You are on page 1of 22

ISU KESELAMATAN MALAYSIA (HNP3073)

KUMPULAN KULIAH : A

NAMA PENSYARAH : DR. NADIRAH BINTI MOHD AZMI

TUGASAN KUMPULAN 7
TAJUK :
PEMERDAGANGAN MANUSIA

NAMA PELAJAR NO.MATRIK


MUHAMMAD SOFYAN BIN ASNAWI D20181084394
NADIAH SYAKIRAH BINTI AZMI D20181084398
MELNIRA JINUS D20181084403
NORHAZIQAH BINTI MOHD HAFIDZ D20181084409
MOHAMAD AZMI BIN MOHD ZAIB D20181084442
ISI KANDUNGAN

BIL KANDUNGAN MUKA SURAT


1. 1.0 PENGENALAN 1-2
2. 2.0 ANALISIS ISU PEMERDAGANGAN MANUSIA
SEBAGAI ANCAMAN TERHADAP KESELAMATAN
NEGARA
2.1 Eksploitasi Seksual 2-3
2.2 Kem Sindiket Pemerdagangan Manusia 4
2.3 Sindiket Tawaran Peluang Pekerjaan 4-5
2.4 Penyeludupan Organ 5
2.5 Penyeludupan Migran 6
3. 3.0 FAKTOR BERLAKUNYA PEMERDAGANGAN
MANUSIA
3.1Permintaan Perkhidmatan Buruh Murah 6-7
3.2 Kedudukan Geografi 7
3.3 Globalisasi 8

4. 4.0 KESAN PEMERDAGANGAN MANUSIA


TERHADAP NILAI TERAS NEGARA
4.1 Keutuhan Ekonomi 8-9
4.2 Keadilan Sosial 9-10
4.3 Keselamatan Rakyat 10
5. 5.0 MEKANISME DALAM MENGATASI
PEMERDAGANGAN MANUSIA
5.1 Akta Antipemerdagangan Orang (ATIP) 2007 11
5.2 Penubuhan Majlis Antipemerdagangan Orang dan 11-12
Antipenyeludupan Orang (MAPO)
5.3 Kerajaan Mewujudkan Koordinasi Dan Kerjasama 12
Antarabangsa
5.4 Perjanjian Memorandum Of Understanding (MOU) On 13
Combating Transnational Crime/Security
6. 6.0 CABARAN MENGATASI ISU PEMERDAGANGAN
MANUSIA
6.1 Kelemahan Penguatkuasaan Undang-Undang 14
6.2 Kawalan Pintu Masuk Sempadan Yang Lemah 15
6.3 Kegiatan Rasuah 15-16
7. 7.0 RUMUSAN 17
8. 8.0 RUJUKAN 18-20
1.0 PENGENALAN

Berdasarkan Seksyen 2, Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,


pemerdagangan orang bermaksud segala perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau
pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan dan termasuklah
merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang
bagi maksud eksploitasi. Pemerdagangan manusia melibatkan bentuk eksploitasi seks, kerja
atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menunjukkan kegiatan perhambaan,
pengabdian serta aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk pemindahan organ
manusia. Dalam konteks isu pemerdagangan manusia terhadap ancaman keselamatan negara,
pemerdagangan manusia merupakan jenayah ketiga tertinggi di dunia selepas pengedaran
dadah serta penyeludupan senjata api (Bernama, 2021). Isu pemerdagangan manusia ini telah
menjadi ancaman global yang terus mengancam kebebasan manusia tidak mengira lelaki
mahupun wanita serta kanak-kanak yang sering menjadi mangsa pemerdagangan di seluruh
dunia.

Menurut Berita Harian (2017), China, Sudan dan Korea Utara termasuk dalam senarai
pesalah pemerdagangan manusia yang paling serius di dunia berdasarkan Laporan
Pemerdagangan Manusia. Seperti yang berlaku di China, pihak berkuasa negara China didakwa
mengeluarkan buah pinggang, jantung, hati dan kornea mata dari 100 ribu banduan tahanan
setiap tahun secara paksa dalam penyeludupan organ (Utusan, 2021). Selain itu, Amerika
Syarikat turut disenaraikan sebagai salah satu negara terburuk di dunia dalam isu
pemerdagangan manusia apabila Laporan Perdagangan Manusia (TIP) yang dikeluarkan oleh
Jabatan Negara Amerika Syarikat pada tahun 2018 menunjukkan mangsa pemerdagangan
manusia berasal dari negara Amerika Syarikat, Mexico dan Filipina dan kebanyakannya
menjadi mangsa eksploitasi seks kerana permintaan di seluruh dunia (Elizabethon, 2020).
Malaysia antara negara yang tidak terkecuali daripada kegiatan pemerdagangan manusia ini
apabila statistik insiden jenayah pemerdagangan orang membabitkan sehingga 10,463 mangsa
setakat tahun 2021 dari tahun 2015 (Hidayah, 2021).

Pemerdagangan manusia melibatkan tiga jenis negara iaitu negara sumber, negara
transit dan negara destinasi serta hampir kesemua negara terlibat dengan kegiatan jenayah ini.
Negara sumber adalah negara di mana orang yang didagangkan berasal, manakala negara
sumber merupakan negara yang menjadi tumpuan sindiket dalam mencari mangsa untuk

1
pemerdagangan. Akhir sekali, negara destinasi adalah negara penerima mangsa
pemerdagangan manusia (Nurul Amirah, Nooraini, Wardastul Aishah, 2019).

Menurut Berita Harian (2016), Malaysia berada sebagai negara destinasi dalam sindiket
pemerdagangan manusia yang menempatkan pendatang kerana peluang pekerjaan atas faktor
ekonomi. Malaysia juga turut menjadi negara sumber dan transit dalam skala kecil bagi jenayah
pemerdagangan manusia terutamanya kes eksploitasi seksual dan buruh. Terdapat juga aduan
yang diterima oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengenai
terdapat mangsa yang terlibat dengan pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks
dan buruh di Malaysia. Malaysia tidak dapat lari dalam kegiatan jenayah ini kerana
pemerdagangan manusia merupakan isu global yang mengancam keselamatan hampir
kesemua negara dan jenayah rentas sempadan sama ada negara yang maju mahupun negara
yang sedang membangun seperti Malaysia. Pelbagai faktor berlakunya isu ini yang mengancam
keselamatan negara serta implikasi yang diterima dalam menghadapi masalah jenayah ini.
Malaysia juga merupakan negara yang berisiko tinggi untuk menjadi lokasi mangsa
pemerdagangan manusia dari pelbagai negara. Oleh itu, terdapat beberapa cabaran dalam
menghadapai isu yang mengancam keselamatan seluruh negara termasuk Malaysia yang masih
tidak dapat dibendung.

