You are on page 1of 9

BAB 3 : SENASKHAH MANUSKRIP LAMA

(i)
Manuskrip yang diterima dan dibaca oleh Haiqal menceritakan kisah Cikgu Nizam. Manuskrip lama ini
mengisahkan penduduk kampung Sri Purnama yang aktif dalam aktiviti seni tradisional seperti zapin dan ghazal. Seni
tradisional ini turut mendapat tempat di hati Ai Ling; anak kepada Tauke Lim. Ai Ling minat menari zapin. Rakan-rakan
sebaya Cikgu Nizam seperti Roslan, Ramli dan Sudin juga gigih berlatih menari zapin.
Penduduk kampung Seri Purnama sering berkumpul di warung Pak Dolah. Cikgu Nizam memuji Ai Ling yang
mahir menari zapin. Hubungan bapa Ai Ling iaitu Tauke Lim dengan penduduk kampung Seri Purnama adalah sangat
rapat. Cikgu Nizam menggalakkan Ai Ling untuk belajar menari zapin. Apabila Cikgu Nizam melihat Ai Ling, secara
tidak langsung dia terkenang akan anaknya; Aiman. Usia Aiman sebaya dengan usia Ai Ling.

PERISTIWA PENTING

Hubungan kekeluargaan antara keluarga Cikgu Nizam dengan keluarga Tauke Lim sangat rapat. Tauke Lim
berasal dari Perak. Rumah Tauke Lim dibina di atas tanah yang dibeli daripada ayah Cikgu Nizam. Sebelum ini, tanah
tersebut merupakan kebun getah. Ayah Cikgu Nizam mengupah orang untuk mengerjakannya kerana dia sibuk
mengurus kebun kelapa sawit. Emak Cikgu Nizam pula tidak berdaya untuk mengerjakan kebun getah kerana tidak boleh
berdiri lama akibat kemalangan. Kemudian, Tauke Lim telah menyewa tanah tersebut daripada ayah Cikgu Nizam
setelah berhijrah ke Parit Raja. Ayah Cikgu Nizam berasa kasihan akan Tauke Lim kerana semua tanah milik
keluarganya di Perak habis dijual untuk membayar hutang abang Tauke Lim yang suka berjudi. Ayah Cikgu Nizam
dan Tauke Lim bersetuju untuk membahagikan dua hasil daripada kebun getah tersebut.
Hubungan antara keluarga Cikgu Nizam dengan Tauke Lim semakin rapat sejak Tauke Lim menyewa kebun
getah tersebut. Tambahan pula, Tauke Lim selalu membawa ahli keluarganya berkunjung ke rumah keluarga Cikgu
Nizam. Mereka selalu minum petang bersama-sama. Tauke Lim seorang yang rajin. Pada waktu pagi, dia menoreh
getah manakala pada waktu petang, Tauke Lim akan mengelilingi kampung untuk membeli hasil-hasil kampung.
Sebagai contohnya, buah pinang, getah beku atau getah sekerap, biji kopi dan pisang. Kemudian, dia akan menjualnya di
bandar. Tauke Lim juga sentiasa membersihkan kebun getah yang disewanya. Hasil kegigihan Tauke Lim, dia berjaya
mengumpul wang untuk membeli setengah ekar daripada kebun ayah Cikgu Nizam. Tanah yang dibelinya itu telah
dijadikan tapak rumah. Hubungan antara keluarga Tauke Lim dengan penduduk kampung Sri Purnama sangat rapat
sekali. Apabila ada majlis kenduri-kendara, dia pasti akan turut bersama-sama penduduk untuk bergotong-royong. Tauke
Lim juga sentiasa bermurah hati untuk menaja jamuan untuk setiap majlis keramaian di kampung. Ketika ayah
Cikgu Nizam masih hidup, dia menganggap bahawa anak-anak perempuan Tauke Lim iaitu Ai Ching dan Ai Ling seperti
cucunya sendiri. Hidup ayah Cikgu Nizam sunyi setelah kematian isterinya akibat darah beku di kepala.

