You are on page 1of 5

Jurnal reflektif

ISU Penulis telah diberikan tiga tugasan bagi subjek ini. Untuk aktiviti pertama, penulis telah diarahkan untuk mencari maklumat yang berkenaan dengan ko-kurikulum dan mengkaji latar belakang salah satu persatuan/kelab ko-kurikulum di sekolah di mana penulis menjalankan tugas sebagai guru. Untuk tugasan pertama ini, penulis memilih untuk mengambil Kelab Kebudayaan dan Kesenian sekolah sebagai fokus utama tugasan. Penulis tidak menghadapi kesulitan dalam mendapatkan maklumat berkenaan kelab tersebut memandangkan dokumentasi latar belakang kelab dan maklumat-maklumat berkaitan dapat diperolehi di sekolah tersebut. Walau bagaimanapun, dokumentasi manual yang tersimpan dilihat kurang tersusun dan sistematik menyebabkan pencarian maklumat mengambil sedikit masa untuk disempurnakan. Jadual pelaksanaan aktiviti bagi kelab tersebut telah tersedia. Akan tetapi, pelaksanaan pada tempoh awal pembukaan sekolah iaitu pada bulan Januari agak kurang lancar memandangkan sekolah mempunyai pelbagai perancangan pada tempoh pembukaan sekolah. Ini menyebabkan berlaku pertembungan kepentingan antara sekolah, kelab, ahli jawatankuasa dan ahli kelab. Aktiviti-aktiviti kelab seperti pengambilan ahli dan mesyuarat ahli jawatankuasa kelab dapat dijalankan dengan sedikit gangguan kelancaran. Namun jadual masih berjaya untuk dilaksanakan seperti dalam perancangan. Pada tugasan kedua pula, penulis ditugaskan untuk merancang satu pertandingan melalui kelab yang dipilih. Penulis memilih untuk merancang satu pertandingan nasyid tertutup di bawah kelolaan Kelab Kebudayaan dan Kesenian peringkat SK Bukit Garam (sekolah di mana penulis bertugas). Bagi tugasan ketiga, iaitu pelaksanaan pertandingan, tugasan dapat dilaksanakan dengan kehadiran beberapa isu kecil seperti kekurangan guru dari ahli kelab yang berkebolehan untuk menjadi jurulatih bagi peserta-peserta pertandingan dan penglibatan terhad penyertaan

disebabkan oleh sekolah yang menjalankan persekolahan dua sesi (pagi bagi tahun 4 6 dan petang bagi tahun 1 3).

PENYELESAIAN

Bagi isu pertama iaitu masalah dokumentasi manual latar belakang dan maklumat kelab yang kurang tersusun, penulis mencadangkan agar dokumentasi dan pemfailan maklumatmaklumat dan data kelab agar disusun semula. Maklumat-maklumat dan data harus diklasifikasikan kepada beberapa bahagian dan direkodkan ke dalam satu catatan agar memudahkan pencarian maklumat. Sistem teknologi maklumat juga harus diintegrasikan dalam proses dokumentasi dan rekod dengan menghasilkan satu pengkalan data utama supaya yang lebih teratur dan efisyen agar akses kepada maklumat dan data adalah lebih mudah dan cepat sekaligus memudahkan urusan pentadbiran kelab. Isu kedua yang melibatkan pertindihan aktiviti sekolah dan kelab dapat diselesaikan dengan cara penetapan awal takwim dan aktiviti sekolah. Ini bermaksud, takwim dan segala perancangan seharusnya telah disiapkan lebih awal sebagai contoh sebulan sebelum pembukaan sekolah agar pertindihan aktiviti dan kepentingan sekolah dengan kelab dapat dielakkan. Perkara ini juga memerlukan kerjasama antara sekolah dan pejabat pelajaran daerah yang berkaitan bagi menyelaraskan aktiviti akan datang yang mungkin akan melibatkan peringkat yang lebih tinggi. Guru-guru dan ahli jawatankuasa asas yang terlibat dalam setiap aktiviti pengurusan,kelab dan sebagainya akan ditetapkan terlebih dahulu. Pendekatan yang boleh diambil untuk menyelesaikan isu ketiga iaitu kekurangan guru dari ahli kelab yang berkebolehan untuk menjadi jurulatih bagi peserta-peserta pertandingan, memohon bantuan dan kerjasama daripada guru-guru (bukan ahli kelab) untuk menjayakan latihan bagi peserta. Memandangkan sekolah yang mengamalkan dua sesi, guru-guru yang telah selesai bertugas pada waktu persekolahan pada sesi pagi boleh membantu latihan peserta kerana peserta yang terlibat juga merupakan murid-murid sesi pagi. Seorang murid yang berbakat dalam satu-satu kumpulan boleh dilantik sebagai pembimbing kumpulan masing-masing bagi memudahkan proses latihan.

