You are on page 1of 9

1.0 Pengenalan Novel merupakan salah satu hasil penulisan berbentuk prosa yang biasanya panjang dan kompleks.

Kisah-kisah yang dipaparkan menerusi novel lazimnya berkisar tentang pengalaman manusia dan kelakuan sosial. Pembaca novel terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Tema-tema yang sering di ketengahkan ialah tema cinta, kekeluargaan, keinsanan dan sebagainya. Novel yang menarik ialah novel yang mempunyai tema dan plot cerita yang menarik serta penggunaan ayat yang indah serta gramatis. Sama ada sedar ataupun tidak, barbagaibagai jenis ayat digunakan dalam penghasilan sesebuah cerita. Di antara ayat-ayat tersebut adalah ayat tunggal dan ayat majmuk. Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi satu klausa sahaja iaitu yang mempunyai satu konstituen subjek dan satu konstituen predikat. Ayat majmuk pula ialah ayat yang terdiri daripada beberapa ayat tunggal yang dicantumkan. Saya telah memilih novel Erti Sebuah Pengorbanan, sebuah novel yang menjadi teks Komponen Sastera Tingkatan 2 untuk kajian dan analisis tentang penggunaan ayat majmuk. Antara ayat majmuk yang saya kenal pasti daripada novel ini ialah ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan dan ayat majmuk campuran. 1.1 Ayat majmuk gabungan. Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, serta, lalu, malahan, sambil, dan kemudian. Berikut disenaraikan ayat-ayat majmuk gabungan yang terdapat di dalam novel Erti Sebuah Pengorbanan. 1. Ayah tersenyum dan mendengar dengan penuh kasih sayang. (m/s 41) 2. Pada pandangan Iman, Mak Cik Sofia merupakan wanita yang lemah lembut dan berbudi bahasa. (m/s 117) 3. Dia berasa bimbang sekiranya nenek atau datuk muncul dan mendengar perbualan mereka. (m/s 9) 4. "Mungkin lelaki itu adik-beradik atau kenalan mak cik." (m/s 10)

20

5. "Walaupun kita tidak mendesak mereka mengubah pendirian, tetapi itulah hakikatnya." (m/s 91) 6. Pintu tertutup rapat tetapi tingkapnya terbuka. 7. Begitu cepat masa berlalu serta terlalu banyak persediaan yang harus dilakukan. (m/s 74) 8. Antara rakan-rakan yang dijemput ialah Pei Wen dan keluarganya, Adif Danial serta ibunya, Zulkarnain, Cikgu Julia serta beberapa rakan sekelas yang lain. (m/s 115) 9. Dia mematikan suis lalu menutup komputer ribanya dengan cermat. (m/s 16) 10. Tengah hari itu, setelah mata pelajaran Matematik berakhir, murid-murid beransur lalu meninggalkan kelas. (m/s 81) 11. Bagi Iman, Cikgu Julia bukan sahaja seorang guru, malah sebagai seorang penasihat yang penting dalam hidupnya. (m/s 52) 12. Dia bukan sahaja berjaya menjadi johan malah bertemu dengan ayah dalam majlis yang begitu bermakna buatnya. (m/s 107) 13. Nenek muncul dari pintu dapur sambil menatang dulang berisi beberapa cawan dan seteko air kopi. (m/s 44) 14. Malam itu, Iman duduk di anjung rumah sambil menghirup udara malam. (m/s 119) 1.2 Ayat majmuk pancangan. Dalam ayat majmuk pancangan terdapat satu ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk itu. Ada tiga jenis ayat majmuk pancangan. 1.2.1 Ayat relatif Ayat relatif ialah ayat yang ditandai dengan penggunaan perkataan yang. Berikut disenaraikan ayat-ayat relatif yang terdapat di dalam novel Erti Sebuah Pengorbanan. 1. Wajah Iman, saling tak tumpah seperti wajah ibunya yang berada jauh di seberang laut. (m/s 3) 2. Dia duduk di atas buaian yang terletak berhadapan muka pintu. (m/s 8)

