You are on page 1of 10

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/277792190

Kepentingan Dakwah kepada Golongan Bermasalah Pendengaran: Satu


Keperluan

Research · June 2015


DOI: 10.13140/RG.2.1.4098.3201

CITATIONS READS

0 5,009

5 authors, including:

Hajarul Bahti Zakaria Bani Hidayat Mohd Shafie


Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas IPG Islamic Educational Campus
24 PUBLICATIONS   9 CITATIONS    74 PUBLICATIONS   18 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Nor Hayati Fatmi Talib


Nilai Polytechnic Malaysia
83 PUBLICATIONS   20 CITATIONS   

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Kajian Berkaitan Pelaksanaan Guru KAFA dan Penyelia KAFA View project

I am studying the influence of the social environment of moral development of students in polytechnics and community colleges View project

All content following this page was uploaded by Nor Hayati Fatmi Talib on 07 June 2015.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


KEPENTINGAN DAKWAH KEPADA GOLONGAN BERMASALAH PENDENGARAN : SATU
KEPERLUAN

Oleh :
Mohd Huzairi bin Awang @ Husain
Hajarul Bahti binti Zakaria
Bani Hidayat bin Mohd Shafie
Nor Hayati Fatmi binti Talib
Nabiroh Kassim

Abstrak : Keperluan usaha dakwah kepada golongan berkeperluan khas masalah pendengaran sama seperti
kepada golongan sempurna bahkan lebih utama diberikan perhatian disebabkan kelainan upaya dan kesukaran
yang dihadapi untuk menerima dakwah berbanding dengan yang lain. Golongan ini berhak mendapat nikmat
Islam dan menjadi individu muslim yang unggul dalam konteks hamba kepada Allah. Islam tidak hanya ekslusif
kepada individu sempurna pancaindera sahaja. Dapatan daripada tinjauan mendapati bahawa golongan bermasalah
pendengaran amat lemah dalam penguasaan fardu ain dan sukar untuk mengikuti perkembangan agama di
samping tiada tumpuan daripada institusi agama khususnya pengurusan masjid dalam usaha dakwah golongan
berkeperluan khas terutamanya masalah pendengaran. Diharap kajian ini mampu menimbulkan kesedaran dan
membuka mata semua pihak dalam usaha meningkatkan pemahaman dan amalan beragama golongan bermasalah
pendengaran.

PENDAHULUAN

Gerak kerja dan usaha dakwah amat penting dilakukan terhadap golongan bermasalah pendengaran. Hal ini
kerana mereka adalah termasuk dalam golongan yang ditaklif syarak untuk melaksanakan segala ibadah dan
suruhanNya serta meninggalkan segala laranganNya (Ab Aziz Mohd Zin et al 2009) sebagaimana firman Allah
s.w.t. yang bermaksud:

“ dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah
dan beribadah kepadaKu ”(al-Dhariyat 51: 56)

KEWAJIPAN MENGGERAKKAN USAHA DAKWAH

Persoalan dakwah adalah perkara utama dalam perjalanan kehidupan Rasul. Matlamat kebangkitan para rasul
adalah untuk mengeluarkan manusia daripada kejahilan menuju kepada pengabdian diri kepada Allah SWT.
Gerak kerja dan usaha dakwah diteruskan oleh para sahabat selepas kewafatan junjungan besar Rasulullah dan
terpikul ke atas bahu seluruh umat Islam sebagaimana firman Allah :

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi
serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak
dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan
(pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah)
Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula
membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (al-Ahzab 33 : 72)

Menggerakkan usaha dakwah adalah menjadi satu kewajipan ke atas setiap individu muslim. Ilmu,
pengajaran, peringatan daripada Allah akan melalui proses pemindahan daripada manusia kepada manusia lain
melalui proses dakwah.Usaha untuk melahirkan manusia yang beriman dan menghayati pengabdian diri kepada

1
Allah akan tercapai melalui gerakan dakwah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. pada
zaman Mekah dan Madinah. Banyak ayat al-Quran yang membicarakan berkenaan tuntutan dakwah. Antaranya
Allah s.w.t. menyeru agar ada di antara manusia yang menyeru dan mengembangkan Islam, serta menyuruh
berbuat perkara kebaikan dan melarang daripada melakukan kejahatan. Allah s.w.t. menyifatkan sesiapa yang
melakukan sedemikian adalah orang-orang yang berjaya (Ali „Imran 3 : 104, Al-A‟raf 7 : 157) dan orang-orang
yang saleh (Ali „Imran 3 : 114). Allah s.w.t. juga menyebut bahawa pertanggungjawaban tersebut adalah
diletakkan ke atas sebaik-baik umat, iaitu umat Islam (Ali „Imran 3 : 110). Setiap individu yang melaksanakan apa
yang diperintahkan itu akan mendapat ganjaran pahala yang amat besar (Al-Nisa‟ 4 : 114) dan diberi rahmat oleh
Allah s.w.t. (Al-Taubah 9 : 71).

