You are on page 1of 18

1.

0 PENGENALAN

Perkataan maqasid dari sudut bahasa merupakan jamak dari perkataan maqsad
yang diambil dari kata kerja ( (‫قصد‬yang bermaksud pegangan, punca, sasaran, kelurusan,
keadilan dan kesederhanaan (MAIS). Dengan kata lain maqasid ini juga merujuk kepada
maksud ‘objektif’ yang membawa makna berasaskan kenyataan atau fakta sebenar (MAIS).
Syariah pula berasal dari perkataan syara’a (‫ )شرع‬yang membawa maksud sumber air yang
tidak pernah putus dan terus mengalir, memulai sesuatu pekerjaan dan menjelaskan,
menerangkan serta menunjukkan jalan (MAIS). Dari segi istilah pula, syariah merangkumi
keseluruhan apa yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada umat manusia melalui Rasul-Nya
nabi Muhammad S.A.W (MAIS). Maqasid Syariah yang diterangkan oleh ulama’ usul fiqh
merupakan makna dan tujuan yang dikehendaki syara’ dalam mensyariatkan sesuatu
hukum bagi menjamin kemaslahatan dan menolak keburukan kepada umat manusia (MAIS).

Menurut al-Shatibi, tanggungjawab syariah merupakan tanggungjawab bagi


memelihara objektifnya kepada manusia. Di samping itu, ianya tidak boleh lari daripada
menjaga ketiga-tiga perkara ini iaitu yang pertama maslahah al-daruriyyat (‫)مصلحة الضرورية‬,
kedua maslahah hajiyyat (‫)مصلحة حاجية‬, dan yang ketiga maslahah tahsiniyyat (‫)مصلحة تحسينية‬
(al-Badwi, 2000). Pertama ialah maslahah al-daruriyyat merupakan yang maslahah asas
yang melibatkan pemeliharaan lima perkara iaitu agama, jiwa, akal, kehormatan dan harta.
Kedua ialah maslahah hajiyyat yang merupakan maslahah yang diperlukan dan melibatkan
semua yang diperlukan oleh manusia untuk mewujudkan kemudahan dan kelapangan
dalam menjalankan tugas dalam kehidupan seharian. Akhir sekali merupakan maslahah
tahsiniyyah iaitu maslahah yang diperlukan untuk menjaga kehormatan manusia yang
melibatkan kemuliaan akhlak dan adat yang baik (Muhammad Akram Laldin, 2008).

Jelaslah disini bahawa maqasid syariah merupakan perkara yang penting bagi umat
manusia dalam kehidupan seharian bagi menerima kemaslahatan dan juga menolak
sebarang keburukan. Oleh itu, dalam kertas kerja ini kami akan membincangkan mengenai
ketiga-tiga perkara tersebut iaitu maslahah al-daruriyyat (‫)مصلحة الضرورية‬, maslahah hajiyyat (
‫لحة حاجية‬FF‫)مص‬, maslahah tahsiniyyat (‫ينية‬FF‫لحة تحس‬FF‫ )مص‬dan juga kepentingan maqasid syariah
dalam kehidupan manusia.
2.0 MASLAHAH DARURIYYAT

Maslahah Daruriyyat ditakrifkan sebagai keperluan asas yang perlu ada kepada
setiap individu untuk melangsungkan kehidupan demi menegakkan kepentingan agama dan
duniawi. (Nasif Sidquee Pauzi et al., 2020). Terdapat lima perkara asas yang terdapat di
dalam Maslahah Daruriyyat ini iaitu asas agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Oleh
yang demikian, bagi memastikan kelima-lima perkara asas tersebut terpelihara, syariah
telah menggariskan peraturan-peraturan yang berbentuk perundangan agar dapat menjamin
kelangsungan hidup manusia (Nasif Sidquee Pauzi et al., 2020).

2.1 MEMELIHARA KESUCIAN DAN KEPERCAYAAN AGAMA

Agama Islam adalah sesuatu yang sangat asasi dalam kehidupan manusia. Manusia
juga diperintahkan untuk beriman dan melaksanakan ajaran Islam dalam kehidupan mereka
(Hassan Mydin). Bagi memastikan manusia tersebut menjadi makhluk yang mulia di sisi
Islam, maka Islam mengajarkan bahawa agama Islam itu merupakan satu keperluan asas
yang utama bagi manusia (Hassan Mydin). Terdapat dua aspek yang berbeza yang dapat
dibincangkan iaitu dari segi aspek suruhan dan aspek larangan.

Menurut aspek suruhan bagi asas memelihara kesucian dan kepercayaan agama
adalah suruhan berjihad untuk memelihara agama. Suruhan berjihad ini dimaksudkan
berjihad di jalan Allah seperti jihad menyebarkan ilmu agama dan berdakwah. Terdapat dalil
mengenai suruhan berjihad iaitu di dalam potongan surah al-Hajj, ayat ke 78 yang
bermaksud: “Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya.”

Seterusnya, aspek suruhan yang kedua bagi asas ini adalah suruhan melaksanakan
tuntutan ibadah. Terdapat dua kategori ibadah iaitu ibadah umum dan ibadah khusus.
Ibadah umum adalah ibadah yang meliputi segala aspek kehidupan yang tidak berlanggar
dengan syariat Islam manakala ibadah khusus pula adalah ibadah yang wajib dilakukan
seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan.
Terdapat juga dalil mengenai suruhan melaksanakan tuntutan ibadah iaitu di dalam surah al-
Zariyat ayat ke 56: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka
beribadah kepadaku.”

Kemudian, bagi aspek larangan pula adalah larangan perbuatan yang boleh
membawa kepada murtad yang mana hukumannya adalah mati (Nasif Sidquee Pauzi et al.,
2020). Seperti yang kita tahu, perbuatan murtad hukumnya adalah haram dan dilaknat oleh
Allah. Oleh itu, kita perlulah mengelakkan diri daripada perkara yang boleh membawa
kepada murtad dengan sentiasa menghadiri majlis ilmu agama seperti mendengar ceramah
dan menghadiri kuliah supaya iman kita sentiasa terjaga.
2.2 MEMELIHARA NYAWA

Seperti yang kita tahu, kita perlu menjaga nyawa dengan sebaik mungkin. Oleh
sebab pentingnya nyawa dan tubuh fizikal manusia tersebut, maka Islam memerintahkan
manusia supaya sentiasa menjaga kesihatan bukan hanya dari segi tubuh fizikal malah
kesihatan jiwa juga perlu dipelihara. Antaranya ialah dengan memerintahkan manusia
supaya makan dan minum daripada sumber yang Halal kerana secara tidak langsung dapat
terhindar daripada sebarang perkara yang boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan
(Hassan Mydin). Kita juga perlulah seimbang dalam menjaga kesihatan iaitu dari sudut
mental,rohani dan jasmani supaya nyawa kita terpelihara.

