You are on page 1of 9

Vol. 2, No.

2 (2019) E-ISSN: 2637-0271

REALITI PENYUSUAN ANAK SUSUAN PADA ZAMAN SILAM DAN


KONTEMPORARI: KAJIAN TINJAUAN
[THE REALITY OF WET-NURSING IN THE PAST AND
CONTEMPORARY: A REVIEW STUDY]

*1 HALIMATUS SAADIAH MOHAMAD SAFIR


saadiah17290@gmail.com
1DHAMIRAH NURSAKINAH MOHAMAD SAFIR
dhamirahnursakinah@yahoo.com
1SITI FATIMAH SALLEH
sitifatimah@unisza.edu.my

1
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak,
21300 Kuala Nerus, Terengganu, MALAYSIA

*Corresponding Author

ABSTRACT

The purpose of this study is to look at the practice of wet-nursing in the past by the Prophet
Muhammad himself in comparison to breastfeeding today. Today’s generation is supposed to emulate
the life of a breastfeeding baby in the style of the Messenger of Allah. Adopted breastfeeding should
be designed to provide convenience to all parties as breastfeeding leaves the effects of mahram abuse
and relationships within a family institution. This study used Sirah and Fiqh book analysis methods
and interviews with selected respondents to view current wet-nursing practices. In view of the various
phenomena of wet-nursing that occur today, referring to wet-nursing by the Prophet Muhammad
SAW as the main support, the formation of more systematic wet-nursing standards should be
emphasized to ensure the well-being of all.

Keywords: Wet-nursing in the past, Wet-nursing Today, Wet-nursing by Prophet Muhammad SAW

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk melihat amalan penyusuan anak susuan zaman silam yang telah dialami
sendiri oleh baginda Nabi Muhammad SAW berbanding dengan penyusuan anak susuan pada masa
kini. Generasi pada hari ini seharusnya mencontohi kehidupan penyusuan anak susuan gaya
Rasulullah SAW. Pengambilan anak susuan yang lebih teratur seharusnya dibentuk untuk memberi
kemudahan kepada semua pihak kerana penyusuan anak susuan meninggalkan kesan pensabitan
mahram serta hubungan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Kajian ini menggunakan kaedah
analisis kitab sirah dan fiqh serta temu bual bersama responden terpilih untuk melihat amalan
penyusuan anak susuan pada masa kini. Melihat kepada kepelbagaian fenomena penyusuan anak
susuan yang berlaku pada hari ini, wajar kita merujuk kepada penyusuan yang dilalui oleh Baginda
Nabi Muhammad SAW sebagai sandaran yang utama. Maka, pembentukan piawaian penyusuan anak
susuan perlu diketengahkan untuk menjaga kemaslahatan semua pihak.

48
Vol. 2, No.2 (2019) E-ISSN: 2637-0271

Kata Kunci: Penyusuan anak susuan zaman dahulu, penyusuan anak susuan masa kini, penyusuan
anak susuan gaya Nabi Muhammad SAW.

PENGENALAN

Penyusuan dan pengambilan anak susuan telah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Setelah
dilahirkan, bayi Muhammad SAW telah berpindah dari tiga tangan. Dari tangan ibunya, kemudian
datuknya dan kini ada di tangan Bani Sa’ad iaitu di tangan Halimah bin Abu Dzu’aib untuk disusui
(Ridha’ Hasbullah, 2009). Namun begitu berbezaan penyusuan anak susuan pada waktu dulu dan kini
telah berubah seiring kemajuan teknologi dan perkembangan dunia semasa. Kepesatan dan kemajuan
telah membawa pelbagai perubahan dalam kehidupan termasuk penyusuan anak susuan. Hasil
penyusuan antara ibu susuan dan anak susuan memberi kesan kepada jaluran mahram antara mereka.
Berdasarkan temu bual bersama Mufti Wilayah Persekutuan (al-Bakri, 2016), tinjauan awal kajian
ini mendapati tiada garis panduan atau piawaian yang dibentuk dalam membantu pemerkasaan
terhadap proses penyusuan anak susuan. Kajian ini bertujuan memberi penekanan dan penelitian
terhadap “hifzu al-nasl” iaitu penjagaan nasab dan keturunan dalam memelihara dhoruriyat al-khams
menurut maqasid al-shariah.
Manakala membendung permasalahan dari terus berleluasa melalui kaedah ‫ضاق‬ َ ‫س َع أاْل َ أم ُر‬
َ َّ ‫إذَا ات‬
yang bermaksud sesuatu perkara apabila terlalu meluas maka demi kebaikan perlu disempitkan
(Saduqi, 2002).
Oleh itu, satu pendekatan yang lebih bersistematik perlu diwujudkan bagi membendung dan
menjaga keharmonian serta kesejahteraan institusi keluarga di masa kini dan pada masa hadapan.

