You are on page 1of 14

HASIL KAJIAN

Kegiatan ekonomi yang telah saya kaji ialah penghasilan batik oleh Mak Cik Siti binti Ahmad. Usaha penghasilan batik tempatan telah dimulakan oleh Mak Cik Siti bin Ahmad sejak tahun 1973. Pada ketika itu, beliau memulakan proses menghasilkan batik untuk kegunaan sendiri dan berniaga secara kecil-kecilan sahaja. Batik yang dihasilkannya digunakan sebagai pakaian sekeluarga. Kadangkala, beliau pun menerima tempahan secara kecil-kecilan daripada saudara-saudarinya sahaja. Oleh hal yang demikian, penghasilan batik pun dapat menjana pendapatan yang secukupnya untuk beliau sekeluarga sahaja. Beliau banyak bergantung pada penghasilan batik untuk mencari nafkah and menyara kehidupan sekeluarga. Beliau juga dibantu oleh suaminya, Encik Kamil bin Samad. Sebenarnya, Encik Samad seorang petani pada masa itu. Selepas pulang dari sawah, beliau pun bertungkus lumus membantu insterinya untuk menghasilkan batik. Kedus-dua orang anak mereka walaupun masih kecil pada masa itu, namun mereka sudah mula membantu ibu bapa mereka untuk menghasilkan batik. Mereka menyediakan kain dan peralatan-peralatan lain yang diperlukan untuk menghasilkan batik. Mereka juga mula mempelajari cara membuat batik sejak kecil lagi. Tidak lama kemudian, mereka sekeluarga sudah mula mengkraf batik. Penghasilan batik sudah pun menjadi suatu kebiasaan dalam keluarga mereka. Selepas pulang dari sekolah, anakanak mereka sudah bersedia untuk membantu ibu kesayangan mereka untuk menghasilkan batik. Encik Samad juga telah meletakkan jawatannya di sawah untuk membantu isterinya menghasilkan batik. Pada masa itu, tempahan bagi batik mereka semakin meningkat. Tenaga kerja yang hanya terdiri daripada keempat-empat ahli keluarga Mak Cik Siti, masih mampu memenuhi kehendak pelanggan and menyiapkan tempahan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan. Pada masa itu, jumlah pelanggan semakin meningkat kerana kebolehpercayaan dan keamanahan mereka dalam menjalankan tugas. Perniagaan mereka semakin ternama dalam kalangan penduduk setempat.

Perniagaan mereka pada mulanya hanya dijalankan secara kecil-kecilan di halaman belakang rumahnya sahaja. Namun apabila modal perniagaan semakin meningkat akibat perniagaan yang semakin berkembang, mereka juga memindahkan premis perniagaan mereka ke tempat yang lebih baik dan mendapat kunjungan orang ramai, seperti pelancong tempatan dan pelancong asing. Setelah lama berfikir, pasangan suami isteri tersebut telah membuat keputusan untuk berpindah ke Lebuh Chulia untuk memajukan perniagaan mereka. Dengan ini, wujudlah Mutiara Batik yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas hingga hari ini. Apabila kedua-dua orang anak mereka sudah melanjutkan pelajaran mereka ke menara gading, mereka telah membuat keputusan untuk mengupah tiga orang kakitangan untuk membantu mengusahakan kedai batik tersebut. Kini, terdapat 4 orang kakitangan yang terlatih untuk membantu Mak Cik Siti dalam mengusahakan batik. Encik Samad sudah pun bersara kerana masalah kesihatannya yang tidak mengizinkannya terus berkerja keras. Kadangkala, anak-anak mereka yang sudah mempunyai perkerjaan etap dan berumah tangga akan pulang untuk menolong emak mereka. Encik Samad pula akan mengunjungi kedai batik ini untuk melakukan kerja-kerja ringan demi meringankan beban isterinya.

Lokasi Kajian
Di sini terletaknya Mutiara Batik, 515 Lebuh Chulia, Georgetown, Pulau Pinang.

