You are on page 1of 15

BAB 1

PENGENALAN KEPADA KAJIAN


1.1 PENGENALAN
Beberapa dekad yang lalu, Malaysia telah mengalami perubahan struktur ekonomi
yang sangat ketara. Strategi dan dasar negara yang baru telah diperkenalkan pada awal
tahun 1960-an, telah mengubah Malaysia daripada sebuah negara pertanian kepada
negara berasaskan perindustrian dan perkhidmatan. Pada tahun 1965, sektor pertanian
telah menyumbang sebanyak 31.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar
(KDNK) dan sumbangannya sedikit merosot kepada 7.7 peratus pada tahun 2007.
Manakala sumbangan sektor pembuatan telah meningkat dengan pesat dari 10.4 peratus
pada tahun 1965 kepada 30.3 peratus pada tahun 2007. Di samping itu, sektor
perkhidmatan juga telah menyumbang sebanyak 45.0 peratus kepada 53.2 peratus.
(Kementerian Kewangan Malaysia, 1970 & 2007)
Perubahan struktur ekonomi dan kepesatan pertumbuhan ekonomi negara telah
menyebabkan perubahan terhadap pasaran tenaga buruh di Malaysia. Perubahan pasaran
tenaga buruh dapat dinilai berdasarkan kepada permintaan dan penawaran tenaga buruh
serta kadar pengangguran. Perubahan terhadap permintaan dan penawaran tenaga buruh
dapat dikenalpasti berdasarkan pertumbuahn perubahan guna tenaga oleh majikan. Oleh
itu, apabila terdapat permintaan yang tinggi terhadap tenaga buruh, negara terpaksa
membawa masuk buruh asing bagi memajukan ekonomi negara, seterusnya
mencetuskan fenomena penghijrahan dalam kalangan buruh asing.
Kebiasaannya fenomena penghijrahan berlaku disebabkan oleh faktor penolak dan
penarik oleh negara asal dan negara destinasi. Faktor penolak di negara asal adalah
disebabkan ketidakupayaan negara untuk menyediakan pekerja dengan peluang
pekerjaan yang baik dan taraf hidup dan penurunan dalam gaji sebenar di samping kadar
pengangguran yang tinggi dan kekurangan pekerjaan kadar. Faktor penarik di negara
destinasi pula adalah, terdapat permintaan tenaga buruh yang semakin meningkat bagi

tenaga kerja yang mempunyai kemahiran rendah dan bayaran gaji yang murah. Perkara
ini berlaku kerana terdapatnya jurang perbezaan ekonomi yang sangat luas antara negara
maju yang kekurangan buruh dan negara membangun yang terdapat lebihan buruh
Selain itu, dorongan yang sedia ada daripada faktor penolak dan penarik juga akan
mampu meningkatkan halangan kepada penghijrahan. Kemasukan migran secara tidak
sah disebabkan penafian keatas golongan migran lelaki dan wanita untuk mendapat
akses kepada perlindungan undang-undang dan sosial negara. Kebanyakan undangundang di negara destinasi kurang memfokuskan kepada pengurusan golongan migran
dan mereka tidak termasuk dalam dasar guna buruh tetapi golongan migran ini lebih
difokuskan sebagai kawalan sempadan dan isu keselamatan negara. Oleh itu, ramai
migran sanggup mengambil jalan tidak sah untuk mendapatkan pekerjaan di negara
destinasi.
Pada tahun 2013, bilangan pendatang antarabangsa di seluruh dunia mencapai 232
juta, meningkat daripada 175 juta pada tahun 2000 dan 154 juta pada tahun 1990 (United
Nation Population Division, 2013). Terdapat 60 peratus migran yang berhijrah tinggal di
kawasan yang maju berbanding 40 peratus di kawasan yang kurang maju. Hampir satu
daripada setiap sepuluh orang di sesebuah negara maju adalah seorang migran manakala
satu daripada 70 orang adalah di negara membangun. Hal ini jelas menunjukkan
bahawa, penghijrahan seorang migran adalah bergantung kepada ekonomi sesebuah
negara dimana seorang migran akan membuat perbandingan antara beberapa negara dan
seterusnya membuat keputusan berhijrah. (International Labour Organization, 2003)
Sehingga awal 1980-an, kebanyakan kajian mengenai migrasi adalah lebih
memfokuskan kepada ekonomi dan migran lelaki memainkan peranan ekonomi dan
wanita hanya sebagai penjaga kestabilan dirumah dan isteri yang mengikuti suami
mereka. Kebanyakan teori migrasi sering mengandaikan bahawa pendatang adalah
terdiri daripada golongan lelaki dan penghijrahan telah digambarkan sebagai satu
fenomena lelaki. Wanita dilihat dalam aliran migrasi sebagai tradisinya adalah suami
isteri, anak perempuan dan tanggungan migran lelaki.