PERISTIWA PENTING

1
Pada suatu hari, Cikgu Nizam telah menumpangkan Ai Ling dan Ai Ching ke sekolah kerana bateri kereta
Tauke Lim telah rosak. Cikgu Nizam mengajar di sekolah yang sama dengan Ai Ling. Tauke Lim menghantar semua
anaknya belajar di sekolah kebangsaan di kampung itu. Dia beranggapan bahawa di mana-mana sahaja anak-
anaknya boleh belajar asalkan mereka rajin. Pada setiap minggu, Tauke Lim menghantar anak-anaknya ke kelas
tuiysen bahasa Cina di pekan Parit Raja. Cikgu Nizam mempelawa Ai Ling menaiki keretanya pada setiap hari tetapi Ai
Ling tidak mahu menyusahkan gurunya itu. Namun begitu, setelah Ai Ling berbincang dengan Tauke Lim, Ai Ling telah
menumpang kereta Cikgu Nizam untuk ke sekolah pada setiap hari.
Ketika di bilik guru, Cikgu Latifah yang terkenal oleh kegarangannya telah meluahkan perasaan. Cikgu
Latifah menyatakan kekesalannya terhadap sikap murid-murid yang tidak menyelesaikan kerja rumah dan tulisan
mereka juga tidak kemas ibarat “cakar ayam”. Cikgu Latifah turut menyatakan bahawa golongan guru kerap
dipersalahkan jika anak-anak murid tidak berjaya. Cikgu Nizam menenangkan Cikgu Latifah dengan mengatakan
bahawa orang luar tidak faham akan tugas guru yang banyak. Cikgu Nizam turut berpandapat bahawa golongan guru
perlu sentiasa bijak mengatur tugas mereka. Berbeza dengan zaman dahulu, guru ibarat pakar rujuk. Apabila zaman
semakin moden dan golongan cendekiawan semakin ramai, banyak teori pendidikan telah diwujudkan.

PERISTIWA PENTING

Cikgu Latifah meneruskan kerjanya dan kadangkala dia membebel lagi. Dalam hati Cikgu Nizam, dia kagum
akan kesungguhan Cikgu Latifah yang sanggup pulang lewat untuk membimbing murid-murid yang lemah dalam
Matematik. Cikgu Nizam terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua panitia Bahasa Melayu dengan
menyelesaikan minit mesyuarat panitia.
Selain itu, Cikgu Latifah turut menyatakan bahawa Ai Ling tidak mahu ke perpustakaan ketika waktu Pendidikan
Islam. Ai Ling berminat untuk mempelajari Pendidikan Islam daripada Ustazah Munirah. Ai Ling suka membaca buku
kisah-kisah nabi dan rasul serta tokoh-tokoh Islam. Ai Ling juga selalu bertanya tentang nabi-nabi kepada Ustazah
Munirah, terutamanya tentang Nabi Muhammad. Perwatakan Ai Ling berbeza dengan kakaknya. Apabila murid-murid
Islam membaca doa, dia akan turut serta menadah tangan untuk berdoa. Cikgu Nizam mengambil peluang ini untuk cuba
mengenali Ai Ling dengan lebih dekat.

PERISTIWA PENTING

2
(ii)
Bateri kereta Tauke Lim telah digantikan dengan bateri baharu. Cikgu Nizam membantu Tauke Lim
memasang bateri tersebut. Cikgu Nizam menyuruh Tauke Lim supaya membeli kereta baharu tetapi Tauke Lim
tidak mahu kerana dia perlu berjimat untuk belanja persekolah anak-anaknya. Pada masa yang sama, Tauke Lim
tidak selalu jalan jauh. Kereta buruknya digunakan untuk mengangkut hasil-hasil kampung untuk dijual di pekan. Jika
Tauke Lim pulang ke kampung di Kuala Kangsar untuk menziarahi emaknya, dia dan keluarganya akan menaiki bas
sahaja. Tauke Lim seorang yang suka bersederhana dan berjimat. Sebagai contohnya, dia sentiasa berbaju lusuh. Cikgu
Nizam jarang melihat Tauke Lim berbaju cantik kecuali ketika Tahun Baru Cina. Setelah kereta Tauke Lim berjaya
dihidupkan, Tauke Lim telah mengajak Cikgu Nizam ke pekan untuk minum teh tarik mamak pada waktu petang.
Ketika menikmati teh tarik, Tauke Lim telah bersetuju dan membenarkan Ai Ling menumpang kereta Cikgu
Nizam untuk ke sekolah. Pada awalnya, dia tidak mahu menyusahkan Cikgu Nizam. Tauke Lim turut menyatakan
bahawa keluarga Cikgu Nizam telah banyak membantu keluarganya ketika mereka susah dahulu. Tauke Lim
berasa terhutang budi dengan keluarga Cikgu Nizam. Pada masa yang sama, Cikgu Nizam turut mengucapkan terima
kasih kerana telah menjaga kebun ayahnya dengan baik. Tauke Lim tidak menghalang jika Cikgu Nizam mahu mengajar
Ai Ling dan menganggap Ai Ling sebagai anak kandungnya sendiri.
Ketika minum juga, mereka berbual tentang Aiman. Cikgu Nizam memberitahu bahawa keluarga isterinya seolah-
olah tidak suka Cikgu Nizam melawat Aiman. Tauke Lim meminta Cikgu Nizam bersabar. Tauke Lim yakin bahawa Aiman
akan datang mencari Cikgu Nizam apabila dia sudah besar nanti. Tauke Lim percaya bahawa Cikgu Nizam merupakan
seorang yang kuat dan tabah seperti ayahnya dahulu. Tauke Lim turut menasihati Cikgu Nizam supaya jangan susah hati
kerana penduduk kampung sayang akan Cikgu Nizam. Sejak Cikgu Nizam kembali ke kampung, banyak aktiviti dapat
dijalankan. Sebagai contohnya, aktiviti zapin. Cikgu Nizam juga turut memuji Tauke Lim yang banyak memberikan
sumbangan terhadap aktiviti yang dijalankan di kampung mereka. Pada waktu malam nanti, Cikgu Nizam mempelawa
Tauke Lim ke balai raya untuk menonton latihan zapin. Tauke Lim menyatakan bahawa dia akan hadir kerana Ai Ling
meminati tarian zapin. Tauke Lim juga seronok melihat anak-anak muda gigih berlatih zapin.

