You are on page 1of 2

KESAN-KESAN NEGATIF JEREBU

Fenomena jerebu yang melanda negara kita telah mendatangkan pelbagai kesan buruk.
Bincangkan kesan-kesan nagatif maslah jerebu kepada masyarakat dan negara.

     Memang tidak dinafikan juga, fenomena jerebu mendatangkan kesan negatif terutama
terhadap tahap kesihatan rakyat di negara kita.   Antaranya ialah, jerebu boleh menjejaskan
kesihatan rakyat terutamanya sistem pernafasan dan boleh menyebabkan penyakit asma,
sakit kerongkong, selesema, batuk, nemonia dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan
jantung.  Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi
semakin rendah.  Oleh itu bilangan golongan tua dan kanak-kanak yang jatuh sakit berkaitan
dengan sistem pernafasan telah meningkat mendadak akibat jerebu dan terpaksa menerima
rawatan di hospital atau di klinik.

      Selain itu, kesan jerebu juga boleh mengurangkan jarak penglihatan. Keadaan ini berlaku
disebabkan oleh komponen-komponen yang ada di dalam jerebu berupaya menyerap dan
menyerakkan cahaya matahari.    Hal ini amat menakutkan kerana risiko kemalangan boleh
berlaku seperti kapal terbang dan kapal laut atau kenderaan di jalan raya menjadi semakin
besar.  Keadaan ini amat membahayakan keselamatan rakyat kerana kemalangan boleh
mengakibatkan kemusnahan harta benda, kecederaan dan kehilangan nyawa.

         Tambahan pula, aktiviti harian masyarakat turut terjejas akibat masalah jerebu.
Apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada di tahap tidak sihat atau membahayakan,
sebarang bentuk aktiviti luar tidak digalakkan.  Contohnya, di kawasan-kawasan yang
dilanda jerebu, banyak sekolah terpaksa ditutup demi menjamin kesihatan pelajar.
Program-program dan acara luar seperti sukan, dibatalkan.  Keadaan ini menunjukkan
bahawa masalah jerebu telah mengganggu aktiviti harian masyarakat di negara kita.

          Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut
terjejas akibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang rendah
menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan
demi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat
dalam bidang perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari
pendapatan buat sementara waktu.

      Selimut jerebu  pula biasanya hilang selepas hujan turun. Namun begitu, hujan yang
turun selepas fenomena jerebu berlaku akan memberikan kesan sampingan yang berpunca
daripada hujan asid. Hujan ini seterusnya akan merosakkan tanaman dan tumbuhan,
meningkatkan nilai keasidan tanah dan air sekaligus mengganggu keseimbangan dalam
ekosistem seperti ekosistem akuatik, ekosistem hutan dan ekosistem muara.

       Apabila masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih serius
akan timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan
negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan
merosot kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para pelancong bukan sahaja
dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu
masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa
melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas akibat
jerebu.

          Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi menyelesaikan
masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam mengatasi
masalah tersebut, persis kata orang-orang tua, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Pelbagai langkah perlu diambil demi mengelakkan masalah jerebu daripada berlaku lagi.
Sekiranya Malaysia bebas daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia
dapat berkembang maju dalam semua bidang

You might also like