Tetapi kini persepsi mengenai wanita telah berubah kerana bilangan wanita,
merupakan hampir separuh atau 50 peratus pendatang antarabangsa terdiri daripada
golongan wanita yang terdapat di seluruh dunia-95 Juta(IOM, 2002). Kebanyakan
golongan wanita bermigrasi mencari pekerjaan secara individu. Penghijrahan dalam
kalangan pekerja wanita kini berlaku dengan pesat akibat daripada perubahan peranan
wanita dalam keluarga, masyarakat dan tempat kerja. Penghijrahan "moden" wanita,
telah membebaskan mereka daripada nilai-nilai tradisional yang mereka mainkan dan
tingkah laku
Jika dilihat dalam konteks konsep merantau bagi masyarakat Indonesia, merantau
adalah menjadi satu kemestian kepada golongan lelaki. Wanita adalah golongan yang
sukar dilepaskan oleh penjaga untuk bergerak keluar secara individu. Hal ini demikian
kerana, golongan wanita sering berhadapan dengan risiko apabila mereka kekurangan
maklumat yang betul mengenai proses migrasi dan prosedur serta peluang pekerjaan.
Mereka juga mungkin kurang pengetahuan dan keupayaan untuk menampung
perbelanjaan. Seterusnya mereka akan mendapat pekerjaan yang tidak elok dan mungkin
juga diekploitasi oleh agensi tertentu.
Apabila kekurangan maklumat terhadap pekerjaan di negara destinasi, golongan ini
akan cenderung terlibat dalam pekerjaan yang tidak dilindungi oleh mana-mana undangundang buruh dan perlindungan sosial serta hak-hak mereka sebagai pekerja.
Kebanyakan pihak berkuasa di negara destinasi melayan pekerja asing wanita hanya
terbatas sebagai pekerja dan tiada hak dalam undang-undang negara. Jika terdapat kes
eksploitasi pekerja dan penderaan, sistem kehakiman juga sering tidak memihak kepada
pwkwerja yang didera. Oleh itu, dalam kajian ini pengkaji cuba mengenalpasti sama ada
wujud motivasi yang mendorong pekerja wanita Indonesia untuk bermigrasi dan
sejauhmana rangkaian sosial yang ada membantu golongan ini meneruskan
kelangsungan hidup mereka di negara asing.

1.2 PERSOALAN KAJIAN


Bagi mencapai objektif kajian, pengkaji telah menggariskan beberapa persoalan
kajian bagi menerangkan objektif kajian yang ingin dijalankan dengan lebih mendalam.
Antara persoalan kajian tersebut adalah:
i.

Apakah faktor yang mempengaruhi keputusan berhijrah pekerja asing wanita


Indonesia?

Dalam persoalan ini, pengkaji ingin mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi


keputusan penghijrahan pekerja wanita Indonesia di Lembah Pantai terutama faktor
ekonomi. Sememangnya dalan proses penghijrahan, ianya dipengaruhi oleh beberapa
faktor yang akan mendorong mereka berhijrah dalam mencapai kesejahteraan hidup,
antaranya adalah faktor sosial, politik, ekonomi dan alam sekitar.
ii. Bagaimanakah cara kemasukan pekerja asing wanita Indonesia ke Malaysia?
Dalam persoalan ini, pengkaji ingin menganalisis kaedah kemasukan pekerja asing ke
Malaysia. Hal ini demikian kerana, setiap migran yang datang menggunakan kaedah
yang berlainan untuk masuk ke Malaysia sama ada melalui jalan yang sah atau tidak sah
dan juga melalui agensi atau hubungan kekeluargaan yang wujud oleh migran. Cara
kemasukan pekerja asing juga mungkin dipengaruhi oleh rangkaian sosial yang ada di
negara destinasi kerana, rangkaian sosial yang wujud mampu membawa masuk pekerja
asing dengan pelbagai cara mengikut kemampuannya.
iii. Adakah rangkaian sosial yang ada membantu mengurangkan risiko
penghijrahan?
Sememangnya jika penghijrahan ke negara asing bagi golongan wanita adalah sesuatu
yang sangat dibimbangkan kerana mereka perlu memikirkan risiko yang akan dihadapi
ketika berada di negara asing. Oleh itu, kajian ini ingin melihat sejauhmanakah
rangkaian sosial yang ada mampu menyebabkan pekerja asing wanita Indonesia ini
mampu meneruskan hidup di negara asing sehingga mereka mendapatkan pekerjaan,
tempat tinggal dan kehidupan sosial mereka.

1.3 OBJEKTIF KAJIAN


Objektif kajian merupakan matlamat khusus yang mengandungi lebih daripada satu
tujuan. Ia merupakan sesuatu yang ingin dicapai oleh seorang pengkaji melalui kajian
yang ingin dijalankan. Tujuan objektif kajian adalah untuk mengenalpasti maksud yang
tersurat dan kepentingan sesebuah kajian dicadangkan. Objektif soalan perlulah
menjawab persoalan kajian yang telah dibentuk oleh pengkaji. Pengkaji telah
mengemukan tiga objektif kajian dalam kajian ini iaitu:
i.

Kajian

yang

dilakukan

adalah,

untuk

mengenalpasti

faktor-faktor

yang

mempengaruhi keputusan berhijrah bagi golongan pekerja asing wanita Indonesia.


ii. Kajian ini juga dijalankan untutk menganalisis kaedah kemasukan pekerja asing
wanita Indonesia ke Malaysia.
iii. Kajian ini turut bertujuan menilai keupayaan rangkaian sosial dalam mengurangi
risiko penghijrahan pekerja asing wanita Indonesia.
1.4 KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian yang dilakukan mempunyai kepentingan kepada beberapa pihak, sama ada
kepada pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kajian ini,
seterusnya kepada para pengkaji yang lain. Antara kepentingan kajian ini adalah,
pengkaji akan mendedahkan satu proses dalam migrasi tenaga kerja wanita Indonesia di
antara dua buah negara di rautau Asia Tenggara antara Malaysia dan Indonesia. Perkara
yang paling penting dalam kajian ini adalah pendedahan terhadap tidak semua pekerja
asing wanita Indonesia ini datang secara sah ke Malaysia. Malah terdapat sebahagian
besar daripada pekerja asing wanita Indonesia yang masuk secara haram tanpa
mempunyai pas kerja sementara yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan dokumendokumen yang mengesahkan kemasukan mereka.

Selain itu, kajian ini juga telah berjaya membongkarkan faktor-faktor utama yang
mendorong kepada penghijrahan pekerja asing wanita Indonesia di samping faktor
ekonomi. Faktor pendorong kepada penghijrahan ini telah memabwa kepada
kesanggupan mereka bergadai nyawa untuk datang bekerja di Malaysia dengan tujuan
mengubah keadaan hidup. Keadaan yang wujud di negara penghantar dan penerima
merupakan ajen yang sangat penting mempengaruhi penghijrahan mereka. Kepentingan
kajian ini adalah untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan memahami penghijrahan
yang melibatkan golongan pekerja asing wanita Indonesia.
Di samping itu, melalui kajian ini juga kita akan mendapati bahawa pekerja asing
wanita dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka di negara asing kerana adanya
'trust network' yang akan membantu mereka dalam mengurangkan risiko penghijrahan.
Dalam kajian ini, kita akan dapat melihat bagaimana peranan rangkaian sosial dalam
membantu pekerja asing daripada sebelum, semasa dan selepas melakukan penghijrahan.
Bantuan yang diperoleh pekerja asing wanita Indonesia daripada rangkaian sosial
yang dipilihnya, kita akan dapat melihat hasil yang menunjukkan cara mereka berhijrah
dipengaruhi sama ada melalui cara sah atau tidak sah. Dengan itu, kita akan dapat
melihat kepentingan rangkaian sosial yang terdapat di Malaysia dalam membantu
penghijrahan pekerja asing terutama golongan wanita kerana golongan ini sangat mudah
dieksploitasi oleh agen-agen tertentu, jika tidak mendapatkan rangkaian sosial yang
betul.
Seterusnya, hasil kajian ini akan dapat menjelaskan akan kepentingan dan
keupayaan rangkaian sosial dalam penghijrahan pekerja asing wanita Indonesia dalam
mengurangkan risiko penghijrahan. Hasil kajian ini juga akan dapat membantu
kesinambungan kajian-kajian pada masa hadapan mengenai pekerja asing wanita
Indonesia dalam sektor perkhidmatan Kajian ini juga akan menjadi bahan rujukan
kepada pengkaji yang berminat untuk menjalankan kajian mengenai rangkaian sosial
dalam penghijrahan pekerja asing.

