You are on page 1of 10

Penyerahan Sarawak dan Sabah kepada British: Sebab-Sebab

Penyerahan dan Reaksi Rakyat Tempatan


1.0

PENGENALAN
Charles Vyner Brooke telah mengisytiharkan penyerahan Sarawak kepada British
pada 8 Februari 1946. Namun, penyerahan ini telah mendapat bantahan yang hebat
oleh rakyat tempatan. Ekoran bantahan tersebut, Charles Vyner Brooke merujuk
kepada Majlis Negeri yang kemudiannya bersidang selama tiga hari dengan
keputusan 18 menyokong dan 16 menentang. Pada 1 Julai 1946, Sarawak telah
diisytiharkan sebagai Jajahan Mahkota British. Manakala, di Sabah, British telah
menandatangani perjanjian dengan Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBUB)
pada 26 Jun 1946. Pada 15 Julai 1946, Borneo Utara secara rasminya diisytiharkan
menjadi tanah jajahan British.
Penyerahan Sarawak dan Sabah kepada British ini berlaku atas beberapa
sebab, sama ada faktor dalaman atau luaran. Penyerahan Sarawak misalnya,
berlaku disebabkan oleh masalah dalaman yang berlaku dalam keluarga Brooke,
keadaan Sarawak selepas pendudukan Jepun dan sejarah hubungan diplomatik
antara British dan Sarawak. Begitu juga, penyerahan Sabah kepada British adalah
disebabkan kerosakan yang dialami selepas pendudukan Jepun, hubungan erat
SBUB dengan kerajaan British dan sistem pentadbiran SBUB yang lapuk dan
ketinggalan zaman dan kepentingan ekonomi British sendiri di Sabah. Sebab-sebab
penyerahan Sarawak dan Sabah kepada British akan dibincangkan dengan lebih
lanjut dalam tugasan ini.
Begitu juga, penyerahan Sarawak dan Sabah kepada British ini telah
mendapat reaksi daripada rakyat tempatan. Segelintir rakyat menerima
penyerahan ini, tetapi sebilangan besar rakyat menentang penyerahan tersebut. Di
Sarawak, penyerahan ini telah mendapat tentangan hebat khasnya dari masyarakat
Melayu dan Iban. Manakala, hal yang sebaliknya berlaku di Sabah. Penyerahan
Sabah kepada British tidak mendapat sebarang bantahan yang berkesan. Bantahan
yang dilakukan hanyalah penentangan yang dilakukan oleh waris Kesultanan Sulu
yang mendakwa Sabah merupakan kepunyaan mereka. Dalam tugasan ini, reaksireaksi rakyat tempatan terhadap penyerahan ini akan dianalisis secara kritikal.

2.0

PENYERAHAN SARAWAK KEPADA BRITISH


2.1
Sebab-Sebab Penyerahan
Sarawak telah dibebaskan dari cengkaman Jepun oleh tentera Australia dan askaraskar Pihak Berikat pada tahun 1945. Setelah kekalahan Jepun, Pentadbiran
Tentera British (BMA) telah diperkenalkan di Sarawak pada November 1945.

