You are on page 1of 17

ADAKAH GAJI MINIMA CARA TERBAIK

UNTUK MEMBANTU GOLONGAN MISKIN?

Afif Abdullah
www.IDEAS.org.my

MENGENAI INSTITUTE FOR DEMOCRACY AND ECONOMIC AFFAIRS (IDEAS)

IDEAS ialah kumpulan pemikir pertama di Malaysia yang ditubuhkan untuk


mempromosi idea-idea berteraskan pasaran bebas dalam dasar awam. Ia merupakan
sebuah badan yang tidak bermatlamatkan keuntungan . Sebagai sebuah badan pemikir
rentas parti, ia bergerak melangkaui batasan politik kepartian. Matlamat IDEAS ialah
untuk menyebarluaskan prinsip-prinsip sistem pasaran bebas, tanpa diikat oleh
pengaruh parti-parti politik, perkauman sempit atau pandangan ekstremis agama.

IDEAS mendapat inspirasi daripada visi Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj,
Perdana Menteri pertama, yang berkata dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 1957
bahawa Malaysia
“akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan
kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan
kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa”

IDEAS dilancarkan dengan rasminya pada hari Isnin 8 Februari 2010, sempena tarikh
lahir Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, di Memorial Tunku Abdul Rahman
Putra, Kuala Lumpur, dalam satu majlis bersejarah yang dihadiri oleh tiga generasi
keluarga Almarhum Tunku.

Misi IDEAS ialah untuk mempertingkat kefahaman dan penerimaan masyarakat


terhadap dasar-dasar awam yang berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang,
kerajaan terhad, pasaran bebas dan individu merdeka.

PENGARANG

Afif Abdullah ialah Felo di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

© IDEAS, 2010
Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
K3 Taman Tunku, Bukit Tunku,
50480 Kuala Lumpur
Email: admin@ideas.org.my
Tel: 03 6201 6334
Fax: 03 6201 5334
Web: www.ideas.org.my

This publication is produced with support from Friedrich Naumann Foundation for
Liberty (Malaysia)

1
www.IDEAS.org.my

Kandungan

Muqaddimah .................................................................................................................................................... 3
Pengenalan ....................................................................................................................................................... 4
Kumpulan Sasaran ......................................................................................................................................... 5
Implikasi perlaksanaan gaji minima....................................................................................................... 5
Implikasi 1: Syarikat terpaksa mengurangkan keuntungan ..................................................... 6
Implikasi 2: Syarikat terpaksa menaikkan harga .......................................................................... 6
Implikasi 3: Berlaku peningkatan penyertaan ke dalam pasaran kerja ............................... 6
Implikasi 4: Pekerja terpaksa dibuang .............................................................................................. 7
Kesan-kesan tidak langsung gaji minima ............................................................................................. 7
Gaji Minima dan Diskriminasi Kaum.................................................................................................. 8
Komposisi Pekerja Bergaji Minima..................................................................................................... 8
Keselamatan dan kesihatan di tempat kerja ................................................................................... 9
Gaji minima memberi kelebihan kepada firma-firma besar dan antarabangsa, tetapi
menyakiti firma kecil dan tempatan .................................................................................................. 9
Kesan Negatif Jangka Panjang ................................................................................................................. 10
Gaji minima mengikut sektor: ”letupan di bawah permukaan” ................................................. 11
Bagaimana gaji minima di negara dunia ketiga? ............................................................................. 12
Struktur Ekonomi Malaysia ..................................................................................................................... 13
Pendapat majoriti ........................................................................................................................................ 14
Kesimpulan: Serupa matlamat, berbeza pendekatan .................................................................... 15

2
www.IDEAS.org.my

1. Muqaddimah
Kebelakangan ini sering kedengaran tuntutan pihak tertentu agar kerajaan
melaksanakan Akta Gaji Minima. Menariknya, ia seakan-akan telah dipersetujui oleh
para Ahli Parlimen di pihak kerajaan dan pembangkang.

Gaji minima sebenarnya bukanlah hal baru yang dibincangkan dalam dunia ekonomi. Ia
telah mula diperkatakan sejak abad ke-19 sebelum Australia dan New Zealand menjadi
negara pertama menggubal akta berkaitannya pada tahun 1890-an rentetan protes
keras dan kerap oleh kesatuan buruh di sana.

Sebagai sebuah institusi yang giat memberi pandangan berkaitan isu ekonomi dan
politik di Malaysia dan sedaya upaya mempertahankan prinsip pasaran bebas sebagai
pilihan terbaik dasar ekonomi negara, tentulah isu gaji minima ini adalah salah satu isu
keperihatinan IDEAS.

Kertas ini asalnya saya hasilkan untuk pembentangan secara santai dalam satu
pertemuan di Serdang beberapa bulan lepas. Dari situ timbul idea mengembangkan
kertas ini untuk diterbitkan supaya lebih ramai ahli masyarakat dapat membaca
pengalaman pelbagai negara dalam gaji minima.

Tanpa mahu berselindung atau berlakon seolah-olah saya berpendirian neutral dalam
isu ini, saya berterus terang bahawa saya skeptikal terhadap gaji minima. Namun
pendirian skeptikal saya terhadap gaji minima bukanlah tiada asasnya. Pandangan saya
adalah bersandarkan hujah.

Ketika meneliti kertas ini, pembaca mungkin menyedari bahawa kebanyakan contoh-
contoh yang saya gunakan adalah daripada negara-negara asing. Faktor struktur tenaga
kerja, faktor institusi, dan pelbagai lagi faktor membuatkan situasi golongan buruh
setiap negara pastinya berbeza antara satu sama lain. Sememangnya diakui apa yang
berlaku di negara luar tidak semuanya boleh terus diaplikasikan di Malaysia.

Namun adalah satu kesilapan besar jika kita tidak mempelajari pengalaman luar.
Mungkin ada pihak yang cuba menolak pendekatan saya menggunakan contoh asing
untuk mengkritik gaji minima. Mereka mungkin berhujah bahawa contoh asing tidak
boleh digunapakai di Malaysia kerana pelbagai faktor yang berbeza. Anehnya pihak
yang sama menggunakan banyak contoh asing juga untuk menyokong pendirian mereka
dalam isu gaji minima. Sebenarnya mereka inilah yang tidak konsisten – mahu
menggunakan pengalaman asing untuk menyokong hujah mereka, tetapi menolaknya
apabila orang lain berbuat perkara yang sama.