Seterusnya, asas yang kedua iaitu memelihara nyawa. Dari segi aspek suruhan
adalah suruhan berubat apabila sakit (Nasif Sidquee Pauzi et al., 2020). Contohnya, jika
seseorang itu sakit, maka orang tersebut perlu berikhtiar untuk menghilangkan sakitnya
dengan pergi ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan dan ubat supaya cepat
sihat.

Manakala dari aspek larangan pula adalah larangan melakukan perkara-perkara


yang boleh mengancam keselamatan nyawa diri sendiri atau orang lain (Hassan Mydin).
Contohnya terdapat segelintir orang yang mengelar atau menoreh tangannya dengan
sengaja beranggapan bahawa dengan melakukan perkara tersebut dapat menghilangkan
stress namun sebaliknya tidak mendatangkan apa-apa faedah bahkan mendapat dosa. Oleh
yang demikian, sebagai umat Islam cara yang terbaik untuk menghilangkan stress
contohnya dengan berzikir dan membaca Al-Quran.

2.3 MENJAMIN KEMURNIAN FIKIRAN DAN KEWARASAN AKAL

Definisi akal menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah budi atau fikiran (Dewan
Bahasa dan Pustaka, 2017). Secara umumnya, akal merupakan perbezaan antara manusia
dan makhluk ciptaan Allah yang lain. Tanpa akal, manusia akan menjadi lebih rendah
kedudukannya. Oleh itu, manusia perlu sentiasa memelihara kesihatan akal mereka.

Aspek yang ketiga adalah menjamin kemurnian fikiran dan kewarasan akal menurut
aspek suruhan iaitu dikurniakan akal fikiran dan suruhan supaya menuntut ilmu serta
membaca dan mempelajari Al-Quran serta hadis. Setiap manusia diberikan keistimewaan
iaitu akal fikiran oleh itu terdapat suruhan menuntut ilmu dan mempelajari Al-Quran serta
hadis sebagai proses menajamkan lagi akal fikiran manusia (Nasif Sidquee Pauzi et al.,
2020).
Kemudian, dari aspek larangan pula iaitu larangan berkaitan memakan atau
meminum sesuatu yang boleh memabukkan contohnya meminum arak. Terdapat hadis
yang berkaitan dengan pengharaman arak ini yang bermaksud: “semua yang memabukkan
adalah haram.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hal ini kerana, segala perkara yang memabukkan dapat merosakkan dan
melemahkan akal kita (Nasif Sidquee Pauzi et al., 2020). Oleh itu, sudah terang lagi
bersuluh, kesihatan akal perlulah diambil berat supaya kita dapat membezakan perkara
yang baik dan yang buruk.

2.4 MEMELIHARA KEHORMATAN DAN MARUAH DIRI

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah kehormatan diri atau harga diri
(Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, 2017). Harga diri juga dapat memberi imej tentang
tahap kedudukan manusia dari segi status akhlak dan intergritinya menurut Islam (Hassan
Mydin). Islam sangat mementingkan institusi kekeluargaan yang aman dan harmoni. Oleh
itu, Islam menganggap bahawa institusi keturunan dan kehormatan diri merupakan asas
fitrah manusia. Bukan itu sahaja, malah Islam juga mendidik manusia supaya memelihara
keperluan keturunan dan maruah diri (Hassan Mydin).

Menurut aspek suruhan bagi menjaga kehormatan diri dan maruah diri adalah
dengan suruhan berkahwin. Dengan berkahwin individu tersebut dapat mengelakkan diri
daripada perkara-perkara yang membawa kepada zina. Kesannya, secara tidak langsung
dapat menjaga kehormatan diri.

Seterusnya, daripada aspek larangan adalah larangan perbuatan-perbuatan yang


boleh membawa kepada zina dan perkara-perkara yang dapat menjatuhkan maruah diri
serta keluarga. Terdapat dalam dalil iaitu surah al-Isra’ ayat ke 32 yang bermaksud: “Dan
janganlah kamu menghampiri zina,sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji
dan satu jalan yang buruk.” Oleh itu, sebagai umat Islam perlulah menjauhi daripada segala
perkara yang dapat merosakkan maruah diri dan keluarga.

2.5 MEMELIHARA HARTA

Harta juga merupakan satu keperluan asas,harta yang dimaksudkan bukanlah harta
yang kekayaan yang bertimbun-timbun (Hassan Mydin). Namun, perkara yang dimaksudkan
adalah dengan harta ialah keperluan daruri bagi manusia adalah harta sekadar memenuhi
keperluan yang asas seperti tempat perlindungan iaitu rumah dan makanan.
Dari segi aspek suruhan iaitu galakan jual beli secara halal. Jual beli secara halal
bermaksud jual beli mengikut syarak contohnya bersikap jujur dalam timbangan. Kemudian,
dari aspek suruhan yang lain adalah kewajipan mengeluarkan zakat bagi yang
berkemampuan. Contoh dalil kewajipan mengeluarkan zakat terdapat dalam surah al-
Baqarah ayat 43 yang bermaksud: “Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat
dan rukuklah kamu semua bersama-sama orang yang rukuk.”

Ibadah zakat ini merupakan ibadah yang berkaitan dengan hak Allah serta hak
hamba. Terdapat banyak faedah jika seseorang tersebut mengeluarkan zakat antaranya
adalah apabila kita mengeluarkan zakat bererti kita telah menjalankan salah satu kewajipan
sebagai seorang hamba di muka bumi Allah. Bukan itu sahaja, secara tidak langsung
dengan mengerjakan zakat kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Sudah terang lagi
bersuluh, sebagai umat Islam kita perlulah mengeluarkan zakat bagi yang berkemampuan.

Seterusnya, menurut aspek larangan pula iaitu pengharaman riba, rasuah,


memakan harta anak yatim dan mencuri (Nasif Sidquee Pauzi et al., 2020). Dalam surah al-
Baqarah potongan ayat 275 yang bermaksud: “Allah menghalalkan jual beli dan
mengharamkan riba.”

