You are on page 1of 1

Aktiviti-aktiviti Berfaedah Bagi Mengisi Masa Lapang

Setiap orang mesti mempunyai masa lapang setiap hari. Masa lapang ini mesti diisi dengan perkara
yang berfaedah. Pada pandangan saya ibu bapa boleh membimbing anak-anak agar menggunakan
masa lapang dengan aktiviti yang baik. Terdapat beberapa aktiviti berfaedah yang boleh kita lakukan
bagi mengisi masa lapang.

Antara aktiviti yang boleh kita lakukan untuk mengisi masa lapang ialah membaca. Sesungguhnya,
kita akan dapat menambahkan pengetahuan dan memperbaiki penguasaan bahasa melalui
pembacaan. Terdapat pelbagai jenis bahan bacaan yang boleh kita baca seperti akhbar, majalah dan
buku. Kita boleh membaca bahan bacaan tersebut di rumah atau di perpustakaan awam.

Selain itu, kita juga boleh mengisi masa lapang dengan membantu ibu bapa di rumah. Kita boleh
membantu ibu mengemas rumah, membasuh pakaian dan membasuh pinggan-mangkuk. Kita juga
boleh menolong bapa mencuci kereta atau menyapu sampah di halaman rumah. Sikap bantu-
membantu dalam keluarga ini akan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Masa lapang kita juga boleh diisi dengan aktiviti bersenam dan bersukan. Dengan bersenam dan
bersukan badan kita akan menjadi sihat. Kita boleh bersenam dan bersukan di padang permainan
atau di gimnasium. Aktiviti bersenam dan bersukan juga akan dapat mencerdaskan minda kita.

Di samping itu, kita juga boleh melayari internet pada waktu lapang. Dengan melayari internet, kita
akan dapat menambahkan pengetahuan. Namun demikian, kita hendaklah menjauhi halaman yang
negatif kerana halaman ini banyak keburukannya. Kita juga mesti menghadkan masa melayari
internet kerana jika terlalu lama, ia boleh meletihkan minda dan badan kita.

Kita juga boleh mengisi masa lapang dengan menonton televisyen dan mendengar radio. Namun
demikian, kita mesti menghadkan masa menonton televisyen dan mendengar radio kerana ia boleh
mengganggu penggunaan masa kita untuk aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah seperti membaca
buku. Antara contoh rancangan yang baik untuk kita tontoni ialah berita dan rencana tentang sains
dan teknoiogi. Manakala rancangan hiburan hanya akan melalaikan kita jika ditonton terlalu banyak.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa aktiviti berfaedah yang boleh kita gunakan untuk mengisi
masa lapang. Seseorang yang dapat menggunakan masa lapang dengan baik, pasti akan mendapat
banyak manfaat. Pada pendapat saya, masa itu lebih bernilai daripada emas, justeru janganlah kita
membazirkan masa lapang begitu sahaja. Kita hendaklah menggunakan masa lapang dengan sebaik
mungkin.

You might also like