PENSYARIATAN PENYUSUAN ANAK SUSUAN

Islam menganjurkan supaya umatnya supaya saling membantu. Begitu juga dalam penyusuan yang
melibatkan antara anak susuan dan ibu susuan. Walaupun pada asalnya memberi penyusuan kepada
anak itu merupakan tanggungjawab yang mesti disempurnakan seperti firman Allah (al-Baqarah, 233)
yang bermaksud: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap
iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu”.
Sekiranya tidak mampu menyempurnakan penyusuan, ibu bapa bayi bertanggungjawab
mencari, memilih serta memberi upah kepada ibu susuan. Susu ibu bukan untuk dikomersialkan, jauh
sekali menjualnya kepada pihak lain. Menurut Pegawai Sains Pemakanan yang bertugas di Jabatan
Kesihatan Wilayah Persekutuan (Zaiza, 2016) telah mengesahkan laporan berita harian Metro pada 3
April 2016 yang lalu berkaitan isu penjualan susu ibu. Walau bagaimanapun, menurut Mufti Wilayah
Persekutuan (Zulkifli al-Bakri, 2016) dalam penjelasannya menjawab isu ini telah menyatakan
bahawa penjualan susu ibu tidak dibenarkan berdasarkan penerangannya berteraskan dalil dan hujah
yang telah dimuatkan menerusi pautan Bayan Linnas https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-
fatwa/irsyad-fatwa-umum/1407-irsyad-al-fatwa-ke-153-hukum-menjual-susu-ibu.
Perbuatan mengupah melambangkan keharmonian agama dalam menguruskan agenda hidup
umatnya. Memberi upah lebih menonjolkan disiplin agama dan secara tidak langsung mencerminkan
adab yang dibawa oleh Islam. Selaras dengan tuntutan agama berdasarkan firman Allah surah (at-

49
Vol. 2, No.2 (2019) E-ISSN: 2637-0271

Talaq, 6) yang bermaksud: “kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah
kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antarakamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang
baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan
lain menyusukannya”.
Islam datang untuk mengatur urusan kehidupan manusia berpandukan lunas-lunas
pensyariatannya. Islam juga menggalakkan penyusuan susu ibu dan sekiranya tidak mampu menyusu,
maka tanggungjawab ibu bapa berusaha mencari wanita lain untuk menjadi ibu susuan. Apabila
mengambil wanita lain sebagai ibu susuan, maka syariat Islam telah menggariskan bahawa penyusuan
tersebut perlu diberi upah, bukan menjual susu ibu. Susu ibu ibarat sebahagian daripada anggota
badan dan anggota badan tidak mungkin dijual beli kerana hukum jual beli anggota badan adalah
haram. Berdasarkan kepada kaedah fiqh, asal kepada sesuatu perkara itu harus sehingga jelas
pengharaman ke atasnya (Saduqi, 2002). Begitu juga dalam konteks hukum jual beli susu ibu tidak
harus (Abdul Malik As-Sa’adi, 2019) kerana susu ibu merupakan sebahagian daripada anggota tubuh
badan manusia.
Setiap yang haram itu diharuskan ketika darurat atau dalam erti kata lain mengikut keperluan
sahaja kerana berdasarkan kaedah fiqh “darurat ditentukan mengikut kadarnya sahaja” (Saduqi,
2002). Jadi yang dimaksudkan dengan darurat itu adalah hajat dan keperluan yang bersangatan. Oleh
itu, konsep mengupah itu lebih baik berbanding jual beli penyusuan kerana lebih dekat dan tenang
dengan jiwa sesuai dengan saranan dan suruhan agama. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT
yang bermaksud:“Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua belah pihak) mengalami kesulitan, maka
bolehlah perempuan lain menyusukannya” (al-Talaq: 6).
Begitu juga firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Jika kamu ingin anakmu disusukan
oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang
patut” (al-Baqarah: 233).
Menurut (as-Suyuthi, 2004) ‘pembayaran’ yang dimaksudkan dalam ayat ini membawa
maksud ‘upah’ yang diberikan kepada ibu susu yang menyusui bayi. Konsep pah yang disarankan
dalam islam jauh berbeza dengan jualan susu ibu yang berlaku hari ini.