Keinginan menulis kertas ini timbul dari pemerhatian terhadap sentimen masyarakat
terhadap gaji minima. Hampir semua pihak dan parti politik seolah-olah begitu cepat
sekali menerima gaji minima. Mungkin ini perkembangan yang bagus kerana ahli
masyarakat boleh bersatu bersetuju dalam satu isu dan meletakkan politik kepartian ke
tepi. Namun adalah kurang sihat jika sesuatu pandangan tidak dinilai secara kritis.
Tiada pandangan yang sempurna dan berhak untuk tidak dikritik termasuklah
pandangan saya sendiri. Maka kertas ini dihasilkan sebagai check & balance kepada
pandangan majoriti.

3
www.IDEAS.org.my

2. Pengenalan
Apa itu gaji minima? Dari segi undang-undang, gaji minima mewajibkan majikan
menggaji pekerjanya pada kadar yang tidak kurang daripada yang ditetapkan. Manakala
dari sudut ekonomi ia biasanya adalah kadar gaji ditetapkan lebih tinggi berbanding
kadar gaji semasa.

Perlaksanaan gaji minima dikatakan boleh mengurangkan kemiskinan dengan


meningkatkan kuasa beli golongan miskin melalui peningkatan kadar gaji.

Apabila kita menyebut gaji minima, kita merujuk kepada undang-undang yang
menetapkan kadar terendah yang majikan boleh bayar kepada pekerja. Kadang kala
berlaku kekeliruan dengan mengatakan gaji yang rendah itu gaji minima. Sebenarnya
gaji minima berkadar lebih tinggi dari gaji yang rendah dan ia dikuatkuasakan oleh
kerajaan.

Gaji minima merupakan salah satu alat anti-kemiskinan yang digunakan di lebih 100
buah negara1 dan sudah pun dilaksanakan lebih satu abad2 di sesetengah negara seperti
Australia dan Kanada. Pada awalnya dulu ia digunakan untuk memastikan golongan
wanita, kanak kanak, dan lain-lain mendapat gaji yang lebih tinggi dari apa yang
mereka terima. Hari ini, ia digunakan dengan tujuan untuk membantu semua ahli
masyarakat yang dianggap miskin.

Gaji minima sebenarnya adalah alat anti-kemiskinan yang sama sifatnya dengan
kawalan harga: ia tidak membezakan yang miskin, sederhana atau kaya. Harga barang-
barang keperluan yang dikawal oleh kerajaan boleh dinikmati oleh semua orang tanpa
mengira status pendapatan dan harta. Begitu juga dengan gaji minima. Bukan sahaja
orang miskin boleh bekerja pada gaji minima. Orang kaya dan kelas pertengahan juga
boleh mendapat pekerjaan pada gaji minima sekiranya mereka mahu. Contoh yang
paling berleluasa di seluruh dunia, ramai remaja dari keluarga sederhana dan kaya
bekerja ketika cuti sekolah dan menerima gaji minima. Apabila sesuatu polisi bersifat
tidak mendiskriminasi, ia dikatakan sebagai polisi yang tumpul. Faedahnya bukan
sahaja dinikmati orang miskin, tetapi juga melimpah kepada golongan yang tidak
miskin. Undang-undang gaji minima bolehlah disebut sebagai polisi one-size-fits-all.

Malaysia merupakan salah satu daripada segelintir negara yang belum melaksanakan
akta gaji minima. Ada yang mengatakan kita melaksanakan gaji minima antara RM350
hingga RM700 di sektor perladangan. Tetapi ia sebenarnya adalah kadar gaji yang
dipersetujui bersama oleh kesatuan-kesatuan sekerja dan para majikan, bukannya gaji
minima dalam kata sebenar3. Kadar gaji minima di sektor perladangan tidak pun pernah
diluluskan kerajaan. Apa yang wujud di sektor perladangan adalah apa yang kita panggil
collective bargaining. Kesatuan sekerja dan majikan akan berunding dan membuat
perjanjian tentang gaji yang majikan patut bayar kepada pekerja.

1 Minimum Wage Policy (International Labour Office, 2006) Retrieved July 6, 2010, from
http://www.ilo.org/public/english/protection/condtrav/pdf/infosheets/w-1.pdf
2 Williams, W. E, (2009) The best anti poverty program we have. The Free Library. Retrieved July 6, 2010,

from http://www.thefreelibrary.com/The+best+anti-poverty+program+we+have%3F-a0203335454
3
Maklumat diperolehi dari seorang aktivis Committee Workers International Malaysia (CWI)

4
www.IDEAS.org.my

Kaedah collective bargaining atau perundingan kolektif bukanlah sesuatu yang asing. Ia
juga diamalkan di beberapa buah negara maju yang tidak melaksanakan akta gaji
minima seperti Denmark, Jerman, dan Sweden.

Ingin ditekankan disini bahawa gaji minima hanya memberi kesan langsung kepada
mereka yang menerima gaji pada kadar gaji minima atau kurang dari kadar gaji minima.
Ia tidak memberi kesan secara langsung kepada sesiapa yang telah menerima gaji di
atas paras kadar gaji minima. Sebagai contoh jika gaji minima ditetapkan pada RM1,500
sebulan, ia tidak akan memberi kesan kepada pekerjaan yang sekarang menerima gaji
RM1,501 dan keatas. Ia hanya memberi kesan kepada pekerjaan yang menerima gaji
kurang dari itu.

Isu gaji minima mula menjadi panas semula baru-baru ini apabila Datuk Dr. S.
Subramaniam, Menteri Sumber Manusia mencadangkan gaji minima pengawal
keselamatan pada RM1,450 sebulan4. Rata rata kini pengawal keselamatan menerima
RM450. Kemudiannya gaji minima untuk pengawal keselamatan digazetkan pada
RM500 ke RM700 bergantung kepada kawasan bekerja. Beliau juga mengumumkan
kementerian beliau sedang mengkaji kemungkinan untuk melaksanakan gaji minima di
beberapa sektor ekonomi yang lain. Pada masa yang sama, Pakatan Rakyat juga sudah
lama menekankan keperluan untuk adanya gaji minima sebagai jaring sosial melindungi
rakyat dari kemiskinan.

3. Kumpulan Sasaran
Pelaksanaan gaji minima adalah untuk membantu golongan yang berpendapatan
rendah. Biasanya mereka ini berpendidikan rendah, berkemahiran rendah, majoritinya
wanita, keturunan etnik tertentu, dan mungkin pekerja pendatang. Dahulu di negara
luar ia juga pernah disasarkan kepada kanak kanak sebelum amalan menggunakan
buruh kanak kanak diharamkan.