Definisi riba menurut Islam dari segi bahasa adalah ziyadah yang bermaksud
tambahan (Muhammad Tho’in, 2016). Riba juga adalah melebihkan keuntungan (harta) dari
salah satu pihak dalam transaksi jual beli atau pertukaran barang yang sejenis tanpa
memberikan apa-apa alasan terhadap penambahan tersebut (Muhammad Tho’in, 2016).
Oleh yang demikian, sebagai umat Islam perlulah menjauhi daripada perkara-perkara yang
dilarang oleh Allah supaya hidup kita sentiasa diberkati oleh Allah.

3.0 MASLAHAH HAJIYYAT

3.1 DEFINISI MASLAHAH HAJIYYAT

Maslahah Hajiyyat merupakan maslahah kedua yang dianggap sebagai keperluan


manusia. Maslahah Hajiyyat ialah segala yang diperlukan oleh manusia untuk mengelakkan
masyaqqah yakni kesukaran dan menghapuskan kesulitan (Mohd Noor Deris, 1993). Tanpa
maslahah ini, manusia masih boleh meneruskan hidup akan tetapi berhadapan dengan
sedikit kesusahan dan kelambatan dalam rutin harian. Jika maslahah ini diabaikan,
kehidupan manusia akan berhadapan dengan kepayahan kerana tidak adanya kemudahan
bagi manusia untuk menjalani kehidupan mereka.

Allah telah berfirman di dalam surah Al Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Allah
menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung
kesukaran”. Jelas disini bahawa Allah tidak mahu manusia berhadapan dengan kesukaran
kerana terdapat kemudahan yang sepatutnya dilakukan dan tidak mengundang apa apa
kesan yang buruk. Maka, maslahah al-hajiyyat hukumnya adalah harus (Noor Naemah
Abdul Rahman, 2018). Ini kerana berdasarkan firman Allah yang tidak menghendaki
manusia berhadapan dengan kerumitan.

Maslahah Hajiyyat perlu diutamakan dari maslahah Tahsiniyyat yang merupakan


maslahah ketiga. Akan tetapi, maslahah Dharuriyyat perlulah diutamakan kerana tanpanya
ia akan menghapuskan sistem kehidupan dan agama. Para ulama’ usul telah membuat
ketetapan bahawa al-maslahah al-daruriyyat mestilah diutamakan dari al-maslahah al-
hajiyyat dengan alasan bahawa al-maslahah al-daruriyyat jika tidak dilaksanakan akan
membawa kepada kecacatan hidup di dunia serta hilang nikmat di akhirat sedangkan
membelakangi al-maslahah al-hajiyyat tidak menyebabkan kecacatan sistem kehidupan
(Noor Naemah Abdul Rahman, 2018).

3.2 CONTOH MASLAHAH HAJIYYAT

Imam al-Syatibi menyebut beberapa contoh maqasid hajiyyat yang terdapat dalam
ibadat, muamalat dan jenayah. Al-Syatibi adalah seorang ulama dari mazhab Maliki yang
mengambil kira al-maslahah tanpa dibatasi oleh syarat yang ketat (Noor Naemah Abdul
Rahman, 2018). Maka dengan itu, pandangan al-Syatibi adalah relevan untuk diterapkan
dalam menangani masalah al-maslahah (Noor Naemah Abdul Rahman, 2018).

3.2.1 Ibadah

Dari sudut ibadah, undang undang islam telah memperuntukkan beberapa rukhsah
yang memberikan keringanan kepada manusia. Sebagai contohnya, dibenarkan berbuka
puasa kepada orang yang sakit dan musafir, diberi keringanan sembahyang qasar dan
jamak kepada orang yang bermusafir, dibenarkan menunaikan solat dalam keadaan duduk
bagi orang yang tidak mampu berdiri dan sebagainya yang bertujuan untuk menghindar
masyaqqah yakni kesukaran (Mohd Noor Deris, 1993). Umat Islam dibenarkan untuk
melaksanakan rukhsah ini apabila mereka berada dalam keadaan tersebut. Ini kerana,
rukhsah ini memberikan keringanan dan mengelakkan kesusahan.

3.2.2 Muamalat

Selain itu, dalam segi muamalat, umat Islam dibenarkan membuat pinjaman modal
untuk membuka sesuatu perniagaan. Sebagai contoh, seseorang itu hendak membuat suatu
perniagaan. Akan tetapi, dia tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk membina
sebuah perniagaan itu. Maka, dia dibenarkan untuk membuat pinjaman modal. Selain itu,
bercucuk tanam juga adalah bertujuan untuk menyara kehidupan manusia demi
mengelakkan kesusahan di kemudian hari. Jadi, umat Islam boleh bercucuk tanam untuk
mencari rezeki.

3.2.3 Jenayah

Seterusnya, dari sudut jenayah, seperti adanya maaf untuk membatalkan qisas bagi
pembunuh, akan diganti dengan membayar diat yakni denda ataupun tanpa diat sama sekali
(Salma, 2016). Islam memberikan hak kepada waris mangsa untuk membunuh balas yakni
qisas dan membantu di antara keluarga pembunuh dengan menanggung diat (Noor Naemah
Abdul rahman, 2018). Berdasarkan firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 178 yang
membawa maksud “Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari
saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu)
mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah
menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah
suatu keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang
melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab siksa yang tidak
terperi sakitnya.” Islam juga menolak hudud disebabkan oleh wujudnya syubhah iaitu
keraguan dan kesamaran yang terdapat kepada yang tertuduh.

3.2.4 Adat

Di dalam sudut adat pula ialah diharuskan berburu dan menikmati rezeki yang halal
sama ada dalam bentuk makanan, pakaian dan tempat kediaman (Noor Naemah Abdul
Rahman, 2018). Ini kerana, berburu bertujuan menyara hidup untuk menolak kelaparan dan
memakan rezeki yang halal. Pakaian pula bertujuan untuk memberi keselesaan kepada
manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Akhir sekali, kenderaan juga memudahkan
manusia bergerak dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain dengan mudah dan cepat.

