You are on page 1of 2

UCAPAN YDP PIBG - PERASMIAN

Terima kasih diucapkan kepada saudara pengerusi majlis.


Yang berusaha, Puan Fatimah Binti Yahaya, guru besar Sekolah Kebangsaan
Tasek;
Puan Masziah Sahirul binti Miah Hamzah, penolong kanan pentadbiran,
Puan Nor-Azliza binti Tukimin, penolong kanan Hal Ehwal Murid,
Encik Mohd Afizan bin Abdullah, penolong kanan kokurikulum,
Barisan guru-guru Sekolah Kebangsaan Tasek,
Barisan ahli jawatankuasa PIBG,
Serta ibu bapa dan murid-murid yang diraikan pada hari berbahagia ini.

Merisik gadis di hujung kota,


Dibawa bersama kain sutera,
Assalamualaikum mulanya kata,
Kalimah Bismillah pembuka bicara.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat
kita bersama-sama meraikan Majlis Hari Apresiasi SK Tasek bagi Tahun 2022/2023.

Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada guru besar SK Tasek dan Ahli
Jawatankuasa Majlis Hari Apresiasi SK Tasek bagi Tahun 2022/2023 kerana berjaya
menganjurkan majlis sentiasa dinanti-nantikan oleh murid-murid, guru-guru serta ibu
bapa. Kita turut mengetahui pentingnya majlis ini diadakan bagi mengiktiraf murid-
murid yang telah berusaha memperoleh pelbagai bentuk kejayaan baik akademik,
kokurikulum dan sahsiah.

Seterusnya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih


kepada pihak sekolah kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan
sepatah dua kata dalam majlis yang penuh bermakna ini.
Dengan peluang yang diberikan, saya ingin mengucapkan sekalung ucapan tahniah
dan syabas kepada murid-murid yang telah berjaya mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), Pentaksiran Bilik Darjah (PBD),
penglibatan dalam aktiviti kokurikulum seperti pertandingan ko-akademik dan sukan
yang dijalankan sepanjang tahun.
Murid-murid ini sewajarnya kita hargai dan raikan pada hari yang berbahagia ini.
Semoga majlis pada hari ini menjadi peristiwa bersejarah dan menjadi inspirasi
kepada semua murid untuk lebih giat berusaha bagi mencapai kecemerlangan untuk
peringkat yang seterusnya.

Hadirin-hadirat yang dihormati,


Cendekiawan ada menyatakan bahawa tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha
sepahit hempedu. Yakinlah bahawa kejayaan yang diterima oleh anakanda kita hari
ini bermula daripada usaha pelbagai pihak dan diri mereka sendiri. Maka, hari
berbahagia inilah saat yang paling sesuai untuk kita meraikan usaha-usaha ini.

Kepada guru-guru,
Terima kasih kerana tanpa anda, siapalah anak di hadapan kita hari ini. Kepada
guru juga, jadikanlah hari berbahagia ini sebagai pembakar semangat untuk terus
melahirkan generasi berilmu dan pewaris negara.

Kepada ibu bapa,


Berbanggalah akan anak-anak kita hari ini kerana telah berjaya menjadi yang terbaik
dalam kalangan yang terbaik. Buat anak yang tiada di sini, yakinlah bahawa
kejayaan masih luas buat mereka di luar sana. Janganlah kita selaku ibu bapa
berputus asa tetapi sokonglah anak-anak kita sehingga mereka berjaya dan
bahagia.

Kepada anakanda yang diraikan,


Jadikanlah hari ini sebagai motivasi untuk terus berusaha sehingga berjaya.
Perjalanan kamu semua masih panjang. Pastikan diri kamu sentiasa berusaha dan
jangan sesekali terlintas untuk berputus asa. Yakinlah bahawa kejayaan tidak akan
khianati usaha. Akhir kata, jangan lupa berdoa supaya turut menjadi murid yang
berjaya di dunia dan akhirat.

Hadirin-hadirat yang dihormati,


Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air.
Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Hari Apresiasi
Sekolah Kebangsaan Tasek bagi Tahun 2022/2023.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
dan salam sejahtera.

You might also like