2.0 ANALISIS ISU PEMERDAGANGAN MANUSIA SEBAGAI ANCAMAN


TERHADAP KESELAMATAN NEGARA

2.1 Eksploitasi Seksual

Eksploitasi ialah perbuatan dengan atau tanpa persetujuan mangsa yang tidak terhad kepada
pelacuran, buruh paksa atau perkhidmatan. Eksploitasi seks merupakan jenayah yang kerap
berlaku dalam isu pemerdagangan orang dan apabila berkaitan dengan isu ini, mangsa
kebiasaanya dijanjikan pekerjaan yang mendatangkan gaji lumayan dan diseludup secara aram
untuk terjerumus dalam kegiatan pelacuran. Menurut Tan (2016), pemerdagangan wanita dan
kanak-kanak perempuan dilaporkan akan terus meningkat untuk tujuan perkahwinan dan seks
serta operasi pemerdagangan manusia secara haram ini berlaku di kawasan luar bandar, bandar-
bandar kecil serta bandar besar seperti Kuala Lumpur, Malaysia. Isu ini dilihat mengancam
keselamatan negara kerana ia melibatkan keselamatan rakyat yang terancam oleh penjenayah

2
pemerdagangan manusia terutamanya mangsa bagi eksploitasi seks ini kebanyakannya dalam
kalangan wanita dan kanak-kanak.

Antara kes eksploitasi seks yang berlaku di Malaysia menurut Berita Harian (2017),
berkenaan dengan kejadian serbuan ke atas sebuah premis hiburan di Taman Tunku Haminah,
Sungai Petani yang telah berjaya menyelamatkan 18 orang warga asing dari menjadi mangsa
eksploitasi seksual. Dalam serbuan tersebut, polis turut sama menahan individu yang menjaga
premis tersebut. Selain itu, terdapat juga kes eksploitasi seks yang melibatkan warganegara
asing dengan menunjukkan kesungguhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras
jenayah ini di Ipoh, Perak pada 11 Mac 2017 apabila polis telah berjaya menyelamatkan 20
orang mangsa eksploitasi seksual. Mangsa terdiri daripada 19 orang wanita warga Myanmar
dan seorang wanita warga Vietnam. Mereka berjaya menahan pekerja yang berkaitan dan
merampas barangan seperti wang tunai, kondom,’walkie talkie’, televisyen, telefon bimbit,
close circuit television (CCTV) alat kawalan jauh pintu rahsia serta utama, lesen perniagaan
dan mesin pengira (Utusan Melayu, 12 Mac 2017).

Di samping itu, bukti kesungguhan dan usaha PDRM dalam membanteras jenayah ini
adalah kes di Alor Setar, pihak PDRM telah berjaya menyelamatkan tiga wanita warganegara
Thailand yang menjadi mangsa eksploitasi seksual di sebuah hotel bajet di Jalan Lengkok Sari.
Di samping itu, menahan penjaga premis dan merampas barangan seperti kondom, tiub KY
Jelly dan buku catatan pelanggan (Sinar Harian, 7 April 2017). Antara kes eksploitasi seks
yang melibatkan wanita bawah umur melibatkan tiga orang remaja perempuan berusia 13
hingga 15 tahun di sebuah premis kecantikan di Jalan Air Hitam, Batu 21, Kulai, Johor.
Menurut Berita Harian (2021), mangsa merupakan rakyat tempayan yang telah diselamatkan
melalui serbuan yang dijalankan oleh pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian
Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai. Oleh itu, berdasarkan
analisis kes eksploitasi seks, kebanyakannya mangsa daripada golongan wanita yang sering
dilibatkan dalam masalah pemerdagangan manusia untuk perkhidmatan seks serta aktiviti
pelacuran. Berdasarkan analisis juga, Malaysia dilihat sebagai negara destinasi dalam
menerima mangsa-mangsa pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks dari negara
asing seperti Myanmar, Thailand, Vietnam dan sebagainya. Jenayah ini jelas mengancam
keselamatan negara apabila melibatkan mangsa daripada negara luar yang mampu memberi
kesan terhadap pencemaran imej negara.

3
2.2 Kem Sindiket Pemerdagangan Manusia

Pada 1 Jun 2015, satu kem transit pemerdagangan manusia telah dijumpai di Hutan Simpan
Mata Ayer di Lubuk Sireh yang terletak 100 meter dari sempadan Thailand. Berdasarkan
siasatan, terdapat 35 rangka manusia yang dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia
yang telah dijumpai di hutan Bukit Wang Burma, Wang Kelian. Terdapat 28 kem yang
dijumpai serta 139 kubur seluas 11 kilometer telah ditemui dan PDRM mendapati bahawa
individu yang terlibat dengan jenayah ini telah bersembunyi di Ranong, Thailand yang
bersempadan dengan Kawthoung, Myanmar (Astro Awani, 2015). Terdapat 28 khemah yang
dipercayai pernah digunakan untuk tujuan sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia
yang telah ditinggalkan kosong sejak beberapa bulan (Astro Awani, 2015). Menurut Berita
Harian (2017), pasukan projek khas daripada akhbar New Straits Times (NST) telah mendapati
bahawa kem tersebut merupakan lokasi transit kepada pendatang asing yang ingin memasuki
Malaysia. Siasatan yang dilakukan dipercayai mengandungi ratusan mayat pendatang asing
khususnya dari Myanmar dan Bangladesh (Utusan, 2015).

Menurut Berita Harian (2021), suspek bagi kes ini yang dikehendaki oleh pihak
berkuasa Malaysia telah ditahan dan mereka berkemungkinan akan diekstradisi ke Malaysia.
Suspek sebanyak tiga orang yang berasal dari Thailand dan menurut Prayuth Phektun yang
merupakan Jurucakap Pejabat Peguam Negara (OAG) berkata, mereka merupakan di antara
sembilan anggota kumpulan pemerdagangan orang yang dikehendaki oleh pihak berkuasa
Malaysia dalam tragedi kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian. Sindiket kem
pemerdagangan manusia yang berlaku di Wang Kelian ini jelas mengancam keselamatan
negara, bahkan penduduk setempat apabila berlakunya jenayah terancang ini dengan penemuan
kubu besar serta penempatan sementara bagi aktiviti pemerdagangan orang.

2.3 Sindiket Tawaran Peluang Pekerjaan

Seterusnya, tawaran peluang pekerjaan juga merupakan antara modus operandi yang
digunakan oleh sindiket pemerdagangan manusia untuk menipu mangsa mereka. Sebagaimana
kes yang dilaporkan dalam Berita Harian, 26 November 2021, ‘Sindiket pemerdagangan
manusia tumpas, 3 polis ditahan’. Berikut merupakan antara kes yang melibatkan operasi yang
dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut dibantu agensi-agensi lain di Baling,
Kedah. Sindiket tersebut telah aktif sejak 10 tahun lepas membabitkan penyeludupan warga
India ke Eropah dari sempadan negara. Namun, ianya terbongkar selepas penangkapan dalang
utama sindiket tersebut dan tiga orang anggota polis yang bersubahat sebagai pengatur dan
4
pengangkut atau ejen pembawa warga asing keluar ke Thailand. Seramai 44 lelaki warga India
telah ditahan dalam operasi tersebut yang menjadi mangsa kepada sindiket tersebut untuk
dihantar ke negara Eropah untuk bekerja dengan bayaran RM 4,000 hingga RM 5,000 seorang.
Kejayaan tersebut telah berjaya menghapuskan satu lagi sindiket pemerdagangan manusia yang
aktif di negara kita sekali gus mampu mengurangkan ancaman kepada keselamatan negara.