PENSABITAN MAHRAM KERANA PENYUSUAN

Penyusuan yang melibatkan anak susuan dan ibu susuan memberi implikasi hukum berdasarkan
kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Mereka yang haram dikahwini kerana keturunan, haram
juga dikahwini kerana susuan” (al-Bukhari: 2645 dan Muslim: 3584).
Perkahwinan yang berlaku sesama mahram susuan akan memberi kesan terhadap status
perkahwinan. Pasangan terpaksa berpisah kerana akad perkahwinan terbubar dengan sendirinya.
Menurut kisah ‘Uqbah bin al-Harith dalam kitab (al-Darimi, 2000) beliau berkahwin dengan Ummu
Yahya binti Abi Ihab dan selepas berlangsungnya perkahwinan, datang seorang hamba menyebut
kepada beliau, “Aku telah menyusui kamu berdua”. Kemudian ‘Uqbah bersegera menemui Nabi
Muhammad SAW lalu menceritakan apa yang telah berlaku. Baginda SAW terus membubarkan
perkahwinan tersebut dan kisah ini juga disebut dalam sahih Bukhari yang bermaksud: “Daripada
‘Uqbah bin al-Haris, beliau telah berkahwin dengan Ummu Yahya iaitu anak perempuan Abi Ihab,
kemudian didatangi seorang wanita (hamba perempuan berkulit hitam) lalu berkata: sesungguhnya
aku telah menyusui kamu berdua. Kemudian ditanya kepada Rasulullah SAW, baginda berkata:

50
Vol. 2, No.2 (2019) E-ISSN: 2637-0271

Bagaimana? Dikatakan Baginda membubarkan perkahwinan ‘Uqbah, lalu wanita itu mengahwini
lelaki lain”.
Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa terdapat kepentingan dalam mengenal pasti
pembuktian hubungan pensabitan mahram susuan. Rentetan itu, perlu kepada pembuktian pensabitan
antara anak susuan dengan ibu susuan bagi pengendalian dokumentasi penyusuan anak susuan dalam
kalangan penjaga dan ibu susuan kepada anak susuan. Ini sangat signifikan dan ianya selaras dengan
tuntutan pensyariatan Islam demi menjaga kemaslahatan semua pihak.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menggunakan kaedah temu bual bersama beberapa responden yang terpilih dari kalangan
ibu susuan dan anak susuan. Selain itu, menemu bual bersama individu terpilih dan beberapa orang
tokoh turut dijalankan bagi melihat pandangan mereka melalui perbahasan ulama zaman silam dalam
menghuraikan permasalahan penyusuan anak susuan. Selain itu, kajian ini turut menganalisis kitab
fiqh, antara data dan fakta sejarah serta sirah penyusuan yang dilalui sendiri oleh Baginda Nabi
Muhammad SAW.