Sarawak telah diletakkan di bawah BMA sehingga tahun 1946. Menurut Sheela
(1993), semasa pendudukan Jepun, Charles Vyner Brooke menetap di Australia
untuk meneruskan usahanya dalam menguruskan masa depan Sarawak. Charles
Vyner Brooke kembali semula ke Sarawak hanya selepas pemerintahan BMA
ditamatkan.
Sebelum Charles Vyner Brooke kembali ke Sarawak, satu rundingan telah
diadakan di antara beliau dengan pihak British yang akhirnya membawa kepada
keputusannya untuk menyerahkan Sarawak kepada British. Hal ini turut disokong
oleh Sheela (1993), di mana beliau menyatakan bahawa rundingan telah diadakan
di London untuk menyerahkan Sarawak semasa Sarawak diduduki oleh Jepun.
Pengumuman penyerahan Sarawak kepada British telah dibuat oleh Charles Vyner
Brooke pada 8 Februari 1946 di London. Namun, penyerahan ini telah mendapat
bantahan yang hebat oleh rakyat tempatan. Ekoran bantahan tersebut, Charles
Vyner Brooke merujuk kepada Majlis Negeri yang kemudiannya bersidang selama
tiga hari dengan keputusan 18 menyokong dan 16 menentang. Walau
bagaimanapun, merujuk kepada buku Malaysia Kita (1991), persidangan ini
hanyalah untuk mengaburi pandangan masyarakat antarabangsa dan tempatan.
Akhirnya, pada 1 Julai 1946, Sarawak telah diisytiharkan sebagai Jajahan Mahkota
British.
Sesungguhnya, penyerahan Sarawak kepada British adalah disebabkan oleh
beberapa faktor penting. Pertama, masalah dalaman yang dihadapi oleh keluarga
Brooke; kedua, berkait rapat dengan sejarah hubungan diplomatik di antara
Sarawak dengan Britain; yang ketiga, kedudukan serta keadaan Sarawak selepas
pendudukan Jepun; dan seterusnya ialah kepentingan ekonomi British di Sarawak.
Masalah dalaman keluarga Brooke berpunca daripada konflik di antara Charles
Vyner Brooke dengan adiknya, Betram Brooke. Konflik kedua-duanya telah
merumitkan lagi pentadbiran di British. Keadaan ini diburukkan lagi apabila
Charles Vyner Brooke telah menggubal Perlembangan 1941 tanpa berbincang
dengan Betram Brooke. Begitu juga, pada tahun 1946, Charles Vyner Brooke telah
mengambil keputusan untuk menyerahkan Sarawak kepada British tanpa
memberitahu adiknya.
Charles Vyner Brooke tidak memiliki anak lelaki untuk mewarisi takhtanya.
Keadaannya yang uzur telah membuatkannya berpendapat bahawa pilihan untuk
menyerahkan Sarawak kepada British adalah satu pilihan yang tepat dan sesuai
dengan masanya. Manakala, Betram Brooke mempunyai seorang anak lelaki yang
bernama Anthony Brooke. Walau bagaimanapun, Charles Vyner Brooke mendapati
Anthony tidak sesuai dengan sikap dan pendiriannya. Anthony bersikap kasar dan
berlaku curang. Mac 1939, Anthony telah dilantik sebagai Raja Muda Sarawak,
tetapi dipecat disebabkan oleh perlakuannya yang kasar dan curang tersebut.
Sheela (1993), turut mengatakan bahawa Charles Vyner Brooke tidak mempunyai
keyakinan atas Anthony Brooke untuk menggantikan takhta kerajaan Sarawak.

