You are on page 1of 3

Kaedah Pembelajaran Koperatif 5 - Jigsaw Puzzle

Oleh Mohd Isa Abd Razak

Jigsaw Puzzle (Cantuman)

Jigsaw ialah kata nama yang bermaksud gergaji jig, iaitu gergaji yang digunakan untuk
menghasilkan tebukan berlengkung-lengkung pada kayu, plastik dan keping-keping
logam. Daripada perkataan jigsaw terbit ungkapan jigsaw puzzle, iaitu sejenis
permainan.

Bahan permainan itu ialah sekeping gambar daripada kad tebal yang dipotong
berkeping-keping dan berlengkung-lengkung. Kepingan yang berlengkung-lengkung itu
dicampuradukkan. Pemain menyusun kepingan itu untuk menjadi gambar. Usaha untuk
menyusun kepingan itu rumit tetapi mengasyikkan.

Dalam struktur pembelajaran koperatif (SPK) terdapat juga jigsaw puzzle. Cirinya
seakan-akan permainan itu tetapi bahan dan pelaksanaannya tersendiri. Bahan yang
lazim digunakan ialah wacana bercetak. Penggunaan bahan digital digalakkan.

Katakan kita hendak mengajarkan tajuk “Ikan Air Tawar”. Dalam sesi itu kita bercadang
untuk mengetengahkan empat jenis ikan, iaitu arapaima, kelah, puyu dan belut. Katakan
pula murid kita 20 orang. Kita bentuk lima kumpulan seperti dalam rajah 1. Kumpulan ini
ialah kumpulan asal dan kita namakan Kumpulan Adil, Kumpulan Bersih, Kumpulan
Cinta, Kumpulan Damai dan Kumpulan Elok. Dalam kumpulan asal, pelajar nombor satu
menerima wacana “Arapaima”, pelajar nombor dua menerima wacana “Kelah”, pelajar
nombor tiga menerima wacana “Puyu” dan pelajar nombor empat menerima wacana
“Belut”.
Kemudian, seperti yang digambarkan dalam rajah 2, pelajar membentuk empat
kumpulan. Mereka membaca dan memahami wacana itu. Mereka boleh merujuk bahan
sokongan seperti kamus, buku glosari dan ensiklopedia, sama ada yang terpasang pada
komputer riba atau secara dalam talian. Mereka memproses dan “menghadam”
maklumat dalam wacana, daripada bahan sokongan dan hasil perbincangan. Akhirnya
mereka arif atau menjadi pakar tajuk itu.

Setelah menjadi pakar arapaima, pakar kelah, pakar puyu atau pakar belut, mereka
kembali membentuk kumpulan asal. Rajah 3 menggambarkan hal ini. Mula-mula pakar
arapaima menyampaikan maklumat kepakarannya kepada tiga orang rakannya. Rakan-
rakannya perlu mengemukakan pertanyaan. Pakar arapaima hendaklah menjawab
pertanyaan itu dengan menyerlahkan keterampilannya sebagai pakar. Seterusnya,
pakar kelah pula menjadi penyampai, diikuti oleh pakar puyu dan akhirnya pakar belut.
Setiap kumpulan asal yang sudah berkongsi kepakaran itu hendaklah membuat
rumusan dan refleksi. Refleksi wajar menyerlahkan nilai murni. Pensyarah atau guru
yang bertindak sebagai fasilitator kemudiannya bolehlah mengedarkan senarai rujukan
dan bahan bercetak dan/atau digital.

Tambahan

Guru, khususnya guru kawakan, memang bijak dan banyak idea. Mereka yang bijak itu
terus berlumba-lumba menghimpun kebijaksanaan dengan meningkatkan kelayakan
akademik dan profesionalisme. Universiti membuka peluang kepada mereka untuk
memperoleh ijazah. Institut pendidikan guru dan jabatan pendidikan negeri pula
menawarkan kursus peningkatan profesionalisme.

Ada antara guru kawakan bijak yang banyak idea itu suka mengusik pensyarah,
khususnya wanita muda dan comel. Ada pensyarah wanita muda comel itu berasa
kurang selesa ketika bersyarah. Cubalah SPK, khususnya jigsaw puzzle. Rasa-rasanya
guru kawakan bijak yang banyak idea itu akan menjadi kumpulan pakar yang sibuk.
Rasa-rasanyalah, mereka kesuntukan masa. Jadi, tiada lagi renung-renungan, apalagi
lagi pertanyaan yang bernada usikan. Pakar tentulah serius !

You might also like