You are on page 1of 18

1.

0 Pengenalan

Mana Sikana (1988) mentakrifkan drama sebagai aksi berseni, iaitu lakonan. Lakonan yang
beliau maksudkan ialah aksi yang dicipta oleh manusia untuk tujuan komunikasi secara
simbolik dan dilakukan di hadapan penonton. Drama secara umumnya juga merupakan
salah satu daripada karya sastera yang disusun untuk menggambarkan kehidupan
menggunakan pelbagai tindakan, dialog dan permainan watak. Drama ialah sejenis karya
seni yang menggunakan gerak, bahasa, pentas, kostum, bunyi dan cahaya.

Drama ialah sebuah hasil sastera yang ditulis dalam bentuk skrip dengan keindahan
tertentu untuk dipentaskan kepada penonton di atas pentas oleh para pelakon. Berbeza
daripada novel dan cerpen, drama ditulis untuk pementasan. Pelakon akan melakonkan aksi
yang ditetapkan dan melafazkan dialog sama ada spontan atau dihafal. Pementasan drama
tradisional tidak memerlukan dialog kerana mengamalkan konsep improvisasi. Walau
bagaimanapun, keadaan ini berubah apabila para pelakon drama mula memerlukan skrip
bagi pementasan drama. Bermula dari itu, drama terkenal sebagai satu genre
kesusasteraan yang dihasilkan dalam bentuk dialog bahasa prosa atau bahasa puisi. Drama
yang menarik menyatukan seberapa banyak unsur seni yang ada. Kejayaan drama bukan
setakat bergantung pada aspek lakonan semata-mata, tetapi juga bergantung kepada skrip
drama itu sendiri. Perkembangan drama terbahagi kepada dua bahagian, iaitu drama
tradisional dan drama moden.

2.0 Drama Tradisional

Di Malaysia, masyarakat Melayu lama mengamalkan kepercayaan animisme. Animisme


merupakan cara hidup masyarakat yang begitu menghormati dan memuja roh nenek
moyang. Golongan yang mengamalkan kepercayaan animisme ini melaksanakan pemujaan
melalui aktiviti-aktiviti seperti main puteri, puja pantai, main ancak dan sebagainya. Upacara
ini melibatkan unsur nyanyian, tarian, cerita dan juga lakonan. Upacara-upacara inilah yang
menjadi dasar kepada kewujudan seni drama tradisional Melayu. Namun begitu,
kemunculan drama di Malaysia tidak dapat ditentukan dengan satu tarikh yang tepat. Para
pengkaji drama bersepakat mengatakan bahawa sejarah drama bermula daripada lahirnya
ritual keagamaan. Ritual keagamaan ini akhirnya berkembang menjadi hiburan dan seni
drama. Drama tradisional bermula daripada kedatangan wayang kulit, makyung, menora
hingga bangsawan.

2.1 Wayang Kulit


Wayang kulit telah wujud sejak abad ke-13 dan 14 dan merupakan drama tradisional
Melayu yang pertama. Wayang kulit ini berasal dari tanah Jawa dan berkembang
pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan merupakan drama asli Indonesia. Satu
lagi jenis wayang kulit telah dibawa dari Thailand dan dinamakan sebagai Wayang
Kulit Siam. Menurut Mana Sikana (1989), drama ini melalui zaman kegemilangannya
dalam kalangan rakyat pada kira-kira lima abad yang lalu. Wayang kulit Thailand ini
berkembang di Kelantan dan kini terkenal dengan nama Wayang Kulit Kelantan.
Ceritanya disampaikan dalam loghat Kelantan dan berdasarkan Hikayat Seri Rama
dan disadur dari Kitab Ramayana. Wayang Kulit Jawa pula diasaskan daripada epik
Mahabhrata dan juga dari cerita-cerita panji.

Wayang kulit merupakan sejenis teater yang berasaskan prinsip cahaya dan
bayang-bayang. Pada zaman ini, pengaruh agama Islam sedang berkembang di
Nusantara. Wayang kulit menjadi popular kira-kira lima kurun lamanya kerana amat
diminati oleh golongan yang terkemuka seperti feudalis dan aristokrat. Sejak itu,
Semenanjung Tanah Melayu tidak memiliki mana-mana drama lain sehingga kurun
ke-18.

