You are on page 1of 1

KARANGAN JENIS BERITA

1) JAWAPAN LENGKAP

SIBU, Khamis - Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan


Methodist telah berlangsung pada 27 dan 28 Jun 2019 yang lalu.Kejohanan sukan
tahunan ini telah dirasmikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Sibu , Tuan Haji
Ramlan bin Haji Dasuki. Dalam kejohanan ini , Rumah Merak yang juga
merupakan johan dua tahun berturut-turut , sekali lagi menjadi juara. Tempat
kedua disandang oleh Rumah Kenyalang sementara tempat ketiga disandang
oleh Rumah Rajawali. Anugerah Olahragawan Harapan pula dimenangi oleh atlet
acara pecut Rumah Merak, iaitu Mohamad Hakim bin Junid.
Menurut Tuan Haji Ramlan bin Haji Dasuki, kalah menang merupakan adat
pertandingan. Dalam apa-apa kejohanan sekalipun, semangat kesukanan yang
tinggi sangat diperlukan. Kekalahan bukan bererti gagal sebaliknya permulaan
langkah untuk berjaya. Menurut beliau lagi, sukan tahunan yang diadakan pada
peringkat sekolah merupakan gelanggang untuk mengasah bakat murid-murid
dalam melahirkan atlet yang mampu mengharumkan nama negara pada masa
hadapan. Beliau juga berharap agar semua murid dapat menjayakan acara sukan
dengan cemerlang dan bekerja dalam pasukan apabila terlibat dalam acara
berkumpulan.
Sebelum acara sukan bermula, acara perbarisan yang disertai oleh semua
kontinjen unit beruniform dan pasukan daripada semua rumah sukan membuka
tirai persembahan. Setiap kontinjen dinilai dan kontinjen yang terpilih menerima
hadiah semasa sesi penutupan sukan diadakan. Hanya beberapa acara balapan
dipertandingkan memandangkan banyak acara telah disempurnakan sebelum itu
dalam pertandingan yang diadakan seminggu lebih awal. Cuaca yang cerah
memastikan kejohanan berlangsung dengan jayanya. Selain acara sukan yang
dipertandingkan, diadakan juga pelbagai jualan ringan yang dikendalikan oleh
pihak kantindan koperasi sekolah.
Kejohanan sukan tahunan ini diakhiri dengan acara penyampaian pingat
kepada pemenang, diikuti dengan acara penyerahan bendera kejohanan kepada
pengetua sekolah. Para atlet yang berjaya dalam sukan kali ini terpilih untuk
mewakili sekolah pada peringkat daerah dan kebangsaan.

You might also like