You are on page 1of 5

PENGGUNAAN CHOICE BOARD DALAM PENGURUSAN TINGKAH LAKU

Oleh: Noornabilah binti Isah

1.0 PENDAHULUAN

Intervensi awal merupakan proses memenuhi keperluan kanak-kanak dan keluarga


yang berkeperluan khas dalam lima bidang perkembangan iaitu perkembangan fizikal,
kognitif, komunikasi, sosial emosi dan adaptasi. Terdapat tiga kategori kanak-kanak
berkeperluan khas merujuk kepada Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu kanak-kanak yang
mempunyai masalah penglihatan, pendengaran dan pembelajaran. Kanak-kanak autistik
merupakan golongan daripada kategori bermasalah pembelajaran yang sering menunjukkan
ketidakupayaan mereka dalam perkembangan sosial, komunikasi dan tingkahlaku. Oleh yang
demikian, program intervensi awal dapat mengurangkan kesan kelambatan perkembangan
yang dialami serta memaksimumkan potensi kanak-kanak autistik ini di samping mengubah
persepsi masyarakat.

Setiap individu mempunyai keupayaan yang berbeza dalam menerima dan


memproses maklumat atau dalam konteks pembelajaran ianya dikenali sebagai gaya
pembelajaran. Oleh itu, program intervensi awal bertujuan meningkatkan perkembangan
kanak-kanak dalam bidang utama seperti sosial, komunikasi dan tingkahlaku mengikut tahap
keupayaan dan gaya pembelajaran mereka. Menurut Model Ketidaupayaan Tiga segi yang
dikemukakan oleh Wing dan Gould (1979), kanak-kanak autistik mengalami tiga jenis
ketidakupayaan yang utama iaitu ketidaupayaan komunikasi sosial, ketidakupayaan interaksi
sosial dan ketidaupayaan imaginasi (L. P. Yee & Manisah Mohd. Ali, 2008). Namun, bukan
semua individu autistik mengalami ketidakupayaan yang sama malah setiap kanak-kanak
autistik masing-masing mempunyai tahap keupayaan yang berlainan.

Pelaksanaan intervensi awal perlu berasaskan kajian empirikal yang telah digalakkan
agar proses terapi dapat dilaksanakan secara berkesan. Oleh itu, pelbagai cara dan kaedah
yang telah dikenalpasti dan memberikan kesan positif dalam proses intervensi awal bagi
kanak-kanak autistik, antaranya penggunaan papan pilihan (Choice Board) dalam
pengurusan tingkahlaku.
2.0 KONSEP
Penggunaan papan pilihan (Choice Board) merupakan strategi yang digunakan untuk
menawarkan pilihan kanak-kanak autistik sebelum suatu aktiviti/tugas bermula. Papan pilihan
adalah sokongan visual yang merangkumi objek bergambar, lukisan garis atau teks yang
boleh digunakan oleh kanak-kanak autistik untuk menyampaikan item, aktiviti atau tugas yang
mereka mahukan. Misalnya, mereka perlu memilih untuk bermain apa pada waktu lapang
sama ada melukis, bermain puzzles, permainan blok, bermain gajet dan lain-lain. Objek-objek
dan aktiviti selalunya dijadikan sebagai peneguhan atau ganjaran kepada kanak-kanak
setelah mereka menyiapkan sesuatu tugasan (Hasnah Toran, Salmiah Bujang & Fadliana
Chiri, 2013). Terdapat sekurang-kurangnya dua pilihan dikemukakan pada satu masa untuk
mereka membuat pilihan. Strategi ini bertujuan untuk meningkatkan penyertaan dan
mengurangkan kemungkinan kanak-kanak autistik terlibat dalam tingkah laku yang mencabar.

Seperti yang diketahui, kanak-kanak yang mengalami autisme menghadapi cabaran


dalam memahami, mengingati dan menggunakan maklumat lisan (Hasnah Toran, Salmiah
Bujang & Fadliana Chiri, 2013). Maka, penggunaan visual amat membantu mereka untuk
memahami maklumat lisan, aktiviti-aktiviti dalam turutan serta susun atur persekitaran
mereka. Oleh itu, penggunaan papan pilihan mengandungi gambar objek merupakan strategi
yang sesuai dalam membantu kanak-kanak autistik berkomunikasi disamping membuat
pilihan mereka sendiri.

Sebelum menghasilkan papan pilihan, guru atau ibu bapa perlu tahu apakah aktiviti
atau objek yang menjadi kegemaran kanak-kanak. Perkara- perkara tersebut perlu dicetak
dalam bentuk objek bergambar dan dilekatkan pada beberapa kad pilihan. Papan pilihan
boleh dibuat dengan pelbagai kaedah antaranya menggunakan velkro. Velkro halus
dilekatkan pada papan pilihan manakala velkro kasar dilekatkan pada beberapa kad pilihan.
Hal ini bagi memudahkan pilihan yang dibuat sentiasa berubah-ubah di samping dapat melihat
perkembangan komunikasi kanak-kanak.