Masalah dalaman keluarga Brooke inilah yang telah mendorong Charles Vyner
Brooke untuk menyerahkan Sarawak kepada pihak British.
Seterusnya, perlu kita ketahui bahawa Sarawak sudah mempunyai
perhubungan rasmi dengan Britain semenjak tahun 1888 sebagai negeri lindungan.
Perlindungan ini telah memberi kuasa kepada pihak British untuk mengawal hal
ehwal negeri Sarawak dan menyatakan bahawa Sarawak tidak boleh diserahkan
atau digadaikan kepada mana-mana pihak tanpa persetujuan British. Menurut
Sheela (1993), campur tangan British lebih meluas lagi apabila satu perjanjian telah
ditandatangani pada 22 November 1941 antara Charles Vyner Brooke dengan
kerajaan British. Menurut perjanjian ini, seorang wakil British akan ditempatkan
di Sarawak sebagai penasihat kepada Raja Sarawak. Charles Vyner Brooke
berpendapat bahawa penerusan pemerintahan Raja Putih sudah tidak sesuai
lagi dengan adanya kemajuan politik moden. Jelas dilihat bahawa Charles Vyner
Brooke tidak berminat lagi untuk meneruskan pemerintahannya di Sarawak dan
berniat untuk menjual Sarawak kepada British. Akhirnya, Charles Vyner Brooke
telah menandatangani dokumen penyerahan pada 20 Mei 1946 dan Sarawak telah
diisytiharkan sebagai Jajahan Mahkota British pada 1 Julai 1946.
Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Sarawak telah mengalami kemusnahan
yang teruk dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk memulihkan kembali
keadaan tersebut. Keluarga Brooke tidak mempunyai sumber kewangan yang
mencukupi untuk menampung dan membiayai kerja-kerja pemulihan tersebut. Hal
ini turut dinyatakan oleh Sheela (1993), yang mengatakan bahawa niat Charles
Vyner Brooke untuk menyerahkan Sarawak adalah untuk kepentingan rakyat dan
hanya kerajaan British berkemampuan untuk menanggung beban pembangunan
semula dan pemulihan. Keadaan ini telah mendorong Charles Vyner Brooke untuk
menyerahkan Sarawak kepada pihak British untuk memberi kuasa kepada British
dalam membangunkan semula Sarawak.
Seterusnya, penyerahan Sarawak kepada British turut disebabkan oleh
desakan British sendiri. Desakan ini berpunca daripada kepentingan ekonomi
British di Sarawak, iaitu jaminan pelaburan pemodal British. Pelaburan pemodal
British dalam ladang-ladang getah, lada hitam, sagu dan kelapa kering. Mereka
juga memiliki pelaburan dalam syarikat pembalakan dan petroleum. Hasil
keluaran ini boleh didapati dengan mudah di Sarawak dan Sabah, dan keadaan ini
sangat diperlukan oleh British untuk mengembangkan perindustriannya. Selain itu,
Sabihah (1990), juga menyatakan bahawa penjajahan British di Sarawak adalah
disebabkan oleh potensi negeri ini sebagai pembekal bahan mentah dan tempat
pemasaran barangan keluaran Britain.
Kesimpulannya, penyerahan Sarawak kepada British disebabkan oleh empat
faktor utama iaitu masalah dalaman yang berlaku dalam keluarga Brooke, sejarah
hubungan diplomatik British dan Brooke, keadaan negeri Sarawak selepas

pendudukan Jepun serta kepentingan ekonomi pihak British di Sarawak. Faktorfaktor inilah yang telah menjadi pendorong kepada Charles Vyner Brooke untuk
menyerahkan Sarawak kepada British pada tahun 1946.

2.2

Reaksi Rakyat Tempatan Terhadap Penyerahan

Pengisytiharan penyerahan Sarawak yang dilakukan oleh Charles Vyner Brooke


telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat tempatan di
Sarawak. Golongan yang menentang hebat penyerahan ini terdiri daripada orang
Melayu dan orang Iban. Gerakan penentangan ini dikenali sebagai Gerakan AntiPenyerahan (anti-cession movement). Gerakan anti-penyerahan ini dilakukan atas
dua sebab utama. Pertama, penyerahan Sarawak bertentangan dengan
Perlembagaan 1941; dan yang kedua, Charles Vyner Brooke tidak berunding
bersama pemimpin tempatan terlebih dahulu.
Menurut Sheela (1993), Charles Vyner Brooke telah menjanjikan
pemerintahan sendiri kepada Sarawak menjelang Perang Dunia Kedua melalui
Perlembagaan 1941. Gerakan ini mahukan Brooke terus memerintah Sarawak
kerana penjajahan British hanya akan melambatkan lagi proses kemerdekaan yang
ingin dicapai. Mendapatkan kemerdekaan di bawah pemerintahan Brooke dapat
dilakukan dengan cara yang mudah kerana pentadbiran Brooke telah menjadi
semakin lemah. Namun, sekiranya Sarawak diserahkan kepada British, usaha
untuk mendapatkan kemerdekaan akan menjadi lebih sukar dan mengambil masa
yang agak lama. Begitu juga, gerakan anti-penyerahan ini wujud disebabkan oleh
tindakan Charles Vyner Brooke yang menyerahkan Sarawak kepada British tanpa
berunding atau bertanya terlebih dahulu kepada pemimpin-pemimpin Bumiputera
di Sarawak.
Gerakan anti-penyerahan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu telah
diketuai oleh Datu Patinggi Abang Haji Abdillah (gambar; rujuk lampiran). Datu
Patinggi Abang Haji Abdillah telah membuat bantahan semasa Rang UndangUndang Penyerahan dibahaskan. Penentangan ini turut dilakukan disebabkan
penyerahan yang bertentangan dengan Perlembagaan 1941 dan keputusan
penyerahan yang dibuat tanpa berunding dengan ketua-ketua bumiputera
Sarawak. Begitu juga, penubuhan persatuan berkembangan secara drastik di
Sarawak rentetan daripada gerakan anti-penyerahan ini. Menjelang awal tahun
1947, sebanyak 52 buah persatuan telah ditubuhkan di Sarawak dengan hasrat
mementang penyerahan Sarawak kepada British. Menurut Sabihah (1990), antara
persatuan yang ditubuhkan ialah Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS),
Angkatan Semangat Anak Sarawak (ASAS), Persatuan Bumiputera Sarawak (PBS),
Pergerakan Pemuda Melayu (PPM), Kesetiaan Melayu Matu, Kesetiaan Melayu
Simanggang dan Persatuan Dayak Sarawak (PDS).