4. Implikasi perlaksanaan gaji minima


Nota ini banyak menggunakan contoh dari luar negara kerana Malaysia hampir tidak
mempunyai langsung sejarah dan pengalaman dalam penetapan gaji pekerja swasta
oleh kerajaan. Malahan penetapan gaji minima pengawal keselamatan baru sahaja
diwarwarkan tahun ini dan belum ada kajian mendalam akan impaknya terhadap
pekerjaan tersebut.

Tetapi pengalaman berpuluh tahun pelaksanaan gaji minima di luar negara boleh kita
lihat untuk mengetahui kesannya kepada pekerja dan perniagaan yang menggaji
pekerja.

Antara implikasi utama adalah syarikat terpaksa mengurangkan keuntungan


perniagaan untuk membiayai kenaikan kos buruh, syarikat menaikkan harga untuk
membiayai kenaikan kos buruh, pengangguran meningkat kerana pekerja dibuang kerja

4LOH F (April 30, 2010) Companies dismayed over guards’ minimum wage proposal, says association The
Star. Retrieved, from
http://thestar.com.my/news/story.asp?sec=nation&file=/2010/4/30/nation/6164417

5
www.IDEAS.org.my

setelah kos menggaji mereka meningkat, dan pengangguran menurun kerana semakin
ramai orang mendapat pekerjaan.

Implikasi 1: Syarikat terpaksa mengurangkan keuntungan


Persoalan yang paling asas adalah bagaimana sesebuah perusahaan membiayai
kenaikan kos buruh setelah akta gaji minima mewajibkan ia membayar gaji yang
lebih tinggi dari sebelum ini? Aktivis-aktivis dan badan badan yang menyokong
gaji minima mengandaikan bahawa perniagaan akan mengurangkan keuntungan
mereka dan disalurkan kepada pekerja yang berpendapatan rendah. Satu kajian
mengenai pasaran buruh di United Kingdom pada tahun 1999 menunjukkan
keuntungan firma merudum manakala paras gaji meningkat setelah gaji minima
diperkenalkan5. Maka andaian tersebut ada benarnya.

Implikasi 2: Syarikat terpaksa menaikkan harga


Impak yang kedua pula ialah firma akan menaikkan harga barang dan
perkhidmatan mereka kerana kos gaji pekerja sudah meningkat akibat gaji
minima. Bancian oleh Sara Lemos dari Universiti Leicester ke atas hampir 30
kertas kajian mengenai hubungan gaji minima dan inflasi di Amerika Syarikat
menyimpulkan kenaikan 10% kadar gaji minima akan meningkatkan harga
makanan sebanyak 4% manakala kadar inflasi keseluruhanya tidak lebih dari
0.4%. Penemuan ini menunjukkan sekurang kurangnya di Amerika Syarikat,
kenaikan gaji minima hanya mengakibatkan sedikit inflasi6.

Implikasi 3:
Ada yang mengatakan dengan menaikkan kadar gaji akan membolehkan lebih
ramai individu mendapat pekerjaan. Dalam kata lain kenaikan gaji minima boleh
mengurangkan pengangguran.

David Card and Alan B. Krueger merupakan nama terkenal dikalangan


penyokong gaji minima. Pada tahun 1994, mereka menghasilkan kajian impak
gaji minima ke atas pekerja industri makanan segera. Mereka menemui bahawa
kenaikan gaji minima telah meningkatkan jumlah pekerja di restoran-restoran
makanan segera7. Card dan Krueger menyimpulkan kenaikan gaji minima boleh
mengurangkan kadar pengangguran. Penemuan ini sangat popular, malahan
Presiden Clinton menggunakanya untuk mencadangkan kenaikan gaji minima di
kongres.

Namun hasil kajian mereka dipersoalkan oleh ahli ekonomi yang lain. Akhirnya
Card dan Krueger mengubah kesimpulan asal bahawa gaji minima
mengurangkan kadar pengangguran kepada kesimpulan baru iaitu gaji minima
kemungkinan tiada memberi kesan kepada kadar pengangguran8.

5 Draca, M., Machin, S., & Van Reenen, J. (2008). Minimum Wages and Firm Profitability. [Electronic
version]. NBER Working Paper, No. 13996
6 Sara Lemos, 2008. "A Survey Of The Effects Of The Minimum Wage On Prices," Journal of Economic

Surveys, Blackwell Publishing, vol. 22(1), pages 187-212, 02.


7 David Card & Alan Krueger, 1993. "Minimum Wages and Employment: A Case Study of the Fast Food

Industry in New Jersey and Pennsylvania," Working Papers 694, Princeton University, Department of
Economics, Industrial Relations Section
8
Debating the Minimum Wage (2001, February 1) The Economist

6
www.IDEAS.org.my

Implikasi 4: Pekerja terpaksa dibuang


Pengangguran di kalangan pekerja berkemahiran rendah merupakan senjata
utama bagi pihak yang menentang gaji minima sebagai alat pembasmi
kemiskinan. Disebabkan oleh undang-undang gaji minima, majikan terpaksa
mengurangkan jumlah pekerja bagi menurunkan kembali kos buruh. Menurut
model penawaran-permintaan, pelaksanaan gaji minima akan menyebabkan
sejumlah pekerja berpendapatan rendah hilang pekerjaan.

Sudah banyak kajian dijalankan mengenai pengangguran akibat daripada


pelaksanaan gaji minima9. Realitinya memang akan ada pekerja yang hilang
pekerjaan. Namun persoalannya disini ialah sebanyak mana pengangguran akan
berlaku disebabkan gaji minima.

Sesetengah kajian menunjukkan jika gaji minima ditetapkan sedikit tinggi dari
kadar gaji sedia ada, kesan pengangguran adalah kecil. Jika gaji minima
ditetapkan terlalu tinggi pula, kesan pengangguran adalah besar. Disinilah
dilemanya. Ingat bahawa matlamat asal penggunaan gaji minima adalah untuk
mengurangkan kemiskinan. Jika gaji minima ditetapkan rendah, maka ia tidak
berkesan untuk mengurangkan kemiskinan. Jika ditetapkan tinggi pula, akan
ramai pekerja berkemahiran rendah yang akan menganggur dan menyimpang
dari matlamat asal gaji minima untuk membantu mereka yang miskin.

