You are on page 1of 21

PELAJARAN 7

KOMUNIKASI LISAN: SYARAHAN

1.0 Pengenalan
Dalam tajuk ini, pelajar akan diperkenalkan dengan satu
daripada aspek komunikasi lisan iaitu syarahan.

2.0 Hasil Pembelajaran


Pada akhir pengajian ini, pelajar akan:
2.1 Memahami maksud komunikasi lisan.
2.2 Memahami bentuk-bentuk pengucapan.
2.3 Mampu memberikan ucapan secara praktikal.
2.4 Kemahiran melahirkan pendapat

3.0 Senarai Tajuk


3.1 Syarahan
3.2 Tujuan syarahan
3.3 Binaan sesuatu teks syarahan
3.4 Kemahiran memulakan syarahan

4.0 Istilah
4.1 Syarahan
Syarahan ialah pengucapan yang disampaikan secara
individu kepada khalayak ramai tentang sesuatu tajuk

4.2 Intonasi
Nada naik turun suara dalam berturut atau berbahasa.

5.0 Tajuk

5.1 Persembahan

Maksud Syarahan
Apakah maksud syarahan? Syarahan ialah pengucapan
yang disampaikan secara individu kepada khalayak
ramai tentang sesuatu tajuk. Seperti juga dengan
ucapan, syarahan adalah aktiviti komunikasi sehala.
Maknanya, maklumat disampaikan secara sehala
daripada penceramah kepada pendengar di
hadapannya. Tujuan syarahan adalah untuk
meyakinkan pendengarnya tentang apa yang ingin
disampaikan.

Tujuan Syarahan
Jika ucapan lebih bersifat umum, syarahan pula lebih
fokus pada matlamatnya. Antara tujuan syarahan
adalah:

a) Memberi penerangan tentang sesuatu tajuk, isu atau


persoalan yang telah diketahui sebelumnya.
b) Memberi tahu tentang sesuatu yang baru tapi
menarik seperti peristiwa atau hal ehwal semasa
yang menarik atau penting untuk diketahui.
c) Memberi keyakinan kepada pendengar tentang isu
yang ingin disampaikan.
d) Mempengaruhi pendengar supaya memberi
perhatian serius terhadap isu-isu yang disampaikan.

Binaan/Format Sesuatu Teks Syarahan


Binaan sesuatu teks syarahan adalah seperti berikut:

a) Pembuka kata
Oleh kerana syarahan selalunya berlaku dalam suatu
majlis, maka pada bahagian awal syarahan,
penyampai syarahan akan memulakan dengan
pembuka kata. Ini termasuklah kata-kata aluan
kepada pendengar atau penonton. Penyampai
syarahan akan menyatakan rasa terima kasihnya
kepada semua yang hadir dan kepada pihak yang
mengundangnya atau yang menganjurkan majlis
tersebut.

b) Pendahuluan
Pada bahagian ini, penyampai syarahan akan
memberi pengenalan kepada tajuk atau isu yang
ingin disampaikan. Biasanya, penceramah akan
memberi definisi, takrif atau penjelasan awal tentang
tajuk. Ini bertujuan untuk membuka kefahaman awal
pendengar tentang isi-isi tajuk yang bakal dihuraikan
kemudiannya.

c) Isi atau amanat


Bahagian isi adalah bahagian paling penting kerana
di sinilah penceramah menghuraikan semua mesej
yang ingin disampaikan.

d) Penutup kepada isi


Bahagian ini ialah bahagian untuk memberi
ringkasan umum terhadap tajuk yang disampaikan
tadi. Penyampai syarahan membuat rumusan
terhadap semua hujahannya sebelum itu.

e) Penutup kepada syarahan


Ini adalah bahagian terakhir dalam sesuatu
syarahan. Penceramah akan merakamkan
penghargaannya kepada pihak pendengar dan
penganjur majlis.