Begitu juga, penentangan ini turut dilakukan oleh masyarakat Iban di


Sarawak. Menurut Sutlive Jr. (1992), dalam kalangan masyarakat Iban, persatuan
yang paling kuat menentang penyerahan Sarawak ini adalah Persatuan Dayak
Sarawak (PDS). Persatuan ini telah menghantar bantahan mengenai penyerahan ini
melalui telegram kepada pihak British. Di samping itu, dua orang wakil masyarakat
Iban iaitu Philip Jitam dan Edward Jerah juga telah menentang penyerahan
tersebut dalam sesi mengundi di Majlis Negeri pada 15 Mei 1946. Selain itu, di Sibu,
Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) telah merekrut sebanyak 52 penghulu Iban,
termasuk Temenggung Jugah dan Temenggung Koh (gambar; rujuk
lampiran). Kedua-kedua mereka mempunyai posisi yang penting dan memberikan
sokongan padu dalam pergerakan tersebut.
Selain itu, gerakan anti-penyerahan tidak hanya terbatas kepada kaum
lelaki sahaja. Gerakan tersebut turut disertai oleh golongan wanita. Antara
golongan wanita yang menentang hebat penyerahan Sarawak ialah Cikgu Lily
Everwin (PKMS), Puan Hajah Sipah Tuanku Othman, Dayang Fauziah dan Cikgu
Ajibah Abol. Menurut Sabihah (1990), kaum ibu yang diketuai oleh Cikgu Lily
Everwin telah pergi ke rumah-rumah panjang untuk mengadakan kempen
kesedaran sama ada berjalan kaki ataupun menaiki bot. Begitu juga, menurut K. C.
Jong (1983), Datuk Ajibal Abol turut memainkan peranan yang penting dalam
gerakan anti-penyerahan. Beliau telah mengetuai kaum wanita untuk bergabung
tenaga dengan gerakan anti-penyerahan untuk memperjuangkan kemerdekaan
Sarawak dan bukannya menjadi koloni British.
Penentangan demi penentangan telah dilakukan oleh rakyat tempatan di
Sarawak sebagai tanda protes terhadap penyerahan Sarawak kepada British.
Pelbagai cara telah dilakukan oleh gerakan anti-penyerahan ini untuk
memperjuangkan misi mereka. Menurut Mohd. Hasbie (1989), golongan antipenyerahan telah menghantar surat, kawat dan telegram bantahan kepada
kerajaan British, tetapi tidak diendahkan oleh British. Gerakan ini turut
menganjurkan tunjuk perasaan (gambar; rujuk lampiran) dan bertindak
memulaukan perlantikan Gabenor Sarawak. Tunjuk perasaan yang terbesar
berlaku di Kuching pada 1 Julai 1947 yang disertai oleh PKMS, BPM dan PDS bagi
membantah perlantikan Charles Arden Clarke sebagai Gabenor Sarawak yang
pertama. Begitu juga, gerakan anti-penyerahan bertindak menampal poster dan
sepanduk di setiap kampung dan juga kampus. Antara poster yang ditampal adalah
mengandungi ayat provokatif seperti Sarawak adalah hak kami, leburkan
kolonial.
Pada mulanya, British hanya memandang ringan gerakan anti-penyerahan
ini kerana berpendapat bahawa penentangan yang dilakukan hanya bersifat
sementara. Walau bagaimanapun, apabila penentangan demi penentangan
dilakukan tanpa menunjukkan pengakhiran, British bertindak mengeluarkan