Perdebatan gaji minima di negara negara lain biasanya berkisar berapa peratus
gaji minima harus dinaikkan, dan berapa ramai pula pekerja miskin akan
dibuang kerja. Pada tahun 1989, pentadbiran George Bush (senior)
mencadangkan kenaikan gaji minima dari $3.35 kepada $3.8510. Kongres pula
mahukan kenaikan lebih tinggi ke tahap $4.25. Bush cuba memenangi hati orang
awam dengan menunjukkan kajian bahawa kenaikan $4.25 akan mengakibatkan
600,000 orang menganggur. Sedangkan kenaikan sekadar pada $3.85 hanya
mengakibatkan 300,00 orang menganggur. Lihatlah betapa angkuhnya kongres
dan majoriti rakyat Amerika yang tidak miskin tanpa segan silu membuat
keputusan berapa ratus ribu orang miskin yang mahu dibiarkan menganggur
demi gaji minima yang mereka perjuangkan.

Ia membuktikan bahawa penyokong gaji minima sendiri pun mengakui kesan


bahaya pembuangan pekerja ini. Pendirian mereka bersifat utilitarian, iaitu demi
untuk menaikkan gaji sekumpulan orang miskin, mereka sanggup
mengorbankan sekumpulan orang miskin lain. Demi kesenangan hidup
kumpulan lebih besar, kumpulan lebih kecil dibiarkan teraniaya dan dizalimi.

5. Kesan-kesan tidak langsung gaji minima


Di atas dibincangkan kesan-kesan langsung gaji minima. Namun undang-undang
pengagihan pendapatan ini memberi kesan-kesan sampingan yang tidak langsung juga.

9 Neumark, David; William L. Wascher (2008). Minimum Wages. Cambridge, Massachusetts: The MIT

Press
10
Cox, J. (2003) Concise Guide to Economics. Retrieved May 20, 2010, from
http://www.conciseguidetoeconomics.com/minimumwage/chapter14/

7
www.IDEAS.org.my

Gaji Minima dan Diskriminasi Kaum


Menurut Walter Williams - ahli ekonomi Amerika yang berketurunan Afrika - gaji
minima boleh dijadikan senjata oleh golongan rasis yang mahu mendiskriminasi
kaum di pasaran kerja. Pengalaman di Amerika Utara dan Afrika Selatan
menunjukkan pekerja dari etnik bukan kulit putih sanggup bekerja untuk gaji
yang lebih rendah berbanding pekerja berketuruan Kaukasus atau kulit putih. Ini
adalah kerana majoriti majikan adalah berketurunan kulit putih. Maka untuk
mengatasi masalah diskriminasi kaum dan mendapatkan pekerjaan, pekerja
bukan kulit putih – yang berketurunan Afrika, Amerika Latin, Red Indian, Asia,
dan lain-lain - sanggup menerima gaji lebih rendah. Lebih murah untuk menggaji
pekerja bukan kulit putih berbanding pekerja kulit putih. Ini membuatkan orang
bukan kulit putih mudah mendapat kerja dan orang kulit putih sukar mendapat
kerja terutamanya di sektor bergaji rendah.

Tetapi dengan adanya gaji minima, paras gaji semua kaum akan diratakan. Maka
pekerja berketurunan bukan kulit putih sudah hilang kelebihan gaji rendah
dalam pasaran kerja. Memandangkan sudah tiada perbezaan antara menggajikan
pekerja kulit putih dan bukan kulit putih, sudah pasti majikan yang majoritinya
kulit putih akan mementingkan pekerja dari kaumnya. Gaji minima membuatkan
sukar untuk pekerja bukan kulit putih untuk bersaing mendapat pekerjaan di
sektor gaji rendah11.

Paul Samuelson – pemenang anugerah Nobel dalam ekonomi – pernah


membangkitkan kesan buruk gaji minima keatas pekerjaan golongan pemuda
Afrika-Amerika di dalam buku teksnya yang terkenal Economics12.

Situasi di mana gaji minima menjadi alat perkauman boleh berlaku apabila
majoriti golongan majikan terdiri dari satu kaum, manakala golongan pekerja
ramainya terdiri dari kaum lain. Ketidakseimbangan perwakilan kaum dalam
pasaran modal dan buruh akan mengakibatkan rasisme di pasaran kerja.
Ketidakseimbangan ini wujud di Malaysia.

Pada 3 Mei 2010, pertubuhan Hindraf mencadangkan gaji minima dalam ucapan
selamat sempena Hari Pekerja dengan tujuan untuk meningkatkan kebajikan
kaum India. Berdasarkan pengalaman kaum minoriti di negara luar, gaji minima
jauh sekali dari dapat membantu meningkatkan kebajikan mana mana kaum
minoriti13 dan belum dijumpai bukti kebajikan kaum minoriti meningkat setelah
gaji minima dilaksanakan.

Komposisi Pekerja Bergaji Minima


Diskriminasi tidak terhenti pada garisan kaum. Ingat semula ciri-ciri mereka
yang ingin dibantu: berkemahiran rendah dan berpendidikan rendah. Ciri-ciri ini

11 Behrman, J. R., Sickles, R. C., & Taubman, P. (1983). The Impact of Minimum Wages on the Distributions
of Earnings for Major Race-Sex Groups: A Dynamic Analysis. The American Economic Review, Vol. 73, No. 4,
766-778 .
12 Samuelson P. A. (1970) Economics
13 Uthayakumar, P. (2010) Hindraf4You Retrieved May 3, 2010, from

http://hindraf4you.blogspot.com/2010/05/labour-day-minimum-wage-of-rm-130000.html

8
www.IDEAS.org.my

merupakan punca kemiskinan mereka. Ingat juga gaji minima juga merupakan
polisi yang tumpul kerana yang bukan miskin juga boleh mendapat faedahnya.

Di Amerika Syarikat pada tahun 1986, Pejabat Belanjawan Kongres


mengeluarkan laporan bahawa 4 dari setiap 5 orang pekerja yang menerima gaji
minima sebenarnya bukan daripada golongan yang miskin14. Golongan yang
sederhana dan kaya seperti remaja berpendidikan tetapi belum bergraduasi juga
bekerja dan menerima gaji minima.

Disini berlaku persaingan antara orang miskin yang tidak berpendidikan atau
berpendidikan rendah dengan orang bukan miskin yang berpendidikan. Gaji
minima mengakibatkan pekerja menjadi lebih mahal untuk digaji. Maka apabila
majikan mahu mengecilkan saiz jumlah pekerjanya, sudah pasti ia akan
membuang pekerja yang lemah. Yang lemah adalah mereka yang berpendidikan
rendah yang sudah tentu juga miskin. Akhirnya, orang miskin sendiri
menghadapi diskriminasi di tempat kerja. Sedangkan matlamat asal gaji minima
adalah untuk membantu orang miskin.

