You are on page 1of 5

1 | WAKIL MURID – M A J L I S G R A D U A S I T I N G K A T A N 5 2 0 1 8

TEKS UCAPAN

MUHAMMAD NAIM BIN MIZHAN AZRI


WAKIL MURID
SMK TAMAN TUN DR ISMAIL
KUALA LUMPUR

Bismillahirrahmanirrahim.

Sejambak kasih dititipkan khas buat tuan dan puan pengerusi


majlis.

1. Yang Berbahagia, Tan Sri Dato’ Sri Dr Salleh bin Mohd. Nor
Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia
dan isteri

2. Yang Berbahagia, bonda Datin Foziah binti Hj Ahmad


Pengetua, SMK Taman Tun Dr Ismail

3. Yang Dihormati, ayahanda Encik Mafiz bin Seth


Yang Dipertua PIBG SMK Taman Tun Dr Ismail

4. Yang Dihormati, Barisan Pentadbir


SMK Taman Tun Dr Ismail

5. Barisan AJK PIBG, para ibu bapa yang dikasihi, guru-guru


yang disayangi dan rakan-rakan seperjuangan yang diraikan
sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Selamat


Sejahtera dan Salam Sayangi Malaysiaku.
2 | WAKIL MURID – M A J L I S G R A D U A S I T I N G K A T A N 5 2 0 1 8

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan


kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita
bersama-sama meraikan Majlis Graduasi 2018 yang dianjurkan
khas untuk kami iaitu murid-murid Tingkatan Lima, SMK Taman
Tun Dr Ismail pada petang yang indah ini. Terlebih dahulu saya
ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jawatankuasa
Pelaksana kerana telah memberi ruang kepada saya bagi
menyampaikan ucapan mewakili suara ‘Batch of 2018’
SMKTTDI. Pada kesempatan ini juga, mewakili rakan-rakan
yang lain, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana
menganjurkan majlis yang amat berprestij ini untuk kami.
Terima kasih cikgu.

Majlis Graduasi ini memberi pengertian yang amat besar


kepada kami murid-murid Tingkatan 5. Memakai jubah dan
berbaris, kemudian naik ke pentas seorang demi seorang untuk
menerima skrol merupakan pengalaman yang paling berharga
buat kami. Walaupun pernah bergraduasi ketika tamat
prasekolah dan darjah enam, namun, majlis graduasi kali ini
membuatkan kami berasa seolah-olah kami telah berada di
menara gading untuk menerima ijazah dalam majlis
konvokesyen. Majlis kali ini juga telah menjadi pembakar
semangat kepada kami agar tidak jemu-jemu berusaha untuk
mencapai kejayaan demi kejayaan sehinggalah kami benar-
benar dapat menjejakkan kaki ke menara gading sama ada di
institusi pengajian awam atau institusi pengajian swasta di
dalam atau di luar negara kelak.
3 | WAKIL MURID – M A J L I S G R A D U A S I T I N G K A T A N 5 2 0 1 8

Hadirin yang saya muliakan,

Menjadi norma dalam kehidupan manusia, setiap kejayaan


yang dikecapi disulami dengan pengorbanan. Kami sedar dan
kami yakin bahawa untuk mencapai kejayaan yang sebenar
bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, kalau tidak
dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Oleh hal yang
demikian, biarlah majlis graduasi ini menjadi titik permulaan
kepada kami untuk alang-alang menyeluk pekasam biar sampai
ke pangkal lengan, alang-alang mandi biar basah, alang-alang
berdakwat biar hitam dan genggam bara api biar sampai jadi
arang agar pada suatu hari nanti kami akan menjadi benih yang
apabila dicampakkan ke laut menjadi sebuah pulau.

Benarlah kata orang, dalam diri setiap individu yang


berjaya, lahir daripada individu yang besar peranannya dalam
usaha membangunkan anak bangsa. Sebuah bangunan tidak
dapat didirikan jika tiada arkitek yang merancang. Seorang
pesakit mungkin menghadapi kematian jika tiada doktor yang
merawat. Namun, sebuah generasi akan hancur jika tiada guru
yang mendidik. Maka, izinkan saya untuk menyampaikan
sekalung penghargaan terima kasih kepada semua guru yang
pernah mengajar kami sejak kami di Tingkatan 1 hinggalah ke
Tingkatan 5, yang telah banyak mengorbankan masa dan
tenaga malah wang ringgit dalam mendidik kami menjadi insan
yang berilmu dan berakhlak.
4 | WAKIL MURID – M A J L I S G R A D U A S I T I N G K A T A N 5 2 0 1 8

Hadirin yang saya hormati,

Pada kesempatan ini juga, saya ingin menyusun sepuluh


jari memohon kemaafan mewakili semua rakan seperjuangan
kepada semua guru atas kekhilafan kami sepanjang kami
berada di bawah bimbingan cikgu-cikgu semua. Maafkanlah
kesilapan tutur kata dan tingkah laku yang tidak disenangi
sepanjang kami bergelar anak-anak murid cikgu. Halalkanlah
segala ilmu dan tunjuk ajar yang telah dicurahkan kepada kami
selama ini. Harapan kami cikgu-cikgu akan sentiasa berada
dalam lindungan dan rahmat Allah S.W.T. Kepada rakan-rakan
seperjuangan, pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan
selamat maju jaya kepada kalian semua. Jadikanlah majlis pada
petang ini sebagai satu wadah untuk mempererat ukhuwah dan
jalinan persahabatan yang telah terjalin. Sesungguhnya
cabaran yang mendatang akan kita tempuhi dengan hati yang
utuh dan semangat yang kental.

Akhir kata cikgu, terimalah dua rangkap pantun daripada


saya:
Hendak berburu di kota Jambi,
Seluas alam indah terbentang,
Tanpa guru siapalah kami,
Ibarat malam tiada berbintang.

Kalau ada lengguni pahit,


Mari ditaruh dalam celepa,
Kalau ada budi cikgu yang baik,
Sampai mati kami tak lupa.
5 | WAKIL MURID – M A J L I S G R A D U A S I T I N G K A T A N 5 2 0 1 8

Untuk kesekian kalinya, saya dan rakan-rakan pasti akan


merindui kata-kata keramat ini. Kata-kata yang sentiasa dekat
di hati kami, yang sentiasa menjadi bekal pembakar semangat
kami. Ayuh kita bersama-sama laungkan dengan penuh
semangat.

We Are The One!


We Are The Best!
Who Are We?
Taman Tun! (3X)

Dengan laungan keramat tadi, saya sudahi ucapan saya dengan


wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh. Sekian. Terima kasih.

You might also like