PENYUSUAN ANAK SUSUAN DI KAMPUNG DAN DI BANDAR

Penyusuan anak susuan pada awalnya berlaku di kawasan pinggir kota atau di kampung. Merujuk
kepada sirah kehidupan baginda Muhammad SAW dan sejarah telah membuktikan bahawa pada
awalnya penyusuan anak susuan berlegar di sekitar perkampungan. Hal ini kerana suasana dan
keadaan kampung yang lebih terjaga dan terpelihara meyakinkan mereka untuk mencari ibu susuan
dan meninggalkan anak mereka di kampung. Penyusuan di kampung kebiasaannya individu tersebut
dipilih untuk anak yang bakal disusui. Mereka terdiri daripada orang yang dikenali atau ahli keluarga
yang terdekat. Berbeza keadaan dan suasana berbanding di bandar. Jika di bandar mereka tidak
mengenali antara satu sama lain, tetapi susu ibu di beri dan di ambil atas permintaan dan keperluan
bagi ibu susu dan anak susuan.
Hasil temu bual bersama pegawai sains pemakanan di Jabatan Kesihatan Wilayah
Persekutuan dan Kuala Lumpur berkenaan amalan penyusuan yang berlaku antara ibu susuan dan
anak susuan sering berlaku di bandar-bandar utama, terutamanya bagi para ibu yang berkerjaya.
Beliau berpendapat bahawa kekurangan ilmu pengetahuan tentang pengurusan penyusuan dan
penguasaan hukum agama antara faktor yang membawa kepada permasalahan penyusuan secara
terbuka pada masa kini (Zaiza, 2016).

PENYUSUAN ANAK SUSUAN ZAMAN SILAM BAGINDA NABI MUHAMMAD SAW

Sejarah telah merekodkan tentang amalan pengambilan anak susuan berlaku sejak zaman Nabi
Muhammad SAW. Baginda telah dihantar oleh ibunya ke kampung untuk disusui oleh ibu susuannya,
Halimah binti Abu-Dhu’ayb. Wanita ini diberi gelaran al-Sa’diyah kerana berasal dari kabilah Bani
Asad yang tinggal di kampung dan merupakan kabilah pedalaman yang terkenal dengan penyusuan
anak susuan. Baginda diserahkan kepada keluarga kabilah tersebut (Husain, 1982).
Pada awalnya, (al-Mubarakfury, 1998) amalan penyusuan anak susuan hanya berlaku sekitar
kampung dan kawasan yang berdekatan. Menjadi adat dan budaya masyarakat Arab, mereka akan

51
Vol. 2, No.2 (2019) E-ISSN: 2637-0271

mencari wanita lain sebagai ibu susuan untuk menyusui bayi mereka. Ini kerana proses penyusuan
yang berlaku dalam persekitaran perkampungan lebih terjaga, terpelihara dan mampu memberi
kebaikan dan manfaat kepada kanak-kanak.
Hal ini dibuktikan lagi apabila baginda Nabi Muhammad SAW sendiri melalui fasa awal
kehidupan bersama ibu susuannya. Mengikut adat resam bangsa Arab, usaha memperoleh penyusu-
penyusu untuk anak-anak mereka dari pedalaman adalah satu ikhtiar untuk mencegah daripada
dijangkiti penyakit-penyakit yang terdapat di kawasan bandar yang mudah menular dan merebak pada
kanak-kanak atau bayi. Selain itu, usaha ini juga dapat menguatkan pembinaan jasad anak-anak dan
menguatkan otot-otot bagi bayi dan kanak-kanak yang masih kecil (Ridha, ‘Imaduddin, 2013)
Merenungi kelahiran insan mulia yang agung, bahkan baginda merupakan insan yang