1.5 ULASAN KAJIAN LEPAS


Dalam menjalankan kajian mengenai migrasi dalam kalangan pekerja asing wanita
Indonesia, semasa proses pengumpulan maklumat daripada kajian lepas, sememangnya
terdapat banyak kajian yang dilakukan ke atas pekerja asing namun kurang
memfokuskan kepada bagaimana pekerja asing wanita meneruskan kelangsungan hidup
di negara asing. Walau bagaimanapun, sewaktu mencari maklumat yang berkaitan topik
kajian, pengkaji telah menjumpai beberapa kajian dan penyelidikan mengenai
penglibatan pekerja asing wanita Indonesia dalam beberapa sektor pekerjaan di
Malaysia.
Menurut Candra Christyana(2011), faktor-faktor yang mendorong pekerja asing
wanita untuk berhijrah terbahagi kepada tiga iaitu faktor peribadi atau keluarga
(keperluan keluarga, sumber pendapatan, pemilikan tanah pertanian dan umur), berasal
dari luar bandar (tiada peluang pekerjaan, bayaran murah) dan kawasan destinasi
(peluang pekerjaan, bayaran mahal, pengaruh keluarga). Faktor paling penting yang
mempengaruhi penghijrahan adalah umur wanita. Kebanyakan wanita yang berhijrah
berada pada umur yang membolehkan mereka melakukan pelbagai kerja untuk mencari
sumber pendapatan bagi memperbaiki taraf kehidupan mereka terutama di kampung
halaman.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Claudine Minush Ryan(1996), beliau
menyatakan bahawa status tidak sah pekerja asing tidak hanya dipengaruhi oleh keluarga
dan sahabat tetapi juga dipengaruhi oleh majikan tempatan yang mengupah mereka
bekerja tanpa permit kerja. Kajian ini mengkaji pekerja asing wanita dalam sektor
perkhidmatan sebagai tukang bersih, dalam aspek cara kemasukan, sektor pekerjaan,
penyesuaian diri wanita Indonesia dan rancangan masa depan mereka di Malaysia.
Perbezaan kajian saya dengan kajian ini adalah tempat kajian dimana, kajian tersebut
dijalankan di Lembah Klang dan kajian saya di Lembah Pantai.