2.2 Makyung

Makyung merupakan sebuah drama baharu yang berkembang kira-kira 200 tahun
dahulu di istana Kelantan. Makyung juga berasal dari selatan Thailand, iaitu dari
Patani. Jika teori ini benar, maka makyung merupakan kepunyaan asli orang Melayu.
Buktinya, menurut fakta geopolitik dan etnografi, Patani sejak 400 tahun dahulu
terletak di bawah takluk Sultan Kelantan. Bukti lain pula menyatakan bahawa intisari
cerita makyung seperti “Anak Raja Gondang” merupakan kepunyaan penglipur lara
Kelantan. Semangat ibu yang menjaga tanaman padi dipanggil Mak Hiang dan alam
persembahan tersebut peranannya sangat besar pengaruhnya dalam diri raja. Lama-
kelamaan, Mak Hiang ini dipanggil Makyung.

Namun begitu, pendapat kedua pula mengatakan bahawa makyung berasal


daripada kisah dua beradik yang ditugaskan menjaga lembu. Oleh sebab kedua-
duanya berasa bosan, lalu mereka bermain dengan meniru gerak-geri alam seperti
tiupan angin. Akhirnya, makyung ini dimasukkan unsur tarian dan nyanyian. Apabila
masyarakat umum mengetahui tentang hal tersebut, permainan ini menjadi popular
sebagai permainan yang mengandungi unsur nyanyian, tarian dan lakonan, yang
kemudiannya juga dimasukkan muzik dan diberi nama Makyung. Seterusnya,
pendapat ketiga pula mengatakan makyung ini berasal daripada pertunjukan yang
dilakukan oleh sebuah keluarga tiga beranak, iaitu Pak Yung, Mak Yung dan Anak
Yung (Abdul Rahman Napiah, 1987). Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20,
kegemilangan makyung mulai merosot. Kemerosotan ini mengakibatkan penglibat-
penglibat makyung keluar dari istana.

2.3 Menora

Menora juga merupakan salah satu bentuk drama tradisional yang hampir sama
dengan Makyung. Drama ini berasal dari Kerajaan Ligor yang merangkumi kawasan
Selatan Siam dan Utara Tanah Melayu dan wujud kira-kira 400 tahun yang lalu.
Menora kemudiannya berkembang di Kelantan. Menora ini begitu popular di wilayah-
wilayah Selatan Thai. Di Malaysia, menora dipopularkan oleh masyarakat
berketurunan Thai di Kedah dan juga Kelantan. Ghalibnya, menora akan
dipersembahkan bagi tujuan menolak bala atau bencana. Menora juga dimainkan
bagi tujuan membayar niat atau nazar. Namun begitu, menora tidak hanya
dipersembahkan bagi tujuan keagamaan semata-mata. Kadang kala, menora
dipersembahkan untuk hiburan sahaja. Menora terdiri daripada rangkuman aktiviti
nyanyian, lakonan, tarian, muzik dan jampi serapah. Menora kebiasaannya
dipersembahkan di kawasan pondok atau bangsal yang dibina khas di kawasan wat.

2.4 Bangsawan

Pada abad ke-19, drama Melayu mula mempunyai bentuk yang


memperlihatkan kesempurnaan sifat sebagai sebuah drama dan tidak lagi bercorak
setempat. Drama ini kemudiannya berkembang hingga ke seluruh negara dan
dikenali dengan nama ‘bangsawan’, yang merupakan hasil seni asli orang Melayu.
Namun begitu, sejarah seni drama telah menjelaskan bahawa bangsawan bukanlah
nama asli kepada bentuk teater ini. Takrifan ‘bangsawan’ itu sendiri juga tidak boleh
disamakan dengan ‘opera’ dalam konteks kesenian. Tahun 1885 hingga 1902
merupakan zaman pertapakan bangsawan sebagai bentuk drama Melayu.
Bangsawan ini telah dibawa masuk oleh pegawai Inggeris melalui kumpulan Wayang
Parsi atau ‘Mendu’ sebagai medium hiburan bagi golongan sepoi. Bahasa yang
digunakan sewaktu pementasan bangsawan ialah bahasa Hindi.

Persembahan bangsawan terbentuk melalui kombinasi tarian, nyanyian dan


lakonan. Kebiasaannya, cerita yang dipersembahkan adalah berkaitan dengan cerita
rakyat India yang sarat dengan pengembaraan ke alam khayalan. Pada awalnya,
drama Melayu masih terikut-ikut dengan acuan Mendu. Namun begitu, sedikit demi
sedikit pengaruh Mendu ini dapat ditinggalkan sehingga mewujudkan drama Melayu
yang dikenali sebagai ‘Bangsawan Melayu’. Pelakon bangsawan tidak menggunakan
skrip dan tidak menghafal dialog. Untuk itu, pengarah drama akan memberitahu
rangka cerita yang akan dipersembahkan dan terserahlah kepada pelakon untuk
mencipta dialog spontan yang sesuai sewaktu persembahan drama.