PERISTIWA PENTING

(iii)
Ketika di balai raya pada malam itu, Tauke Lim telah menyuruh Cikgu Nizam menari zapin. Ai Ling berasa
sangat gembira sekali apabila melihat Cikgu Nizam menari zapin. Selesai latihan, Tauke Lim, Cikgu Nizam, Pak
Haji Salam dan beberapa orang ahli kumpulan zapin berkumpul di atas pentas. Mereka membincangkan persiapan
majlis untuk menyambut kehadiran YB Samsuri dan pegawai daripada Yayasan Warisan Negeri untuk mengkaji rentak
zapin jincat yang unik. Mereka hanya mempunyai masa seminggu sahaja lagi untuk berlatih. Kumpulan zapin D’Purnama
telah berkubur lebih dua puluh tahun. Mereka beranggapan bahawa kedatangan pegawai dan YB Samsuri merupakan
peluang kepada mereka untuk menghidupkan tarian zapin jincat semula. Kumpulan zapin tersebut berkubur kerana

3
beberapa orang ahlinya telah keluar daripada kumpulan asal dan menubuhkan kumpulan baharu. Akhirnya, kumpulan
baharu tersebut juga mengalami kegagalan. Akibatnya, kumpulan zapin D’Purnama telah berkubur.
Dalam perbincangan itu, Cikgu Nizam telah diminta untuk menyiapkan atur cara dalam majlis itu nanti. Tauke Lim
menyatakan kesediaannya untuk menaja jamuan makan. Ketika semua orang sudah pulang, Abang Bakir menyatakan
hasratnya supaya Cikgu Nizam menyelitkan deklamasi puisi dalam majlis itu nanti. Abang Bakir turut mencadangkan
supaya Cikgu Nizam memilih murid-murid sekolahnya yang berbakat untuk mendeklamasi puisi. Abang Bakir juga
memberikan semangat kepada Cikgu Nizam supaya meneruskan bakatnya dalam bidang sastera. Abang Bakir
menasihati Cikgu Nizam supaya tidak merajuk lagi.

