You are on page 1of 7

1.

0 PENGENALAN

Sejak Tanah Melayu bergelar sebagai tanah merdeka, isu penjajahan British di Tanah
Melayu sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat di segenap lapisan. Hal ini kerana,
penjajahan mereka dalam satu tempoh yang sangat lama ini banyak memberikan impak
negatif melalui corak pemerintahan mereka yang tersendiri terutamanya kepada masyarakat
kepelbagaian kaum ini. Namun begitu, melalui penjajahan British juga, semangat
nasionalisme berjaya ditiup dan diserap dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian
kerana, dapat diperhatikan bahawa telah lahirnya tokoh-tokoh pejuang yang terdiri daripada
pelbagai latar belakang dan negeri bagi menentang penjajahan British. Walau
bagaimanapun, jika ditanya berkenaan tokoh-tokoh pejuang seperti Tok Gajah dan Mat
Kilau, adakah mereka masih mengenali tokoh-tokoh ini? Oleh sebab jasa dan perjuangan
tokoh-tokoh ini kurang didendangkan maka masyarakat kini hampir melupakan tokoh-tokoh
ini.

2.0 BIODATA TOKOH

Di Pahang, terdapat dua orang tokoh pejuang dan tokoh yang pertama adalah Tok
Gajah atau nama sebenarnya, Imam Rasu Bin Shahrum. Beliau telah dilantik sebagai
penasihat utama Sultan Ahmad Muazzam Shah iaitu Sultan Pahang dan beliau menasihati
baginda tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan Hulu Pahang iaitu kawasan-
kawasan hilir sungai di Pulau Tawar. Beliau juga digelar sebagai Orang Kaya Indera Gajah
Pahang dan kedudukan beliau dianggap setaraf dengan Orang Besar Empat di Pahang.
Tambahan pula, beliau adalah ayah kepada Mat Kilau di mana Mat Kilau merupakan
seorang pahlawan yang turut terlibat dalam penentangan British di Pahang.

Rajah 1: Ilustrasi wajah Tok Gajah


Tokoh pejuang yang kedua adalah Mat Kilau atau nama penuhnya Mat Kilau bin Imam
Rasu. Beliau merupakan seorang pahlawan yang berilmu dan berani dalam membantu Dato’
Bahaman dan Tok Gajah untuk menentang British. Menurut cucu Mat Kilau iaitu Mohd
Alhamadi (2017), Mat Kilau merupakan seorang yang baik dan beliau dipanggil Kilau yang
bermaksud berbakat. Hal ini demikian kerana, beliau pandai mengaji, berzanji dan berdikir
maulud. Ketika Mat Kilau berumur 12 tahun, beliau telah diturunkan ilmu seni Silat Tapak
Setia Suci oleh ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. (Mohd Alhamadi, 2017). Beliau merupakan
seorang yang suka menuntut ilmu. Justeru, beliau telah menuntut ilmu kebatinan secara
agama oleh Haji Uthman Bin Senik yang merupakan mufti Pahang pada ketika itu. Jelaslah
bahawa, hasil didikan yang bagus daripada Tok Gajah telah menyebabkan darah
kepahlawanan mengalir dalam diri Mat Kilau persis peribahasa bagaimana acuan begitulah
kuihnya.

Rajah 2: Potret Mat Kilau

3.0 FAKTOR PENENTANGAN

Apabila British mula menjejakkan kaki ke negeri Pahang, corak pemerintahan yang
diamalkan telah mengundang sifat tidak berpuas hati dalam kalangan penduduk tempatan.
Hal ini dapat dibuktikan melalui Linehan (1936), campur tangan British dalam pentadbiran
negeri Pahang telah menganggu dan merosakkan sistem pentadbiran tradisi yang sudah
lama diamalkan di negeri Pahang. Pada bulan Oktober 1888, J.P Rodger telah dilantik
sebagai residen Britih di Pahang dan sejak pelantikan itu, beliau mengambil langkah yang
terburu-buru untuk memperkenalkan pelbagai pembaharuan di Pahang. Beliau telah
memperkenalkan beberapa perubahan melalui undang-undang yang diluluskan dan salah
satunya adalah sistem pungutan cukai. Hasrat pihak British adalah untuk menguasai
ekonomi dan mengaut hasil yang maksimum. Justeru, sistem pungutan cukai ini telah
dikendalikan oleh pegawai-pegawai Inggeris bukannya para pembesar tempatan lagi.

