You are on page 1of 13

Dam Haji

Pengenalan
Setiap pemain memiliki jumlah buah dam yang sama (24 pada papan bersaiz 10
x 10 atau 12 pada papan 8 x 8), tetapi berlainan warna. Seorang hitam dan
seorang lagi putih (atau merah). Pilihan warna tidaklah begitu penting
berbanding catur, kerana warna putih tidak semestinya bermula dahulu.

Giliran
Mengikut persetujuan pemain, mana-mana pihak boleh bermula dahulu. Setelah
pemain pertama menggerakkan satu buah, giliran pemain kedua pula. Begitulah
seterusnya sehingga permainan tamat.

Cara bergerak
Setiap buah dam cuma boleh bergerak satu petak secara pepenjuru, sama ada ke
kiri atau ke kanan, sekiranya petak tersebut masih kosong.
Haji (buah dam yang telah sampai ke hujung papan sebelah lawan) bergerak
dengan cara yang sama, tetapi boleh pergi seberapa banyak petak yang
dikehendaki.

Papan dan buah dam

Papan
Papan permainan yang digukan sentiasa berbentuk segi empat sama. Papan ini
akan dibahagikan kepada (biasanya) 64 atau 100 petak segi empat sama,
dengan warna petak yang berselang-seli gelap dan cerah. Polanya sama dengan
papan catur, cuma saiz dan warnanya sahaja yang mungkin berbeza.

Buah
Buah dam boleh dibuat dari hampir apa sahaja. Yang penting ia boleh disusun
dua sekali untuk menjadi "haji". Di warung kopi misalnya, kadang-kadang tutup
botol digunakan sebagai buah, maka satu pihak akan menelangkupkan tutup
botol manakala pihak lawan akan menelentangkan tutup botol.

Kedua-dua pemain bermula dengan buah biasa. Sekiranya mana-mana buah


pemain berjaya sampai ke hujung papan lawan, ia dikatakan "naik haji". Buah
haji ini biasanya dibezakan dari buah biasa dengan meletakkan satu lagi buah di
atasnya (disusun dua tingkat). Keistimewaan buah haji ialah ia boleh bergerak ke
hadapan atau ke belakang seberapa banyak langkah yang dikehendaki
(sekiranya tidak dihalang buah lain).

Cara makan

Buah biasa
Sekiranya di pepenjuru kanan/kiri hadapan suatu buah sendiri ada buah lawan,
dan di belakangnya kosong, maka buah lawan tersebut boleh dimakan (ditangkap
dan dikeluarkan dari permainan) dengan melompat buah lawan tersebut. Ertinya,
buah sendiri diletakkan di petak kosong di belakang buah lawan, kemudian buah
lawan dikeluarkan dari permainan.
Sekiranya selepas makan kali pertama, situasi yang sama berulang lagi, maka
pemain berhak memakan lagi. Ertinya, seseorang pemain boleh memakan
beberapa buah lawan dalam satu giliran.
Perlu diingatkan bahawa buah dam biasa cuma boleh bergerak, dan oleh itu
makan, ke hadapan.

Buah haji
Cara makan buah haji sama dengan buah biasa. Bezanya, bauh haji boleh
bergerak banyak langkah, dan oleh itu boleh makan buah lawan yang jauh. Buah
haji juga boleh makan ke belakang kerana ia boleh bergerak ke belakang.

Peraturan makan
Sekiranya ada peluang memakan buah lawan, pemain diwajibkan melakukannya.
Kegagalan untuk memakan buah lawan akan menyebabkan phak lawan berhak
mengambil buah pemain yang gagal memakan dan mengeluarkannya dari
permainan.
Sekiranya terdapat pilihan untuk memakan buah lawan, pemain boleh memilih
untuk memakan mana-mana buah yang dikehendakinya.

Bermula

Kedudukan pemulaan 8x8


Kedudukan permulaan permainan dam adalah seperti di dalam gambar di atas.
Petak paling bawah kiri berwarna gelap, manakala petak paling bawah kanan
berwarna cerah. Setiap pemain meletakkan (bagi petak 8x8) kesemua 12
buahnya pada 3 baris yang terdekat, pada petak yang berwarna gelap. Ini akan
meninggalkan dua baris kosong di tengah papan permainan.
Seperti yang disebut di atas, mana-mana pihak boleh bermula dahulu,
bergantung kepada persetujuan pemain.