Kita selalu lihat apabila berlaku kemelesetan ekonomi, mangsa yang paling ramai
akibat kenaikan kadar pengangguran adalah mereka yang miskin. Ini kerana
untuk menyelamatkan perniagaan dari rugi, majikan akan membuang pekerja
yang lemah dan mengekalkan pekerja yang lebih memberikan “value for money”.
Gaji minima hanya akan memburukkan lagi keadaan ini. Ronald Krumm dari
American Enterprise Institute pada tahun 1981 mendapati gaji minima
mengakibatkan pekerja berkemahiran lebih rendah akan lebih mudah dibuang
kerja15.

Keselamatan dan kesihatan di tempat kerja


Selain kos gaji, sesebuah perniagaan juga perlu menanggung kos menjaga
keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Sekiranya majikan tidak sanggup
membuang pekerja dan tidak mahu menaikkan harga atau mengurangkan
untung, ada kemungkinan majikan akan memotong perbelanjaan keselamatan
dan kesihatan di tempat kerja. Ini akan membahayakan pekerja di tempat kerja,
terutamanya di sektor pembinaan, perkilangan, dan pertanian.

Gaji minima memberi kelebihan kepada firma-firma besar dan


antarabangsa, tetapi menyakiti firma kecil dan tempatan
Pada 2005 H. Lee Scott, Jr., CEO syarikat peruncit gergasi Wal-Mart, mengejutkan
ramai orang dengan menyeru gaji minima dinaikkan16. Bukankah gaji minima
tidak digemari oleh para majikan kerana ia meningkatkan kos menggaji pekerja?
Kenapa tiba tiba sebuah syarikat gergasi mahu menaikkan kos menggaji pekerja?
Adakah CEO bergaji berjuta-berjuta ini tiba tiba sudah menjadi sosialis atau
berjiwa pekerja?

14 Smith , R.E., & Vavrichek, B. (1986). The Minimum Wage: Its Relation to Incomes and Poverty.
Congressional Budget Office Reports
15 Krumm, Ronald J. 1981 The impact of the minimum wage on regional labor markets / Ronald J.

Krumm American Enterprise Institute for Public Policy Research, Washington


16 Rockwell, L. H. (2005) Wal-Mart Warms to the State

Ludwig von Mises Institute. Retrieved May 20, 2010, from http://mises.org/daily/1950

9
www.IDEAS.org.my

Bukan. Beliau mempunyai niat tersembunyi disebalik seruan ‘mulia’ menaikkan


gaji minima. Wal-Mart ketika itu membayar gaji terendah kepada pekerjanya
sebanyak $8 sejam. Walaupun rendah, ia masih tinggi berbanding gaji minima
yang ditetapkan kerajaan pada $5 sejam. Yang membayar pekerja pada tahap
gaji minima adalah pesaing pesaing Wal-Mart, seperti kedai runcit kecil kecilan.
Menaikkan gaji minima akan meningkatkan kos pesaing Wal-Mart. Katakan jika
gaji minima dinaikkan ke $6 atau $7 sekalipun, Wal-Mart tidak akan menerima
kesan kenaikan kos kerana ia sudah sedia membayar pada $8, tetapi pesaing
pesaing Wal-Mart akan menghadapi kenaikan kos akibat gaji minima. Wal-Mart
cuba mengalahkan pesaing-pesaingnya dengan meningkatkan kos pesaingnya
melalui peningkatan gaji minima. Ini adalah contoh bagaimana gaji minima akan
memberi kelebihan kepada syarikat besar tetapi menyakiti perniagaan kecil-
kecilan.

Senario ini tidak mustahil boleh berlaku di Malaysia. Kalau gaji minima
diperkenalkan diseluruh negara, syarikat-syarikat antarabangsa yang ‘berpoket
besar’ seperti Tesco dan Carrefour tidak akan menghadapi masalah besar
membayar gaji minima. Tetapi bagaimana pula syarikat tempatan dan
perniagaan kecil kecilan yang memiliki kapasiti kewangan yang lebih kecil?
Pasaraya tempatan, restoran mamak, kedai runcit Pak Mat, dan lain-lain
semuanya akan menghadapi kenaikan kos dan mungkin akan bankrup.

Gaji minima memberi kesan negatif terbesar kepada perniagaan kecil kecilan.
Bukankah negara kita ingin maju dengan industri kecil dan sederhana tempatan?
Gaji minima akan menaikkan kos industri kecil dan sederhana, lantas menzalimi
peniaga kecil dan bumiputera.

6. Kesan Negatif Jangka Panjang


Seseorang pekerja dibayar mengikut tahap produktivitinya. Tahap produktiviti pula
ditentukan oleh tahap kemahiran dan pendidikan. Maka meningkatkan kemahiran dan
pendidikan boleh meningkatkan kadar bayaran gaji yang diterima pekerja. Kemahiran
baru boleh diperolehi samada melalui pengalaman atau latihan di tempat kerja, atau
pun di institusi pendidikan. Manakala pendidikan lebih tinggi pula sudah tentu
diperolehi di institusi pendidikan.

Gaji minima boleh merencatkan pertumbuhan pendapatan individu dalam jangka


panjang. Ia menjadi penghalang kepada individu untuk mendapat kemahiran dan
pendidikan lebih tinggi. Berlawanan dengan apa orang ramai percaya, hakikatnya
bukan semua pekerja akan selama-lamanya tersekat di takuk gaji rendah. Sekalipun
seseorang memulakan pekerjaan pada kadar gaji rendah, melalui pengalaman dan
latihan di tempat kerja, dia dapat meningkatkan produktiviti dan mendapat prospek
kenaikan gaji dan pangkat. Maka dalam jangka panjang – dengan peningkatan
produktiviti dan kemahiran baru - seseorang berpeluang menaiki tangga gaji yang lebih
tinggi.

Kita perlu sedar bahawa terdapat satu lagi cara yang majikan gunakan untuk
merendahkan kos perniagaan iaitu mengurangkan perbelanjaan untuk latihan di tempat
kerja.

10
www.IDEAS.org.my

Apabila firma mengurangkan kos dengan mengurangkan latihan di tempat kerja, ia


menghalang pekerja dari mempelajari kemahiran baru dan meningkatkan produktiviti.
Dan gaji minima merupakan salah satu punca majikan menghapuskan latihan di tempat
kerja. Akhirnya undang-undang gaji minima membantut pertumbuhan pendapatan
pekerja dalam jangka panjang kerana menafikan mereka peluang mendapat latihan di
tempat kerja17.