Pekeliling No. 9 pada Disember 1946. Pekeliling No. 9 ini bertujuan untuk melarang
kakitangan kerajaan terlibat dengan gerakan anti-penyerahan. Menurut K. C. Jong
(1983), akibat daripada larangan ini, sebanyak 337 orang kakitangan kerajaan telah
bertindak meletakkan jawatan dan keadaan ini menyebabkan sebanyak satu
pertiga buah sekolah Melayu kerajaan di Sarawak terpaksa ditutup.
Kemuncak gerakan anti-penyerahan di Sabah adalah apabila Pergerakan
Pemuda Melayu (PPM), Sibu telah berhimpun secara sulit dan menubuhkan sebuah
kumpulan yang dinamakan Rukun Tiga Belas. Kumpulan ini mempunyai 13 orang
ahli dan diketuai oleh Awang Rambli. Kumpulan yang bersifat radikal ini telah
bersumpah akan menghapuskan semua pegawai Inggeris dan Dato-dato Melayu
yang menyokong penyerahan Sarawak (Sheela, 1993: 148). Pada 3 Disember 1949,
gabenor kedua Sarawak, Sir Duncan Stewart telah mengadakan lawatan rasmi
yang pertama ke Sibu. Semasa lawatan beliau, ahli kumpulan Rukun 13 iaitu Rosli
Dhobi, seorang guru pelatih di Maktab Perguruan Sarawak(gambar; rujuk
lampiran) telah menikam Sir Duncan Stewart dan membunuhnya. Peristiwa
pembunuhan ini telah menggemparkan pihak British sekaligus memberikan alasan
kepada British untuk bertindak secara kekerasan. Rosli Dhobi (gambar; rujuk
lampiran), Morshidi Sidek, Ramli Mohd Deli dan Bujang Suntong telah dikenakan
hukuman gantung sampai mati pada 2 Mac 1950. Seramai 15 orang lagi yang
dipercayai bersuhabat dalam pembunuhan tersebut turut dipenjarakan. Begitu
juga, menurut Reece (1989), pada 6 Disember 1950, British telah mengharamkan
Pergerakan Pemuda Melayu (PPM). Sehingga tahun 1951, selama lima tahun,
gerakan anti-penyerahan ini tidak membuahkan hasil. Hal ini telah membawa
kepada kelumpuhan gerakan ini secara berperingkat-peringkat.
Kesimpulannya, penyerahan Sarawak kepada British telah menimbulkan
tentangan hebat daripada rakyat tempatan di Sarawak. Golongan yang menentang
terdiri daripada orang Melayu yang diketuai oleh Datu Patinggi Abang Haji
Abdillah, orang Iban yang diketuai oleh Temenggung Jugah dan Temenggung Koh
serta kaum Ibu yang diketuai oleh Cikgu Lily Everwin dan Cikgu Ajibah Abol.
Begitu juga, banyak persatuan seperti PDS, PPM, PKMS telah ditubuhkan untuk
menyokong gerakan anti-penyerahan ini. Banyak cara yang telah dilakukan oleh
gerakan anti-penyerahan ini seperti menghantar telegram, surat dan kawat kepada
British, menampal poster dan menggantung sepanduk di kawasan kampung serta
mengadakan tunjuk perasaan. Kemuncak gerakan anti-penyerahan ini adalah
peristiwa pembunuhan Sir Duncan Stewart di Sibu. Rentetan daripada
pembunuhan tersebut, British mula menggunakan kekerasan untuk menghentikan
gerakan anti-penyerahan. Akhirnya, gerakan anti-penyerahan tersebut telah dapat
dilumpuhkan oleh pihak British.
3.0