Tamat
Permainan dam tamat apabila:
Seorang pemain kehilangan semua buah damnya. Dia dikira kalah.
Seorang pemain tidak dapat menggerakkan buahnya kerana disekat. Dia dikira
kalah.
Seorang pemain menyerah kalah.
Kedua-dua pemain bersetuju untuk seri, biasanya kerana kedua-dua pemain
mepunyai buah haji yang tidak dapat dimakan atau disekat.
Posted by Mohd Asri Bin Amir 1051100279 at 10:35 AM No comments:
Teng Teng

Permainan ini juga dikenali sebagai Ketinting. Kanak-kanak perempuan sering


memainkan permainan ini daripada kanak-kanak lelaki. Ini mungkin disebabkan
permainan yang tidak begitu lasak serta memerlukan tenaga yang banyak dan
ianya memerlukan pemerhatian di gelanggang yang agak kecil sahaja.

Di kampong-kampong gelanggang di buat dengan mengoreskan garisan di atas


tanah sahaja, tetapi lain keadaannya pula dengan kanak-kanak yang berada di
kawasan taman perumahan atau dikawasan pekan yang tiada halaman bertanah.
Mereka akan menggunakan kapur tulis tepung atau apa sahaja yang dapat
dilukiskan di atas jalan bertar.

Teng teng dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak terdiri dari dua hingga empat
orang setiap gelanggang, tiada peraturan tetap dengan jumlah pemain bagi
setiap gelanggang. Sekiranya melebihi dari empat pemain dalam satu
gelanggang, ianya akan mendatangkan kesukaran bagi setiap pemain untuk
berteng teng.

Gelanggang & Gundu

Gelanggang teng teng hanya dilukiskan petak-petak di atas tanah sahaja.


Terdapat sembilan petak-petak kosong bagi satu gelanggang. Permainan
dijalankan mengikut urutan seperti rajah di bawah.

Gelangang Teng Teng


Selain daripada gelanggang, gundu adalah juga sebagai perkakasan penting
yang dimainkan bersama. Gundu atau buah ialah objek berbentuk leper sebesar
separuh tapak tangan yang diperbuat daripada apa sahaja, seperti pecahan
pinggan, kepingan besi atau batu yang leper.

Gundu ini adalah sebagai tanda bagi para pemain untuk mengerakkan
kedudukan mereka di petak-petak gelangang.

Cara Bermain

Sebelum permainan dimulakan, undian dijalankan bagi menentukan pemain yang


mana harus memulakan permainan terlebih dahulu. Lai lai li tam plong adalah
kaedah bagi menentukan pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.

Bagi memulakan permainan, pemain hendaklah mencampakkan gundu ke dalam


petak pertama dengan cara membelakangkan petak, begitu juga jika pemain
telah berjaya melepasi pusingan pertama, kedua dan seterusnya cara
mencampakkan gundu adalah sama. Jika gundu tidak masuk ke dalam petak
yang ditentukan atau terkeluar ia di anggap mati dan hilang giliran. Pemain lain
mengambil giliran pula.

Pemain dikehendaki melompat kedalam kesemua petak dengan sebelah kaki,


kecuali di petak sembilan dengan kedua belah kaki. Tetapi bagi pemain yang baru
sahaja memulakan permainan dimana gundu berada di petak pertama, maka
pemain hendaklah melompat terus ke petak ketiga, tanpa memijak di petak
kedua. Begitu juga dengan lompatan disetiap petak, seandainya pemain terpijak
garisan ia dianggap mati dan giliran pemain lain mengambil alih permainan.

Setelah pemain melompat kembali ke garisan permulaan, setibanya di petak


kedua dan keempat, pemain hendaklah memijak dengan kaki kanan di petak
kedua dan kaki kiri di petak keempat. Setelah itu pemain dikehendaki melompat
ke petak ketiga pula dengan hanya sebelah kaki dan seterusnya gundu
hendaklah dikutip di petak pertama lalu melompat ke petak pertama dan terus ke
garisan penamat.

Setiap pemain tidak dibenarkan memijak petak dimana gundu berada di


dalamnya, samada kepunyaan sendiri atau pihak lawan, jika ini berlaku ia dikira
mati, giliran pemain seterusnya mengambil alih permainan.