4.0 MASLAHAH TAHSINIYYAT

4.1 DEFINISI MASLAHAH TAHSINIYYAT

Al-Tahsiniyyat ini berasal daripada perkataan hasana (‫ )حسن‬yang bermaksud baik


(Sheikh Othman Sheikh Salim, 1992). Maka maksud al-Tahsiniyyah ini boleh disimpulkan
sebagai pembaikan. Selain itu, ia juga sinonim dengan perkataan penyempurnaan dan
menghiaskan (Sheikh Othman Sheikh Salim, 1992). Perkataan ini banyak merujuk kepada
aspek akhlak disamping ia juga digunakan dalam aspek muamalat dan adat (Abu Hamid,
1322). Contohnya seperti memperelokkan pemakaian dalam solat, berwangi-wangian dan
sebagainya.
Selain itu, maslahah tahsiniyyat pula ialah kemaslahatan dari aspek adat dan
kesempurnaan akhlak. Di samping itu, maslahah tahsiniyyat juga merupakan perkara-
perkara pelengkap kepada kehidupan yang menjadikan kehidupan manusia berada dalam
keadaan adab yang cukup tinggi dan mempunyai akhlak yang baik serta berpekerti mulia
iaitu dengan mengambil perkara-perkara yang baik-baik daripada kehidupan dan
meninggalkan benda-benda yang kotor atau tidak baik yang tidak diterima oleh akal yang
baik (Abu Hamid, 1322).

Tambahan lagi, maslahah tahsiniyyat ini diperlukan sebagai kesempurnaan untuk


menjaga kehormatan hidup manusia yang melibatkan kemuliaan akhlak dan adat yang baik
serta meninggalkan keadaan yang buruk menurut akal yang waras (Asmadi Bin Mohamed
Naim, 2016). Jika maslahah ini tidak tercapai, kehidupan manusia boleh diteruskan dan
tidak mengalami kesulitan. Tetapi, mereka ini dipandang telah menyalahi nilai-nilai agama
dan tidak mencapai taraf hidup yang bermartabat. Sebagai contoh, menutup aurat,
bersopan-santun, beradab ketika makan dan minum serta lain-lain lagi yang bertujuan
menjadikan kehidupan manusia menjadi lebih baik (Asmadi Bin Mohamed Naim, 2016).
Semua itu diperlukan bagi menjamin kelancaran hidup seseorang manusia dan masyarakat.

4.2 PANDANGAN IMAM AL-GHAZALI DAN IMAM AL-SYATIBI TERHADAP


MASLAHAH TAHSINIYYAT

4.2.1 Imam Al-Ghazali

Nama sebenar beliau adalah  Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Thusi
manakala Al-Ghazali pula dinisbahkan kepada sebuah tempat kelahirannya yang bernama
Ghazalah (Asy-Syami, Shaleh Ahmad, 2004). Selain itu, beliau turut digelar sebagai Abu
Hamid , Zainuddin, Hujjatul Islam dan sebagainya. Imam Al-Ghazali adalah seorang ulama
yang menguasai banyak cabang ilmu seperti falsafah, hisab, bahasa,ilmu usul, ilmu fiqh, al-
quran, logik dan sebagainya (Asy-Syami, Shaleh Ahmad, 2004). Antara penulisan beliau
adalah seperti al-Mustasyfa min ilm usul, Shifa al-Ghalil, asas al Qiyas, Ihya’ Ulumiddin,
Bidayah al-Hidayah(Asy-Syami, Shaleh Ahmad, 2004). Beliau adalah seorang ulama yang
bermazhab Syafi’e. beliau lahir pada tahun 450H (1058M) dan meninggal pada tahun 505H
(1111M) (Asy-Syami, Shaleh Ahmad, 2004).

Menurut Imam Al-Ghazali, maslahah terbahagi kepada tiga peringkat iaitu maslahah
Dharuriyyat, Hajiyyat dan Tahsiniyyat. Selain itu beliau juga berpendapat bahawa maslahah
Tahsiniyyah ini ditakrifkan sebagai maslahah yang diperlukan oleh manusia untuk
menambahkan kemudahan dan kesenangan dalam hidup mereka iaitu perkara yang akan
memberikan kebaikan kepada manusia jika dia melakukannya (Azhar Bin Alias, 2008).
Selain itu, menurutnya lagi, maslahah Tahsiniyyat adalah peringkat memberbaikkan,
memperindahkan serta mempermudahkan suatu keadaan supaya mendatangkan nilai
tambah, samada dalam urusan harian ataupun muamalat (Azhar Bin Alias 2008).
Ketiadaannya akan membawa kepada kehidupan yang keji pada pandangan orang yang
berakal (Azhar Bin Alias, 2008) sebagai contoh, sebagai umat Islam kita wajib memakai
pakaian yang baik iaitu pakaiaan yang suci dan bersih ketika hendak menunaikan solat.
Oleh itu, jika kita memakai pakaian yang tidak sepatutnya maka kita akan dipandang telah
mengingkari perintah Allah.

4.2.2 Imam Al-Syatibi

Nama sebenar Imam Al-Syatibi adalah Ibrahim bin Musa bin Muhammad al-Shatibi al-
Gharnati (Asy-Syami, Shaleh Ahmad, 2004). Imam Al-Syatibi mendapat gelaran Abu Ishaq
berdasarkan kuniyah anak sulungnya (Asy-Syami, Shaleh Ahmad, 2004). Al-Syatibi pula
dinisbahkan kepada tempat kelahirannya. Beliau dikenali ramai sebagai penyusun kepada
ilmu maqasid al-syariah dan beliau mahir dalam selok belok bahasa arab. Antara karya
penulisannya ialah seperti al-Muafaqat fi usul al-Syariah, al-I’tisam min al-Kutub, Kitab al-
Majalis dan sebagainya (Asy-Syami, Shaleh Ahmad, 2004). Beliau adalah seorang ulama
yang bermazhab Maliki. Beliau dilahirkan pada tahun 538H dan meninggal dunia pada tahun
790H (Asy-Syami, Shaleh Ahmad, 2004).

