bahasa ibunda masing-masing mengikut kaum ketika di dalam pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini telah diteruskan sehingga ke era selepas kemerdekaan iaitu sehingga ke hari ini.

16

3.1.7.1 Sistem Sekolah Melayu Selain itu, beberapa permasalahan lain turut berlaku seperti kekurangan guru merupakan faktor tiada penubuhan sekolah menengah Melayu pada waktu itu. Hal sebegini telah mendorong sehingga tertubuhnya dua buah maktab perguruan, iaitu i. ii. MPSI (Maktab Perguruan Sultan Idris) di Tanjung Malim pada tahun 1922. MPPM (Maktab Perempuan Melayu Melaka) di Melaka pada tahun 1935.

Pada tahun 1855, sekolah Melayu dibuka di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan diikuti dengan dua buah sekolah Melayu di Singapura, iaitu di Telok Belanga dan Kampung Gelam. Pada zaman pernerintahan British di Tanah Melayu, sekolah Inggeris mula diperkenalkan. Contohnya seperti : i. ii. King Edward VII, Taiping di Perak dan Clifford School, Kuala Lipis, Pahang.

Namun begitu, sekolah pondok masih juga diteruskan di kalangan penduduk Melayu sebagai pemantapan kepada rohani dan jiwa kaum Melayu itu sendiri. Selepas itu, muncul pula sekolah vokasional Melayu juga telah diadakan untuk melatih kumpulan buruh. A.M. Skinner yang juga merupakan salah seorang nazir sekolah pada tahun 1870-an telah merombak sekolah Melayu dan menjadikannya dua sesi, iaitu sesi pagi untuk pelajaran biasa dari sesi petang untuk pembelajaran agama.

3.1.7.2 Sistem Sekolah Cina Dalam waktu yang sama, sekolah vernakular Cina juga ditubuhkan pada tahun 1815 oleh kumpulan pendakwah baru Persatuan Pendakwah London. Namun, terdapat juga sekolah Cina yang dibuka oleh orang perseorangan seperti dari golongan yang berada dan saudagar cina yang kaya. Sekolah Cina telah menggunakan bahasa Cina/Mandarin (Kuv Yu) sebagai bahasa pengantar, manakala guru-guru dan buku teks yang digunapakai diimpot dari Negara China. Contoh sekolah vernakular Cina ialah i. ii. SJK (C) Hua Lian, Tanjung, Perak dan SJK (C) Chung Hwa, Kota Bharu, Kelantan. 17

Kelas Bahasa Cina diadakan di semua `Free School', iaitu di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura, namun la gagal dan telah dihentikan. Senario di sekolahsekolah Cina pula agak berbeza kerana sekolah-sekolah ini dibiayai oleh masyarakat Cina yang terdiri daripada golongan peniaga. Sekolah-sekolah Cina ini berkembang pesat dan diteruskan ke peringkat sekolah menengah. Pada peringkat awal, iaitu pada tahun 1917, sekolah Cina mula mendapat bantuan dari Negara China dan telah menggunakan bahasa "Kuo Yue". Namun, apabila mulai tahun 1920-an, sekolah-sekolah ini diberi pilihan sama ada untuk mendapat bantuan dari Negara China atau kerajaan tempatan.

3.1.7.3 Sistem Sekolah Tamil Selepas wujudnya sekolah melayu dan juga sekolah khas untuk kaum cina, kaum India turut merasa tempiasnya lantas kaum ini telah menubuhkan sekolah Tamil bagi kaum India sahaja. Sistem sekolah vernakular Tamil pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar manakala guru, sukatan kurikulum dan buku teks telah di impot dart India. Salah satu contoh sekolah tamil yang mula-mula ditubuhkan seperti SJK (T) Manikavasagam, Tanjung Malim, Perak. Bertitik mula daripada itu, pada tahun 1925, Kod Buruh telah berkuat kuasa di mana semua estet yang mempunyai 10 orang kanak-kanak dalam umur persekolahan diwajibkan untuk menyediakan sekolah yang bertujuan rnembasmi buta huruf. Sekolah-sekolah di estet ini kebanyakkannya merupakan Sekolah jenis Kebangsaan Tamil (SJK) Tamil kerana majoriti penduduk yang tinggal di estet Tanah Melayu pada ketika itu merupakan buruh yang dibawa daripada India lantas mereka bermastautin di kawasan tersebut dan mendapat hak kerakyatan menetap di Tanah melayu. Sekolah-sekolah tamil mula berkembang selaras dengan perkembangan dalam sektor perladangan kopi, getah dan kelapa sejak tahun 1870-an. Sekolah Tamil telah diadakan untuk majikan estet dan hanya di peringkat sekolah rendah sahaja.