Membina Rumah

Sebelum pemain membina rumah, acara timbang hendaklah dilakukan terlebih


dahulu. Gundu hendaklah diletakkan di atas kepala dan melompat kedalam
setiap petak dengan sebelah kaki kecuali petak kesembilan. Pemain hendaklah
melepasi petak ketujuh tanpa melompat kedalamnya dan terus ke petak lima.
Sambil berdiri menghadap di garisan permulaan petak ketujuh, pemain
dikehendaki menundukkan kepala menjatuhkan gundu. Gundu hendaklah
disambut sebelum jatuh ke tanah, jika pemain tidak dapat menyambutnya ia
dikira mati dan acara timbang dilakukan semula setelah giliranya sampai
kemudian. Pemain terus melompat ke petak pertama dan keluar dari garisan
permulaan.

Untuk mendapatkan rumah, pemain dengan berdiri membelakangkan kesemua


petak di garisan permulaan dan mencampakkan ke dalam mana-mana petak
gelanggang dan disitulah kedudukan rumahnya. Sekiranya gundu jatuh terkena
gaisan atau terkeluar maka ia dikira mati. Setiap pemain hendaklah memijak
dengan kedua belah kaki di petak rumah dan pemain lain tidak dibenarkan
berbuat demikian. Sekiranya pemain lain memijaknya atau tuan rumah lupa
memijak dengan kedua belah kakinya ia dikira mati.

Posted by Mohd Asri Bin Amir 1051100279 at 10:30 AM No comments:


Batu Seremban

Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat.


Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan
kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang
atau lebih.

Guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan
objek lain berbentuk bulat biasanya digunakan oleh kanak-kanak dalam
permainan ini sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.

Permainan ini sering dimainkan diwaktu lapang, di serambi rumah, di dalam


rumah atau dimana sahaja yang mereka gemari dengan memerlukan permukaan
yang rata dan bersih. Para pemain hendaklah duduk di atas lantai, dengan cara
begini memudahkan permainan tersebut dimainkan.

Menentukan Giliran

Sebelum permainan dimulakan, seorang demi seorang pemain dikehendaki


menimbang buah, bagi mendapatkan mata sebagai penentuan siapa yang akan
bermain dahulu sebagai pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Cara
menimbang buah adalah dengan kesemua buah diletakkan di atas tapak tangan
dan dilambung keudara, kemudiannya hendaklah disambut pula dengan
belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut itu adalah dikira
sebagai mata.

Cara Bermain

Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara
sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah
dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah
kepada peringkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.

Batu Satu: Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas
lantai, berkeadaan buah-buah itu tidak bersentuhan antara satu dengan yang
lain. Sebiji buah diambil untuk dijadikan ibu, dan ibu hendaklah dilambungkan
keudara, dalam masa yang sama sementara buah ibu masih berada diudara,
sebiji lagi buah hendaklah dikutip. Dalam masa yang sama pemain hendaklah
menyambut buah ibu, apabila telah disambut sebiji buah hendaklah digenggam
di dalam tangan yang sebelah lagi. Perlakuan begini dibuat berterusan sehingga
kesemua buah di atas lantai itu habis dilambung dan disambut.
Batu Dua: Cara buah dua dimainkan adalah serupa seperti buah satu, tetapi buah
yang dikutip mestilah dengan dua biji serentak, ini bermakna hanya dua kali
lambungan buah ibu dilakukan.
Batu Tiga: Buah tiga pula terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah
dengan mengutip sebiji buah dahulu, pada lambungan kali kedua pemain
hendaklah mengutip tiga biji buah serentak.
Batu Empat: Pemain mengutip kesemua empat biji buah di atas lantai dan dalam
masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan.
Batu Lima: Diperingkat ini urutan dari memainkan buah empat, sementara di
dalam tangan tergenggam lima biji buah, sebiji dari buah hendaklah
dilambungkan dan empat biji buah baki hendaklah diletakkan di atas lantai pula
serta menyambut buah ibu sahaja.
Batu Enam: Ditahap buah enam terdapat perbezaan, ianya juga dinamakan buah
tukar dimana dua biji buah dijadikan buah ibu. Apabila sebiji daripadanya
dilambungkan ke udara maka sebiji lagi buah ibu itu hendaklah ditukarkan
dengan buah lain yang terdapat di atas lantai, sehingga selesai.
Batu Tujuh: Buah tujuh adalah urutan dari peringkat permainan buah enam. Dua
biji buah yang masih berada di dalam tangan hendaklah dilambungkan serantak.
Sementera itu sebiji buah hendaklah dikutip. Buah ibu hendaklah disambut
dengan kedua belah tangan, sebiji disebelah kanan dan sebiji lagi disebelah kiri.
Pada buah ibu yang terakhir dilambungkah hendaklah juga disambut.
Menimbang

Setelah selesai kesemua peringkat dilalui, pemain hendaklah menimbang buah


untuk mendapatkan mata. Menimbang buah diperingkat ini ada dua kaedah. Cara
pertama sama seperti permulaan menentukan pemain, mata dikira hanya
mengikut bilangan biji buah yang dapat ditimbang. Tetapi jika buah yang
ditimbang itu disambut dengan cara mencangkuk, maka mata dikira sekali ganda
dari jumlah biji buah yang dapat disambutnya.