PERISTIWA PENTING

(iv)
Cikgu Nizam berasa gembira apabila Ai Ling merupakan salah seorang peserta pertandingan deklamasi puisi. Ai
Ling menunjukkan minatnya terhadap puisi dengan membaca buku puisi. Ai Ling membaca buku puisi sebagai
persediaan untuk menyertai pertandingan mendeklamasi puisi. Cikgu Nizam telah mengajak Ai Ling datang ke rumahnya
untuk berlatih mendeklamasikan puisi pada waktu petang.
Ai Ching telah menemani Ai Ling ke rumah Cikgu Nizam. Ai Ling telah memilih sajak bertemakan kasih sayang
terhadap ibu dan bapa. Ketika Cikgu Nizam melatih Ai Ling mendeklamasi puisi, Ai Ching membelek-belek novel dan
majalah sastera yang diletakkan di atas meja. Kemudian, Ai Ching memilih senaskhah novel dan membacanya
sementara menunggu Ai Ling berlatih.
Pada awal latihan, Ai Ling sukar untuk mengawal pernafasannya perlahan-lahan. Cikgu Nizam mengajar Ai Ling
supaya bijak mengawal pernafasan kerana dapat mengurangkan perasaan gemuruh ketika berada di pentas. Cikgu
Nizam tetap memberi semangat kepada Ai Ling walaupun Ai Ling seolah-olah putus asa. Akhirnya, Ai Ling berjaya. Dia
berjanji akan datang lagi pada hari esok. Sebelum pulang, Ai Ling mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Nizam
kerana telah melatihnya. Ai Ching pula telah meminjam dua buah novel. Cikgu Nizam berpesan kepada Ai Ching supaya
jangan leka membaca novel kerana Ai Ching perlu menumpukan perhatian dalam pelajaran dan menyelesaikan kerja
rumah.

PERISTIWA PENTING

4
(v)
Ai Ling telah berjaya memenangi pertandingan deklamasi puisi peringkat tahap satu. Dia berjaya menyampaikan
sajaknya sehingga memukau semua murid yang menyaksikannya. Kemenangan Ai Ling juga telah menjadi buah mulut
penduduk kampung. Orang yang paling gembira ialah Tauke Lim. Dia sanggup membelanja pelanggan-pelanggan
warung Abang Dolah.
Ketika di warung, Tauke Lim menyatakan hasratnya untuk melihat Cikgu Nizam membaca puisi di balai raya
seperti zaman Cikgu Nizam muda dahulu. Pak Dolah turut menyokong cadangan Tauke Lim. Pak Dolah berasa seronok
jika para pemuda kampung berkumpul di balai raya kampung mereka untuk berpuisi, berkompang, berseloka dan
bergurindam. Jika khazanah bangsa ini tidak diteruskan oleh generasi muda, khazanah ini akan pupus.
Cikgu Nizam telah menyatakan kepada Abang Bakir dan Roslan bahawa dia berhenti berkarya kerana jiwanya
tidak tenang setelah berpisah dengan isteri dan anaknya, Aiman. Karyanya ibarat tiada semangat. Oleh sebab itu, Cikgu
Nizam mengambil keputusan untuk berhenti berkarya. Dia juga sering berasa rindu akan Aiman. Hanya potret Aiman
yang dapat dijadikan penawar rindunya. Cikgu Nizam seperti ayahnya juga yang menjadikan Ai Ling sebagai tempat
untuk mencurahkan kasih sayang.

PERISTIWA PENTING

(vi)
Perancangan untuk menjayakan persembahan zapin berjalan dengan lancar. Ai Ling bersetuju untuk
mendeklamasikan sajak sebelum persembahan zapin. Sajak yang akan dipersembahkan oleh Ai Ling ialah sajak yang
ditulis oleh Cikgu Nizam sendiri.
Ketika hari persembahan, kawasan balai raya dipenuhi oleh penduduk kampung. Ai Ling telah mendeklamasikan
sajak dengan penuh bersemangat. Para penduduk yang hadir telah terpukau dengan persembahan Ai Ling. Mereka
memberi tepukan yang gemuruh kepada Ai Ling. Ketika Ai Ling mendeklamasikan sajak, Cikgu Nizam telah
membayangkan bahawa Ai Ling dan Aiman sedang mendeklamasikan sajak bersama-sama. Tepukan yang gemuruh
terhadap sajak yang ditulis oleh Cikgu Nizam merupakan penghormatan yang tertinggi untuk dirinya. Namun begitu,
Cikgu Nizam berasa hampa kerana orang-orang yang disayanginya tidak bersama-samanya ketika itu.
Persembahan zapin bertambah meriah apabila YB Samsuri juga turut menari zapin dengan para penari zapin.
Majlis persembahan zapin itu berakhir pada jam 12.15 malam. YB Samsuri juga telah berjanji akan memberikan
perutukan wang ringgit kepada kumpulan zapin D’Purnama. Wang tersebut akan digunakan untuk membeli
peralatan muzik zapin yang baharu. Walaupun majlis sudah tamat, penari-penari daripada Yayasan Warisan Negeri
masih sibuk mempelajari cara-cara menari zapin jincat, alip-alip daripada Abang Bakir, Wak Parmin dan Ramli.
Kemudian, YB Samsuri juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Nizam atas usaha gigihnya mengembalikan
kegemilangan tarian zapin di kampung Seri Purnama. Pada masa yang sama, beliau berharap supaya Cikgu Nizam
turut mengembangkan bahasa dan sastera di kampung itu. Beliau berharap supaya Kampung Seri Purnama akan
dijadikan perkampungan bahasa dan sastera.