Sumber: Google Maps

Kedai Mutiara Batik merupakan sebuah kedai perusahaan batik secara kecil-kecilan di Lebuh Chulia, Georgetown, Pulau Pinang. Kedai tersebut diusahakan oleh Mak Cik Siti dan dibuka sejak 1980-an.

Pada mulanya, Mak Cik Siti menjalankan kegiatan menghasilkan batik kerana dipengaruhi oleh ibu bapanya yang telah menceburi dunia batik ketika beliau masih kecil lagi. Apabila ibu bapa beliau sudah tua dan uzur beliau pun mewarisi tradisi ini. Ibu bapa beliau tidak mempunyai premis perniagaan yang tetap. Mereka hanya menghasilkan batik di halaman rumah mereka sahaja. Apabila Mak Cik Siti sudah berumah tangga, Mak CIk Siti pun mula mengkraf batik sebagai kerja sampingan untuk menyara kehidupan keluarganya. Batik yang dihasilkan tersebut adalah untuk kegunaan keluarganya dan dijual secara kecil-kecilan sahaja. Untuk meningkatkan kualiti batik yang dihasilkannya, Mak Cik Siti telahpun menghadiri suatu kursus yang berlangsung selama 7 hari pada tahun 1970-an. Dari situ, beliau dapat mempertingkatkan serta memperbaik kualiti batiknya serta meningkatkan daya pengeluaran. Mak Cik Siti juga berbesar hati untuk memperkenalkan pelbagai jenis batik yang dihasilkannya dan telah berkongsi langkah-langkah menghasilkan batik-batik tersebut kepada saya: Batik jenis pertama yang dihasilkan oleh Mak Cik Siti ialah batik tulis, yang juga dikenali sebagai batik canting. Untuk menghasilkan batik canting, bahan-bahan tersebut harus disediakan dahulu: lilin (paraffin), risin (Damar), sodium silicate (bahan kimia), meja span yang berisi air, canting yang diperbuat daripada tembaga, berus serta bahan pewarna dan pencelup. Pada mulanya, sehelai kain putih disediakan. Kemudian, Mak Cik Siti akan menyurih corak asal pada kain putih tersebut dengan pensel. Selepas itu, beliau menggunakan canting yang telah dicelup dalam lilin lalu dilukis di atas surihan yang telah disiapkan.

Dengan menggunakan berus, beliau akan mewarnai kesemua corak tadi. Warna untuk batik canting adalah berwarna-warni. Konsep kontra dan penegasan juga banyak diaplikasikan dalam proses menghasilkan batik. Misalnya, warna batik canting selalunya bertentangan dengan warna asal pada kain.

Batik jenis kedua yang dihasilkan oleh Mak Cik Siti ialah batik blok, yang juga dikenali sebagai batik cetak. Penghasilan batik jenis ini lazimnya diusahakan oleh suaminya atau kakitangannya kerana banyak memerlukan tenaga. Bahan-bahan tersebut diperlukan untuk menghasilkan batik blok: Kain putih, lilin (paraffin), sodium silikat dan blok yang diperbuat daripada logam. Kain putih disediakan dan diletakkan di atas meja. Kemudian, kakitangan Mak CIk Siti akan menggunakan blok logam yang telah dicelup dalam lilin serta warna yang cerah lalu mencetakkannya di atas kain tersebut. Namun, warna untuk batik blok adalah tidak melebihi 3 jenis warna. Kemudian, blok logam dikeringkan dan cetakan diulang dengan menggunakan blok logam yang berlainan. Setelah itu, kain tersebut dikeringkan di bawah pancaran matahari. Setelah kain dikeringkan , kain dimasukkan ke dalam bahan kimia Sodium Silicate untuk memelihara warna.