Kemahiran Memulakan Syarahan


Ada dua aspek penting dalam kemahiran memulakan
sesuatu syarahan iaitu peringkat persediaan
sebelum syarahan, dan peringkat permulaan
ucapan.

a) Peringkat persediaan
Antara langkah yang perlu dibuat pada peringkat
ini adalah:

i) Mengetahui tujuan sebenar syarahan itu


sama ada untuk menyampaikan maklumat,
memberi kesedaran, atau percubaan untuk
mempengaruhi pendengar.

ii) Menganalisa para pendengar dan majlis


tersebut. Ini termasuklah memahami tujuan
majlis tersebut diadakan; golongan yang
bakal mendengar syarahan; jumlah
pendengar sama ada ramai atau sedikit;
tahap ilmu yang mereka ada iaitu sama ada
tahap pengetahuan atau tahap pendidikan;
jantina pendengar sama ada keseluruhannya
lelaki; atau keseluruhannya perempuan, atau
lebih ramai perempuan dari lelaki; dan umur
pendengar, sama ada ramai yang tua, atau
ramai yang muda.

iii) Mengumpulkan maklumat yang sesuai


mengikut tujuan majlis.
iv) Menganggarkan jangka masa yang telah
ditetapkan untuk menyampaikan syarahan.

b) Peringkat permulaan ucapan:


Peringkat permulaan ucapan amat penting untuk
menarik minat para pendengar. Kemahiran
berikut perlu dimiliki oleh penyampai syarahan:

i) Menyampaikan salam terlebih dahulu


mengikut kesesuaian kelompok pendengar.

ii) Menyampaikan kata-kata aluan kepada


pengerusi majlis, barisan jawatankuasa,
pihak penganjur majlis, dif-dif kehormat (jika
ada) dan para hadirin mengikut protokol.

iii) Menarik minat pendengar melalui:


pernyataan fakta yang memberangsangkan;
kenyataan yang provokatif; persoalan-
persoalan yang membangkitkan minat dan
perasaan ingin tahu pendengar; petikan atau
data yang memeranjatkan pendengar.

iv) Menyatakan tajuk syarahan dan


memperkenalkan tajuk keseluruhan dengan
mengetengahkan beberapa idea utama yang
akan dihuraikan.

Kemahiran Melahirkan Pendapat


Antara perkara penting dalam syarahan ialah
melahirkan pendapat atau pandangan yang dapat
diterima oleh pendengar. Keberkesanan syarahan
bergantung kepada kemampuan pensyarah
menyampaikan pendapat atau pandangannya.
Beberapa perkara perlu diambil kira untuk menjamin
kemahiran melahirkan pendapat ini.

a) Pemilihan kata
Pemilihan kata-kata yang tepat dan sesuai akan
menjamin ekspresi yang berkesan di samping
mampu melahirkan pendapat dengan jelas dan
terang. Kata-kata yang sesuai diperlukan untuk
menggambarkan idea penceramah. Pemilihan
kata-kata yang tidak sesuai akan menyebabkan
pendengar kurang memahami idea-idea yang
ingin disampaikan.

b) Penyusunan fakta
Fakta perlu disusun dengan teratur supaya idea
keseluruhan dapat diterima dan difahami oleh
pendengar.

c) Pemilihan ayat
Selain dari pemilihan kata-kata yang sesuai,
pemilihan ayat juga penting dalam sesuatu
syarahan. Ayat yang terlalu panjang, atau berbelit-
belit akan menjadikan pendengar keliru. Ayat yang
salah dari segi tatabahasa juga akan
menyebabkan pendengar kurang yakin dengan
syarahan tersebut.

d) Ringkas dan tepat


Hujahan yang berkesan ialah yang ringkas dan
padat. Hujahan yang kurang berkesan ialah
hujahan yang terlalu panjang dan meleret-leret.
Hujahan yang terlalu luas skopnya juga akan
menyebabkan pendengar hilang tumpuan pada
tajuk yang ingin disyarahkan.

