You are on page 1of 1

Vandalisme merupakan salah satu daripada perlakuan negatif yang sering dilakukan oleh

anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab, terutama golongan remaja.


Jelaskan kesan-kesan kegiatan vandalisme di negara kita.
Dalam memasuki era globalisasi ini masih ada segelintir rakyat di negara ini yang berfikiran
sempit dan tidak bermoral. Golongan sebegini sanggup melakukan aktiviti vandalisme sehingga
menyusahkan banyak pihak terutama pihak masyarakat umum. Pelbagai masalah boleh timbul
ekoran aktiviti yang tidak sihat ini.
Impak yang paling ketara ialah masalah vandalisme ini mencacatkan pemandangan
terutama di kawasan tandas awam yang dipenuhi dengan tulisan-tulisan yang tidak elok. Begitu juga
kawasan taman permainan kanak-kanak yang menyaksikan banyak peralatan di situ yang sudah
dimusnahkan begitu sahaja. Keadaan ini memberikan satu gambaran negatif kepada masyarakat
luar bahawa rakyat di negara ini tidak begitu menghargai kemudahan awam yang disediakan.
Masalah vandalisme ini juga bakal menimbulkan pelbagai kesulitan kepada masyarakat
umum. Rakyat kehilangan hak mereka untuk menggunakan kemudahan yang sepatutnya mampu
untuk menjamin keselesaan hidup terutama kemusnahan telefon awam. Bayangkan bagaimana
masyarakat hendak menggunakan telefon awam ketika kecemasan jika kemudahan ini telah
dimusnahkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini.
Pada masa yang sama amalan vandalisme ini turut membebankan pihak berkuasa terutama
dalam aspek kewangan. Kerajaan terpaksa membelanjakan jutaan ringgit untuk membuat
pembaikan terhadap semua kemudahan awam yang sudah mengalami kerosakan ini. Tindakan
membaiki kemudahan awam ini membuktikan berlakunya satu pembaziran kerana wang tersebut
boleh digunakan untuk membantu rakyat dalam aspek pembangunan yang lain pula.
Kesimpulannya, rakyat harus memikul tanggung jawab dalam memastikan vandalisme ini
tidak berleluasa. Sebarang tindakan vandalisme boleh membawa impak negatif kepada semua
pihak baik masyarakat mahupun kerajaan. Lantaran itu, semua pihak memikul tanggung jawab
untuk menjamin kemakmuran hidup masyarakat di negara ini.

You might also like