You are on page 1of 3

SIARAN MEDIA

JABATAN SIASATAN JENAYAH KOMERSIL


POLIS DIRAJA MALAYSIA
BUKIT AMAN

Telefon : 03-26101222 Faks : 03-26101000

MACAU SCAM – PENIPUAN MELALUI TELEFON

Sejak kebelakangan ini, kes penipuan melalui panggilan telefon atau dikenali
sebagai ‘Macau Scam’ telah kembali mendapat perhatian. Jabatan Siasatan Jenayah
Komersil telah menerima banyak panggilan daripada orang ramai bagi mendapatkan
pengesahan atau membuat pertanyaan berkenaan panggilan yang mereka terima.
Berdasarkan rekod jabatan ini, daripada Januari hingga Ogos 2017, sejumlah 694 kes
sebegini telah disiasat melibatkan kerugian RM 21.4 juta. Sehingga kini, pelbagai usaha
dan operasi berterusan sedang dilaksanakan pihak Polis dalam usaha mengekang
kegiatan penipuan ini.

Berdasarkan aduan dan siasatan yang dijalankan, berikut adalah modus


operandi yang sering digunakan pihak sindiket dalam cubaan untuk menipu orang
ramai:
i. Sindiket akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai
bank/pegawai polis/pegawai mahkamah atau pegawai dari syarikat
pengutip hutang.
ii. Nombor telefon tertera di telefon mangsa biasanya adalah kepunyaan
agensi/jabatan yang berkenaan. (Pihak sindiket mempunyai kaedah khas
untuk memalsukan nombor telefon yang bakal tertera di telefon mangsa)

iii. Mangsa akan dimaklumkan bahawa perbualan tersebut dirakam dan tidak
membenarkan mereka untuk memaklumkan kepada orang lain.

iv. Mangsa akan dimaklumkan bahawa mereka mempunyai hutang atau


tunggakan bayaran dan diminta untuk menjelaskannya dengan kadar
segera.

v. Mangsa akan diarahkan untuk membuat pembayaran/pemindahan wang


dalam tempoh yang singkat. Contohnya dalam tempoh setengah jam.

vi. Nombor akaun yang digunakan/diberikan oleh pihak sindiket biasanya


adalah atas nama individu persendirian.

vii. Sekiranya bayaran tidak dibuat, mangsa diugut akan ditangkap oleh pihak
polis atau akaun bank mereka akan disita oleh pihak berkuasa.

Sebagai satu langkah pencegahan, orang ramai adalah diingatkan untuk


berwaspada apabila mendapat panggilan sebegini. Jangan mudah mempercayai
dakwaan yang dinyatakan oleh pemanggil dan jangan sesekali memberikan sebarang
maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, maklumat akaun bank dan
sebagainya. Sekiranya khuatir dengan kesahihan dakwaan yang dinyatakan, serta
merta tamatkan perbualan dengan pemanggil dan lakukan semakan terperinci
dengan agensi yang berkaitan.

Ingin juga diingatkan bahawa pihak bank sama sekali tidak akan meminta
pengesahan nombor akaun, bertanyakan “challenge question”, mengarahkan
penukaran nombor pin atau mengarahkan pelanggan untuk membuat pindahan
wang melalui panggilan telefon. Malahan, mana-mana agensi kerajaan juga tidak
akan menghubungi orang ramai untuk meminta sebarang bayaran samada cukai,
saman, bayaran perkhidmatan atau pindahan wang dibuat ke dalam akaun
persendirian. Diharapkan, modus operandi yang dan langkah pencegahan yang telah
dinyatakan dapat dijadikan panduan kepada orang ramai untuk mengelakkan diri dari
menjadi mangsa penipuan Macau Scam.

CP DATO’ SRI ACRYL SANI BIN HAJI ABDULLAH SANI


Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil
Polis DiRaja Malaysia

15 September 2017

You might also like