Gaya Penyampaian Yang Menarik


Isi dan idea yang baik perlu disampaikan pula dengan
gaya yang menarik. Aspek gaya lebih bersifat visual,
iaitu pendengar dapat melihat dan memahaminya.
Gaya yang menarik akan menyebabkan pendengar
semakin tertarik dengan apa yang ingin disampaikan.
Gaya yang menarik termasuklah mempunyai
kelancaran, nada dan intonasi, kecekapan
berbahasa dan gaya badan.

a) Kelancaran
Syarahan tidak boleh tersekat-sekat. Penceramah
wajar menyampaikan ideanya dengan lancar dan
menarik.

b) Nada dan intonasi


Nada dan intonasi yang beralun, iaitu mempunyai
nada naik dan nada turun, akan lebih memikat
pendengar. Tanpa nada dan intonasi, penceramah
akan bersyarah seperti robot. Bunyi syarahan akan
membosankan. Nada tinggi digunakan untuk
menegaskan pendapat. Nada perlahan digunakan
untuk merayu atau meminta simpati. Nada
sederhana atau mesra digunakan untuk memujuk.
Nada tinggi dan lantang untuk membakar emosi
dan semangat pendengar.
c) Kecekapan berbahasa
Penggunaan bahasa yang baik dan menarik akan
menambah kemantapan gaya. Bahasa yang
digunakan perlu sesuai dengan isi kandungan
syarahan. Bahasa yang sesuai akan menarik hati
pendengar.

d) Garak badan
Penceramah yang berdiri tegak seperti tiang
telefon sudah pasti tidak dapat menarik perhatian
pendengar. Gerak badan perlu disusun sesuai
dengan isi kandungan syarahan. Gerak badan
yang dimaksudkan di sini termasuklah gerak
tangan, gerak mata, dan gerak badan. Namun,
gerak badan yang keterlaluan juga boleh
mengurangkan minat pendengar.

Contoh syarahan:

MEMUPUK MINAT MEMBACA DALAM KALANGAN


MASYARAKAT

Terima kasih, Tuan Pengerusi Majlis, dan rakan-rakan


yang dihormati. Assalamualaikum dan selamat pagi.

Tajuk syarahan yang menjadi pilihan saya pada pagi ini


adalah Ke Arah Memupuk Minat Membaca dalam
Kalangan Masyarakat. Mengapakah saya memilih tajuk
ini dan apakah yang ingin saya kupas daripada tajuk
ini? Sebenarnya, beberapa hari yang lepas, saya baru
selesai mengikuti jerayawara ke lima buah daerah di
Johor untuk mengajar pelajar mengaplikasikan
maklumat dalam karangan. Daerah terakhir yang saya
kunjungi ialah daerah Pasir Gudang iaitu pada 3 Julai
yang lalu. Di setiap daerah, saya akan bertanya kepada
pelajar-pelajar, siapakah yang membaca surat khabar
pada setiap hari? Tuan-tuan dan puan-puan tahu,
apakah jawapannya? Jawapannya amat
mendukacitakan. Daripada lebih 100 orang peserta di
setiap daerah, tidak sampai 10 orang yang membaca
surat khabar pada setiap hari! Kalaupun ada yang
membaca, mereka akan hanya membaca ruangan
tertentu seperti ruangan sukan atau hiburan. Mereka
juga tidak mengetahui nama-nama pemimpin negara
apalagi isu semasa yang melanda negara. Inilah
gambaran budaya membaca masyarakat kita yang
sebenar.

Oleh itu, tidak hairanlah jika, Perpustakaan Negara


Malaysia mengumumkan bahawa purata membaca
setiap rakyat Malaysia hanyalah dua buah buku
setahun. Keadaan ini amat menyedihkan, tetapi itulah
hakikatnya!

Oleh sebab remaja hari ini merupakan pemimpin masa


depan, maka usaha-usaha untuk memupuk budaya
membaca dalam kalangan masyarakat perlu dilakukan
oleh semua pihak. Jadi, tuan-tuan dan puan-puan, pada
hari ini saya ingin mencadangkan beberapa langkah
yang perlu dilakukan oleh semua pihak untuk memupuk
budaya membaca dalam masyarakat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pada pendapat saya, pihak kerajaan perlu lebih agresif


dalam menyemai budaya membaca dalam kalangan
masyarakat. Sebelum ini, banyak usaha dijalankan
namun tahap pembacaan masyarakat masih rendah.
Malahan, Kampung Buku di Langkawi yang diharapkan
dapat menjadi daya tarikan untuk memupuk budaya
membaca, dilaporkan terbiar dan tidak dimanfaatkan
walaupun jutaan ringgit telah dibelanjakan untuk
membinanya.