3.0 Drama Moden

Drama moden menggunakan banyak unsur untuk pelbagai tujuan. Bagi mewujudkan senario
yang realistik, banyak pemilihan kata dalam penulisan skrip drama mengalami perubahan
artikulasi, seperti kemasukan unsur sinkop. Misalnya, perkataan ‘itu’ disingkatkan menjadi
‘tu’ dan ‘hendak’ menjadi ‘nak’. Unsur lain yang turut diserap masuk ke dalam drama ialah
unsur humor, unsur protes dan unsur kolokuil. Kala Dewata terkenal kerana unsur humornya
dalam drama Atap Genting Atap Rumbia. Usman Awang pula mengaplikasikan unsur protes
dalam drama Tamu Di Bukit Kenny. Sementara itu, bahasa kolokuil telah dimulakan oleh
Kala Dewata bagi meninggalkan tradisi bahasa puisi. Bukan itu sahaja, dua unsur lain yang
terpenting dalam drama moden ialah unsur perbandingan dan pengulangan. Unsur humor
dan unsur protes digunakan untuk menimbulkan kesan dan kepuasan. Antara contoh drama
moden ialah sandiwara, drama zaman Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), drama zaman
60 hingga 70-an dan drama zaman 70-an hingga kini.

3.1 Sandiwara

Nama ‘sandiwara’ ini ditiru daripada satu bentuk drama moden Indonesia.
Pementasan sandiwara ini memerlukan skrip dan pengarahan yang lebih terperinci
berbanding bangsawan. Cerita-cerita yang diketengahkan pula tidak lagi berkisarkan
cerita-cerita dongeng atau legenda. Hal ini demikian kerana sandiwara mula
mementaskan drama yang merujuk kepada sejarah atau kisah-kisah nyata yang
berlaku dalam kalangan masyarakat. Malah, pementasan drama ini tidak lagi terikat
dengan konvensi-konvensi lama seperti taburan babak yang begitu banyak dan
diselangi dengan nyanyian dan tarian. Para pelakon dramanya juga berupaya
berkenalan dengan drama-drama dari Barat. Malah, barisan pelakon sandiwara ini
juga terdiri daripada orang Barat itu sendiri.
3.2 Zaman Maktab Perguruaan Sultan Idris (MPSI)

Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), atau kini dikenali sebagai Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah memberikan peluang yang banyak kepada para
siswa dan siswinya untuk menceburkan diri dalam kegiatan pementasan drama.
Perkembangan drama pada ketika ini semakin rancak dengan kehadiran Za’ba yang
telah melakukan proses penterjemahan karya-karya Barat. Perkara ini memudahkan
masyarakat tempatan untuk mementaskan drama Barat tersebut. Namun begitu,
perkara ini telah mencetuskan masalah kerana kebanyakan drama yang dipentaskan
pada ketika itu lebih menitiberatkan kisah-kisah Barat dan tidak bersifat lokalti.
Namun begitu, pementasan drama tetap teguh berdiri sehingga zaman penaklukan
Jepun di Tanah Melayu. Pada zaman pemerintahan Jepun ini, kebanyakan drama
yang dipentaskan membawa propaganda Jepun dan bersifat anti British.
Pementasan drama pada zaman tersebut juga telah meniupkan semangat
nasionalisme masyarakat tempatan.

3.3 Zaman 60-an hingga 70-an

Pada tahun 1960-an, dramatis di Malaysia mula menggunakan bahan cerita yang
diambil daripada permasalahan-permasalahan yang timbul dalam kehidupan
seharian. Para penulis di semua genre sastera telah memilih tema-tema yang sarat
dengan nilai-nilai moral, pendidikan, pembangunan yang tidak seimbang serta sikap
hidup masyarakat Melayu moden yang kadang kala terikut-ikut dengan gaya hidup
Barat. Oleh itu, bentuk baharu ini menggunakan bahan, dialog, ‘setting’ dan cara
pementasan yang realistik. Ini bermakna gambaran terhadap sesuatu objek itu cukup
jelas, nyata dan natural. Sehubungan dengan itu, aliran yang digunakan untuk
menghasilkan drama pada zaman ini dinamakan realisme.