Said Hawwa (2006) menyatakan bahawa umat Islam telah ditimpa penyakit perpecahan dan kejahilan
yang berpunca daripada pemisahan umat Islam daripada tubuh ummah yang asal iaitu umat Islam telah mengikuti
jalan selain daripada jalan Allah. Penggerak dakwah perlu berganding bahu untuk memberi pengajaran dan
membimbing golongan ini ke arah jalan yang benar. Mereka akan mendapat keredaan Allah s.w.t. (Maryam 19 :
55, Al-Ahzab 33 : 34). Allah s.w.t. akan membantu memudahkan segala urusan yang melalui jalan-jalan dakwah
(Al-Hajj 22 : 41). Segala petunjuk untuk melaksanakan dakwah telah diturunkan kepada manusia untuk manusia
berfikir dan melaksanakannya (Al-Nahl 16 : 44)), dan mereka akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat
(Al-Hajj 22 : 77).

Gerakan dan usaha dakwah hendaklah disasarkan kepada kedua-dua golongan iaitu yang telah memeluk
Islam dan yang belum menerima Islam (Ab. Aziz 1997). Hal ini juga telah dinyatakan oleh Muhammad Rashid
Rida (t.t ), Jama‟at Amin (1989) dan „Abd al-Qadir (1992). Ini menunjukkan bahawa persoalan dakwah
hendaklah disasarkan kepada semua golongan manusia dengan tujuan menyampaikan risalah Allah dan membawa
kembali manusia kepada fitrah yang mengakui ketuhanan dan keesaan Allah (Al-A‟raf 7 : 172) dengan
bersungguh-sungguh penuh iltizam walau menghadapi pelbagai cabaran atas keimanan yang teguh kepada janji-
janji Allah (Al-Ahzab 33 : 23)

GOLONGAN BERMASALAH PENDENGARAN SEBAGAI SASARAN DAKWAH

Amalan Rasul dalam melaksanakan kerja dakwah adalah untuk seluruh umat manusia tanpa mengira latar
belakang, keturunan dan tahap keupayaan manusia. Pengutusan Rasul adalah untuk seluruh umat manusia.
Perkara ini perlu dihayati oleh penggerak dakwah agar sasaran dakwah tidak terkecuali dan terlepas pandang
terhadap mana-mana golongan khususnya golongan bermasalah pendengaran. Hal ini adalah bertepatan dengan
firman Allah tentang pengutusan Rasulullah s.a.w. sebagai rahmat kepada seluruh alam (al-Anbiya‟ 21 : 107),
pembawa berita gembira dan pemberi amaran kepada manusia-manusia yang ingkar (Saba‟ 34 : 28).

Ajaran Rasulullah s.a.w. dan panduan-panduan yang telah diberi sebagai asas dalam kehidupan mesti
diteruskan oleh setiap pejuang Islam. Rasulullah yang telah dengan bersungguh-sungguh dengan penuh iltizam
membawa Islam sebagai rahmat kepada seluruh manusia. Rahmat yang dibawa Islam adalah untuk keseluruhan
manusia tanpa menjuzukkan kepada golongan tertentu termasuklah golongan kelainan upaya.

Penggerak dakwah perlu meletakkan golongan bermasalah pendengaran sebagai sasaran dalam gerak
kerja dakwah. Mereka berhak untuk menerima ilmu dan hidayah, mereka berhak untuk mengikuti jalan yang lurus
dan berhak untuk mengecap keimanan. Tanpa disedari, jalan-jalan keimanan dan hidayah itu ditutup oleh
sebilangan penggerak dakwah disebabkan kelemahan diri pendakwah, tiada perancangan, kecuaian atau tumpuan
yang tidak diberikan. Sirat al-Mustaqim adalah matlamat agung yang perlu dicapai dalam kehidupan seorang
Islam dalam menuju keredaan Allah sebagaimana firman Allah s.w.t. yang menganjurkan agar umat manusia
menurut jalan yang lurus, iaitu agama Islam (al-An‟am 6 : 153).