Bagi maslahah tahsiniyyat, Imam al-Syatibi telah memberikan satu definisi terhadap
Al-Tahsiniyyah yang mana definisi ini menjadi sangat terkenal dikalangan para ilmuan Islam
semasa. Imam al-Syatini mentakrifkan maslahah ini sebagai : “Adapun yang dimaksudkan
dengan tahsiniyyah adalah suatu cara mengambil tindakan yang sesuai dengan adat-adat
yang baik, menjauhi akhlak yang keji yang akan melemahkan akal yang waras dan
terkumpul di dalamnya adalah segala bentuk akhlak yang mulia.” (Al-Syatibi, 1975)

Berdasarkan definisi tersebut, didapati bahawa Imam al-Syatibi memberikan definisi


yang agak umum. Hal ini kerana, Tahsiniyyah diwujudkan pada aspek hukum yang bersifat
pilihan (fakultatif)(Azhar Bin Alias, 2008). Ia bukanlah dalam pengertian mendesak iaitu
apabila tidak melaksanakannya tidaklah memberikan kerugian kepada maslahah Daruriyyah
atau Hajiyyah, namun perbuatan itu memberi nilai tambah bagi sifat syariah secara umum
(Azhar Bin Alias 2008) seperti suruhan bersedekah kepada fakir miskin, suruhan
memerdekakan budak dan sebagainya.

Selain itu, Imam al-Syatibi menjelaskan juga bahawa maslahah Tahsiniyyat ini
adalah pelengkap kepada hajiyyat dan begitu juga hajiyyat adalah pelengkap kepada
Dharuriyyat iaitu ketiga-tiga maslahah ini saling melengkapi antara satu sama lain.
Tambahnya lagi maslahah Dharuriyyat adalah asal kepada maslahah Hajiyyat mahupun
Tahsiniyyat (Azhar Bin Alias, 2008). Ini bermaksud setiap peringkat maslahah ini
mempunyai pertalian dan saling melengkapi diantara satu sama lain (Hasbullah Bin Mat
Daud, (2011).

4.3 CONTOH-CONTOH MASLAHAH TAHSINIYYAT

4.3.1 Ibadah
 Dari sudut ibadah, Islam mensyariatkan bersuci dan menutup aurat di dalam solat iaitu
memakai telekung dengan sempurna. Kita juga perlu memakai bau-bauan semasa berada di
dalam masjid dan di tempat perhimpunan orang ramai (Mohd Noor Bin Deris 1993). Selain
itu, kita perlu sentiasa mendekatkan diri kepada Allah iaitu dengan melakukan amalan sunat
seperti berzikir dan membuat kebajikan seperti memberi bantuan dan bersedekah kepada
golongan yang memerlukan seperti fakir miskin.

4.3.2 Adat dan Tabiat


Seterusnya, dari sudut adat dan tabiat pula Islam mengajar kita berkenaan adab-adab
makan dan minum (Mohd Noor Bin Deris, 1993) iaitu kita mestilah makan dengan tangan
kanan, membaca doa sebelum makan dan sebagainya. Di samping itu, kita juga diharamkan
untuk memakan makanan yang keji dan kotor seperti memakan bangkai dan najis
sebagaimana Islam melarang melampaui batas dalam makan dan minum dan sebagainya
(Mohd Noor Bin Deris, 1993). Hal ini kerana perkara tersebut akan memberikan
kemudharatan dan menjejaskan kesihatan manusia iaitu manusia akan mudah untuk jatuh
sakit. Kita juga perlu mengelakkan pembaziran iaitu kita haruslah membeli mengikut
kemampuan dan membeli barang-barang yang perlu sahaja. Janganlah kita mengikut hawa
nafsu dan kehendak semata-mata yang akan menyebabkan berlakunya pembaziran ketika
membuat pembelian. Hal ini kerana membazir itu adalah amalan syaitan seperti mana
firman Allah dalam surah Al-Isra’ iaitu :

‫ان ال َّش ْي َطانُ ل َِر ِّب ِه َكفُورً ا‬ َ ‫إِنَّ ْال ُم َب ِّذ ِر‬
َ ‫ين َكا ُنوا إِ ْخ َو‬
ِ ِ‫ان ال َّشيَاط‬
َ ‫ين ۖ َو َك‬
"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang
Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya"

)Surah Al-Isra’ : 27(

4.3.3 Muamalat
Dalam urusan muamalat, urusan jual beli benda yang kotor sangat ditegah oleh agama
Islam (Mohd Noor Bin Deris, 1993). Hal ini adalah kerana Islam telah mengharamkan
segala urusan jual beli yang mendatangkan kesan negatif seperti penjualan dadah,
najis,bangkai dan perkara-perkara lain yang berkaitan (Mufti W.P). Di samping itu, seperti
mana yang kita ketahui, Islam sangat menggalakkan aktiviti perniagaan kerana aktiviti
perniagaan ini dianggap sebagai punca rezeki yang paling banyak. Oleh itu, sebagai umat
Islam, kita haruslah melaksanakan aktiviti perniagaan dengan jujur dan amanah iaitu
sebagai penjual mereka haruslah bertanggungjawab terhadap barangan yang hendak dijual
iaitu menjual makanan yang bersih dan halal sahaja manakala pembeli juga haruslah bijak
dalam membuat pilihan iaitu sentiasa berhati-hati ketika hendak membeli sesuatu barangan
terutamanya yang melibatkan makanan dan minuman.

4.3.4 Jenayah

Seterusnya dari sudut jenayah pula ialah larangan menghukum bunuh orang merdeka
dengan sebab membunuh hamba abdi dan larangan membunuh wanita, kanak-kanak dan
ahli ibadat dalam peperangan (Mohd Noor Bin Deris, 1993). Hal ini bertepatan dengan hadis
Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Dari Abdullah bin Umar, ia berkata “Aku mendapati
seorang wanita telah terbunuh dalam satu peperangan bersama Rasulullah. Kemudian,
baginda melarang membunuh kaum wanita dan kanak-kanak dalam peperangan”.
(HR.Bukhari No. 3015)

Berdasarkan hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa rasulullah melarang


membunuh wanita dan kanak-kanak kerana mereka ini golongan yang lemah dan tidak
mampu untuk melawan musuh ketika perperangan.

5.0 KERANGKA MAQASID SYARIAH

5.1 TUJUAN UMUM DAN KHUSUS

5.1.1 Maqasid Al-Ammah

Maqasid Al-Ammah ini bermaksud tujuan syarak yang bersifat umum iaitu untuk
menjaga keamanan dan keharmonian manusia (Nora’inan Binti Bahari et al, 2018)
antaranya ialah menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta yang semuanya bersifat
daruriyyah iaitu keperluan asas. Maqasid umum ini menggambarkan ciri-ciri Islam yang luas
dan komprehensif ataupun menyeluruh(Muhammad Hashim Bin Kamali, 2006) iaitu
pencegahan perkara yang memberikan kemudharatan yang diaplikasikan dalam semua
perkara dan aspek.