Proses terakhir bagi kedua-dua jenis batik tersebut adalah sama. Selepas proses mencetak atau melukis batik, mewarnai, dan dimasukkan dalam bahan kimia, kain itu dimasak untuk mengeluarkan lilin dan lebihan warna pada kain dicuci untuk membentuk corak yang menarik dan variasi. Demi menjaga kualiti atau mutu batiknya, beberapa langkah telah diambil oleh Mak Cik Siti. Langkah-langkah kawalan mutu tersebut adalah dengan memelihara warna serta ketelitian setiap produk yang dihasilkan. Sebelum batik dapat dipasarkan, kualiti batik tersebut akan diperiksa dan disahkan oleh Mak Cik Siti sendiri. Pemantauan yang ketat juga diadakan dari semasa ke semasa untuk menjamin produktiviti dan kualiti batiknya. Dia perlu memastikan tiada kelonggaran dalam menghasilkan batik. Dengan ini, barulah kualiti batiknya terjamin dan pelanggan percaya akan kebolehannya dalam menghasilkan batik. Tempahan pelanggan biasanya akan disiapkan dalam tempoh 2 minggu. Jika tempahan tersebut lebih besar, tempoh sebulan akan diambil oleh Mak Cik Siti untuk menghasilkannya. Setelah tempahan itu disiapkan, Mak Cik Siti akan menelefon pelanggan itu untuk mengambil stoknya ataupun menghantarnya ke rumah pelanggan sendiri. Lazimnya Encik Samad yang akan menunggang motosikalnya untuk menghantar tempahan kepada rumah yang berdekatan. Mereka pun dapat mengambil upah daripada penghantaran tersebut serta menjalinkan hubungan yang baik dengan pelanggan melalui kaedah ini. Hubungan win-win ini amat penting baginya untuk menjamin perniagaan ini.

Sumbangan dan Pengaruh kepada keluarga atau masyarakat


Dengan mengusahakan batik Mak Cik Siti dan Encik Samad dapat menambah pendapatan keluarga beliau. Pada masa dahulu, penghasilan batik menjamin pendapatan yang agak lumayan, kira-kira RM850 sebulan. Pada masa itu juga pengeluaran juga dilakukan dalam skala kecil-kecilan sahaja. Kira-kira 100 helai batik dihasilkan setiap bulan dan dijual pada harga RM10.

Pada masa sekarang purata jualannya ialah sekitar 350 helai sebulan. Setiap helai batik beliau menjualnya dengan harga RM25 hingga RM50. Jadi pendapatan kasar daripada jualan batik ini ialah sebanyak RM 12000 sebulan. Ditolak upah dan gaji pekerja, kos bahan dan bil-bil lain, pendapatan kira-kira RM8000 dapat diperoleh oleh pasangan suami tersebut pada setiap bulan.

Mak Cik Siti juga memenuhi permintaan masyarakat setempat untuk majlis tertentu. Beliau menyatakan bahawa tempahan dibuat mengikut jumlah tertentu kira-kira dua bulan sebelum majlis tersebut berlangsung. Beliau menyatakan anggaran tempahan batik untuk majlis-majlis tersebut ialah ialah hampir 75 helai batik. Batik dipakai sebagai pakaian seragam untuk menghadiri majlis tertentu.

Kadangkala, Mak Cik Siti menerima kunjungan daripada orang di luar bandar untuk menghasilkan batiknya, misalnya pihak sekolah di luar bandar. Hal ini demikian kerana batik yang dihasilkannya berkualiti tinggi dan harganya lebih rendah berbanding dengan harga di pasaran. Beliau akan berusaha menghasilkan batik sebagai pakaian seragam untuk pihak sekolah di luar Bandar. Oleh sebab sekolah tersebut berada di luar Bandar, tempahan yang dibuat biasanya kecil sahaja dan lazimnya tidak melebihi 25 helai.

Perusahaan batik oleh Mak CIk Siti dan Encik Samad juga membawa kepada pembangunan ekonomi setempat. Pada tahun 1980-an, apabila ekonomi sedang membangun dengan pesat di sekitar Bandar Georgetown, Mak Cik Siti telahpun memilih premis perniagaannya di Lebuh Chulia sebagai tempat yang ideal dan strategik untuk mengembangkan perniagaannya.