PENYERAHAN SABAH KEPADA BRITISH


3.1
Sebab-Sebab Penyerahan

Seperti Sarawak, Sabah juga telah dibebaskan daripada pemerintahan Jepun oleh
angkatan tentera Australia. Selepas pembebasan tersebut, pentadbiran Sabah telah
diambil alih sementara oleh Pentadbiran Tentera Australia. Menurut Sheela (1993),
untuk memperbaiki kerosakan dan memulihkan undang-undang serta pentadbiran
Sabah, Pentadbiran Tentera British telah diisytiharkan oleh Leftenan Jeneral L.J.
Morshead pada 10 Jun 1945. Pemerintahan SBUB di Sabah selama 63 tahun
berakhir apabila Sabah telah menjadi Tanah Jajahan British pada 15 Julai 1946.
Penyerahan Sabah kepada pihak British telah didorong oleh beberapa faktor.
Pertama, kerosakan yang dialami selepas pendudukan Jepun; kedua, hubungan
erat British dengan SBUB; ketiga, kelemahan sistem pemerintahan SBUB; dan
seterusnya, kepentingan British di Sabah.
Selepas pendudukan Jepun, kerosakan akibat peperangan di Sabah adalah
lebih teruk berbanding dengan keadaan di Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak.
Hal ini turut disokong oleh Tregonning (1965), yang menyatakan bahawa Sabah
ialah negeri yang terbinasa sekali akibat Perang Dunia Kedua daripada negerinegeri jajahan British yang lain. Serangan tentera Berikat telah membinasakan
bandar-bandar besar, perhubungan dan pengeluaran hasil eksport telah
diberhentikan. Kerosakan ini memerlukan perbelanjaan yang terlalu besar dan
tidak mampu dipikul Kompeni. SBUB tidak mempunyai pilihan lain selain
daripada menyerahkan Sabah kepada British. Menurut Sheela (1993), Sir Neill
Malcolm, pengerusi badan pengarah Kompeni menyatakan bahawa pihaknya tidak
mempunyai sumber kewangan untuk membangunkan semula negeri Sabah kecuali
diserahkan kepada pentadbiran Tanah Jajahan British.
Seterusnya, penyerahan Sabah dibuat hasil daripada wujudnya kerjasama
yang erat di antara Sabah dan pihak British. Pada tahun 1881, British telah
mengurniakan sebuah Piagam kepada Syarikat Berpiagam Sabah. Keadaan ini
sebenarnya telah memperlihatkan penguasaan British terhadap Syarikat tersebut.
Sama seperti Perjanjian 1888 di Sarawak, Piagam tersebut telah mengikat Syarikat
untuk memberikan hak istimewa kepada warganegara British dan Syarikat tidak
boleh menjualkan atau menyerahkan Sabah kepada kuasa asing. Begitu juga, pada
tahun 1888, Sabah telah menjadi negeri naungan British, sekaligus memberikan
kuasa kepada British untuk menguasai perhubungan luar negeri dan pertahanan
Sabah (Siti Aidah, 2007). Keadaan ini lah yang telah mendorong Syarikat untuk
menyerahkan Sabah kepada British pada tahun 1946.
Selain itu, kelemahan sistem pentadbiran SBUB juga telah menjadi satu
faktor penting dalam penyerahan Sabah kepada British. SBUB telah mentadbir
Sabah selama lebih 60 tahun. Dalam usia ini, pentadbiran SBUB di Sabah telah
menjadi usang dan ketinggalan zaman. Seiring dengan perkembangan politik
moden, sistem pentadbiran yang dilaksanakan oleh SBUB menjadi tidak relevan
dan memerlukan pucuk pimpinan yang baharu. Menurut Buyong Aidil (1981),
rundingan penyerahan hak tersebut telah dibuat di London. Setiausaha Tanah