3.4 Zaman 70-an hingga kini

Pada tahun 1970-an, lahir pula dramatis Malaysia yang keluar dari kepompong
drama realisme. Mereka mempersoalkan hal-hal yang berhubung dengan kejiwaan
dan konflik batin manusia. Oleh itu, mereka menyeret eksistensialisme yang dilihat
dari kaca mata Timur dan penonjolan watak surealis. Kemunculan Noordin Hassan
pada awal tahun 1970-an telah membuka satu era baharu dalam sejarah
perkembangan drama Melayu moden Malaysia. Kemunculan beliau telah
memecahkan drama-drama tradisi sebelumnya. Beliau juga telah memecahkan
gerakan aliran realisme yang sangat besar pengaruhnya dan mula memperkenalkan
drama aliran absurdisme.

Absurdisme di Malaysia merupakan karya-karya yang anti realisme, sukar


difahami, cenderung kepada fantasi, berbentuk abstrak, berunsur mimpi dan sukar
dihayati. Kesemua drama absurdisme ini dilahirkan melalui pengaplikasian unsur
absurdisme. Konsep drama kontemporari lebih cenderung bermain dengan lambang-
lambang dan dipenuhi oleh imej-imej abstrak yang menuntut tafsiran intelektual yang
berbagai-bagai dari kalangan penonton. Nama-nama watak diangkat daripada
watak-watak tradisi, arkaid atau ciptaan sendiri tetapi membawa perlambangan
besar.

4.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, drama di dunia telah bermula dari abad ke-5 lagi dan telah menular ke
seluruh Malaysia dengan kedatangan wayang kulit yang berasal dari Jawa. Drama
merupakan salah satu saluran untuk manusia mengeluarkan buah fikiran selain menjadi
medium hiburan. Perubahan drama dari semasa ke semasa banyak bergantung kepada
percampuran adat, budaya, agama dan kepercayaan masyarakat setempat.
CERITA: JANGAN DIJOLOK SARANG TEBUAN

Babak 1: Sekolah

Sinopsis

Mengisahkan sikap remaja yang suka mempermainkan rakan-rakan. Sikap seperti ini tidak
harus wujud dalam kalangan masyarakat kerana bakal menimbulkan suasana negatif dalam
kehidupan seharian. Sikap ini tidak hanya memberi kesan terhadap masyarakat sekeliling
tetapi juga terhadap diri sendiri. Dalam cerita ini, sikap ini jelas dipaparkan dalam watak
Ramlan. Tindakan Ramlan mengenakan Jali telah membawa padah kerana Jali bersifat
pendendam dan pantang dicabar. Namun begitu, sikap Jali yang sedemikian hanya
diketahui oleh Ramlan setelah berlakunya beberapa peristiwa di sekolah. Ramlan yang
marah bertindak hendak memukul Jali. Namun begitu, perkara tersebut sempat dihalang
oleh rakannya, Halim dan Lamin, serta Cikgu Kamal. Akhirnya, Ramlan dan Jali berdamai
atas nasihat para guru dan rakan-rakan.

Pelakon/Watak

HALIM (Tinggi, berbadan kurus)

RAMLAN (Tinggi, berbadan sederhana)

JALI (Tinggi, berbadan sederhana)

LAMIN (Rendah, berkaca mata, berbadan sederhana)

CIKGU KAMAL (Tinggi, muda, guru PJK)

CIKGU SIRIN (Bertudung, muda, guru BM)

CIKGU SUDIN (Berkaca mata, muda, guru kaunseling)

ENCIK WAHID (Bermisai, berkaca mata, lingkungan usia 40-an, guru besar)

Latar Tempat

Padang sekolah

Bilik Rehat

Bilik Darjah

Kantin Sekolah
Kawasan Pagar Sekolah

Bilik Guru Besar

Latar Masa

Siang (Pagi dan tengah hari)

Adegan 1: Padang Sekolah

Tirai dibuka.

Suasana (di ruang pentas)

Suasana pagi yang tidak terlalu panas di kawasan padang sekolah. Terdapat tiang gol dan
beberapa kon oren yang disusun di belakang tiang gol tersebut serta 5 biji bola yang
berselerak di tepi padang.

(RAMLAN, HALIM dan LAMIN, yang berpakaian sukan, sedang duduk berehat selepas
melakukan latihan menendang bola yang diarahkan oleh CIKGU KAMAL. Ketiga-tiga
mereka berpeluh.)

RAMLAN : Apa yang kau bawa di atas kepala tu?

HALIM : (Meraba-raba kepala) Mana ada. Kau mempermainkan aku?

RAMLAN : (Ketawa) Tidaklah. (Memegang rambut RAMLAN) Yang hitam di atas kepala

kamu inilah yang kau bawa.

(HALIM tidak marah tetapi berasa malu sedikit dengan gurauan RAMLAN itu. Tidak lama
kemudian, HALIM dan LAMIN yang memandang RAMLAN telah berpandangan sesama
sendiri lalu tertawa.)