Oleh itu, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk


Seri Najib Tun Razak pada tahun lepas, yang mahu
menjadikan Malaysia sebagai Negara Pembaca
perlulah disambut baik oleh semua pihak. Negara
Pembaca yang dihasratkan ialah negara yang bukan
sahaja memiliki rakyat yang suka membaca dan
berasaskan ilmu pengetahuan, malahan diharapkan
agar rakyat mempunyai kemampuan berterusan untuk
belajar, membuat penyelidikan dan melakukan
penemuan baru.

Tuan-tuan dan puan-puan, dengan terealisasinya hasrat


ini, maka terealisasilah juga Dasar Buku Negara yang
berhasrat untuk menjadikan masyarakat Malaysia,
bukan sahaja suka membaca malah berupaya untuk
menghasilkan dan menerbitkan banyak buku yang
sesuai dan berkualiti.
Tuan-tuan dan puan-puan,

Selain dasar dan polisi kerajaan, prasarana yang sesuai


dan mesra pengguna hendaklah dibangunkan. Kerajaan
boleh membangunkan perpustakaan di tempat-tempat
yang menjadi tumpuan ramai dan mudah dikunjungi.
Selain itu, perpustakaan desa dan perpustakaan
bergerak juga perlu diperbanyak supaya gerakan ini
dapat sampai ke seluruh ceruk rantau. Selain kerajaan,
pihak swasta dan orang persendirian juga boleh
membangunkan perpustakaan. Di Amerika Syarikat,
lending library atau circulating library ini dibangunkan
dan dijadikan sumber perniagaan, iaitu dengan
menjadikannya sebagai perpustakaan pinjaman
berbayar. Usaha ini telah pelopori oleh William Rind
sejak tahun 1762 dan telah mendatangkan impak yang
amat besar terhadap pembudayaan membaca dalam
kalangan rakyat Amerika selepas itu. Oleh itu, jelas
bahawa pembinaan prasarana yang banyak dan
meluas, membantu masyarakat kita membudayakan
membaca.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pihak swasta juga perlu memainkan peranan untuk


memupuk masyarakat membaca. Selain syarikat
penerbitan menerbitkan banyak judul menarik dan
mengusahakan penterjemahan buku-buku yang
berkualiti dari negara, media massa turut memainkan
peranan yang penting. United Kingdom, merupakan
sebuah negara yang sememangnya berbudaya
membaca dan keadaan itu bukanlah sesuatu yang
terbina dalam sekelip mata. Pada tahun 2004, mereka
telah mengadakan program BigRead yang merupakan
satu program untuk mencari 100 buah buku paling
popular di United Kingdom. Yang terpenting ialah
program ini telah dilakukan secara bersepadu oleh
pihak-pihak media, seperti TV, radio, Internet dan juga
usaha sama dengan beberapa buah kedai buku.
Caranya mudah sahaja. TV UK, misalnya BBC 1, telah
menyiarkan program yang mengulas 100 buah buku
yang tersenarai pada setiap minggu. Pada masa yang
sama, orang ramai akan mengundi buku-buku
kegemaran mereka menerusi Internet. Toko-toko buku
pula akan menjual buku yang tersenarai itu dengan
melabel dan meletakkannya pada rak-rak khas yang
tercetak BigRead di muka depannya. Cara ini umpama
carta muzik di kaca TV kita. Oleh itu, tuan-tuan dan
puan-puan, jika kita boleh menciplak banyak program
tv realiti berbentuk hiburan dari negara Barat, apalah
salahnya jika kita menciplak idea yang sangat membina
ini? Jika semua pihak swasta menggembleng tenaga,
saya yakin dan percaya, di samping mendapat
keuntungan, akan terlunaslah satu daripada
tanggungjawab sosial mereka kepada negara iaitu
memupuk budaya membaca. Inilah yang dikatakan
situasi menang-menang, tuan-tuan dan puan-puan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Erasmus Mundus, seorang tokoh akademik terkenal


