You are on page 1of 2

BAHASA LAMBANG PERPADUAN

RAKYAT

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam pidato saya titipkan buat semua.

Sejambak kasih, seharum kasturi buat saudara/saudari peneraju majlis, kombinasi


kehakiman yang berlandaskan neraca keadilan, guru-guru penggerak generasi berwawasan
seterusnya warga dewan yang berkarisma.

Arena pada hari ini saya lakari dengan sebuah pidato berpaksikan tajuk ‘Bahasa
Lambang Perpaduan Rakyat’.
Dalam satu persidangan antarabangsa bertajuk 'Pengajian Melayu 2014 Hubungan
Malaysia-China' di Beijing, Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, bahasa
Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta
orang penutur. Hal ini menunjukkan bahawa Bahasa Melayu kini menjadi bahasa yang
boleh dipelajari dan dituturkan oleh sesiapa sahaja.

Hadirin yang dimuliakan,

Meniti hujah saya yang pertama. Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan. Di
Malaysia, terdapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu
merupakan penduduk asal Malaysia dengan kepadatan melebihi lima puluh peratus
daripada keseluruhan warganegara di sini. Oleh sebab itu, Bahasa Melayu dipilih sebagai
bahasa kebangsaan berdasarkan kaum majoriti penduduk. Menurut Penyata Razak 1957
dalam asas Ordinan Pelajaran 1957, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai alat
untuk meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara penduduk yang berbilang kaum.

Warga dewan yang cakna sekalian,

Hujah saya yang kedua. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai teras perpaduan bangsa
Malaysia diperkukuhkan apabila kehadirannya tidak pernah disangsikan oleh kaum-kaum
lain. Rahsia Bahasa Melayu tetap diyakini sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
perpaduan hingga kini adalah kerana jaminan yang diberikan dalam Perlembagaan
Malaysia iaitu bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan dengan bebas.
Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang dilancarkan pada 11 Disember 1987
membuktikan betapa seriusnya kerajaan dalam mengangkat martabat bahasa ini sebagai
bahasa komunikasi utama pelbagai kaum. Sejak itu banyak kegiatan kebahasaan turut
melibatkan pelbagai kaum telah diadakan.

Warga dewan yang setia,

Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa ilmu dalam bidang pendidikan
kebangsaan. Begitulah hujah saya yang ketiga. Bahasa ilmu adalah bahasa yang digunakan
untuk mengungkap ilmu dan memiliki ciri-ciri yang tersendiri. Ciri-ciri yang terdapat dalam
bahasa Melayu itu yang menjadikannya sebagai bahasa wahana ilmu kerana kemantapan
yang ada memudahkan ia menyerap pelbagai budaya ilmu. Bahasa Melayu mampu
bersaing dan berdaya maju dalam mencapai bahasa ilmu.

Intihanya, Bahasa Melayu yang dahulunya hanya berperanan sebagai ‘linguafranca’


dan juga ‘bahasa kedua’ akhirnya menjadi bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa
ilmu, bahasa komunikasi, bahasa perundangan dan bahasa yang dapat mengungkapkan
pelbagai genre dan domain ilmu.

Akhir kata,

Yang kurik itu kendi,


Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa

Sekian terima kasih.

You might also like