Jajahan telah mengisytiharkan kepada Dewan Rakyat mengenai perjanjian


mengambil alih Sabah daripada kompeni pada 26 Jun 1945. Kerajaan British juga
turut membayar wang pendahuluan sebanyak 860,000 untuk mengurangkan
beban hutang kompeni.
Begitu juga, penyerahan Sabah kepada British turut disebabkan oleh
kepentingan British di negeri tersebut. Menurut Sheela (1993), pada mulanya
kerajaan British tidak berminat untuk mengambil alih Sabah kerana Perdana
Menteri Clemer Atlee pada ketika itu mempunyai anti-dasar tanah jajahan dan
sedang menyelesaikan soal pemberian kemerdekaan kepada Sri Lanka, Burma dan
India. Walau bagaimanpun, setelah memikirkan kedudukan negeri ini dari pelbagai
aspek, khasnya dari segi ekonomi, British akhirnya membuat keputusan untuk
mengambil alih Sabah daripada SBUB. Kepentingan ekonomi British di Sabah jelas
dilihat kerana Sabah merupakan satu negeri yang kaya dengan hasil pengeluaran
seperti getah, lada hitam dan kayu balak yang amat penting bagi British untuk
mengembangkan perindustriannya. Justeru itu, dapat kita simpulkan bahawa
penjajahan British di Sabah adalah disebabkan oleh potensi negeri tersebut sebagai
pembekal bahan mentah dan tempat pemasaran barangan keluaran British.
Konklusinya, penyerahan Sabah kepada pihak British adalah disebabkan
oleh empat faktor utama. Antara faktor tersebut ialah kerosakan yang dialami oleh
Sabah selepas pendudukan Jepun, hubungan erat British dengan SBUB, kelemahan
sistem pemerintahan SBUB sendiri dan untuk menjamin kepentingan ekonomi
British di Sabah. Faktor-faktor inilah yang telah mendorong Kompeni (SBUB)
untuk menyerahkan Sabah kepada British. Pada 15 Julai 1946, Sabah secara
rasminya telah diisytiharkan sebagai Tanah Jajahan British atau dikenali
sebagai Crown Colony.
3.2

Reaksi Rakyat Tempatan Terhadap Penyerahan

Penyerahan Sarawak kepada British telah menimbulkan tentangan hebat oleh


rakyat tempatan di Sarawak. Hal yang sebaliknya pula berlaku di Sabah. Menurut
Sabihah (1986), penyerahan Sabah kepada British berlaku tanpa sebarang
penentangan yang berkesan. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh tahap
kesedaran rakyat Sabah yang rendah mengenai kemerdekaan. Hal ini turut
disokong oleh Sheela (1993), yang mengatakan bahawa rata-rata penduduk Sabah
tidak memahami tujuan perubahan pemerintahan daripada Kompeni kepada
pemerintahan British.
Malahan, sehingga tahun 1961, Sabah masih belum mengenal pilihan raya.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa perkembangan politik di Sabah telah jauh
ketinggalan berbanding dengan Sarawak. Rakyat Sabah tidak mempunyai
sebarang pengalaman dalam bidang pentadbiran. Hal ini mungkin disebabkan oleh
pemerintahan Kompeni yang menggunakan Piagam 1881. J. P. Ongkili (1972), turut

mengatakan bahawa Piagam tahun 1881 tidak banyak memberi peluang kepada
orang-orang Sabah untuk campur tangan dalam pentadbiran negeri mereka.
Begitu juga, sekiranya ditinjau dari aspek kesedaran nasional, rakyat di
Sabah jelas menunjukkan kelembapan mereka. Selepas pendudukan Jepun,
semangat nasionalisme di Asia Tenggara telah meluap-luap, khasnya di Indonesia,
Tanah Melayu dan juga Sabah. Hal yang sebaliknya pula berlaku di Sabah.
Menurut Sheela (1993), walaupun terdapat persatuan seperti Persatuan
Kebangsaan Melayu Sabah dan Barisan Pemuda Sabah yang ditubuhkan pada
tahun 1946, kedua-dua persatuan ini tidak menjadi pendorong untuk menimbulkan
kesedaran nasionalisme dalam kalangan rakyat tempatan di Sabah.
Walau bagaimanapun, penyerahan Sabah kepada British telah ditentang
oleh negara jiran Sabah, iaitu Kesultanan Sulu. Penentangan ini dilakukan kerana
Kesultanan Sulu mendakwa bahawa Sabah merupakan milik mereka. Penentangan
ini langsung tidak memberi kesan kepada penyerahan Sabah kepada British. Secara
keseluruhannya, penyerahan Sabah kepada British pada 15 Julai 1946 tidak
mendapat sebarang penentangan yang berkesan daripada rakyat tempatan di
Sabah.

