You are on page 1of 3

Pejuang Melayu Pahang didakwa meninggal dunia pada 22 Oktober 1895 dedah diri

sebenar di Pulau Tawar pada 1969



PAHLAWAN terbilang Melayu, Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri
kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus
maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan.
Anak kelahiran Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut itu adalah anak kepada orang besar
Pahang, Imam Rasu yang turut dikenali sebagai Tok Gajah.
Sekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British
mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik.
Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah
pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Datuk Bahaman.
Kesan daripada itu, bermula siri pemberontakan di kalangan pembesar negeri hingga
mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah.
Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar
Pahang dan mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum.
Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan
menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan
dan Terengganu.
Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri
iaitu ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di
Kelantan.
Melalui kerjasama dan sokongan padu yang diberikan, Mat Kilau
yang agak mahir dengan ilmu hutan menyusup masuk ke
Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang
hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya
pencari gaharu.
Dipercayai, terdapat tiga laluan yang digunakan Mat Kilau untuk
ke Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan
penduduk di kedua-dua negeri itu.
Antaranya, laluan dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung
Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu
Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang Kelantan.
Bagaimanapun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelakkan diri
daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja.
Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan dia menjadi orang
buruan yang paling dikehendaki dan dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris menyebabkan
beliau mengasingkan diri dan hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.
Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura, iaitu The Straits
Times dan The Free Press menyatakan Ketua Pendehaka, iaitu Datuk Bahaman ditahan
pemerintahan Siam. The Free Press pula menyatakan Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap
cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dikatakan parah dan dia mati dalam perjalanan ke
hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan darah yang banyak.
Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22
Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu itu.
Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya
seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat
Kelantan dan beberapa orang lain.
Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau
mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di
Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Sejak 1930, Mat Kilau terpaksa menukar namanya buat
beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.
Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad
pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya
yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya daripada menjadi tumpuan ramai, Mat Kilau bersetuju
mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya.
Atas daya usaha Omar Mat Kilau, pahlawan Melayu itu dibawa ke kampung asalnya iaitu
Kampung Masjid, Pulau Tawar.
Pada Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk
bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau membaca Quran dan kemudian
mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.
Pengisytiharan itu menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah
jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang
ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan, pada
jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri
Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd Seh.
Setelah empat hari pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal
dunia kerana uzur. Usianya ketika itu dipercayai 122 tahun. Dengan kematiannya itu, beliau
tidak sempat menceritakan kisah perjuangannya lebih lanjut.

You might also like