You are on page 1of 7

1

1.0 PENGENALAN

Wacana merupakan satu keseluruhan penglahiran bahasa oleh penutur atau penulis,
iaitu penglahiran sistem bahasa dan unsur-unsur luar daripada sistem bahasa yang menyumbang
kearah menjadikan pertuturan atau tulisan berkenaan bagi sesuatu yang bermakna dalam
berkomunikasi (Asmah Hj. Omar : 1986). Hal ini dapat dikaitkan sengan sistem bahasa, iaitu
fonologi, morfologi dan sintaksis selain daripada unsur luar daripada sistem bahasa. Peringkat
fonologi melihatkan aspek tekanan suara, keras lembut dan lain-lain. Manakala peringkat
morfologi melihatkan aspek tekanan kata dan lain-lain. Peringkat sintasksis pula memperlihatkan
aspek intonasi, kesenyapan dan lain-lain.
Menurut Henry Guntur Tarigan (1995 : 36) pula, wacana ialah satuan bahasa yang
terlengkap dan tertinggi atau terbesar di atas kalimat atau klausa dengan koherensi atau kehesi
tinggi yang berkesinambungan serta mempunyai awal dan akhir yang nyata disampaikan secara
lisan atau tertulis. Kohesi merupakan keserasian hubungan antara unsur yang satu dengan unsur
yang lain dalam wacana sehinggalah tercapai pengertian yang koheren. Kohesi merujuk pada
perpautan bentuk, yakni bahasa sedangkan koherensi pada perpautan makna.
Hubungan antara unsur bermaksud rentetan ayat yang berkaitan sehingga terbentuk
makna yang serasi di antara kalimat-kalimat itu. Huraian daripada takrif wacana ini
memperlihatkan persamaan dan perbezaan pendapat, namun begitu dapat dikatakan bahawa
hakikat wacana itu terdiri daripada lapan unsur penting, iaitu satuan bahasa, terlengkap atau
terbesar atau tertinggi, mengatasi ayat atau klausa, tersusun atau tersusun rapi atau koherensi,
berkesinambunga, kohesi, bentuk lisan atau tulisan dan awal serta akhir.





2


2.0 KANDUNGAN
Pada dasarnya, wacana ini mempunyai beberapa ciri yang lebih terperinci dan perlu
meneliti ciri-ciri tersebut secara lebih mendalam. Sesebuah wacana atau teks yang baik
seharusnya memiliki kebanyakan ciri atau kriteria seperti: berkesinambungan, berpautan,
berketujuan, berketerimaan, bermaklumat, berkonteks atau bersituasi, berintertekstualiti dan
berkepadaan.
2.1 Berpautan
Menurut Idris Aman (2010 : 36), berpautan merujuk kepada aspek formal bahasa dalam
wacana atau teks. Ia juga dikatakan tentang organisasi sintaktik wacana atau teks, iaitu wadah
ayat-ayat yang digembleng secara sepadu dan berkaitan dengan memanfaatkan alat-alat
kebahasaan untuk menghasilkan wacana tulisan ataupun lisan. Dalam erti kata yang mudah,
berpautan bermaksud keserasian hubungan antara satu unsur linguistik yang lain dalam sesuatu
wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap. Selain itu, tautan bermaksud kesepaduan
dalam tulisan.
Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara satu perkataan, frasa
atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama. Dengan kata lain,
wujudnya pertalian antara ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan lain dan isi dengan isi.
Tautan juga dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan teks yang lain
sehingga membentuk satu kesatuan. Contohnya,
Arell, Nina dan Sarah ke Kemboja. Mereka ke sana untuk mengikuti program Bakti
Siswa.
Berdasarkan contoh ini, dapat dilihat tautan antara kedua-dua ayat tersebut, iaitu
perkataan mereka merujuk kepada Arell, Nina dan Sarah manakala perkataan sana merujuk
kepada Kemboja. Kedua-dua ayat tersebut dianggap wacana kerana dapat difahami dan
bermakna.

