You are on page 1of 4

Perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong

Marilah mari dengar cerita

Kisah seorang insan berjasa

Ambil pedoman sepanjang masa

Kelak berguna buat semua

Yang terlena, sedar-sedarkan. Yang tersedar, dengar-dengarkan. Yang terdengar

fikir-fikirkan.

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam kemaman unggul. Terima kasih kepada

Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa dan para

hadirin yang saya hormati sekalian. Saya Damia Delisha dari Sekolah Kebangsaan

Kampung Baru Rasau Kerteh 5 akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk

“Perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong”

Siapakah Haji Abdul Rahman Limbong? Nama sebenar beliau ialah Haji Abdul

Rahman bin Haji Abdul Hamid. Beliau dilahirkan pada 1868 di Terengganu. Beliau

merupakan salah seorang keturunan keluarga ulama besar dari melayu patani.

Pekerjaan beliau selaku seorang ulama ialah menyampaikan pengajian dan kuliah

agama islam di sekitar negeri Terengganu. Disebabkan sering berulang alik ke

Kampung Limbong di Kemaman untuk mengajar ilmu agama islam beliau diberi

gelaran Haji Abdul Rahman Limbong.


Walaupun Perjanjian Inggeris-Siam pada 1909 telah menjadikan British sebagai

kuasa yang menaungi Negeri-negeri Utara termasuk Terengganu. Sultan Terengganu

Sultan Zainal Abidin ke-3 telah berjaya menghalang campur tangan British di

Terengganu. Kejayaan baginda mengekang campur tangan british telah

diperkukuhkan lagi dengan pengenalan undang-undang tubuh negeri Terengganu

iaitu Itqan Al-mulk Bi Tadil as Suluk. Hal ini menjadikan negeri Terengganu sebagai

salah sebuah negeri terakhir menerima penasihat British. Baginda juga hanya

bersetuju untuk menerima seorang pegawai British yang bertaraf wakil sahaja.

Hasilnya seorang Pegawai British iatu W L Conlin telah dilantik sebagai Ejen British di

Terengganu.

Pun begitu wakil British tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam

pentadbiran negeri Terengganu. British terus menekan Sultan Terengganu untuk

menerima seorang penasihat British di Terengganu. Hanya pada tahun 1919 British

berjaya menempatkan seorang penasihat British di Terengganu melalui perlantikan

JL Humpreys.

Akhirnya, British berjaya campur tangan di Terengganu. Akibatnya British telah

memperkenalkan pelbagai undang-undang baharu yang telah membebankan

penduduk Terengganu. Antaranya penduduk perlu mendapatkan permit kebenaran

untuk mengusahakan tanah pertanian. Sebagai syarat membersihkan tanah,

penduduk diwajibkan membayar cukai sebanyak 50sen setahun. Hal ini telah

menimbulkan kemarahan petani kerana kesemua tanah milik mereka adalah tanah

yang diwariskan oleh nenek moyang mereka. Mereka merupakan pemilik tanah

tersebut dan British tiada hak untuk mengutip cukai ke atas tanah mereka. Selain itu
juga pentadbiran British telah melarang penduduk untuk memungut hasil hutan dan

menebas tanah hutan bagi membuka kawasan pertanian baharu tanpa kebenaran.

Pada tahun 1922, seramai 43 orang petani di Kuala Telemung telah ditangkap kerana

tidak mempunyai kebenaran bagi mengusahakan tanah pertanian. Mereka telah

didakwa di mahkamah atas kesalahan tersebut. Haji Abdul Rahman Limbong telah

bertindak menjadi peguam bela kepada para petani tersebut. Beliau berhujah bahawa

tanah itu milik Allah. Allah telah kurniakan tanah itu sebagai pusaka nenek moyang

kepada mereka. Menurutnya Undang-undang Islam membenarkan pemilikan tanah

secara harta pusaka. Disebabkan kepintaran Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong

dalam hujah pembelaan, pihak mahkamah terpaksa melepaskan kesemua petani

yang terlibat.

Seterusnya pada tahun 1925 kebencian para petani terhadap British semakin

memuncak. Mereka sengaja mencabar British dengan mengusahakan tanah milik

Tengku Nik yang terbiar. Pada 1928 penentangan rakyat terhadap British sampai ke

kemuncak. Pentadbiran British mengancam untuk mengambil tindakan terhadap para

petani di Telemong, Kuala Berang, Tersat dan Dungun yang tidak memiliki pas

pertanian. Hasilnya seramai seribu orang petani telah berhimpun di Hulu Terengganu.

Mereka telah mara ke Kuala Berang yang menjadi pusat pentadbiran di Hulu

Terengganu. Di Kuala Berang, Pegawai British terkejut dengan kehadiran ribuan

petani dan telah melarikan diri ke Kuala Terengganu.

Para petani telah menguasai bandar Kuala Berang dengan menduduki pejabat

pejabat kerajaan dan balai polis. Kejayaan menguasai Kuala Berang menyebabkan
para pejuang berasa lebih semangat. Mereka telah bertindak mara ke ibu negeri

Terengganu iaitu ke Kuala Terengganu. Di Kuala Terengganu, kerajaan Terengganu

telah menghantar pasukan polis yang bersenjata lengkap bagi menyekat peristiwa

penentangan di Kuala Berang. Kedua-dua pasukan iaitu pasukan pejuang tani dan

pasukan polis telah bertembung di Padang Kachong. Pihak polis telah meminta para

penentang untuk menyerah diri. Namun keadaan kucar kacir telah berlaku apabila

para pejuang mula menyerang polis. Pasukan polis telah melepaskan tembakan

menyebabakan beberapa orang petani mati terbunuh.

Hasil daripada serangan tersebut para pemimpin tempatan yang menggerakan

penetangan tersebut telah didakwa dan dipenjara. Tuan guru Haji Limbong pula tidak

dipenjara sebaliknya dibuang negeri ke Mekah hukuman yang dikenakan ke atas

beliau menunjukkan pihak British sangat takut dengan keupayaan ulama yang bukan

hanya mampu menggerakkan perjuangan rakyat akan tetapi pemikiran dan hujah

mereka sukar untuk ditewaskan oleh British.

Hadirin yang dihormati sekalian, marilah kita terus mengingati dan mensyukuri nikmat

kemerdekaan ini serta menghayati perit jerih perjuangan tokoh-tokoh ini untuk

memerdekakan negara ini dari cengkaman penjajah.

Sekian terima kasih.

You might also like