RAMLAN : Apa yang kau berdua ketawakan?

HALIM : Lihatlah di belakang kau. Sedari tadi kau membawanya. Kau main-

mainkan aku tetapi kau juga kelakar.

RAMLAN : (Menanggalkan baju lalu melihat bahagian belakang bajunya) Mana?

Apa yang kau letak pada baju aku tadi? Tak ada apa-apa pun?

HALIM : (Ketawa)
LAMIN : (Ketawa) Sekarang kau berdua kosong kosong.

(Mereka bertiga ketawa. Kemudian, mereka diam seketika sambil HALIM meneguk air. Dari
jauh, kelihatan JALI yang sedang mengimbang bola. RAMLAN berbisik kepada HALIM.)

RAMLAN : Jom kita kenakan JALI pula.

HALIM : Jom! Tapi apa caranya?

RAMLAN : Kau tengok aku buat.

(RAMLAN berdiri lalu memanggil JALI menghampirinya. JALI mendekatinya dan berdiri di
hadapannya.)

RAMLAN : CIKGU KAMAL meminta kau berjumpa dengannya di bilik guru sekarang.
Dia

ingin meminta tolong kau mengambil sesuatu daripadanya.

JALI : Betul?

RAMLAN : Eh iyalah. Takkan aku nak main-main pula.

JALI : Baiklah.

(JALI berjalan menuju ke bilik guru.)

Pentas digelapkan.

Adegan 2: Bilik Guru

Suasana (di ruang pentas)

Suasana bilik guru yang kemas, bersih dan senyap. Kelihatan beberapa orang guru sedang
duduk di meja sambil melakukan kerja masing-masing.

(JALI berjalan menuju ke meja CIKGU KAMAL yang sedang sibuk menanda buku latihan
murid-murid.)

JALI : Assalamualaikum, cikgu.

CIKGU KAMAL: Waalaikumussalam, JALI. Ya, ada apa kamu ke sini?

JALI : (Pelik) Eh, bukankah cikgu yang memanggil saya ke sini? RAMLAN

beritahu saya cikgu ingin meminta tolong saya.


CIKGU KAMAL: (Senyum dan menepuk bahu JALI) Kamu dipermainkan. Kasihan kamu.

JALI : (Malu dan menggaru kepala) Oh, kalau begitu saya minta diri dululah,
cikgu.

CIKGU KAMAL: Eh sekejap. Alang-alang kamu di sini, bolehkah kamu menolong cikgu

membawa bola-bola ini ke padang? (Menunjuk ke arah 2 biji bola yang

berada di sebelah meja)

JALI : Boleh, cikgu.

(JALI pun mengambil 2 biji bola tersebut lalu beredar dari situ. JALI menuju ke padang
sekolah dengan muka masam.)

Pentas digelapkan.

Adegan 3: Padang Sekolah

Suasana (di ruang pentas)

Suasana pagi yang tidak terlalu panas. Kelihatan murid-murid sedang meneruskan latihan
menendang bola selepas berehat.

(JALI yang berjalan menuju ke padang merenung tajam ke arah RAMLAN yang
mengenakannya tadi. JALI pun bermonolog.)

JALI : Kau kenakan aku ya, RAMLAN. Nanti kau. Aku bentes kaki kau sampai kau

cedera.

(CIKGU KAMAL tiba di padang dan menyuruh mereka memulakan latihan bola sepak
sebagai persediaan untuk pertandingan bola sepak peringkat daerah yang bakal diadakan
pada minggu hadapan. Murid-murid pun mula bermain bola. Tidak lama kemudian terdengar
suara RAMLAN mengerang kesakitan. RAMLAN terjatuh. Kakinya telah dibentes oleh JALI.)

RAMLAN : Aduh, sakit!

CIKGU KAMAL: (Meniup wisel) Semua berhenti sekejap! LAMIN, HALIM, ikut cikgu bawa

RAMLAN ke bilik rehat sekarang.


(LAMIN dan HALIM memapah RAMLAN keluar dari padang. JALI tersenyum puas.)

Pentas digelapkan.

Adegan 4: Bilik Rehat

Suasana (di ruang pentas)

Suasana di dalam bilik rehat yang tenang dan kemas. Beberapa peti pertolongan cemas
tersusun di dalam kabinet.

(Kelihatan RAMLAN sedang duduk di atas sofa dengan kakinya yang sudah berbalut.
RAMLAN dikelilingi oleh HALIM, LAMIN dan CIKGU KAMAL.)