Dengan pembangunan pelbagai jenis kegiatan ekonomi di sekitar Bandar Georgetown, Georgetown pada ketika itu pun memperlihatkan pembangunan yang agak pesat. Industri batik pula menerima sambutan yang hangat dalam kalangan rakyat tempatan dan pelancong asing.

Kejayaan Mak Cik Siti dan Encik Samad dalam membangunkan batik tempatan telah membawa kepada perkembangan ekonomi yang semakin pesat dan ketara dalam kalangan rakyat tempatan. Misalnya, selepas menjamu selera di kedai-kedai makanan yang tersohor di sekitar Lebuh Chulia, pelancong asing akan mengunjungi kedai batik Mak Cik Siti dan membeli sehelai batik yang bersesuaian dengan gaya dan fesyen mereka. Dengan ini, perkembangan ekonomi tempatan bukan setakat angan-angan Mat Jenin sahaja.

Perusahaan batik tersebut juga membawa kepada pembangunan kawasan setempat. Dengan wujudnya perusahaan batik dan pelbagai jenis kegiatan ekonomi yang lain di sana, kemudahan infrastruktur di sana turut menerima perkembangan yang menguntungkan semua pihak. Kesannya, Georgetown mengalami pembangunan yang semakin pesat dan telah membangun sebagai pusat peranginan bertaraf dunia.

Peluang pekerjaan juga wujud akibat perusahaan batik di kawasan setempat. Mak Cik Siti dan suaminya telah mengupah empat orang kakitangan demi membantu mereka dalam mengusahakan batik. Keempat-empat kakitangan merupakan warganegara Malaysia. Mereka percaya bahawa menggaji rakyat ibu pertiwi kita adalah lebih baik daripada mengupah pekerja asing kerana tiada kecanggahan budaya atau apa-apa jurang dalam kmunikasi. Dalam pada itu, dengan mengupah pekerja tempatan , barulah jawatan kosong dalam industri negara kita dapat dipenuhi serta mengurangkan pengangguran dalam alangan rakyat tempatan.

Batik merupakan suatu kebudayaan yang diwarisi secara turun-temurun dalam kalangan rakyat negara kita. Dengan perusahaannya, dia dapat memelihara kebudayaan warisan khazanah Melayu yang telah pun diusahaan oleh nenek moyangnya sejak era pramerdeka lagi. Inilah suatu langkah yang baik demi mengekalkan warisan batik di negara kita.

Perusahaan Mak Cik Siti dalam industri batik juga dapat mencerminkan keunikan budaya tempatan. Keistimewaan batik adalah dari segi corak bunga, bungaan, warna yang terang serta warna yang tidak luntur. Penghasilan batik yang bertemakan alam semesta dapat menggambarkan cara hidup tradisional orang Melayu yang banyak bergantung pada alam semesta untuk menjalani kehidupan. Ketelitian dalam pembuatan dan pemprosesan batik juga menunujukkan dedikasi para penghasil batik dalam menjalankan tugas.

Perusahaan batik tempatan yang unik telah berjaya meningkatkan imej negara di mata dunia, terutamanya dalam bidang fesyen. Terdapat pelancong asing yang sanggup membesarkan kerak nasi untuk mengunjung ke negara kita demi melihat proses pembuatan batik dengan mata kepala sendiri. Sambutan yang menggalakan ini telah menunjukkan bahawa batik tempatan telah menerima pengiktirafan di persada antarabangsa. Pengiktirafan ini juga dapat mencerminkan bahawa batik Malaysia memang bermutu tinggi.