pernah berkata, When I have money, I buy books. If
any is left, I buy food.. Apakah maknanya kata-kata
itu, tuan-tuan dan puan-puan? Maknanya, Erasmus
melebihutamakan buku, sedangkan kepentingan
makanan datang kemudian. Pada Erasmus dan juga
sebilangan besar masyarakat negara maju yang lain,
membaca itu amat penting buat santapan minda. Oleh
itu, sebagai langkah yang ke-4, kita perlulah
memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli bahan
bacaan. Masyarakat kita bukannya tidak mempunyai
wang, mereka ada wang. Hampir setiap rumah,
mempunyai radio dan televisyen, malah melanggan
Astro. Bagi yang berkemampuan sedikit, mereka tidak
lokek untuk berbelanja bagi memiliki produk penjagaan
diri dan kesihatan, dan sebagainya. Cuma mereka tidak
terbudaya untuk memperuntukkan sejumlah wang bagi
membeli buku.
Jadi, suatu gerakan besar-besaran perlulah dilakukan
supaya, masyarakat kita, terbudaya untuk merancang
perbelanjaan dengan lebih bijak dengan
memperuntukkan sejumlah wang untuk pembelian
buku. Diharapkan dengan cara ini, kita akan dapat
melahirkan masyarakat yang walaupun tidak kaya
tetapi berminda kelas pertama. Sebenarnya, inilah
modalnya untuk kita menjadi negara yang maju dan
kaya menjelang tahun 2020 ataupun 2058
sebagaimana yang disasarkan oleh Perdana Menteri
kita, Dato Sri Abdullah Ahmad Badawi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Akhirnya adalah peranan ibu bapa. Bagaimana acuan


begitulah kuihnya manakala melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Oleh itu, penyuburan sikap suka membaca
perlu dipupuk sejak kecil lagi. Sebelum kanak-kanak
boleh membaca, seharusnya mereka sudah dibiasakan
dengan buku sama ada memegang, melihat atau
menikmati buku secara bercerita.

Berdasarkan kajian, 80 hingga 88% ibu bapa dapat


mempengaruhi anak-anak untuk membaca. Ibu bapa
bukan sahaja menjadi penggalak, malah perlu menjadi
suri teladan. Mereka mestilah terlebih dahulu
menunjukkan teladan yang baik dengan mengamalkan
tabiat membaca. Sebagai permulaan, anak-anak boleh
dibacakan bed time story sebelum mereka tidur.
Apabila usia bertambah, belikan buku-buku cerita yang
menarik dan berwarna-warni untuk menarik perhatian
mereka.
Menjelang usia remaja pula, ajaklah anak-anak
berbincang tentang bahan bacaan yang dibaca oleh
mereka atau yang dibaca oleh ibu bapa. Jika ini
dilaksanakan, saya yakin dan percaya, anak-anak ini
akan terus menghargai buku dan ilmu seterusnya
merealisasikan gagasan pembelajaran sepanjang
hayat. Keadaan ini sudah pasti akan menjadi
pemangkin kepada hasrat negara untuk mewujudkan
masyarakat berminda kelas pertama yang mampu
menggegarkan dunia dengan tahap keilmuan yang
tinggi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Tahukah anda berapa judul buku yang menyaksikan


matahari setiap hari? Setiap 30 saat, setiap hari, sekitar
4000 buku baru diterbitkan di seluruh dunia. Ini
bermakna, pada setiap tahun, sekitar 1.5 juta judul
baru menemui pembaca. Sejak mesin Gutenberg
dicipta pada 1450, sebanyak 50 juta judul buku telah
diterbitkan di planet bumi. Oleh itu, jika anda berhasrat
untuk membaca semua buku itu, anda perlu hidup
250,000 tahun!

Malah, kalau pun anda hanya membaca judulnya


sahaja, anda memerlukan masa selama 15 tahun!
Bermakna, setiap hari, begitu banyak ilmu yang
ditemukan lantaran ilmu tersebut semakin berkembang
dari hari ke hari. Oleh itu, jika tidak disemaikan budaya
membaca dalam kalangan masyarakat kita, kita akan
ketinggalan dan menjadi masyarakat seperti katak di
bawah tempurung. Bertepatan dengan bulan Julai iaitu
Bulan Membaca Negara, marilah sama-sama kita
menyemai budaya membaca supaya cabaran Wawasan
2020 yang ke-6 iaitu mewujudkan masyarakat yang
maju dan progresif.. bukan fatamorgana semata-mata.