SK Bukit Garam melaksanakan sistem pembelajaran dua sesi iaitu waktu pagi dan petang. Isu ini tidak dapat diselesaikan pada waktu terdekat kerana kekangan infrastruktur. Kelas yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan pelajar pada satu masa. Pelan untuk jangka masa panjang mungkin akan mengambil masa untuk dijalankan lebih-lebih lagi ia melibatkan pembinaan aset kekal (bangunan). Namun, masalah ini masih mampu diselesaikan dengan kerjasama antara sekolah dan jabatan yang berkaitan. Untuk penyelesaian jangka masa pendek, aktiviti-aktiviti boleh dilakukan pada cuti peristiwa atau pun di luar waktu pembelajaran kedua-dua sesi.

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

Mutu pengurusan dan pelaksanaan aktiviti-aktivi kelab dilihat perlu kepada penambahbaikan. Antara usaha yang boleh dilakukan antaranya:

i-

Penyusunan semula dokumentasi dan sistem data. Segala dokumentasi kelab harus disusun semula secara sistematik. Sistem penyimpanan data elektronik seperti Microsoft Access boleh digunakan. Kemudian, pengkalan data tersebut diintegrasikan ke sistem dalam talian (online), membolehkan maklumat dan data diakses secara pantas dan mudah serta mengelakkan kehilangan dokumen yang disimpan secara manual.

ii-

Galakan penglibatan ibu bapa dalam aktiviti Penglibatan ibu bapa dalam aktiviti kelab dapat merapatkan dan memperbaiki hubungan antara sekolah, guru-guru dan murid dengan ibu bapa. Antara aktiviti kebudayaan yang boleh mengambil kira penglibatan ibu bapa dan murid contohnya seperti persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan oleh ibu bapa dengan anak masing-masing serta latihan aktiviti murid-murid tersebut.

iii-

Penggunaan teknologi interaktif dalam pembelajaran dan aktiviti kelab Pembelajaran seni kebudayaan dan kesenian sebenarnya lebih melibatkan pergerakan fizikal dan peniruan contohnya seperti tarian, silat, nyanyian dan kemahiran-kemahiran seni yang lain. Oleh itu, penggunaan medium interaktif seperti video dan gambar dilihat efektif sebagai alat bantu mengajar yang baik. Dengan cara ini, peserta-peserta tersebut akan belajar melalui video/visual atau gambar yang ditunjukkan, mereka lebih mudah belajar dengan melihat dan meniru gaya yang ditunjukkan. Alat bantuan seperti video dan gambar boleh membantu aktiviti latihan yang mana ia lebih berpusatkan pelajar dan pembelajaran kendiri. Oleh itu, pembimbing dapat memberikan lebih tumpuan kepada rangsangan pengembangan kreativiti peserta.

iv-

Penglibatan aktif sekolah dengan masyarakat setempat Aktiviti-aktivi kebudayaan selalunya mendapat tempat di kalangan masyarakat setempat lebih-lebih lagi di Sabah itu sendiri kerana kepelbagaian kaum yang banyak. Oleh itu, sekolah boleh merancang aktiviti-aktiviti yang melibatkan interaksi dengan masyarakat setempat. Persefahaman dan hubungan baik antara sekolah amnya dan kelab khususnya dengan masyarakat setempat akan menimbulkan persepakatan sokongan mereka terhadap aktiviti yang melibatkan sekolah dan kelab kebudayaan itu sendiri. Contohnya, sekiranya kelab ingin menjalankan suatu program, masyarakat setempat tidak segan silu untuk membantu menjayakan program tersebut. Sudut pandang positif ibu bapa, guru dan murid dapat dihasilkan yang membawa pelbagai kesan positif melalui jalinan baik ini.

KONKLUSI

Tugasan-tugasan dan aktiviti yang diberikan telah memberi sedikit sebanyak panduan dan perhatian terhadap pembangunan dan penambahbaikan ko-kurikulum yang perlu penulis ambil berat di sekolah. Banyak isu dan permasalahan yang penulis sendiri terlepas pandang telah ditimbulkan melalui tugasan-tugasan yang diberikan. Ko-kurikulum selalunya hanya dianggap sebagai medium pembangunan kemahiran murid semata-mata dedangkan ko-kurikulum merupakan antara salah satu medium pembangunan murid dan secara tidak langsung medium penghubung tiga hala antara sekolah (guru), murid dan ibu bapa. Penglibatan ketiga-tiga pihak ini merupakan antara faktor terpenting pembangunan sekolah dan murid serta masyarakat setempat.

You might also like