5.1.2 Maqasid Al-Khassah


Maqasid Al-Khassah pula ialah cara-cara yang dimaksudkan oleh syariat, sama ada
untuk mencapai maksud-maksud yang memberikan manfaat kepada manusia, atau untuk
memelihara kepentingan umum mereka pada urusan-urusan sesama mereka(Nora’inan
Binti Bahari et al, 2018). Al-Raysuni mengatakan bahawa maksud yang khusus ini ialah
matlamat yang mahu dihasilkan oleh syariat Islam pada setiap satu bab yang tertentu dalam
persoalan hukum fekah (Nora’inan Binti Bahari et al, 2018) . Sebagai contoh, tujuan syarak
pada pensyariatan perkahwinan ialah supaya tidak berlakunya kepupusan anak-anak Adam
dan ketidaktentuan keturunan.

5.2 TUJUAN SYARAK DAN MAKHLUK

5.2.1 Maqasid Al-Khassah

Seterusnya, maqasid Al-Syar’i pula ialah tujuan syarak yang menjadi maqasid utama
dalam pensyariatan hukum yang bertujuan untuk menjaga maṣlaḥah demi keselamatan dan
kebajikan manusia di dunia dan akhirat. Selain itu terdapat tiga tujuan syarak yang perlu kita
ketahui antaranya ialah wahyu hendaklah difahami sebagaimana orang Arab memahaminya
semasa penurunannya, syariat diturunkan di bawah kemampuan manusia dan sebagai
tanda ketaatan kepada Allah SWT (Nora’inan Binti Bahari et al, 2018).

5.2.2 Maqasid Al-Mukallaf

Maqasid Al-Mukallaf ditakrifkan sebagai maksud dan niat manusia iaitu dalam bentuk
perkataan, amalan dan pelbagai tindakan yang memenuhi tiga syarat iaitu menepati
kehendak syarak, mengambil-kira `illah yang diketahui dan mengikut sunnah serta menjauhi
bid`ah (Nora’inan Binti Bahari et al, 2018). Ketiga-tiga perkara inilah yang membezakan
antara sah, fasid dan batil. Hal ini bagi menentukan dosa, pahala dan pembalasan
(Nora’inan Binti Bahari et al, 2018). Sebagai contoh, sesiapa yang melakukan ibadat tanpa
niat maka amalannya menjadi fasid dan batil.

5.3 TUJUAN ASAL DAN MENDATANG

5.3.1 Al Maqasid Al Asliyyah

Maqasid Al Asliyyah merupakan tujuan asal dan asas sesuatu. Ia juga disebut
maqasid asasiyyah atau ra’isiyyah atau tujuan asasi iaitu maqasid yang dimaksudkan oleh
Allah sejak dari asal mula kejadian manusia, juga menjadi asas tujuan undang-undang
Syariah dalam menilai tingkah laku dan perlakuan manusia (Nora`inan Bahari,2018).
Sebagai contoh, tujuan asal perkahwinan adalah untuk mengembangkan generasi manusia
supaya tidak terhenti di suatu generasi sahaja. Selain itu, tujuan pendidikan adalah untuk
mempelajari ilmu demi mengelakkan diri dari kesesatan dan untuk mengenal Tuhan dan
memahami tentang kewujudannya.

5.3.2 Al Maqasid Al Tab’iyyah

Maqasid Al Tab’iyyah ialah merupakan sokongan kepada maqasid al asasiyyah iaitu


tujuan asal di sebalik tujuan utama. Sebagai contoh, tujuan perkahwinan adalah untuk
mengenali seseorang dengan lebih mendalam dan untuk mengelakkan zina terjadi.
Seterusnya, tujuan sampingan pendidikan ialah bagi mendapatkan kelayakan akademik,
kepuasan individu dan pemurnian dalam tindakan dan ucapan seseorang (Nora`inan Bahari,
2018). Ia juga untuk melihat kebijaksanaan seseorang dalam melaksanakan sesuatu
perkara. Oleh itu tujuan sampingan ini berfungsi untuk melengkapkan dan menyokong
tujuan utama (Al-Khadami, 2003).

5.4 ASPEK KEPENTINGAN

5.4.1 Maqasid Dharuriyyat

Maqasid Dharuriyyat mestilah ditegakkan demi maslahah agama dan dunia. Ini
kerana, tanpa maslahah ini, ia boleh menghapuskan sistem kehidupan dan agama tetapi
dengan adalanya maslahah dharuriyyat, sistem kehidupan dan agama akan dilaksanakan
dan tidak mempunyai kecacatan sistem kehidupan. Para ulama dan ahli usul
mengistilahkannya dengan kulliyyat al-khams iaitu menjaga agama, diri, akal, keturunan dan
harta (Al-Khadami, 2003).

5.4.2 Maqasid Hajiyyat

Maqasid Hajiyyat adalah diperlukan dan dikehendaki oleh manusia juga dinamakan
dengan masalih hajiyyat (Nora`inan Bahari, 2018). Tanpanya, manusia masih boleh
teruskan hidup tetapi berhadapan dengan sedikit kesusahan. Sebagai contoh, jual beli,
tanaman, pinjaman modal dan pakaian.

5.4.3 Maqasid Tahsiniyyat

Maqasid Tahsiniyyat disebut juga maqasid kamaliyah iaitu maslahah yang


menempati tempat penambahbaikan dan perhiasan juga memperbaiki hal ehwal manusia
dan ummah, dalam bentuk meraikan manhaj terbaik dan merealisasikan sebaik-baik
sistemnya dalam segala aspek kehidupan (Nora`inan Bahari, 2018). Ia juga termasuk dalam
urusan adat dan muamalat (Al-Khadami, 2003) seperti makan dan minum juga menegah
daripada jual beli perkara yang kotor.
6.0 KEPENTINGAN MAQASID SYARIAH

Memahami dan menghayati maqasid syariah merupakan antara salah satu perkara
penting dalam kehidupan manusia. Antara kepentingan maqasid syariah ialah:-