Melihat kepada isu cukai yang saban hari semakin menindas penduduk tempatan ini,
Tok Gajah telah meminta pihak British untuk menangguhkan pembayaran cukai tanah ke
atas orang Melayu namun, telah ditolak oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan. Secara logiknya,
hal ini mampu dalam menimbulkan kerisauan Tok Gajah terhadap penduduk tempatan
kerana kaum Melayu hanya mendapat hasil melalui aktiviti bercucuk tanam mereka. Justeru,
melalui bayaran cukai yang mahal, perkara ini akan menyebabkan penduduk tempatan
kehilangan tanah ataupun mengalami kebuluran. Keadaan ini telah membawa kepada
penentangan Tok Gajah terhadap pihak British dan perkara ini juga disokong oleh Mat Kilau.
Hal ini demikian kerana, melihat kepada sikap tidak mahu bertolak ansur British ketika
menjalankan pentadbiran yang melibatkan masyarakat di Pahang ini, telah menimbulkan
rasa bertanggungjawab dalam diri Mat Kilau bagi mengembalikan keadaan seperti sedia
kala.

4.0 TINDAKBALAS MASYARAKAT TEMPATAN TERHADAP PENJAJAH

Aktiviti penentangan di Pahang telah dimulakan oleh Dato’ Bahaman yang merupakan
seorang pembesar di Semantan bersama pengikut-pengikutnya. Oleh itu, Tok Gajah dan
Mat Kilau telah mengambil keputusan untuk menyertai perjuangan bersama dengan Dato’
Bahaman. Penentangan awal bermula apabila pihak British telah membina sebuah balai
polis di Lubuk Terua tanpa berunding terlebih dahulu dengan Dato’ Bahaman yang
merupakan pembesar di kawasan itu. Perkara ini telah menyebabkan beliau merasakan
bahawa kuasanya tercabar. Intihannya, hal ini bukan sahaja menimbulkan ketidakpuasan
hati kepada Dato’ Bahaman malah terhadap Tok Gajah dan Mat Kilau. Jelas di sini
menunjukkan bahawa pihak British hanya mengutamakan kepentingan kendiri serta tidak
menghormati hak dan kuasa para pembesar tempatan yang telah diamanahkan oleh sultan
sebelum kedatangan mereka ke Tanah Melayu lagi. Justeru, sebuah perjuangan yang
melibatkan Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau telah dilakukan bagi menawan balai
polis Lubuk Terua yang berada di bawah kuasa British.

Selain itu, di Jerantut, sebuah perjuangan berlaku di mana pada ketika ini, Tok Gajah,
Mat Kilau dan Dato’ Bahaman menerima bantuan daripada seorang tokoh yang terkenal
iaitu Pawang Nong. Mereka berjuang bersama-sama dengan penuh semangat dan berjaya
memperoleh sokongan daripada rakyat. Logiknya, kesungguhan dan semangat yang jelas
kelihatan pada wajah-wajah tokoh pejuang ini mampu dalam memperlihatkan keikhlasan
mereka bagi memelihara tanah air daripada pengaruh luar. Namun begitu, pihak British telah
memfitnah tokoh-tokoh ini sebagai pengkhianat dan penjahat. Ilhamnya, tindakan ini
dilakukan bagi mengurangkan penentangan daripada para penduduk yang mampu
menggugat kedudukan British di Pahang. Tambahan pula, jika berlakunya situasi
penentangan secara besar-besaran, perkara ini akan merugikan pihak British kerana
mereka akan memerlukan jumlah pengawai yang ramai serta alatan-alatan yang banyak
dalam membanteras aktiviti penentangan tersebut. Selain melemparkan tuduhan, pihak
British juga telah mengambil tindakan dalam menghasut pembesar-pembesar tempatan
untuk menyingkirkan Tok Gajah dan pengikutnya.

Menurut Abdullah Zakaria (2017), beliau menyatakan bahawa gerakan penentangan


yang dilakukan oleh tokoh-tokoh ini adalah bagi mempertahankan nilai-nilai Melayu dan
negeri Pahang serta penentangan ini bukannya dilakukan untuk menderhaka kepada sultan.
Namun, akibat tekanan yang diberikan oleh pihak British, Tok Gajah serta Mat Kilau
mengambil keputusan untuk melarikan diri ke Terengganu dan Kelantan. Hal ini demikian
kerana, mereka tidak mahu bertempur dengan tentera sultan. Dengan kemahiran Mat Kilau
yang mengetahui selok belok hutan, mereka berjaya menyusup masuk ke Terengganu dan
Kelantan. Laluan yang digunakan oleh Mat Kilau itu masih kekal sehingga ke hari ini dan
dikenali sebagai Jejak Mat Kilau. Di Kampung Padang Jerangau, Mat Kilau dan pengikutnya
telah membina sebuah kubu yang dikenali sebagai Kubu Mat Kilau sebagai tempat
perlindungan dan mengatur strategi-strategi bagi melawan British. (Rashid Mamat, 2017).