diutuskan sebagai contoh teladan buat sekalian alam sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Al-
Quran dalam surah (al-Ahzab, 21). Firman Allah yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi
kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan
keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat”.
Sesungguhnya segala perilaku Baginda Nabi Muhammad SAW baik dari segi kata-katanya,
tingkah laku perbuatannya mahupun jalan kehidupannya, baginda Nabi Muhammad SAW adalah suri
teladan ikutan buat kita. Begitu juga permulaan kehidupan baginda yang sudah lama tercatat dalam
lembaran sejarah dan sirah kehidupan baginda yang ditonjolkan sejak bayi lagi. Jika diamati dari
aspek penyusuan anak susuan zaman silam yang dibawa dan dilalui Baginda kekasih Allah, sekali
gus digambarkan sendiri oleh tokoh teragung Nabi Muhammad SAW untuk diteladani pada umat
manusia masa kini.
Baginda Nabi Muhammad SAW merupakan anak susuan kepada insan terpilih iaitu Halimah
As-Sa’diyah yang berasal dari perkampungan Bani Sa’ad. Nabi Muhammad SAW dibawa pulang
oleh ibu sususannya. Sejak mengambil baginda, keberkatan dan barakah dalam keluarga ibu
susuannya termasuk lah perkara luar biasa telah berlaku. Ternyata baginda adalah insan mulia
kelahiran Agung yang dipilih oleh Allah SWT (al-Qarni, 2007).
Menerusi penyusuan Nabi Muhammad SAW yang dipilih ibu susuannya di mana kabilah ini
dikenali antara bangsa Arab pada waktu itu serta baginda disusui di kampung. Keadaan dan suasana
serta persekitaran kampung berperanan besar dan proses pemilihan ibu penyusuan itu sendiri. Nabi
Muhammad tinggal bersama ibu susuan dan anak beradik susuan yang lain menjadikan mereka saling
mengenali dan akrab antara satu sama lain. Adapun saudaranya yang sepenyusuan dari sebelah bani
Sa’ad adalah Abdullah bin al-Harith, Anisah binti al-Harith, Jazimah binti al-Harith iaitu al-Syaima’.
Beliaulah yang mengasuh Rasulullah SAW serta Abu Sufyan bin al-Harith bin Abdul Muttalib anak
bapa saudara Rasulullah SAW juga sepenyusuan dengan baginda Nabi Muhammad SAW
(Ridha,‘imaduddin, 2013).
Penyusuan anak susuan dan ibu susuan membentuk kepada pensabitan hubungan mahram
susuan. Lazimnya penyusuan anak susuan berlaku dalam kalangan ahli keluarga terdekat dan disusui
oleh individu yang dikenali dan dipilih oleh ibu bapa bayi. Mereka yang ada hubungan antara ibu
susuan dan anak susuan lebih mengenali mahram susuan, lantaran saling mengenali antara satu sama
lain. Namun begitu, perkembangan dan kepesatan dunia serta kemudahan teknologi pada hari ini
antara penyebab berlakunya perbezaan terhadap penyusuan dan pengambilan anak susuan pada masa
kini berbanding dahulu. Bagi anak susuan dan ibu susuan di tengah kota dan kesibukan bandar,
mereka saling tidak mengenali, tetapi berhubung atas sebab keperluan susu semata-mata. Penyusuan