6.1 MERUPAKAN KEPERLUAN ASAS DALAM PEMBENTUKAN FATWA

Pemahaman mengenai maqasid syariah merupakan antara keperluan asas yang


diperlukan oleh mana-mana pihak yang terlibat dengan pembentukan fatwa terutamanya
mufti-mufti. Hal ini adalah untuk memastikan mufti dapat menentukan secara tepat
mengenai pertimbangan maslahah dan mafsadah dalam setiap keputusan fatwa bagi
memastikan jawapan hukum yang dipilih adalah bertepatan dengan kehidupan masyarakat
iaitu untuk menjamin kebaikan dan menjauhi kemudaratan (Hassan Hj Ahmad, 1999).
Seperti yang kita tahu kepentingan daruriyyat terdapat lima perkara yang perlu diberi
perhatian iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta. Oleh itu, seorang mufti
seharusnya mengambil kira kelima-lima kepentingan tersebut dalam memutuskan sesuatu
fatwa. Lebih-lebih lagi bila ia berkaitan dengan persoalan yang melibatkan kepentingan umat
Islam pada masa kini (Mohd Faez Bin Mohd Shah, 2014). Penjagaan lima kepentingan
daruriyyat merupakan syarat utama bagi memastikan penentuan fatwa dibuat berasaskan
dengan mengambil kira prinsip maqasid tersebut (Mohd Faez Bin Mohd Shah, 2014).

6.2 KEHIDUPAN MANUSIA AKAN BERADA DALAM KEADAAN AMAN DAN DAMAI

Dengan mempelajari konsep maqasid syariah kita akan lebih memahami setiap
hukum atau fatwa yang dikeluarkan oleh mufti. Hal ini adalah kerana, dengan adanya ilmu
maqasid syariah kita akan mengetahui setiap fatwa yang dikeluarkan oleh mufti adalah
untuk menjaga kemaslahatan kita sebagai umat manusia kerana tujuan utama maqasid
syariah adalah untuk menjamin kemaslahatan dan juga menolak keburukan. Oleh itu,
masyarakat tidak akan saling mempersoalkan setiap fatwa yang dikeluarkan oleh mufti.
Dengan ini tidak akan timbulnya percanggahan atau pertelagahan sesama masyarakat
kerana semua saling memahami konsep dan juga prinsip maqasid syariah. Bukan itu
sahaja, dengan mempelajari ilmu maqasid syariah juga masyarakat mampu untuk
melakukan perbandingan keutamaan. Sebagai contoh keutamaan mana yang perlu
didahului dan diberi perhatian. Seperti yang kita tahu keutamaan yang perlu diutamakan
adalah lima kepentingan maslahah daruriyyat iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan juga
harta. Oleh itu, masyarakat akan lebih menjaga keutamaan tersebut seperti menjaga agama
dengan tidak menyekutukan Allah dan juga tidak mempersendakan agama Islam.

6.3 TIDAK AKAN ADA YANG MELANGGAR PERINTAH ALLAH S.W.T

Manusia tidak akan melanggar perintah Allah S.W.T jika mereka menghayati ilmu
maqasid syariah. Hal ini adalah kerana, kita mengetahui betapa sempurnanya hukum Allah
S.W.T dengan mempelajari maqasid syariah. Apabila kita mengetahui betapa sempurnanya
sesuatu hukum Allah S.W.T itu, umat manusia yang melanggar perintah Allah S.W.T juga
akan berkurang kerana kita mengetahui apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu
ditinggalkan. Bukan itu sahaja, malah dengan mempelajari maqasid syariah juga kita
mengetahui bahawa setiap perbuatan dan perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T adalah
untuk kebaikan umat manusia itu sendiri. Sebagai contoh amalan riba. Riba merupakan
salah satu daripada perkara yang dilarang dalam Islam dan perbuatannya merupakan dosa
besar yang perlu dielakkan oleh umat Islam (Azman Mohd Noor et. al, 2016). Perkara ini
juga sudah dinyatakan di dalam Al-Quran surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud: “Dan
Allah S.W.T telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”. Oleh itu, jelaslah disini
bahawa perbuatan riba ini seharusnya dielakkan kerana perbuatan riba ini hanya
menguntungkan sebelah pihak sahaja malah sebelah pihak lagi akan mendapat
kemudaratan kerana adanya unsur riba dalam jual beli.

Maka, jelaslah disini bahawa maqasid syariah adalah perkara penting yang perlu
dipelajarai dan dihayati oleh umat Islam kerana ia merupakan satu keutamaan dalam
kehidupan seharian kita. Dengan ini, manusia dapat menjalani kehidupan seharian mereka
dengan aman tanpa ada sebarang masalah yang boleh membawa kepada kemudaratan.
7.0 KESIMPULAN

Kesimpulan yang dapat disimpulkan adalah maqasid syariah merupakan antara


salah satu perkara yang penting untuk dipelajari kerana ia merupakan antara perkara yang
dapat menjamin kemaslahatan kita sebagai umat manusia di muka bumi ini terutamanya
kepada umat Islam. Bukan itu sahaja, malah ia juga jelas menunjukkan bahawa setiap
hukum syarak yang ditetapkan itu adalah bertujuan untuk memelihara kemaslahatan
manusia sama ada di dunia dan juga di akhirat. Sebagai seorang umat Islam, kita
seharusnya menjaga lima kepentingan daruriyyat iaitu menjaga agama, nyawa, akal,
keturunan dan juga harta kerana ia merupakan antara perkara asas dalam kehidupan
seharian. Di samping itu, untuk menjalani sebuah kehidupan yang aman dan damai kita
mestilah memenuhi ketiga-tiga maslahah di atas iaitu maslahah daruriyyat, maslahah
hajiyyat dan juga maslahah tahsiniyyat.

Seterusnya, kita juga dapat mengetahui bahawa Syariah Islam merupakan


perundangan yang lengkap, adil, menyeluruh dan merangkumi seluruh aspek yang
bersangkutan dengan kepentingan manusia. Antara contohnya adalah dari segi jual beli kita
tidak boleh mengamalkan amalan riba. Selain itu, untuk makanan dan minuman kita tidak
boleh memakan makanan dan juga minuman yang haram seperti arak dan juga khinzir yang
sudah dinyatakan keharamannya di dalam Al-Quran. Bukan itu sahaja, malah dengan
memahami konsep maqasid syariah kita akan mengetahui bahawa setiap hukum atau fatwa
yang dikeluarkan itu adalah benar kerana pertimbangan tersebut adalah berlandaskan Al-
Quran dan As-sunnah supaya hukum tersebut tidak lari atau bercanggah dengan syariat
Islam yang sudah ditetapkan.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa maqasid syariah adalah amat penting
terutamanya kepada mufti-mufti dalam menyatakan sesuatu hukum dan juga mengeluarkan
fatwa. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghayati dan mempelajari konsep dan prinsip
maqasid syariah agar kita mengetahui sebab setiap hukum atau fatwa yang telah
dikeluarkan oleh mufti-mufti itu. Bukan itu sahaja, malah kita juga dapat menjamin kebaikan
di dunia dan juga di akhirat kelak.
8.0 RUJUKAN