3

2.2 Bermaklumat
Setiap wacana mempunyai maklumat. Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu
maklumat lama dan maklumat baru. Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan
terdahulu. Maklumat baru pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian
pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini.
Menurut Idris Aman (2010 : 38), wacana yang baik mesti mengandungi maklumat baru
kepada khalayak sasarannya. Jika khalayak wacana sudah mengetahui maklumat dalam wacana
atau teks yang diutarakan, itu dikira tidak memenuhi ciri ini. Begitu juga, jika penerima wacana
tidak memahami maklumat yang terkandung dalam wacana atau teks, itu turut dikatakan tidak
memenuhi syarat bermaklumat. Maklumat bukan sahaja boleh disampaikan secara
pemberitahuan langsung, tetapi juga melalui penceritaan.
Contohnya:
1) Puan Asma seorang guru.
2) Beliau seorang guru bahasa Melayu.
Dalam contoh di atas dapat dilihat perkataan guru dalam ayat (2) merupakan maklumat
lama kerana telah dinyatakan sebelumnya. Guru bahasa Melayu pula ialah maklumat baru
kerana baru disebutkan dalam ayat itu.
2.3 Berkesinambungan
Menurut Idris Aman (2010 : 36), berkesinambugan adalah berkenaan dengan aliran
idea terus dalam wacana atau teks. Secara dasarnya, setiap wacana mempunyai satu idea teras
yang menjadi inti patinya. Aliran idea teras itu dalam ujaran atau ayat atau bahagian wacana
secara sistematik, lancar, bertalian, dan logik itulah yang dikatakan berkesinambungan. Tidak
ada masukkan idea baru yang tidak bertalian.
Oleh itu, kesinambungan merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks
itu dianggap sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna. Sebagai contohnya,
4

Penyakit sindrom kurang daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu. Penyakit
ini telah lama dikesan di beberapa buah negara di Eropah. Walaupun bidang sains dan
teknologi berkembang maju, tetapi masalah ini masih tidak dapat diwarisi.
Contoh di atas jelas menunjukkan kesinambungan idea melalui melalui perkataan Aids,
gejala, penyakit dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-ayat tersebut
bertaut di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang bermakna. Kebanyakan wacana
mempunyai tautan untuk menjadikannya sesuai. Walau bagaimanapun, teks yang bertaut tidak
semestinya sesuai. Sebagai contohya ialah:
Wanita itu membeli baju baharu berwarna biru. Warna biru ialah warna kegemaran
muda-mudi kini. Muda-mudi kini ramai yang menghadapi masalah sosial.
Berdasarkan teks di atas, setiap ayat mempunyai tautan. Tetapi teks tersebut tidak
merupakan wacana kerana teks tersebut tidak bermakna dan tidak difahami. Malahan, teks
tersebut tidak mempunyai kesinambugan idea atau tidak koheren. Oleh itu, untuk menghasilkan
wacana, sesuatu teks itu perlulah koheren atau sesuai.
2.4 Bertujuan
Wacana harus ada tujuan yang tersendiri, yakni pewacana mesti ada tujuan tertentu
dalam wacananya, misalnya untuk mengemukakan maklumat, memberitahu berita, menghujah
pandangan, memujuk, mengubah persepsi, menyata simpati, marah dan lain-lain. Sebagai
contohnya ialah:
Inilah peluang anda untuk mendapatkan kereta Proton pada harga yang paling rendah.
Kunjungilah pengedar kereta Proton yang berhampiran dan rebutlah peluang ini sebelum
terlambat dan stok masoh ada.
Dalam contoh di atas, tujuan utamanya adalah untuk memujuk orang ramai supaya
membeli kereta Proton. Selain itu, wacana harus ada tujuan yang menentukan sesuatu jenis ayat.
Contohnya, jika tujuan penutur adalah untuk melaksanakan sesuatu perbuatan, jenis ayat yang
terbentuk ialah ayat perintah. Begitu juga tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat,
jadi ayat yang terbentuk ialah ayat tanya.
5