PERISTIWA PENTING
5
(vii)
Masa berlalu begitu pantas. Ai Ling kini sudah berusia 12 tahun. Cikgu Nizam menganggap Ai Ling seperti
anaknya sendiri. Tauke Lim dan Mak Cik Kim juga gembira apabila Cikgu Nizam turut mengambil berat akan diri
Ai Ling. Namun begitu, pada masa ini, Cikgu Nizam sering mengalami sakit kepala. Cikgu Nizam sering berulang-alik ke
hospital. Walau bagaimanapun, dia tetap pergi ke balai raya untuk berlatih kompang dan zapin.
Pada suatu petang, Cikgu Nizam membawa Ai Ching dan Ai Ling berkunjung ke Pantai Punggur. Ketika di Pantai
Punggur, Ai Ling ingin tahu sama ada Cikgu Nizam mempunyai anak atau tidak. Cikgu Nizam menyatakan bahawa dia
mempunyai seorang anak lelaki yang menetap di Terengganu. Umur anak lelaki Cikgu Nizam sebaya dengan umur Ai
Ling. Hampir sepuluh tahun Cikgu Nizam tidak menemui anaknya itu. Ai Ling menyatakan hasratnya untuk bertemu
dengan anak Cikgu Nizam. Ai Ling mahu berkawan dengannya. Pada masa yang sama, Ai Ling turut memberitahu Cikgu
Nizam tentang arwah ayah Cikgu Nizam yang selalu memuji Cikgu Nizam. Ayah cikgu Nizam sangat sayang akan Cikgu
Nizam kerana kasih sayang yang diberikan oleh Cikgu Nizam kepada ayahnya setanding dengan kasih sayang sepuluh
orang walaupun Cikgu Nizam hanyalah seorang anak tunggal.
Ketika membiarkan Ai Ling dan Ai Ching bermain-main di tepi pantai, Cikgu Nizam mengelamun sambil
menikmati ketenangan ombak dan angin di tepi pantai. Cikgu Nizam berharap supaya dia dapat menjadi manusia biasa
yang berkeluarga dan berbahagia selalu tetapi dia sentiasa menghadapi ujian dalam kehidupannya.

PERISTIWA PENTING

(viii)
Kampung Seri Purnama telah dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Kemerdekaan peringkat mukim. Dalam
bulan ini, program Berkampung Bersama Puisi akan dilancarkan. Ramai penduduk di sekitar kawasan Batu Pahat
berminat untuk menyertainya. Yang Berhormat juga telah bersetuju untuk mendeklamasikan puisi pada malam perasmian
nanti. Cikgu Nizam pula semakin sibuk membuat persiapan di balai raya. Cikgu Nizam tidak mahu program itu menjadi
seperti “melepaskan batuk di tangga”.
Ai Ling juga gigih berlatih mendeklamasikan sajak. Pada masa ini, kesihatan Cikgu Nizam bertambah buruk.
Cikgu Nizam hanya mampu bergantung pada ubat tahan sakit yang dibekalkan oleh doktor untuk menahan kesakitan
yang dialaminya. Cikgu Nizam menerima takdir Tuhan dengan tabah jika hidupnya akan berakhir tidak lama lagi.
Walaupun Cikgu Nizam menderita kesakitan, Cikgu Nizam berlagak seperti biasa seolah-olah dia sihat.
6
Ai Ling telah datang ke rumah Cikgu Nizam sambil membawa apam balik untuk Cikgu Nizam. Ai Ling
memberitahu bahawa dia telah menyelesaikan semua kerja rumahnya ketika menunggu Cikgu Nizam habis
bermesyuarat di sekolah. Cikgu Nizam telah menunjukkan manuskrip yang sedang ditulis olehnya kepada Ai Ling.
Cikgu Nizam telah berjanji untuk memberikan manuskrip itu kepada Ai Ling sekiranya manuskrip itu siap ditulis. Ai Ling
menyatakan bahawa dia mahu menjadi orang pertama membaca manuskrip tersebut.
Ai Ling mendapati bahawa muka Cikgu Nizam pucat. Ai Ling beranggapan bahawa Cikgu Nizam sedang sakit.
Namun begitu, Cikgu Nizam menafikannya. Cikgu Nizam memberi alasan bahawa dia hanya penat sahaja. Ai Ling juga
mendapati bahawa fizikal Cikgu Nizam sudah berubah. Urat-urat di kepala Cikgu Nizam sudah timbul dan tubuhnya juga
sudah kurus. Walau bagaimanapun, Cikgu Nizam tetap menyatakan bahawa dia sihat.
Ai Ling juga bertanya tentang Aiman kepada Cikgu Nizam. Ai Ling ingin tahu bila Cikgu Nizam akan membawa
Aiman ke kampung ini. Ai Ling ingin berkenalan dengannya. Cikgu Nizam ingin menceritakan masalah yang dihadapinya
kepada Ai Ling tetapi dia membatalkan hasratnya itu. Cikgu Nizam tidak mahu melibatkan Ai Ling dalam masalah
kehidupannya.
PERISTIWA PENTING