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Maqasid Syariah. Retrieved from


https://www.mais.gov.my/maqasid-syariah/
Yusuf ‘Ahmad Muhammad al-Badwi (Dr.)(2000), Maqasid al-Shariah ‘Inda Taymiyyah, c. 1,
Jordan: Dar al-Nafa’is
Muhammad Akram Laldin, Mahmud, M. W., Sawari, M. F., & Fuad, M. (2008). Maqasid
syariah dalam pelaksanaan waqaf. Jurnal Pengurusan Jawhar, 2(2), 1-24.
Hassan Hj Ahmad. (1999). “Maqasid Syariah: Konsep Dan Pengaruhnya Dalam
Pembentukan Hukum”, dalam Hukum Islam Semasa Bagi Masyarakat Islam Yang
Membangun ed. Abdul Karim Ali dan Raihanah Hj Azahari (Kuala Lumpur: Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya).
Mohd Faez Bin Mohd Shah, & Noor Naemah Bt Abdul Rahman (2014). Kepentingan kaedah
penyelidikan moden dalam fatwa semasa. Journal of Fatwa Management and
Research, 4(1), 67-90
Azman Mohd Noor, Muhamad Nasir Haron & Muhammad Nazir Alias. (2016). Kepentingan
Memahami Maqasid Syariah Dalam Pembangunan Ekonomi Negara.

Nasif Sidquee Pauzi et al.(2020).Prinisip Asas Islam: Penerbit UiTM Cawangan Negeri
Sembilan.
Adinugraha, H. H., & Mashudi, M. (2018). Al-Maslahah al-mursalah dalam penentuan hukum
Islam. Jurnal Ilmiah Ekonomi Islam, 4(01), 63-75.

Hassan Mydin, S. A. (n.d.). WLA 104/03 Pengajian Islam. Wawasan Open University.
https://pengajianislam.pressbooks.com/chapter/keperluan-daruriyyah/

Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2017, https://prpm.dbp.gov.my/

Muhammad Tho’in (2016). Larangan Riba Dalam Teks Dan Konteks (Studi Atas Hadits
Riwayat Muslim Tentang Pelaknatan Riba). Jurnal Ilmiah Ekonomi Islam, 2(02).

Sheikh Othman Sheikh Salim, (1992). Kamus Dewan Edisi Baru, Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka, Hlm 890

Abu Hamid, (1322). Al-Mustasyfa mi ilm al-Usul, Mesir : Tba’ah al-Amiriyyah , jilid 1 , hlm
290

Prof Madya Dr Asmadi Bin Mohamed Naim.(2016). Memahami Kerangka Maqasid Al-
Syariah Dalam Kewangan Dan Pelaburan. Dalam: Seminar “Pasaran Modal Islam
Malaysia 2016”. Oktober 2016, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dengan
Kerjasama Bursa Malaysia.
Asy-Syami, Shaleh Ahmad,(2004). Biografi Imam al-Ghazali dan Imam Al-Syatibi. Arifin
Ladari (ter), c.1. Kuala Lumpur: Jasmin Enterpraise, Hlm. 15

Mohd Noor Bin Deris (1993). Susunan Keutamaan Maslahah Dan Fungsinya Dalam
Perundangan Islam. Jurnal Syariah, 1(2), 174-181.

Azhar Bin Alias. (2008). Usul fiqh sebagai metod penyelidikan syariah. REKAYASA–Journal
of Ethics, Legal and Governance, 4, 53-68.

Luqman Tarmizi. (2019, Februari 08). Irsyad Usul Fiqh siri ke-33 :Pendahuluan Kepada Ilmu
Mawasid Syariah. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.Diakses daripada
https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-usul-fiqh/3099-irsyad-usul-al-fiqh-33-
pendahuluan-kepada-ilmu-maqasid-syariah

Al-Syatibi, Ibrahim Ibn Musa, (1975). Al-Muafaqat,Jil 2, Mesir : al-Maktabah al-Tijariyah al-
Kubra, Hlm. 11
Muhammad Hashim Kamali. 2006. An Introduction To Syariah. Selangor: Ilmiah Publishers

Al-Raysuni, Ahmad. 1995M/1416H. Nazariyyah al-Maqasid `inda al-Imam al-Shatibi. c. 4.


Herndon: al-Ma`had al-`Alami li al-Fikr al-Islami.

Nora’inan Binti Bahari et al.(2018) Kerangka Penggunaan Maqasid Shari’ah Dalam Hukum
Muamalat. Jurnal Sultan Alauddin Shah, vol.5(1), 74-80.

Muhammad Hashim Bin Kamali. 2006. An Introduction To Syariah. Selangor: Ilmiah


Publishers

Hasbullah Bin Mat Daud, (2011), “Tiori Maqasid al-Syari’ah: Kajian Perbandingan Antara
Pemikiran al-Syatibi dan ‘Izz al-Din Ibn ‘Abd al-Salam”(Tesis Sarjana, Jabatan Fiqh
Dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya), Hlm. ii

Mohd Noor Bin Deris, M. N. (1993). SUSUNAN KEUTAMAAN MASLAHAH DAN


FUNGSINYA DALAM PERUNDANGAN ISLAM. Jurnal Syariah, 1(2), 174-181.
Noor Naemah Binti Abdul Rahman, N. N. A., Ramli, M. A., Mohd, S. M. S. B. S., & Rosale,
M. I. (2018). Relevansi Teori Al-Maslahah Menurut al-Syatibi Dalam Menangani Isu
Probatan Masa Kini. Al-Risalah, 13(01), 47-64.
Salma, S. (2016). Maslahah dalam Perspektif Hukiim Islam. Jurnal Ilmiah Al-Syir'ah, 10(2).
Al-Khadami, Nur al-Din Mukhtar. 2003M/1424H. al-Maqaṣid al-Shar`iyyah (Ta`rifuha,
Amthilatuha, Hujjiyyatuha). Riyadh: Kunuz Ashbiliya

You might also like