2.4 Penyeludupan Organ

Penyeludupan organ merupakan salah satu aktiviti pemerdagangan orang yang kebanyakan
sumbernya diperoleh dari negara miskin dan mundur untuk dieksploitasi ke dalam negara lain
secara haram. Seperti yang berlaku di China, menurut Berita Harian (2021), pakar hak asasi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mendapat maklumat bahawa tahanan masyarakat
minoriti di China telah menjadi sasaran untuk pengambilan organ secara paksa. Kes ini
dianggap sebagai tuduhan oleh Beijing tetapi seramai 12 pakar yang diberi mandat oleh PBB
mengaggap sebagai tuduhan tersebut sebagai suatu kebimbangan yang perlu dipandang serius.
Antara dakwaan yang didapati adalah tahanan komuniti minoriti di China dipaksa untuk
menjalani ujian darah serta pemeriksaan organ termasuk menggunakan ultrasound dan sinar-X
tanpa persetujuan dan pengambilan organ secara paksa ini menyasarkan komuniti minoriti
mengikut agama, bahasa serta etnik tertentu.

Masalah penyeludupan organ pernah dikatakan tidak wujud sebarang kegiatan haram
sebegini di Malaysia menurut mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor
(2019) dalam Sinar Harian. Walau bagaimanapun, dalam aspek ancaman keselamatan negara,
terdapat warganegara Malaysia telah disyaki terlibat dalam kegiatan penjualan orgam secara
haram di pasaran gelap antarabangsa. Suspek berusia 48 tahun yang berasal dari Kuching,
Sarawak serta suspek pernah diburu oleh polis Sarawak selepas tular satu berita yang
berpangkalan di United Kingdom yang mendedahkan kegiatan tersebut (Astro Awani, 2020).
Berdasarkan laporan yang diterima, penyeludupan dan penjualan organ secara haram ini pernah
diiklankan di laman sosial seperti Facebook serta suspek turut pernah membuat penawaran
pembelian organ daripada individu yang memerlukan bagi memperoleh wang dari seluruh
dunia (Astro Awani, 2020). Oleh itu, berdasarkan kes berikut, walaupun penyeludupan tersebut
berlaku di luar negara, tetapi isu ini melibatkan warganegara Malaysia yang mengancam
keselamatan penduduk antarabangsa serta telah menjadi tanggungjawab negara untuk
membantu siasatan dalam membendung jenayah ini daripada berterusan berlaku lebih-lebih
lagi melibatkan pihak luar negara.

5
2.5 Penyeludupan Migran

Penyeludupan migran merupakan jenayah yang terkenal kerana ia memberi keuntungan yang
besar terhadap penyeludup berdasarkan bayaran yang dikenakan. Aktiviti ini merupakan
kegiatan haram yang bertaraf antarabangsa bahkan terdapat kes di mana, kanak-kanak dan
wanita dipaksa untuk menjadi buruh paksa, keldai dadah termasuklah aktiviti pelacuran. Dalam
konteks Malaysia, isu pemerdagangan manusia dalam kes penyeludupan migran tidak asing
lagi apabila Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (2012), menerusi laporan yang
dikeluarkan mengatakan bahawa mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia, dua juta
daripadanya merupakan mangsa pekerja asing yang tidak sah. Malaysia menjadi negara
destinasi dalam menerima penyeludupan migran bagi tujuan ekonomi khususnya dari negara
Indonesia, Thailand, Vietnam, Myanmar, Nepal, Bangladesh dan sebagainya.

Menurut Berita Harian (2021), terdapat 33 lokasi penyeludupan migran yang telah
dikenal pasti oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang dikenali
sebagai lokasi yang sering menjadi tumpuan bagi jenayah penyeludupan migran di Malaysia.
Antara lokasi penyeludupan migran adalah di Pantai Batu Putih-Sungai Padang di Perlis,
Sepang di Selangor, Port Dickson di Negeri Sembilan dan lain-lain lagi. Selain itu, menurut
Berita Harian (2021), Maritim Malaysia juga telah menumpaskan sindiket penyeludupan
pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diketuai oleh wanita warga asing dikenali sebagai Ibu
Ani. Sindiket tersebut berjaya ditumpaskan apabila terdapat penahanan terhadap 25 serta ejen
darat dan laut yang terlibat dalam jenayah ini. Kes ini, dilihat mengancam keselamatan negara
apabila, hasil penyiasatan mendapati bahawa sindiket penyeludupan migran ini telah berlaku
sejak tiga tahun lalu dan kembali aktif 4 bulan sebelum serbuan dibuat. Masalah ini telah
mengancam keselamatan rakyat apabila mereka terdedah dengan pelbagai risiko seperti
berlakunya peningkatan jenayah kerana latar belakang migran yang tidak dapat dikenal pasti.

3.0 FAKTOR BERLAKUNYA PEMERDAGANGAN MANUSIA

3.1 Permintaan Perkhidmatan Buruh Murah

Permintaan global terhadap perkhidmatan dan buruh murah ini memacu kepada jenayah
kompleks yang memerangkap jutaan mangsa untuk bekerja dalam sektor yang membayar upah
murah atau tiada upah langsung seperti pertanian, pembuatan, pembantu rumah dan industri
pelacuran. Golongan muda, wanita dan kanak-kanak kebanyakannya diperdaya untuk menjadi
6
buruh atau dieksploitasi secara seksual. Pemerdagangan manusia jelas menunjukkan
kekejaman dan sifat tidak berperikemanusiaan sebilangan individu demi mengaut keuntungan.
Menurut Gyles-McDonnough sebagai Wakil Residen Program Pembangunan PBB ke
Malaysia, Singapura dan Brunei mengatakan bahawa punca penolak sosio-ekonomi seperti
kemiskinan, ketidaksamaan gender, peluang kerja terhad dan kekurangan maklumat perlu
ditangani. Punca penarik pula adalah permintaan global terhadap perkhidmatan dan buruh
murah yang menjadi punca jenayah kompleks ini memerangkap jutaan mangsa.

Kepesatan pembangunan ekonomi yang bukan sahaja menarik para pelabur ke


Malaysia tetapi penghijrahan atau migrasi manusia memenuhi keperluan tenaga kerja untuk
sektor perusahaan, perladangan dan perkhidmatan. Sehubungan itu, keperluan tenaga kerja ini
telah membuka peluang kepada aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Bagi
buruh yang terikat, mangsa yang diseludup secara haram dipaksa melakukan kerja yang
melampaui keupayaan dan sekiranya mangsa menolak akan diugut untuk diserahkan kepada
pihak berkuasa. Ringkasnya, mangsa akan dimanipulasi sepenuhnya dan berada di bawah
pengawasan ketat dan tidak kurang ada juga mangsa yang didera dan tidak dibayar gaji.