21

3. Semua mata tertumpu ke arah murid yang bangun lantas memberi cadangan kepada Cikgu Julia. (m/s 20) 4. Menurut Yusri, dia sedang mencari waktu yang sesuai untuk bertemu dengan anak kesayangannya itu. (m/s 31) 5. Selepas bersiar-siar di pantai, ayah membawa Iman dan kedua-dua mentuanya makan ikan bakar di sebuah restoran yang terletak di kawasan itu. (m/s 41) 6. Iman segera mendapatkan ayahnya yang sedang rancak berbual dengan beberapa orang guru. (m/s 53) 7. Dia cepat-cepat menyeka air matanya yang hampir mencecah pipinya yang gebu itu. (m/s 57) 8. Iman merapati nenek yang duduk di sisi datuk. (m/s 65) 9. Sesekali dia menoleh pandangan ke arah Adif dan Linda yang masih berbual-bual di hadapan kedai buku.(m/s 72) 10. Matanya memerhatikan daun-daun yang berguguran setelah ditiup oleh angin. (m/s 95) 11. Diari yang berwarna ungu itu bagaikan sahabat sejati. (m/s 99) 12. Dia menuding jari ke arah lelaki yang sedang masuk ke dalam dewan. (m/s 104) 13. Mata Cikgu Julia terpaku ke arah Linda yang sedang berbual dengan rakan di sebelahnya. (m/s 110) 14. Iman tersenyum memandang ibu tiri Pei Wen yang sedang berbadan dua itu. (m/s 116) 15. Dia mahu berkongsi berita gembira yang baru diberitahu oleh ayahnya sebentar tadi. (m/s 122)

22

1.2.2 Ayat Komplemen Ayat majmuk komplemen ialah ayat utama yang dipancangkan dengan ayat kecil yang seterusnya menjadi komplemen kepada ayat utama. Terdapat dua kata komplemen dalam bahasa Melayu, iaitu untuk dan bahawa. Berikut disenaraikan ayat-ayat komplemen yang terdapat di dalam novel Erti Sebuah Pengorbanan. 1. Pada awalnya, Cikgu Johari menetapkan bahawa keputusan telah muktamad. (m/s 2) 2. Keputusan mahkamah menetapkan bahawa ibu mendapat hak penjagaan ke atas Iman. (m/s 5) 3. Dia menyedari bahawa Iman berkecil hati sebentar tadi. (m/s 40) 4. Seketika kemudian, pengerusi majlis mengumumkan bahawa pertandingan pidato akan bermula lima minit lagi. (m/s 48) 5. Iman harus faham bahawa ayah Iman memerlukan seseorang untuk menjaga makan dan pakainya. (m/s 84) 6. Itu semua tidak dapat meyakinkan cikgu bahawa ibu Iman mempunyai hubungan dengan lelaki Inggeris itu. (m/s 85) 7. Adif beritahu kepada mama bahawa Adif tidak memerlukan seorang bapa tiri. (m/s 91) 8. "Seorang murid dari kelas Tingkatan Satu Anggerik telah membuat pengakuan bahawa dia yang mengambil diari kamu." (m/s 111) 9. Iman menyedari bahawa dia telah terkasar bahasa kepada Pei Wen. (m/s 102) 10. Rupa-rupanya, Mak Cik Sofia menyedari bahawa dirinya diperhatikan. (m/s 117) 11. Untuk tahun ini sahaja, sudah tiga kali dia menyertai pertandingan pidato. (m/s 22) 12. Untuk kali kelima, tiada e-mel yang diterima daripada ibu. (m/s 80)