CIKGU KAMAL : Bagaimana, RAMLAN? Kaki kamu masih sakit lagi?

RAMLAN : Masih, cikgu. Tetapi sakitnya sudah kurang. Tak apalah, cikgu.

selepas ini saya akan meneruskan kelas hingga tamat.

CIKGU KAMAL : Kamu pasti? Jika kaki kamu masih sakit, cikgu boleh hantarkan ke

klinik. Kemudian kamu berehat sahajalah di rumah.

RAMLAN : Eh tak mengapalah, cikgu. Saya pasti. Saya masih boleh


meneruskan

sesi persekolahan seperti biasa.

HALIM : Jangan risau, cikgu. Saya dengan LAMIN boleh tengok-tengokkan

RAMLAN nanti di kelas. Kalau ada apa-apa, saya maklumkan


kepada

cikgu, ya?

CIKGU KAMAL : (Menghembuskan nafas lega) Hmm. Baiklah, HALIM.

(HALIM dan LAMIN pun segera memapah RAMLAN keluar dari bilik rehat, menuju ke bilik
darjah.)

Pentas digelapkan.

Adegan 5: Bilik Darjah

Suasana (di ruang pentas)


Suasana bilik darjah yang terkawal. 20 orang murid sedang fokus terhadap pembelajaran.

CIKGU SIRIN : Cikgu ada cerita nak beritahu kamu semua. Nak dengar tak?

MURID-MURID : Nak, cikgu!

CIKGU SIRIN : Baiklah. Ceritanya menarik dan lucu. Tetapi perkara yang ingin cikgu

tekankan di sini ialah pengajarannya. Dengar, ya? Ada seorang budak


lelaki

yang bernama Zarin. Zarin tinggal di kawasan bandar. Apabila cuti sekolah

tiba, Zarin sekeluarga pun balik ke kampung. Pada cuti sekolah dua tahun

lepas, Zarin juga balik ke kampung. Tetapi berlaku insiden yang

menyebabkan dia patah tangan kiri.

MURID-MURID : Itu sahaja ke ceritanya, cikgu?

CIKGU SIRIN : Sabar, ini sambungannya. Pada suatu petang, Zarin mengajak sepupunya

main perang-perang di kebun datuknya. Datuknya berpesan agar berhati

hati kerana terdapat sarang tebuan di kawasan pokok buluh di kebun itu.

Zarin dan sepupunya pun tiba di kebun itu. Sedang mereka seronok

bermain, sepupu Zarin, Meon, tertarik pada sarang burung berdekatan

pokok buluh. Meon pun melastik sarang burung itu kerana ingin melihat

anak-anak burung terbang keluar daripada sarang itu. Malangnya, yang

disangkakan sarang burung itu sebenarnya adalah sarang tebuan. Dalam

masa beberapa saat sahaja, berpuluh-puluh ekor tebuan keluar daripada

sarang itu lalu menyerang mereka. Akibatnya, mereka demam beberapa

hari.

Itulah, jangan dijolok sarang tebuan. Ya, RAMLAN? (Melihat ke arah

RAMLAN)

RAMLAN : (Terpinga-pinga)

Pentas digelapkan.
Adegan 6: Kantin Sekolah

Suasana (di ruang pentas)

Suasana sibuk di kantin sekolah. Hampir setiap meja makan dipenuhi oleh murid-murid yang
sedang menikmati hidangan.

(HALIM, LAMIN dan RAMLAN duduk di sebuah meja sambil berbual-bual.)

RAMLAN : Aku rasa cerita CIKGU SIRIN tadi sebenarnya hendak menyindir aku.

HALIM : Kau yakin?

RAMLAN : Entahlah. Kalau dia tidak menyindir, mengapa dia menyebut nama aku

ketika bercerita tentang tebuan tadi?

LAMIN : Tak baik buruk sangka, RAMLAN.

RAMLAN : Bukan buruk sangka, LAMIN. Aku cuma meneka.

(Kelihatan mereka bertiga termenung memikirkan cerita yang diceritakan oleh CIKGU SIRIN
yang seakan-akan menyindir RAMLAN.)

HALIM : Eh sebentar! Aku terfikir. Mungkinkah CIKGU KAMAL menceritaka peristiwa

ketika RAMLAN mempermainkan JALI? Jika ya, aku rasa yang CIKGU
SIRIN

katakan tebuan itu sebenarnya ialah JALI.

RAMLAN : Mengapa kau rasa begitu?

LAMIN : Oh ya! Benar juga kata HALIM. Aku faham! Bukankah selepas kau

mempermainkan dia, dia membentes kaki kau sehingga kau sakit kaki

begini?