3.2 Kedudukan Geografi

Faktor geografi Malaysia sebagai kawasan yang banyak perairan juga merupakan salah satu
punca berlakunya pemerdagangan manusia,. Hal ini dapat dilihat seperti kawasan di Zon
Maritim negeri Sabah yang luas. Kawasan Maritim negara Malaysia merangkumi Zon
Ekonomi Eksklusif (ZEE) seluas 614,000 kilometer persegi dan 148,307 kilometer persegi
Perairan Wilayah Malaysia (PWM) dengan persisiran pantai sepanjang 4,490 kilometer adalah
luas. Oleh itu, kawasan Maritim ini memerlukan komitmen yang tinggi untuk APMM
menangani jenayah yang berlaku. Misalnya, jarak antara Bandar Tawau dengan Pulau Sebatik
sangat dekat dan hanya dipisahkan oleh laut. Perjalanannya cuma mengambil masa 20 hingga
30 minit dengan menaiki speed-boat. Malahan, terdapat puluhan ‘laluan tikus’ yang digunakan
oleh penyeludup bagi menyeludup migran dengan menggunakan pintu belakang untuk
memasuki Bandar Tawau. Bahkan, wujud juga golongan pemilik bot atau perahu yang
mengambil peluang dengan mengibarkan bendera Malaysia mahupun Indonesia selepas
memasuki perairan perbatasan untuk mengelakkan ditahan pihak berkuasa demi meneruskan
kelangsungan hidup. Jelaslah bahawa kedudukan geografi juga mempengaruhi punca
berlakunya isu pemerdagangan manusia khusunya di Malaysia.

7
3.3 Globalisasi

Globalisasi diiktiraf sebagai salah satu yang utama faktor penyumbang kepada pemerdagangan
di Malaysia khususnya wanita. Dapatan yang diperolehi daripada pelbagai kajian terdahulu
dapat dirumuskan bahawa pemerdagangan wanita merupakan fenomena global yang dianggap
jenayah antarabangsa. Hal ini diperkukuh lagi apabila terdapat permintaan yang tinggi untuk
pemerdagangan khususnya untuk wanita. Menurut Shiela Devi (2013), pemerdagangan wanita
adalah yang kedua menguntungkan perniagaan selepas pengedaran dadah. Oleh demikian,
globalisasi secara tidak langsung memudahkan sindiket untuk beroperasi terutamanya
disebabkan oleh kemajuan dalam teknologi komunikasi dan pengangkutan seperti internet yang
memudahkan proses pengambilan mangsa.

Di samping itu, globalisasi ini juga disokong oleh Kara (2009), bahawa wanita yang
diperdagangkan adalah jauh lebih menguntungkan sebagai manusia, wanita diperalat sebagai
pelanggan bergilir. Selain itu, pemerdagangan wanita melibatkan perniagaan rentas sempadan
yang juga global perniagaan yang menjadikannya sangat menguntungkan di mata pengedar.
Hal ini juga disokong oleh Wan Nur Ibtisam (2014), wanita kemudiannya turut diperdagangkan
untuk bertujuan untuk mengandungkan bayi dan seterusnya bayi tersebut juga akan dijual
untuk mendapatkan keuntungan. Oleh itu, pemerdagangan adalah perniagaan rantaian yang
sangat menguntungkan pada penyeludup. Malaysia sebagai sebuah negara membangun yang
sedang berkembang mengalami kepesatan proses globalisasi yang mana pemerdagangan
wanita adalah antara kesan sosial yang negatif timbul daripada globalisasi di negara ini.

4.0 KESAN PEMERDAGANGAN MANUSIA TERHADAP NILAI TERAS NEGARA

4.1 Keutuhan Ekonomi

Ekonomi merupakan pengekalan aliran sumber ekonomi yang amat penting buat sesebuah
negara bagi meneruskan kehidupan dan mengekalkan fungsi sesebuah negara yang tidak
melibatkan aspek ketenteraan. Kos Jenayah pada asasnya adalah ukuran kesan jenayah
pemerdagangan manusia itu sendiri terhadap masayarakat. Jenayah terancang yang berlaku
kepada negara akan mengeluarkan perbelanjaan kos kepada polis bagi membuat penyiasatan,
pengumpulan bukti, perkhidmatan pendakwaan, mahkamah jenayah, dan kos perkhidmatan
penjara. Hal ini akan menyebabkan belakunya pembaziran sumber negara.

8
Tambahan pula, pemerdagangan manusia mengakibatkan kehilangan sumber manusia
yang tidak dapat dipulihkan dan pengurangan dalam hasil negara. Kegiatan pemerdagangan
manusia ini sama sekali tidak mendatangkan hasil cukai kepada negara, malah menyebabkan
kerugian hasil bersih negara akibat pengelakkan cukai dan pengubahan wang haram.
Seterusnya, berlaku permintaan perkhidmatan buruh yang murah. Dalam konteks ini, sektor
pembayaran upah akan menurun kerana pekerja dibayar dengan bayaran yang murah atau tidak
menerima upah langsung bagi menjalankan kerja seperti pertanian, pembantu rumah dan
industri pelacuran terutama bagi golongan muda, wanita dan kanak-kanak (Gyles-
McDonnough, 2013).

Kos ini dikaitkan dengan kos manusia dan sosial kepada mangsa dan komuniti termasuk
penderitaan fizikal dan emosi mangsa. Hal ini mungkin meningkatkan ketakutan dan
kebimbangan tentang jenayah ini hasil pengetahuan awam dan perhatian media. Jenayah
pemerdagangan manusia ini sering dikaitkan dengan keganasan dan rasuah yang menjejaskan
kos penguatkuasaan dan pembaharuan. Masyarakat juga akan beranggapan bahawa kerajaan
tidak dapat menangani organisasi jenayah. Oleh itu, kerajaan terpaksa menanggung kos
penjagaan dan sokongan berterusan kepada mangsa. Proses penghantaran pulang yang dibiayai
oleh kerajaan untuk membantu mangsa. Selain itu, kos perumahan kebajikan, kesihatan dan
tawaran kerja diberikan sehingga mangsa boleh berdikari akan memakan kos yang tinggi serta
menjadi beban utama ekonomi negara.

4.2 Keadilan Sosial

Kegiatan pemerdagangan manusia ini kebanyakan berlaku kepada mangsa yang mempunyai
taraf pendidikan yang rendah. Hal ini membuatkan mereka mudah terpedaya dan mangsa tidak
tahu saluran yang betul bagi mengatasi masalah yang berlaku (L.Y Arnakim & M. Zulhadis,
2021). Mangsa jenayah pemerdagangan manusia ini akan hidup dalam kemiskinan dan serba
kesusahan. Disamping itu, kanak-kanak turut menerima akibat kerana keluarga mereka
didagangkan. Oleh itu, golongan ini tidak mempunyai pendidikan dan latihan yang diperlukan
bagi mendapat tempat untuk bekerja serta tidak mampu untuk bersekolah disebabkan kos
terlalu tinggi.

