You are on page 1of 3

3.

1 Biar putih tulang, jangan putih muka

Peribahasa ini membawa maksud, anak Melayu perlu mengekalkan jati diri sebagai
orang Melayu beragama Islam dan tidak terpengaruh dengan pengaruh barat.
Peribahasa (bidalan) asalnya ialah biar putih tulang, jangan putih mata. Abdullah dan
Ainon (1994) menyatakan bahawa peribahasa tersebut membawa maksud ‘lebih baik
mati daripada tak dapat apa yang diidam. Peribahasa ini telah mengalami proses
perubahan semantik kognitif.

Perubahan semantik kognitif merupakan perubahan yang berlaku akibat


pemikiran pengguna bahasa yang berubah mengikut peredaran zaman. Hassan
Ahmad (2016) berpendapat bahawa manusia dapat mencipta makna baharu yang
tidak terhad jumlahnya dengan berlandaskan kepada perkataan yang sama struktur
dan pola ayat yang sama tetapi manusia tidak berhenti-henti mencipta perkataan
bagi menyatakan sesuatu makna yang baharu. Perubahan ‘jangan putih mata’
kepada ‘jangan putih muka’ adalah signifikan dan bersesuaian dengan konteks
masyarakat kini. Masyarakat dahulu berjuang menentang penjajahan secara fizikal.
Kini, penjajahan berlaku di alam maya dan mempengaruhi masyarakat Melayu
khususnya untuk meniru gaya hidup masyarakat barat. Hal ini tidak mematuhi gaya
ketimuran yang telah diamalkan sejak dahulu, maka, frasa ‘jangan putih muka’
digunakan. Namun begitu, peribahasa asalnya tidaklah hilang dan masih digunakan
secara meluas hingga kini.

3.2 Membujur lalu, melintang-pukang

Peribahasa asalnya ialah ‘membujur lalu, melintang patah’. Abdullah dan


Ainon (1994) mengkategorikan peribahasa asal ini ke dalam golongan pepatah.
Peribahasa asal ini membawa maksud tidak ada sesuatu yang dapat menghalang
sesuatu perkara daripada berlaku. Peribahasa ini mengalami proses perubahan
aspek bentuk leksikal. Perubahan makna leksikal merupakan perkara yang
membawa kepada perbezaan dalam sesuatu ujaran atau perkataan. Makna sesuatu
ujaran atau frasa itu bergantung kepada kefahaman menyeluruh sesuatu peribahasa
itu.

Peribahasa membujur lalu, melintang-pukang ini ialah perubahan haluan atau


kaedah yang dilakukan apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini, namun,
kaedah itu bukanlah kaedah yang terbaik. Perubahan ini mungkin berlaku akibat
kepincangan sesuatu persatuan yang menyebabkan ahlinya tidak senang duduk
lantas membuat tindakan yang terburu-buru dan merugikan diri serta merosakkan
persatuan.
Bagai tikus jatuh ke air

Peribahasa asal yang belum berubah bagi peribahasa ini ialah seperti tikus
jatuh ke beras. Abdullah dan Ainon (1994) menyatakan bahawa perumpamaan bagai
tikus jatuh ke beras membawa maksud ‘hidup mewah’.

Peribahasa ini mengalami perubahan semantik kognitif, menjadi ‘bagai tikus


jatuh ke air’. Apabila berlaku perubahan semantik kognitif, akan berlakulah
pertentangan antara maksud asal peribahasa dengan maksud peribahasa yang
sudah berubah. Hal ini disebabkan oleh perlambangan perbezaan aspek makna
kognitif. Perbezaan aspek makna kognitif ini mengubah keseluruhan maksud
peribahasa daripada positif kepada negatif. Maksud peribahasa bagai tikus jatuh ke
air sangat kontra dengan peribahasa asalnya. Peribahasa ini membawa maksud
hidup dalam kesusahan, kemusnahan atau kematian.

Cubit paha kanan, paha kiri tak rasa apa-apa.

Peribahasa asal bagi peribahasa yang mengalami perubahan ini ialah cubit
paha kiri, paha kanan pun sakit juga. Abdullah dan Ainon (1994) mengkategorikan
peribahasa ini ke dalam kategori pepatah dan membawa maksud apabila seseorang
teraniaya, kaum keluarganya akan terasa. Peribahasa ini mengalami perubahan dari
aspek makna kolokasi. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan kolokasi
sebagai hubungan, kedudukan atau kewujudan sesuatu perkataan dengan
perkataan yang lain dalam satu susunan ayat dan ia wujud secara bersebelahan
atau berdekatan antara satu sama lain. sesuai dengan sifat bahasa yang fleksibel,
peribahasa turut berubah apabila zaman beredar.

Perubahan kolokasi terbahagi kepada beberapa jenis; perubahan makna


konotatif kepada makna denotatif, dan perubahan makna konotatif kepada makna
yang berhubung kait dengan situasi semasa atau stailistik. Peribahasa cubit paha
kanan, paha kiri tak rasa apa-apa merupakan peribahasa yang mengalami
perubahan makna konotatif kepada makna mengikut situasi semasa. Peribahasa ini
membawa maksud golongan yang pentingkan diri serta tidak menghiraukan
kesusahan orang lain. maksud peribahasa ini sesuai dalam konteks masyarakat kini
yang sukar memberikan pertolongan sekiranya ada ahli keluarga yang berada di
dalam kesusahan. Di sebalik ungkapan peha kiri tak rasa apa-apa, wujud hubung
kait dengan situasi semasa dengan konsep yang lebih meluas. Konsep meluas yang
dimaksudkan termasuklah ‘keluarga’ seagama dan sebagainya. Sikap diam seribu
bahasa tanpa usaha membantu ‘keluarga’ seagama yang ditindas (Syiria, Palestin,
Rohingya) oleh masyarakat kini sesuai dengan peribahasa yang telah berubah
maknanya ini.

Alang mandi biar bersabun

Peribahasa asal bagi peribahasa yang telah berubah ini ialah alang mandi, biar
basah. Abdullah dan Ainon (1994) mengkategorikan peribahasa ini kepada pepatah
yang membawa maksud buat kerja biar sampai jadi. Peribahasa ini telah mengalami
perubahan makna aspek kolokasi. Maksud peribahasa yang telah berubah ini hanya
berbeza sedikit daripada yang asal. Maksud peribahasa alang mandi biar bersabun;
buat sesuatu pekerjaan perlulah sempurna. Perbezaan perkataan basah dan
bersabun sedikit sebanyak memberi kesan kepada maksud peribahasa ini. Kamus
Dewan Edisi Keempat mendefinisikan basah sebagai ada air atau cecair lain
padanya manakala bersabun pula ditakrifkan sebagai memakai sabun.

Jika dilihat dalam konteks masyarakat kini, istilah ‘mandi’ tidak hanya terhad kepada
membasahkan diri dengan air semata-mata, malah lebih daripada itu. Peredaran masa telah
mengembangkan makna mandi kepada bersabun, bersyampu dan sebagainya. Oleh itu, jika
dilihat dalam konteks masa kini, sekiranya seseorang itu mandi dengan hanya
membasahkan badannya, konsep mandi itu belum tercapai sepenuhnya, maka, perkataan
‘bersabun’ dilihat sesuai bagi menggantikan perkataan ‘basah’. Namun begitu, peribahasa
asal yang mantap masih kekal digunakan secara meluas.

You might also like