RAMLAN : (Masih berfikir) Ya. Jadi?


HALIM : Jadi, bentesan itu memang dia sengaja lakukan untuk membalas dendam

terhadap kau, RAMLAN. Kau ingat tak CIKGU SIRIN ada menyebut, “sarang

tebuan jangan dijolok”? Aku rasa CIKGU SIRIN ingin berpesan kepada kau,

jangan berani mempermainkan JALI kerana dia bukanlah seperti yang kau

sangkakan. Dia pasti akan membalas semula perbuatan kau walaupun dia

nampak seperti seorang yang pendiam.

RAMLAN : Oh begitu. Tak sangka ya SI JALI tu. Diam-diam dia menyimpan dendam

yang mendalam. Macam tebuan yang berdiam diri di dalam sarang, apabila

diusik pasti akan menyerang. Ah, siaplah kau, JALI!

LAMIN : Apa pula rancangan kau, RAMLAN? Aku rasa baik kau hentikan semua ni.

Entah apa pula bala yang menimpa kau nanti kalau mengusik JALI itu.

RAMLAN : Ah, diamlah kau! Kau tengoklah nanti apa aku nak buat.

HALIM : RAMLAN, sudah-sudahlah tu. Kau tak serik lagikah dengan apa yang terjadi

pada kaki kau itu. Sakit kaki itu pun masih terasa lagi.

LAMIN : Ya, RAMLAN. Tak perlulah kau membalas dendam lagi. Kau berdua sudah

seri.

RAMLAN : (Marah) Ah, kau berdua tak payah nak jadi ustaz! Sudahlah. Aku tahu apa

nak buat.

Pentas digelapkan.

Adegan 7: Kawasan Pagar Sekolah

Suasana (di ruang pentas)

Suasana tengah hari yang lengang di kawasan pagar sekolah. Murid-murid berjalan keluar
dari pagar.

(Kelihatan Ramlan sedang menunggu seseorang sambil duduk di pondok pengawal di tepi
pagar sekolah. Tidak lama kemudian, kelihatan Jali berbasikal keluar dari pagar sekolah.
HALIM dan LAMIN mengintai dari tepi pondok pengawal.)
RAMLAN : JALI, sini!

JALI : (Mendekati RAMLAN) Eh RAMLAN. Ada apa?

RAMLAN : Aku ada perkara nak bincang dengan kau. Kau ingat kau hebat sangatkah?

JALI : (Terpinga-pinga) Kenapa pula tiba-tiba hendak marah aku? Apa masalah
kau

ni?

RAMLAN : Ah, hentikan sandiwara kau ni! Aku menyampah! Kau ingat aku tak tahu

yang kau sengaja bentes kaki aku hingga kaki aku jadi macam ni?

JALI : (Ketawa) Hahaha. Bijak juga kau ni ya, RAMLAN? Ya, memang aku
sengaja!

Tapi aku buat begitu kerana hendak membalas dendam terhadap kau

selepas kau mengenakan aku pagi tadi!

RAMLAN : (Geram lalu menarik kolar JALI) Tak guna!

(Kelihatan JALI mula menggenggam tangannya untuk menumbuk RAMLAN. Namun, belum
sempat JALI melakukan apa-apa, HALIM dan LAMIN meluru ke arah mereka berdua untuk
meleraikan pergaduhan tersebut. Kelihatan CIKGU KAMAL yang berada di kawasan tempat
letak kereta guru terkejut dan mencari arah suara pergaduhan tersebut. Mata beliau
tertumpu ke arah HALIM dan JALI. Beliau pun mula berlari ke arah RAMLAN dan JALI yang
sedang bergelut.)

CIKGU KAMAL : RAMLAN, JALI! Apa yang berlaku ni? Kenapa sampai hendak

bertumbuk pula?

RAMLAN : Ini semua salah JALI. Rupanya dia sengaja membentes kaki saya

hingga saya cedera begini!

JALI : Tapi RAMLAN yang mulakan dulu, cikgu! Dia yang mengenakan
saya

pagi tadi. Cikgu ingat, bukan?

CIKGU KAMAL : Sudah-sudah. Kamu berdua ikut cikgu ke bilik guru besar

sekarang. HALIM, LAMIN, kamu berdua ikut sekali, ya?


Pentas digelapkan.

Adegan 8: Bilik Guru Besar

Suasana (di ruang pentas)

Suasana di dalam bilik guru besar yang bersih dan kemas. Sofa disusun di hadapan meja
guru besar.