Kajian yang dilakukan oleh Gayah bt. Ibrahim(1998), majoriti wanita Indonesia
telah berjaya memperbaiki taraf hidup mereka terutama dari segi ekonomi. Perubahan
ekonomi dpaat dilihat terutama dari segi keupayaan menabung, berbelanja dan kiriman
wang ke kampung asal. Malah kehidupan sosial mereka dari segi berpkaian juga berubah
mengikut perkembangan semasa. Kajian ini dilakukan keatas pekerja asing wanita
Indonesia dalam sektor perkhidmatan dan menfokuskan kepada proses migrasi dan
implikasi ekonomi dan sosial pekerja asing selepas penghijrahan terutama kepada status
dan taraf hidup mereka. Perbezaan kajian ini adalah penggunaan konsep migrasi dalam
menjelaskan proses migrasi pekerja asing yang melibatkan pertukaran tempat tinggal.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Normah Mat Nor(1997), menyatakan
bahawa pekerja asing terpaksa menanggung risiko untuk mendapatkan pekerjaan di
Malaysia seperti risiko melalui jalan laut kerana masuk secara tidak sah. Mereka sentiasa
dilayan seperti pekerja asing oleh pekerja tempatan. Kajian ini dilakukan ke atas pekerja
asing wanita dalam sektor pembinaan. Mereka sentiasa terdedah kepada bahaya di tapak
pembinaan. Antara risiko yang sering dihadapi oleh mereka adalah gaji lambat dibayar,
kemalangan sering berlaku, majikan tidak menyediakan sebarang jaminan jika
kemalangan. Buruh tidak sah juga mendapat layanan buruk. Tempat tinggal tidak selesa
dan tidak disedia oleh majikan buruh binaan. Berdasarkan kajian yang dilakukan
kebanyakan pekerja asing wanita Indonesia mempunyai ramai suami kerana untuk
mendapatkan perlindungan mereka berkahwin dengan pendatang asing yang lain.
Kajian yang dilakukan oleh Zakiyah(1992), dalam kajian beliau mengenai pembantu
rumah Indonesia di kawasan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Dalam kajian beliau
menunjukkan faktor ekonomi yang telah menggalakkan mereka berhijrah ke Malaysia
dan bekerja sebagai pembantu rumah. Permintaan terhadap pembantu rumah di kalangan
wanita Indonesia adalah tinggi kerana gaji yang dibayar kepada mereka adalah murah.
Beliau menyatakan lagi bahawa keadaan kehidupan dan pekerjaan pembantu-pembantu
rumah seperti tugas-tugas seharian yang dilakukan dan kehisupan sosial pembantu
rumah. Perbezaan kajian ini adalah kajian ini memfokuskan kepada pekerja asing wanita
dalam sektor pembantu rumah.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Susela A/P Raman(1998), dalam kajian
beliau terhadap pekerja asing wanita Indonesia di sektor perkilangan mendapati bahawa
pekerja wanita Indonesia menerima layanan baik daripada majikan mereka dan
kebanyakannya berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan oleh majikan seperti
tempat tinggal dan kemudahan asas. Kebanyakan pekerja asing wanita Indonesia juga
berhijrah bagi mendapatkan pendapatan yang lumayan untuk meningkatkan taraf hidup
mereka. Majikan di kilang ini juga tidak menghalang pekerja asing wanita Indonesia ini
daripada pulang ke kampung bertemu keluarga dan mereka diberikan cuti. Kajian ini
memfokuskan kepada sosioekonomi dari aspek gaji,elaun, cuti, tempat tinggal, kegiatan
masa lapang dan hubungan persekitaran.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Norhana(2004), kebanyakan faktor yang
membawa kepada kedatangan pembantu rumah Indonesia adalah disebabkan oleh faktor
ekonomi dan mendapatkan pengalaman kerja di negara lain. Kebanyakan responden
berminat untuk berhijrah dan bekerja di Malaysia kerana, mereka mendapat maklumat
daripada rakan-rakan mereka yang pernah bekerja menyatakan mereka mendapat gaji
yang lumayan. Mereka sanggup mengharungi rintangan dan risiko untuk berhijrah
kerana ingin mendapatkan keuntungan daripada gaji yang akan diperoleh. Terdapat
pembantu rumah yang cuba terlibat dengan kehidupan masyarakat setempat namun tidak
berjata kerana terdapatnya prasangka sebagai pendatang oleh penduduk tempatan. Oleh
itu, mereka harus menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran agar mudah diterima
oleh masyarakat setempat.
1.6 SKOP KAJIAN
Kajian ini akan memberi tumpuan khusus kepada pekerja asing wanita Indonesia
yang bekerja di kawasan Lembah Pantai yang merangkumi kawasan Institusi Pengajian
Tinggi Universiti Malaya dan Pantai Dalam. Bidang kajian pula merangkumi beberapa
aspek penting yang dirasakan dapat memberi maklumat tambahan kepada masyarakat
khususnya mengenai pekerja asing wanita Indonesia di Malaysia.