Sekiranya pemain dapat bermain sehingga keperingkat menimbang dengan


memperolehi mata, maka pemain tersebut boleh meneruskan permainan semula,
buah satu dan seterusnya sehingga mati.

Mati Permainan

Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai
tangan mengenai biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga
ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji
buah ianya dikira mati (permainan ditamatkan) dan permainan akan diserahkan
kepada pemain seterusnya.

Posted by Mohd Asri Bin Amir 1051100279 at 10:20 AM No comments:


Congkak

Congkak sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu


berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji congkak, biji
getah, biji guli dan lain-lain. Di utara semenanjung ianya dipanggil juga Jongkok.
Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tetapi
tidak pasti asalnya, samada pengaruh luar telah datang bersama pedagang atau
sememangnya telah dicipta oleh orang Melayu ketika itu.

Papan Congkak

Peralatan yang digunakan untuk bermain congkak biasanya diperbuat daripada


batang pokok kayu besar yang diukir seperti perahu. Disebelah hujungnya diukir
bentuk kepala pelbagai haiwan seperti burung manakala dibahagian badan
papan diukir dengan pelbagai ukiran Melayu. Lubang sebesar 9sm. garis pusat
dan 7sm. dalam ditebuk atas permukaan papan tersebut. Sekiranya permainan
congkak di tanah, lubang digali dan kemudian diletak tempurung kelapa supaya
tangan tidak kotor terkena tanah.

Lubang-lubang congkak dibuat dalam dua barisan selari antara satu sama lain
yang disebut kampung. Pada penghujung kampung terdapat sebuah lubang
besar dan dalam dinamakan rumah. Jumlah kampung yang biasa terdapat pada
papan congkak ialah lima, tujuh atau sembilan sebaris. Kampung-kampung ini
diisikan dengan buah congkak sama banyak.

Cara Bermain

Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan


dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing
dan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan
pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.
Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam
kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti,
sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh
menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut
kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut.

Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati.


Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan
permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung
sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka
permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan
seterusnya hingga mati.

Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung


dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap
terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang
kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.

Posted by Mohd Asri Bin Amir 1051100279 at 9:47 AM No comments:


Sepak Raga Bulatan

Permainan sepak raga wujud sejak 600 tahun lalu. Pada zaman Kesultanan
Melayu Melaka, selain dimainkan oleh golongan bangsawan, rakyat jelata juga
menggemari permainan ini. Dalam sejarah Melayu menceritakan tentang Raja
Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad tertanggal tanjaknya akibat
terkena bola raga tendangan Tun Besar.

Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti
raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis.

Cara Bermain

Dalam permainan sepak raga, beberapa pemain berdiri dan membentuk satu
bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola
kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan
kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain.
Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilirgiliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola
itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan.

Menimang Bola

Permainan ini memerlukan ketangkasan dan kecekapan fizikal serta ketajaman


mata untuk mengukur pergerakan. Matlamat setiap pemain ialah memantapkan
kemahiran menerima hantaran bola raga dan menimangnya dengan selesa
selama yang mungkin. Jangka masa permainan tidak ditentukan kecuali dalam
pertandingan yang lazimnya dianjurkan sebagai acara berpasukan. Pasukan yang
berjaya membuat timangan paling banyak dalam suatu tempoh yang ditetapkan,
dikira menang.

Pada masa ini sepak raga tiada lagi dimainkan, ianya telah ditukar dengan nama
kepada sepak takraw. Sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan
oleh jaring, seperti dalam permainan badminton. Pasukan sepak takraw terdiri
daripada tiga pemain. Tekong melakukan sepak mula dan mengawal bahagian
belakang gelanggang. Apit kiri dan apit kanan mengawal bahagian hadapan
gelanggang dan memikul tugas utama mematikan bola di gelanggang lawan.
Posted by Mohd Asri Bin Amir 1051100279 at 5:08 AM No comments:
Galah Panjang

Permainan tradisional yang dimainkan diluar rumah. Permainan ini bukan sahaja
dimainkan oleh kanak-kanak sahaja tetapi sebagai pertunjukan di pesta-pesta
kebudayaan kadangkala dipertontonkan untuk pelancong oleh golongan dewasa.
Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan.
Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan
mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya
terdiri dari sepuluh pemain sahaja.

Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya
adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai
mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu
disepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling
gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam
gelanggang.

Sebelum permainan dimulakan undian secara wan tu som dijalankan oleh keduadua ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang.
Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada
hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.

Gelanggang Permainan

Kawasan permainan yang sederhana luas diperlukan, samada di atas tanah,


kawasan bertar atau bersimin dan di atas padang. Tiada ukuran khas penetapan

yang perlu dipatuhi, tetapi dianggarkan antara enam hingga lapan meter lebar
dan jarak bagi setiap garisan lintang gelanggang antara tiga hingga empat
meter. Jumlah garisan lintang bagi awak-awak tidak terhad, ia mengikut jumlah
pemain bagi setiap pasukan.

Sebagai penanda garisan, akan digunakan tepung atau tali jika dimainkan di atas
padang. Cat juga boleh digunakan sekiranya gelanggang simin. Tetapi
kebanyakan kanak-kanak akan melorekkan garisan tersebut di atas tanah sahaja.

Cara Bermain

Sejurus sebelum permainan dimulakan, ketua pasukan penyerang akan menepuk


tangan ketua pasukan bertahan di petak kepala gelanggang. Ini menandakan
permainan sudah dimulakan dan awak-awak boleh mula menyerang, samada
secara individu atau beramai-ramai.

Setiap pemain hendaklah melepasi semua garisan hingga ke garisan belakang


sekali dan kembali semula hingga ke garisan hadapan tanpa dapat dicuit oleh
pasukan bertahan. Jika salah seorang dapat dicuit oleh pasukan bertahan maka
pasukan itu dikira mati. Pertukaran kedudukan akan dilakukan iaitu pasukan yang
bertahan akan jadi pasukan penyerang dan sebaliknya.

Peraturan Permainan

Kesemua pemain pasukan penyerang akan dikira mati jika salah seorang dari
mereka dicuit oleh pemain pasukan bertahan.

Pemain pasukan penyerang tidak boleh berundur kebelakang setelah melepasi


garisan gelanggang, ia dikira mati yang akan menyebabkan pertukaran
kedudukan pasukan.

Pasukan penyerang dikira mati jika terdapat pemainnya terkeluar dari garisan
gelanggang.

Pasukan penyerang dikira menang jika salah seorang dari pemainnya dapat
melepasi kesemua garisan hingga kembali ke garisan permulaan. Satu mata
diberikan kepada pasukan ini dan permainan akan dijalankan semula.

Mana-mana pasukan yang dapat mengumpul mata tertinggi akan dikira


memenangi perlawan tersebut.

Posted by Mohd Asri Bin Amir 1051100279 at 4:57 AM No comments:


Pengenalan & Matlamat
Pengenalan

Persatuan Literasi Melayu (PLM), Universiti Multimedia merupakan satu organisasi


yang diterajui oleh siswa dan siswi yang bertujuan mempelajari adat dan budaya
lantaran memartabatkan seni warisan masyarakat Melayu sebagai salah satu
warisan negara. Karnival Sukan dan Permainan Tradisional 2008 merupakan salah
satu saluran pembelajaran dan pendekatan tentang adat dan warisan Melayu.
Antara acara yang dipertandingkan ialah galah panjang, dam haji, sepak raga
bulatan, congkak, batu seremban dan teng-teng. Penyertaan adalah terbuka
kepada semua pelajar dan staf Universiti Multimedia. Peserta dari luar turut
dijemput (wakil-wakil sekolah, institusi pendidikan dan organisasi luar). Sambil itu
penyertaan orang luar yang mengunjungi majlis Konvokesyen MMU ke-9 juga
adalah digalakkan.

Matlamat

Matlamat utama Karnical Sukan dan Permainan Tradisional adalah untuk


mengembalikan warisan yang makin dilupakan dan juga bagi mengeratkan
hubungan silaturahim antara para peserta terutama pelajar-pelajar dengan
komuniti sepanjang program ini dijalankan. Selain itu juga, program ini bakal
memeriahkan lagi majlis Konvokesyen MMU ke-9
Posted by Mohd Asri Bin Amir 1051100279 at 12:21 AM No comments:
Older Posts Home
Subscribe to: Posts (Atom)

You might also like