23

1.2.3.Ayat keterangan Ayat keterangan berfungsi memberikan huraian lanjut kepada kata kerja ayat induk. Terdapat sembilan jenis keterangan. Berikut disenaraikan ayat-ayat keterangan yang terdapat di dalam novel Erti Sebuah Pengorbanan. 1.2.3.1.Keterangan musabab (menerangkan sebab berlakunya sesuatu kejadian atau perbuatan) 1. Ayah minta maaf sebab ayah benar-benar sibuk bulan ini. (m/s 40) 2. Mungkin disebabkan hal itu, ibu tirinya semakin geram melihat sikap dirinya. (m/s 13) 3. Dia berasa geram kerana tidak dapat menceritakan perkara yang sebenar kepada nenek. (m/s 76) 4. Kenduri ini diadakan sebagai tanda kesyukuran kerana kejayaan Iman dalam pertandingan pidato dan peperiksaan baru-baru ini. 1.2.3.2 Keterangan syarat (menerangkan tuntutan yang mesti dipenuhi) 1. Jika saya pulang nanti, saya akan lakukan seperti kata-kata datuk dan nenek sebentar tadi. (m/s 14) 2. Berilah bantuan terhadap Adif sekiranya dia menghadapi masalah. (m/s 18) 3. Iman rasa tidak selesa sekiranya perkara itu tidak diselesaikan. (m/s 26) 4. Kata ibu, tidak akan mencabar hidup kita sekiranya tiada dugaan yang menimpa. (m/s 30) 5. Dia turut berjanji akan berjumpa Iman sekiranya masa mengizinkan. (m/s 31) 6. Nenek bimbang sekiranya ayah Iman benar-benar nak bawa Iman tinggal bersamanya di Kuala Lumpur. (m/s 45) 7. Mama sanggup membatalkan rancangan perkahwinan jika itu yang kita inginkan. (m/s 91) 8. Kata mama Adif, dia sanggup berkorban kalau itu yang Adif inginkan. (m/s 91) 9. Siapa yang tidak berasa bangga sekiranya peserta yang bertanding berjaya mengharumkan nama sekolah. (m/s 106)

24

1.2.3.3 Keterangan waktu (menerangkan masa sesuatu perbuatan atau kejadian) 1. Setelah makan bersama-sama dengan datuk dan nenek, Iman kembali semula ke biliknya. (m/s 6) 2. Tiada istilah 'honeymoon' ketika berada di tingkatan satu. (m/s 8) 3. Setelah memilih tajuk yang sesuai, Iman meminta pendapat rakan-rakannya. (m/s 25) 4. Setelah meneguk kopi, datuk beredar dari ruang tamu. (m/s 45) 5. Tatkala dia ingin memulakan pidatonya, dia terpandang seorang lelaki di bahagian belakang dewan. (m/s 49) 6. Setelah mengucapkan terima kasih kepada Zulkarnain dan Adif Danial, dia mengajak rakan-rakannya bertemu dengan ayahnya. (m/s 50) 7. Tatkala membaca e-mel daripada ibunya, Iman jadi ceria semula. (m/s 54) 8. Setelah memesan dua mangkuk ais kacang, Iman dan Pei Wen duduk di bahagian luar restoran. (m/s 71) 9. Semasa menikmati hidangan, mereka berdua tidak berbual-bual. (m/s 83) 10. Bibirnya jadi kaku tatkala mendengar kata-kata Cikgu Julia yang bernas itu. (m/s 84)

1.2.3.4 Keterangan pertentangan (menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang berlawanan) 1. Walaupun mereka bukan lagi suami isteri seperti dahulu, kasih sayang Iman terhadap kedua-duanya tidak pernah luntur walau sedikit pun. (m/s 5) 2. Walaupun telah berkali-kali kata-kata itu diujarkan oleh ayahnya, Iman tetap berharap agar hubungan ibu dan ayahnya pulih seperti dulu. (m/s 42) 3. Walaupun sudah puas saya memikirkannya, saya masih gagal menemukan kata pemutus. (m/s 83) 4. Sungguhpun telah sepuluh hari ibu Iman tidak mengutus e-mel, Iman tidak boleh menghukum ibu dengan mengatakan dia telah melupakan Iman. (m/s 85) 5. Walaupun ibu telah berpisah dengan ayah, tidak semudah itu untuk dia mencari pengganti. (m/s 96)