(Kelihatan ENCIK WAHID, CIKGU KAMAL, ENCIK SUDIN, HALIM, LAMIN, RAMLAN dan
JALI sedang duduk di sofa menghadap satu sama lain.)

ENCIK WAHID : (Sinis) Hai, RAMLAN. Kaki cedera pun masih nak timbulkan
masalah?

RAMLAN : (Menundukkan kepala) Maafkan saya, cikgu. Saya berasa marah

apabila mendapat tahu JALI sengaja membentes kaki saya hingga

kaki saya cedera begini.

ENCIK WAHID : Betulkah apa yang RAMLAN katakan itu, JALI? Kamu sengaja?

JALI : Betul, cikgu. Tetapi saya hanya membalas dendam kerana pagi tadi

RAMLAN mengenakan saya. Saya berasa tidak puas hati lalu

bertindak membentes kakinya.

ENCIK WAHID : CIKGU KAMAL juga ada memberitahu tentang perkara pagi tadi.

Beginilah. Saya tidak mahu menyebelahi sesiapa. Tetapi, perkara

yang kamu berdua lakukan ini tidak wajar. RAMLAN, mungkin niat

kamu hendak bergurau sahaja, tetapi jangan sampai melampaui

batas hingga membuatkan orang lain tersinggung atau marah.

RAMLAN : (Menundukkan kepala) Baik, cikgu.

ENCIK WAHID : JALI, tidak baik kita menyimpan dendam terhadap orang lain.

Sekiranya ada perkara yang mengganggu kamu, bukankah kamu

boleh pergi ke bilik kaunseling dan berjumpa dengan CIKGU


SUDIN?
Jangan ambil langkah terburu-buru.

JALI : (Menundukkan kepala) Baik, cikgu. Saya akui kesilapan saya.

CIKGU SUDIN : (Mencelah) RAMLAN, sudah-sudahlah. Jangan menyimpan dendam

dan menganiaya orang lain. CIKGU KAMAL ada ceritakan kepada

cikgu, perihal kamu mengenakan JALI di padang sekolah pagi tadi.

Perkara ini kamu yang mulakan, RAMLAN. Mengapa pula kamu

hendak salahkan JALI?

CIKGU KAMAL : Betul kata CIKGU SUDIN tu, RAMLAN. Lagipun rakan-rakan kamu,

HALIM dan LAMIN, sudah menasihati kamu supaya tidak

membalas dendam lagi, bukan? Mengapa kamu masih berdegil?

RAMLAN : (Mula menangis dan menyesal) Maafkan saya, CIKGU WAHID,

CIKGU KAMAL, CIKGU SUDIN. Saya banyak menyusahkan cikgu

semua. Saya sedar kesilapan saya dan berjanji untuk tidak

mengulangi perbuatan itu lagi. (Mengesat air mata)

ENCIK WAHID : (Tersenyum dan merangkul bahu RAMLAN) Baguslah kalau kamu

sudah sedar, RAMLAN. Saya berharap kamu mengambil perkara ini

sebagai satu iktibar.

RAMLAN : (Menangis) Baik, cikgu.

ENCIK WAHID : Sudahlah. (Ketawa) Kita tamatkan saja drama ini, ya.

RAMLAN, minta maaflah kepada JALI. JALI, kamu juga harus

meminta maaf kepada RAMLAN. Kamu berdua seharusnya saling

bermesra antara satu sama lain. Kalau bergurau pun biarlah

berbatas.

(RAMLAN pun mula bersalaman dengan JALI dan meminta maaf. Ketika ini, muzik latar
yang menggambarkan unsur keharmonian dimainkan.)

RAMLAN : Maafkan aku, JALI. Aku banyak berbuat salah terhadap kau. Aku janji aku
tak
akan mengenakan kau lagi.

JALI : Tak apalah, RAMLAN. Aku minta maaf juga. (Memeluk RAMLAN). Aku
harap

selepas ini kita boleh menjadi sahabat baik. Lupakanlah perkara yang

sudah terjadi sebelum ini. Aku juga nak minta maaf kerana membentes kaki

kau hingga cedera begini.

RAMLAN : Tak mengapalah, JALI. Sekurang-kurangnya aku masih boleh berjalan


seperti

biasa lagi selepas ini. (Ketawa bersama JALI)

ENCIK SUDIN : (Tersenyum) Seronok cikgu melihat kamu berdua begini. Selepas ini jangan

ada drama baru pula, ya. Tak larat cikgu nak melihatnya.

(Kesemua yang ada di bilik kaunseling itu ketawa sambil bertepuk tangan melihat RAMLAN
yang sudah mula berdamai dengan JALI.)

Tirai ditutup.

You might also like