(ix)
Majlis pelancaran Malam Sekampung Puisi akan dilangsungkan. Balai raya telah dicat baharu. Buku-buku
sastera lama telah dipamerkan di balai raya. Gambar-gambar serta latar belakang sasterawan terkenal tanah air juga
dipamerkan. Cikgu Nizam berasa lega apabila beberapa orang penyair yang pernah memenangi pertandingan deklamasi
puisi telah mengesahkan penyertaan mereka. Selain itu, ahli jawatankuasa untuk program tersebut juga telah
menunjukkan komitmen yang tinggi bagi menjayakan majlis itu. Cikgu Nizam beranggapan bahawa Aksara yang pernah
diceritakannya kepada Abang Bakir, Roslan, Ramli dan Mazli akan berjaya sekiranya program ini berjaya.
Sakit kepala yang dialami oleh Cikgu Nizam semakin kronik. Cikgu Nizam terpaksa menahan kesakitannya itu
dengan ubat yang dibekalkan oleh doktor. Pada masa ini, Cikgu Nizam menyelesaikan semua tugasan sebagai guru
di sekolah sehingga dia pulang lewat. Ai Ling pula terpaksa menunggunya. Mujur Ai Ling memahami kesibukannya.
Pada waktu malam, Cikgu Nizam menunaikan solat sunat. Ketika ini, dia berasa bahawa dirinya dekat dengan Allah.
Kerinduannya terhadap Aiman semakin memuncak. Cikgu Nizam sentiasa membayangkan wajah Aiman. Cikgu
Nizam menatap potret kecil Aiman dan mendakapkannya ke dada. Cikgu Aiman berharap Aiman datang
menemuinya. Cikgu Aiman terus menangis teresak-esak.

PERISTIWA PENTING

7
SOALAN BERDASARKAN BAB 3 NOVEL SILIR DAKSINA
1) Mengapakah kebun seluas 4 ekar milik ayah Cikgu Nizam terbiar sebelum kedatangan Tauke
Lim?

1) Nyatakan kesusahan yang dihadapi oleh Tauke Lim semasa masih menetap di Ipoh?

2) Bagaimanakah Tauke Lim dan keluarganya berjaya menyesuaikan diri di desa itu hampir
lapan belas tahun?

3) Apakah yang perkara yang diceritakan Ustazah Munirah kepada Cikgu Latifah mengenai Ai
Ling?

4) Apakah yang terjadi apabila Cikgu Nizam datang menjumpai anaknya yang terpisah, Aiman?

5) Mengapakah pegawai dari Yayasan Warisan Negeri bercadang untuk datang ke desa
tersebut?

6) Mengikut cerita orang tua-tua, mengapakah kumpulan zapin D’Purnama telah terkubur?

7) Apakah cadangan Abang Bakir untuk atur cara malam itu?

8) Apakah saranan-saranan yang diberikan oleh Cikgu Nizam kepada Ai Ling berkenaan cara
mendeklamasikan sajak?

9) Mengapakah anak-anak muda kampung tersebut kurang berminat untuk menyertai kumpulan
zapin?

10)Apakah bukti yang menunjukkan Cikgu Nizam menganggap Ai Ling seperti anaknya sendiri ?

11)Mengapakah Cikgu Nizam tetap tabah menjalani kehidupan walaupun merasakan kehilangan
ayahnya?

8
12)Mengapakah bulan Ogos merupakan bulan yang sangat menyesakkan bagi Cikgu Nizam ?

14) Apakah perkara yang menimbulkan keresahan Ai Ling berkenaan kesihatan Cikgu Nizam ?

You might also like