Selain itu, pemerdagangan manusia menyebabkan beban perkhidmatan sosial kepada


pihak kerajaan. Perkhidmatan sosial seperti kesihatan, perlindungan dan pendidikan terpaksa
ditanggung oleh kerajaan. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pembaharuan dengan
melaksanakan Projek Rintis Rumah Perlindungan (RP) yang disokong oleh Badan-badan
9
Bukan Kerajaan (NGOs) bagi menampung mangsa pemerdagangan manusia. Menurut
Kementerian Dalam Negeri, kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM 801 ribu
bagi tujuan pelaksanaan projek. Dengan itu, kerajaan terpaksa berbelanja tinggi bagi
mencegah, menguatkuasakan undang-undang bagi melindungi hak asasi mangsa-mangsa
pemerdagangan manusia. Seterusnya, kerajaan melihat aktiviti pemerdagangan manusia ini
adalah jenayah rentas sempadan yang bersifat global yang menjejaskan negara. Malaysia
mengambil keputusan menggariskan dasar dan undang-undang bagi menangani masalah
pemerdagangan manusia. Malaysia mewujudkan undang-undang bagi menyentuh mengenai
bidang pencegahan, pemulihan dan perlindungan mangsa pemerdagangan manusia.

4.3 Keselamatan Negara

Di samping itu, kesan isu pemerdagangan manusia dapat dilihat terhadap keselamatan negara.
Jelas sekali jenayah-jenayah yang berlaku di sesebuah negara sama ada ianya jenayah
komersial atau bukan pasti akan mengancam keselamatan dan kedaulatan sesebuah negara.
Bagi isu pemerdagangan manusia ini, kesannya bukan sahaja dapat dilihat berlaku kepada
negara malah turut memberi impak kepada mangsa itu sendiri. Hal ini demikian, individu yang
menjadi mangsa pemerdagangan manusia ini akan mudah mendapat penyakit berjangkit seperti
HIV atau AIDS. Seperti yang diketahui isu pemerdagangan manusia ini sering berlaku terhadap
golongan wanita untuk dijadikan hamba seks dan juga golongan kanak-kanak untuk penjualan
organ atau buruh paksa. Maka penyakit seperti HIV itu akan mudah menular kepada mangsa
dan sudah pasti merosakkan masa depan mereka. Selain itu, pasti berlaku kecederaan terhadap
fizikal dan mental mangsa.

Menurut Lili Yulyadi Arnakim & Muhamad Zulhadis (2021), mangsa-mangsa tersebut
sukar untuk diberikan kesembuhan walaupun sudah berjaya dibebaskan disebabkan penderaan
emosi dan fizikal yang amat dahsyat. Oleh itu, perkara-perkara sedemikian sudah pasti akan
mengancam dan menggugat keselamatan negara. Hal ini demikian, isu-isu yang berlaku akan
merosakkan nama baik Malaysia kerana setiap jenayah yang berlaku di sesebuah negara pasti
mempunyai kedudukannya di peringkat global. Di Malaysia, isu pemerdagangan manusia ini
berada di tahap ketiga pada tahun 2021.

10
5.0 MEKANISME DALAM MENGATASI PEMERDAGANGAN MANUSIA

5.1 Akta Antipemerdagangan Orang (ATIP) 2007

Penggubalan satu undang-undang khusus iaitu Akta Antipemerdagangan Orang (ATIP) 2007
oleh kerajaan Malaysia adalah merupakan salah satu polisi dasar yang digubal bagi menangani
isu jenayah pemerdagangan manusia. Sebelum tahun 2007, tiada sebarang undang-undang
khusus di Malaysia membicarakan isu pemerdagangan atau penyeludupan manusia. Oleh itu,
pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras jenayah ini dengan merujuk kepada
undang-undang seperti Panel Code, Akta Kanak-Kanak dan Akta Imigresen 1959 dan 1963.
Justeru itu, pada 11 Julai 2007, ATIP (2007) telah digubal dan dilaksanakan pada Februari
2008 yang bertujuan untuk menangani isu jenayah pemerdagangan manusia di Malaysia secara
lebih berkesan.

Akta Antipemerdagangan Orang (2007) ini meliputi beberapa perkara iaitu


perlindungan dan sokongan kepada mangsa, hukuman kepada penjenayah, dan penubuhan
Majlis Anti Pemerdagangan Manusia. Namun begitu, pada tahun 2010, ATIP (2007 telah
dipinda dan dinamakan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran
(ATIPSOM). Pindaan akta tersebut telah meningkatkan penguatkuasaan akta tersebut yang
merangkumi pemerdagangan dan penyeludupan manusia bagi tujuan industri seksual, buruh
paksa, buruh terikat, eksploitasi buruh kanak-kanak, dan pemindahan organ manusia. Antara
undang-undang lain yang diguna pakai untuk melengkapi ATIPSOM ialah Akta Imigresen
1959 pindaan 1963, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Perlindungan Wanita 1973, Akta Agensi
Maritim Malaysia 2004 dan Akta Kastam 1967. Oleh yang demikian, mekanisma penggubalan
dasar polisi negara iaitu ATIPSOM mampu meningkatkan penguatkuasaan pihak berkuasa
dalam memerangi isu pemerdagangan manusia di negara kita.

5.2 Penubuhan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Orang


(MAPO)

Selain itu, mekanisma yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menangani isu pemerdagangan
manusia adalah dengan menubuhkan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan
Orang (MAPO). Penubuhan majlis tersebut telah terkandung dalam Bahagian II, Akta
Antipemerdagangan Manusia 2007, yang telah memperuntukkan penubuhan sebuah Majlis
Bagi Antipemerdagangan Orang dan juga telah menggariskan peranan dan fungsi bagi majlis
tersebut. Menteri Dalam Negeri merupakan ketua bagi struktur organisasi MAPO dan dibawah

11
majlis tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri. Tujuan
utama penubuhan MAPO adalah untuk mengkoordinasi dan melaksanakan ATIPSOM (2010)
di samping perlu memformulasikan dasar serta program perlindungan untuk membanteras
kegiatan pemerdagangan dan penyeludupan orang.

Terdapat enam Jawatankuasa sokongan MAPO iaitu Sekreteriat MAPO (Dibawah


Kementerian Dalam Negeri), Jawatankuasa Pelindungan (Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga Dan Masyarakat), Jawatankuasa Perundangan (Jabatan Peguam Negara),
Jawatankuasa Pelaksana (Polis Diraja Malaysia), Jawatankuasa Buruh Paksa (Kementerian
Sumber Manusia), Jawatankuasa Media Dan Publisiti (Kementerian Penerangan, Komunikasi
Dan Kebudayaan). Di sampaing itu, terdapat juga lima buah badan bukan kerajaan yang
menjadi tulang belakang kepada MAPO iaitu National Council of Women’s Organisations
(NCWO), Majlis Kanak-Kanak Malaysia (MKKM), Institusi Kajian Malaysia Dan
Antarabangsa (IKMAS) UKM, Coalition To Abolish Modern Day Slavery (CAMSA) dan juga
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Oleh itu, penubuhan MAPO dilihat
akan mampu melindungi keselamatan dan kedaulatan negara daripada ancaman isu
pemerdagangan manusia di Malaysia.

