You are on page 1of 4

TEKS UCAPAN UCAPAN GURU BESAR

Terima Kasih Saudari Pengacara Majlis,


Yang Berbahagia Kaunselor (Clr) Datuk Mazlan Bin Abdul Rahman
Ketua WHIP Ahli Majlis Bandaraya Ipoh,

Yang Dihormati Encik Mohd Khairulnizam Bin Jaafar


Naib Yang Dipertua PIBG SK Perpaduan,

Yang Dihormati Encik Sezali Bin Sharif


Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Perpaduan

Barisan Guru Penolong Kanan SK Perpaduan, AJK PIBG

Dif-dif jemputan

Guru-guru, ibu bapa, serta murid-murid yang diraikan sekalian.


……………………………………………………………………………………………………….

      Izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT
kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya maka kita dapat berkumpul dalam
dewan yang indah ini bagi melaksanakan satu lagi agenda pendidikan yang diatur
oleh pihak pengurusan sekolah. Ucapan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa
Pengelola Majlis ini yang dipimpin oleh Puan Zuhaidah Bt Ibrahim Guru Penolong
Kanan Pentadbiran dan Ahli Jawatnkuasa Majlis Anugerah Akademik yang
tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan dengan lancar dan
teratur. Kita sedar, majlis seumpama ini amat perlu dijalankan untuk memberi
makna kepada kehidupan anak-anak yang bakal mewarisi masa depan negara.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

      Saban tahun, pihak sekolah tidak pernah lupa mengadakan majlis untuk
meraikan kejayaan cemerlang pelajar-pelajar dalam bidang kurikulum mahupun
kokurikulum. Malahan bagi saya, majlis ini diadakan khusus untuk meraikan para
ibu bapa yang sentiasa meletakkan kecemerlangan dan kejayaan anak-anak
sebagai agenda pertama dalam kehidupan mereka. Jadi pada kesempatan ini saya
bagi pihak sekolah ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas bukan sahaja
kepada para pelajar yang bakal menerima anugerah malahan ibu bapa juga para
guru yang menjadi nadi atau tulang belakang sehingga membuahkan kejayaan
untuk mereka.

      Sebenarnya, kejayaan seorang pelajar tidak hanya terletak pada usaha dan
kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata. Kita sedar, bahawa guru-
guru di peringkat sekolah rendah perlu harus ‘Memberi’, agar para pelajar bersedia
untuk ‘Menerima’. Selain insan yang ibarat lilin yang membakar diri ini, ibu bapa
juga perlu sentiasa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan
anak-anak mereka. Didikan yang baik daripada kedua-dua ibu bapa dapat
membentuk nilai-nilai yang baik seperti rajin, gigih, sifat ingin tahu dan tidak
mengenal erti putus asa dalam setiap pelajar. Malahan tuan-tuan dan puan-puan,
pada saya yang paling utama kejayaan adalah terletak pada diri para pelajar itu
sendiri, agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya
ingin mengecapi kecemerlangan. 

Warga Dewan Yang Budiman,

     Sesungguhnya kita harus sedar bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak
laluan sukar yang perlu ditempuhi. Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, “Di
mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu
dalih”, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Oleh itu para
hadirin sekalian, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk mencipta
kejayaan demi kejayaan buat anak-anak kita. Pada saya, kejayaan anak-anak tuan-
tuan dan puan-puan merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran
buat tuan-tuan dan puan-puan sebagai ibu bapa mereka.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

      Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas
kepada semua penerima anugerah pada hari ini. Saya sangat berharap agar
kecemerlangan yang ditunjukkan oleh para penerima akan menjadi pemangkin
untuk para pelajar mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang
akademik dan bukan akademik pada masa hadapan. Anugerah yang diberikan
pada hari ini merupakan penghargaan pihak sekolah kepada para pelajar yang
telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pembelajaran pada tahun ini. Tahap
pencapaian yang ditunjukkan sudah tentu boleh menjadi contoh serta ikutan
kepada para pelajar lain untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka pada
masa akan datang. Dikesempatan ini juga saya ingin merakamkan jutaan tahniah
kepada guru-guru dan pelajar-pelajar kita yang telah mengharumkan nama baik
sekolah. Untuk pengetahuan Ibu bapa sekalian, antara pencapaian terbaik sekolah
ialah;
 Pertandingan Dai’e Cilik Karnival Fitrah Murid Orang Asli (KAFOA)- Sekolah kita
telah berjaya mendapat tempat ke-3 peringkat Kebangsaan. Johan Peringkat
negeri dan Daerah Kinta Utara.
 Johan dalam pertandingan Paluan Kompang Peringkat Daerah Kinta Utara
yang mana sekolah kita telah menjadi tuan rumah.
 Dalam pertandingan sukan, seorang murid kita iaitu adik Nur Wirdani Farzana
berjaya mewakili Pasukan hoki negeri Perak.
 Seorang murid kita juga berjaya mendapat tempat ke-3 dalam Pertandingan
menulis Cerpen Bahasa Melayu peringkat Daerah Kinta Utara.
 Dalam pertandingan Kolokium Project Based Learning Diorama Peringkat
Daerah Kinta Utara, sekolah kita berjaya mendapat tempat 7 daripada 10 buah
sekolah terbaik Daerah Kinta Utara.
 Serta banyak lagi kejayaan dalam ko akademik, kurikulum dan kokorikulum
terutama di peringkat daerah dan kelompok.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

       Saya pasti bahawa seluruh warga dewan pada hari ini sedar, bahawa pelajar-
pelajar yang kita raikan hari ini merupakan waris yang bakal mendukung impian
dan harapan Negara. Untuk itu, saya menyeru kepada hadirin sekalian agar dapat
sama-sama berganding bahu meningkatkan kualiti hidup sihat dalam kalangan
anak-anak. Sihat yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu kepada kesihatan
tubuh badan malahan kesihatan minda supaya harapan dan impian tuan-tuan dan
puan-puan akan direalisasikan sama seperti harapan dan impian seperti mana
yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara. Maka saya ingin
menyeru kepada diri saya dan tuan-tuan dan puan-puan sekalian, marilah kita
saling bergandingan bagi memastikan para penerima anugerah ini bakal menjadi
sebahagian warna-warna kegembiraan Negara pada masa hadapan dan bukan
merupakan secalit warna kehancuran atas kealpaan dan kelekaan kita. Insya’Allah.
Saya juga mengucapakan jutaan terima kasih kepada semua yang telah
memberikan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan atau tenaga terutama
kepada PIBG sekolah, pembekal-pembekal buku sekolah dan sebagainya yang
bertungkus lumus menjayakan majlis anugerah akademik kita pada hari ini. Izinkan
saya tamatkan ucapan saya dengan 2 rangkap pantun;

Kembara laksamana ke Tanjung Lokan,


Berehat sebentar di pohon tualang,
Salam tahniah kami ucapkan,
Kepada penerima anugerah cemerlang.

Segak pangeran berselendang layah,


Di balik pualam kuntuman puspita,
Pelajar disiplin diberi anugerah,
Penyejuk mata guru tercinta.

Sekian terima kasih.

You might also like