Rajah 3: Kubu Mat Kilau


Justeru, pada tahun 1894, Tok Janggut dan Mat Kilau telah membawa seramai
seratus orang pengikut bersama Dato’ Bahaman untuk menyerang pihak Inggeris di Kuala
Tembeling dan mendirikan kubu di Jeram Ampai. Namun begitu, serangan mereka tidak
berjaya. Hal ini kerana, secara logiknya, jumlah pengikut mereka adalah lebih sedikit
berbanding dengan pegawai British serta alatan yang digunakan oleh pihak British lebih
lengkap dan moden. Tok Gajah tidak dapat meneruskan perjuangan beliau hingga akhir
hayatnya dan meninggal dunia pada tahun 1901.

Rajah 5: Makam Tok Gajah di Kuala Berang

Bagi Mat Kilau pula, beliau telah ditangkap oleh Siam dan British pada tahun 1895.
Beliau telah melawan ketika hendak ditawan lalu mengakibatkan kecederaan di bahagian
kepala dan muka akibat cantasan pedang. Justeru, beliau telah disangkakan meninggal
dunia dan dikebumikan di Kota Bharu, Kelantan. Walau bagaimanapun, apabila
pemeriksaan dilakukan pada kubur berkenaan, telah didapati bahawa jenazah itu
merupakan sekujur batang pisang (BH Online, 2015). Sebaliknya, beliau telah berpindah
dari satu tempat ke tempat yang lain kerana telah dituduh sebagai penderhaka oleh pihak
British. Beliau juga telah menyembunyikan identiti dirinya dengan menukar namanya buat
beberapa kali yang akhirnya digelar sebagai Mat Siam. Namun begitu, beliau telah
mengambil keputusan untuk memperkenalkan dirinya sebagai Mat Kilau pada tahun 1969 di
sebuah masjid. Selepas identiti beliau disahkan, beliau telah diisytiharkan sebagai Mat Kilau
oleh Menteri Besar Pahang iaitu Tan Sri Haji Yahaya Modh Seth. Namun, selepas empat
hari pengumuman dibuat, Mat Kilau mengalami keuzuran lalu meninggal dunia.
Rajah 4: Makam Mat Kilau di Jerantut

5.0 RUMUSAN

Kini, setelah enam puluh empat tahun negara mengecapi kemerdekaan, perjuangan
secara fizikal dengan mengangkat senjata untuk mengukuhkan kedudukan bangsa tidak lagi
relevan. Namun begitu, perjuangan tokoh-tokoh terdahulu haruslah dihayati dan dijadikan
sebagai model tauladan dalam diri setiap individu. Hal ini demikian kerana, perjuangan
tokoh-tokoh terdahulu amatlah mulia dan berlandaskan agama Islam bagi memelihara
bangsa. Dipetik daripada Mat Kilau yang menyatakan bahawa ‘jangan sampai bangsa tidak
ada negara’. Justeru, wajarlah kisah perjuangan tokoh-tokoh ini disemai dalam diri setiap
individu bermula dari alam persekolahan agar semangat nasionalisme dapat disemai dalam
diri mereka sejak kecil lagi.

(1353 patah perkataan)


RUJUKAN

Aris, M. M. H., Sani, R. M. & Rengasamey, P. A. (2018). Sejarah Politik Tanah Melayu
Sehingga Awal Abad Ke-20. Sasbadi Sdn. Bhd.

DBS 6B (2019, Februari 12). Tok Gajah Pahlawan Terbilang Negeri Pahang [Video].
YouTube. https://youtu.be/kdWg_y7pF_E

Firdaus, I. M. (2013, April 29). Tok Gajah. https://www.scribd.com/document/138505787/tok-


gajah

Integriti tv (2017, September 11). Jejak Mat Kilau [Video]. YouTube.


https://youtu.be/PAqlSIV3dfs

Ishak, A. R. (2015, 6 Oktober). Batang Pisang Dalam Kubur Mat Kilau?


https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/10/86792/batang-pisang-dalam-kubur-mat-
kilau

Mohamad, S. (2019, September 10). Tok Gajah.


https://www.scribd.com/document/425177225/Tok-Gajah

Mohd Ali (2018, 13 Ogos). Kenang jasa ulama dalam perjuangan kemerdekaan.
https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/08/461337/kenang-jasa-ulama-dalam-
perjuangan-kemerdekaan

Pahang, N. (2019, Mac 08). Tok Gajah Pahlawan Terbilang Di Negeri Pahang.
https://negeripahang.com/tok-gajah-pahlawan-terbilang-di-negeri-pahang

Talib, A. L. (2009). Mat Kilau Pahlawan Pahang. PTS Litera Utama Sdn. Bhd.

Zain, F. M., Resad, I. S. M. & Deraman, M. F. (2016). Kajian Literatur Terhadap Peranan
Ulama dalam Kemerdekaan Malaysia. Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan
Islam (TAWIS), 68-83

Zheng, S. S. (2019, Mei 08). Perjuangan Tok Gajah dan Mat Kilau.
https://www.scribd.com/presentation/409221815/Perjuangan-Tok-Gajah-Dan-Mat-Kilau

You might also like