Gaji minima juga boleh menjadi satu tarikan kepada anak-anak muda untuk berhenti
sekolah lantas bekerja18. Tawaran gaji yang lebih tinggi akan menarik minat sesetengah
anak muda untuk berhenti atau tidak sambung belajar semata-mata untuk memasuki
alam pekerjaan. Akibatnya, mereka kehilangan peluang di masa hadapan untuk
mendapatkan pekerjaan bergaji lebih tinggi yang memerlukan pendidikan tinggi.

Kajian oleh David Neumark dan Olena Nizalova pada 2004 mendapati gaji minima
memberi kesan negatif jangka panjang kepada pertumbuhan pendapatan dan
produktiviti dikalangan anak muda akibat kekurangan latihan dan pengalaman di
tempat kerja19.

7. Gaji minima mengikut sektor: ”letupan di bawah permukaan”


Permukaan yang dimaksudkan itu ialah paras gaji minima yang ditetapkan. Ramai yang
menganggap gaji minima merupakan kadar gaji terendah dalam negara. Sebenarnya
masih wujud pekerjaan yang membayar gaji lebih rendah daripada paras tersebut.

Situasi ini berlaku apabila akta gaji minima hanya dilaksanakan ke atas sektor sektor
tertentu. Sebagai contoh di Amerika Syarikat, majikan yang memperolehi pendapatan
tahunan kurang dari $500,000 akan dikecualikan dari membayar gaji minima pada
pekerja. Apabila pekerja berkemahiran rendah dibuang kerja dari sektor yang
dikenakan gaji minima, mereka akan terpaksa mencari kerja baru di sektor yang tidak
dikenakan gaji minima dan membayar kadar gaji lebih rendah. Mereka tidak dapat pergi
ke sektor yang membayar lebih tinggi dari sektor gaji minima kerana tidak memiliki
kelayakan kemahiran dan pendidikan yang diperlukan.

Seperti yang telah dikatakan sebelum ini, kita perlu ingat bahawa apabila majikan
memberhentikan pekerja kerana kos gaji minima, mereka akan memberhentikan
pekerja yang paling lemah. Yang paling lemah adalah mereka yang berkemahiran dan
berpendidikan rendah dan sudah tentu miskin. Apabila pekerja yang lemah dibuang
kerja, mereka terpaksa mencari pekerjaan baru. Seringkali peluang pekerjaan baru
terdapat di dalam sektor yang dikecualikan dari gaji minima. Akibatnya, mereka
menjadi lebih miskin kerana gaji yang mereka kini terima lebih rendah.

Gaji minima mengikut sektor menyebabkan pekerja berkemahiran rendah dibuang


kerja dari sektor bergaji minima dan memaksa mereka mencari pekerjaan dengan gaji

17 Neumark, D. (2006) The Economic Effects of Minimum Wages: What Might Missouri Expect from
Passage of Proposition B? Show Me Institute Retrieved May 20, 2010, from
http://showmeinstitute.org/publication/id.35/pub_detail.asp
18 Ibid
19 Neumark, D., & Nizalova, O. (2004). Minimum Wage Effects in Longer Run. NBER Working Paper, No.

10656

11
www.IDEAS.org.my

lebih rendah pula. Dalam kata lain, gaji minima akhirnya boleh meningkatkan jumlah
mereka yang menerima gaji lebih rendah.

Pekerja berkemahiran rendah yang asalnya bekerja di sektor tertentu, setelah gaji
minima diperkenalkan, menghadapi risiko dibuang kerja dan terpaksa bekerja di sektor
lain dengan gaji lebih rendah berbanding awalnya. Sudah pasti ini tidak adil bagi
mereka.

Pengalaman di Amerika Syarikat menunjukkan undang-undang gaji minima


meningkatkan jumlah pekerja yang menerima gaji lebih rendah dari gaji minima.
Menurut Alan Reynolds - zamil dari Cato Institute dan juga merupakan ahli ekonomi –
pada tahun 1996 gaji minima nasional di Amerika dinaikkan ke $4.75 dan dinaikkan
sekali lagi menjadi $5.15 pada 1997. Akibatnya berlaku “letupan” di sektor-sektor yang
tidak dikenakan gaji minima. Semakin ramai terpaksa bekerja di sektor yang tidak
mempunyai kadar gaji minima. Pada tahun 1995, hanya terdapat 1.7 juta pekerja yang
dibayar gaji lebih rendah dari minima. Dua tahun kemudian akibat kenaikan gaji
minima nasional, jumlahnya meningkat kepada 3 juta20. Ini adalah kesan daripada gaji
minima mengikut sektor yang menyebabkan golongan miskin bertambah ramai.
Pertambahan jumlah orang miskin yang menerima gaji lebih rendah dari paras gaji
minima inilah yang disebut sebagai “letupan di bawah permukaan”.

Mungkin ada yang berhujah bahawa pada 1996-1997, kadar pengangguran nasional
Amerika dilaporkan menurun. Maka mereka mungkin mendakwa bahawa gaji minima
menurunkan penangguran.. Apa yang berlaku sebenarnya? Penurunan pengangguran
nasional tersebut adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi dan pertambahan
pekerjaan di sektor berpendapatan tinggi, tiada kena mengena dengan gaji minima pun.
Malahan pekerjaan bergaji minima hanya mewakili 0.4% dari seluruh pekerjaan di
Amerika Syarikat. Adalah dangkal untuk menggunakan kadar pengangguran nasional
untuk mengukur keberkesanan gaji minima21.

8. Bagaimana gaji minima di negara dunia ketiga?


Sebastian Edwards dan Nora Lustig dari Brookings Institution (sebuah kumpulan
pemikir di Amerika Syarikat yang berhaluan kiri sederhana) menerbitkan sebuah buku
berkenaan pekerja-pekerja di Amerika Latin. Mereka menyimpulkan, sekalipun
terdapat hubungan negatif antara gaji minima dan kemiskinan – iaitu gaji minima
mengurangkan kemiskinan – pendekatan gaji minima bukanlah cara yang terbaik untuk
menghapuskan kemiskinan22.