Dalam kajian ini, pengkaji memfokuskan kepada pekerja asing wanita Indonesia,
kerana kebanyakan kerja-kerja am seperti tukang sapu, tukang cuci, tukang masak dan
pembantu kedai makan di kawasan kajian yang kebanyakan terdiri daripada pekerjapekerja asing wanita Indonesia.keadaan ini mungkin disebabkan ciri-ciri pekerjaan di
sektor ini adalah lebih sesuai bagi kaum wanita memandangkan bebanan tugasnya yang
tidak begitu berat serta kekurangan tenaga kerja.
Di samping itu, terdapat banyak peluang pekerjaan di sektor lain yang lebih sesuai
dan dapat dilakukan oleh golongan pekerja asing lelaki Indonesia terutama sektor
pembinaan yang sangat memerlukan ramai tenaga kerja lelaki justeru itu, pengkaji
berpendapat adalah lebih baik sekiranya penumpuan diberikan kepada satu pihak sahaja
supaya pengkaji dapat menilai dan menganalisis ciri-ciri khusus yang mempengaruhi
mereka memilih sektor pekerjaan tersebut.
Skop kajian ini juga merangkumi beberapa aspek penting iaitu faktor yang
mendorong mereka membuat keputusan untuk berhijrah. Faktor utama yang diberi
tumpuan adalah faktor ekonomi. Hal ini demikian kerana, daripada hasil kajian lepas
yang dilakukan, didapati bahawa kemiskinan di tempat asal dan peluang ekonomi di
kawasan destinasi merupakan faktor penting yang mendorong kepada penghijrahan.
Pengkaji juga turut menjalankan kajian untuk melihat cara dan proses kemasukan
mereka ke Malaysia sama ada menggunakan agensi-agensi tertentu atau melaui saudara
mara. Kaedah kemasukan pekerja asing ini berkait rapat dengan rangkaian sosial yang
menjadi agen pendorong kepada penghijrah melakukan penghijrahan dengan
memikirkan untuk mengurangkan kos perjalanan dan risiko penghijrahan.
Selain itu, dalam kajian ini pengkaji juga akan ingin melihat keupayaan rangkaian
sosial dalam membantu pekerja asing yang melakukan penghijrahan dari segi membantu
mendapatkan pekerjaan, tempat tinggal, perantaraan antara kawasan destinasi dan asal
seterusnya sebagai petunjuk kepada kehidupan sosial di kawasan destinasi iaitu
Malaysia. Bantuan-bantuan ini sangat penting kepada golongan migran wanita bagi

meneruskan kelangsungan kehidupan di negara asing untuk mendapatkan sumber


pendapatan bagi mencapai kejayaan dalam penghijrahan.
Dalam kajian ini, pengkaji juga lebih memfokuskan kepada peranan rangkaian
sosial yang terdapat di kawasan destinasi yang akan menjadi suatu motivasi kepada
golongan wanita yang ingin mengurangkan risiko di kawasan destinasi dalam
melakukan penghijrahan. Perkara ini sangat penting kepada golongan pekerja asing
wanita Indonesia supaya penghijrahan yang dilakukan tidak akan memudaratkan
kehidupan mereka selepas penghijrahan tetapi membawa kejayaan kepada diri dan masa
depan keluarga yang berada di kampung halaman kawasan asal.
Pengkaji juga akan mendapatkan maklumat mengenai data peribadi serta latar
belakang responden dari segi tahap pendidikan, sosioekonomi dan sebagainya untuk
dianalisis oleh pengkaji sebgai hasil kajian. Antara contoh-contoh soalan yang
dikemukan dan dikategorikan dalam bahagian latar belakang responden adalah seperti
umur, agama, etnik, taraf perkahwinan, taraf pendidikan dan jenis pekerjaan yang
dilakukan.
1.7 METODOLOGI KAJIAN
Kaedah metadologi kajian amat penting dalam sesuatu kajian. Kaedah kajian
merupakan teknik penyelidikan atau alat yang digunakan untuk mengumpul data dan
maklumat. Manakala metadologi pula adalah falsafah proses penyelidikan iaitu andaian
dan nilai yang menjadikan dasar sesuatu penyelidikan dan ukuran atau kriteria yang
digunakan oleh pengkaji untuk mentafsir data dan membuat kesimpulan hasil kajian.
Dalam kajian ini pengkaji telah menggunakan beberapa kaedah kajian yang
bersesuaian bagi memahami dan mendapatkan maklumat tentang kajian yang hendak
dilakukan. Antaranya ialah, borang soal selidik sebgai instrument utama penyelidikan,
pemerhatian, temu bual, melibatkan data sekunder seperti sumber internet, perpustakaan
dan data-data kerajaan.