Gambar 1 menunjukkan papan pilihan


Papan pilihan juga digunakan oleh guru untuk melihat tahap komunikasi dan
psikomotor murid dalam beberapa situasi berkaitan. Misalnya, di Pusat Permata Kurnia, murid
akan menyanyikan lagu-lagu yang telah dipaparkan dalam suatu papan pilihan pada waktu
circle time. Berdasarkan pilihan lagu tersebut, murid dikehendaki memilih kad pilihan lagu
yang paling digemari dengan menanggalkan kad daripada velkro dan diberikan kepada guru.
Setelah memilih lagu dari papan pilihan, murid perlu menekan lagu pada Smart Board yang
dipaparkan di hadapan kelas. Situasi ini dapat membantu guru membuat pemerhatian sama
ada murid dapat membuat persamaan gambar di antara kad pilihan dan gambar yang terpapar
pada Smart Board.

Gambar 2 menunjukkan pilihan lagu semasa ‘circle time’

Gambar 3 menunjukkan guru meminta murid membuat pilihan lagu


3.0 CARA PENGGUNAAN

Papan pilihan boleh digunakan dalam pelbagai situasi seperti pilihan makanan/
minuman, jenis tugasan, jenis permainan, tempat dan lain-lain yang menjadi kegemaran
kanak-kanak. Pembinaan papan pilihan perlulah menggunakan gambar, simbol atau objek
berdasarkan tahap kognitif dan bahasa kanak-kanak autistik. Cara mereka menunjukkan
pilihan yang dipaparkan pada papan pilihan adalah bergantung kepada psikomotor dan
bentuk komunikasi. Sesetengah kanak-kanak memerlukan papan pilihan yang lebih besar dan
sesuai untuk mereka membuat pilihan. Terdapat juga kanak-kanak yang sesuai dengan
papan pilihan yang menggunakan velkro disamping dapat melatih psikomotor kanak-kanak
autistik.

Bagaimana menggunakan papan pilihan? Tunjukkan papan pilihan kepada kanak-


kanak dan baca beberapa pilihan sambil tunjuk kad pilihan yang terpapar pada papan pilihan
satu-persatu jika perlu. Tanya kanak-kanak apakah pilihan yang dibuat berdasarkan papan
pilihan yang ditunjukkan. Tunggu sehingga kanak-kanak tersebut memberikan kad yang telah
dipilih. Apabila pilihan sudah dibuat, berikan peneguhan positif seperti pujian lisan, senyuman
atau high five kepada mereka.

Perkara yang penting adalah memastikan setiap pilihan yang dipilih tersedia dan
selalu menghormati pilihan yang dibuat. Jika berlaku sebaliknya, kanak-kanak autistik
kemungkinan akan menunjukkan tingkah laku mencabar dan kurang mempercayai sistem kad
pilihan pada masa akan datang.

4.0 KESIMPULAN

Kanak-kanak autistik sukar untuk berinteraksi serta berkomunikasi untuk menyatakan


kehendak mereka. Oleh itu, penggunaan papan pilihan membantu guru atau ibu bapa melihat
tahap perkembangan komunikasi kanak-kanak disamping melatih mereka untuk membuat
pilihan yang terbaik. Lebih-lebih lagi papan pilihan menggunakan sokongan visual yang
menjadi aspek penting dalam memberikan gambaran kepada kanak-kanak berkenaan
tugas/aktiviti atau objek yang perlu dilakukan berdasarkan pilihan masing-masing. Strategi ini
memberi panduan kepada guru dan ibu bapa agar dapat mengurangkan tingkah laku
mencabar di kalangan kanak-kanak yang mengalami autisme.
RUJUKAN

Azimah Abdullah. (2017). Kemahiran Kognitif dan Sosial Kanak-kanak Autisme dalam
Permainan Numerasi.

Hasnah Toran, Salmiah Bujang & Fadliana Chiri. (2013). Siri Pendidikan Autisme:
Pengajaran Berstruktur. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kamaliah Muhammad & Wan Amimah Wan Mahmud. (2010). Pelaksanaan Program
Pendidikan Inklusif Murid Autistik di Sebuah Sekolah Rendah: Satu Kajian Kes.
Fakulti Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

L. P. Yee & Manisah Mohd. Ali. (2008). Amalan Program Intervensi Awal Kanak-kanak
Autistik mengikut Perspektif Ibu bapa. Jurnal Pendidikan 33, 19-33.
Siti Hodijah Zamakshshari. (2012). Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Guru dalam
Menangani Masalah Pertuturan dan Bahasa Kanak-kanak Autistik.

You might also like