2
Penglibatan dan tanggung jawab para penggerak dakwah walau menghadapi kesulitan dalam berurusan
atau menyampaikan ilmu kepada golongan ini sesekali tidak boleh mematahkan semangat atau ditinggalkan terus
usaha tersebut. Perlu diakui mereka golongan yang berbeza daripada manusia kebanyakan. Mereka memerlukan
alat sokongan yang lain dan memerlukan para penggerak dakwah memiliki pelbagai kemahiran untuk mencapai
tujuan tersebut. Penggerak dakwah perlu meletakkan iltizam yang tinggi dalam menyampaikan mesej Islam
kepada golongan bermasalah pendengaran dalam keadaan mereka hidup terbiar dalam arus kejahilan („Abd al-
Karim Zaydan 1976) dalam beragama.

Dalam hal ini, Fathi Yakan (2001) juga telah memberi penekanan dengan menyatakan golongan yang
lemah anggota badan dan fizikal termasuk penglihatan, pendengaran dan anggota adalah sebahagian daripada
sasaran dakwah. Mereka perlu diajar, dibimbing, diberi ilmu pengetahuan agama sehingga mampu mengamalkan
segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan disebabkan mereka tergolong dalam golongan mukallaf
yang dipertanggungjawabkan dengan hukum-hukum dan suruhan agama (Ibn „Aqil 1958)

KENAPA PENTING USAHA DAKWAH KEPADA GOLONGAN BERMASALAH PENDENGARAN

Allah menjelaskan bahawa tiada perbezaan antara manusia yang diciptakan daripada pelbagai latar belakang.
Manusia dikehendaki berganding bahu dan berusaha membina ketaqwaan diri. Penilaian Allah terhadap manusia
adalah berdasarkan neraca taqwa (Al-Hujurat 49 : 13). Manusia pada hakikatnya diciptakan dengan sebaik-baik
kejadian disisi Allah (Al-Tin 95 : 4).

Susan Gregory et. al (1999) golongan bermasalah pendengaran merupakan kelompok minoriti
dalam sesebuah masyarakat yang tidak boleh disisihkan dan dikesampingkan daripada arus perdana.
Golongan ini berhak untuk mendapat pendidikan, layanan, perkhidmatan dan bekalan sama rata
sebagaimana kelompok normal. Mereka lahir dan membesar dalam kelompok normal. Menurut Susan
Gregory dan Pamela Knight (1999) bahawa 90 % kanak-kanak bermasalah pendengaran lahir daripada
keluarga pendengaran normal. Disebabkan perbezaan yang ada, tidak sepatutnya hak mendapat ilmu,
maklumat dan bimbingan keagamaan dikesampingkan. Sesungguhnya mereka mempunyai potensi dan
berbakat sekiranya diberi peluang, diasuh dan dididik dengan sempurna disamping resipi kesungguhan
dan komitmen tinggi daripada anggota masyarakat khususnya penggerak dakwah.

Golongan bermasalah pendengaran secara fizikalnya adalah sama dengan manusia lain. Perkara yang
membezakan ialah mereka tidak mampu mendengar dan bertutur. Mereka tidak mampu berkomunikasi dengan
bahasa lisan disebabkan masalah pendengaran tersebut (Sharon 1998). Situasi ini menyebabkan hubungan mereka
dengan masyarakat awam adalah sempit, amat terbatas dan komunikasi hanya berlegar-legar dalam kelompok
mereka sahaja.

Proses tumbesaran dan perkembangan diri dan personaliti mereka adalah sebagaimana manusia yang lain.
Akal dan nafsu mereka berkembang selaras dengan perkembangan usia. Nafsu dan akal yang berkembang tanpa
dikawal oleh dasar iman dan taqwa akan menyebabkan manusia menjadi liar dan rosak. Manusia amat mudah
terdorong melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Apatah lagi diri mereka tidak diisi dengan ilmu agama
sebagai benteng pertahanan diri daripada melakukan perkara maksiat dan kemungkaran. Sebagaimana firman
Allah SWT yang bermaksud:

serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang
membawanya kepada ketaqwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya -
yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan

3
sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan
terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (al-Shams 91 : 8-10)

"Dan tiadalah Aku berani membersihkan diriku, sesungguhnya nafsu manusia itu sangat
menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku
(maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku maha pengampun lagi
maha mengasihani." (Yusuf 12 : 53)

Pengaruh luar dan persekitaran yang begitu mencabar terhadap pembinaan jati diri muda mudi menarik
golongan ini ke arah yang tidak baik. Isu yang pelbagai termasuklah gejala lepak, pergaulan bebas, seks bebas,
video lucah, majalah berunsur lucah, gambar lucah, pengaruh internet, penggunaan teknologi telefon bimbit,
pengaruh filem yang ditayangkan di televisyen dan pawagam berunsur lucah, pergaulan bebas, berpakaian seksi.
Kesemua pengaruh ini akan merangsang jiwa muda mudi ke arah yang tidak baik dan mewujudkan perasaan ingin
mencuba yang amat tinggi. Perkara ini adalah lumrah dalam jiwa remaja dalam keadaan unsur-unsur yang negatif
begitu menular dan saling mempengaruhi sebagaimana maksud firman Allah :

Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang
lain, mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat dan melarang dari perbuatan
yang baik dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut), mereka telah melupakan
(tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka.
Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik. (al-Taubah 9 : 67)

Keperluan memberi ingatan dan nasihat serta tunjuk ajar yang merupakan suruhan Allah akan membawa
kepada perubahan pada diri manusia daripada kurang baik ke arah yang lebih baik, tidak mengetahui ke arah
berpengetahuan, maka golongan bermasalah pendengaran yang mengalami pelbagai kesukaran amat penting
untuk didekati dan diberi tunjuk ajar serta bimbingan berterusan supaya diisi hati dan diri mereka dengan roh
keimanan sebagaimana maksud firman Allah SWT :

dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu
mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman. (al-Dhariyat 51 : 55)

oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau peringatan itu
berguna (dan sudah tentu berguna) (al-A‟la 87 : 9)

Dalam kalangan warga bermasalah pendengaran, isu sosial yang membabitkan permasalahan pelanggaran
hukum berlaku. Persoalannya adakah kesalahan dan dosa yang dilakukan hanya berlandaskan nafsu atau nafsu
yang tidak dikawal oleh pengetahuan agama merupakan faktor utama disebabkan tidak ada proses pemindahan
ilmu dan kurang usaha dakwah dilakukan terhadap mereka. Berikut sedutan luahan pemimpin warga pekak
(Sazali, 2010a) :

Adakah orang Pekak terlibat dengan buang bayi? Terdapatnya 3 kes yang di laporkan kepada
saya, dua kes saya juga telah terlibat untuk menyelamatkan bayi. Kes pertama sebab cetek agama,
seorang wanita Pekak telah mengandung tanpa ikatan perkahwinan. Saya mengenali lelaki Pekak
yang melakukannya iaitu bekas anak murid saya semasa mengajar di sekolah rendah….. Kes
ketiga berlaku di selatan negara, walaupun saya tidak terlibat tetapi usaha dari seorang kakitangan
saya telah membantu menyelamatkan nyawa. Kami memberikan tempat perlindungan dan
mendapatkan bantuan sehingga mampu berdikari…..Ada dua kes lain berkaitan dengan wanita

4
Pekak melahirkan anak tanpa berkahwin tetapi ibubapa pihak wanita tersebut telah menerimanya
dan menjaga bayi tersebut tanpa menyerah ke rumah kebajikan atau orang lain

Sazali (2010b) juga pernah mengulas tentang masalah sosial golongan ini dan mengaitkan dengan
penguasaan agama. Berikut sedutan yang menyatakan tentang perkara tersebut :

Saya terkejut dengan laporan mengenai masalah sosial yang melanda wanita Pekak di negara ini.
Di antara laporan ialah terdapatnya rakaman video telefon bimbit mempaparkan aksi panas
wanita Pekak dengan pasangannya tanpa segan silu. Hal ini telah lama berlaku dengan banyak….
Laporan berikutnya ialah peningkatan jumlah penceraian di kalangan orang Pekak. Kebanyakan
kes adalah permohonan daripada wanita Pekak yang menfail untuk bercerai…..Majoriti
penceraian adalah dikalangan orang Melayu dan juga ada kes di kalangan orang Pekak Cina.
Yang mengejutkan mereka yang bakal bercerai sudah mempunyai 'back up' iaitu mempunyai
pasangan masing-masing….. Kesimpulannya permasalah tersebut adalah berkaitan dengan cetek
ugama di kalangan orang Pekak

