You are on page 1of 2

KARANGAN 16 - KESAN-KESAN NEGATIF JEREBU

Memang tidak dinafikan juga, fenomena jerebu mendatangkan kesan negatif


terutama terhadap tahap kesihatan rakyat di negara kita. Antaranya ialah, jerebu boleh
menjejaskan kesihatan rakyat terutamanya sistem pernafasan dan boleh menyebabkan
penyakit asma, sakit kerongkong, selesema, batuk, nemonia dan penyakit-penyakit yang
berkaitan dengan jantung. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi
lemah dan imunisasi semakin rendah. Oleh itu bilangan golongan tua dan kanak-kanak
yang jatuh sakit berkaitan dengan sistem pernafasan telah meningkat mendadak akibat
jerebu dan terpaksa menerima rawatan di hospital atau di klinik.

Selain itu, kesan jerebu juga boleh mengurangkan jarak penglihatan. Keadaan ini
berlaku disebabkan oleh komponen-komponen yang ada di dalam jerebu berupaya
menyerap dan menyerakkan cahaya matahari. Hal ini amat menakutkan kerana risiko
kemalangan boleh berlaku seperti kapal terbang dan kapal laut atau kenderaan di jalan raya
menjadi semakin besar. Keadaan ini amat membahayakan keselamatan rakyat kerana
kemalangan boleh mengakibatkan kemusnahan harta benda, kecederaan dan kehilangan
nyawa.

Tambahan pula, aktiviti harian masyarakat turut terjejas akibat masalah jerebu.
Apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada di tahap tidak sihat atau membahayakan,
sebarang bentuk aktiviti luar tidak digalakkan. Contohnya, di kawasan-kawasan yang
dilanda jerebu, banyak sekolah terpaksa ditutup demi menjamin kesihatan pelajar.
Program-program dan acara luar seperti sukan, dibatalkan. Keadaan ini menunjukkan
bahawa masalah jerebu telah mengganggu aktiviti harian masyarakat di negara kita.

Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut
terjejas akibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang rendah
menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan
demi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat
dalam bidang perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari
pendapatan buat sementara waktu.

Selimut jerebu pula biasanya hilang selepas hujan turun. Namun begitu, hujan yang
turun selepas fenomena jerebu berlaku akan memberikan kesan sampingan yang berpunca
daripada hujan asid. Hujan ini seterusnya akan merosakkan tanaman dan tumbuhan,
meningkatkan nilai keasidan tanah dan air sekaligus mengganggu keseimbangan dalam
ekosistem seperti ekosistem akuatik, ekosistem hutan dan ekosistem muara.

Apabila masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih serius
akan timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan
negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan
merosot kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para pelancong bukan sahaja
dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu
masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka
semasa melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas
akibat jerebu.

Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi
menyelesaikan

WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU PT3 & SPM 2020


E-mail : izzathakim74@gmail.com Blog : www.kkomsas.blogspot.com
Telegram : http://t.me/joinchat/GWYICUlDrYiAiv1FB2Z54A
masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam mengatasi
masalah tersebut, persis kata orang-orang tua, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Pelbagai langkah perlu diambil demi mengelakkan masalah jerebu daripada berlaku lagi.
Sekiranya Malaysia bebas daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia
dapat berkembang maju dalam semua bidang.

WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU PT3 & SPM 2020


E-mail : izzathakim74@gmail.com Blog : www.kkomsas.blogspot.com
Telegram : http://t.me/joinchat/GWYICUlDrYiAiv1FB2Z54A

You might also like