You are on page 1of 5

FAKTA KES

Perayu/Pengadu iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah membuat aduan jenayah Qazaf
terhadap Orang Yang Diadu iaitu Tan Sri Shafee Abdullah yang menuduhnya meliwat Saiful
Bukhari tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil, kepada pegawai
penguatkuasa Agama Islam Selangor. Walaubagaimanapun, pihak penguatkuasa agama telah
menghentikan siasatan atas ketiadaan undang-undang di bawah Enakmen Jenayah Syariah
(Negeri Selangor) 1995 berhubung dengan kesalahan Qazaf berkaitan kes liwat. Perayu
kemudian telah membuat aduan kepada hakim di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor
dan memohon Mahkamah mengeluarkan saman kepada Responden melalui prosiding di
bawah Seksyen 74 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

Setelah mendengar permohonan ini, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor telah
menolak permohonan Perayu untuk memulakan prosiding Qazaf. Hakim Syarie Mohamed
Fouzi Mokhtar berpandangan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang
kuasa untuk mendengar permohonan tersebut berikutan perbuatan liwat tidak termasuk dalam
kesalahan Qazaf. Perkataan 'zina' yang disebut di dalam kesalahan Qazaf di bawah Seksyen
36 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 telah ditafsirkan sebagai persetubuhan
antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah sahaja tanpa memasukkan perbuatan liwat di
dalamnya.

Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah, Perayu telah merayu
kepada Mahkamah Rayuan Syariah Selangor.

ISU UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH

Isu-isu undang-undang yang timbul di adalah seperti berikut: -

(i) Sama ada Perayu/Pengadu telah memenuhi kehendak Seksyen 36 Enakmen


Jenayah Syariah Selangor 1995; dan

(ii) Sama ada tuduhan melakukan perbuatan liwat juga boleh ditafsirkan sebagai zina
berdasarkan kepada hukum syara’ dan undang-undang?
PENGHUJAHAN DI PIHAK PERAYU/PENGADU

Perayu dalam penghujahan bertulis dan lisannya, menghujahkan tuduhan liwat juga
termasuk dalam makna zina. Tafsiran Perayu tersebut adalah bagi membolehkan seksyen 36
digunapakai sebagai asas kesalahan qazaf ke atas Orang Yang Diadu. Perayu mengemukakan
nas dari kitab al-Tasri’ al- Jina’ie al-Islamiy, kitab Mughni al-Mukhtaj, Kitab al-Fiqh al-
Manhaji dan Qanun Jinayah Syar’iyah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam
Berdasarkan Quran dan Hadith.

PENGHUJAHAN DI PIHAK PENDAKWA SYARIE

Kes ini tidak melibatkan Pendakwa Syarie kerana dalam kes ini, Pengadu telah membuat
aduan secara bersumpah kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di dalam Borang
6.

KEPUTUSAN DAN ALASAN PENGHAKIMAN

Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menolak rayuan Perayu dan telah bersetuju
dengan pandangan Mahkamah Tinggi bahawa pengertian “zina” yang disebut di dalam
kesalahan Qazaf di bawah Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
telah ditakrifkan dalam Seksyen 2 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sebagai
“persetubuhan antara lelaki dan perempuan tanpa nikah” dan pentakrifan lain daripada ini
adalah tidak dibenarkan oleh undang-undang.

Mahkamah Rayuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan


bahawa tafsiran zina yang diperuntukkan oleh Seksyen 2 Enakmen Jenayah Syariah
(Selangor) 1995 adalah tidak bertentangan dengan hukum syarak, memandangkan para ulama
juga berbeza pendapat berkaitan isu ini. Mahkamah telah bersetuju bahawa pandangan Imam
Abu Hanifah diterima oleh pihak penggubal untuk menetapkan hanya tuduhan zina sahaja
yang dianggap sebagai qazaf, manakala tuduhan liwat dianggap sebagai kesalahan takzir.

2
ULASAN PELAJAR

Berdasarkan kes ini, dapat diperhatikan bahawa Mahkamah telah menggunakan


pendekatan tafsiran secara literal bagi menafsir peruntukan Seksyen 36 Enakmen Jenayah
Syariah (Negeri Selangor) 1995. Pentafsiran secara literal menghadkan kesalahan Qazaf
kepada tuduhan zina atau tuduhan seseorang lelaki dan perempuan melakukan persetubuhan
haram tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Pendekatan pentafsiran secara literal ini telah
mengecualikan kes menuduh orang lain melakukan liwat tanpa bukti yang mencukupi
sebagai kesalahan Qazaf. Justeru, aduan yang dibuat oleh Perayu/Pengadu terhadap Orang
Yang Diadu melakukan kesalahan Qazaf dalam kes liwat adalah tidak relevan.

