You are on page 1of 4

TEKS UCAPAN PERASMIAN

MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM JOM KE SEKOLAH


PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2017

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam
1Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana


dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun dalam Majlis
Pelancaran Program Jom ke Sekolah Tahun 2017 pada hari ini.

2. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan
tahniah kepada semua sekolah kerana berjaya mengadakan majlis pelancaran ini. Bagi
makluman hadirin sekalian, semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) melancarkan program ini secara serentak pada 5 hb dan 6 hb Februari Tahun
2017.

3. Sistem Pendidikan Negara telah mengalami evolusi penting seiring dengan


Gelombang 2 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dengan tekad dan
azam untuk terus berusaha melonjakkan kualiti pendidikan negara seperti yang
dihasratkan. Sesungguhnya transformasi pendidikan merupakan proses yang
memerlukan komitmen yang tinggi secara berterusan daripada semua pihak.
4. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kita sedia maklum bahawa sekolah sebagai
agen sosialisasi utama bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin hingga
ke peringkat akar umbi supaya dapat memenuhi evolusi yang dilaksanakan. Iklim dan
persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang perkembangan
murid dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Justeru, Program Jom ke Sekolah adalah sebahagian daripada usaha ke
arah meningkatkan kecemerlangan kurikulum dan kokurikulum sekolah serta
pembinaan sahsiah murid yang mantap.

5. Pengurusan disiplin di sekolah memerlukan komitmen daripada semua pihak


agar kemenjadian murid akan lebih cemerlang. Dengan pelaksanaan program ini,
diharapkan warga sekolah dapat memberikan saluran yang sesuai untuk menerima
aduan dan menyelesaikan masalah yang berkaitan disiplin murid. Oleh hal yang
demikian, besarlah harapan saya agar pihak sekolah dapat menerima cadangan-
cadangan yang membina untuk mengatasi permasalahan yang timbul dalam proses
pengurusan disiplin murid di sekolah.

6. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, objektif Program Jom ke Sekolah ini adalah
untuk mewujudkan hubungan mesra dan kolaborasi yang lebih mantap antara pihak
sekolah dengan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS). Selain itu, program ini juga
bertujuan untuk membantu mencegah salah laku disiplin murid daripada terlibat dalam
kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral
sama ada di dalam atau di luar sekolah. Seterusnya, program ini dilaksanakan untuk
membugarkan kembali penggunaan Peti Aduan Disiplin Murid di sekolah.

7. Tuan-tuan dan puan-puan, pihak sekolah perlu sentiasa prihatin terhadap murid-
murid. Pihak pentadbir sekolah seharusnya memastikan pengurusan disiplin sentiasa
ditambah baik untuk meningkatkan proses perkhidmatannya. Dalam hal ini kerjasama
pihak polis dan sekolah sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kedua-dua pihak perlu
berganding bahu bagi menangani masalah disiplin murid.
8. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PDRM
terutamanya Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan seluruh warga pendidik atas
daya usaha untuk menjayakan Program Jom ke Sekolah. Program Jom ke Sekolah
merupakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) KPM bersama-sama PDRM
melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

9. Sukalah saya mengingatkan anak-anak agar dapat memberi tumpuan yang


sepenuhnya kepada pelajaran. Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk
menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya anda menjadi
insan yang berjaya. Jadikanlah sekolah sebagai tempat menimba ilmu, membina
pengalaman, membentuk bakat, dan mengasah budaya kepimpinan kerana andalah
merupakan aset negara yang bernilai pada masa hadapan. Dalam menghadapi
persaingan global yang semakin sengit pada hari ini, banyak ilmu dan kemahiran
baharu yang perlu dikuasai sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan. Jauhilah
perkara yang tidak berfaedah dan jangan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat
dan tidak bermoral seperti ponteng, buli, dadah serta lain-lain gejala negatif yang boleh
merosakkan diri dan masa depan anak-anak sekalian. Sayangi diri, hormati ibu bapa
dan guru- guru anda. Gunakanlah masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya kerana
masa muda hanya sekali. Oleh itu, berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam
dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya. Only the best among
you will survive and thrive.

10. Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim saya dengan ini merasmikan Program


Jom Ke sekolah Peringkat Kebangsaan 2017.

Sekian.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


YB. Dato Seri Mahdzir Bin Khalid

Menteri Pendidikan Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia

You might also like