5.3 Kerajaan Mewujudkan Koordinasi Dan Kerjasama Antarabangsa

Di samping itu, kerajaan juga mewujudkan koordinasi dan kerjasama antarabangsa dalam
usaha menyelesaikan isu jenayah pemerdagangan manusia memandang jenayah tersebut
merupakan jenayah rentas negara. Malaysia telah menjalinkan kerjasama yang erat dengan
badan antarabangsa dari United Kingdom, Australia dan badan-badan antarabangsa lain yang
berpayung dibawah International Organization for Migration (IOM) dalam usaha untuk
meningkatkan program dan strategi membanteras pemerdagangan dan penyeludupan orang
merangkumi aspek pencegahan, perlindungan, pendakwaan dan kesedaran. IOM merupakan
satu organisasi yang diwujudkan pada tahun 1951 selepas perang dunia kedua di mana tujuan
asalnya adalah untuk menempatkan semula 11 juta mangsa perang pada ketika itu. Namun
begitu, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah bersetuju untuk mengiktiraf IOM
sebagai pertubuhan antarabangsa berkaitan PBB bagi menangani isu pemerdagangan manusia
dan isu migrasi. Kini, IOM mempunyai 153 negara anggota dan lapan negara yang memegang
status sebagai pemerhati. Sehubungan dengan itu, pertubuhan ini merupakan platform terbaik
bagi Malaysia menyelesaikan isu pemerdagangan manusia di peringkat antarabangsa.

12
5.4 Perjanjian Memorandum Of Understanding (MOU) On Combating Transnational
Crime/Security

Akhir sekali, kerajaan juga telah menandatangani perjanjian Memorandum of Understanding


(MOU) on Combating Transnational Crime/Security dalam usaha untuk memerangi isu
pemerdagangan manusia. Kerajaan memandang serius ancaman jenayah rentas negara tersebut
disebabkan kesukaran untuk tanganinya yang melibatkan peringkat antarabangsa. Hal ini
dikatakan demikian kerana isu jenayah pemerdagangan manusia adalah melibatkan pergerakan
orang, transaksi kewangan serta penglibatan jenayah terancang sindiket. Justeru itu, bagi
menangani isu tersebut adalah melalui perjanjian MOU tersebut dengan negara-negara lain
seperti Australia, United Kingdom, Saudi Arabia, United States (USA) dan China. Perjanjian
tersebut adalah melibatkan pertukaran informasi, risikan dan kepakaran antara agensi-agensi
penguatkuasaan undang-undang seperti polis, imigresen, kastam dan sebagainya. Oleh itu,
melalui pertukaran tersebut akan menyebabkan kerjasama antara negara terlibat dapat bersama-
sama memerangi jenayah pemerdagangan manusia tersebut dan sekali gus akan dapat
melindungi keselamatan negara.

Kesimpulannya, menurut Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021 oleh Jabatan


Negara Amerika Syarikat (AS) telah menurunkan kedudukan Malaysia ke Tahap Tiga iaitu
tahap paling rendah dalam usaha menangani isu pemerdagangan manusia. Kejatuhan tersebut
adalah disebabkan oleh negara telah mengalihkan fokus kepada usaha menangani Covid-19
yang sedang melanda dunia pada ketika ini. Namun begitu, pada ketika ini kerajaan telah mula
meningkatkan kembali usaha untuk memerangi isu pemerdagangan manusia di negara.
Kerajaan Malaysia telah berusaha untuk membenteras jenayah pemerdagangan manusia
dengan pengubalan undang-undang khusus bagi isu jenayah tersebut dan juga telah
menjalinkan hubungan dengan negara serantau bahkan antarabangsa bagi memastikan isu
pemerdagangan manusia dapat ditangani dengan sebaik mungkin. Hal ini dikatakan demikian
kerana isu tersebut akan memberikan impak negatif bahkan mampu mengancam keselamatan
dan kedaulatan negara sekiranya tidak diselesaikan dengan segera.

13
6.0 CABARAN MENGATASI ISU PEMERDAGANGAN MANUSIA

6.1 Kelemahan Penguatkuasaan Undang-Undang

Menurut Lili Yulyadi Arnakim & Muhamad Zulhadia (2021), cabaran utama Malaysia dalam
menangani isu pemerdagangan manusia ini adalah dari kelemahan penguatkuasaan undang-
undang di Malaysia. Ianya dikatakan sebagai cabaran utama mengapa isu pemerdagangan
manusia ini berlaku dan sehingga kini masih tidak dapat dibendung. Kelemahan
penguatkuasaan undang-undang ini berlaku dalam kalangan anggota-anggota Majlis
Keselamatan Negara (MKN). Hal ini disebabkan kurangnya pemantauan terhadap keadaan
semasa yang menjadi peluang kepada ahli sindiket untuk menjalankan kerja-kerja mereka.
Pemantauan perlu dilakukan secara berkala melalui aktiviti intipan atau kawalan terhadap
aliran keluar masuk data melalui internet perlu dilakukan bagi mengesan tanda-tanda awal
sindiket ini kerana seperti yang kita tahu kebanyakkan maklumat palsu banyak tersebar melalui
internet seperti iklan mencari kerja di luar negara, pakej perlancongan percuma dan pelbagai
hiburan yang boleh mempengaruhi golongan wanita. Peningkatan kawalan di sempadan-
sempadan negara juga sukar dilakukan disebabkan kurangnya anggota peronda menjadikan
sindiket ini bijak dalam mengatur strategi untuk melakukan aktiviti ini. Kebanyakkan mereka
yang melakukan aktiviti ini menjalinkan kerjasama bersama dengan negara jiran seperti
Thailand,Indonesia dan Vietnam bagi melancarkan aktiviti mereka. Dalam masa yang sama,
kurangnya pemantauan di kawasan-kawasan tumpuan menyebabkan kes ini semakin
meningkat. Perkara ini jelas mampu memperdaya golongan wanita dengan mudah jika kawalan
masih dalam keadaan yang lemah.

Dalam pada itu kelemahan penguatkuasaan undang-undang dapat dilihat dengan


berlakunya ketirisan maklumat daripada pihak berkuasa. Ketirisan maklumat didefinisikan
sebagai kobocoran atau kehilangan sesuatu berita atau data serta laporan organisasi yang
dianggap sulit dari sumber maklumat. Ketirisan maklumat juga mempunyai kaitan dengan
individu yang gagal berkomunikasi dengan individu lain secara berkesan. Menurut Bernama
(2021), perkara inilah yang menjadi tunjang utama kepada cabaran yang perlu dipikul oleh
agensi penguatkuasaan dalam menjalankan operasi penguatkuasaan. Sekiranya terjadi kejadian
seumpama ini, bukan sahaja ianya mengganggu sistem operasi malah mencemar kredibiliti dan
integriti sesebuah unit dan agensi yang memegang maklumat-maklumat berstatus sulit.