Tujuan itu tidaklah semestinya dinyatakan secara langsung malah boleh juga secara tak
langsung asalkan masih boleh diikuti oleh penerima wacananya melalui unsur-unsur linguistik
yang digembleng dan soal situasi. Contohnya ujaran Kau jangan merempit, kemalangan nanti!
dengan jelas dari segi linguistiknya melarang. Tetapi situasinya, setelah dilarang berkali-kali, si
anak masih juga merempit dan kebetulan kemalangan dan kemungkinan si ibu akan mengujarkan
Hah merempitlah lagi! Ujaran kedua ini bukan bertujuan menyuruh tetapi memarahi si anak.
2.5 Berkonteks
Penghasilan sesebuah wacana memperkirakan konteks atau situasinya. Konteks penting
kepada sesuatu wacana atau teks bagi menghasilkan tekstualiti. Konteks memberi kefahaman dan
kebolehterimaan kepada sasarannya. Gambaran konteks dalam wacana, membantu penerima
wacana memperolehi maksud wacana berkenaan dengan lebih mudah. Tanpa konteks mungkin
membuatkan penerima tercari-cari atau tertanya-tanya akan maksud wacana.
Selain tu, berkonteks ini merupakan latar sewaktu bahasa itu digunakan dan membantu
pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan sila masuk, misalnya, difahami
kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang mempelawa seseorang masuk ke dalam bilik
atau rumahnya. Dalam kehidupan sehari-harian terdapat pelbagai jenis latar, misalnya latar
rumah tangga, latar tempat kerja, latar membeli belah, latar berekreasi, latar beribadat dan
banyak lagi. Setiap latar menghasilkan wacananya yang tersendiri.
Ada dua jenis konteks, iaitu konteks linguistik dan konteks bukan linguistik atau
eksperiensial. Konteks linguistik adalah aspek bahasa yang melatari atau membentuk wacana.
Konteks bukan linguistik adalah konteks cara wacana berfungsi atau berlangsung. Ini termasuk
jenis peristiwa yang melatarinya, iaitu seperti jenaka, cerita, kuliah, ucap selamat dan
sebagainya.
Setiap wacana perlu dikaji kaitan dan kedudukan penutur dalam masyarakat secara
amnya yang akan menentukan gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal. Gaya
formal contohnya, wujud apabila seorang guru pelatih berkomunikasi dengan pensyarah, murid
atau pelajar berhubung dengan guru. Gaya tidak formal pula wujud dalam hubungan biasa antara
rakan. Hubungan ini menghasilkan kesan dialek sosial dalam pertuturan.
6

3.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, ciri-ciri wacana tersebut perlu ada dalam memastikan wacana itu ialah
wacana yang baik. Kelima-lima ciri wacana ini memainkan peranannya yang tersendiri dalam
membentuk dan menghasilkan wacana.
Namun demikian, ciri yang paling penting dan asas bagi wacana ialah
berkesinambungan dan berpautan. Malah, dalam analisis wacana, ciri perpautan telah mendapat
perhatian lebih pengkaji.
Selain itu, bukan semua ciri-ciri tersebut dipertimbangkan untuk setiap analisis wacana.
Pertimbangan kepetingan sesuatu ciri wacana terletak pada tujuan analisis. Misalnya,
intertekstualiti diberi perhatian untuk analisis tipologi teks, dan keterimaan untuk analisis
normatif, seperti mengetahui apakah ciri teks yang baik.
Oleh hal yang demikian, ciri-ciri wacana ini sangat penting dalam penghasilan sesuatu
perkara, yakni tulisan mahupun lisan. Ia boleh digunakan berdasarkan konteks dan tujuan
analisis. Sekiranya ciri-ciri ini tiada, maka ia bukanlah wacana.









7


4.0 RUJUKAN

Henry Guntur Tarigan. (1995). Pengajaran Wacana. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Idris Aman. (2010). Analisis Wacana. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Wacana. 3 Julai 2009. Dicapai pada 23 April, 2012, daripada
http://pelangipetang89.blogspot.com/2009/07/wacana.html.

You might also like