Menuduh dengan perbuatan liwat di sisi Imam Malik, Imam Shafie dan Imam Ahmad
hukumnya adalah sama seperti menuduh seseorang melakukan zina kerana liwat adalah zina
dan peliwat adalah penzina sama ada ia sebagai pelaku atau penerima perlakuan itu, tidak
kira ia lelaki atau perempuan, manakala Imam Abu Hanifah berpandangan bahawa tuduhan
liwat tidak dianggap sebagai qazaf.

Meskipun Malaysia pada umummnya mengikuti dan mengamalkan mazhab Shafie,


namun Seksyen 2 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 adalah tidak bertentangan
dengan syarak hanya kerana takrifan zina yang tidak merangkumi liwat, adalah bukan
berdasarkan pandangan mazhab Shafie, tetapi lebih cenderung kepada mengikuti pandangan
Imam Abu Hanifah.

Mahkamah tidak boleh menafsir secara kontekstual dan adalah terikat untuk
menggunakan tafsiran secara literal memandangkan “zina” yang disebut dalam Seksyen 36
telah ditafsirkan secara jelas melalui Seksyen 2 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Meskipun, diakui seharusnya tafsiran “zina” itu diperluaskan bagi turut meliputi liwat,
namun Mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menafsir undang-undang yang sudah jelas
diperuntukkan dalam enakmen-enakmen. Mahkamah juga tidak mempunyai bidang kuasa
untuk mengubah atau membetulkan peruntukan dalam enakmen-enakmen.

Tugas mahkamah adalah sekadar untuk menafsir undang-undang (interpret the law) dan
bagi peruntukan yang jelas, Mahkamah perlu menafsir secara literal. Mahkamah semasa
mentafsir peruntukan undang-undang tidak boleh menggubal undang-undang kerana
fungsinya hanya untuk menerangkan undang-undang dan bukan untuk menggubal undang-

3
undang, yang merupakan tugas pihak penggubal iaitu Dewan Undangan Negeri. Justeru,
Mahkamah telah bertindak dengan benar.

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan terdapat ketidakadilan kepada pihak


Perayu/Pengadu kerana, Mahkamah adalah terbatas untuk membenarkan permohonannya
hanya atas dasar kelompongan dalam peruntukan undang-undang. Di sini, maruah
Perayu/Pengadu telah terjejas dan tangan Mahkamah adalah terikat daripada mengambil
tindakan.

Berdasarkan pendapat Imam Abu Hanifah, tuduhan liwat merupakan suatu bentuk
kesalahan takzir. Walau bagaimanapun, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak pula
memperuntukkan kesalahan jenayah berasingan untuk tuduhan liwat. Hal ini menyebabkan
terdapat kemungkinan bahawa individu yang dituduh melakukan liwat tidak dapat mendakwa
orang yang menuduhnya di mahkamah syariah, sama ada untuk tuduhan qazaf ataupun
tuduhan melakukan maksiat.

Pada zaman moden dengan pelbagai medium-medium komunikasi, semakin bebas


sesiapa pun boleh menuduh seseorang melakukan maksiat yang melibatkan salah laku seks
yang bertujuan menjatuhkan maruah dan mencapai matlamat tertentu. Namun, kelompongan
dalam peruntukan undang-undang menyebabkan individu yang dituduh teraniaya dan
maruahnya tercemar kerana tidak dapat mempertahankan maruahnya apabila dirinya didakwa
melakukan zina atau liwat.

Meskipun, mangsa qazaf turut mempunyai alternatif lain seperti mengemukakan


saman sivil, iaitu saman fitnah terhadap orang yang menuduhnya. Namun, saman sivil sudah
tentu menuntut kos guaman yang tinggi dan mengambil masa yang panjang, sedangkan
Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa yang kompeten untuk membicarakan kesalahan
qazaf, dan mangsa qazaf tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi daripada poket sendiri
kerana pendakwaan akan dilakukan oleh Pendakwa Syarie.

Antara cadangan bagi mengatasi permasalahan di atas adalah, meminda Enakmen


Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dengan menambah peruntukan takzir bagi kesalahan orang
yang menuduh seseorang melakukan perbuatan liwat, sepertimana pandangan Imam Abu
Hanifah. Meskipun tuduhan liwat itu tidak seburuk tuduhan zina dalam qazaf, namun
penuduh liwat tidak terlepas begitu sahaja dan individu yang merasakan dirinya teraniaya
masih boleh membersihkan namanya di Mahkamah Syariah.

4
Namun begitu, cadangan yang lebih berkesan adalah untuk meminda Enakmen Jenayah
Syariah (Selangor) 1995 dan mengiktiraf tuduhan liwat sebagai jenayah qazaf, sepertimana
negeri Kedah, Perak dan Negeri Sembilan, dan menyeragamkan definisi qazaf dan
aplikasinya di negeri-negeri lain.

You might also like