4.0

PENUTUP
Secara keseluruhannya, tugasan ini telah membincangkan mengenai sebab-sebab
penyerahan Sarawak kepada British pada 1 Julai 1946 dan penyerahan Sabah
kepada British pada 15 Julai 1946. Begitu juga, tugasan ini telah menganalisis
secara kritikal tentang reaksi rakyat tempatan terhadap penyerahan tersebut.
Seperti yang telah dijelaskan, penyerahan Sarawak dan Sabah kepada British telah
didasari oleh beberapa sebab.
Penyerahan Sarawak kepada British telah didorong oleh beberapa faktor,
iaitu masalah dalaman yang berlaku dalam keluarga Brooke, sejarah hubungan
diplomatik British dan Brooke, keadaan negeri Sarawak selepas pendudukan Jepun
serta kepentingan ekonomi pihak British di Sarawak. Faktor-faktor inilah yang
telah menjadi pendorong kepada Charles Vyner Brooke untuk menyerahkan
Sarawak kepada British pada tahun 1946.
Begitu juga, penyerahan Sabah kepada British turut didasari oleh beberapa
faktor. Antara faktor tersebut ialah kerosakan yang dialami oleh Sabah selepas
pendudukan Jepun, hubungan erat British dengan SBUB, kelemahan sistem
pemerintahan SBUB sendiri dan untuk menjamin kepentingan ekonomi British di
Sabah. Faktor-faktor inilah yang telah mendorong Kompeni (SBUB) untuk
menyerahkan Sabah kepada British, di mana pada 15 Julai 1946, Sabah secara

rasminya telah diisytiharkan sebagai Tanah Jajahan British atau dikenali


sebagai Crown Colony.
Sesungguhnya, penyerahan Sarawak kepada British telah menimbulkan
penentangan yang hebat daripada rakyat tempatan di Sarawak. Penentangan
tersebut dikenali sebagai gerakan anti-penyerahan. Rakyat Sarawak percaya
bahawa penyerahan Sarawak ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan 1941.
Hal ini akan melambatkan lagi proses kemerdekaan yang diingini oleh rakyat di
Sarawak. Penentangan demi penentangan telah dilakukan oleh gerakan antipenyerahan di Sarawak. Kemuncak gerakan tersebut adalah peristiwa
pembunuhan Sir Duncan Stewart yang membawa kepada tindakan keras British
yang akhirnya melumpuhkan gerakan anti-penyerahan di Sarawak.
Manakala, di Sabah, penyerahan Sabah kepada British tidak mendapat
sebarang tentangan yang berkesan dalam kalangan rakyat tempatan. Hal ini
disebabkan oleh rakyat Sabah yang tidak mempunyai kesedaran politik dan
semangat nasionalisme seperti di Sarawak. Begitu juga, ketiadaan penentangan ini
turut berpunca daripada akyat Sabah yang tidak mempunyai sebarang pengalaman
dalam bidang pentadbiran kerana tidak diberikan peluang untuk mentadbir semasa
pemerintahan Kompeni.
Konklusinya, penyerahan Sarawak dan Sabah ini merupakan satu titik tolak
kepada kebangkitan kesedaran nasionalisme dalam kalangan masyarakat
tempatan. Walaupun penentangan yang dilakukan tidak membuahkan hasil,
namun, kesedaran yang timbul semasa gerakan tersebut merupakan satu langkah
yang diperlukan oleh rakyat dalam proses mencapai kemerdekaan. Selepas
penyerahan tersebut, British telah menyediakan kedua-dua negeri tersebut ke arah
berkerajaan sendiri. Pada 16 September 1963, kedua-dua negeri ini telah
bergabung dengan Tanah Melayu dan Singapura untuk membentuk sebuah entiti
politik yang dikenali sebagai Malaysia sehinggalah pada hari ini.

You might also like