1.7.1 Data Primer


1) Borang Soal Selidik
Borang soal selidik adalah instrumen utama yang digunakan oleh pengkaji dalam
kajian ini. Borang soal selidik ni terbahagi kepada empat bahagian iaitu bahagian A,
bahagian B, bahagian C, bahagian D dan bahagian E.
Pada borang soal selidik, bahagian A adalah pengkaji ingin mengenalpasti latar
belakang responden yang dikaji manakala bahagian B mengenai faktor yang
mempengaruhi keputusan penghijrahan, bahagian C pula adalah kaedah atau cara
kemasukan pekerja asing wanita Indonesia ke Malaysia, bahagian D menilai keupayaan
rangkaian sosial dan seterusnya bahagian E adalah harapan pekerja asing wanita
Indonesia di Malaysia.
Aturan soalan-soalan yang dikemukan diharap dapat mengumpulkan segala
maklumat yang diperlukan di dalam kajian yang dijalankan. Oleh yang demikian, soal
selidik yang digunakan diharap dapat mengelakkan masalah yang timbul bagi
memperoleh kesimpulan yang dibuat dengan lebih berkeyakinan.
2) Temubual
Pengkaji juga menggunakan kaedah temu bual secara individu dan bersemuka
dengan responden dalam menjalankan kajian ini. Kaedah ini sangat penting dan banyak
membantu pengkaji untuk menambahkan dan melengkapkan fakta-fakta yang tidak
dapat diperoleh dengan lengkap melalui borang soal selidik. Data yang diperoleh
daripada temu bual ini juga digunakan oleh pengkaji sebagai hujah menyokong hasil
kajian melalui borang soal selidik. Selain daripada itu, kaedah ini juga digunakan supaya
responden tidak merasakan diri mereka 'dikaji'. Melalui perbualan yang tidak formal
inilah pengkaji telah menyelitkan beberapa soalan yang difikirkan penting untuk tujuan
kajian.

Pengkaji juga bukan hanya menjalankan temubual dengan responden tetapi juga
dengan pihak-pihak lain yang terbabit sama ada secara formal dan tidak formal.
Temubual juga dijalankan dengan rakan responden untuk mendapatkan maklumat
mengenai pekerja-pekerja wanita Indonesia yang bekerja bersama dengan responden.
Kerjasama yang diberikan oleh responden juga penting bagi memudahkan pengkaji
mendapatkan data serta menganalisis data tersebut. Di samping itu, ianya juga turut
membantu pengkaji menyiapkan kerja mengikut jadual yang telah ditetapakn.
3) Pemerhatian
Pengkaji juga menggunakan kaedah pemerhatian bagi melengkapkan lagi kajian
yang dilakukan. Kaedah pemerhatian merupakan kaedah yang paling popular digunakan
oleh pengkaji-pengkaji terdahulu untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang tidak
berjaya diperoleh semasa soal selidik dibuat. Pemerhatian ini dijalankan bagi melihat
secara langsung perkara-perkara penting yang boleh dijadikan maklumat. Antaranya,
cara responden datang ke tempat kerja, cara responden bekerja serta sikap dan pergaulan
responden sesama mereka. Pemerhatian ini dibuat pada waktu pagi dan petang iaitu
semasa waktu bekerja mereka. Dengan kaedah ini, pengkaji berharap dapat membuat
interprestasi terhadap maklumat yang diperoleh sama ada betul atau salah.
1.7.2 Data Sekunder
1) Laporan Tahunan
Data sekunder juga boleh diperoleh melalui laporan tahunan yang dikeluarkan oleh
agensi-agensi tertentu yang berkaitan dengan pekerja asing. Antaranya adalah Banci
Penduduk, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Sumber Manusia dan Jabatan
Perangkaan Malaysia. Data-data laporan tahunan ini sangat penting dalam melihat aliran
migrasi dan migran yang berlaku di Malaysia. Kesemua data-data yang diperoleh akan
dianalisis dan dijadikan hujah dalam menyokong kajian yang dilakukan.