Secara tidak langsung, perusahaan batik oleh Mak Cik Siti juga memberikan iktibar kepada orang ramai untuk berusaha memelihara khazanah Melaysia serta mengambil martabat bangsa ke persada dunia. Hal ini memang dapat menyemai semangat patriotik dan nasionalisme dalam kalangan rakyat.

prospek

Mak Cik Siti menghadapi beberapa masalah dalam perusahaan batik. Namun masalah pertama beliau ialah ketiadaan orang untuk mewarii perniagaannya. Beliau sudah tua dan semakin uzur, namun tiada orang yang ingin mewarisi perniagaannya ini. Beliau mempunyai dua orang zuriat. Anak lelakinya sedang bekerja sebagai akauntan di Kuala Lumpur, manakala anak perempuannya sudah berumah tangga dan bekerja sebagai jurutera di Singapura. Walaupun mereka kadangkala akan balik untuk membantu ibu mereka, namun Mak Cik Siti masih berharap bahawa anak mereka menumpukan perhatian pada kerjaya mereka sendiri. Mak Cik juga mempunyai beberapa orang kakitangan yang sangat dipercayai. Tiga daripada empat orang kakitangan telah berada di bawah sayap Mak Cik Siti selama 25 tahun. Namun, ketiga-tiga mereka sudah pun tua, hampir 55 tahun. Kakitangannya yang keempat hanya berusia 32 tahun sahaja. Namun, beliau masih mentah dan tidak berpengetahuan luas mengenai dunia batik. Mak Cik Siti berharap bahawa dialah yang akan mewarisi perniagaannya pada masa kelak. Mak Cik ingin menyampaikan segala pengetahuan tentang batik kepada kakitangannya ini sekiranya dia mempunyai keinginan dan kekuatan azam untuk mempelajarinya. Lagipun, kakitangannya ini berkelulusan dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan. Mak Cik Siti percaya bahawa kakitangannya ini berpotensi mengembangkan perniagaannya ini. Dari segi bantuan kewangan, Mak Cik Siti mengharapkan kerajaan dapat memperuntukkan sedikit sebanyak wang atau menyediakan insentif demi mengembangkan industri batik di negara ini, dan bukan sahaja industry batik tempatan sahaja. Dia mengharapkan bantuan kewangan daripada agensi kerajaan seperti MARA untuk membantu mengembangkan perniagaannya. Sebenarnya, perusahaan batik memang dialu-alukan oleh masyarakat setempat. Mak Cik Siti kadangkala mengajar penduduk serantau tentang cara menghasilkan batik dan menganjurkan

aktiviti menghasilkan batik secara kecil-kecilan. Penduduk-penduduk tersebut juga selalu memakai pakain batik untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap Mak Cik Siti. Mak Cik Siti juga akan pulang ke kampungnya yang terletak di Parit Buntar, Perak untuk mengajar penduduk di sana tentang cara membuat batik. Kepulangan beliau ke kampungnya itu memang dialu-alukan oleh masyarakat setempat. Pelanggan Mak Cik Siti juga gemar membeli pakaian batik daripadanya kerana mutunya yang tinggi dan harganya yang berpatutan. Mereka telah menerima dan menyokong perusahaan batik Mak Cik Siti ini yang variasi dari segi warna dan corak serta unik berbanding dengan batik lain. Memandangkan masa depan kedai batiknya, Mak Cik Siti telah meluahkan isi hatinya untuk mengembangkan kedai batik tersebut hingga menjadi perniagaan francais. Beliau banyak mencontohi kedai batik Craft Batik Sdn. Bhd di Teluk Bahang. Beliau berharap bahawa perniagaannya dapat berkembang sehingga dapat membuka kedai sejaras, mengeksport batik secara besar-besaran dan menjadi pusat pengunjungan atau pusat peranginan yang ternama di Pulau Pinang. Beliau juga menyatakan bahawa beliau akan berusaha melatih kakaitangannya yang muda itu supaya visinya tercapai. Beliau juga berharap bahawa beliau dapat melihat visinya tercapai dengan mata kepala sendiri pada masa depan. Pada pendapat saya, jika kedai batik Mak Cik Siti mempunyai kakitangan yang berdedikasi serta seorang pewaris yang berkemampuan sdan berpotensi untuk menyambung perusahaan Mak Cik Siti, nescaya kedai batik ini tidak akan ditelan peredaran masa. Hal ini sama juga untuk industry penghasilan batik tempatan. Sekiranya industri tersebut menpunyai pewaris yang berkebolehan dan cekap, nescaya industri tidak akan hilang mengikut perubahan zaman.

You might also like