You are on page 1of 5

TUN HUSSEIN BIN DATO SERI ONN

Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Seri Onn (12 Februari 1922 - 29 Mei 1990) merupakan Perdana
Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau dilihat sebagai
seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai
reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman
di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan
masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".

Kehidupan Awal

Beliau dilahirkan di Johor Bahru serta merupakan anak kepada Dato' Onn Jaafar yang
menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946. Ibunya bernama
Datin Halimah Hussein.

Pendidikan

Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Telok Kurau School Singapura, kini Telok Kurau
Primary School (Sekolah Rendah Telok Kurau) dan di English College (kini Maktab Sultan Abu
Bakar), Johor Bahru. Selepas persekolahannya, Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera
Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun kemudian, beliau dihantar ke Maktab Tentera
Sandhurst di Dehradun, India. Selepas ditauliahkan, beliau menyertai Regimen Hyderabad ke-19
(Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengahsewaktu peperangan. Selepas peperangan,
kerajaan British melantik beliau sebagai pengajar di "Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya"
di Rawalpindi.

Latar Belakang

Bermula tahun 1942, beliau terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin, Iran dan
Iraq. Apabila Perang Dunia Kedua meletus di rantau Asia, beliau ditempatkan di Cawangan Perisikan
Ibu Pejabat Tentera British, India di New Delhi. Beliau kemudiannya dipinjamkan ke unit pengambilan
orang-orang baru dan melatih para pejuang bawah tanah Malaya menentang tentera Jepun yang
menawan Malaya. Dari Madras Tun Hussein merancang dan menggerakkan operasi peperangan
gerila terhadap Jepun.

Beliau pulang ke Malaya (kemudian Persekutuan Tanah Melayu; kini Semenanjung Malaysia)
pada 1945 dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru. Beliau kemudiannya bersara
daripada perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu pencapaian yang cukup
cemerlang bagi seorang bumiputera semasa penjajahan British. Selama 6 tahun berkhidmat dalam
tentera, beliau dikenali sebagai seorang yang berdisiplin dan menepati masa. Seterusnya, beliau
menyertai Perkhidmatan Awam Malayasebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor.
Beliau juga pernah bekerja di negeri Selangor sebagai pegawai daerah untuk Klang dan Kuala
Selangor.
Politik

Semangat Dato' Onn Jaafar menentang Malayan Union turut mengapikan semangat Tun Hussein
untuk bersama bapanya menentang Malayan Union. Beliau kemudiannya menyertai bapanya dalam
bidang politik apabila bapanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila UMNO
ditubuhkan, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya sebagai
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun. Beliau kemudiannya menjadi
Setiausaha Agung UMNO dan Tun Abdul Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Di samping penglibatannya dalam bidang politik, beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran


Melayu dan berkhidmat di Kuala Selangor dan Kelang sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada
tahun 1949, beliau telah menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)
yang pertama dan kemudian, pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung. Pada tahun
1950, beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan di samping menduduki Majlis
Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.

Walau bagaimanapun, penglibatan beliau dalam bidang politik mulai pudar apabila cadangan
bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang
Melayu. Apabila bapanya menarik diri daripada UMNO, beliau kemudiannya menyertai bapanya
keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan
kemudiannya Parti Negara. Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, beliau
meninggalkan bidang politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang
undang-undang di Lincoln's Inn, England dan lulus sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958.

Sekembalinya ke Malaya, beliau membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Pada masa itu,
beliau sudah pun berkahwin dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Mohammad Noah dan
mempunyai enam orang anak. Ibarat sireh pulang ke ganggang, beliau kembali menyertai UMNO
semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak yang ketika itu memegang jawatan sebagai Yang Di-
Pertua UMNO pada tahun 1964. Pada Jun 1969, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja
UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO). Walaupun beliau telah lama menghilangkan diri daripada
arena politik, tetapi UMNO telah mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan Parlimen
Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset kerana beliau memenangi kerusi Parlimen ini
dengan mudah pada Mei 1969.

Peranan dan sumbangan

Penyertaannya dalam kabinet Malaysia bermula pada September 1970 apabila dilantik
menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak. Di bawah pentadbiran beliau, Kementerian
Pelajaran terus meningkat maju. Beliau maju setapak lagi apabila dalam Perhimpunan Agung UMNO
tahun 1972, beliau telah menjadi salah seorang daripada tiga orang Naib Presiden yang dipilih.
Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 8 Ogos 1973, beliau dilantik menjadi Timbalan
Presiden UMNO berikutan kematian daripada Tun Dr. Ismail. Apabila Tun Dr. Ismail meninggal dunia,
beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973 sekaligus merangkap Menteri
Perdagangan dan Perindustrian. Pemergian Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14 Januari 1976
telah mengejutkan rakyat di seluruh negara ini.
Berikutan itu, dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi pada 17 Januari, beliau telah
disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO. Pada hari Khamis, 15 Januari 1976, Beliau mengangkat
sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga di Istana Negara. Pada tahun 1978, beliau
menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden UMNO. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau
telah meneruskan agenda pembangunan yang telah digariskan oleh Tun Abdul Razak khususnya
dalam menggerakkan Dasar Ekonomi Baru. Sebagai seorang pemimpin, beliau arif tentang hal ehwal
keselamatan. Beliau juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan
terhadap ancaman dadah. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia telah diperbesar
dan dipermodenkan apatah lagi pada ketika itu rantau di Asia Tenggara telah menjadi gempar ekoran
jatuhnya kerajaan Vietnam Selatan ke tangan komunis dan terbinalah cita-cita "Teori Domino"
komunis. Semasa pentadbirannya pada temboh darurat, usaha membenteras pengganas komunis di
hutan dan bandar telah diperhebat malah golongan yang bersimpati dengan aliran komunis
dipulihkan menerusi gerakan-gerakan pengnitipan yang dikatakan berjaya.