52
Vol. 2, No.2 (2019) E-ISSN: 2637-0271

antara mereka meninggalkan kesan pensabitan mahram dan sebahagian mereka tidak mengenali
antara satu sama lain.

PENYUSUAN ANAK SUSUAN SECARA JARAK DEKAT DAN JAUH

Wujud perbezaan antara penyusuan anak susuan yang berlaku pada masa dulu dan kini. Seiring
dengan perkembangan dunia dan pelbagai medium pada masa kini, penyusuan anak susuan semakin
bertambah, terutamanya di kawasan bandar. Bagi mereka yang bekerja dan yang masih dalam
pengajian. Bagi menyempurnakan penyusuan, beliau (Mawaddah, 2019) ditinggalkan oleh ibunya
kepada wanita Arab untuk disusui. Ibu susuannya adalah warga Arab Jordan. Selain itu, bagi
memenuhi tuntutan dan komitmen harian, pengambilan susu ibu daripada wanita lain kebiasaannya
terjadi sekali gus bertujuan memenuhi keperluan penyusuan bayi mereka (S.F. Salleh, 2019).
Medium dokumentasi anak susuan adalah untuk menjaga asas dalam maqasid iaitu
pemeliharaan nasab melalui pengharaman disebabkan penyusuan. Ini kerana pengambilan ibu susuan
(S.F. Salleh, 2014) akan memberi kesan dalam beberapa aspek hukum syarak, terutamanya dalam isu
kekeluargaan. Selain pengendalian dokumentasi penyusuan, piawaian penyusuan anak susuan perlu
juga dibentuk dan diketengahkan melalui jalinan dan jaringan pihak-pihak tertentu bagi pembentukan
sistem penyusuan anak susuan yang lebih holistik (Ihsanuddin, 2018).
Pemberian susu secara eksklusif kepada bayi sangat di saran dan digalakkan. Hal ini
menyebabkan para ibu sanggup mengambil susu yang bukan miliknya untuk diberikan kepada bayi
mereka. Islam memandang serius terhadap pembuktian penyusuan. Pembuktian melalui penyaksian
dan pengakuan merupakan asas yang diperkenalkan oleh Islam sebagai garis panduan pengambilan
anak susuan. Pengambilan susu ibu mudah diperoleh dari pihak tertentu mengikut kehendak dan
keperluan ibu serta bayi. Ketiadaan pengawasan pihak berkuasa akan menimbulkan suasana tidak
harmoni dalam sesebuah masyarakat dan implikasinya wujud kecelaruan dalam mengenal pasti
mahram susuan (S.F. Salleh, 2014).
Pada mulanya penyusuan susu ibu berlaku dalam jarak yang dekat. Pelbagai kemudahan
pengangkutan dan perkembangan teknologi telah membawa perubahan dalam aspek penyusuan susu
ibu. Kini, penyusuan anak susuan berlaku dalam jarak yang jauh, bahkan berbeza negei dan negara
(S. F. Salleh).
Jika dulu pengambilan anak susuan di kampung dalam jarak yang dekat. Perubahan dan
kepesatan dunia masa kini telah mengakibatkan pengambilan anak susuan merentasi negeri malah
negara. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang belajar dan bekerja jauh dari keluarga yang terdekat dan
mengambil ibu susuan sebagai jalan alternative bagi menyusu anak mereka. Bagi memenuhi “supply
and demand” antara anak dan ibu susuan, susu ibu dihantar melalui pelbagai medium. Susu di pos
menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan juga khidmat penghantaran melalui pos. Susu
yang dibekukan kemudian dihantar kepada mereka yang membuat permintaan.
Perbezaan keadaan dan suasana masyarakat sekarang yang berhadapan dengan kemajuan
teknologi memerlukan kepada pengawalan melalui kaedah fiqhiyyah yang dikenali sebagai saddu al-
zara’i (Saduqi, 2002). Kaedah ini berfungsi sebagai usaha dan langkah ke arah membendung sekali
gus menghalang dari berlakunya sesuatu perkara dari terus berleluasa. Kaedah ini juga wajar di
aplikasi dalam konteks penyusuan anak susuan, ekoran wujudnya amalan pengambilan anak susuan
dalam kalangan masyarakat yang belum diurus pendokumentasiannya secara rasmi.

53
Vol. 2, No.2 (2019) E-ISSN: 2637-0271

FAKTOR PERUBAHAN DAN PENGAMBILAN ANAK SUSUAN

Banyak faktor-faktor yang membawa kepada pengambilan anak susuan. Antara permasalahan yang
biasa dialami oleh ibu seperti gagal mengawal tekanan menyebabkan kurang rangsangan penghasilan
susu (Aslawati, 2019) sekali gus menyebabkan susu semakin sedikit, ibu tidak dapat menyusu dengan
baik kerana mengalami komplikasi semasa bersalin (Nadhirah, 2019). Tetapi ada juga keadaan yang
berpunca daripada bayi. Antaranya adalah seperti bayi pramatang (Nona, 2018) melaporkan kes
berkenaan usus bayi akhirnya pecah berikutan pengambilan selain dari susu ibu. Bagi bayi yang tidak
mampu menyusu seperti bayi lain dan dalam usaha menyempurnakan penyusuan terpaksa melalui
cara lain dan sebahagian mereka perlu dirawat atau disusui dengan kaedah yang berbeza daripada
bayi normal. Bagi memenuhi keperluan tersebut, mereka berhajat kepada ibu susuan.
Bayi yang tidak menerima susu ibu yang secukupnya sebaliknya diberi susu formula pada
awal kelahiran atau diberi makanan selain daripada susu ibu sebelum mencapai usia yang sepatutnya
berisiko menghadapi masalah. Perut bayi yang baru dilahirkan hanya boleh menerima susu ibu
sebagai makanannya. Hal ini kerana usus bayi masih muda dan lembut masih terlalu awal untuk
menerima makanan selain susu ibu (Aesyah, 2019). Walaupun permasalahan yang dialami mungkin
puncanya berbeza, namun jalan penyelesaian adalah sama, iaitu menggantikan penyusuan susu ibu
dengan mengambil ibu susuan. Bayi yang tidak dapat menerima susu ibu daripada ibu kandung atau
ibu kandung yang tidak dapat menyusu anak sendiri akibat masalah atau komplikasi tertentu
sewajarnya mengambil jalan terbaik dengan memilih wanita yang layak dan sesuai untuk dijadikan
ibu susuan sebagai ganti kepada penyusuan asal (Aesyah, 2020)