Penguasaan agama golongan bermasalah pendengaran amat lemah. Persoalan fardu ain tidak dapat
dikuasai. Ramai dalam kalangan mereka tidak mampu untuk melafazkan kalimah syahadah, menyatakan rukun
islam dan iman dalam bahasa isyarat. Mereka tidak mampu menyatakan tentang cara bersuci najis ringan,
sederhana dan berat, mereka tidak mengetahui bahawa anjing dan babi merupakan najis berat, mereka tidak
mengetahui tentang perkara-perkara yang mewajibkan mandi, apabila ditanya adakah mereka pernah keluar mani
bagi golongan lelaki dan pernah keluar darah haid bagi perempuan dan ditanya apakah tindakan mereka dan
adakah mereka mandi, mereka menyatakan mereka mandi seperti biasa tanpa mengetahui niat mandi wajib,
mereka melaksanakan ibadah-ibadah wajib seperti solat dan puasa tanpa mengetahui tentang syarat wajib, sah dan
batal sesuatu amalan ibadah. Kesemua persoalan ini ditanya dalam bahasa isyarat dan mereka tidak mampu
menjawabnya dalam bahasa isyarat, yang hanya dijawab adalah tidak tahu. (Mohd Huzairi et al, 2010a)

Perkara ini turut diakui oleh Sazali yang menyatakan golongan ini tidak boleh menyatakan lafaz niat
puasa dalam bahasa isyarat. Persoalannya bagaimana mereka berpuasa, mereka hanya berpuasa tanpa makan dan
minum dan tidak mengetahui bila bermula dan berakhir tempoh puasa dalam sehari secara tepat (iaitu bermula
terbit fajar-subuh- hingga terbenam matahari-maghrib-). Berikut dinyatakan nukilan Sazali (2010c) :

“Saya telah bertemu dengan beberapa orang Pekak Islam yang hadir ke ceramah khas oleh Datuk
Haji Fadillah Kamsah di LPPKN, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur hari ini dan membuat tinjauan.
Dari 6 orang pekak yang berumur dalam 20an yang saya soal, kesemuanya tidak boleh membaca
niat dengan baik walaupun melalui bahasa isyarat. Alasan mereka ialah lupa, ibubapa tidak ajar
mereka niat tersebut dan ada yang menjawab tidak tahu”

SUMBER PEMEROLEHAN ILMU AGAMA GOLONGAN BERMASALAH PENDENGARAN

Satu hakikat yang perlu diakui oleh pengurusan hal ehwal agama, institusi-institusi yang melibatkan agama Islam,
para penggerak dakwah dan individu-individu yang prihatin bahawa golongan bermasalah pendengaran
mempunyai sumber yang amat terhad untuk mendalami agama Islam. Tidak ada tumpuan yang khusus atau
peluang diberikan kepada mereka berbanding golongan lain. Pelbagai pihak memberi tumpuan kepada golongan
remaja, wanita, saudara baru dan sebagainya dalam masa yang sama kurang tumpuan diberikan kepada golongan
bermasalah pendengaran.

5
Ruang dan peluang yang ada untuk golongan biasa amat luas bagi mempelajari agama amat luas dengan
pelbagai medium disediakan. Masjid menyediakan pelbagai kelas pengajian agama meliputi pelbagai disiplin ilmu
pengajian Islam akan tetapi „hidangan yang enak‟ tersebut tidak dapat dinikmati oleh golongan bermasalah
pendengaran. Golongan ini tidak dapat menikmati kuliah-kuliah pengajian yang diadakan dan khutbah yang wajib
diikuti setiap minggu. Golongan ini datang tanpa mendapat erti sekadar menghadirkan jasad.