25

1.2.3.5 Keterangan harapan (menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang dihajati) 1. Akhirnya Iman membuat keputusan agar dia menarik diri daripada kumpulan tersebut. (m/s 2) 2. Guru penasihat Persatuan Bahasa Malaysia, diminta supaya memberi sedikit ucapan untuk menerangkan tujuan pertandingan itu diadakan. (m/s 48) 3. Iman sudah berpakat dengan Pei Wen sebentar tadi agar tidak memberitahu nenek. (m/s 76) 4. Ibu juga mendoakan agar Iman berjaya menjadi johan dalam pertandingan itu. (m/s 103) 5. Iman juga meminta diberi petunjuk agar dia bertemu semula dengan diari yang telah hilang. (m/s 103) 1.2.3.6 Keterangan cara (menerangkan gaya atau kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku). 1. Dia mematikan suis, lalu menutup komputer ribanya dengan cermat. (m/s 16) 2. Zulkarnain menyambutnya dengan senang hati. (m/s 18) 3. "Aku nak tarik diri daripada pertandingan tu," balas Iman, dengan nada yang sebak. (m/s 28) 4. "Bukan pengecut macam sekarang," ujar Pei Wen dengan nada yang kesal. (m/s 29) 5. Linda menyampaikan pidatonya dengan lancar dan bersemangat. (m/s 49)

1.2.3.7 Keterangan tujuan (menerangkan maksud bagi sesuatu perbuatan atau kejadian) 1. Iman mahu mengambil kesempatan itu untuk bersemuka dengan Linda. (m/s 27) 2. Murid-murid juga begitu banyak yang hadir untuk memberi sokongan dalam pertandingan itu. (m/s 47) 3. Selepas berbual dengan nenek, Iman masuk ke biliknya untuk menunaikan solat Zohor. (m/s 66)

26

4. Sekiranya ayah Iman telah membuat keputusan untuk berkahwin kali kedua dengan pilihan hatinya, Iman tidak dapat berbuat apa-apa. (m/s 84) 5. Ibu Iman ke sana untuk melanjutkan pelajaran. (m/s 96)

1.2.3.8 Keterangan perbandingan (menerangkan sesuatu kejadian yang menjadi persamaan) 1. "Mak cik menyayangi aku bagaikan anak sendiri," adu Pei Wen kepada sahabat karibnya, (m/s 9) 2. Kamu ni pun dah macam cucu kami sendiri. (m/s 13) 3. Bagaikan budak yang baru bertatih, dia masih meminta panduan dan nasihat daripada guru-guru serta rakan-rakannya. (m/s 26) 4. Zulkarnain seolah-olah ingin mendapatkan Adif Danial namun segera dihalang oleh Pei Wen. (m/s 51) 5. Bibirnya seakan-akan bergerak-gerak bagaikan ingin menuturkan sesuatu. (m/s 56)

1.3 Ayat majmuk campuran. Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, yakni terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan berbagai-bagai jenis ayat majmuk. Berikut disenaraikan ayat-ayat majmuk campuran yang terdapat di dalam novel Erti Sebuah Pengorbanan. 1. "Ayah kata, kalau ada masa lapang nanti, ayah akan balik ke kampung," balas Iman sambil memandang tepat ke arah datuk yang sudah pun duduk berehat di atas pangkin tidak jauh dari reban.(m/s 32) 2. Setelah membeli tiga buah buku, Pei Wen mengajak Iman minum ais kacang di sebuah restoran yang terletak tidak jauh dari kedai buku itu. (m/s 70)

27

3. Iman meminta izin daripada Cikgu Julia untuk beredar untuk mendapatkan Linda yang berdiri tidak jauh dari situ. (m/s 52) 4. Walaupun dia tahu, Iman tidak bersetuju, tetapi kerana menghormati Iman sebagai anaknya, ayah Iman tetap berterus terang. (m/s 84) 5. Sungguhpun telah sepuluh hari ibu Iman tidak mengutus e-mel, Iman tidak boleh menghukum ibu dengan mengatakan dia telah melupakan Iman. (m/s 85)

1.4 Rumusan Setelah mengkaji dan menganalisis penggunaan ayat majmuk di dalam penghasilan novel 'Erti Sebuah Pengorbanan', saya dapati penulis telah menggunakan berbagai-bagai jenis ayat majmuk.Namun, pada pendapat saya, ayat majmuk campuran agak terbatas penggunaannya. Penulis lebih cenderung menggunakan ayat majmuk gabungan dan ayat majmuk pancangan. Penggunaan ayat majmuk pancangan pula dilihat lebih tertumpu kepada ayat relatif dan ayat keterangan.Tidak banyak ayat komplemen yang digunakan.Pemilihan ayat-ayat tersebut berjaya menghasilkan sebuah novel yang mudah difahami oleh para pelajar.

28

You might also like