KESEDARAN PENYUSUAN SUSU IBU

Kembali kepada fitrah asal penyusua, walaupun bagi melengkapi penysuan kepada anak itu
merupakan tugas dan tanggungjawab yang mesti disempurnakan oleh ibu kepada anak, selari dengan
saranan dan suruhan Allah dalam Al-Quran. FirmanNya dalam surah (al-Baqarah, 233) yang
bermaksud: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu
bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu”.
Jika tidak mampu menyusu atau mengalami masalah kembalikan penyusuan asal kepada
mengupah ibu susuan. Selaras dengan tuntutan agama berdasarkan firman Allah surah (at-Talaq, 6)
yang bermaksud: “kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada
mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik.
Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain
menyusukannya”.
Berdasarkan sejarah, ayuhlah kita kembali kepada fitrah penyusuan yang telah digambarkan
dalam lipatan sirah melalui perwatakan contoh teladan yang dibawa oleh Kekasih Allah iaitu Nabi
Muhammad SAW dengan amalan penyusuan yang terbaik dengan pengambilan wanita terpilih untuk
dijadikan ibu susuan.

POLISI KEBANGSAAN PENYUSUAN SUSU IBU

Polisi kebangsaan penyusuan susu ibu yang telah dikeluarkan oleh kementerian kesihatan (KKM)
telah menggariskan bahawa “semua ibu digalakkan menyusu anak dengan susu ibu sahaja sejak lahir

54
Vol. 2, No.2 (2019) E-ISSN: 2637-0271

sehingga umur 6 bulan dan meneruskannya sehingga 2 tahun atau lebih”. Ini bermakna bayi yang
baru lahir sehingga 6 bulan perlu pada susu ibu sahaja. Pada awal usia kelahiran, bayi tidak perlu
kepada tambahan air lain atau susu tambahan dan makanan tambahan selain susu ibu.

SARANAN DARI WHO

Info daripada World Health Organization (WHO), tentang keburukan susu formula. WHO juga
memberi saranan supaya memberikan SUSU IBU SAHAJA kepada bayi BAWAH 6 BULAN, dan
meneruskan penyusuan sehingga umur 2 tahun.
Semua ibu mahu memberikan yang terbaik untuk anaknya. Masalah susu tidak keluar dan
kurang serta ibu berkerjaya tidak menjadi alasan dan bukanlah halangan menggagalkan penyusuan
kepada bayi mereka. Jika tidak dapat menyusu, sebagai jalan atau ikhtiar mendapatkan ibu susuan
sebelum beralih kepada susu formula. Hal ini kerana usus bayi masih muda dan terlalu awal untuk
menerima sumber makanan lain selain daripada susu ibu.

KESIMPULAN

Kesimpulannnya, antara piawaian yang mesti diketengahkan dalam pengendalian antara anak susuan
dan ibu susuan ini adalah mereka mesti adakan pertemuan dan perjumpaan dan saling mengenali
antara satu sama lain. Kedua, menyusui dalam erti kata lain bertujuan memelihara dengan hasrat
mendidik bayi tersebut. Merujuk kepada penyusuan anak susuan yang telah dilalui baginda Nabi,
ternyata teras penyusuan tersebut berdasarkan kepada konsep pemeliharaan dan pendidikan. Hal ini
terbukti dengan jelas bahawa penyusuan bukan sekadar menyusu sahaja, bahkan penyusuan anak
susuan ini merupakan penjagaan dan pemeliharaan serta pendidikan sekalig us meninggalkan kesan
dalam perhubungan kekeluargaan dengan terjalinnya ikatan penyusuan melalui pensabitan mahram.
Menjaga pertalian yang terhasil dari penyusuan tersebut merupakan aulawiyat utama yang mesti
diperhalusi dengan sebaiknya.
Oleh sebab itu, bagi menyempurnakan penyusuan anak susuan adalah perlu difahami bahawa
penyusuan anak susuan bukan seperti penyusuan biasa. Apabila melibatkan ramai orang dan banyak
pihak, khasnya dalam pensabitan mahram dan hubungan kekeluargaan, maka proses penyusuan anak
susuan sudah tentu memerlukan kepada tuntutan piawaian khas bagi melengkapi penyususan anak
susuan yang bukan hanya tersusun dan bersistematik, bahkan yang mampu memenuhi tuntutan agama
menurut Qawaid Fiqh serta Maqasid Syariah selaras keperluan semua pihak dari semua aspek secara
holistik.