Laporan World Development Report dari World Bank pada tahun 1995 menyatakan
“gaji minima mungkin membantu pekerja miskin di negara-negara industri, tetapi ia

20 Reynolds, A. (2004) When More Is Less. Cato Institute . Retrieved May 20, 2010, fro
http://www.cato.org/pub_display.php?pub_id=2754
21 Ibid
22 Lustig, N. C. , & McLeod, D (1997). Labor markets in Latin America: combining social protection with

market flexibility. Washington: Brookings Institution. Retrieved May 3, 2010 from


http://books.google.com.my/books?hl=en&lr=&id=eIdPp-
KeKGsC&oi=fnd&pg=PA62&dq=minimum+wage+and+poverty&ots=GR0rsAnm66&sig=Mz-
ptsSCkj8XW_reuwDCtMB2EBc#v=onepage&q=minimum%20wage%20and%20poverty&f=false

12
www.IDEAS.org.my

tidak begitu di negara sedang membangun”23. Pertama adalah kerana akta gaji minima
meliputi hanya sektor formal yang kecil, sedangkan sektor bukan formal adalah sangat
besar, maka pelaksanaan dan pemantauan gaji minima adalah sukar. Kedua, garis-garis
kemiskinan adalah lebih rendah di negara membangun dan pekerja yang menerima gaji
minima bukanlah yang termiskin dari yang miskin. Ketiga, sebahagian besar orang
miskin di negara-negara membangun bekerja dalam sektor yang tidak disentuh oleh
akta gaji minima atau bekerja sendiri.

9. Struktur Ekonomi Malaysia


Kini selalu kedengaran negara kita terperangkap dalam middle income trap. Ini
disebabkan polisi ekonomi negara kita selama ini yang mahu bersaing sebagai hab
eksport dengan menggunakan kos buruh murah sebagai kelebihan. Kini kita cuba keluar
dari perangkap ini dan naik menjadi ekonomi berpendapatan tinggi. Masalahnya untuk
menjadi ekonomi berpendapatan tinggi kita memerlukan pekerja berkemahiran tinggi.
Negara kita memiliki terlalu banyak pekerja berkemahiran rendah (yang terdiri dari
pekerja tempatan dan asing) tetapi terlalu sedikit pekerja berkemahiran tinggi. Salah
satu puncanya ialah brain-drain. Ramai rakyat kita yang berbakat dan berpendidikan
tinggi berhijrah ke negara luar.

Ada usaha sekarang untuk menaiktarafkan ekonomi kita dengan memperkenalkan gaji
minima. Memandangkan gaji minima menjadikan satu mandat untuk membayar pekerja
dengan gaji lebih tinggi, maka ada pihak mendakwa dengan begitu mudah akan
tercapailah ekonomi berpendapatan tinggi! Ini pendapat yang dangkal.

Menurut Profesor Madya Shandre M. Thangavelu daripada National University of


Singapore, ekonomi berpendapatan tinggi dipacu oleh teknologi, kompetensi sektor
terpilih, dan dikekalkan oleh modal insan yang stabil. Semakin membangun modal
insan, semakin tinggi pendapatan24. Beliau juga berpendapat daripada melaksanakan
gaji minima, adalah lebih baik mengamalkan polisi kebajikan yang membantu pekerja
meningkatkan produktiviti mereka.

Manipulasi undang-undang untuk pengagihan semula pendapatan tidak akan


menghasilkan sebarang pendapatan tambahan kepada ekonomi negara, jauh sekali dari
membantu mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.

Tambahan pula, ekonomi kita hari ini masih tertumpu kepada penggunaan tenaga
buruh murah. Kita masih berdaya saing kerana buruh kita murah, itupun sudah mula
ketinggalan berbanding negara-negara jiran. Kita belum lagi meningkat menjadi
ekonomi berasaskan modal, teknologi, modal insan berkemahiran tinggi. Jika kita
naikkan kos buruh kita sekarang, kita akan hilang daya saing. Sudahlah belum ada
teknologi dan modal insan yang diperlukan, kelebihan yang kita ada sekarang ini pun
seolah-olah hendak musnahkan. Tindakan ini berbahaya kerana mungkin sahaja yang
dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

23 World development report 1995 : workers in an integrating world (1995) World Bank. Retrieved May 7,
2010, from
http://econ.worldbank.org/external/default/main?pagePK=64165259&theSitePK=469372&piPK=64165
421&menuPK=64166093&entityID=000009265_3961219103803
24 Minimum wage not the answer to high-income economy; Foong, J. (2010) The Star. Retrieved May 3,

2010, from http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/1/16/nation/5483536&sec=nation

13
www.IDEAS.org.my

Alternatif yang kita ada ialah membiarkan sektor swasta perlahan-lahan mengubah
struktur produksi mereka dari berasaskan buruh kepada modal. Apabila nisbah modal-
buruh meningkat, produktiviti dan pendapatan buruh juga meningkat. Nisbah modal-
buruh merupakan salah satu ciri ekonomi yang berpendapatan tinggi.

Persoalannya, mengapa sektor swasta masih mengekalkan struktur produksi


berasaskan buruh? Pertama ia memang legasi polisi ekonomi kita yang lama, iaitu
menjadi ekonomi pengilang dan pengeksport dengan menggunakan buruh murah.
Kesatuan sekerja ditekan dan pernah diharamkan25 di sesetengah sektor ekonomi, bagi
melemahkan kuasa pekerja untuk merunding gaji lebih tinggi. Akta kawalan harga dan
subsidi petroleum pula digunakan untuk mengawal kos kehidupan di Malaysia –
menjadikan pekerja Malaysia murah untuk digaji kerana kos hidup yang rendah. Polisi
immigrasi yang agak terbuka juga merupakan salah satu punca gaji tidak meningkat.
Kebanjiran pekerja asing menyebabkan gaji pekerjaan berkemahiran rendah tumbuh
perlahan, kerana pekerja asing sanggup bekerja pada gaji lebih rendah.

Membandingkan kadar pengangguran di negara maju yang memiliki gaji minima


dengan Malaysia adalah satu kesilapan. Seperti contoh sebelum ini di Amerika Syarikat,
pekerjaan gaji minima hanya mewakili 0.4% dari seluruh pekerjaan di Amerika
Syarikat. Ekonomi negara maju banyak bergantung kepada modal, teknologi, dan modal
insan berkemahiran tinggi, tidak seperti kita sekarang.

Malaysia masih bergantung kepada modal insan berkemahiran rendah. Maka gaji
minima boleh memberi kesan besar yang negatif kepada ekonomi kita. Gaji minima
hanya akan meningkatkan kederasan aliran keluar pelaburan dari Malaysia ke negara
yang buruhnya lebih murah. Bahkan tanpa gaji minima, aliran keluar tersebut sudah
pun agak membimbangkan.