14
6.2 Kawalan Pintu Masuk Sempadan Yang Lemah

Selain itu, kawalan pintu masuk sempadan yang lemah juga menjadi cabaran utama dalam
menangani isu pemerdagangan manusia ini. Menurut Berita Awani (2021), isu perkaitan
sempadan negara semakin parah akibat sering dibolosi oleh Pendatang Asing Tanpa Izin
(PATI). Ianya perlu ditangani dengan tuntas kerana kadar jenayah semakin meningkat akibat
daripada pintu masuk negara sering dibolosi oleh PATI. Kelemahan kawalan pintu masuk
sempadan menyaksikan sindiket pemerdagangan manusia kini berkeliaran di Malaysia untuk
mencari mangsa seperti golongan wanita dan kanak-kanak.

Kedudukan Malaysia yang terletak di antara timur dan barat menyebabkan Malaysia
menjadi negara transit bagi sindiket ini. Walaupun di setiap pintu masuk sempadan negara
dikawal oleh pihak berkuasa, namun sindiket ini pasti berjaya menemui jalan-jalan tikus yang
terdapat di sempadan negara bagi memboloskan diri. Oleh itu, Malaysia terpaksa menyediakan
prasarana yang lengkap bagi memudahkan pihak berkuasa untuk melakukan tugas-tugas
pemantauan di perairan negara. Malaysia juga perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa
daripada negara lain untuk bersama-sama mengawal dan memastikan sempadan darat, laut dan
udara negara masing-masing bagi memastikan negara bebas dari sebarang kegiatan sindiket
pemerdagangan manusia ini. Perairan negara yang luas juga menjadikan Malaysia terpaksa
membuat pemantauan dalam skala yang besar bagi memastikan tiada kapal-kapal asing yang
dapat memasuki sempadan laut tanpa kebenaran selain dapat mengambil tindakan yang
sepatutnya bagi membendung masalah ini. Dapat dilihat bahawa negara terpaksa berhadapan
dengan cabaran ini bagi membendung masalah ini secara berterusan.

6.3 Kegiatan Rasuah

Di samping itu gejala rasuah yang semakin berleluasa dalam kalangan pihak berkuasa juga
merupakan cabaran dalam mengatasi isu pemerdagangan manusia. Hal ini telah menyebabkan
kesukaran dalam membendung pelbagai jenayah di Malaysia terutama sekali isu
pemerdagangan manusia ini. Hal ini demikian, gejala rasuah ini sepertinya sukar sekali
dibendung dan pastinya mendatangkan impak yang sangat besar kepada keselamatan negara.
Menurut Berita Harian (2021), merasionalkan rasuah ini merupakan suatu punca jenayah yang
sukar dibendung. Tindakan rasuah ini pastinya sudah dirancang di mana memperlihatkan naluri
manusia yang menginginkan kejayaan, keseronokan atau memaksimumkan kegembiraan
berbanding kehidupan yang seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Pengamal rasuah ini seolah-olah telah mencemarkan nama baik negara Malaysia dengan
15
membolehkan kadar jenayah semakin meningkat hari demi hari. Mereka pastinya mendapatkan
ganjaran yang lumayan. Sebagai contoh, dalam isu pemerdagangan manusia ini penyeludup
manusia dari Malaysia ke negara luar akan memberikan rasuah atau ganjaran kepada pihak
berkuasa bagi mengaburi mata mereka supaya tidak ditahan di pintu-pintu masuk sempadan
negara. Hal ini menyebabkan penyeludup dapat melarikan manusia terutama sekali wanita dan
kanak-kanak untuk dijadikan hamba seks dan penjualan organ.

Menurut Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (2021), rasuah berterusan yang
berkaitan untuk proses pekerjaan untuk warga asing di Malaysia meningkatkan kos migrasi
dan seterusnya meningkatkan kerentanan pekerja migran untuk diperdagangkan melalui
pemaksaan berdasarkan hutang. Pegawai imigresen yang korup memudahkan pemerdagangan
dengan menerima rasuah daripada broker dan penyeludup di laluan masuk sempadan, termasuk
di lapangan terbang. Beberapa pegawai kerajaan mendapat keuntungan daripada rasuah dan
terlibat secara langsung dalam pemerasan dan eksploitasi pendatang.

Gaya hidup mewah, gaji yang rendah dan kos hidup yang tinggi merupakan antara
punca berlakunya rasuah termasuklah di kawasan sempadan. Kurangnya tumpuan dan
perhatian oleh agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di
kawasan Pulau Sebatik-Malaysia menyebabkan rasuah berlaku melibatkan penjawat awam di
kawasan berkenaan. Antara agensi terlibat adalah seperti Jabatan Kastam dan Eksais Diraja
Malaysia, Jabatan Imigresen, malah agensi keselamatan seperti Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia (APMM). Ancaman yang berlaku ini adalah benar dan serius serta anggota
keselamatan tidak boleh menjadi punca dalam menyebabkan kedaulatan negara tergadai akibat
rasuah. Tidak dapat dinafikan juga bahawa agensi kerajaan menjadi tumpuan sindiket
penyeludupan agar dapat melicinkan serta melancarkan aktiviti yang dijalankan mereka sama
ada di darat atau laut.

16
7.0 RUMUSAN

Tuntasnya, pemerdagangan merupakan satu isu yang serius yang berlaku bukan sahaja di
Malaysia malah di seluruh dunia. Isu pemerdagangan ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja
kerana ianya akan membawa pelbagai implikasi negatif kepada negara Malaysia serta
merencatkan pembangunan negara dari aspek ekonomi, politik dan sosial. Di samping itu,
usaha mencari bagi mengenalpasti punca berlakunya jenayah pemerdagangan manusia
kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian kepada krisis kemanusiaan ini. Oleh itu, pihak
kerajaan dan bukan kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam menyusun langkah-
langkah yang berkesan bagi menangani jenayah ini dari terus berleluasa di samping kesedaran
masyarakat yang sangat diperlukan. Kempen-kempen kesedaran yang dijalankan oleh kerajaan
diharapkan memberikan kefahaman kepada semua mengenai isu pemerdagangan manusia
supaya tidak mudah terpedaya dan akhirnya menjadi mangsa kepada mereka yang ingin
mengaut keuntungan yang mudah demi kepentingan sendiri. Dengan itu, kempen ini diharap
akan menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat tentang jenayah pemerdagangan yang serius
ini,

Selain itu, masyarakat perlulah mengamalkan semangat kejiranan yang tinggi bagi
bersama-sama menjaga antara satu sama lain untuk hidup dalam keadaan harmoni dengan
membanteras jenayah dalam kawasan komuniti. Begitu juga dalam konteks negara Malaysia,
Bagi menjalankan pencegahan aktiviti pemerdagangan manusia memerlukan kerjasama
serantau anatara negara bersama-sama memerangi jenayah ini. Sebagai sebuah negara Islam
seharusnya Malaysia menentang pemerdagangan manusia dari terus berlaku kerana perbuatan
memperdagangkan manusia ini jelas melanggar hak asasi manusia kerana seseorang manusia
disekat kebebasannya. Oleh yang demikian, penglibatan semua pihak amat diperlukan kearah
mewujudkan sifar pemerdagangan manusia pada masa akan datang. Masyarakat dunia juga
perlu mengambil langkah mempertingkatkan kerjasama menerusi perkongsian maklumat
secara bersama. Justeru, sebagai negara membangun, isu pemerdagangan manusia perlulah
dicegah dan ditentang sekerasnya supaya masyarakat dapat hidup dalam suasana yang aman
dan harmoni tanpa dibelenggu masalah isu pemerdagangan manusia.