18

3.1.7.4 Sistem Sekolah Inggeris Sekolah Inggeris hanya terdapat di kawasan bandar dan sekolah ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utamanya. Pendidikan bahasa Inggeris mula diperkenalkan di kalangan anak bangsawan Melayu pada tahun 1905. Penang Free School (1816 ) merupakan salah sebuah sekolah Inggeris pertama yang ditubuhkan di Tanah Melayu. Kebanyakkan guru-guru yang mengajar di sekolah Inggeris ini terdiri daripada paderi yang mendapat pendidikan di Eropah. Sewaktu pemerintahan Jepun dari tahun 1941 hingga 1956, Pendidikan Tamil dan Pendidikan Melayu diteruskan dengan ditambah bahasa Jepun. Penubuhan Vernakular Cina dan Inggeris.

sekolah Nippon-Go untuk menggantikan Sekolah

Pengajaran lebih ditekankan kepada lagu-lagu klasik Jepun dan Kebudayaan Masyarakat Jepun. Selepas tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1946 , Inggeris kembali semula ke Tanah Melayu. Keadaan sistem pendidikan diwaktu ini bercelaru, orang Melayu telah mula kuat semangat nasionalisme dan masyarkat Cina, India masih mahu kekal bermastautin di Tanah Melayu. Selain daripada itu, beberapa individu dikalangan orang Melayu mula timbul kesedaran untuk memajukan pendidikan kerana kaum Melayu pada waktu itu mula menyedari melalui pendidikan, ekonomi dan sosial orang Melayu dapat di tingkatkan. Walau bagaimanapun, sekolah-sekolah lnggeris yang dikendalikan oleh mubaligh Kristian adalah terbuka kepada semua kanak-kanak tanpa mengira ras dan agama. Sistem pendidikan ini sejak awal lagi telah meninggalkan kesan yang mendalam dari segi meningkatkan persaingan hebat di kalangan semua kaum. Sejak pertengahan tahun 1870-an, kaedah pengajaran yang digunakan adalah `monitoral system' di mana guru-guru dibawa dari England clan kos perbelanjaan untuk tujuan ini kian meningkat. Justeru, Jawatankuasa Wooley pada tahun 1870-an telah membuat penelitian dan mencadangkan agar alternatit lain diperoleh clan hasil daripada laporan ini, maka sistem "bekerja sambil belajar" telah diperkenalkan. Pendudukan Jepun telah banyak menjejaskan perkembangan di dalam bidang pendidikan. Selepas Jepun meninggalkan Tanah Melayu, sekolah dan kolej berfungsi kembali setelah proses membaiki bangunan dan melengkapkan kemudahan serta peralatan sekolah siap selepas tahun 1946.

19

3.2 ERA PENDIDIKAN DI ISTANA Semasa zaman sebelum merdeka, pendidikan Islam telah berkembang di istana-istana dengan pesat sekali. Kesemua kejayaan pendidikan ini merupakan hasil usaha daripada pedagang-pedagang yang merantau ke Tanah Melayu. Pada awalnya, pendidikan di istana ini diajarkan kepada golongan-golongan pembesar dan juga kerabat-kerabat diraja. Teknik ini menampakkan kesan yang cukup mendalam kerana ramai raja-raja melayu yang memeluk Islam setelah penyebaran pendidikan islam tersebar luas. Salah satu faktor yang memudahkan penyebaran Islam berlaku di tanah Melayu ialah apabila seseorang pembesar ataupun raja di sesebuah negeri memeluk agama Islam, rakyat jelata turut merasa tertarik untuk menganut agama Islam tersebut. Selain itu, terdapat juga raja-raja Melayu yang berkahwin dengan masyarakat luar seperti daripada negeri China, Siam dan lain-lain lagi. Kaedah pengajaran yang dibawa cukup mudah iaitu dengan mengajar sesuatu perkara itu dengan buku-buku dan kitab arab yang sudah diterjemahkan kepada bahasa melayu. Selain itu, penggunaan tulisan jawi turut ditekankan kerana tulisan jawi merupakan tulisan bahasa arab tetapi hanya bunyi dan sebutannya sahaja yang berbeza. Menurut fakta sejarah, bahasa pengantar yang digunakan menggunakan bahasa Arab dan juga bahasa Melayu. Dengan itu, ianya memudahkan segala urusan untuk menyebarkan dakwah Islam.