2) Kaedah Perpustakaan
Kaedah ini merupakan punca utama untuk mendapatkan gambaran awal mengenai
aspek-aspek yang dikaji. Kaedah ini digunakan kerana terdapat banyak maklumat dan
data-data pekerja asing amnya dan pekerja wanita Indonesia khususnya adalah sulit dan
sukar diperoleh. Kajian ini juga digunakan kerana dapat menjimatkan kos serta masa
bagi mengumpulkan data-data. Namun begitu, data yang diperoleh daripada rujukan
perpustakaan kadangkala tidak menepati dan bertepatan dengan kehendak pengkaji.
Oleh hal yang demikian, pengkaji terpaksa membuat beberapa pengubahsuaian bagi
mendapatkan data yang dikehendaki. Pengkaji menggunakan beberapa bahan rujukan
seperti buku, majalah, tesis, kajian lepas, artikle jurnal dan keratan akhbar. Bahan-bahan
penyelidikan perpustakaan didapati daripada perpustakaan seperti Perpustakaan Utama
Universiti Malaya, Perpustakaan Peringatan Za'ba dan Perpustakaan Negara.
3) Sumber Internet
Pengkaji turut menggunakan kaedah mendapatkan bahan daripada sumber internet
dalam menjalankan kajian ini. Kemudahan ini digunakan sejajar dengan perkembangan
semasa teknologi maklumat. Antara maklumat yang diperoleh melaui kaedah ini adalah
data-data semasa yang berkaitan dengan pekerja asing daripada portal-portal rasmi
kementerian seperti portal Jabatan Imigresen dan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Selain itu, penyelidik juga menggunakan sumber internet untuk mendapatkan
kajian-kajian lepas yang telah diterbitkan oleh pengkaji lepas. Penyelidik mendapatkan
jurnal-jurnal dalam bentuk PDF dan E-buku dari pangkalan data yang ada di laman web
UM Library dan juga laman web yang diiktirafkan seperti JSTOR, WILLEY dan
SPRINGER. Selain itu, buku dan jurnal eletronik yang berkualiti juga digunakan oleh
pengkaji melalui laman web seperti Google Scholar, Google Books dan sebagainya.

1.8 ANALISIS BAB


Dalam bab pertama, pengkaji akan menerangkan berkenaan latar belakang kajian.
Latar belakang ini bertujuan untuk mendedahkan proses awal dalam kajian yang ingin
dijalankan bagi memberi pemahaman awal berkenaan kajian kepada orang lain.
Seterusnya, bab pertama juga adalah sebagai permulaan dan rujukan kepada pengkaji
dalam menjalankan kajian.
Dalam bab kedua, pengkaji akan menerangkan beberapa konsep dan teori yang
berkaitan dengan topik kajian yang ingin dijalankan. Antara konsep dan teori yang akan
diterangkan dalam kajian ini adalah konsep wanita dan peranan, motivasi, migrasi,
pekerja asing dan seterusnya teori Neokalasik Ekonomi dan teori Rangkaian Sosial.
Dalam bab ketiga, pengkaji akan menerangkan berkenaan metodologi kajian yang
digunakan dalam menjalankan kajian ini seperti persampelan, reka bentuk kajian,
instrumen kajian, kaedah kajian, dan latar belakang kawasan kajian seperti sejarah
kawasan, kemudahan sedia ada dikawasan kajian, struktur kawasan dan peta kawasan
kajian yang terlibat.
Dalam bab keempat, pengkaji akan menjelaskan hasil kajian yang telah dijalankan
dan didapati keputusan kajiannya. Bab ini sangat penting kerana, ia akan menjelaskan
segala hasil kajian yang dijalankan sama ada menjawab persoalan kajian atau tidak.
Hasil kajian akan didapati daripada analisis borang soal selidik yang merangkumi
beberapa bahagian dan soalan yang diperlukan bagi menjawab objektif kajian yang
dijalankan.
Dalam bab kelima dan terakhir, pengkaji akan membuat kesimpulan dan rumusan
mengenai kajian yang telah dijalankan daripada hasil kajian. Pengkaji akan merumuskan
segala hasil kajian yang dilakukan dan jika terdapat cadangan yang berkaitan dengan
kajian yang dilakukan pengkaji akan membincangkannya di bab terakhir ini.

You might also like