Beliau akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang menyebabkan Malaysia meniti arus
pembangunan dengan konsisten tanpa banyak kontroversi. Dasar-dasar dan program-program yang
diketengahkannya tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru. Walaupun pada ketika itu
ekonomi negara terjejas oleh kemelesetan ekonomi dunia, beliau berjaya untuk mengawal keadaan
dan membantu Malaysia berkembang dari segi ekonomi dan sosial. Beliau pernah menjalani rawatan
jantung atau pintasan koronari pada awal 1981. Beliau juga telah berjaya melancarkan Rancangan
Malaysia Keempat pada bulan April 1981. Beliau juga telah mengikuti jejak langkah bapanya yang
sentiasa mencuba untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu yang agak ketinggalan jika
dibandingkan dengan kaum-kaum lain terutamanya dari segi ekonomi. Dengan itu, pada 20 April
1981, beliau melancarkan pula Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang merupakan satu dana
amanah bumiputera yang membantu peningkatan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.
Keamanan negara yang diperkukuhnya telah menarik pelabur luar untuk menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara yang stabil dari segi politik dan ekonomi. Sumbangan beliau yang terbesar
ialah menegakkan tiang keamanan yang kukuh.

Akibat kesihatan beliau yang merosot, beliau menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan
jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri daripada kepimpinan negara. Beliau
mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei 1981 atas
sebab kesihatan dan diambil alih oleh timbalannya, Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad (kini
bergelar "Tun") pada 18 Julai 1981. Selepas beliau meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri,
beliau masih aktif dalam pertubuhan-pertubuhan kebajikan seperti Tabung Mata dan ISIS semasa
hayatnya. Disebabkan perkhidmatannya kepada negara, Hussein Onn dikurniakan dengan
gelaran Tun yang merupakan anugerah diraja yang tertinggi di Malaysia.

Keistimewaan

Beliau ialah seorang yang amat berhati-hati apabila membuat keputusan yang melibatkan hal ehwal
negara. Beliau sangat tegas dan berpegang teguh kepada prinsip hidupnya. Pengalaman dalam
bidang ketenteraan telah menjadikan beliau sebagai seorang yang berdisiplin dan mementingkan
ketepatan masa. Beliau telah memberikan kebebasan kepada akhbar dan majalah untuk melontarkan
kritikan dan ulasan dengan harapan bahawa perkara itu akan meningkatkan prestasi pentadbirannya.
Beliau ialah seorang negarawan yang disegani dan dihormati. Beliau juga terkenal dengan sifat
merendah diri serta jujur. Dalam sejarah, beliau akan sentiasa dikenang sebagai "Penyambung
Warisan Yang Terbilang". Usaha beliau dalam memupuk semangat perpaduan antara berbilang kaum
telah berjaya dicapai dalam konteks masyarakat Malaysia. Beliau mewarisi kepimpinan UMNO yang
pernah disandang oleh ayahandanya serta pogram pembangunan yang dijana oleh sahabatnya dan
melaksanakannya dengan penuh dedikasi. Malah, beliau juga telah mewariskan pentadbiran kerajaan
serta UMNO kepada Tun Dr. Mahathir dalam keadaan yang stabil dan begitu kukuh pada ketika itu.

Garis masa

1922: Dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari.

1942 (umur 20): Terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq.

1945 (umur 23): Pulang ke tanah air dan dilantik sebagai Komandan Polis Johor Bahru.

1946 (umur 24): Menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila Dato Onn bin Jaafar
menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung dan dilantik sebagai Penolong Setiausaha
Agung UMNO.

1950 (umur 28): Dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama; juga dilantik
sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan
Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.

1951 (umur 29): Menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of
Malaya Party (IMP) dan kemudiannya Parti Negara.

1958 (umur 36): Mendapat ijazah undang-undang di Lincoln's Inn, England.

1964 (umur 42): Menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak, Yang DiPertua
UMNO

1969 (umur 47): Dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO)
pada Jun.

1970 (umur 48): Menjadi Menteri Pelajaran pada September.

1972 (umur 50): Dipilih sebagai Naib Presiden UMNO

1973 (umur 51): Dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden pada 8 Ogos oleh Majlis Tertinggi
UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail. Juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13
Ogos dan memegang portfolio Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

1976 (umur 54): Disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO berikutan kematian Tun Razak.
Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari.

1978 (umur 56): Menang jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding.

1981 (umur 59): Menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO
sekaligus mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri
negara pada Julai 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.
1990 (umur 68): Pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat kerana
serangan sakit jantung. Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

You might also like