20

4.0 - KESIMPULAN Memetik kata-kata Yusof Al Qaradhawi seorang sarjana dan tokoh pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, beliau mengatakan Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang berlaku. Oleh itu, untuk melihat maju atau mundur sesebuah negara bergantung kepada genarasi mudanya. Dalam konteks ini, pendidikan dilihat sebagai wahana terbaik dalam melahirkan generasi yang dinamik, progresif, cemerlang, berakhlak dan berhemah tinggi. Sememangnya sering diperkatakan bahawa anak muda merupakan pewaris kepada kepimpinan negara di masa hadapan. Golongan ini merupakan pelapis berjiwa kental yang menjadi aset dalam memacu kelangsungan pembangunan negara. Lantaran itu, pendidikan mampu mematangkan golongan muda dari aspek keintelektualan ilmu, kewarasan akal, kemurnian budi, kecerdasan minda dan keterampilan sahsiah. Rentetan itu, hala tuju dan falsafah pendidikan harus ditekankan dan dijayakan dalam perkembangan pendidikan di Malaysia. Jika melihat kepada sorotan sejarah pendidikan di negara ini, pastinya kita sedar bahawa pendidikan di negara kita telah melalui pelbagai peringkat. Perkembangan pendidikan di Malaysia jelas menunjukkan perbandingan yang ketara dalam hala tuju dan falasafah pendidikan era sebelum merdeka dan zaman pascamerdeka. Pendidikan di Malaysia telah melalui saat suka dan duka serta sering berlaku perubahan demi perubahan untuk memartabatkan pendidikan di negara ini. Bermula dengan era masyarakat tradisional dan berubah pada era penjajahan. Pihak penjajah telah memperkenalkan Sekolah Vernakular, Sekolah Inggeris dan bagi memantapkan lagi sistem pendidikan pada masa itu beberapa laporan di buat antaranya Laporan Barnes 1950, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran 1952 dan Laporan Razak 1956. Pendidikan selepas merdeka menunjukkan perkembangan yang ketara bermula dari tahun 1957 hingga 2010 yang memperlihatkan pelbagai usaha dalam meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia.

21

5.0 RUJUKAN

Abdullah Haji Jaafar (1985), Sejarah Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya. Abdullah Ishak (1995), Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Awang Had Salleh, (1977), Institusi Pondok Dalam Masyarakat Melayu dan Tradisi, di sunting oleh Dr. Zainal Kling ,Kuala Lumpur: Utusan Melayu Berhad. Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya (1983), Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd. Ismail Che Daud,(1991), Sekolah Pondok di Kelantan :Satu Tinjauan Umum ,Warisan Kelantan X, Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan. Mohd. Isa Othman (2002), Sejarah Malaysia (1800-1963), Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Nik Mohamed bin Nik Mohd Salleh, (1985),Warisan Kelantan ke 4 ,Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan. Rahim bin Abdullah ,( 1983), Beberapa Aspek Warisan Kelantan II,Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan. Ramli Awang, (2006), Perkembangan Institusi Pondok Di Nusantara, Skudai: Universiti Teknologi Malaysia. Roff, W.R. (2003), Nasionalisme Melayu, (terj) Ahmad Boestamam, Kuala Lumpur: Penerbitan Unversiti Malaya. Sabri Said (1983), Madrasah Al-Ulum Al-Syariah Perak 1937-1977: Satu Kajian Pendidikan Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Rujukan Internet

Mohd. Koharuddin Mohd, Tradisi Keilmuan dan Pendidikan Dalam Tamadun Melayu Di Nusantara, Jurnal Kemanusiaan (atas talian) www.fppsm.utm.my/download/doc

22

You might also like