RUJUKAN

Al-Quran
As-Syeikh Ahmad Ridha’ Hasbullah, Darah & Air Mata Rasulullah SAW, cetakan (2009), terbitan
Al-Hidayah Publications, Kuala Lumpur WP.
Aesyah Nadiah Ali, (Disember 2019), Pegawai Dietetik Klinik Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala
Lumpur.

55
Vol. 2, No.2 (2019) E-ISSN: 2637-0271

Aidh Bin Abdullah Al-Qarni, Al-Quran Berjalan- Rahmat bagi Sekalian Alam, cetakan (2007),
terbitan Al-Hidayah Publications, Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan.
Al-Bukhari, (2014) Sahih al-Bukhari, al-Jami’ al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar,
cetakan ke 2, Muassasah al-Risalah, Damascus Syria.
Abu Muhammad Abdullah bin Abdurrahman bin al-Fadhal bin Bahram al-Darimi,
(2000) Sunan al-Darimi, Dar al-Ma’rifah, Lubnan.
Ihsanuddin Ismail, (Mac, 2018), Penolong Mufti Unit Istinbat, Pejabat Mufti Negeri Terengganu,
Terengganu Darul Iman.
Jalaluddin as-Suyuthi dan Jalaluddin Muhammad Ibnu Ahmad al-Mahally,
(2004), Tafsir al-Jalalain, Dar al-Hadi, Kaherah.
Muhammad Ridha Abdullah, Muhammad ‘Imaduddin Abd Latib, Insan Agung, Kelahiran yang
dinanti, cetakan 2013, penerbitan mustread sdn. Bhd
Mawaddah Sofia Misbahalmunir, Disember 2019, Kuliah Syariah World Islamic Science and
Education University (WISE).
Muhammad Husain Haikal, terjemahan Ali ‘Audah, (1982). Sejarah hidup Nabi
Muhammad SAW terbitan Dar al-Maarif Kaherah, Mesir. Dewan Bahasa
dan Pustaka Malaysia, Kuala Lumpur.
Noraslawati Razak, (Ogos 2019). Pegawai Perubatan Pakar Anestesiologi Hospital Sultanah Nur
Zahirah (HSNZ), Seminar Penyusuan Patuh Syariah.
Nadhirah Nordin, Ogos 2019, Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti
Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Nona, (20 Februari, 2019) https://www.nona.my/kejahilan-yang-membunuh-usus-bayi-malang-ini-
cedera-akibat-petua-jaundis-ibu-ibu-muda-wajib-baca/
Nurul Zaiza Zainuddin, (Disember, 2016), 3 Petang, Pegawai Sains Pemakanan, Jabatan Kesihatan
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfury, (2004), Sirah Nabawiyyah SAW. Judul asal
al-Rohiq al-Makhtum 1998, terjemahan Muhammad Ramzi Omar.
Siti Fatimah, (2014), Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa USIM. Vol. 4.
2014 ISSN: 2232-1047.
Syeikh Abdul Malik As-Sa’adi, Bekas Mufti Iraq, (November 2019), Tabarbour Jordan.
Zulkifli Mohamad Al-Bakri, (Disember, 2016), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana
Menteri, Kuala Lumpur.

PENGHARGAAN

Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) 1/2018 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
melalui Center for Research Excellence and Incubation Management (CREIM) UniSZA
Tajuk: Pembinaan Model Pengurusan Pensijilan Dan Dokumentasi Anak Susuan Patuh Syariah

56

You might also like