You are on page 1of 3

9.

0 CADANGAN KAJIAN LANJUTAN


Kajian yang telah dijalankan ini boleh menjadi rujukan kepada pendidik lain
dalam menjalankan kajian penyelidikan tindakan yang mempunyai kaitan dengan isu
dan hasil kajian ini. Selain sebagai rujukan, kajian tindakan ini juga boleh dijadikan
sebagai kajian lanjutan bagi penyelidik yang ingin mengkaji isu kajian ini dari
prospek yang berbeza.
Kajian lanjutan pertama yang boleh dilakukan ialah dengan menggunakan
aktiviti pembelajaran inkuiri penemuan yang berbeza dengan yang digunakan dalam
kajian ini. Kajian ini menggunakan aktiviti penyiasatan terbimbing sebagai pemboleh
ubah tidak bersandar, namun terdapat juga aktiviti lain seperti penyiasatan terbuka
dan eksplorasi yang boleh dikaji keberkesanan penggunaannya dalam pedagogi Sains
di Malaysia. Perbezaan yang terdapat antara aktiviti pembelajaran inkuiri yang
berbeza mungkin memberikan hasil dapatan berbeza dalam kajian lanjutan yang
dijalankan kerana aras pengetahuan dan kemahiran aktiviti seperti penyiasatan
terbuka, penyiasatan terbimbing dan penyiasatan terbuka itu sendiri berbeza antara
satu sama lain. Selain daripada kepelbagaian aktiviti pembelajaran berasakan inkuiri
yang boleh dipilih oleh pengkaji, kaedah pembelajaran lain seperti pembelajaran
berasaskan projek atau pembelajaran berkumpulan.
Selain daripada menukar variabel tidak bersandar yang merupakan amalan
pedagogi dalam bilik darjah, pengkaji yang ingin menjalankan kajian lanjutan
daripada kajian ini juga boleh menggunakan variabel bersandar yang berbeza.
Keberkesanan amalan pedagogi berasaskan pembelajaran inkuiri penemuan ini tidak
semestinya boleh diukur daripada sudut peningkatan kemahiran berfikir dan minat
murid sahaja. Pengkaji mungkin boleh menilai dari sudut penglibatan murid dalam
aktiviti yang dijalankan atau dari sudut peningkatan prestasi akademik murid.
Variabel bersandar ini juga perlu sesuai dengan tahap prestasi kumpulan responden
yang akan dipilih kerana kumpulan respondan mungkin tidak dapat mencapai hasil
yang diharapkan sekiranya ia terlalu jauh berbeza daripada kemampuan intelektual
dan kemahiran mereka. Oleh itu, pengkaji seharusnya merujuk kepada sukatan
pelajaran agar dapat memilih pemboleh ubah bersandar yang selaras dengan
pencapaian kemahiran maksimum yang dicadangkan oleh pihak Kementerian
Pendidikan Malaysia bagi kumpulan sasaran yang dipilih.
Kajian lanjutan juga boleh dijalankan dengan mengaplikasikan pemboleh
ubah tidak bersandar dan pemboleh ubah bersandar yang sama dalam topik yang
berbeza. Pengkaji boleh memilih topik yang memerlukan intervensi dalam
menambah baik amalan pedagogi bagi mencapai peningkatan dalam kemahiran
berfikir aras tinggi dan mengekalkan minat murid yang berbeza dengan kajian yang
telah dijalankan ini. Pengkaji juga boleh merujuk huraian sukatan pelajaran bagi
mendapatkan panduan di mana terdapat cadangan aktiviti berasaskan pembelajaran
inkuiri penemuan bagi sesetengah sub-topik. Bagi kumpulan sasaran yang
menggunakan sukatan Kurikulum Standard Sekolah Rendah, buku DSKP yang
digunakan oleh murid bagi subjek Sains boleh digunakan sebagai penilaian awal
dalam menentukan sub-topik yang memerlukan aktiviti inkuiri penemuan dijalankan
bagi menambah keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran.
Kumpulan sasaran juga boleh diubah suai mengikut hasil kajian yang ingin
dilihat oleh pengkaji dalam kajian lanjutan yang dijalankan. Umur responden,
prestasi akademik dan bilangan responden yang dipilih daripada kumpulan sasaran
boleh memberi hasil yang berbeza kepada kajian yang dijalankan. Tahap intelektual
yang berbeza mungkin akan memperlihatkan perkembangan yang
memberangsangkan atau sebaliknya selepas aktiviti pembelajaran inkuiri penemuan
dijalankan. Perbezaan ini mungkin dapat menjelaskan tentang gaya pembelajaran
murid dan minat murid yang berbeza antara satu sama lain dan bagaimana ia
mempengaruhi kecenderungan murid terhadap subjek tertentu. Prestasi akademik
juga mungkin berubah rentetan daripada kesan pembelajaran inkuiri penemuan
seterusnya membuktikan bagaimana amalan pedagogi guru boleh memberi impak
terhadap perkembangan intelektual seterusnya kemahiran berfikir murid.

You might also like