You are on page 1of 3

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan

golongan etnik yang mepunyai ciri-ciri dan identiti yang berbeza. Oleh itu, perpaduan adalah
penting untuk menyatupadukan seluruh masyarakat bagi membentuk satu identiti dan
menanamkan perasaan cinta dan banggakan negara.
Menurut Haji Mohd Shahrir Haji Abdullah, perkataan perpaduan ini asalnya dari
perkataan padu iaitu mampat, pejal dan padat. Perpaduan sebenarnya ialah
penggabungan. Perihal bergabung menjadi satu atau persatuan. Lawan bagi perpaduan
ialah permusuhan, kehancuran dan perpecahan. Jadi, perpaduan dilihat adalah
sebenarnya tuntutan untuk satu perkara yang baik manakala perpecahan pula satu perkara
yang sangat keji dan tidak baik. Di samping itu, Kamus Dewan (1994) menyatakan
perpaduan bermaksud penggabungan, pelaburan persesuaian, kecocokan dan perihal
berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya.
Di dalam erti kata yang lain, perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat
bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja di kalangan dan etnik yang berbeza untuk
mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Perpaduan adalah proses
menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta
perasaan cinta dan banggakan negara.
Namun begitu, perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh
kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah isu utama dari sembilan cabaran untuk mencapai
matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu
yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi di
peringkat wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan .
Terdapat beberapa permasalahan yang bakal timbul sekiranya isu perpaduan tidak
ditangani dengan baik. Antara masalah yang bakal timbul adalah terjejasnya keharmonian
negara. Keharmonian negara terjejas bermaksud tidak ada kesepaduan dalam kalangan
rakyat. Contohnya, rakyat tidak mempunyai matlamat yang serupa dan tidak dikongsikan
bersama. ini boleh menyebabkan keamanan negara, integrasi di peringkat wilayah dan
kaum, hidup dalam harmoni, keadilan, kerjasama sesama masyarakat dan dedikasi
masyarakat kepada negara tidak dipupuk serta disempurnakan dengan jaya. Seperti mana
yang kita sedia tahu, semua masyarakat inginkan keamanan dan keharmonian namun
semuanya sia-sia tanpa usaha daripada pihak pentadbiran negara untuk memupuk
perpaduan dalam negara. Ini akan menyebabkan masyarakat sekeliling berasa tidak
tenteram, terkongkong dan kurang yakin serta bangga dengan apa yang dicapai disebabkan
tiada perpaduan dan integrasi di dalam negara.
Seterusnya, pembangunan ekonomi akan menjadi kurang stabil sekiranya isu
perpaduan tidak ditangani dengan baik. Menurut Joseph Stiglitz iaitu ketua ahli ekonomi
bank dunia seperti yang dicatat oleh Mark Thoma (2007), kunci bagi survival Malaysia ialah
hubungan etnik yang harmonis atau dalam erti kata yang lain perpaduan rakyat dalam
negara. Beliau menyatakan sekiranya hubungan etnik tergugat maka survival Malaysia
sebagai satu negara bangsa juga turut terjejas. Sebagai contoh, merujuk kepada peristiwa
13 Mei 1969 di mana rusuhan kaum telah tercetus akibat ketidakadilan dalam arus aktiviti
ekonomi di mana setiap etnik telah dipisahkan iaitu kaum melayu bekerja sebagai nelayan
dan petani, kaum india pula bekerja di kawasan estet dan kaum cina pula bekerja di bahagia
perindustrian. Hal ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum
disebabkan pembahagian dalam sektor ekonomi yang tidak adil. Ini jelas membuktikan
hubungkait ekonomi dan etnik dimana wujudnya stereotaip dalam kalangan etnik pada masa
itu. Oleh itu, sebarang penyelesaian masalah ekonomi mesti diambil kira dalam etnik. Hal ini
jelas dimana perpaduan dan integrasi rakyat adalah amat penting untuk memastikan
pembangunan ekonomi yang lancar dan konsisten.
Selain daripada itu, masalah dari segi aspek sosial turut timbul sekiranya isu
perpaduan tidak dikendalikan dengan sebaik mungkin. Aspek sosial memang tidak dapat
disangkal sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi. Tanpa komunikasi, perpaduan di
antara rakyat tidak berlaku dan masalah perpaduan sukar untuk dihadapi. Contohnya,
komunikasi yang kurang antara kaum akan mengakibatkan kekurangan pemahaman antara
satu sama lain. Kurang pemahaman dan pengetahuan akan mengakibatkan wujudnya
perselisihan faham yang sukar untuk diselesaikan dan seterusnya akan menimbulkan
perasaan perkauman dan stereotaip terhadap kaum lain. Kekurangan interaksi sosial akan
mewujudkan kelompok-kelompok kecil di mana kelompok-kelompok ini menunjukkan jurang
dalam kalangan masyarakat dalam negara. Jurang antara masyarakat membawa simbol
tidak perpaduan di dalam negara ini sekaligus menyebabkan negara-negara lain akan
memandang rendah kerana tiada keamanan dalam negara. Hal ini menunjukkan konteks
sosialisme adalah penting dalam negara.
Di samping itu, ketidakstabilan politik juga akan berlaku sekiranya isu perpaduan
tidak diselesaikan secara efektif. Seperti mana yang kita tahu, sistem politik dalam negara
berfungsi untuk mentadbir negara. Namun, sekiranya wujud masalah perpaduan maka ia
juga akan menjejaskan kestabilan politik negara. Sebagai contoh, sekiranya tidak wujud
perpaduan antara kaum maka akan wujud parti-parti kecil di mana parti-parti ini membawa
gerakan atau wakil daripada etnik masing-masing untuk mempertahankan hak masing-
masing. Apabila wujud terlalu banyak parti secara tidak langsung boleh menyebabkan
pertelingkahan atau perang parti sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.
Melalui hal ini, pentadbiran negara terpaksa melakukan langkah-langkah konkrit untuk
menstabilkan semula aktiviti-aktiviti politik dalam negara. Contohnya, penubuhan Jabatan
Perpaduan Negara. Semakin lama masa yang diambil untuk menjalankan langkah konkrit
tersebut maka semakin menjadi-jadi masalah politik dalam negara.
Perpaduan menjadi kekuatan negara ini. Banyak negara yang punah akibat
ketegangan hubungan warganya sehingga berakhir dengan konflik berterusan namun
Malaysia masih aman. Dalam senarai Indeks Keamanan Global (GPI), kedudukan Malaysia
tahun lalu meningkat ke tangga ke-19 berbanding tempat ke-22 tahun sebelumnya;
mendahului Singapura dan kedudukan paling atas dalam kalangan negara Asia Tenggara
dan kedua di belakang Jepun di Asia (Utusan, 6 Jun 2012). Konklusinya, sekolah
merupakan tempat melahirkan pucuk kepimpinan yang akan menerajui negara pada masa
akan datang. Pihak sekolah perlulah mengadakan pelbagai program atau aktiviti yang dapat
memupuk semangat perpaduan kaum dalam sekolah. Semua komuniti sekolah juga perlu
memainkan peranan dalam memupuk perpaduan. Sekiranya nilai perpaduan dapat
diwujudkan dari tahap sekolah lagi, wujudlah masyarakat negara Malaysia yang sentiasa
bersatu padu dan memajukan negara.

You might also like