You are on page 1of 4

ANYAMAN

Kegiatan seni anyaman ini telah bermula sejak zaman dahulu lagi. Ini boleh dilihat pada
rumah-rumah masyarakat zaman dahulu di mana dinding rumah mereka dianyam dengan
buluh dan kehalusan seni anyaman itu masih bertahan sehingga ke hari ini. Rumah yang
berdinding dan beratapkan nipah tidak panas kerana lapisan daun nipah yang tebal menebat
pengaliran haba.
Penggunaan tali, akar dan rotan merupakan asas pertama dalam penciptaan kraftangan
anyaman yang telah menjadi usaha tradisi sejak berabad-abad lalu. Bahan-bahan asas
tumbuhan ini tumbuh meliar di hutan-hutan, paya-paya, kampung-kampung dan kawasan di
sekitar pasir pantai.
Pelbagai rupa bentuk kraftangan dapat dihasilkan melalui proses dan teknik anyaman dari
jenis tumbuhan pandanus (pandan dan mengkuang). Bentuk-bentuk anyaman dibuat
didasarkan kepada fungsinya seperti dibentuk menjadi bakul, topi, tudung saji, tikar dan
aneka rupa bentuk yang digunakan sehari-hari.
Selain daripada tumbuhan jenis pandanus, bahan asas lain yang sering digunakan ialah
daripada tumbuhan bertam, jenis palma engeissona tritis dan nipah. Pada sekitar tahun 1756
hingga 1794 telah terdapat penggunaan tikar Raja yang diperbuat daripada rotan tawar dan
anyaman daripada bemban.
Proses menganyam disebut juga sebagai "menaja". Untuk memulakan satu-satu anyaman
waktu yang baik ialah pada sebelah pagi atau malam. Dalam keadaan cuaca yang redup atau
dingin, daun-daun lebih lembut dan mudah dibentuk tanpa meninggalkan kesan-kesan pecah.
Selain tikar yang datar dengan sifat dua dimensi, terdapat rupa bentuk anyaman tiga dimensi.
Bentuk-bentuk anyaman begini biasanya digunakan oleh masyarakat pada masa dahulu untuk
mengisi atau menyimpan bahan-bahan keperluan hidup dan kegunaan seharian ialah seperti
bakul, kampit (bekas belacan), tudung saji, kembal (rombong) dan sebagainya.
Anyaman buluh dan bertam dibuat dengan cara susunan tegak dan melintang. Anyaman daun
pandan dan mengkuang disusun silang dengan kedudukan menyerong. Anyaman kelarai
disusun secara tunggal atau lepas (menyeluruh) atau disusun dalam ruang tertentu.
ANYAMAN TEPAS

ANYAMAN MENGKUANG
Anyaman merupakan seni yang mempengaruhi kehidupan dan kebudayaan masyarakat
Melayu. Menganyam bermaksud proses menjaringkan atau menyilangkan bahan-bahan
daripada tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan.
Bahan-bahan tumbuhan yang boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, buluh, pandan,
mengkuang, jut dan sebagainya. Bahan ini biasanya mudah dikeringkan dan lembut.
Proses Menghasilkan Anyaman Mengkuang

1. Daun-daun yang cukup tua ditetak di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di
bahagian umbi pokok. Daun-daun yang sudah ditetak kemudian dipangkas hujungnya untuk
membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah, serta supaya semua daun itu hampir
sama panjang. Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas bara unggun api kecil hingga
layu.

2. Melayur
Daun-daun dilayur atas api atau boleh juga dijemur pada panas matahari hingga benar-benar
kering dan layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang terdapat di
dalamnya. Setelah daun-daun itu layu, duri yang terdapat pada tulang belakang dan sayap
mengkuang dibuang dengan sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari telunjuk.

3. Menjangka
Apabila duri belakang daun dibuang, dengan sendirinya daun terbelah menjadi dua. Belahan
itu kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat yang dipanggil
jangka.

Melurut daun.

4. Merendam

Daun diikat dan direndam 2-3 hari.

Pada hari ketiga atau keempat, bilah-bilah itu dikeluarkan dan dibasuh dan dibilas hingga
bersih sebelum dijemur. Bilah yang cukup kering akan bertukar menjadi putih.
5. Mewarna bilah daun

Mencelup warna

Bilah-bilah mengkuang atau pandan diwarnakan dengan cara mencelup, iaitu merebusnya
bersama bahan celup pewarna selama beberapa minit. Dahulu, cuma tiga warna yang popular
iaitu merah, hijau dan kuning kerana bahan celup warna-warna tersebut mudah diperolehi.
Warna merah daripada pokok kesumba, hijau daripada daun bemban, dan kuning daripada
daun kunyit. Tetapi, sekarang bahan celup pelbagai warna dijual dengan meluas. Apabila
sudah dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya lebih
licin dan lembut.

6. Menganyam

Proses menganyam saji

Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan serta corak
hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan di tengah-tengah ataupun di
bucu. Tetapi, bagi tudung saji, anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon.
Kon puncak itu boleh digantungkan atau diketengahkan untuk meneruskan anyaman tudung
saji.

Menganyam kelarai
Corak anyaman umumnya disebut kelarai. Kelarai dibuat dalam pelbagai motif dan
peranannya sama seperti corak bunga dalam tenunan, iaitu sebagai suatu ciri perhiasan.
Anyaman kelarai disusun secara tunggal dan lepas (menyeluruh) atau disusun di dalam ruang
tertentu. Susunan menegak disebut kelarai berdiri dan susunan sendeng, kelarai serong. Untuk
hiasan pinggir atau birai pula terdapat satu kelarai khusus iaitu kelarai pucuk rebung.

Semua jenis kelarai berunsurkan alam semula jadi. Di kalangan masyarakat Melayu, motif
tumbuhan menjadi pilihan utama. Daripada bentuk bunga, terdapat kelarai bunga atur,
berembang, cengkih dan cengkih beranak, bunga cina, bunga durian, bunga kundur, bunga
pecah lapan, bunga tanjung, bunga telur, dan bunga rumput. Unsur-unsur tumbuhan yang lain
termasuk akar, pucuk (rebung) dan tampuk (jantung pisang, manggis, pinang). Daripada unsur
fauna pula, ada motif anggota haiwan, seperti siput, kepala gajah, mata berkait, tapak anjing
dan tapak harimau. Juga kelarai dengan bentuk-bentuk bahagian tertentu ikan, serangga dan
unggas. Antaranya ialah anak ikan, belalang cucuk, jari kedidi, mata ketitir, pusat belanak,
siku keluang, sisik kelah dan tulang ikan.

You might also like