Terdapat beberapa rancangan di beberapa stesen televisyen seperti Ehwal Islam, al-Kulliyah, Tanyalah
Ustaz, siri-siri motivasi dan sebagainya yang bermanfaat kepada masyarakat awam untuk mendapat gambaran
tentang Islam. Sedikit kekurangan kepada rancangan-rancangan seumpama ini tidak dapat memberi manfaat
kepada golongan bermasalah pendengaran. Penerbit tidak menyediakan alih bahasa kepada bahasa isyarat bagi
suai manfaat golongan minoriti ini. Hal ini turut disebut oleh pemimpin golongan pekak sebagaimana berikut :

“Masyarakat kita secara tidak sedari telah membina tembok Yahudi yang kejam memisah rakyat
Palestin yang tidak berdosa iaitu menyekat orang Pekak mendapatkan bimbingan agama setiap
hari setiap saat; sebagai contoh rancangan keagamaan yang di siarkan di TV memberikan
pengajaran, bimbingan dan kesedaran tetapi tidak dapat diikuti oleh orang Pekak” (Sazali 2010b)

Situasi semasa menyaksikan terdapat kelas fardu ain yang dianjurkan oleh beberapa persatuan orang
pekak untuk remaja. Begitu pun penyertaannya tidak menyeluruh disebabkan pelbagai kekangan seperti tempat
yang jauh, ibubapa dan mereka sendiri bekerja termasuk hari minggu, masa dan sebagainya. Dalam hal ini,
pemimpin golongan pekak turut memberi pandangannya sebagaimana berikut :

Program agama Islam untuk orang Pekak masih belum mencapai matlamatnya. Persatuan orang
Pekak perlu mempertingkatkan usaha untuk membimbing orang Pekak beragama Islam (Sazali
2010c)

Dalam konteks pendidikan di sekolah pula, mereka mengikuti pembelajaran pendidikan Islam sebagai
salah satu mata pelajaran wajib di sekolah. Dari segi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, terdapat beberapa
masalah yang dihadapi (Huzairi et al 2010) seperti buku teks yang dibekalkan langsung tidak boleh digunakan
sebagai bahan pembelajaran disebabkan mereka tidak menguasai tulisan jawi, peruntukan waktu yang terhad jika
dinisbah kepada golongan ini walaupun jumlah waktu tersebut dikira memadai dan mencukupi untuk keperluan
pelajar biasa, kesediaan belajar pelajar, kelengkapan dan kemudahan pembelajaran, latihan dan kemahiran guru
samada kemahiran kandungan atau kemahiran mengajar. Begitu juga tumpuan sekolah, bagi aliran vokasional
yang tidak mengira mata pelajaran akademik seperti pendidikan islam sebagai keperluan peperiksaan, tumpuan
kurang diberikan,sesetengah golongan beranggapan ia kurang penting berbanding kemahiran-kemahiran
vokasional yang boleh digunakan oleh mereka apabila meninggalkan bangku persekolahan untuk memasuki
pasaran kerjaya. Seharusnya difikirkan bahawa penguasaan asas agama dan kerohanian adalah bekal paling kukuh
dalam menjamin kehidupan manusia disamping bekalan dan kemahiran lain sebagai sokongan.

Bagi kanak-kanak biasa, mereka mengikuti kelas KAFA (Kelas Agama dan Fardu Ain) atau disebut juga
KAP (Kelas Agama Petang) selepas waktu persekolahan bagi sesi pagi dan sebelum waktu persekolahan bagi
yang mengikuti persekolahan sesi petang. Apa yang berlaku, golongan ini tidak mengikuti kelas KAFA
sebagaimana rakan-rakan sebaya yang lain disebabkan tiada kelas yang diadakan mampu memenuhi keperluan
mereka iaitu pembelajaran menggunakan bahasa isyarat sebagai bahasa perantara. Keadaan ini merupakan
kekangan utama dan antara perkara yang membantutkan usaha dakwah kepada golongan ini sedangkan perintah
Allah untuk membina generasi saleh adalah melalui penerapan pendidikan Islam daripada kecil amat ditekankan
sebagaimana maksud firman Allah berikut :

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta
laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana

6
yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang
dikehendaki diambil berat melakukannya. (Luqman 31 : 17)

SARANAN

Melihat kepada beberapa isu, kekangan dan kekurangan tumpuan diberikan kepada usaha dakwah terhadap
golongan bermasalah pendengaran ini, maka penulis mencadangkan beberapa perkara untuk diperhalusi dan
dilaksanakan oleh pihak-pihak berwajib dan pihak yang mempunyai kesedaran untuk melaksanakan beberapa
pembaharuan dan tindakan :

1. Pembelajaran berasaskan masjid untuk golongan bermasalah pendengaran hendaklah dijalankan dengan
menganjurkan kelas pengajian fardu ain untuk golongan kanak, remaja dan dewasa. Pengurusan masjid
hendaklah mendapatkan khidmat juru bahasa isyarat bagi menterjemahkan dan memudahkan proses
pengajaran dan pembelajaran. Pengurusan masjid hendaklah memperuntukkan sebahagian wang derma
orang ramai khususnya kutipan hari jumaat untuk usaha ini bagi melicinkan proses pengajaran dan
pembelajaran dari segi saguhati pengajar, juru bahasa isyarat dan makan minum. Program yang dijalankan
hendaklah dalam bentuk mingguan atau dwi mingguan.