10. Pendapat majoriti


Ratusan kertas kajian sudah diterbitkan berkenaan gaji minima. Ada yang menunjukkan
gaji minima mengakibatkan pengangguran, ada yang menunjukkan sebaliknya, ada yang
menunjukkan pengurangan kemiskinan, ada juga yang menunjukkan sebaliknya.
Apabila terdapat beberapa pendapat yang bercanggah antara satu sama lain, antara
perkara yang boleh kita lakukan ialah dengan mengumpul dan membuat tinjauan ke
atas kajian-kajian itu dan melihat apakah pendapat yang paling dominan.

Pada tahun 2008, David Neumark and William L. Wascher menerbitkan sebuah buku
bertajuk Minimum Wages. Buku tersebut merupakan rumusan 20 tahun kajian mereka
ke atas gaji minima, meliputi lebih 300 kertas kajian di beberapa buah negara dengan
data sepanjang 50 tahun. Dalam buku tersebut, kesimpulan pertama ialah gaji minima
sememangya mengakibatkan pengangguran pekerja berkemahiran rendah. Sekalipun
terdapat kajian yang menunjukkan keputusan sebaliknya, jumlahnya kecil dan boleh
dipersoalkan kaedah yang digunakan26.

25Annualsurvey of violations of trade union rights for Malaysia 2009 (ITUC)


Lihat mukasurat 12-15 karya Neumark, D. (2006) ‘The Economic Effects of Minimum Wages: What
26

Might Missouri Expect from Passage of Proposition B?’, Show Me Institute, di mana Neumark

14
www.IDEAS.org.my

Kedua, gaji minima yang lebih tinggi memudaratkan keluarga yang miskin sekiranya
kesan pengangguran banyak tertumpu kepada mereka.

Ketiga, gaji minima mengurangkan peluang untuk pekerja mempertingkat kemahiran


mereka kerana majikan menghapuskan peruntukan latihan di tempat kerja. Ini
seterusnya membantutkan pertumbuhan gaji pekerja itu sendiri di masa akan datang.

Neumark dan Wascher akhirnya mencadangkan sesiapa mahu menggunakan polisi


ekonomi untuk mengagihkan semula pendapatan bagi merapatkan jurang pendapatan
dan mengurangkan kemiskinan, haruslah menjauhi dari menggunakan gaji minima dan
pilih alternatif yang lain. Ini rumusan kajian selama 20 tahun merangkumi lebih 300
kertas kajian di beberapa buah negara.

Mungkin ada yang menuduh Neumark and Wascher berat sebelah dalam merumuskan
kajian mereka. Bagaimana pula pendapat majoriti ahli ekonomi lain tentang gaji
minima? Pada tahun 2007, Employment Policies Institute menjalankan survei ke atas
ratusan ahli ekonomi yang mengkhususkan dalam bidang ekonomi buruh.

Hanya 6% ahli ekonomi bersetuju penggunaan gaji minima sebagai alat yang cekap
untuk membantu keluarga yang miskin, 39% melihat ia agak cekap, manakala 55%
berpendapat ia tidak cekap langsung. Apabila ditanya apakah alat terbaik untuk
membantu keluarga miskin, hanya 9% melihat gaji minima sebagai alat yang terbaik.
Selebihnya 91% peratus memilih pendekatan-pendekatan lain untuk membasmi
kemiskinan27.

11. Kesimpulan: Serupa matlamat, berbeza pendekatan


Hakikatnya, samada kita menyokong atau menentang gaji minima kita masih berkongsi
matlamat yang serupa: iaitu membantu mereka yang miskin. Cuma cara yang dipilih
berbeza. Gaji minima jelas bukan cara yang betul atau baik untuk negara kita.

Maka apakah alternatif lain kepada gaji minima?

Salah satu pendekatan yang terkenal tapi kurang dilaksanakan ialah penggunaan sistem
baucer dan pindahan bayaran langsung. Kedua-duanya hampir serupa, iaitu membantu
golongan miskin membeli barang-barang keperluan dan mengurangkan beban
perbelanjaan. Ini lebih baik dari gaji minima yang boleh menyebabkan sesetengah
mereka kehilangan kerja. Polisi ini juga lebih tajam: ia memastikan wang pembayar
cukai dibelanja pergi terus ke orang miskin, bukanya ditumpang bersama oleh orang
tidak miskin.

Cukai pendapatan negatif pula ialah satu kaedah yang dipelopori oleh pakar ekonomi
libertarian Milton Friedman. Sistem cukai ini meletakkan paras pendapatan asas bagi

mempersoalkan kaedah kajian yang digunakan oleh Card & Krueger dalam kajian mereka mengenai gaji
minima.
27Fowler, T. A., & Smith, A. E. (2007). EPI Minimum Wage Survey of Labor Economists. [Electronic

version]. The University of New Hampshire Survey Center

15
www.IDEAS.org.my

masyarakat. Sesiapa yang menerima pendapatan kurang dari paras yang ditetapkan
akan menerima wang bantuan untuk mencukupkan pendapatan asas.

Kaedah cukai pendapatan negatif menikmati sokongan dari kedua-dua belah sayap
politik baik sayap kiri atau kanan kerana keberkesananya. Merujuk kembali tinjauan
Employment Policies Institute, sehingga 70% ahli ekonomi berpendapat inilah
pendekatan terbaik untuk membantu keluarga miskin!28 Inilah pendekatan yang
diterima semua ideologi politik dan pada masa yang sama dilihat sangat berkesan oleh
majoriti pakar ekonomi. Mungkin juga boleh dikatakan bahawa sistem cukai
pendapatan negatif ini ada mirip-mirip sistem zakat dalam Islam.

Akhir sekali, tiada cara yang lebih baik dari pekerja sendiri meningkatkan kemahiran
dan tahap pendidikan bagi melayakkan diri mereka menerima tingkat gaji lebih tinggi.
Semua ekonomi maju di dunia mencapai kemajuan kerana mereka memiliki lebih ramai
pekerja berkemahiran tinggi berbanding berkemahiran rendah. Kemiskinan pasti
wujud, hatta di negara terkaya sekalipun.

Walau banyak mana sekalipun bantuan dan campurtangan kerajaan dalam membantu
mereka yang miskin, di hujung jalan ia berbalik pada kemahuan individu untuk
memperbaiki kualiti hidup mereka.

28 Ibid

16

You might also like