17
8.0 RUJUKAN
139 kubur, 28 kem pemerdagangan manusia ditemukan. (2015, 25 Mei). Astro Awani.

Diperoleh daripada https://bit.ly/3leq0s3.

33 lokasi penyeludupan migran dikenal pasti. (2021, 15 Jun). Berita Harian. Diperoleh

daripada https://bit.ly/3lftLgB.

3 remaja perempuan diselamatkan. (2021, 9 November). Berita Harian. Diperoleh daripada

https://bit.ly/3p9zntY.

Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007

Arnakim, L. Y., & Zulhadis, M. (2021). Respon Kerajaan Malaysia Terhadap Pemerdagangan
Manusia, 2010-2015: The Response of Malaysian Government Towards Human
Trafficking, 2010-2015. Sejarah: Journal of The Department of History, 30(1).

China dituduh sasar ambil organ secara paksa. (2021, 15 Jun). Berita Harian. Diperoleh

daripada https://bit.ly/319olMU.

Dalang jual organ manusia direman tujuh hari. (2020, 14 Ogos). Astro Awani. Diperoleh

daripada https://bit.ly/3FRfz5t.

Hamzah, I. S., Daud, S., Idris, N. A., & Azzis, M. S. A. (2016). Migrasi Rentas Sempadan
Etnik Rohingya Dan Implikasi Terhadap Malaysia.

Hamzah, N. A., Othman, N., & Musa, W. A. (2019). Pemerdagangan Manusia Di Malaysia:

Isu Dan Usaha Membanteras. International Journal, 4(15), 130-140.

Hassan, W. S. W., Maraining, A., & Dollah, R. (2020). Isu Penyeludupan Di Pulau Sebatik,
Malaysia: Smuggling Issue in Sebatik Island, Malaysia. Jurnal Kinabalu, 355-355.

Hidayah, A. 70 Peratus mangsa pemerdagangan manusia adalah wanita dan kanak-kanak.

(2021, 31 Julai). Journal Malaysia. Diperoleh daripada https://bit.ly/3xsQsD8.

18
Hussin, N. I., Shamsuddin, A. M., Razali, M. M., & Boyman, S. N. (2018). Kerjasama Polis
Diraja Malaysia (Pdrm) dan Tenaganita Dalam Membanteras Jenayah Pemerdagangan
Manusia Untuk Eksploitasi Seksual di Malaysia. Perspektif: Jurnal Sains Sosial Dan
Kemanusiaan, 10(3), 62-72.

Isu berkaitan sempadan negara semakin parah, perlu ditangani dengan tuntas. (2020, 4

Disember). Astro Awani. Diperoleh daripada https://bit.ly/3HXas5v.

Kes kubur besar di Wang Kelian : 3 rakyat Thailand dikehendaki polis Malaysia ditahan. (2021,

29 Oktober). Astro Awani. Diperoleh daripada https://bit.ly/3DYUrtC.

Kerisauan masyarakat terhadap indeks jenayah semasa Covid-19. (2021, 16 April).


Bernama. Diperoleh daripada https://bit.ly/3p3kdXn.

Laman Web Rasmi, Kementerian Dalam Negeri. Diperoleh daripada https://bit.ly/3D0DGwO.

Laman Web Rasmi United Nations Office on Drugs and Crime, Trafficking in Persons: Global
Patterns (Vienna, United Nations, 2006). Diperoleh daripada https://bit.ly/3raBoZI.

Laman Web Rasmi United Nations An Introduction to Human Trafficking: Vulnerability,


Impact and Action (Vienna, United Nations, 2008). Diperoleh daripada
https://bit.ly/3I204JZ.

Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat. (2021). Diperoleh daripada https://bit.ly/3D34j42.

L.Y Arnakim & M. Zulhadis, (2021). Respon Kerajaan Malaysia Terhadap Pemerdagangan
Manusia, 2010-2015. Sejarah: Journal of History Department, University of Malaya; No.
30 (1). Diperoleh daripada https://bit.ly/3oZOiac.

Malaysia serius atasi isu pemerdagangan manusia. ( 2015, 31 Mei). Astro Awani. Diperoleh

daripada daripada https://bit.ly/3DZnmh5.

Malaysia turun Tahap Laporan Pemerdagangan Manusia 2021. (2021, Julai 2). Berita
Harian. Diperolehi daripada https://bit.ly/3xIAPHX.

Malaysia turun tahap 3 Laporan Pemerdagangan Manusia 2021. (2 Julai 2021). Berita
Harian. Diperoleh daripada https://bit.ly/3nY5r4C.

19
MAPO perhebat usaha banteras jenayah pemerdagangan orang. (2021, 2 Ogos). Astro Awani.

Diperoleh daripada https://bit.ly/3xtvxQh.

MAPO Perhebat Usaha Banteras Jenayah Pemerdagangan Orang. (2021, Ogos 2). Bernama.
Diperolehi daripada https://bit.ly/3cTbhhs.

Merasionalkan rasuah punca jenayah sukar dibanteras. (2021, 17 April). Berita Harian.
Diperoleh pada 25 November 2021 daripada https://bit.ly/3xvgsNZ.

Nor Cikeyonn Samuni, Nor-Ina Kanyo & Ahmad Tarmizi Abdul Rahman. (2015). Penelitian

Cabaran Agensi Penguatkuasaan Maritim dalam Menangani Jenayah Pemerdagangan


Orang di Zon Maritim Sabah. Geografi, 3 (1).

Nurul Amirah, H., Nooraini, O. & Wardatul Aishah., M. (2019). Pemerdagangan Manusia di

Malaysia : Isu dan Usaha Membanteras. International Journal of Law, Government and
Communication.

Pemerdagangan Manusia: Ada Tarikan. (2013, 8 September). Sinar Harian. Diperoleh


daripada https://bit.ly/3nYvoB9.

Polis siasat laporan penjualan organ manusia haram di Sarawak. (2020, 10 Ogos). Astro Awani.

Diperoleh daripada https://bit.ly/3E3vywW.

Rohim, A., Afifah, N. Z., & Ahmad, Y. (2017). Factors Contributing to Women Trafficking in

Malaysia: Perspectives from Policy Maker, Implementers and Non-Governmental


Organization. Journal Of Administrative Science, 14(3), 1-23.

Sheila Devi. (2013). Human Trafficking in Malaysia: Trends and Challenges. Proceedings of

Sindiket pemerdagangan manusia, 3 polis ditahan. (2021, 24 Mei). Berita Harian. Diperolehi
daripada https://bit.ly/3D0Iv9p.

Sindiket pemerdagangan manusia tumpas, tiga individu ditahan. (2021, Julai 12). Utusan
Malaysia. Diperolehi daripada https://bit.ly/3rlq5Ox.

Sindiket Penyeludupan PATI Ibu Ani tumpas. (2021, 8 November). Berita Harian. Diperoleh

daripada https://bit.ly/314CM5c.

20

You might also like