You are on page 1of 3

TUGASAN 1: PENULISAN AKADEMIK (20%)

Program Pendidikan Inklusif (PPI) merupakan program pendidikan yang direka khas untuk
murid berkeperluan pendidikan khas yang melibatkan murid berkeperluan khas bersama-
sama dengan murid kelas aliran perdana di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Murid yang mempunyai masalah pendengaran,
penglihatan, kesukaran bertutur dan masalah pembelajaran dikategori sebagai murid
berkeperluan khas (MBK) yang boleh menyertai program ini bagi mendapat bimbingan sama
rata daripada guru mata pelajaran dan guru pendidikan khas (Lindsay, 2003). Oleh itu, MBK
mampu menjalankan pembelajaran mereka di kelas aliran perdana supaya mereka tidak
berasa terasing daripada golongan murid biasa.

Namun begitu, menurut Zarina dan Safani (2015), penglibatan ibu bapa yang aktif dalam
pembelajaran anak mampu memperkembangkan potensi penuh anak mereka dengan
kerjasama guru-guru di sekolah. Tanpa sokongan dan penerimaan ibu bapa, PPI ini tidak
dapat dijalankan dengan sempurna. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang penting
untuk menjayakan PPI demi membantu murid-murid berkeperluan khas dan menjayakan PPI.

Peranan pertama ibu bapa ialah mewujudkan persefahaman dengan guru PPI bagi
kejayaan program ini. Menurut Zarina dan Safani (2015), persefahaman antara ibu bapa dan
guru dapat mengekalkan hubungan yang baik bagi meningkatkan tahap penglibatan ibu bapa
di sekolah. Ibu bapa perlu sentiasa berkongsi maklumat tentang anak mereka antara guru PPI
supaya guru dapat merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang sesuai untuk murid
tersebut. Komunikasi dua hala berterusan yang berkesan dapat memastikan kerjasama
antara dua pihak bagi menjayakan program ini kerana persefahaman antara satu sama lain
dapat dibina melalui proses komunikasi.

Tambahan pula, ibu bapa perlu bersedia untuk melibatkan diri dalam aktiviti PPI yang
dirancang secara sukarelawan. Penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah dapat membina
hubungan baik dengan pihak sekolah dan guru (Zarina, 2015). Penglibatan secara langsung
memberi peluang kepada ibu bapa mengenai keadaan pembelajaran anak mereka serta
program yang bakal dilancarkan untuk membantu anak mereka. Aktiviti seperti mesyuarat
Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dapat memberi peluang ibu bapa lebih memahami matlamat,
konsep dan cara pelaksanaan PPI yang mampu membantu anak mereka. Dengan itu,
keprihatinan ibu bapa terhadap keadaan anak di sekolah mampu membantu
memperkembangkan potensi anak mereka serta menjayakan PPI.

Selain itu, peranan ibu bapa dalam menjayakan PPI adalah penglibatan secara aktif
dalam aktiviti pembelajaran anak mereka di rumah. Menurut Sulaiman, Abdullah dan
Yusop (2004), komitmen para ibu bapa dalam menyediakan suasana pembelajaran yang
terapeutik mampu meningkatkan motivasi belajar anak-anak mereka. Ibu bapa boleh
mendirikan satu sudut khas untuk menjalankan aktiviti pembelajaran bagi anak mereka. Anak
mereka dapat belajar di sudut tersebut bersama dengan bimbingan langsung daripada ibu
bapa di luar waktu persekolahan. Dengan itu, ibu bapa dapat memperkembangkan konsep
kendiri dan penerimaan kendiri yang positif anak mereka bagi meningkatkan keyakinan
semasa proses pembelajaran dalam kelas. Secara tidak langsung, komitmen ibu bapa yang
berterusan semasa di rumah mampu menjayakan PPI dan mempertingkatkan minat belajar
anak mereka.

Murid yang terlibat dalam PPI akan mendapat bantuan yang sesuai untuk
memperkembangkan potensi mereka walaupun mereka mempunyai ciri-ciri yang berlainan
dengan murid biasa. Namun begitu, mereka masih mengalami cabaran dalam proses
pembelajaran mereka di sebahagian sekolah di Malaysia. Isu-isu yang dihadapi oleh MBK
akan menjejaskan kejayaan PPI yang dijalankan jika tidak ditangani dengan baik (Saad, 2005).

Isu yang sering dihadapi murid PPI ialah kekurangan prasarana dan susun atur kelas
yang mengehadkan pergerakan mereka. Menurut Hussin dan rakan beliau (2005),
kemudahan yang lengkap serta susunannya di dalam kelas mampu membantu guru
menjalankan PdP dengan lancar. Cabaran murid berkeperluan khas ialah susun atur kelas
yang terlalu sempit menyebabkan murid berkeperluan khas sukar bergerak dan tidak selesa.
Selain itu, peralatan mesin braile dan kanta pembesar untuk murid bermasalah penglihatan
tidak dibekalkan oleh pihak sekolah. Disebabkan itu, mereka tidak dapat menjalankan proses
PdP kerana kekurangan peralatan yang membantu mereka memperoleh ilmu.

Secara kesimpulannya, ibu bapa dan guru memainkan peranan yang penting untuk
menjayakan PPI bagi membantu murid berkeperluan khas. Sokongan penuh daripada ibu
bapa terhadap perancangan PPI mendorong kejayaan program yang berfaedah ini. Program
ini perlu dititikberat oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan supaya tidak
sesiapa tercicir dalam pembelajaran mereka. Pendidikan yang tidak mengabai sesiapa baru
mampu membantu memperkembangkan potensi setiap insan yang ada di dalam negara kita.

(650 patah perkataan)


RUJUKAN

Hussin, S., Marzuki, S., Abdul Razak, A. Z., Md Som, H., & Ranee, A. (2005). Pentadbiran
dalam pembangunan pendidikan. Pahang: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Lindsay, G. (2003). Inclusive education: A critical perspective. British Journal of Special


Education, 30(1), 3-12.

Malaysia, K. P. (2013). Pelan pembangunan pendidikan Malaysia 2013-2025.

Saad, S. (2005). Komitmen dan peranan guru dalam pelaksanaan pendekatan pendidikan
inklusif di Malaysia. In Seminar Kanak-Kanak Bermasalah Emosi, Kementerian Pelajaran
Malaysia, Putrajaya.

Sulaiman, H., Abdullah, S. S., & Yusop, F. D. (2004). Peranan Ibu Bapa dan Guru dalam
Membantu Pelajar-pelajar yang Menghadapi Masalah Pencapaian Akademik. Masalah
Pendidikan, 27, 75-86.

Zarina, A, A., Safani, B. (2015). Penglibatan Ibu Bapa Di Dalam Kelas Pendidikan Khas
Bermasalah Pembelajaran: Satu Kajian Kes. Internasional Seminar On Special
Education For Southeast Asia Region 5th Series 2015, 1-13.

You might also like