2. Kumpulan-kumpulan NGO yang mewakili golongan pekak atau NGO lain yang bergerak atas usaha
dakwah hendaklah mengambil inisiatif menganjurkan kelas pengajian agama untuk golongan ini.
Program-program yang dijalankan tidak hanya member tumpuan kepada kanak-kanak, remaja tipikal,
saudara baru, orang asal bahkan perlu diberi tumpuan sama terhadap golongan kelainan upaya.

3. Masjid-masjid utama seperti masjid-masjid negeri, masjid-masjid daerah hendaklah menyediakan khidmat
juru bahasa isyarat semasa sesi khutbah jumaat dan khutbah hari raya. Hal ini bagi mendorong golongan
ini datang ke masjid. Didapati golongan ini kurang berminat untuk ke masjid atau solat jumaat atas
kurang kefahaman agama dan beranggapan tidak memberi sebarang makna kepada mereka (Mohd Huzairi
et al (2010c)

4. Masjid-masjid utama seperti masjid-masjid negeri, masjid-masjid daerah hendaklah menganjurkan


program ceramah-ceramah sempena hari-hari kebesaran Islam dan kem-kem ibadah untuk golongan
kanak-kanak dan remaja golongan ini dengan kerjasama Persatuan Orang Pekak negeri-negeri

5. Pengurusan masjid dan NGO-NGO hendaklah berusaha menyediakan peluang pembelajaran agama
kepada golongan ini sebagai penerusan selepas tamat zaman persekolahan disebabkan mereka mempunyai
peluang yang amat sempit untuk tujuan tersebut

6. Para penggerak dakwah hendaklah menguasai strategi pengajaran terhadap golongan kelainan upaya dan
berkeperluan khas (Mohd Mokhtar & Aliza 2003) dan mempelajari bahasa isyarat sebagai syarat
keperluan asas dalam proses komunikasi dengan golongan bermasalah pendengaran dengan tujuan
memberi kefahaman dan penghayatan Islam di samping proses bimbingan yang diberikan bersesuaian dan
bertepatan dengan keperluan dan keadaan golongan sasar (Mohd Huzairi et al (2010d)

7. Guru-guru agama di sekolah hendaklah memberi penekanan yang lebih terhadap penguasaan fardu ain
dan pembinaan sahsiah pelajar

8. Jabatan Agama Islam Negeri-negeri melalui unit dakwah hendaklah memberi tumpuan kepada golongan
orang kelainan upaya (OKU) dalam penganjuran program dakwah disebabkan mereka mengalami
kekurangan samada aspek fizikal dan kemampuan-kemampuan lain

7
9. Baitulmal Negeri-negeri hendaklah pro aktif dalam memberikan bantuan kewangan kepada semua
golongan yang memerlukan termasuklah golongan orang kelainan upaya (OKU) bagi memberi dorongan
dan minat untuk mendalami ilmu agama dan mendekati Islam

PENUTUP

Malaysia sebuah Negara yang makmur mempunyai system sokongan yang baik jika diuruskan dengan baik seperti
jabatan agama Islam, pusat pungutan zakat, baitulmal, masjid, sistem pendidikan, pertubuhan-pertubuhan
berasaskan dakwah dan sebagainya. Sekiranya semua pihak bekerjasama dalam menggerakkan dakwah, sudah
pasti sasaran dakwah akan meliputi semua golongan tanpa tertinggal atau dikesampingkan mana-mana golongan.