Sekian, terima kasih.

Sumber : http://www.zanariah.myportal.my/

5.1.1Aktiviti

Tulis satu teks syarahan dengan tajuk Kepentingan


semangat Toleransi dalam Masyarakat Majmuk.

6.0 Ringkasan

6.1 Syarahan ialah pengucapan yang disampaikan secara


individu kepada khalayak ramai.

6.2 Syarahan bertujuan untuk memberi penerangan


tentang sesuatu tajuk, isu atau persoalan.

6.3 Syarahan juga bertujuan untuk memberi keyakinan


kepada pendengar tentang isu yang ingin disampaikan.

6.4 Binaan teks syarahan ialah pembuka kata,


pendahuluan, isi atau amanat, penutup kepada isi dan
penutup kepada syarahan.

6.5 Kemahiran syarahan peringkat persediaan ialah


mengetahui tujuan syarahan itu, menganalisa para
pendengar, mengumpulkan maklumat dan
menganggarkan masa syarahan.

6.6 Kemahiran peringkat permulaan ucapan ialah


menyampaikan sapaan, menyampaikan kata-kata
aluan, memberi fakta yang meyakinkan, dan
memperkenalkan gambaran umum tentang tajuk.

6.7 Kemahiran melahirkan pendapat adalah aspek penting


syarahan. Kemahiran melahirkan pendapat bermaksud
kemahiran dalam pemilihan kata, kemahiran
penyusunan fakta, kemahiran pemilihan ayat, dan
kemahiran memberi hujahan yang ringkas dan padat.

6.8 Gaya penyampaian yang menarik memerlukan


kelancaran, nada dan intonasi, kecekapan berbahasa
dan gerak badan.

7.0 Latihan Kendiri

1. Apakah tujuan syarahan?


2. Apakah peringkat-peringkat binaan sesuatu syarahan?
3. Jelaskan unsur-unsur yang harus dipelihara apabila
melahirkan pendapat dalam syarahan.
4. Buat satu teks syarahan dengan tajuk Vandalisme dan
Penyelesaiannya.

Jawapan:

Jawapan 1:
Apakah tujuan syarahan?
Antara tujuan syarahan adalah untuk memberi
penerangan tentang sesuatu tajuk, isu atau persoalan
yang telah diketahui sebelumnya; memberi tahu
tentang sesuatu yang baru tapi menarik seperti
peristiwa atau hal ehwal semasa yang menarik atau
penting untuk diketahui; memberi keyakinan kepada
pendengar tentang isu yang ingin disampaikan; dan
mempengaruhi pendengar supaya memberi perhatian
serius terhadap isu-isu yang disampaikan.

Jawapan 2:
Peringkat-peringkat binaan sesuatu syarahan.

Ada lima peringkat dalam binaan sesuatu syarahan.


Peringkat pertama ialah pembuka kata. Pada bahagian
awal syarahan, pensyarah akan memulakan dengan
pembuka kata. Ini termasuklah kata-kata aluan kepada
pendengar atau penonton. Penceramah akan
menyatakan rasa terima kasihnya kepada semua yang
hadir dan kepada pihak yang mengundangnya atau
yang menganjurkan majlis tersebut.

Peringkat kedua ialah pendahuluan. Pada bahagian ini,


penceramah akan memberi pengenalan kepada tajuk
atau isu yang ingin disampaikan. Biasanya,
penceramah akan memberi definisi, takrif atau
penjelasan awal tentang tajuk. Ini bertujuan untuk
membuka kefahaman awal pendengar tentang isi-isi
tajuk yang bakal dihuraikan kemudiannya.
Peringkat ketiga ialah isi atau amanat. Bahagian ini
ialah bahagian paling penting kerana di sinilah
penceramah menghuraikan semua mesej yang ingin
disampaikan.

Bahagian keempat pula ialah bahagian penutup kepada


isi. Bahagian ini ialah bahagian untuk memberi
ringkasan umum terhadap tajuk yang disampaikan tadi.
Penceramah membuat rumusan semula terhadap
semua hujahannya sebelum itu.

Bahagian akhir ialah penutup kepada syarahan.


Penceramah akan merakamkan penghargaannya
kepada pihak pendengar dan penganjur majlis.

Jawapan 3:
Unsur-unsur yang harus dipelihara dalam melahirkan
pendapat dalam syarahan.

Ada beberapa unsur yang perlu dipelihara dalam


melahirkan pandapat dalam syarahan. Antaranya ialah
pemilihan kata. Pemilihan kata-kata yang tepat dan
sesuai akan menjamin ekspresi yang berkesan di
samping mampu melahirkan pendapat dengan jelas
dan terang. Kata-kata yang sesuai diperlukan untuk
menggambarkan idea penceramah. Pemilihan kata-kata
yang tidak sesuai akan menyebabkan pendengar
kurang memahami idea-idea yang ingin disampaikan.

Unsur seterusnya ialah penyusunan fakta. Fakta perlu


disusun dengan teratur supaya idea keseluruhan dapat
diterima dan difahami oleh pendengar.
Seterusnya ialah pemilihan ayat. Ayat yang terlalu
panjang, atau berbelit-belit akan menjadikan
pendengar keliru. Ayat yang salah dari segi tatabahasa
juga akan menyebabkan pendengar kurang yakin
dengan syarahan tersebut.

Akhir sekali, hujahan yang berkesan ialah yang ringkas


dan padat. Hujahan yang kurang berkesan ialah
hujahan yang terlalu panjang dan meleret-leret.
Hujahan yang terlalu luas skopnya juga akan
menyebabkan pendengar hilang tumpuan pada tajuk
yang ingin disyarahkan.

Jawapan 4:
Vandalisme dan Penyelesaiannya

Yang saya muliakan Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel


hakim yang bijaksana, dan hadirin yang saya hormati.
Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan. Tajuk
syarahan yang akan saya sampaikan ialah Vandalisme dan
Penyelesaiannya .

Para hadirin yang saya muliakan.

Tahukah anda, apakah yang dimaksudkan dengan


vandalisme? Menurut Kamus Dewan, vandalisme dapat
didefinisikan sebagai perbuatan membinasakan atau
merosakkan harta benda awam atau persendirian.
Vandalisme merupakan suatu perbuatan yang tidak bermoral
dan kurang sihat. Lazimnya, perbuatan ini dilakukan oleh
golongan remaja yang bermasalah. Antara contoh-contoh
vandalisme ialah merosakkan pondok telefon, paip bomba
serta menconteng dinding bangunan , tandas, lif, dan juga
perhentian bas.

Para hadirin sekalian,

Banyak punca yang mengaitkan fenomena ini dengan


tingkah laku remaja. Hal ini demikian kerana golongan
remaja merupakan golongan yang kuat memberontak.
Sebagai jalan keluar, mereka bertindak merosakkan harta
benda awam bagi melahirkan perasaan tidak puas hati
mereka. Golongan remaja ini biasanya terlibat dengan
pelbagai gejala sosial yang kurang sihat seperti menagih
dadah, merokok, mencuri, melepak, dan ponteng sekolah .

Perbuatan vandalisme banyak menyusahkan pihak berkuasa


dan juga masyarakat. Semua kemudahan awam yang
dirosakkan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk
dibaiki atau diganti dengan yang baru. Orang ramai juga
turut mengalami kesukaran untuk menggunakannya
terutama ketika kecemasan.

Bagi mengatasi masalah ini, kerjasama semua pihak


amatlah diperlukan. Masyarakat tidak boleh meletakkan
beban ke bahu pihak berwajib semata-mata. Ibu bapa
perlulah mengawasi gelagat anak-anak di samping
menerapkan nilai moral dan agama kepada mereka.

Para remaja harus belajar mendidik diri mereka agar benci


akan perbuatan yang tidak berfaedah ini. Mereka perlu sedar
tentang kepentingan menjaga harta benda awam .

Hadirin yang dihormati,

Pihak sekolah pula perlu mengadakan kempen


antivandalisme dan menyediakan pelbagai program untuk
disertai oleh para pelajar di sekolah. Dengan kerjasama
semua pihak, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat
dibendung.

Hadirin sekalian,
Demikianlah syarahan saya untuk kali ini. Semoga perkara
yang telah saya katakan dapat dijadikan pedoman.

Sekian, terima kasih

You might also like