Dakwah bukan sahaja untuk orang yang belum mengenali Islam bahkan perlu disuburkan kepada yang
telah menerima dan berpegang dengan Islam. Oleh yang demikian, usaha yang bersungguh-sungguh perlu
digembeling untuk memastikan Islam dihayati oleh semua golongan khususnya golongan kelainan upaya
terutamanya golongan bermasalah pendengaran disebabkan beberapa kelemahan dan kekurangan yang dihadapi
oleh mereka. Jika anak-anak dan pelajar diberi tumpuan yang lebih dengan kelas tambahan dan latih tubi untuk
menghadapi peperiksaan yang dinilai untuk keperluan keduniaan, mengapa tidak kita berikan tumpuan yang amat
besar untuk keperluan penilaian dan kehidupan di akhirat. Penggerak dakwah di semua peringkat berperanan
besar dalam merealisasikan tanggung jawab ini.

BIBLIOGRAFI

„Abd al-Karim Zaydan (1976), Usul al-Da’wah, Maktabah al-Manar al-Islamiyyah

„Abd al-Qadir Abu Faris (1992), Usus fi al-Da’wah wa Wasail Nashruha, Misr : Dar al-Furqan

Ab. Aziz Mohd Zin (1997), Pengantar Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya

Ab. Aziz Mohd Zin et al (2009), Dakwah Islam Terhadap Orang Kurang Upaya, Kuala Lumpur : Penerbit
Universiti Malaya

Fathi Yakan (2001), Al-Mutasaqitun ‘Ala Tariq al-Da’wah, Beirut : Muassasah al-Risalah

Ibn „Aqil (1958), Zad al-Muta’allim, Pulau Pinang : Maktabah Haji Abdullah bin Muhammad al-Rawi

Jama‟at Amin „Abd al-„Aziz (1989), Al-Dakwah Qawa’id wa Usul, Iskandariah : Dar al-Dakwah li Tab‟i wa
Nasyr wa Tauzi‟

Mohamad Sazali Shaari (2010a), Buang Bayi dan Wanita Pekak, http://msazali.blogspot.com/2010/09/buang-
bayi-dan-wanita-pekak.html bertarikh 3 September 2010

Mohamad Sazali Shaari (2010b), Masalah Sosial Wanita Pekak, http://msazali.blogspot.com/2010/09/masalah-


sosial-wanita-pekak.html bertarikh 2 September 2010

Mohamad Sazali Shaari (2010c), Niat Puasa, http://msazali.blogspot.com/2010/08/niat-puasa.html bertarikh 14


Ogos 2010

8
Mohd Huzairi et al (2010a), “Penguasaan Asas Fardu Ain Pelajar Bermasalah Pendengaran Dan Cabaran Dari
Perspektif Guru : Satu Tinjauan Awal” (Proceedings ICELD 2010 International Conference On Learner Diversity
Universiti Kebangsaan Malaysia, 19-20 Oktober 2010)

Mohd Huzairi et al (2010b), “Pendidikan Islam Golongan Masalah Pendengaran : Tinjauan Awal Isu Dan
Cabaran Dari Perspektif Guru” (Prosiding Seminar Kebangsaan Pengajian Islam Menjana Keintelektualan
Ummah Universiti Sains Islam Malaysia, 23-25 Jun 2010)

Mohd Huzairi et al (2010c), “Peranan Masjid Dalam Pendidikan : Tumpuan Khusus Terhadap Golongan Pekak”
(Prosiding Seminar Kebangsaan Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Masjid, Universiti Kebangsaan
Malaysia, 18-19 Februari 2010)

Mohd Huzairi et al (2010d), “Latihan Keguruan Pengajian Islam-Pendidikan Khas : Satu Keperluan” (Prosiding
Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Ke-4, Universiti Kebangsaan Malaysia, 3-4 Ogos 2010)

Mohd Mokhtar Tahar & Aliza Alias (2003), Isu Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam Pelajar
Berkeperluan Khas, dlm Khadijah Abdul Razak et. al (eds), Perkaedahan Pengajaran Pendidikan Islam
Antara Tradisi dan Inovasi, Bangi : Fakulti Pendidikan UKM

Muhammad Rasyid Rida (t.t), Al-Quran al-Hakim al-Syahir bi Tafsir al-Manar, j. 4, c. 2, Beirut : Dar al-Ma‟rifah

Susan Gregory et. al (1999), Issues in Deaf Education, c. 2, London : David Fulton Publishers

Susan Gregory & Pamela Knight (1999), “Social Development and Family Life”, dalam Susan Gregory et. al
(1999), Issues in Deaf Education, c. 2, London : David Fulton Publishers

View publication stats

You might also like